Pages

Tuesday, January 3, 2012

Facebook jadi tempat cari ginjal



GAMBAR bertarikh 27 Disember lalu menunjukkan Damon Brown duduk bersama seorang anak lelakinya, Julian di rumah mereka di Seattle.


SEATTLE - Laman perkongsian sosial yang popular, Facebook menjadi tempat yang terbaik untuk mencari buah pinggang.

Facebook dan laman sosial lain kini menjadi tempat untuk mencari seorang individu yang pemurah untuk mendermakan buah pinggang mereka.

Seorang bapa, Damon Brown memperoleh satu buah pinggang menerusi Facebook selepas memberitahu kisahnya di muka surat khas yang dihasilkan dengan menggunakan namanya, Damon Kidney.

Rakan-rakan dan keluarganya kemudian menghantar kisahnya kepada setiap orang yang mereka kenali.

Dia kemudian memperoleh satu buah pinggang daripada seorang wanita yang dikenali oleh isterinya sejak bertahun-tahun.

"Dia (wanita itu) menyatakan buah pinggang itu bukan sebenarnya untuk saya. Ia adalah untuk anak-anak saya kerana mereka sepatutnya mempunyai seorang bapa," kata Brown yang berusia 38 tahun.

Menurutnya, dia berasa sedikit malu kerana terpaksa meminta pertolongan daripada orang awam.

Brown yang mempunyai dua anak telah merahsiakan penyakitnya itu.

Seorang lelaki di Michigan turut mendapat buah pinggang melalui seorang penderma menerusi Facebook manakala seorang lagi wanita mendapat buah pinggang menerusi laman Craigslist.

Jurucakap Rangkaian Bersatu Untuk Perkongsian Organ, April Paschke menyatakan, sebelum kewujudan Internet, orang ramai menggunakan buletin gereja, perbualan dan iklan untuk mencari buah pinggang. - Agensi

Gadis 15 tahun didera mertua dihantar ke India


MENTERI Hal Ehwal Wanita Dr. Husn Banu Ghazanfar melawat Sahar gul di sebuah hospital di Kalbul, Afganhistan pada Sabtu lalu.


KABUL - Seorang gadis Afghanistan, Sahar Gul yang berusia 15 tahun dan didera selama beberapa bulan oleh mertuanya sebagai cara untuk memaksanya menjadi pelacur akan dihantar ke India untuk dirawat, kata seorang pegawai negara ini semalam.

Ibu mertua dan kakak ipar Sahar ditangkap dan suami gadis tersebut diburu, kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Sediq Sediqi.

Kes itu telah mengejutkan penduduk negara ini.

Presiden Afghanistan, Hamid Karzai menyatakan sesiapa yang didapati menggunakan kekerasan terhadap Sahar akan dihukum.

Menurut beberapa pegawai di wilayah Baghlan, mertua Sahar mengurung dia di ruang bawah tanah selama enam bulan, mencabut kukunya dan menderanya dengan menggunakan seterika panas serta mematahkan jarinya.

Polis membebaskan Sahar pada minggu lalu.

Sahar dibebaskan selepas bapa saudaranya menghubungi polis.

"Ia merupakan satu tindakan ganas dan tidak dapat diterima pada abad ke-21," kata Sediq kepada pemberita.

"Kami berterima kasih kepada bapa saudara Sahar," tambahnya.

"Jika polis tidak tiba pada masa yang tepat, dia mungkin telah mati," kata Sediq.

Semua anggota badan Sahar mengalami kecederaan, tambahnya.

Menurut Sediq, terdapat tanda-tanda tubuhnya terbakar.

Dia berkata, mertua Sahar dan beberapa anggota keluarganya dilaporkan terlibat dalam apa yang dianggapnya sebagai aktiviti jenayah termasuk menjual minuman keras dan alkohol.

Sahar telah berkahwin tujuh bulan lalu.

Jurucakap polis wilayah Baghlan, Jawad Basharat menyatakan, waran tangkap telah dikeluarkan untuk menangkap suami Sahar.

Suami Sahar kini berkhidmat dengan tentera Afghanistan.

