Pages

Monday, March 17, 2014

Empat hari dalam keranda


Shanghai: Seorang lelaki berusia 50 tahun bernasib baik kerana masih hidup selepas terperangkap dalam keranda di sebuah tanah perkuburan awam selama empat hari.

Lelaki berkenaan berkata, dia terpaksa minum air kencingnya sendiri untuk mengelak daripada mati.


Lelaki yang hanya dikenali sebagai Chien diselamatkan Khamis lalu apabila satu pasangan yang melawat tanah perkuburan awam Pifeng di daerah Nantao itu terdengar jeritan meminta tolong dari keranda berhampiran.



Polis dan bomba dikejarkan ke tempat kejadian untuk membuka keranda itu dan mendapati lelaki terbabit di dalamnya dengan pakaian berlumpur.


Chien memberi kenyataan yang mengelirukan kepada polis mengenai bagaimana dia boleh terperangkap dalam keranda itu. Pada mulanya dia berkata kawannya meletakkan dia di situ tetapi selepas itu memberitahu dia terjatuh ke dalamnya kerana mabuk.


Dia gagal menerangkan bagaimana keranda itu boleh tertutup.

Chien memberitahu dia ketakutan apabila tersedar.


Dia cuba untuk meminta bantuan dan membuka penutup keranda itu tetapi tidak berjaya.

Dia mengalami dehidrasi selepas sekian lama berada di dalam keranda berkenaan tetapi bernasib baik kerana dapat menggunakan beg plastik yang ditemui dalam poketnya bagi diisi air kencingnya untuk diminum.


Chien berada di dalam keranda itu selama empat hari tanpa boleh menggerakkan badannya dan merasakan dia akan mati sebelum sempat diselamatkan.


Namun keajaiban terjadi apabila hujan ribut yang berlaku mengalirkan air melalui celah keranda membolehkan dia minum. Apabila mendengar suara orang berhampiran Khamis lalu, dia menjerit sekuat hati dan yakin dia akan diselamatkan selepas mendengar bunyi tapak kaki menuju dan anjing menyalak ke arahnya.


Doktor berkata Chien kini berada dalam keadaan stabil. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/17

No comments: