Pages

Wednesday, March 19, 2014

Rangka dijangkiti barah dijumpai


Anak panah menunjukkan tanda-tanda barah carcinoma metastatic pada serpihan tulang lelaki muda yang menghidap barah, 3,200 tahun lalu . - AGENSI
LONDON 18 Mac - Ahli-ahli arkeologi menemukan rangka manusia sempurna berusia 3,200 tahun yang dijangkiti barah dan mendakwa penemuan itu bakal membantu bagaimana penyakit yang menjadi antara punca kematian utama manusia itu mula berkembang.
Rangka milik seorang lelaki muda kaya itu ditemukan di sebuah kubur berhampiran Sungai Nil dekat Sudan tahun lalu dan sewaktu kematiannya, dia dipercayai hanya berumur di antara 25 hingga 35 tahun.
Rangka lelaki muda itu menunjukkan bukti berlakunya sel carcinoma metastatic.
Analisis turut membuktikan barah itu berpunca daripada ketumbuhan malignan tisu lembut dan merebak ke seluruh bahagian badan sekali gus menjadikannya contoh 'meyakinkan' barah metastatatic tertua pernah dijumpai.
Penyelidik-penyelidik dari Universiti Durham dan Muzium Britain berkata, penemuan rangka itu akan membantu penyelidikan mengenal pasti punca barah pada zaman purba dan menyediakan tanggapan baharu kepada evolusi barah pada masa lalu.
Penemuan rangka itu sekali gus bakal menangkis tanggapan saintis bahawa barah berpunca daripada gaya hidup moden dan peningkatan jangka hayat.
Penulis utama Jabatan Arkeologi Universiti Durham, Michaela Binder berkata, penemuan itu akan membantu mereka untuk memahami sejarah yang hampir tidak diketahui tentang penyakit itu.
"Kami hanya mempunyai beberaoa contoh (sebelum ini) iaitu pada tahun pertama milenium. Kami perlu memahami sejarah penyakit supaya dapat memahami dengan lebih baik bagaimana ia berkembang dan untuk itu, agak penting untuk mencari lebih banyak contoh,'' katanya sebagaimana lapor Mail Online.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140319/lu_04/Rangka-dijangkiti-barah-dijumpai#ixzz2wMZBkQSl
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Mesin hembusan nafas Toshiba kesan penyakit



AFP
SEORANG model menunjukkan cara menggunakan mesin hembusan nafas keluaran Toshiba di Tokyo semalam.


TOKYO - Firma Jepun, Toshiba memperkenalkan alat ujian nafas yang boleh mengesan pelbagai jenis penyakit dalam tempoh 30 saat selepas pengguna menghembuskan nafasnya.
Pengguna perlu bernafas beberapa kali menggunakan muncung alat berkenaan yang menyamai saiz sebuah mesin pencuci pinggan kecil.
Ia kemudian menganalisis nafas yang dihembus untuk mengesan kehadiran beberapa jenis gas yang menjadi petanda kepada masalah kesihatan seperti diabetes dan sakit perut.
"Nafas yang dihembus ke dalam mesin ini dianalisis menggunakan pancaran laser bagi mengesan gas berpenyakit termasuk asetaldehid, metana dan aseton," kata Toshiba dalam satu kenyataan.
Menurut firma berkenaan, Toshiba akan menambah bilangan gas dan penyakit yang boleh dikesan oleh alat tersebut manakala pengeluaran komersial pula dijadualkan pada tahun depan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0319&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_10.htm#ixzz2wLxOj6gg 
Hakcipta terpelihara 

Tuesday, March 18, 2014

Telaga Tujuh penuh misteri

WARTAWAN SINAR HARIAN
Telaga Tujuh penuh misteri
Kewujudan telaga tujuh di Kampung Bukit Teriak kini masih misteri dan dikatakan dahulu telaga kecil di dalamnya mampu mengeluarkan air tujuh warna. Gamabr kecil : Milah. 
18 Mac 2014
POKOK SENA - Kewujudannya penuh misteri tetapi telaga itu dikatakan tidak pernah kering walaupun pada musim kemarau.

Telaga tujuh yang terletak di Kampung Bukit Teriak, Mukim Telaga Mas, dekat sini sering dikunjungi orang ramai.

Penduduk, Milah Mat, 70, berkata, ia telah wujud sebelum dia dan keluarganya berpindah ke situ sejak 50 tahun lalu.
Bagaimanapun, menurut cerita penduduk awal di situ, ia adalah milik hantu pari yang turun dari Bukit Teriak berdekatan dengan kampung itu.

Katanya, telaga itu tidak pernah kering tetapi penduduk di situ tidak pernah menggunakannya kerana bimbang jika sesuatu akan berlaku. Telaga itu dikatakan sedalam tiga meter dan terdapat batu hampar di bawahnya.

“Bagaimanapun, keunikan telaga ini ialah ia mempunyai tujuh telaga kecil di tepi dalam telaga itu dan kedalamannya tidak siapa dapat mengetahuinya.

