Pages

Sunday, August 26, 2012

Legenda Neil Armstrong meninggal dunia bersama 'misteri'

Legenda Neil Armstrong meninggal dunia bersama 'misteri'
Gambar fail Nasa bertarikh 20 Julai 1969 menunjukkan
 Neil Armstrong berada di bulan. - Foto EPA

LEGENDA Neil Armstrong, orang pertama yang berjaya menjejakkan kaki di bulan, meninggal dunia hari ini.

Bagi kebanyakan orang, Armstrong seorang hero Amerika Syarikat (AS) yang melakukan misi mustahil. Beliau memenuhi visi mendiang Presiden John F. Kennedy yang meletakkan seorang lelaki di bulan di sebelum akhir dekad.

Armstrong berjalan di bulan melaui paparan di televisyen dan disaksikan oleh 500 juta manusia empat dekad lalu.
Neil Armstrong
Gambar fail Nasa bertarikh 20 Julai 1969 menunjukkan
 Neil Armstrong berada dalam model lunar selepas mendarat di
permukaan bulan. - Foto EPA

Ia satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan dan mencetuskan harapan untuk manusia menjelajah ke ruang angkasa lepas selepas itu.

Apa yang Armstrong alami hari itu menjadi kontroversi apabila siaran radio senyap selama dua minit serta mengejutkan penonton dan menimbulkan banyak teori apa sebenarnya berlaku.

Menurut maklumat gambar dokumen-dokumen kerajaan yang bocor, Armstrong bukan hanya melihat ketandusan permukaan di bulan ketika itu, tetapi sesuatu yang lebih penting.

Merujuk dakwaan pihak dalaman agensi angkasa lepas, Nasa dan radio HAM dikatakan memintas penghantaran, apa yang Armstrong saksikan itu mengubah hidupnya, dan membawa kepada pengabaian misi lunar yang dikendalikannya.

Menurut dokumen yang bocor, dua kapal angkasa besar menonton pendaratan Apollo 11 dan melihat Armstrong dan Buzz Aldrin berjalan di bulan.

Semasa Apollo 11 melakukan pendaratan, selama dua minit radio menjadi senyap.

Menurut Nasa, masalah ini timbul dari salah satu daripada dua kamera televisyen yang terlalu panas, sekali gus mengganggu penerimaan isyarat.

Sebenarnya apa yang berlaku, menurut pelbagai sumber, Armstrong dan Aldrin dilihat oleh satu objek lain semasa proses mendarat di bulan.

Menurut Timothy Baik, pengarang Above Top Secret (1998) operator radio HAM menerima isyarat VHF yang dihantar dari Apollo 11 ke ibu pejabat Houston Nasa, memintas mesej yang disaring oleh Nasa daripada orang ramai berikutan tempoh dua minit radio hilang siarannya.

Kemudian pada 1979, Maurice Chatelain, bekas jurutera komunikasi Nasa berkata, detik Armstrong melihat dua UFO di kawah lunar telah disembunyikan daripada pengetahuan media dan umum oleh Nasa.

"Pertemuan ini adalah pengetahuan umum dalam Nasa, tetapi tiada siapa yang telah bercakap mengenainya sehingga kini," kata Chatelain. Katanya: "... semua penerbangan Apollo dan Gemini telah diikuti, kedua-duanya pada jarak dan kadang-kadang agak rapat, oleh kenderaan angkasa yang berasal dari ruang angkasa - piring terbang atau UFO.

Setiap kali ia berlaku Misi Kawalan diarah untuk menjadi senyap secara mutlak."

Kehilangan dua minit disebabkan radio menjadi senyap semasa Apollo 11 mendarat, satu cubaan oleh Nasa dibuat untuk menutup keadaan sebenar yang dilihat oleh Armstrong di bulan? Adakah UFO yang dilihat?
Menurut Aldrin dalam beberapa wawancara akhbar, Appollo 11 sememangnya merakam UFO semasa dalam perjalanan ke bulan. Aldrin menerangkan bagaimana angkasawan Apollo 11 mengelak menyebut perkataan UFO dan sebaliknya meminta Houston tentang lokasi pelancaran roket Saturn V.

Kebenaran Aldrin masuk menyebabkan gangguan dua minit siaran radio bukan disebabkan UFO dan Armstrong membuat laporan tentang ini. Pandangan Aldrin juga menyokong Chatelain bahawa terdapat lebih daripada satu kenderaan ruang angkasa menonton pendaratan Apollo 11 di bulan.

Adakah terdapat mana-mana sumber lain yang menyokong tuntutan kontorversi bahawa Armstong telah menyaksikan dua kenderaan di ruang angkasa ke atas lunar yang menonton pendaratan Apollo 11.

