Pages

Wednesday, October 17, 2012

Gempa bumi kuat landa Laut Celebes, Indonesia

KUALA LUMPUR - Gempa bumi kuat dengan magnitud 6.1 pada skala Richter berlaku di Laut Celebes, Indonesia pada 12.42 tengah hari ini.
Gempa itu berpusat pada 4.2 darjah utara dan 124.6 darjah timur, dan 222km barat laut Pulau Talaud, Indonesia dan 677km tenggara Semporna, Sabah, kata Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan hari ini.
Tiada ancaman tsunami kepada Malaysia, menurut kenyataan itu. - Bernama

Waris Raja Richard III tunggu keputusan ujian DNA



GAMBAR fail menunjukkan dua lelaki yang memakai kostum askar pada zaman pertengahan berdiri di lokasi tempat rangka tulang dipercayai milik Raja Richard III ditemui di Leicester pada 12 September lalu.


LONDON - Sekumpulan ahli arkeologi kini menunggu dengan penuh debaran hasil keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang akan menentukan sama ada rangka tulang yang ditemui di dalam lubang di sebuah tempat meletak kereta di Leicester milik bekas pemerintah England, Raja Richard III.
Baginda mangkat pada 1485 semasa menyertai pertempuran menentang tentera Henry Tudor yang kemudian menggantikannya sebagai Raja Henry VII.
Generasi ke-17 anak saudara raja berkenaan, Michael Ibsen, 55, turut menunggu dengan penuh debaran keputusan tersebut kerana dia terlibat dalam ujian itu.
Ibsen yang dilahirkan di Kanada dan berpindah ke London 27 tahun lalu berkata, kekecewaan pastinya akan berlaku jika keputusan ujian tersebut tidak sepadan.
Beliau yang kini bekerja sebagai tukang kayu berharap jika identiti tulang itu sah milik Raja Richard, ia akan membantu memulihkan reputasi baginda.
Sebelum ini, raja itu pernah digambarkan oleh dramatis terkenal, mendiang William Shakespeare sebagai seorang yang suka dengan kuasa dan pernah membunuh dua anak saudaranya bagi membolehkan baginda menjadi pemerintah.
Pendedahan tentang penemuan rangka tulang itu disiarkan media pada September lalu.
Beberapa saintis menyatakan bahawa rangka tulang itu mempunyai kesan kecederaan di tengkorak dan tulang belakang.
Keputusan ujian DNA itu akan diketahui pada Disember depan.
Rangka tulang tersebut ditemui oleh pasukan arkeologi Universiti Leicester.
Beberapa pakar sebelum ini berpendapat bahawa mayat raja tersebut dikebumikan di sebuah gereja di Leicester selepas baginda terbunuh dalam pertempuran itu.
Bagaimanapun, terdapat cerita yang disebarkan pada abad ke-17 bahawa makam raja tersebut digali dan rangka tulangnya dibuang ke sungai. - Agensi

Masjid bersejarah Syria terbakar di Aleppo



KABAKARAN berlaku di Masjid Umayyad di Aleppo pada Sabtu lalu.