"Pernah penduduk di sini turun dan melihat kedalaman telaga tujuh itu, tetapi tidak berani memasukinya kerana terlalu gelap dan dalam,” katanya.

Milah berkata, pernah pada zaman 70-an cucunya turun untuk mencuci telaga itu yang dipenuhi dengan lumpur dan selepas membersihkannya, didapati tujuh telaga kecil di dalamnya dan mengeluarkan air tujuh warna.

“Pada masa itu penduduk sendiri melihat misteri air telaga itu dan ada dalam kalangan mereka turut mengambilnya untuk disimpan sebagai kenangan. Bagaimanapun hari ini tiada siapa berani melakukannya lagi,” katanya.
Menurutnya, kedudukannya yang terletak di tanah tinggi dan terdapat beberapa anak tangga hingga ke arah Bukit Teriak juga turut menjadi perhatian penduduk di kampung itu dan kini masih menjadi misteri.

“Walaupun telaga tujuh itu masih lagi misteri kewujudannya tetapi kami sekeluarga sentiasa memantau supaya tidak ada sebarang kejadian khurafat dilakukan di telaga itu. Kami juga tidak mahu pihak tidak bertanggungjawab menjadi telaga itu sebagai
tempat pemujaan,” katanya.

Episod duka

NORHANA FARIZA HARUN
Episod duka
Kehilangan MH370 mengundang kesedihan seluruh penduduk dunia. 
18 Mac 2014
LIMA tahun lalu, pesawat Air France pernah hilang selepas terhempas di Lautan Atlantik. Pesawat berkenaan akhirnya ditemui selepas dua tahun.

Bagi Malaysia Airlines (MAS), setelah lebih 60 tahun beroperasi, syarikat ini turut terpalit kenangan pahit melibatkan pesawat kendaliannya.

Pada Disember 1977, MAS terlibat nahas pertama apabila pesawat MH653 terhempas di Tanjong Kupang, Johor dan mengorbankan 100 nyawa.

Manakala pada September 1995, 34 orang terbunuh dan sembilan lagi cedera selepas pesawat Fokker 50 terhempas ketika cuba mendarat di landasan Lapangan Terbang Tawau, Sabah.

Pesawat dilaporkan terlajak dan terhempas lalu merempuh 20 rumah setinggan di Kampung Seri Menanti terletak berhampiran lapangan terbang.

Kini, MAS sekali lagi diuji apabila pesawat MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing tiba-tiba hilang. Ada mengaitkan kes ini dengan kehilangan Air France AF447 ekoran kesukaran pasukan mencari dan menyelamat (SAR) untuk mengesan pesawat terbabitPesawat membawa 227 orang penumpang dan 12 anak kapal dikatakan terputus hubungan dengan menara kawalan pada jam 2.40 pagi, dua jam selepas ia berlepas.

Sehingga kini, usaha mencari masih giat dijalankan diiringi bantuan dari lebih 15 negara yang menghantar pelbagai jenis pesawat canggih mereka untuk mengesan pesawat malang terbabit.

5 KEHILANGAN MISTERI DI UDARA

Amelia Earhart

Juruterbang wanita pertama dunia Amelia Earhart hilang ketika cuba melakukan penerbangan bersejarah merentasi Lautan Pasifik dan mengelilingi dunia bersama juru pandu Fred Noonan menaiki pesawat Lockheed Model 10 Electra.

Sejak terputus hubungan 3 Julai 1937, misi mencari dihentikan secara rasmi pada 18 Julai. Amelia disahkan meninggal dunia pada 5 Januari 1939 setelah usaha mencari gagal.

Air France AF447 

1 Jun 2009, pesawat Air France AF447 jenis Airbus A330-203 dari Rio de Janeiro, Brazil ke Paris, Perancis terhempas di  Lautan Atlantik menyebabkan 228 orang terbunuh.

Beberapa hari selepas itu, beberapa serpihan ditemui dan dua tahun kemudian, kotak hitam dan lain-lain serpihan pesawat ditemui terdampar di dasar lautan pada kedalaman antara 3,800 hingga 4,000 meter.

Penerbangan EgyptAir 990 

Penerbangan dari John F. Kennedy di New York ke Kaherah pada 31 Oktober terhempas di Lautan Atlantik dan membunuh 217 penumpang. Menerusi penyelidikan, As membuat kesimpulan pemandu juru terbang sengaja menghempaskan pesawat sebagai tindakan membalas dendam kerana pernah ditegur atas kesalahan salah laku seksual.

Segi tiga Bermuda
Puluhan kapal dan pesawat dilaporkan hilang tanpa dapat dikesan di kawasan berbentuk segi tiga antara Florida, Bermuda dan Puerto Rico.

Penerbangan 19 yang menggunakan pesawat pengebom TBM Avenger antara yang hilang pada 5 Disember 1045, di perairan Lautan Atlantik ini.