Apple menang kes saman paten



SEORANG pengurus Korea Selatan menunjukkan telefon pintar Galaxy S (kanan) dan iPhone (kiri) di sebuah kedai di Seoul pada 27 Julai lalu.


SAN JOSE, California - Selepas setahun pertikaian di mahkamah membabitkan Samsung dan Apple, seorang juri di Amerika Syarikat (AS) kelmarin memutuskan pengeluar telefon pintar dari Korea Selatan itu didapati menciplak teknologi yang digunakan untuk menghasilkan iPhone dan iPad.
Susulan keputusan tersebut, panel juri sebuah mahkamah di sini memerintahkan syarikat Samsung untuk membayar ganti rugi berjumlah AS$1.05 bilion (RM3.25 bilion) kepada Apple.
Bagaimanapun, Samsung yang popular dengan telefon pintar Galaxy S dan komputer tablet Galaxy Tab akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan tersebut.
Perkembangan itu berlaku selepas sebuah mahkamah Korea Selatan kelmarin mendapati Samsung tidak meniru telefon bimbit keluaran Apple.
Pertikaian kedua-dua gergasi elektronik tersebut bermula apabila firma Apple Inc. memfailkan saman melibatkan pelanggaran paten oleh Samsung pada April 2011.
Apple telah melantik pasukan peguam terhandal di AS bagi menuntut gantirugi AS$2.5 bilion (RM7.75 bilion) daripada pesaing terhebatnya, Samsung.
Dalam saman tersebut, firma yang diasaskan bersama oleh mendiang Steve Jobs itu mendakwa Samsung Electronics Co. meniru teknologi dan inovasinya.
Namun, Samsung melakukan saman balas dengan menuntut gantirugi AS$399 juta (RM1.24 bilion) daripada Apple Inc.
Dalam hujah penggulungannya, peguam Apple, Harold McElhinny mendakwa Samsung mengalami 'kebuntuan reka bentuk' selepas pelancaran iPhone pada tahun 2007.
Samsung, katanya, mengambil kesempatan di atas kejayaan gajet berkenaan apabila memperkenalkan jenama telefon pintar Galaxy S dengan ciri-ciri serupa.
Terdahulu, pasukan peguam Apple menyatakan, hampir tiada perbezaan pada telefon pintar iPhone dan Galaxy.
Peguam-peguam Samsung bagaimanapun berkata, beberapa inovasi seperti skrin besar pada siri telefon Galaxy yang sebelum ini terdapat pada iPhone, diperkenalkan bagi memenuhi permintaan pengguna telefon pintar.
Panel juri berkenaan yang dianggotai oleh tujuh lelaki dan dua wanita mula bersidang Rabu lepas.
Samsung setakat ini telah menjual 22.7 juta buah telefon pintar dan tablet yang didakwa Apple meniru teknologinya.
McElhinny seterusnya berkata, jualan gajet-gajet berkenaan mencecah AS$8.16 bilion (RM25.55 bilion) sejak Jun 2010.
Sehingga kini, Apple dan Samsung menguasai lebih separuh jualan telefon pintar di dunia.
Namun, Samsung muncul sebagai pesaing terbesar Apple dan mengatasi firma AS berkenaan sebagai pengeluar terbesar telefon pintar di peringkat global.
Model telefon pintar Galaxy dijana perisian Android yang diberikan percuma oleh Google Inc. kepada Samsung dan beberapa pengeluar telefon pintar lain.
Dalam samannya, Apple turut menuntut Samsung menarik kedua-dua jenama telefon dan komputer tabletnya daripada pasaran AS.
Saman serupa telah dikemukakan di beberapa negara lain termasuk Australia, Britain dan Jerman.
Pasaran telefon pintar dan komputer tablet global masa kini dianggarkan bernilai AS$219 bilion (RM685.79 bilion). - Agensi

19 maut loji penapis minyak meletup di Venezuela




KEADAAN loji penapis minyak di bandar Amuay yang terbakar semalam.


CARACAS - Sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh manakala lebih 50 lagi cedera apabila loji penapis minyak terbesar di Venezuela meletup awal semalam.
Negara berkenaan merupakan pengeluar minyak terbesar di Amerika Selatan.
Letupan berlaku di fasiliti penapis minyak di bandar Amuay dalam negeri Falcon di barat daya Venezuela.
"Antara mangsa yang maut termasuk seorang kanak-kanak berusia 10 tahun," kata Gabenor Falcon, Stella Lugo.
Menurutnya, sebanyak 53 yang lain cedera dalam kejadian tersebut dengan angka korban dan kecederaan dijangka terus meningkat.
Menteri Tenaga Rafael Ramirez berkata, letupan dipercayai akibat kebocoran gas dengan punca sebenar kejadian masih disiasat.
Jelas Ramirez, letupan itu amat kuat menyebabkan kerosakan besar bukan hanya ke atas loji berkenaan tetapi beberapa kedai dan kediaman di sekitar lokasi kejadian.
Kebakaran berjaya dikawal pada pagi semalam. - AFP

Insiden tembakan di New York bukan angkara pengganas



BEBERAPA anggota polis menghampiri mayat penembak, Jeffrey Johnson (gambar kecil) yang terbaring di kaki lima dekat Bangunan Empire State di New York kelmarin.