ALEPPO - Pertempuran yang berlaku antara tentera Syria dengan para penentang Presiden Bashar Al-Assad telah memusnahkan Masjid Ummayad yang didirikan pada abad ke-13, kata seorang koresponden agensi berita AFP kelmarin.
Kebakaran akibat pertempuran memusnahkan permaidani antik dan perabot kayu yang digunakan untuk menghiasi masjid berkenaan pada Sabtu lalu.
Tiga helai rambut dan sebatang gigi Nabi Muhammad SAW yang terdapat di dalam masjid tersebut telah dicuri.
Bashar dilaporkan mengarahkan pembentukan sebuah panel untuk memantau kerja-kerja pemuliharaan masjid tersebut, lapor agensi berita SANA.
Menurut seorang wartawan AFP, pihak tentera menguasai sepenuhnya kawalan di masjid tersebut.
Bagaimanapun, katanya, para penentang berada di sekitar masjid berkenaan.
Para penentang turut menembak mati seorang jurutera, Mohammed Marwan Jarada yang mengiringi satu jawatankuasa pakar ke masjid tersebut untuk menyaksikan kerosakan kelmarin.
Kehadiran para penentang di sekitar Masjid Ummayad menyebabkan sukar untuk memindahkan jurutera tersebut yang cedera di kaki.
Sementara itu, jet-jet tentera Syria melakukan serangan udara di bandar Idlib dan Aleppo, utara negara tersebut.
Bagaimanapun, para aktivis yang menyokong para penentang berkata, serangan tersebut adalah yang paling buruk sejak minggu lalu.
Dalam perkembangan yang sama, Utusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Lakhdar Brahimi mendesak supaya gencatan senjata diadakan bagi menghormati ketibaan Hari Raya Aidiladha.
Brahimi turut meminta supaya pihak berkuasa Iran membantu memastikan gencatan tersebut berjaya dilakukan.
Lebih 30,000 orang terbunuh ekoran pertempuran yang berlaku antara kumpulan penentang dengan tentera Syria sejak Mac tahun lalu.
Para penentang itu mahu menggulingkan Bashar yang didakwa gagal melakukan pembaharuan politik dan kebebasan bersuara. - Agensi

Tuesday, October 16, 2012

SELAMATKAN DIRIMU DARI RIBA

Dalam buku Historic Crities of the Islamic World, karangan Clifford Edmond (2007) menyebut bahawa kerajaan Turki Uthmaniyah telah menjalinkan hubungan kewangan dengan satu keluarga elit Yahudi dalam urusan perbankan, iaitu keluarga Alvaro Mendez dari Sepanyol. Bank kepunyaan Mendes ini telah menaja banyak projek kerajaan Turki Uthmaniyah sejak 1588.

Kerajaan Islam Turki Uthmaniyah yang berpegang kepada hukum syarak telah melakukan kesilapan pada 1854 dengan menerima pakai sistem riba. Pinjaman berjumlah 8 juta pound sterling itu mewajipkan kerajaan Turki Uthmaniyah membayar bunga sebanyak 10 peratus dalam tempoh setahun. Dengan ini, wajarlah Allah SWT memberikan bala dengan menjatuhkan empayar Islam Turki Uthmaniyah yang telah ingkar dengan ajaran Islam, ditangan diktator Yahudi (juga ahli Freemason) Mustapa Kamal Atarturk pada 1922.

jadikan kisah ini pengajaran,jika mana-mana kerajaan islam yang buat sama macam kerajaan Uthmaniah ini,hubungan ekonomi dengan yahudi ,sistem riba berleluasa dan menjadika yahudi sebagai penasihat ekonomi maka tunggulah saat kehancurannya

...Nur Shuana...

Sekolah Rusia larang murid perempuan Islam pakai tudung


MOSCOW 16 Okt. - Beberapa keluarga Islam tidak membenarkan anak perempuan mereka belajar di sekolah-sekolah di selatan Rusia selepas pihak sekolah melarang pemakaian tudung.
Mufti wilayah Stavropol, Muhammad-Haji Rakhimov semalam berkata, beliau menerima banyak aduan daripada beberapa keluarga yang mendakwa anak perempuan mereka tidak dibenarkan memakai tudung di sekolah.
Katanya, isu tersebut menemui gagal diselesaikan selepas ibu bapa murid dan pihak sekolah enggan mengalah, menyebabkan beberapa murid perempuan tidak hadir ke sekolah selama dua minggu.
"Ibu bapa murid perempuan tidak membenarkan anak mereka ke sekolah dan situasi itu boleh menyebabkan agensi kebajikan kanak-kanak campur tangan," jelasnya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121016/lu_12/Sekolah-Rusia-larang-murid-perempuan-Islam-pakai-tudung#ixzz29UAtjeNj
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Ukiran labu menyeramkan

MENARIK...pelbagai bentuk ukiran Villafane.
MENARIK...pelbagai bentuk ukiran Villafane.
BELLAIRE: Inilah skulptur menyeramkan yang diukir daripada buah labu.
Artis, Ray Villafane dan Andy Bergholtz menghasilkan ciptaan Halloween yang menyeramkan ini di bengkel mereka.
Bekas guru seni, Villafane mula mengukir tanpa sebarang latihan dan hanya meyedari bakatnya selepas menawarkan khidmat mengukir labu kepada seorang muridnya.