Steve Fosset

Steve Fossett, seorang ahli perniagaan dilaporkan hilang pada 3 September 2007 ketika terbang melalui Great  Basin Desert di Nevada. Usaha mencari Peronda Udara Awam (CAP) dihentikan pada 2 Oktober.

Fossett disahkan meninggal dunia pada 15 Februari 2008.

NAHAS PESAWAT 2014
13 Mac

Sekurang-kurangnya enam penumpang maut dalam nahas pesawat ambulans di wilayah tengah  Meta di Colombia berhampiran Lapangan Terbang Vanguardia.

Ketika kejadian pesawat sedang dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Bogota El Dorado ke Solano. Menurut saksi, pesawat terbakar sebelum terhempas.

11 Mac 

Igor Novodran, 52, terbunuh dalam nahas pesawat di Lapangan Terbang Washington Country selepas pesawat satu tempat duduk dinaiki terhempas di landasan sekitar jam 2.10 petang waktu tempatan.

9 Mac 

Kegagalan cubaan mendarat di Lapangan Terbang Aspen Pitkin-Country mengorbankan juru terbang dan mencederakan dua penumpang.  Jet dengan enjin berkembar 1994 Canadair Challenger berdepan angin
kencang semasa menghampiri lapangan terbang di Colorado barat menyebabkan ia terpaksa membuat cubaan pendaratan kedua.

16 Februari 2014 

Kesemua 18 penumpang maut selepas pesawat kecil dinaiki terhempas akibat cuaca buruk di sebuah gunung yang dilitupi salji  tebal di Nepal. Pesawat membawa 15 penumpang dan tiga orang anak kapal sedang dalam perjalanan dari Pokhara ke Jamia.

11 Februari 2014

Pesawat C-130 Hercules milik tentera Algeria membawa tentera dan keluarga terhempas berhampiran Ouled Gacem di timur negara  terbabit. Hanya seorang terselamat manakala 77 yang lain terbunuh sekali gus menjadikan insiden tersebut nahas udara paling teruk di Afrika Utara dalam tempoh 10 tahun.

DRAMA TRGEDI

Ugut bom pesawat

Bulan lalu, tindakan bijak juru terbang Boeing 737-800 Pegasus Airlines bersama anak kapal berjaya menyelamatkan pesawat dari Kharkiv, Turki daripada dirampas seorang lelaki Ukraine yang mengancam akan meletupkan bom dibawa di dalam beg.

Suspek berusia 45 tahun memaksa pesawat dengan 110 penumpang mengubah haluan penerbangan ke Sochi, yang merupakan tempat berlangsungnya Sukan Olimpik Musim Sejuk di Rusia.

Sebelum memasuki ruang udara di Turki, juru terbang berjaya memberi maklumat kepada Pusat Kawalan Tentera Udara Turki tentang cubaan rampasan dan pesawat pejuang F-16 dikerah bagi mengiringi pesawat tersebut. Pesawat akhirnya selamat mendarat ke destinasi asal di lapangan terbang di Sabiha Gokcen, Istanbul.

Kegagalan mekanikal punca 520 maut 

Pada 12 Ogos 1985, 520 penumpang terbunuh selepas pesawat Japan Airlines dari Lapangan Terbang Antarabangsa Tokyo (dahulu Lapangan Terbang Haneda) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Osaka
mengalami masalah mekanikal 12 minit selepas ia berlepas.

Selepas 32 minit, Boeing 747SR terhempas di antara dua rabung di Gunung Takamagahara di Ueno, wilayah Gunma kira-kira 100 kilometer dari
Tokyo dan Osutaka Ridge berhampiran Gunung Osutaka.

Insiden menyebabkan 15 anak kapal bersama 505 daripada 509 penumpang keseleruhan terbunuh. Hanya empat penumpang terselamat dalam nahas terbabit.

Rampas pesawat untuk perlindungan politik

Pembantu juru terbang pesawat Ethiopia Airlines Boeing 767-300 dalam penerbangan dari Addis Ababa ke Rom ditahan selepas melakukan rampasan pesawat sebelum mendarat di Switzerland.

Suspek dikenali sebagai Hailemedehin Abera Tagegn menunggu sehingga juru terbang ke tandas sebelum bertindak mengunci dirinya di dalam kokpit.

Selepas selamat mendarat di Lapangan Terbang Geneva, dia dikatakan meminta perlindungan politik di Switzerland. Bagaimanapun, kesemua 202 penumpang dan anak kapal selamat.

Pesawat dijadual meninggalkan ibu negara Ethiopia pada pukul 3 pagi waktu tempatan dan tiba di Rom pada 4.40 pagi . Selepas merampas pesawat, suspek dipercayai membuat panggilan radio ke Geneva eminta kebenaran untuk mengisi bahan api sebelum mematikan penggera sekali gus menunjukkan pesawat telah dirampas.