NEW YORK - Seorang bekas pekerja kedai pakaian wanita menembak mati bekas rakan sekerjanya di luar Bangunan Empire State di sini kerana dibelenggu perasaan tidak puas hati sebelum dia ditembak mati pihak polis kelmarin.
Seorang pegawai polis, Komisioner Ray Kelly berkata, dua orang terbunuh manakala sembilan lagi cedera dalam kejadian itu.
Mengulas serangan tersebut, Biro Siasatan Persekutuan menafikan (FBI) menafikan insiden memiliki kaitan dengan pengganas.
Menurut Kelly, penembak dikenal pasti sebagai seorang bekas pekerja yang "tidak berpuas hati", Jeffrey Johnson, 53, manakala mangsanya Steve Ercolino pula berusia 41 tahun.
Ujarnya, penyerang menggunakan sepucuk pistol kaliber .45 dengan kapasiti lapan butir peluru.
Dia menembak lelaki berkenaan sebanyak tiga kali di kepala di kedai pakaian Hazad Imports di sini.
Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg memberitahu, penembak kemudian cuba melarikan diri tetapi bertembung dengan dua anggota polis yang menerima aduan tentang insiden tersebut.
"Penyerang mengacukan pistol ke arah anggota polis dan cuba menembak mereka," kata Bloomberg.
"Polis membalas tembakan dan membunuh lelaki tersebut," tambahnya.
Menurut Bloomberg, sebahagian kecederaan orang awam dalam kejadian itu mungkin berpunca daripada peluru sesat yang ditembak oleh kedua-dua anggota polis itu.
Senator Negeri New York, Malcolm Smith pula memberitahu sebuah stesen televisyen tempatan bahawa Johnson telah menembak bekas pengurusnya.
Beberapa jiran Johnson memberitahu, mereka mengenali lelaki itu sebagai seorang yang sopan tetapi pendiam.
Selain bandar raya ini, sebuah lagi kota metropolitan AS, Chicago turut mengalami peristiwa berdarah apabila 19 orang cedera dalam lapan insiden tembakan, kata polis kelmarin. - Agensi

Saturday, August 25, 2012

Pengganas Norway disahkan waras


Pengganas Norway disahkan waras
Bangunan kerajaan yang diletupkan Breivik
OSLO – Pengganas Norway, Anders Behring Breivik dijatuhi hukuman penjara 21 tahun, semalam, selepas dia didapati bersalah membunuh 77 orang dalam dua serangan berasingan, Julai tahun lalu.

Breivik, yang mengaku sebagai anti-Islam, kelihatan gembira selepas hakim Wenche Elisabeth Arntzen membacakan keputusan itu dan mengisytiharkan Breivik sebagai waras serta bertanggungjawab ke atas serangan paling buruk dalam sejarah moden Norway.

Hakim menetapkan tempoh minimum 10 tahun dan maksimum 21 tahun penjara, iaitu tempoh paling lama yang dibenarkan oleh undang-undang Norway.

Namun hukuman penjara itu boleh dilanjutkan selagi penjenayah dianggap terlalu berbahaya untuk dibebaskan.

Menurut pakar, dalam kes Breivik, ia mungkin bermaksud lelaki itu akan dipenjarakan seumur hidupnya.

Keputusan itu memenuhi apa yang Breivik sendiri mahukan, sekali gus mengakhiri perbicaraan selama 10 minggu berhubung serangan berkembar di Oslo pada 22 Julai tahun lalu.

Sebelum itu, peguam bela Breivik memberitahu pembunuh itu mahu dipenjara dan akan merayu jika dia didapati tidak waras dan dihantar ke hospital sakit jiwa.

Semasa perbicaraan kesnya, Breivik mengaku melakukan serangan itu dan menceritakan kepada mahkamah secara terperinci bagaimana dia meletupkan bom kereta di pejabat kerajaan di Oslo sebelum melancarkan serangan bersenjata di kem musim panas anjuran parti pemerintah di Pulau Utoya berhampiran Oslo.