Dia kini boleh mengukir buah berkenaan dalam masa hanya dua jam.


Villafane yang berasal dari Bellaire di Michigan, Amerika Syarikat berkata: “Selalunya saya tidak mempunyai idea ukiran yang hendak saya lakukan.

“Saya hanya mulakan ukiran dan idea kreatif itu akan datang.

“Hasilnya tidak semesti apa yang saya kehendaki dan selalu juga saya terpaksa buang labu itu dan memulakan yang baru.

“Labu itu adalah elemen paling penting dalam kerjaya saya. Saya akan mendapatkan kira-kira 50 jenis buah itu sebelum dapat menemui satu yang sesuai untuk diukir.

“Labu terbaik ialah yang lebih berat daripada saiznya. Ini bermakna ia tebal. Anda perlukan labu tebal supaya dapat mengukir imej 3-D daripadanya,” DM

Basikal kadbod dicipta




BASIKAL kadbod Gafni lebih ringan.


MOSHAV AHITUV, Israel - Seorang pencipta Israel, Izhar Gafni mencipta sebuah basikal yang hampir keseluruhan badannya diperbuat daripada kadbod.
Menurut Gafni, basikal itu dihasilkan selepas menjalani banyak ujian.
Beliau yang berusia 50 tahun berkata, pengeluaran basikal itu akan bermula dalam tempoh beberapa bulan lagi dan akan dijual pada harga tidak lebih AS$20 (RM61.17).
"Semasa kami bermula (mencipta basikal tersebut) setahun setengah lalu, orang ramai ketawakan kami. Namun, kini kami menerima sebanyak 12 e-mel pada setiap hari untuk bertanyakan di mana mereka boleh membeli basikal itu," katanya.
Dia mencipta basikal itu di sebuah bengkel di sini.
Gafni meramalkan bahawa pada masa depan, kadbod mungkin digunakan dalam pembuatan kereta dan pesawat.
Kadbod dihasilkan daripada pulpa kayu yang dicipta pada abad ke-19. - Reuters

Kenderaan amfibia dijual di AS




KENDERAAN Quadski dipandu ke arah permukaan air di Oxford, Michigan pada 12 Oktober lalu.


DETROIT - Sebuah kenderaan amfibia yang boleh bergerak di permukaan air dijual di Amerika Syarikat (AS) pada harga AS$40,000 (RM122,279).
Kenderaan itu dikeluarkan oleh syarikat Gibbs Sports Amphibians Incorporation di sini.
Pihak pengurusan syarikat itu berharap kenderaan tersebut yang bernama Quadski akan dijual di seluruh dunia menjelang 2014.
Ia menggunakan enjin yang dibekalkan syarikat pengeluar kenderaan BMW dan mempunyai satu tempat duduk.
Kenderaan itu boleh bergerak sejauh 72 kilometer sejam di daratan dan butang khas perlu ditekan jika penggunanya mahu ia bergerak di permukaan air.
Butang itu akan menyebabkan empat tayar kenderaan itu 'dilipat' bagi boleh membolehkannya bergerak di permukaan air pada kelajuan yang sama di daratan. - Agensi

Baumgartner lebih pantas daripada kelajuan bunyi




TERJUNAN yang dibuat Baumgartner.


