Pages

Sunday, May 26, 2013

Jurugambar berani mati

Foto
MORGAN sanggup berdepan risiko ketika
 merakamkan fenomena unik ini.
Foto
MORGAN sanggup berdepan risiko menghampiri
laluan lahar membelah batuan yang boleh menyebabkannya
terjatuh apabila struktur batuan menjadi lemah.
Foto
ELEMEN yang digabungkan Morgan di Taman
Gunung Berapi Negara di Hilo, Hawaii.
Foto
ALIRAN lahar GunuAng Berapi Kilauea memasuki
laut sebelum terbit matahari.

Demi minat dan kesungguhannya kepada tugasan merakam gambar ekstrem, Miles Morgan rela berdepan dengan bahaya, selain kehilangan kasut serta sebahagian peralatan kamera.

Jurugambar berasal dari Portland, Oregon di Amerika Syarikat itu menghabiskan masanya sejak beberapa tahun lalu mendaki gunung berapi aktif di Kepulauan Hawaii untuk merakamkan aliran lahar dan asap tebal serta debu yang meletus dari kawahnya.

Di laman sesawang Morgan, jurugambar itu menyatakan dia lahir dalam keluarga yang meminati seni fotografi.

“Sepanjang zaman kanak-kanak sehingga remaja, kamera sentiasa menjadi peneman saya,” katanya.


Pada April 2009, Morgan mula merakamkan gambar landskap pergunungan, tasik, padang pasir tandus dalam skala besar.


Tidak lama dulu, jurugambar berusia 41 tahun itu mengubah minatnya kepada gunung berapi.

Dalam banyak misi, buruan Morgan sering membawanya hanya beberapa inci dari lahar gunung berapi yang berselerak di Hawaii.

Pada satu daripada gambar dirakam itu, Morgan mengambil imej dirinya berdiri hanya beberapa meter dari tebing kawah Gunung Berapi Kilauea tanpa mengenakan sebarang pakaian penahan panas.

Kata Morgan, hobinya itu memang sangat berbahaya.

“Di Hawaii, suhu lahar itu boleh mencecah 1,100 darjah,” katanya.

Memburukkan lagi keadaan, di sesetengah tempat batuan yang lebur dan mengalir itu menyebabkan tapak di sekitarnya menjadi tidak stabil.

Dalam keadaan itu, seseorang boleh terjatuh ke dalam lahar bila-bila masa.
Setiap kali menyiapkan misinya, Morgan sentiasa berdepan dengan ancaman lahar, air panas (akibat lahar yang masuk ke laut) serta gas beracun yang dikeluarkan bersama letusan gunung berapi.

Bagaimanapun, setakat ini dia bernasib baik - berbanding tapak kasut dan kaki kamera yang dibawanya.

Pada Januari 2011 lawatan Morgan ke Hilo, Hawaii membawa dia ke kawasan persendirian di pinggir pantai yang dipenuhi aliran lahar gunung berapi.

Fenomena itu memberi peluang kepada Morgan merakamkan imej istimewa yang memaparkan bagaimana aliran lahar membelah batuan hitam ketika ombak laut melanda pantai.

Dalam ceritanya, Morgan berkata, perhatiannya sentiasa terganggu oleh bau hangit daripada kesan terbakar pada tapak kasut serta peralatan kamera yang dibawa.

“Disebabkan ia kawasan persendirian, saya perlu menggunakan khidmat jurupandu.

“Lebih penting, ada aspek keselamatan yang perlu diberi perhatian dan jurupandu profesional dan berpengalaman dianggap satu kemestian,” katanya.

Hidup semula selepas 3 dekad

Foto
GAMBAR zaman remaja ketika Christine (dua dari kanan) bersama rakan sekelasnya, termasuk Viv (dua dari kiri).
London: Rakan Christine Greenslade terkejut apabila mendapat tahu dia meninggal dunia pada usia baru 34 tahun.
Bagaimanapun, mereka lebih terkejut apabila Christine menghubungi mereka semula untuk menganjurkan pertemuan semula, tiga dekad kemudian. 
Hakikatnya, Christine masih hidup dan menyedari sebuah akhbar tempatan tersilap dalam laporannya kerana mendakwa dia meninggal dunia pada 1980.

Ketika itu sebenarnya ibu Christine, Pamela yang meninggal dunia, tetapi ketika dia menguruskan notis kematian untuk disiarkan dalam akhbar, nama mereka tertukar.


Bagaimanapun, Christine tidak menyedari kesilapan itu dan berpindah ke tempat lain selepas kematian Pamela tanpa memaklumkan perkara itu kepada rakannya di Penzance, Cornwall yang berkabung.