Menurut Jawad, mertua dan beberapa anggota keluarga Sahar cuba memaksanya terlibat dalam kancah pelacuran tetapi dia tidak bersetuju menyebabkan ia menjadi salah satu punca gadis tersebut dikurung. - AgensiKosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Monday, January 2, 2012

Isteri baling minyak panas, dipenjara

RAS AL KHAIMAH: Seorang wanita berusia 25 tahun, dijatuhkan hukuman penjara lima tahun kerana membaling kuali leper berisi minyak panas ke muka suaminya selepas satu pergaduhan besar.

Wanita berbangsa Nepal itu memberitahu mahkamah dia berbuat demikian sebagai tindakan mempertahankan diri daripada dipukul suaminya.myMetro | Isteri baling minyak panas, dipenjara:

'via Blog this'

Didera kerana enggan melacur

MANGSA DERA...keadaan Sahar ketika dia diselamatkan dari rumah keluarga mentuanya.
MANGSA DERA...keadaan Sahar ketika dia diselamatkan dari rumah keluarga mentuanya.

KABUL: Seorang remaja teruk didera, dibelasah dan dikurung dalam tandas oleh keluarga suaminya selama lima bulan kerana enggan menjadi pelacur.

Ketika diselamatkan dari sebuah rumah di wilayah Baghlan minggu lalu, Sahar Gul, 15, dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.


Media semalam melaporkan, Sahar bernasib baik kerana jiran terdengar dia menangis dan mengerang kesakitan di rumah berkenaan.

Menurut polis, keluarga ipar Sahar mencabut kuku dan rambut mangsa, selain menguncinya dalam tandas gelap bilik bawah tanah selama lima bulan.


Sepanjang tempoh itu, kata polis, Sahar hanya diberikan sedikit makanan dan minuman.


Untuk menambah seksaan, Sahar juga dicucuh dengan puntung rokok serta mengepit dagingnya dengan playar.

Walaupun terlalu lemah, Sahar mampu menceritakan pengalamannya kepada media.


Kata Sahar, antara yang paling kuat mendera ialah ibu mentuanya.

Pemeriksaan kesihatan menunjukkan, mangsa mengalami kecederaan fizikal dan mental, serta memerlukan beberapa minggu untuk pulih.


Pegawai kerajaan di Baghlan, Rahima Zafiri, berkata Sahar berasal dari wilayah Badakhshan dan baru kahwin tujuh bulan lalu.


“Dia dipaksa keluarga suaminya menjadi pelacur untuk mendapat wang,” katanya.


Walaupun dirawat di hospital di Kabul, Sahar mungkin terpaksa dipindahkan ke India untuk rawatan lanjut.


Menteri Kesihatan, Suraya Dalil, berkata Sahar adalah satu daripada kes paling serius berlaku terhadap wanita Afghanistan.


Sementara itu, polis Baghlan berkata, ibu mentua dan ipar Sahar berjaya ditahan, manakala suami dan bapa mentuanya sempat melarikan diri. - DMmyMetro | Didera kerana enggan melacur:

'via Blog this'

Lagi sekatan AS ke atas Iran


HONOLULU/TEHERAN 1 Jan. - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama meluluskan sekatan baru terhadap Iran semalam, sejurus selepas Teheran berkata, ia bersedia untuk mengadakan rundingan baru dengan Barat berhubung program nuklearnya dan telah menangguhkan ujian peluru berpandu jarak jauh di Teluk.

Ketegangan antara Iran dengan kuasa Barat meningkat sejak para pemimpin Kesatuan Eropah (EU) bertekad untuk mengenakan sekatan lebih ketat terhadap Teheran sebelum akhir bulan ini dalam usaha untuk memaksanya menghentikan program penyelidikan yang disyaki bertujuan untuk membangunkan senjata nuklear.

Tanpa mandat baru daripada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang sudah pun mengenakan empat pusingan sekatan global, Washington bertindak untuk meningkatkan tekanan dengan sekatan ke atas institusi-institusi kewangan yang berurusan dengan bank pusat Iran.

Rang undang-undang pembiayaan pertahanan yang ditandatangani oleh Obama semalam, setelah diluluskan oleh Kongres pada minggu lalu, bertujuan untuk mengurangkan hasil minyak yang merupakan peratusan besar daripada pendapatan eksport Iran.