WASHINGTON - Pelagak ngeri Austria, Felix Baumgartner menjadi manusia pertama bergerak lebih pantas daripada kelajuan bunyi di luar sebuah kapsul kelmarin.
Dia terjun dari kapsul tersebut yang berada setinggi 39 kilometer (km) dari Bumi.
Kapsul tersebut bergerak ke udara dengan menggunakan belon helium.
Ia mengambil masa lebih dua jam untuk tiba pada ketinggian 39km dari Bumi.
Kelajuannya mencecah 1,342 kilometer sejam (km/j).
Lelaki itu 265km/j lebih pantas daripada bunyi.
Baumgartner, 43, kemudian mendarat dengan menggunakan payung terjun di sebuah kawasan di sebuah gurun di Roswell, New Mexico, Amerika Syarikat (AS).
Laman web syarikat minuman tenaga Red Bull menyiarkan aksi pelagak ngeri itu yang memakai pakaian seperti angkasawan semasa dia berada di dalam kapsul tersebut.
Baumgartner menanggalkan topi dan menggenggam kedua-dua tangannya selepas dia mendarat dengan selamat.
"Apabila saya berdiri di atas dunia, anda berasa rendah diri. Anda tidak berfikir tentang memecahkan rekod lagi. Anda juga tidak memikirkan untuk memperoleh data saintifik.
"Satu-satunya perkara yang anda fikirkan ialah pulang dengan selamat," katanya selepas dia selamat mendarat kepada wartawan stesen televisyen CBS.
Dia turut memecahkan rekod sebagai manusia pertama membuat terjunan dari altitud tinggi.
Sebelum ini seorang bekas pegawai tentera udara AS, Kolonel Joe Kittinger memegang rekod itu dengan terjun dari sebuah gondola pada ketinggian 31 kilometer dari Bumi dengan kelajuan 988km/j pada tahun 1960.
Baumgartner menyatakan pengalamannya terjun dengan lebih laju daripada bunyi itu sukar untuk digambarkan.
"Anda tidak mengetahui kepantasan anda," katanya.
Rekod itu kemudian disahkan oleh jurucakap Persekutuan Aeronautik Antarabangsa (FAI) pada sidang akhbar di Roswell, New Mexico.
Presiden Austria, Heinz Fischer mengucapkan tahniah ekoran kejayaannya dalam projek terjunan anjuran Red Bull Stratos.
Baumgartner pernah terjun dengan menggunakan payung terjun dari Bangunan Petronas di Kuala Lumpur pada 1999. - Agensi

Monday, October 15, 2012

Berlian 400 tahun bakal dilelong

Berlian 400 tahun bakal dilelong:



NEW YORK 14 Okt. - Sebutir berlian berusia 400 tahun sebesar ibu jari orang dewasa yang dianggarkan bernilai lebih AS$15 juta (RM45 juta) bakal dilelong di Switzerland pada 13 November ini.
Berlian Archduke Joseph yang diberi nama sempena nama Putera Hungary, Archduke Joseph August itu dianggarkan 10 kali lebih berat berbanding cincin berlian yang dipakai aktres terkenal Hollywood, Jennifer Aniston.
Berlian milik Aniston itu dipercayai seberat 1.6 gram, manakala berlian Archduke Joseph pula seberat 15.2 gram.
Program stesen televisyen NMC, Today yang memetik kenyataan Pengarah Bahagian Berlian firma lelongan Christie, Rahul Kadakia berkata, sukar untuk membayangkan saiz sebenar berlian Archduke Joseph itu.
"Berlian berkenaan dianggarkan sebesar telur burung puyuh dan benar-benar asli serta mempunyai warna yang terang," katanya.
Berlian tersebut dipamerkan di New York, hari ini sebelum dilelong pada jualan lelong Magnificent Jewel di Geneva, Switzerland, awal bulan depan.
Meskipun harganya dianggarkan bernilai AS$15 juta (RM45 juta), pakar berlian percaya harga barang kemas itu lebih mahal daripada itu.
Malah, beberapa pembeli dari Asia Barat, Asia dan Rusia telah menyatakan minat untuk membida berlian terbabit.
Menurut Kadakia, RM45 juta merupakan harga yang berpatutan dan pihaknya mengharapkan jualan berlian itu akan mencatat rekod baharu.
Firma Christie pernah menjual berlian tersebut pada harga AS$6.5 juta (RM13.5 juta) di Geneva pada 1993.
Berlian itu dilombong dari lombong Golconda di India dan tergolong sebagai antara berlian termahal di dunia termasuklah berlian Kohinoor milik koleksi kerabat Diraja Britain dan berlian Regent yang dipasang pada Mahkota Perancis. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121015/lu_07/Berlian-400-tahun-bakal-dilelong#ixzz29RUfdcfr
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Derita hidup peniaga daging

Kosmo! Online - Negara:


MUTUKRISHNAN menunjukkan ibu jari tangan kanan yang didakwa dikerat ah long di Selayang, Selangor semalam.