Kekeliruan itu hanya terlerai apabila Christine menelefon rakan lamanya di Penzance untuk mengadakan majlis pertemuan semula baru-baru ini.

Kini berusia 66 tahun dan menetap di Perancis, Christine bersiap sedia melawat rakan zaman persekolahannya.

Kata Christine, ketika kali pertama bercakap dengan rakan karibnya, Viv Albright, dia kedengaran sangat aneh.

“Ia bukan reaksi yang saya jangkakan daripada sahabat lama,” katanya semalam.

Sejurus kemudian, Viv menelefon Christine semula untuk meminta maaf dan memberitahu, mereka menyangka dia meninggal dunia pada 1980.

Christine kemudian mengenang semula detik dia membuat tempahan notis kematian di akhbar tiga dekad lalu.

Katanya, seorang lelaki secara khusus meminta nama penuh ibunya, sebelum bertanya namanya sendiri di akhir perbualan.

“Ketika itu nama saya ialah Christine Downing dan ibu pula Pamela Greenslade.

“Ia kelihatan mustahil untuk kedua-dua nama kami tersilap,” katanya.

Keesokan harinya, notis kematian itu memaparkan “Christine Greenslade menghembuskan nafas terakhir, meninggalkan tiga anak dan seorang suami.”

Untuk kali pertama sejak 33 tahun, Christine akan kembali ke kampung halamannya di Penzance minggu depan.

Ibu kepada dua anak itu berkata, amat menyedihkan apabila mengenangkan ‘kematian’ itu diratapi rakan-rakannya bertahun-tahun.

“Tetapi, saya pasti ada banyak cerita untuk dikongsikan bersama mereka,” katanya.

Notis ‘kematian’ Christine itu disiarkan akhbar mingguan tempatan Penzance, The Cornishman, yang diterbitkan sejak 1878. - Daily Mail

Saturday, May 25, 2013

Lahir anak ketika ‘mati’ sebelum kembali hidup


Austin (Texas): Keluarga seorang guru yang terhenti jantungnya atas sebab tidak diketahui, semalam meraikan keajaiban pemulihan serta kelahiran bayi perempuannya.

Erica Nigrelli yang bertugas sebagai guru bahasa Inggeris, tidak sedarkan diri ketika di sekolahnya pada Mac lalu.


Ketika itu, Erica, 32, sedang hamil 36 minggu.

Tindakan pantas rakan sekerjanya di Sekolah Tinggi Elkins di Missouri City melakukan bantuan pernafasan membolehkan Erica terus mendapat oksigen sehingga dia dapat dipindahkan ke hospital.


Kini Erica dan bayinya yang berusia tiba bulan, Elayna, didapati tidak menghadapi sebarang masalah kesihatan.


Keluarga Erica juga terlalu gembira melihat keadaan itu. Menceritakan pengalamannya, Erica berkata, dia sempat memberitahu rakan sekerja bahawa dia berasa seperti mahu pitam sejurus sebelum dia tidak sedarkan diri. Suami Erica, Nathan Nigrelli yang mengajar di sekolah sama segera dimaklumkan.

Ketika itu, kata Nigrelli, dia mendapati mulut Erica berbuih, matanya terbeliak dan terdengar bunyi mengerang dari kerongkongnya. Pada masa itu juga jantung Erica berhenti berdegup.


Seorang pembantu klinikal, jururawat sekolah dan jurulatih atlet sekolah itu melakukan bantuan pernafasan.

Mereka juga menggunakan defibrillator untuk menggerakkan semula degupan jantung Erica. Dia kemudian dikejarkan ke hospital tempatan oleh pasukan paramedik yang tiba sejurus kemudian.


Di hospital, Erica menjalani pembedahan bagi mengeluarkan bayinya - sebulan lebih awal daripada sepatutnya.


Dalam keadaan begitu, Erica dianggap mati secara klinikal, tetapi dia sedar semula tidak lama kemudian. - DM

Main gitar ketika dibedah

Foto
CARTER mampu bermain gitar kegemarannya semasa pembedahan otak dijalankan.
Los Angeles: Sebuah hospital semalam mencipta sejarah kerana menyiarkan secara langsung pembedahan otak pesakit mereka melalui kemudahan perkongsian video terkini Twitter, Vine.
Melalui siaran langsung itu, orang ramai dapat melihat Brad Carter, 39, gembira memetik gitar di atas katil ketika doktor membedah kepalanya. Dalam pembedahan itu, pakar bedah memasukkan perentak (pacemaker) ke otak Carter bagi mengatasi kesan penyakit Parkinson dialaminya. Tidak sesuai untuk orang yang lemah semangat, tweet mengenai pembedahan itu turut disertakan dengan video memaparkan setiap tahap prosedur berkenaan.