Jika dikuatkuasakan dengan ketat, sekatan tersebut akan menjadikan hampir mustahil untuk kebanyakan syarikat penapis minyak membeli minyak mentah daripada Iran, pengeluar keempat terbesar di dunia.

Bagaimanapun, Obama meminta kelonggaran untuk mengenakan sekatan itu secara fleksibel, dan beliau mempunyai budi bicara untuk mengenepikan sekatan.

Pegawai kanan AS berkata, Washington berunding dengan rakan-rakan di kalangan negara asing untuk memastikan sekatan baru itu tidak menjejaskan pasaran tenaga antarabangsa.

Iran bertindak balas terhadap tekanan yang meningkat dengan memberi amaran, ia boleh menutup Selat Hormuz jika sekatan dikenakan ke atas eksport minyaknya.

Teheran menunjukkan kekuatannya dengan melancarkan latihan perang tentera laut selama 10 hari di Teluk Parsi, termasuk menjalankan ujian peluru berpandu 'jarak sederhana' darat ke udara hari ini, dalam tindakan yang mencemaskan pasaran minyak dan menyebabkan harga minyak mentah naik.

Sebelum ini, Iran mengancam untuk menutup Selat Hormuz hanya jika diserang oleh AS dan Israel. - REUTERSUtusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Pelancong Israel disyaki bakar hutan


Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh : January 2, 2012
Pelancong Israel disyaki bakar hutan

SANTIAGO - Seorang pelancong Israel ditangkap dan kemudiannya dilepaskan semula oleh pihak berkuasa Chile, selepas disyaki menyebabkan kebakaran 11,000 hektar hutan dalam taman negara Torres de Pain.

Roter Singer, 23, mengaku telah mencetuskan kebakaran berlaku di selatan negara itu selepas gagal memadamkan segulung tisu tandas yang dibakar olehnya semasa perbicaraan di Puerto Natales.

Kebakaran yang bermula Selasa lalu merebak begitu cepat berikutan keadaan yang kering dan pihak berkuasa terpaksa memindahkan 700 orang kebanyakannya pelancong dari taman yang terletak 3,000 kilometer di selatan Santiago.

Kerajaan terpaksa menggunakan empat kapal terbang dan sebuah helikopter bersama 300 anggota bomba dan renjer hutan bagi memadamkan kebakaran.

Jumaat lalu, Presiden Sebastian Pinera mengumumkan taman yang dilawati lebih daripada 100,000 pengunjung setiap tahun itu akan ditutup sepanjang bulan ini.

CAPTION : Kebakaran setakat ini telah memusnahkan hampir empat peratus dari jumlah kawasan taman negara itu.

Pelancong Israel disyaki bakar hutan - Global - Sinar Harian:

'via Blog this'

Kak Limah dipenjara dalam botol


Oleh : NIK MUHAMMAD RAFFIQ
Tarikh : January 2, 2012
Kak Limah dipenjara dalam botol

Misteri gangguan makhluk halus menyerupai hantu Kak Limah menyelubungi kehidupan satu keluarga di Kampung Temiang, Marang Terengganu sejak lebih seminggu lalu terungkai apabila seorang ustaz yang menggunakan kaedah perubatan secara Islam tampil membantu.

Proses pemulihan yang dilakukan Ustaz Nor Hasrul Mohd Hassan dari Perubatan Syifa Al Ikhlas yang berpangkalan di Serendah, Selangor itu yang tiba kira-kira jam 12 tengah hari kelmarin, bermula di rumah pusaka keluarga berkenaan di Jerangau kira-kira jam 4 petang.

Bagaimanapun usaha untuk menghalau makhluk halus di rumah Syaawal Mazlan di Kampung Temiang, di sini hanya dilakukan kira-kira jam 9 malam berikutan detik itu dikatakan bermulanya kehadiran makhluk menyerupai hantu Kak Limah itu.

Kak Limah adalah nama watak seorang wanita yang disangka jelmaan hantu dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah yang mendapat sambutan hangat di pawagam tahun lalu.