Letupan itu menyebabkan lapan orang terbunuh dan lebih 200 cedera, manakala 69 orang, kebanyakannya remaja ditembak mati oleh Breivik di pulau itu.

Breivik tidak menunjukkan sebarang emosi semasa perbicaraannya, dan memberitahu mahkamah serangan yang dilakukannya ‘kejam tetapi perlu’ untuk melindungi Norway daripada kepelbagaian budaya.

Dalam salah satu keterangannya semasa perbicaraan itu, Breivik memberitahu mahkamah: “Saya akan melakukannya sekali lagi”.

Pejuang luar sertai pemberontak Syria


Pejuang luar sertai pemberontak Syria
Serangan balas di antara pemberontak Syria dan tentera kerajaan menyebabkan ribuan penduduk menjadi pelarian.
DAMSYIK - Kumpulan pemberontak di bandar terbesar Syria, Aleppo mengakui kini berhadapan tentangan hebat daripada rakyat tetapi memaklumkan tindakan serangan ke atas bandar-bandar dalam negara itu untuk menjatuhkan Presiden Bashar Al-Assad dibantu oleh pejuang asing.

Menurut pemberontak, sukar bagi mereka menentang tentera kerajaan terutama sekali apabila terpaksa menyerang beberapa kawasan kejiranan miskin dan menubuhkan pangkalan.

Kumpulan aktivis memberitahu, serangan bertalu-talu termasuk tembakan dengan helikopter setakat kelmarin, mengorbankan sekurang-kurangnya 40 orang yang sedang berlindung di kejiranan Kfar Souseh, Daraya, Qadam dan Nahr Aisha.

"Keseluruhan Damsyik kini bergegar dengan bunyi tembakan dan bedilan bom dari arah darat dan udara," kata seorang wanita di Kfar Souseh.

Dia yang enggan memberitahu nama berkata, kumpulan tentera kerajaan turut melepaskan tembakan ke arah ibu kota dari Qasioun dan pergunungan Saraya.

Serangan berterusan di Damsyik itu berlaku seiring dengan pemergian kumpulan pemerhati Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang meninggalkan negara selepas gagal melakukan gencatan senjata.

Setakat ini, seramai 170,000 penduduk Syria menjadi pelarian selain PBB percaya angka sebenar lebih daripada itu .

Sebuah sekolah di pinggir Aleppo turut dijadikan tempat perlindungan kepada lebih 500 penduduk yang melarikan diri.

Syria akur dengan wakil baru PBB

Syria akur dengan wakil baru PBB
Sebahagian daripada pelarian dari Aleppo berehat di sempadan Bab Al- Salameh sebelum memasuki kem pelarian di Turki susulan pertempuran pemberontak dengan tentera kerajaan.
DAMSYIK - Negara bergolak, Syria berikrar sedia bekerjasama dengan wakil baru Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Lakhdar Brahimi dan berharap beliau dapat membuka jalan bagi dialog kebangsaan walaupun pertempuran di ibu negara dan Aleppo belum reda.

Timbalan Menteri Luar Syria, Faisal Muqdad menuduh jirannya iaitu Turki sebagai negara yang membekalkan senjata api dan menjadi tulang belakang kepada pemberontak selepas mengetahui pegawai Amerika Syarikat (AS) dan Turki mengadakan perbincangan menggesa kejatuhan Presiden Bashar Al-Assad.

Menurut Muqdad, Damsyik dengan hati terbuka akan bekerjasama dengan Brahimi yang juga veteran diplomat Algeria dinamakan sebagai Duta PBB-Liga Arab menggantikan bekas ketua PBB, Kofi Annan yang melepaskan jawatan pada 2 Ogos lalu selepas gagal melaksanakan pelan damainya.

"PBB telah dimaklumkan bahawa kami menerima pelantikan Brahimi. Malah, kami berharap dapat melihat sebarang idea beliau yang mampu menyelesaikan masalah di sini," kata Muqdad susulan Damsyik mengkritik komen Brahimi bahawa perang saudara telah pun berlaku di Syria dan kini dalam misi menamatkannya.

Muqdad turut berharap wakil baru PBB itu mampu memulakan satu proses dialog kebangsaan termasuk campur tangan asing yang menjadi punca kepada konflik berpanjangan 17 bulan sehingga membunuh hampir 25,000 orang sejak Mac 2011.

Menurut Pemantau Kemanusiaan Syria, sekurang-kurangnya 111 orang terbunuh dalam keganasan kelmarin sahaja, melibatkan 71 orang awam.