Walaupun klip itu cuma singkat, kandungannya tetap mengerikan. Carter disahkan menghidap Parkinson selepas dia mengalami masalah goyangan tangan tak terkawal pada 2006 yang menyebabkan dia tidak mampu bermain gitarnya. Pembedahan itu membabitkan rangsangan di kawasan otak dan mengimplan perentak otak bagi merawat pergerakan tangan Carter. Ketika pembedahan berlangsung, Carter tidak dibius keseluruhan badan bagi membolehkan dia bermain gitar dan membantu doktor meletakkan elektrod ke tempat yang tepat. Siaran langsung itu diadakan kerana meraikan pembedahan otak ke-500 di Pusat Perubatan UCLA Ronald Reagan. Ketika kepalanya dibedah, Carter bukan saja boleh bermain gitar, malah mampu menyanyi ketika doktor selesai meletakkan beberapa elektrod ke tempat otaknya. Bercakap kepada kamera, Carter berkata, dia teruja untuk bermain gitar semula.
“Ini adalah lagu asli berjudul Mabuk Kembali,” katanya. - Daily Mail

KISAH MELANIE GEORGIADES



Di tengah-tengah rancak dan kalut nya perdebatan nasional di Perancis berkaitan dengan tudung kepala/jilbab/hijab, seorang rapper Perancis telah mengejutkan semua peminatnya dengan mengumumkan bahawa beliau telah memeluk agama Islam dan memilih untuk mengenakan jilbab.

Mélanie Georgiades, yang juga terkenal dengan panggilan nama "Diam" ini, telah melakukan “transformasi lengkap”.

Sejak tahun 2009, Diam sudah mulai bersara dari aktiviti nyanyian rap, Namun baru-baru ini bekas rapper Perancis itu membuat penampilan baru di televisyen dengan citra barunya.

Diam yang muncul dalam sebuah wawancara TV eksklusif dengan stasyen TV TF1 Perancis, untuk berkongsi tentang pengalaman masa lalu nya ,mengenai keterlibatannya dengan ketagihan ubat-ubatan terlarang, narkotik, dan hingga beliau pernah di masukkan ke rumah sakit jiwa sampai lah ke tahap dia menemui ketenangan dari Islam.

Hidayah ini datang kepadanya secara tidak disengaja,kata nya,pada mula nya dia sangat tertarik ketika melihat seorang teman Muslimnya bersolat.

Diam mengatakan dia telah berkahwin selama lebih dari setahun dan sekarang dia baru sahaja menjadi ibu, dan sudah menjauh dari kehidupan yang bergantung kepada ubat-ubat penenang,ubat-ubat terlarang dan narkotik. Dalam wawancara TV-nya itu dia mengatakan dia “beralih keyakinan ke Islam adalah hasil dari keyakinan peribadinya sendiri , setelah dia memahami dan membaca Al-Quran.”

Ketika ditanya tentang pemakaian jilbab di Perancis, sebuah negara yang telah melarang jilbab itu , dia berkata: “Saya percaya bahawa saya hidup dalam masyarakat yang toleransi, dan saya tidak merasa terluka hati oleh kritikan, ataupun penghinaan dan stereotip negatif. ”

Ditanyakan oleh pewawancara-nya tentang mengapa dia memakai jilbab sementara banyak juga wanita Muslim tidak memakainya dia menjawab: “Saya melihatnya (jilbab itu) sebagai perintah Allah , ini membawa kebahagiaan di hati saya dan bagi saya ini sudah cukup. ”

Diam yang mengatakan bahawa dengan memeluk Islam dia mendapatkan ketenangan dan kedamaian dan bahawa zaman lalu nya sudah tidak sesuai dengan hidupnya lagi, yang saya tahu sekarang saya menjadi tahu apa tujuan keberadaan saya, dan mengapa saya di sini di Bumi Allah ini. ”

Membahas bagaimana hidupnya sebelum menjadi muslimah, Diam mengatakan: “Saya dahulu sangat terkenal dan saya memiliki apa yang setiap orang terkenal miliki, tapi saya selalu menangis dan meratap sendirian di rumah"

Dia menambahkan: “Saya sangat ketagihan ubat-ubatan, termasuk narkotik dan berhalusinasi dan dirawat di rumah sakit jiwa untuk pulih, tapi ini sia-sia sampai saya mendengar salah sseorang teman Muslim saya mengatakan ‘Saya mahu solat dahulu dan akan kembali , jadi saya mengatakan padanya bahawa saya ingin solat juga'.