Malah, suspek turut mengugut untuk menghempaskan pesawat. Dua jet pejuang Perancis dihantar mengiringi pesawat terbabit kerana telah melintasi Eropah. Pada jam 6 pagi waktu tempatan, pesawat itu  membuat pendaratan tidak berjadual di Geneva.
-SH

‘Mangkuk ayam’ dilelong RM131 juta


“Mangkuk ayam” Chenghua dibuat dalam kuantiti yang sangat sedikit dan kini hanya tinggal empat sahaja dalam simpanan pemilik persendirian.
Hanya beberapa muzium di seluruh dunia yang mempunyai replika mangkuk berkenaan termasuk Muzium London, Muzium British dan Muzium Victoria and Albert.

Mangkuk yang sangat eksklusif itu dijangka memecahkan rekod harga jualan apabila ia dilelong di Hong Kong bulan depan.
Foto
MANGKUK ayam yang akan dilelong bulan depan.

Foto
BAHAGIAN bawah mangkuk berkenaan.

Timbalan Pengerusi Sotheby's Asia, Nicolas Chow berkata: “Ia satu penghargaan buat kami untuk menawar melelong ‘mangkuk ayam’, 15 tahun selepas mencatatkan rekod seni China pada 1999.”

Sejak dibuat pada zaman Dinasti Ming, ‘mangkuk ayam’ Chenghua mendapat pujian ramai dan sangat dihargai Maharaja dan pencinta artifak.

Mangkuk itu dibuat di wilayah Chenhua antara tahun 1465-1487 dan kemudian dibuat semula ketika pemerintahan Dinasti Ming, 1368-1644 dan Dinasti Qing, 1644-1911.

Ia akan mula dilelong di Jualan Musim Bunga Hasil Seni dan Seramik Halus China pada 8 April di Pusat Konvensyen dan Pameran Hong Kong.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/18

Lelaki diserang bakteria pemakan daging


Alex Lewis kini kehilangan anggota badan dan bibir akibat dimakan bakteria pemakan daging. - AGENSI
LONDON 17 Mac - ‘Berat mata me mandang, berat lagi bahu memikul', itulah penderitaan yang terpaksa ditanggung seorang bapa muda dari Britain yang kehilangan anggota badan dan kulit di bahagian mukanya akibat dimakan kuman pemakan daging.
Alex Lewis, 34, dari Stockbridge, dekat daerah Hampshire kehilangan kedua-dua belah kakinya, sementara lengan kirinya dipotong selepas kaki, hujung jari, lengan, bibir, hidung dan sebahagian telinganya bertukar menjadi kehitam-hitaman.
Akibat penyakit itu, beberapa organ utama bapa kepada seorang anak tersebut tidak berfungsi sehingga menyebabkan dia koma selama seminggu akibat bakteria pembawa maut yang menyerang tubuhnya.
Mail Online melaporkan, mimpi ngeri buat Lewis bermula empat bulan lalu selepas dia menghidap selesema.
Lebih malang, ketika simptom yang melanda Lewis semakin teruk, doktor di Hospital Royal County di Winchester, Hampshire tidak lama selepas itu mengesan darah lelaki tersebut dijangkiti streptokokus Kumpulan A, bakteria yang biasanya tidak berbahaya.
Doktor kemudian mendiagnos Lewis menghidap septisemia, selepas bakteria itu dikesan berada dalam darahnya dan sindrom kejutan toksik dengan doktor memberi amaran bahawa dia hanya mempunyai peluang tiga peratus untuk hidup.
Bagaimanapun, menurut doktor, dia hanya mempunyai satu cara untuk terus hidup iaitu dengan pembedahan membuang anggota badannya pada Januari lalu.
Kini, menurut Lewis, dia berharap akan dapat berjalan semula menggunakan kaki palsu selepas mengharungi kehidupan yang mencabar itu. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140318/lu_06/Lelaki-diserang-bakteria-pemakan-daging#ixzz2wGIh78yk
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Monday, March 17, 2014

48 tahun tak sedar peluru dalam hidung

Amazing find... Mrs Zhao shows the bullet extracted from her head.
Tiny... A close-up of the bullet alongside a coin.
Lioning: Doktor minggu lalu berjaya mengeluarkan sebutir peluru yang berada dalam hidung seorang wanita sejak 48 tahun lalu.

Wanita berkenaan sebelum ini tidak pernah tahu mengenai kehadiran peluru berukuran 2.5 sentimeter itu dalam hidungnya.


Ia dikeluarkan doktor di Hospital Universiti Perubatan China di Shenyang dari kepala Zhao, 62, selepas dia mengalami resdung yang kronik, sakit kepala dan limpa bengkak selama lebih 10 tahun.

Dia mulanya menyangka kesakitan itu disebabkan batu kecil yang terdapat dalam rongga kanan hidungnya.


Zhao kemudiannya mendapatkan pemeriksaan lanjut apabila tidak mampu lagi menahan kesakitan yang di alami dan ketika itulah doktor mengesan peluru berkenaan di dalam hidungnya.