Bantah jual arak dekat masjid


CAPE TOWN: Beratus-ratus umat Islam di bandar raya ini, semalam menunjuk perasaan membantah keputusan pihak berkuasa membenarkan sebuah bar berhampiran Masjid Nurul Islam menjual minuman keras.
Mereka berpendapat tindakan itu mencemari hak umat Islam dan melanggar undang-undang negara itu yang melarang pengeluaran lesen kepada restoran atau bar yang terletak berhampiran dengan tempat ibadat.

Ketua Persatuan Islam Bo-Kaap, Osman Shabodien berkata, pihak berkuasa tempatan tidak memaklumkan atau mengadakan perbincangan dengan wakil penduduk Islam mengenai hal itu.
“Kami tidak keberatan jika bar itu dekat dengan masjid asalkan ia tidak menjual minuman keras,” katanya.

Dia berikrar pihaknya akan mengadakan tunjuk perasaan berterusan sehingga keputusan itu ditarik balik. - IOL

Perang merebak ke Lubnan


TRIPOLI (Lubnan): Seorang penembak curi menembak mati seorang ulama Sunni di utara bandar ini semalam, menyemarakkan lagi pertelingkahan antara penyokong dan penentang Presiden Syria, Bashar al-Assad.
Kematian Sheikh Khaled al-Baradei, 28, meningkatkan jumlah mereka yang terbunuh dalam sengketa di bandar itu kepada sebanyak 12 orang sejak lima hari lalu.
Ia juga menimbulkan kebimbangan kemungkinan peperangan di Syria akan melanda negara itu pula.

Kumpulan antiSyria yang terdiri daripada masyarakat Sunni dan mereka di daerah Alawite di Jabal Mohsen yang menyokong Bashar, saling membedil antara satu sama lain sejak beberapa hari lalu. 

Pertelingkahan yang semakin memuncak itu menyebabkan kebakaran besar di kedua-dua penempatan masing-masing yang terletak di bandar pelabuhan kedua terbesar di Lubnan. 
Seorang penduduk Sunni, Abu Othman berkata: “Kami terkejut dengan peperangan ini.

Mereka di Jabal Mohsen yang mula membedil kami.” - AFP 

Jumlah pelarian meningkat


GENEVA: Lebih 200,000 penduduk Syria melarikan diri ke negara berdekatan sejak konflik melanda negara itu, menjangkau 185,000, angka jangkaan agensi pelarian PBB sehingga akhir tahun ini.
Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian, Adrian Edwards berkata, minggu lalu saja, kira-kira 30,000 penduduk Syria melarikan diri ke Turki, Lubnan, Iraq dan Jordan. 
“Kini jumlah pelarian mencecah 202,512 di negara berjiran dengan Syria,” katanya.
Dia juga berkata, keadaan keselamatan yang semakin buruk di Lubnan menjejaskan tugas agensi membantu pelarian. - AFP

Pertempuran sengit di Aleppo


ALEPPO: Tentera yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad semalam meneruskan serangan terhadap kawasan utara Aleppo semalam.
Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Syria berkata, beberapa rumah musnah dalam serangan itu. 
Dalam pada itu, kumpulan berkenaan juga berkata, sekurang-kurangnya 50 mayat tidak dikenali ditemui dengan kesan tembakan di kepala sejak 24 jam yang lalu, terutama di Aleppo dan Damsyik.

Ia menunjukkan mangsa dibunuh dengan kejam.

Pemberontak berkata mereka sudah bersedia untuk menghadapi serangan besar-besaran di Aleppo selepas tentera kerajaan memberi amaran akan menjadi “medan tempur paling teruk” di bandar itu.

Seorang pejuang, Abu Haidar, di barat daya Saif al-Dawla berkata: “Kami tidak mempunyai senjata yang mencukupi dan mereka (tentera Syria) tidak mempunyai ramai askar.

Serangan ke atas Aleppo bertujuan menghalang bekalan senjata dihantar kepada pemberontak di bandar kedua terbesar Syria itu, yang sebelum ini adalah kota besar dengan 2.7 juta orang penduduk tetapi sekarang musnah.

Dalam perkembangan lain, sekurang-kurangnya 21 orang, kebanyakannya wanita, terbunuh semalam apabila bangunan kediaman dibom oleh tentera Bashar di timur negara itu.

Sekurang-kurangnya sebuah bangunan di bandar Mayadin runtuh selepas menjadi sasaran serangan udara dan meriam, kata Pengarah Pemerhati Syria untuk Hak Asasi, Rami Abdel Rahman.

Menurutnya, 12 wanita adalah antara yang maut sementara puluhan penduduk juga cedera dalam serangan itu. - Agensi

Ketua Daerah Minahasa mahu kahwin di Israel


JAKARTA: Seorang Ketua Daerah Minahasa Selatan, Christiany Eugenia ‘Tetty’ Paruntu, dikatakan akan melangsungkan perkahwinan di Israel.
Ketua daerah yang berusia 44 tahun itu akan bernikah dengan anggota polis, Decky Palinggi. 
Tetty dan Decki dikatakan bakal berikrar sehidup semati di Gereja Kana di Galilea.
Gereja itu dipilih kerana penganut agama Kristian percaya, ia tempat Nabi Isa mengubah air menjadi arak. 