Mengingati saat itu, Diam itu mengatakan: “itu adalah pertama kalinya saya menyentuh lantai dengan kepala (bersujud) , dan tiba-tiba saya memiliki perasaan yang kuat bahawa saya tidak pernah mengalami (kebahagiaan ini) sebelumnya, dan saya percaya sekarang bahawa berlutut dalam doa, tidak harus dilakukan kepada siapa pun selain untuk Allah. ”

Diam mengatakan bahawa dia pindah ke Mauritius untuk mempelajari Al-Quran, dan memiliki pemahaman yang lebih baik tentang Islam, dan toleransinya Islam.

Sami simbah minyak tanah, bakar diri





KANDY - Seorang sami bertindak membakar diri kerana membantah penyembelihan haiwan ternakan seperti lembu di Sri Lanka.
Insiden itu merupakan yang pertama membabitkan sami Buddha di negara tersebut.
Polis berkata, sami tersebut, Bowatte Indaratane menyimbah minyak tanah dan membakar dirinya dekat sebuah kuil di sini semasa sambutan Hari Wesak.
"Beberapa anggota polis berhampiran bertindak memadamkan api dan membawa sami itu ke hospital," kata jurucakap polis, Buddhika Siriwardena.
"Sebelum membakar diri, sami itu memberitahu, tindakan tersebut bagi memprotes penyembelihan lembu dan kambing," tambahnya.
Menurut polis, sami tersebut kini berada dalam keadaan tenat di sebuah hospital Sri Lanka.
Memakan daging adalah menjadi kebiasaan penduduk Sri Lanka, walaupun agama Buddha melarang penganutnya membunuh haiwan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0525&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2UFwRP3yp 
Hakcipta terpelihara 

Lelaki pikul 'kediaman' ke kampung halaman



Lingchaou memikul kediamannya sambil berjalan kaki di bandar Liuzhou pada Selasa lalu.- REUTERS


BEIJING - Seorang bekas jurujual di China, Liu Lingchaou, membina sebuah kediaman mudah alih untuk berlindung ketika hujan.
Lelaki berusia 38 tahun itu membina rumah unik itu menggunakan bahan binaan ringan seperti buluh dan plastik.
Lingchaou diberhentikan kerja sejak lima tahun yang lalu dan telah diusir keluar dari rumah.
Dia yang menetap di Shenzhen kemudian mengambil keputusan untuk kembali ke kampung halamannya di daerah Rongan, dalam wilayah Guangxi dengan berjalan kaki.
Menurutnya, rumah mudah alih itu membuatkan dia berasa bebas dan membolehkan dia berlindung semasa hujan.
Lingchaou memikul struktur seberat 60 kilogram itu dengan berjalan kaki sejauh 32 kilometer sehari.
Dia mencari dan menjual botol-botol minuman sepanjang perjalanan tersebut untuk menyara dirinya.
Kediaman itu itu dibina selebar 1.5 meter dengan tinggi dua meter.
Dia kini berada 32 kilometer dari kampung halamannya. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0525&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2UFumQr2d 
Hakcipta terpelihara 

Friday, May 24, 2013

Gempa bumi 8.2 skala Richter di pantai timur Rusia


MOSCOW 24 Mei - Satu gempa bumi berukuran 8.2 pada skala Richter melanda perairan pantai timur Rusia, hari ini.
Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, gempa itu berlaku pada kedalaman 620 kilometer di Laut Okhostok dan 390 kilometer dari barat berhampiran bandar Petropavlovsk-Kamchatsky.
Gegaran itu turut dirasai di Petropavlovsk-Kamchatsky, bandar utama di Semenanjung Kamchatka dan pangkalan utama kapal selam nuklear di Pulau Sakhalin.
Sementara itu, pihak berkuasa mengeluarkan amaran akan berlaku Tsunami di Sakhlalin dan Pulau Kurile serta menasihati penduduk untuk berpindah dari kawasan merbahaya tetapi menarik balik amaran berkenaan beberapa minit kemudian. - REUTERS


Artikel Penuh: http://webcache.googleusercontent.com/search?q=cache:http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130524/lu_10/Gempa-bumi-82-skala-Richter-di-pantai-timur-Rusia#ixzz2UMBQVrwu
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Gumpalan bulu dikeluarkan daripada perut harimau


GAMBAR yang disiarkan oleh pusat Veterinar BluePearl menunjukkan gumpalan bulu seberat 1.8 kilogram yang dikeluarkan dari dalam perut Ty kelmarin.