SELAYANG – Seorang peniaga daging kambing tidak menyangka kehidupannya tidak pernah sunyi daripada penderitaan setelah membuat pinjaman sebanyak RM50,000 dengan sebuah syarikat kewangan berlesen pada tahun 2006 untuk tujuan menjalankan perniagaan.
Deritanya bermula apabila dia gagal menjelaskan baki pinjaman berkenaan sebanyak RM13,000 tahun lalu.
Akibatnya kepala dia ditetak dengan senjata tajam, telinga kanannya dihiris manakala dan ibu jari tangan kanannya dipotong tahun lalu.
Bagaimanapun mangsa, A. Mutukrishnan menerima satu lagi kejutan apabila dia dihalau dari rumahnya di Selayang di sini oleh pekerja syarikat kewangan berlesen itu baru-baru ini.
Alasan yang diberikan ialah rumah tersebut sudah digadai kepada bank.
“Disebabkan rasa tidak puas hati dengan tindakan itu, saya telah merujuk perkara tersebut ke bank berkenaan.
“Saya cukup terkejut apabila bank mengakui kelalaian mereka meluluskan proses tukar hak milik rumah tersebut kepada syarikat terbabit tanpa pengetahuan saya,” dakwanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Perlumbaan lembu di sawah padi

Kosmo! Online - Dunia:




SEJUMLAH penonton menyaksikan pertandingan perlumbaan Pacu Jawi. - Agensi



PADANG PANJANG, Sumatera Barat – Satu perlumbaan lembu di kawasan sawah padi diadakan di sini kelmarin.
Sukan itu dikenali sebagai Pacu Jawi dalam kalangan penduduk Minangkabau.
Ia diadakan selepas musim menuai padi berakhir. Pada perlumbaan itu, seorang lelaki akan berdiri di atas sekeping papan yang ditarik dua ekor lembu.
Lelaki itu turut memukul ekor haiwan itu supaya berlari dengan lebih pantas untuk menewaskan pesaingnya. – Agensi

Syria didakwa guna bom berangkai

Kosmo! Online - Dunia:

SEORANG kanak-kanak yang cedera selepas terkena bedilan tentera Syria mendapat rawatan di sebuah hospital di Homs kelmarin. - Reuters


AMMAN - Sebuah kumpulan hak asasi antarabangsa semalam menyatakan ia mempunyai bukti baharu bahawa tentera Syria menggunakan bom berangkai.
Bom itu diharamkan secara meluas kerana penggunaannya memberi risiko yang besar terhadap manusia.
Ia boleh digunakan di sebuah kawasan yang besar dan hanya akan meletup jika disentuh penduduk.
Seorang pegawai pertubuhan Human Right Watch (HRW) Steve Goose menyatakan, bom tersebut telah diharamkan di kebanyakan negara.
Menurutnya, Syria sepatutnya menghentikan penggunaan bom tersebut yang boleh menyebabkan ramai orang terbunuh.
"Sebelum ini, HRW melaporkan tinggalan bom berangkai ditemui di Homs dan kawasan berdekatan Hama pada musim panas," katanya.
Sementara itu, Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu mengumumkan bahawa pihaknya melarang penerbangan awam Syria memasuki ruang udara negaranya.
Tindakan itu dilakukan sehari selepas Syria melarang pesawat awam Turki memasuki negaranya.
Davutoglu berkata, larangan itu dilaksanakan selepas sebuah pesawat awam Syria membawa peralatan ketenteraan ketika menggunakan ruang udara Turki.
Pada minggu lalu, Turki memaksa sebuah pesawat penumpang Syria yang berlepas dari Moscow mendarat di sebuah lapangan terbang negara tersebut.
Anggota-anggota pihak berkuasa kemudian merampas peralatan ketenteraan dari pesawat tersebut yang dalam penerbangan ke Damsyik.
Bagaimanapun, Rusia menyatakan pesawat berkenaan membawa peralatan ketenteraan.
Insiden itu berlaku selepas tentera Turki dan Syria saling berbalas bedilan meriam di kawasan sempadan.
Sebuah akhbar melaporkan, Turki menambah bilangan kapal tentera laut di sepanjang pantai negaranya di utara Syria.
Menurut akhbar Hurriyet, kapal-kapal itu dilengkapi meriam dan sistem pertahanan antipeluru berpandu serta antikapal.
Pergolakan di Syria masih belum berakhir apabila kumpulan pemberontak masih berjuang menentang tentera Presiden Bashar Al-Assad.
Para pemberontak itu mahu Bashar meletakkan jawatan kerana gagal melakukan pembaharuan politik dan kebebasan bersuara.
Kebangkitan rakyat di Syria bermula pada Mac lalu dan lebih 30,000 orang dilaporkan terbunuh sejak para pemberontak bertempur menentang tentera Syria. - Agensi