Usaha Sinar Harian untuk tiba ke lokasi berkenaan agak mencabar berikutan lokasi rumah keluarga terbabit yang agak terpencil, selain keadaan hujan lebat ditambah jarak rumah agak jauh lain merumitkan lagi proses mendapatkan maklumat daripada penduduk kampung.

Bagaimanapun, selepas berjaya masuk ke jalan yang bakal menghubungkan Kampung Temiang melalui laluan Wakaf Tapai-Marang, kewujudan sebuah warung kopi di tepi jalan dengan kesediaan pelanggannya yang terdiri daripada penduduk tempatan memberi maklumat diperlukan, memudahkan usaha untuk menjejaki rumah Syaawal yang menjadi lokasi liputan bahan berita itu.

Sebaik tiba di lokasi dituju, wartawan Sinar Harian terpaksa pula meninggalkan kereta di tepi jalan kecil kerana rumah itu terletak agak jauh di tengah padang.

Dalam keadaan hujan renyai-renyai, perjalanan menuju ke rumah itu amat mencabar. Terpaksa meredah selut berlumpur selain situasi gelap yang amat menyeramkan.

Sedia menanti termasuk bapa Syaawal, Mazlan Ali, 55, dan ahli keluarga terde­kat selain penduduk kampung turut tidak melepaskan peluang.

Sinar Harian yang tiba ke rumah papan dibina semula daripada perkayuan rumah pusaka keluarga berkenaan bagaimanapun tiba-tiba dikejutkan dengan situasi tegang melibatkan adik Syaawal, Mat Ali, 15, yang secara tiba-tiba menangis, tidak sedarkan diri dipercayai akibat dirasuk.

Selang beberapa minit kemudian, tatkala ahli keluarga sedang menenteramkan Mat Ali, kakaknya, Masliana, 31, tiba-tiba dikatakan terpandang lembaga berambut panjang duduk di alang rumah.

Ustaz Hasrul pada ketika itu berada di rumah berdekatan selepas menikmati makan malam sebaik dimaklumkan perkara itu, bergegas ke rumah Syaawal lalu terus memulakan proses menghalau makhluk halus yang merasuk.

Pada masa itulah, Masli­ana tiba-tiba menunjukkan aksi dan tenaga luar biasa, membuka pencak silat untuk bertarung dengan Ustaz Hasrul. Tiada langsung ciri-ciri kewanitaan pada lagaknya, yang kelihatan hanya langkah pendekar. Namun, biar begitu hebat pun Masliana, mudah sahaja langkahnya dimatikan Ustaz Hasrul dengan ayat suci al-Quran. Ternyata yang bersilat itu bukan Masliana sebenar tetapi makhluk halus yang menguasai tubuhnya.

Bacaan ayat al-Quran selain azan akhirnya berjaya membuat jin yang menguasai wanita itu terperangkap. Masliana pulih apabila jin terbabit berjaya dikurung di dalam botol oleh Ustaz Hasrul.
Kena sembelih

Mat Ali dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat dirasuk makhluk halus dipercayai jin kafir itu sempat berkomunikasi dengan Ustaz Hasrul sebelum jin itu dimatikan melalui sembelihan leher secara kaedah kebatinan.

Jin yang merasuk ke dalam tubuh Mat Ali akhirnya berjaya dikeluarkan selepas hampir setengah jam berhempas pulas dan ia turut dimasukkan ke dalam botol plastik.

Ustaz Hasrul kemudian menepung tawar katil pusaka dipercayai menjadi punca segala kemelut yang berlaku.

Proses rawatan tidak meng­­gunakan sebarang alat lain seperti kemenyan atau asap yang biasa digunakan bomoh tradisional kecuali air penawar itu berakhir kira-kira jam 11.15 malam, sebelum penduduk kampung bersurai setelah kesemuanya berpuas hati dengan kejayaan rawatan diberikan.

Akhirnya, kehadiran Ustaz Hasrul membantu mengusir makhluk halus yang mengganggu keluarga tanpa bayaran, berjaya mengembalikan semula keharmonian hidup keluarga Syaawal.

Kak Limah dipenjara dalam botol - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

Robot diguna bagi bantu pesakit strok



SEORANg pesakit menggunakan robot untuk menggerakkan kaki dan tangannya di Pusat Pemulihan Lanjutan Terapeutik, Hospital Tan Tock Seng di Singapura pada 18 November lalu.