CLEARWATER - Seekor harimau jantan seberat 180 kilogram di Amerika Syarikat terpaksa dibedah bagi mengeluarkan gumpalan bulu sebesar sebiji bola keranjang.
Harimau berusia 17 tahun bernama Ty itu menyisir dengan menjilat bulunya. Haiwan itu tertelan bulu tersebut sejak sekian lama.
Ty menjalani pembedahan tersebut di sebuah pusat veterinar di sini, dalam negeri Florida.
Beberapa doktor berkata, mereka berjaya mengeluarkan gumpalan bulu seberat 1.8 kg itu dari dalam perut Ty.
Dipelihara oleh agensi Penyelamat dan Pemulihan Hidupan Liar, Ty memerlukan pembedahan selepas binatang buas itu tidak makan selama hampir dua minggu.
Doktor-doktor mengesan kehadiran gumpalan bulu itu menggunakan skop dan kamera.
Ty kini beransur pulih selepas menjalani pembedahan tersebut. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0524&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2UABvw7Jf 
Hakcipta terpelihara 

Pendaki Jepun, manusia tertua takluki Gunung Everest



GAMBAR yang dirakam kelmarin menunjukkan Yuichiro Miura (kanan) dan anak lelakinya, Gota sebelum mereka memulakan pendakian ke puncak Everest.


KATMANDU, Nepal - Seorang pendaki gunung berusia 80 tahun dari Jepun menjadi manusia tertua sampai ke puncak Gunung Everest semalam.
Menurut seorang pegawai agensi pendakian Nepal, Yuichiro Miura tiba di puncak gunung tertinggi di dunia itu pada pukul 9.05 pagi waktu tempatan.
"Saya berjaya!" kata Miura melalui telefon kepada agensi penyiaran Jepun, NHK semasa berada di puncak Everest.
"Saya tidak pernah menyangka dapat menakluki gunung ini pada usia 80 tahun," tambahnya.
Dia mendaki bumbung dunia itu dengan dibantu oleh anak lelakinya dan beberapa penunjuk arah tempatan.
Rekod kategori tersebut sebelum ini dipegang oleh warga Nepal, Min Bahadur Sherchan yang menakluki puncak Everest ketika berusia 76 tahun pada 2008.
Rekod Miura juga dijangka tidak akan bertahan lama kerana Sherchan, 81, akan memulakan pendakiannya ke puncak Everest dari bes kem pada minggu depan. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0524&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2UABbpwDH 
Hakcipta terpelihara 

Gaji CEO di Amerika AS$9.7 juta setahun


KETUA Pegawai Eksekutif CBS Corp, Leslie Moonves (kiri) dan isterinya, Julie Chen tiba di majlis makan malam media di White House, Washington DC pada 27 April lalu.


NEW YORK - Pendapatan median Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di Amerika Syarikat (AS) semakin meningkat sejak tiga tahun yang lalu.
Gaji median seseorang CEO di AS pada 2012 adalah sebanyak AS$9.7 juta (RM29.5 juta) setahun, meningkat 6.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Menurut data firma penyelidikan Equilar yang diperoleh agensi berita Associated Press (AS), kenaikan itu antara lain disebabkan oleh peningkatan dalam pasaran saham.
Median adalah nilai pertengahan dengan separuh CEO dalam kumpulan tersebut menerima bayaran lebih tinggi atau lebih rendah.
CEO CBS Corp., Leslie Moonves, memperoleh gaji tahunan tertinggi iaitu sebanyak AS$60.3 juta (RM183.6 juta), diikuti CEO Discovery Communication, David Zaslav di tempat kedua dengan bayaran AS$49.9 juta (RM152 juta).
Pada tahun keempat berturut-turut sejak lima tahun lalu, CEO sektor penjagaan kesihatan menerima gaji median tertinggi sebanyak AS$11.1 juta (RM33.7 juta). Sementara CEO sektor utiliti menerima gaji terendah cuma AS$7.5 juta (RM22.7 juta).
Laporan Equilar turut menyebut bahawa gaji median CEO wanita lebih tinggi daripada CEO lelaki di AS iaitu sebanyak AS$11.2 juta (RM34 juta) berbanding AS$9.6 juta (RM29.1 juta).
CEO Syarikat Mondelez International, Irene Rosenfeld memperoleh gaji CEO wanita tertinggi iaitu mencecah AS$22 juta (RM66.8 juta) pada tahun lalu. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0524&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2UAAwvZOk 
Hakcipta terpelihara