Zhao berkata, suatu ketika dahulu dia pernah terkena peluru sesat sewaktu masih kanak-kanak tetapi hanya merasa sedikit kesakitan dan membiarkannya.

Doktor percaya peluru itu beralih dan tersekat di hidung wanita itu, mengelak daripada terkena otaknya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/17

Motosikal tulang haiwan


Reese Moore, 65, dari Orange City mempunyai kemahiran unik menggunakan tulang binatang untuk membina replika motosikal selama lebih 10 tahun..
Rekaan terbarunya yang di beri nama Cowasaki akan mula dipamerkan di bilik pameran Ormond Beach sebagai sebahagian daripada Minggu Motosikal 2014

Replika bernilai AS$ 55,000 (RM 180,372) itu dibuat daripada tengkorak lembu, tulang buaya, rakun dan khinzir.
Foto
REPLIKA motosikal yang diperbuat daripada tulang haiwan.

“Saya suka menggunakan tulang dalam hasil kerja saya,” kata Reese.

Lelaki itu tidak pernah menunggang motosikal apatah lagi motosikal yang dibinanya kerana ia hanya replika dan bukan untuk digunakan.

Dia mula membina replika motosikal itu apabila dia cuba melakukan sesuatu yang hebat untuk anaknya pada hari Halloween dengan membuat replika dinosaur dari tulang binatang. 

Apabila rakannya meminta dia membuatkan satu untuknya, dia membuat sesuatu yang lebih baik.

“Pada mulanya saya cuma bergurau dengan mengatakan saya akan membuat motosikal untuk Minggu Motosikal, dan saya anggap itu sebagai satu cabaran buat saya,” katanya. Dalam kira-kira tiga atau empat hari kemudian saya menghubunginya untuk memberitahu ia sudah siap,” katanya.

Rekaan terbaru Reese itu kini dipamerkan untuk jualan di Dunn's Attic & Auction House. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/17

Empat hari dalam keranda


Shanghai: Seorang lelaki berusia 50 tahun bernasib baik kerana masih hidup selepas terperangkap dalam keranda di sebuah tanah perkuburan awam selama empat hari.

Lelaki berkenaan berkata, dia terpaksa minum air kencingnya sendiri untuk mengelak daripada mati.


Lelaki yang hanya dikenali sebagai Chien diselamatkan Khamis lalu apabila satu pasangan yang melawat tanah perkuburan awam Pifeng di daerah Nantao itu terdengar jeritan meminta tolong dari keranda berhampiran.



Polis dan bomba dikejarkan ke tempat kejadian untuk membuka keranda itu dan mendapati lelaki terbabit di dalamnya dengan pakaian berlumpur.


Chien memberi kenyataan yang mengelirukan kepada polis mengenai bagaimana dia boleh terperangkap dalam keranda itu. Pada mulanya dia berkata kawannya meletakkan dia di situ tetapi selepas itu memberitahu dia terjatuh ke dalamnya kerana mabuk.


Dia gagal menerangkan bagaimana keranda itu boleh tertutup.

Chien memberitahu dia ketakutan apabila tersedar.


Dia cuba untuk meminta bantuan dan membuka penutup keranda itu tetapi tidak berjaya.

Dia mengalami dehidrasi selepas sekian lama berada di dalam keranda berkenaan tetapi bernasib baik kerana dapat menggunakan beg plastik yang ditemui dalam poketnya bagi diisi air kencingnya untuk diminum.


Chien berada di dalam keranda itu selama empat hari tanpa boleh menggerakkan badannya dan merasakan dia akan mati sebelum sempat diselamatkan.


Namun keajaiban terjadi apabila hujan ribut yang berlaku mengalirkan air melalui celah keranda membolehkan dia minum. Apabila mendengar suara orang berhampiran Khamis lalu, dia menjerit sekuat hati dan yakin dia akan diselamatkan selepas mendengar bunyi tapak kaki menuju dan anjing menyalak ke arahnya.


Doktor berkata Chien kini berada dalam keadaan stabil. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/17

Aligator hidangan untuk tetamu



SEORANG tetamu merakamkan gambar aligator yang telah dimasak.