Sunday, October 14, 2012

Labi-labi gergasi ditangkap

Labi-labi gergasi ditangkap:


BEBERAPA penduduk kampung mengangkat labi-labi gergasi seberat 100 kilogram yang ditemui di Bojonegoro, Jawa Timur, baru-baru ini. - AGENSI
BOJONEGORO, Jawa Timur - Misteri kemunculan seekor labi-labi gergasi yang sering dilihat penduduk Kampung Pucangarum di sini akhirnya terjawab selepas haiwan itu ditangkap ketika cuba menyeberangi Sungai Bengawan Solo.
Malah beberapa penduduk tempatan terpaksa bekerja keras untuk menangkap labi-labi seberat kira-kira 100 kilogram tersebut dan membawanya ke darat sebelum dipamerkan kepada orang ramai.
Menurut seorang penduduk kampung, Darun, labi-labi gergasi berwarna perang itu mempunyai ukuran panjang 1.4 meter dan lebar 93 sentimeter.
Katanya, haiwan amfibia itu dipercayai berusia beratus-ratus tahun berdasarkan warna kulitnya.
"Pada mulanya, kami hanya melihat kepalanya dan penduduk kampung tidak berani untuk menangkapnya," katanya kepada beritatajim.com.
Darun bersama empat rakannya, Wito, Sarijan, Purdi dan Kusni terpaksa memanggil lebih ramai penduduk untuk membantu mereka menangkap labi-labi tersebut sebelum membawanya ke darat.
Malah semasa mengangkat labi-labi itu keluar dari air, seorang penduduk kampung yang dikenali sebagai Kasan mengalami kecederaan di bahagian tangan akibat digigit haiwan itu.
Beberapa penduduk kampung mendakwa, mereka sering melihat labi-labi gergasi itu sebelum ini, namun hanya untuk tempoh yang singkat. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121013/lu_10/Labi-labi-gergasi-ditangkap#ixzz29LfJ3UhO
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Penduduk Pontianak ditimpa hujan ais

Penduduk Pontianak ditimpa hujan ais:


Sejumlah ketulan ais yang turun berserta hujan di Pontianak, baru-baru ini. - AGENSI
PONTIANAK, Kalimantan Barat - Bandar Pontianak dan daerah Kubu Raya di sini baru-baru ini, digemparkan dengan fenomena hujan ais berserta angin kencang.
Menurut seorang penduduk tempatan, Dewi, fenomena yang berlaku pada waktu petang itu merupakan kejadian pertama yang melanda bandar ini.
"Pada mulanya, saya menyangka ada orang membaling batu ke arah saya. Namun apabila diteliti, batu tersebut adalah ais dan jumlahnya semakin banyak.
"Ais yang turun berserta hujan lebat itu berukuran seperti batu kerikil," katanya kepada Metrovnews.com.
Seorang lagi penduduk, Erwin Harahap berkata, dia ditimpa hujan ais ketika sedang membaiki radio di belakang rumahnya.
"Rasanya sakit seperti terkena batu," ujarnya.
Pegawai Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Pontianak, Sutikno berkata, fenomena tersebut berlaku disebabkan proses kondensasi di atmosfera melalui lapisan sejuk di atas paras beku.
"Ais akan terbentuk dalam ukuran yang besar, namun saat turun bersama hujan, saiz ais akan berubah menjadi kecil disebabkan perubahan suhu.
"Hujan ais ini akan berlanjutan selama beberapa hari. Oleh itu, penduduk perlu berhati-hati agar tidak terkena ketulan ais," katanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121013/lu_11/Penduduk-Pontianak-ditimpa-hujan-ais#ixzz29LfA32bC
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Peti sejuk punyai ciri-ciri dapur lengkap