SINGAPURA - Pusat Pemulihan Lanjutan Terapeutik (CART) di Hospital Tan Tock Seng milik pemerintah di sini menggunakan gajet canggih termasuk robot untuk pesakit strok dan palsi serebrum yang menjejaskan pergerakan kaki dan tangan.

"Terapi ini tidak membosankan, tidak terlalu sakit sebagai terapi fizikal kerana mesin membantu saya untuk menggerakkan lengan saya ke atas dan ke bawah," kata seorang pesakit strok, Soon Eng Sam yang berusia 70 tahun.

Dia yang terlantar selama tiga bulan kerana menghidap strok berharap penggunaan gajet baharu akan menjadikan suasana yang menggembirakan semasa rawatan pemulihan. - AFP

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Majlis tradisi elak ditanduk lembu menjelang Tahun Baru



SEORANG lelaki ditanduk oleh seekor lembu jantan di Turbaco, Colombia kelmarin.


TUBACO, Colombia - Beberapa orang ditanduk lembu jantan dalam satu majlis tradisi menjelang Tahun Baru di sini kelmarin.

Majlis itu diadakan di sebuah stadium dengan orang ramai berlari bagi mengelakkan diri daripada ditanduk lembu jantan.

Namun, terdapat beberapa orang yang tidak bernasib baik kerana mereka cedera ditanduk haiwan itu. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Sunday, January 1, 2012

Sekolah pondok Nigeria dibom


Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh : December 30, 2011

ABUJA - Sebutir bom buatan sendiri dilempar ke dalam sebuah sekolah pondok Islam di utara Nigeria, Selasa lalu, menyebabkan tujuh orang cedera.

Menurut polis, enam daripada mangsa yang tercedera adalah kanak-kanak berumur di bawah sembilan tahun yang sedang belajar mengaji al-Quran di sekolah tersebut.
Serangan ke atas madrasah itu berlaku, dua hari selepas beberapa pengebo-man gereja pada Hari Natal lalu yang membunuh 32 orang di seluruh negara.
Sekolah pondok Nigeria dibom - Global - Sinar Harian:

'via Blog this'

AS$2.1 bilion dikirim pulang pekerja Indonesia di Malaysia




2012/01/01

JAKARTA: Sejumlah AS$6.1 bilion dikirim pulang tenaga kerja Indonesia ke negara asal mereka dari Januari hingga November 2011 dan daripada jumlah itu, AS$2.1 bilion adalah dari Malaysia.

Itulah angka yang tercatat di bank pusat, Bank Indonesia (BI) dan ia tidak termasuk wang yang dikirim secara langsung oleh mereka dan melalui institusi bukan bank yang tidak direkodkan BI.
Pengarah Pemberdayaan Badan Nasional Penempatan dan Perlindungan Tenaga Kerja Indonesia (BNP2TKI), Baslian Krisnayoza, berkata kiriman wang berjumlah AS$6.1 bilion itu adalah daripada tenaga kerja Indonesia yang bekerja di kawasan Asia, Timur Tengah dan Afrika, Amerika serta kawasan Eropah dan Australia.
Kiriman pulang wang dari kawasan Asia sahaja sudah berjumlah AS$3.5 bilion iaitu dari Malaysia AS$2.1 bilion, Taiwan (AS$448 juta), Hongkong (AS$441 juta), Singapura (AS$238 juta), Jepun (AS$146 juta), Korea Selatan (AS$85 juta), Brunei (AS$53 juta), Macao (AS$38 juta) dan lain-lain AS$2.69 juta, katanya dalam siaran berita di sini.

Kiriman dari Asia Barat dan Afrika berjumlah AS$2.4 bilion dengan sebahagian besarnya dari Arab Saudi iaitu Rp2.0 bilion, kiriman dari Amerika berjumlah AS$129 juta manakala kiriman dari kawasan Eropah dan Australia pula berjumlah AS$22.3 juta.