Cerita mengenai perkahwinan ketua daerah yang dikatakan tercantik di Indonesia itu tersebar luas di Minahasa selepas janda anak satu itu memaparkan hasratnya itu di Facebooknya. 
Peminatnya bersimpati dan berdoa untuk Tetty, kelahiran Manado, Sulawesi Utara itu, malah ada yang mencadangkan Tetty berdoa di Dinding Ratapan, tempat suci penganut Yahudi di Baitulmaqdis.

Tetty menulis di laman Facebook: “Terima kasih kerana mengingatkan. Saya akan lakukan.”

Namun begitu, Tetty masih menunggu kebenaran Kementerian Dalam Negeri untuk berkahwin di Israel.
Sekiranya tidak mengalami masalah visa, mereka boleh bernikah secepat mungkin.

Tetapi, Tetty tidak boleh menggunakan pasport atau mendapat kebenaran untuk ke Israel kerana Indonesia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara Zionis itu.

Tutty yang dilahirkan dalam keluarga berpengaruh di Sulawesi menjadi Ketua Daerah Minahasa Selatan untuk tempoh 2010-2015. - Republika 

Pakar bedah naikkan bil bayaran digantung kerja


SINGAPURA: Pakar bedah terkenal, Dr Susan Lim, digantung kerja tiga tahun oleh Majlis Perubatan Singapura, semalam.
Menurut laporan akhbar tempatan, Susan, 57, turut didenda sebanyak Sg$10,000 (RM24,792) selepas didapati bersalah meminta bayaran berlebihan daripada seorang anggota keluarga diraja Brunei. 
Dia juga didakwa menaikkan bil perubatan berjumlah Sg$24.8 juta (RM61.5 juta) ketika merawat pesakit warga Brunei dari 2001 hingga 2007.

“Susan juga akan diselar secara bertulis dan mesti memastikan dia tidak akan meminta bayaran terlalu mahal lagi,” menurut laporan itu.

Pakar bedah itu sebelum ini merayu supaya tidak dikenakan tindakan, seperti yang didedahkan dalam dokumen rayuan yang difailkan di Mahkamah Tinggi, minggu lalu. - Brunei Times

RM2.5juta untuk sambut hari jadi bulan pertama anak


SINGAPURA: Sepasang suami isteri yang berasal dari Indonesia menjadi tajuk utama akhbar republik ini selepas berbelanja sehingga RM2.5 juta untuk sambutan hari jadi bulan pertama anak perempuan mereka.
Seorang penggubah bunga mewah dan pengurus majlis, Harijanto Setiawan bercerita mengenai pesta keraian untuk anak ahli perniagaan yang pernah diuruskan dan satu daripadanya adalah pesta hari jadi anak ahli perniagaan yang tinggal di Singapura, beberapa bulan lalu. 
Harijanto berkata, kos untuk pesta itu mencecah hampir RM2.5 juta dan ia diadakan di hotel mewah, Hotel Capella dengan kehadiran 300 tetamu.

Sebuah dewan di hotel itu ditukar menjadi taman hiburan mewah, lengkap dengan karusel dan hutan buatan.

686 korban jalan raya pada cuti Aidilfitri


JAKARTA: Sejumlah 686 orang terbunuh dalam 3,927 kemalangan jalan raya ketika musim cuti Aidilfitri antara 11 hingga 21 Ogos lalu.
Jurucakap Polis Nasional, Jeneral Boy Rafli Amar berkata: “Terdapat peningkatan mangsa yang maut tahun ini berbanding tahun lalu dan 75.5 peratus atau 518 mangsa terbunuh dalam kemalangan itu, menaiki motosikal.” 
Katanya, jumlah itu meningkat 10.29 peratus berbanding 622 yang direkod pada tempoh yang sama, tahun lalu.
Sementara itu, jumlah kemalangan meningkat 3.97 peratus daripada 3,777 pada 2011. 
“Jumlah mangsa yang cedera teruk dalam kemalangan trafik ketika cuti raya tahun ini adalah 1,093, manakala 3,750 mangsa mengalami cedera ringan,” katanya. 
Sementara itu, Gabenor Jawa Timur berkata, mereka akan memantau pengguna motosikal yang pulang daripada beraya hujung minggu ini. - JP