Peti sejuk punyai ciri-ciri dapur lengkap:


Peti sejuk La Cambusa dibina dengan ciri-ciri moden menyerupai sebuah dapur lengkap. - Agensi
LONDON 12 Okt. - Pembuat peti sejuk dari Itali, Meneghini menghasilkan sebuah peti sejuk serbaguna moden yang mempunyai ciri-ciri sebuah dapur lengkap.
Peti sejuk tiga pintu itu dinamakan sebagai La Cambusa yang mampu menempatkan pembancuh kopi, tempat simpanan makanan yang mempunyai pengawal suhu dan pembuat ais.
Malah, sebuah televisyen juga boleh diletakkan dalam satu ruangan khas.
Peti sejuk yang kelihatan seperti perabot antik itu berukuran 2.5 meter lebar dengan berat 499 kilogram serta mempunyai ruang simpanan sehingga 754 liter.
La Cambusa dijual pada harga sehingga AS$41,500 (RM127,312) dan disasarkan untuk dijual kepada golongan mewah.
Bagaimanapun, peti sejuk itu masih boleh ditempah mengikut keperluan pembeli.
Mereka perlu membayar sejumlah AS$26,000 (RM79,761) untuk bingkai peti sejuk yang diperbuat daripada kayu dan ia boleh dicat mengikut lebih 500 warna.
Pembeli kemudiannya perlu membayar sama ada untuk peti sejuk, tempat penyimpanan gelas dan perkakas lain mengikut kemahuan mereka. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121013/lu_08/Peti-sejuk-punyai-ciri-ciri-dapur-lengkap#ixzz29LexZUS4
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kad kredit berkompas

Kad kredit berkompas:


Kad kredit MasterCard dikeluarkan Bank Al Hillal turut tidak mengenakan faedah terhadap penggunanya. - Agensi
ABU DHABI 13 Okt. - Sebuah bank di Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Bank Al Hillal memperkenalkan kad kredit dilengkapi kompas yang menunjukkan arah kiblat.
Pengenalan kad kredit MasterCard baru itu adalah sempena pelaksanaan undang-undang syariah mengharamkan faedah dikenakan terhadap pinjaman di negara-negara Arab.
Jurucakap Mastercard, Hames Issokson berkata, pihaknya melihat terdapat peningkatan terutama di Asia Barat untuk perbankan Islam dan dalam kes itu, pengeluaran kad kredit mengikut undang-undang syariah.
Selain kompas, katanya, pemilik kad kredit baru itu akan mendapat beberapa faedah lain iaitu baucer perjalanan untuk mengerjakan haji.
"Sejumlah wang daripada penggunaan kad kredit itu juga akan didermakan kepada badan kebajikan tempatan,'' katanya kepada agensi berita, NBCNEWS.com.
Operator kad kredit di negara-negara Arab akan melaksanakan yuran kad selepas mereka dilarang mengenakan faedah ke atas pinjaman dibuat oleh pelanggan. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121014/lu_07/Kad-kredit-berkompas#ixzz29Le7UkQj
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Konflik Syria: 33,082 terkorban

Konflik Syria: 33,082 terkorban:
BEIRUT 14 Okt. - Pertumpahan darah di Syria telah mengorbankan sekurang-kurangnya 33,082 orang dengan kebanyakannya adalah orang awam, kata Pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia, semalam.
Kira-kira 1,000 orang telah terbunuh dalam tempoh lima hari lalu sahaja, kata badan yang berpangkalan di Britain itu.
“Ini adalah perang dan tidak ada cara lain untuk menggambarkan kekejaman di Syria," kata pengarah pertubuhan, Rami Abdel Rahman.
Sekurang-kurangnya 23,630 orang awam telah dibunuh, diikuti 8,211 tentera dan 1,241 adalah tentera yang berpaling tadah yang menyertai pemberontakan terhadap Presiden Bashar al-Assad. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121014/lu_10/Konflik-Syria-33082-terkorban#ixzz29LaTbIFh 
© Utusan Melayu (M) Bhd '

Lelaki temui al-Quran tertua

Berita Harian | Lelaki temui al-Quran tertua:

Naskah al-Quran dikatakan ditemui seorang pemuda di Yaman.
Naskah al-Quran dikatakan ditemui seorang pemuda di Yaman.
Manama: Seorang lelaki Yaman mendakwa menemui sebuah manuskrip lama yang dipercayai paling tua iaitu naskhah Al-Quran.