NEW YORK - Seorang cef terkenal, Gene Rurka mengetuai satu pasukan untuk menghasilkan makanan unik di Hotel Waldorf Astoria di sini kelmarin.
Rurka dibantu oleh 40 tukang masak bagi menyediakan makanan unik itu yang melibatkan masakan serangga, organ haiwan seperti kemaluan kambing dan labah-labah tarantula.
Tukang masak itu turut memasak lipas dan aligator untuk para tetamu pada majlis makan malam Kelab Penjelajah kali ke-110.
Aligator merupakan reptilia besar yang bentuknya seperti buaya.
Pada kebiasaannya ia terdapat di tasik dan sungai.
Pengerusi syarikat Amazon, Jeff Bezos turut menghadiri majlis makan malam itu.
Dia turut menikmati makanan lipas yang dimasak oleh Rurka dan pasukan memasaknya.
Kuih coklat yang dihidangkan bersama larva turut disediakan untuk para tetamu. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0317&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2wAOQ4M4l 
Hakcipta terpelihara 

Sunday, March 16, 2014

Paku kepala sendiri

Foto
GAMBAR dari sinar-X menunjukkan paku dalam kepala lelaki berkenaan.
Foto
KEADAAN kepala lelaki terbabit selepas paku itu dicabut
Fujian: Seorang lelaki yang mendakwa memaku kepalanya sendiri dengan tiga paku berukuran 10 sentimeter terpaksa menjalani pembedahan mengeluarkan paku itu dari tempurung kepalanya.

Lelaki berusia 69 tahun dan berasal dari wilayah Fujian itu dikejarkan ke hospital selepas kejadian itu dan menjalani rawatan sejak hujung tahun lalu.

Dia yang mendakwa melakukan perkara itu sendiri dan merayu pihak hospital tidak melaporkan kecederaannya itu kepada polis.

Doktor percaya perkara itu dilakukan orang lain ke atasnya memandangkan kecederaan yang dialami.




Doktor berjaya mengeluarkan paku itu melalui pembedahan dan lelaki berkenaan terpaksa menjalani rawatan selama tiga bulan di hospital sebelum dibenarkan keluar Khamis lalu selepas doktor mendapati dia sembuh sepenuhnya.




Kejadian seumpama itu bukanlah kali pertama berlaku di China. Dalam satu kes awal tahun ini, doktor mengeluarkan paku berukuran tujuh sentimeter dari tempurung kepala seorang lelaki di Nanjing.

Menurut laporan, paku itu tertusuk di kepala Yang, 55, akibat kemalangan yang berlaku ketika dia menghias rumah.

Bagaimanapun, dia tidak menyedari perkara itu sehingga dia merasa kesakitan keesokan harinya.

Yang dilaporkan sembuh sepenuhnya dan tidak mengalami sebarang gangguan pada penglihatan atau kerosakan saraf.- Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/16

Pancing toman dapat buaya

Muar : Seorang pemancing yang menyangkakan umpan pancingnya diragut ikan toman terkejut apabila mendapati seekor buaya sepanjang kira-kira dua meter yang tersangkut pada mata kail di sungai di Kampung Parit Bugis, di sini, semalam.
Kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, menyebabkan Kalit Morsid, 55, terpaksa meminta bantuan rakan pemancing lain serta penduduk setempat untuk membantu menaikkan reptilia itu.
Sebaik berjaya dinaikkan, Kalit dibantu orang ramai mengikat buaya berkenaan supaya tidak bertindak agresif.
Foto
BUAYA yang berjaya dipancing Kalit. FOTO Ihsan pembaca Metro
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/16

Air di bawah lapisan mantel


2014/03/16

Ottawa: Sekumpulan saintis menemui simpanan air di bawah lapisan mantel kerak Bumi dan mereka menjangkakan simpanan air itu mungkin lebih besar berbanding gabungan semua lautan di seluruh dunia.

Penyelidik Kanada terbabit berkata analisis terhadap titik mineral yang jarang dijumpai itu mendapati ia mempunyai simpanan air yang banyak pada kedalaman kira-kira 400 hingga 600 kilometer di bawah permukaan bumi.


Penemuan itu seolah-olah mengimbau kembali novel berusia 150 tahun, iaitu “Journey to the Centre of the Earth’. Penulis sains fiksyen Perancis novel itu, Jules Verne menggambarkan sebuah lautan yang terbentang luas di bawah permukaan planet kita.

Bukti penemuan itu berasaskan kepada mineral berkait air yang dipanggil ‘ringwoodite’. Ia berpunca daripada lapisan di antara permukaan atas dan bawah mantel Bumi, menurut penyelidik terbabit dalam jurnal Nature. - AGENSI

AS gesa Thai lindungi pencari suaka Uighur

AS gesa Thai lindungi pencari suaka Uighur
 Pencari suaka mengaku sebagai warga Turki ketika ditahan. 
16 Mac 2014

WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Kementerian Luar Amerika Syarikat (AS) mendesak Thailand supaya melindungi pencari suaka dari etnik minoriti Islam, Uighur yang melarikan diri ke negara itu, semalam.

Kesemua 200 pencari suaka itu disahkan berasal dari wilayah Xinjing, barat China.
Jurucakap Menteri Luar AS Marie Harf berkata, Thailand juga harus memenuhi segala keperluan pencari suaka sejajar dengan garis panduan hak asasi manusia.

Terdahulu, China mendesak Kemboja, Malaysia dan Pakistan supaya menghantar semula kesemua pencari suaka itu.

Namun, sejurus arahan dikeluarkan mereka bertindak melarikan ke Thailand.