Manila usir 385 penipu


MANILA: Filipina mungkin menghantar pulang 385 warga Taiwan dan China yang ditahan dalam satu kes penipuan telefon besar-besaran, melibatkan berjuta-juta dolar daripada warga tua di negara mereka.
Ketua Pasukan Petugas Khas Antijenayah Terancang, Reginald Villasanta berkata semalam, polis menahan mereka ketika menyerbu 20 rumah di serata Manila kelmarin, selepas memperoleh maklumat daripada pihak berkuasa di China dan Taiwan.
Ditanya sama ada suspek akan dihantar pulang, Villasanta berkata: “Sebelum operasi ini dilancarkan, kami diberi bukti yang dikumpulkan oleh rakan di Taiwan dan China. Kemungkinan besar mereka akan dihantar pulang.”

Suspek menyamar sebagai pegawai polis atau pendakwa raya dan menelefon negara masing-masing untuk menakutkan mangsa yang kebanyakan orang tua untuk memindahkan wang mereka ke dalam akaun kumpulan itu. 

Lebih sayang anak patung dari suami


ALICE menukar lampin anak patungnya.
ALICE menukar lampin anak patungnya.
LONDON: Apabila ibu kepada lima anak, Alice Winstone diberitahu dia tidak lagi boleh mendapat anak kerana masalah kesihatan, dia tetap berazam memenuhi kediamannya dengan bayi.
Wanita berusia 39 tahun itu sangat terdesak untuk menjaga bayi hingga dia membelanjakan puluhan ribu ringgit membeli 50 anak patung bayi yang seolah-olah hidup memenuhi seluruh kediamannya.

Alice meluangkan selama tujuh tahun dan membelanjakan lebih 12,000 pound (RM58,879) memenuhi kediamannya dengan anak patung vinil ‘Reborn Dolls’, walaupun tiga daripada lima anak kandungnya masih tinggal di kediaman sama.
Ketaksubannya pada bayi palsu yang berharga 1,200 pound (RM5,891) setiap satu, menyaksikan dia membelanjakan 50 pound (RM245) sebulan dan memaksa suaminya yang telah lama menderit, Chris untuk berpindah keluar dari kediaman mereka di Cardigan, Wales Tengah.

Alice membeli bayi palsunya yang pertama, anak patung bergelar Emmy dengan harga 180 pound (RM 883) selepas melihatnya di muka belakang sebuah majalah dan ‘jatuh hati’ dengan anak patung berkenaan.

Alice berkata, walaupun Chris meraguinya, dia hairan kerana berasakan mempunyai ikatan yang rapat dengan anak patung.
Alice diberitahu selepas dia hamilkan anak bongsunya, Jessica, kini 12 tahun, dia mengalami masalah gangguan darah menyebabkan kehamilan seterusnya tidak selamat.

Masalah kesihatan itu turut menyebabkan dia tidak bekerja, sebaliknya menjaga 50 bayi palsu selama 24 jam sehari sejak dia mendapatkan mereka. Alice menukar, mencuci, menidurkan dan memberi makan anak patung berkenaan - malah, memabawa beberapa anak patung kegemarannya keluar bersiar-siar dengan kereta. Dia mengaku lebih suka menjaga anak patungnya daripada melakukan hubungan seks bersama suaminya yang keluar dari kediaman mereka lima tahun lalu ekoran terlalu banyak koleksi anak patung di rumah mereka.
Alice begitu bimbang mengenai keselamatan anak patungnya itu setiap kali anak kandung atau kucingnya berada berdekatan mereka. — DM

Saintis kaji sampel Arafat di Switzerland

Geneva: Sekumpulan saintis Switzerland mendapat kebenaran untuk menguji mayat pemimpin Palestin, Yasser Arafat sama ada kematiannya benar-benar disebabkan keracunan bahan radioaktif polonium, disyaki punca beliau meninggal dunia pada 2004. 

Pakar Pusat Hospital Universiti Lausanne itu mendapat kebenaran daripada balu Arafat, Suha, dan Pihak Berkuasa Palestin (PA) untuk pergi ke Ramallah, Tebing Barat bagi mengambil sampel daripada mayatnya, kata jurucakap makmal. 
Ujian itu akan berlangsung selama dua minggu selepas pemimpin Palestin ketika ini, Mahmoud Abbas meminta mereka datang ke Ramallah secepat mungkin. 

Siasatan dengan kerjasama media sebelum ini mengesan wujudnya bahan radioaktif polonium pada beberapa barangan milik Arafat, Julai lalu, 
Suha dan anaknya memfailkan saman ke atas pihak tidak didedahkan identiti mereka pada 31 Julai lalu selepas mendakwa Arafat maut kerana keracunan polonium. 