Kitab suci umat Islam itu ditemui di dalam penutup kulit dalam sebuah gua di pergunungan selatan bandar Dhale, di bahagian selatan negara itu, lapor halaman web berita Yaman berbahasa Arab, Aden Gulf News. 
Perkataan “Manuskrip ini ditulis tangan pada 200 Hijrah (815 Masihi) tertulis pada halaman pertama dan ujian awal menunjukkan bahawa naskhah berkenaan adalah tulen, menjadikan ia kitab Al-Quran tertua masih wujud. 

Berdasarkan halaman web itu, huruf Arab tidak mempunyai titik yang hanya diperkenalkan pada peringkat akhir dalam abjad Arab untuk membezakan ia dengan huruf lain yang kelihatan sama.

“Pemuda yang enggan dikenali itu dilaporkan turut menerima tawaran sejumlah 
besar wang bagi menukar manuskrip berkenaan termasuk sejumlah YR12 juta (RM170,664) yang ditawarkan kepadanya, tetapi enggan berbuat demikian,” kata saudara terdekatnya.

Katanya beliau tiba di gua gunung berkenaan dengan mendaki menggunakan tali dan menegaskan itu hanya satu-satu cara untuk ke sana.
Halaman berita itu mendakwa lelaki berkenaan juga menemui sebilah pedang bersebelahan naskhah al-Quran tyang dipercayai milik Ali Bin Abu Talib, Khalifah keempat Islam yang juga menantu Nabi Muhammad.

Beberapa perakuan sejarah mengatakan bahawa ia adalah pedang Dhu Al Faqqar yang dihadiahkan oleh Nabi Muhammad SAW kepada Ali. - Agensi

Aktivis remaja ditembak Taliban stabil

Kosmo! Online - Dunia:



MURID-MURID perempuan sebuah sekolah rendah di Peshawar berdoa untuk kesejahteraan aktivis remaja, Malala Yousafzai yang cedera
ditembak di kepala.



ISLAMABAD - Seorang pelajar perempuan yang ditembak di kepala oleh anggota kumpulan Taliban berada dalam keadaan stabil ketika rakyat negara ini terus berdoa agar dia cepat sembuh.
Insiden Malala Yousafzai, 14, ditembak yang berkempen untuk menuntut hak pendidikan, mendapat kecaman daripada seluruh dunia, malah pihak berkuasa Pakistan menawarkan ganjaran lebih AS$100,000 (RM305,780) bagi menangkap penyerangnya.
"Kondisi kesihatan Malala semakin memuaskan. Organ-organ pentingnya baik dan dia masih menggunakan ventilator. Sepasukan doktor juga ditugaskan untuk memantau keadaannya," jelas satu kenyataan daripada tentera Pakistan. Dia kini dirawat di sebuah hospital tentera terkenal di Rawalpindi.
Perdana Menteri Pakistan, Raja Pervez Ashraf melawat Yousafzai dan dua orang rakannya yang cedera pada Jumaat. Mereka cedera apabila seorang lelaki bersenjata tiba-tiba masuk ke dalam bas sekolah dan melepaskan tembakan pada Selasa lalu.
"Ini bukan jenayah ke atas individu. Tetapi jenayah terhadap kemanusiaan serta serangan ke atas nilai sosial," kata Ashraf.
Jurucakap tentera, Mejar Jeneral Asim Saleem Bajwa semalam menyatakan tempoh 36 hingga 48 jam adalah kritikal buat Yousafzai.
Semalam, para pelajar di sekolah-sekolah seluruh negara itu membaca doa buat Yousafzai. Masjid-masjid dan rumah ibadat lain turut mengadakan upacara khas untuk mendoakan Yousafzai. - AFP

'via Blog this'