Kini, negara itu makin terhimpit dengan desakan AS memandangkan mereka mempunyai hubungan rapat dengan China.

Kelmarin, polis Thailand menahan ratusan pencari suaka dalam operasi di sebuah kampung di wilayah selatan Thailand menurut laporan AP.

Lelaki ada ketumbuhan di kemaluan mati


Foto
Wesley Warren Jr, 49, yang menderita masalah ketumbuhan seberat hampir 60 kilogram hingga menyebabkan kemaluannya membesar dimasukkan ke hospital bagi menjalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan itu pada April tahun lalu. 
Rakannya, Joey Hurtado berkata punca sebenar kematian masih belum dikenal pasti. 

Dia memberitahu, Wesley juga sudah dua kali diserang sakit jantung baru-baru ini ketika berada di hospital.

“Dia berada di hospital selama hampir enam minggu dan mengalami jangkitan yang saya rasa berpunca daripada kencing manis yang dihadapinya sebelum diserang sakit jantung,” katanya.

Joey juga memberitahu media dia tidak menganggap pembedahan membuang ketumbuhan rakannya itu punca kematian. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/16

Osama ditembak ratusan das


Los Angeles: Sumber terbaru semalam mendedahkan pemimpin al-Qaeda, Osama Bin Laden ditembak lebih seratus kali dalam operasi membunuhnya pada 2011.

Laporan terbaru daripada satu laman web yang terkenal dalam kalangan perisik dan perkhidmatan bersenjata mendakwa, bilangan das yang ditembak untuk membunuh Osama adalah punca Amerika Syarikat enggan menyiarkan gambar mayatnya.

Dengan memetik dua sumber sulit, Laporan Situasi Operasi Khas Tentera mendedahkan bagaimana askar Amerika yang terbabit dalam pembunuhan itu bergilir-gilir melepaskan tembakan dengan menyasarkan mayat Osama.

Menurut laman itu, meskipun anggota komando tentera laut Amerika Syarikat merasakan tidak bersalah dari segi ‘moral, undang-undang dan etika’ untuk menembak pemimpin al-Qaeda itu berulang kali bagi memastikan dia benar-benar mati dan tidak lagi menjadi ancaman, tindakan mereka hingga menghancurkan mayat Osama adalah tidak wajar.

“Apa yang berlaku dalam serbuan terhadap Osama adalah melampaui batas.

Perbuatan mereka jelas bukan untuk memastikan Osama tidak lagi menjadi ancaman tetapi hanya untuk memuaskan hati mereka,” kata pengarang laporan berkenaan, Jack Murphy.

Selepas pembunuhan itu, Presiden Barack Obama dan pentadbirannya berkata, mereka mempunyai alasan untuk tidak mendedahkan gambar mayat Osama atau langkah mengebumikannya di laut.

Alasan mereka kononnya supaya ia tidak dijadikan propaganda oleh al-Qaeda.

Teori baru menunjukkan, mereka cuba mengelak daripada sebarang tindak balas kerana keganasan melampau dalam pembunuhan Osama.

Butir mengenai misi sulit itu terbongkar daklam buku anggota keenam pasukan komando Amerika yang terbabit dalam operasi itu, Mark Bissonnette.

Dalam buku No Easy Day itu, Bissonnette menulis: “Ketika dia (Osama) nazak, saya dan seorang anggota lain membidik senjata kami ke arah dadanya dan melepaskan tembakan.

“Sudah menjadi perkara biasa dalam kalangan tentera Amerika Syarikat untuk melakukan kekejaman seperti itu,” kata Murphy.- Agensi

Pelajar dirasuk berkelakuan aneh


Orang ramai termasuk guru melihat beberapa murid Sekolah Gongseng 1 berkelakuan aneh seperti ular, monyet dan pocong, dipercayai akibat dirasuk di Jombang, Jawa Timur.
JOMBANG, Jawa Timur - Sekumpulan murid lelaki Sekolah Rendah Gongseng 1 di sini, berkelakuan pelik apabila beraksi seperti ular, monyet dan pocong dipercayai akibat dirasuk.
Dalam kejadian tersebut, kira-kira 12 murid berkenaan berlari seperti terkena histeria selama 15 minit dan hanya mampu disaksikan oleh orang ramai termasuk guru sekolah.
Bagaimanapun ketibaan beberapa orang lelaki dipercayai pakar dalam hal paranormal, berjaya meredakan keadaan dengan menuang sejenis minyak wangi ke atas semua mangsa rasukan.
Sebaik sahaja terkena minyak wangi itu, kesemua mangsa terus menjadi lemah dan diberikan rawatan lanjut oleh pihak sekolah.
Guru besar sekolah terbabit, Mashudi berkata, kejadian rasukan itu berlaku secara tiba-tiba ketika proses pembelajaran di kelas.
Mashudi berkata, insiden itu bermula sejak tiga hari lalu apabila seorang murid bernama Roihul Hulam menjerit secara tiba-tiba dan badannya menjadi kejang selain matanya seperti mahu tersembul keluar.
Jelasnya, guru yang mengajar Roihul cuba menenangkan mangsa, namun beberapa murid lain seperti ‘terjangkit’ dan melakukan pelbagai gaya aneh seolah-olah sedang dirasuk.
“Kejadian ini berlaku selama tiga hari dan mangsa dirasuk secara bergilir-gilir.
“Pihak sekolah menghubungi individu yang pakar dalam hal paranormal dikenali sebagai Mbah Lembang untuk menangani masalah tersebut," katanya kepada beritajatim.com.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140315/lu_06/Pelajar-dirasuk-berkelakuan-aneh#ixzz2w4WLpysW
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Saturday, March 15, 2014