Mereka menuduh pihak bertanggungjawab melakukan pembunuhan. Arafat menghembuskan nafas terakhir di hospital tentera dekat Paris pada 2004. 

Doktor Perancis tidak dapat menetapkan punca kematian Arafat selepas penerima anugerah Nobel itu dibawa dengan pesawat ke Perancis untuk rawatan sebelum meninggal dunia pada 11 November tahun itu. - Agensi 

Breivik kena 21 tahun

pix_gal0
Mahkamah putus pembunuh 77 warga Norway tidak gila 

Oslo: Mahkamah Norway semalam memutuskan lelaki yang membunuh 77 orang tahun lalu, Anders Behring Breivik (gambar), waras ketika melakukan jenayah itu, menamatkan perbahasan mengenai keganasan terburuk di negara itu sejak Perang Dunia Ke-2. 
“Keputusan sebulat suara dicapai. Mahkamah menghukum penjara tertuduh selama 21 tahun,” kata hakim Wenche Elizabeth Arntzen, ketika menolak gesaan supaya memutuskan Breivik gila dan membolehkan defendan dimasukkan ke wad psikiatrik. 

Akui guna bom baja 

Breivik mengaku menggunakan bom baja bagi meletupkan bangunan ibu pejabat kerajaan di Oslo menyebabkan lapan terbunuh sebelum menembak mati 69 lagi di khemah percutian belia. 

Hukuman penjara 21 tahun itu adalah hukuman maksimum di Norway. Bagaimanapun, pegawai boleh menghalang dia dibebaskan jika didapati masih mengancam orang lain. 

Breivik, 33, ditahan di bilik bersendirian di penjara luar Oslo tetapi mendapat kemudahan bersenam, komputer dan televisyen. 
Nafi tak waras 

Breivik menolak hujah pendakwa bahawa dia tidak waras dan sedia membuat rayuan jika mahkamah memutuskannya gila. 

Breivik berkata, dia sedia menerima keputusan dirinya waras tetapi membidas hukuman penjara sebagai ‘lemah’ sebaliknya menuntut supaya dibebaskan atau dihukum mati. 

Tindakannya membunuh menggemparkan Norway yang mempunyai lima juta penduduk selain menimbulkan persoalan mengenai berapa ramai orang memegang pendirian berhaluan kanan sepertinya. 

Dia juga menjelaskan tindakannya membunuh puluhan orang itu disebabkan parti Buruh ‘memusnahkan’ negara dengan menggalakkan imigran Muslim masuk ke Norway. 

Keputusan sudah dijangka 

Bagi mangsa serangan yang terselamat, keputusan mahkamah sudah dijangka. 

“Perkara paling utama bukannya dia dihantar ke hospital sakit jiwa atau penjara tetapi dia tidak lagi bebas hingga membahayakan keselamatan,” kata mangsa yang terselamat, Vegard Groslie Wennesland, sebelum keputusan diumum mahkamah. - REUTERS

Temuduga untuk jadi calon isteri lelaki kaya




SEBAHAGIAN wanita berbual semasa mereka menunggu giliran untuk ditemu duga oleh dua kakitangan Kelab Usahawan Bujang China di Beijing pada Ahad lalu.


BEIJING - Sejumlah wanita muda di China yang bergaya dengan pelbagai fesyen dan kasut duduk di atas bangku dan memegang dokumen mengandungi maklumat tentang berat badan serta ketinggian mereka.
Mereka merupakan sebahagian daripada lebih 1,000 wanita yang menghadiri proses tapisan kendalian para kakitangan Kelab Usahawan Bujang China di sini untuk menjadi 50 calon yang dibenarkan berkenalan dengan 32 lelaki kaya.
Lelaki kaya itu mungkin bakal menjadi suami mereka.
Seorang peserta wanita menyatakan, dia sanggup menangis di dalam sebuah kereta BMW daripada duduk di tempat duduk belakang basikal.
Terdapat juga seorang lagi peserta wanita yang mahu meminta wang sebanyak AS$31,000 (RM96,069) sebagai syarat untuk berjabat tangan dengan seorang lelaki.
Wanita-wanita itu perlu berumur 20 hingga 28 tahun, mempunyai ketinggian 165 sentimeter, cantik dan lemah lembut dan sekurang-kurangnya mempunyai pendidikan kolej.
Pada Ahad lalu, wanita-wanita itu dinilai oleh pihak pengendali temu duga seperti bagaimana mereka mengendalikan tekanan dan apakah yang mereka mahu daripada seorang lelaki.
Kelab itu mengenakan syarat kepada para lelaki kaya yang mahu menyertai proses pencarian jodoh itu perlu mengesahkan kekayaan mereka dan membayar yuran sebanyak AS$31,000. - AFP