Rumah pokok unik

Rumah pokok unik
 Apartmen ini direka hasil cetusan idea pereka Perancis dan Jepun. 
15 Mac 2014
SEBUAH apartmen setinggi 17 tingkat menyerupai pokok gergasi dan berlatarbelakangkan pemandangan gunung serta pantai akan dibina di Montpellier, selatan Perancis.

Projek L'Arbre Blanc atau The White Tree hasil kerjasama pereka tempatan dan Jepun yang menggabungkan seni arkitek abad ke-21 itu diilhamkan dari imej pokok sebenar.

Premis tersebut akan dilengkapi 120 unit kediaman dengan balkoni yang mengunjur ke luar pada arah berbeza seperti dahan pokok.

Selain itu, beberapa unit pejabat, restoran dan galeri seni juga bakal dibina bagi menarik lebih ramai pengunjung ke menara setinggi 56 meter tersebut.

Gizmodo.com.au melaporkan setiap apartmen itu turut menyediakan ruang balkoni terbuka untuk penduduk menikmati udara segar.

Difahamkan menurut DailyMail, projek pembinaan The White Tree akan bermula pada Julai 2015 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Disember 2017.

Nasib mangsa Agen Oren

Nasib mangsa Agen Oren
Puluhan kanak-kanak di rumah anak yatim ini mengalami kecacatan fizikal dan mental. 
15 Mac 2014
SEKUMPULAN kanak-kanak cacat ditempatkan di sebuah rumah anak yatim di luar Ho Chi Minh selepas ditinggalkan tanpa perikemanusiaan oleh ibu bapa mereka.

Puluhan budak itu adalah antara ribuan mangsa yang terpaksa menanggung derita akibat daripada penggunaan senjata kimia oleh Amerika Syarikat (AS) ketika Perang Vietnam antara 1962 dan 1971.

Kebanyakan mereka mengalami kecacatan fizikal dan mental sejak lahir dan ia berpunca daripada racun terbabit yang disemburkan pesawat AS lebih 50 tahun lalu, namun kesannya berlarutan hingga kini.

Difahamkan, kesemua kanak-kanak tersebut dijaga secara bergilir-gilir oleh kumpulan sukarelawan.

Seorang jurugambar dari Illinois yang merakamkan keadaan kanak-kanak di rumah yatim tersebut melahirkan rasa kecewa kerana Washington masih belum mengambil sebarang tindakan untuk membela nasib mangsa Agen Oren.

"AS sepatutnya bertanggungjawab dalam hal ini dan mereka perlu menyalurkan bantuan untuk meringankan beban penduduk di Vietnam," kata Matt Lief Anderson.

Menurut laporan Palang Merah Vietnam kepada Daily Mail, kira-kira sejuta penduduk menderita pelbagai penyakit manakala 150,000 kanak-kanak dilahirkan cacat akibat senjata kimia digunakan AS lebih lima dekad lalu.

Bintang kuning gergasi ditemui

Bintang kuning gergasi ditemui
Bintang kuning gergasi seperti HR 5171 A ini jarang ditemui dalam galaksi Bima Sakti. 
14 Mac 2014
PARIS - Ahli astronomi menemui bintang kuning gergasi di dalam galaksi Bima Sakti dan didakwa berukuran 1,300 kali ganda lebih besar dari matahari.

Menurut saintis di Observatoire de la Cote d'Azur di Nice, bintang HR 5171 A yang disenaraikan sebagai 10 bintang gergasi itu juga adalah sejuta kali ganda lebih terang daripada matahari.

"Walaupun terletak hampir 12,000 tahun cahaya dari bumi, objek tersebut masih dapat dilihat dengan mata kasar. Kedudukan bintang berkembar itu sangat rapat dan ia seakan menyentuh seluruh sistem serta menyerupai seperti kacang gergasi," kata Olivier Chesneau kepada AFP.

Kumpulan saintis tersebut menganggarkan, HR 5171 A adalah 50 peratus lebih besar dari bintang merah gergasi Betelgeuse.

Difahamkan, penemuan bintang gergasi baharu itu dibuat menggunakan Very Large Telescope Interferometer (VLTI) di Balai Pencerap Eropah Selatan di Paranal di Chile.