"Secara keseluruhan, kiriman 2011 yang berjumlah AS$6.1 bilion mengalami penurunan apabila dibandingkan dengan kiriman 2010 yang berjumlah AS$6.7 bilion," katanya. - BERNAMA
Berita Harian Online | AS$2.1 bilion dikirim pulang pekerja Indonesia di Malaysia:

'via Blog this'

50 maut dalam pertempuran kaum di Nigeria




2012/01/01

LAGOS: Sekurang-kurannya 50 orang terbunuh berikutan pertempuran antara dua komuniti berjiran di Ebonyi di tenggara Nigeria, kata seorang jurucakap kerajaan.

“Lebih 50 orang terbunuh apabila sekumpulan orang dari komuniti Ezza menyerang komuniti Ezilo akibat perbalahan mengenai soal tanah," kata Onyekachi Eni menerusi telefon.
Namun, katanya, pertempuran itu tidak berhubung kait dengan serangan kumpulan militan Boko Haram. - AFP
Berita Harian Online | 50 maut dalam pertempuran kaum di Nigeria:

'via Blog this'

Obama lulus sekatan baru terhadap Iran




2012/01/01

HONOLULU, Hawaii: Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, menandatangani undang-undang sekatan baru lebih ketat yang menyasar bank pusat Iran dan sektor kewangan, tindakan yang boleh mencetus ketegangan di Teluk Parsi.

Langkah yang bertujuan menghukum Iran kerana meneruskan program nuklear itu terkandung dalam Belanjawan Pertahanan bernilai AS$662 bilion.
Sekatan itu bertujuan memberi tekanan terhadap sektor minyak Iran dan memaksa firma antarabangsa memilih antara berurusan dengan sektor kewangan dan bank pusat Iran atau menghadapi ekonomi AS dan sektor kewangan yang gah.
Bank pusat negara lain yang berurusan dengan bank pusat Iran berhubung urusniaga minyak juga berhadapan dengan sekatan, sekali gus mencetus kebimbangan ia akan menjejaskan hubungan dengan negara utama seperti Russia dan China yang berdagang dengan Iran.

Obama menandatangani rang undang-undang itu di Hawaii di mana beliau sedang bercuti ketika ketengangan dengan Tehran meningkat.

Iran sebelum ini mengancam akan menutup Selat Hormuz yang mana satu per tiga minyak dunia diangkut menerusinya.

AS juga menegaskan ia tidak akan membiarkan perkara itu berlaku. - AFP
Berita Harian Online | Obama lulus sekatan baru terhadap Iran:

'via Blog this'

Gempa bumi kuat 7.0 magnitud gegar Tokyo




2012/01/01

TOKYO: Gempa bumi kuat 7.0 magnitud menggegarkan Tokyo, menurut Agensi Meteorologi Jepun, tetapi tiada laporan segera mengenai kerosakan atau kecederaan dan tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Gempa bumi itu berlaku pada 2.28 petang waktu tempatan (0528 GMT). Pusat gempa berdekatan Torishima, sebuah pulau 560 kilometer ke selatan Tokyo, pada kedalaman 370 kilometer.
Gempa bumi itu menggoyangkan bangunan di Tokyo tetapi tidak mengganggu perlawanan bola sepak Piala Maharaja yang sedan berlangsung di Stadium Nasional. - A
Berita Harian Online | Gempa bumi kuat 7.0 magnitud gegar Tokyo:

'via Blog this'

Iran uji roket jarak jauh

PASUKAN keselamatan Iran melepaskan roket dari sebuah bot ketika latihan ketenteraan di Selat Hormuz, kelmarin.
PASUKAN keselamatan Iran melepaskan roket dari sebuah bot ketika latihan ketenteraan di Selat Hormuz, kelmarin.
Latihan ketenteraan di Selat Hormuz dianggap provokasi ke atas kuasa Barat

TEHRAN: Iran mengumumkan pihaknya akan melakukan ujian peluru berpandu jarak jauh sebagai sebahagian daripada latihan tentera di Teluk Parsi.

Pengumuman itu dibuat di tengah ketegangan antara Iran dan kuasa Barat berikutan ancaman Tehran untuk menyekat jalan pengangkutan minyak melalui laluan strategik, Selat of Hormuz.
Pegawai kanan tentera laut Iran berkata bahawa ujian peluru berpandu dari darat ke laut, antara permukaan dan peluru berpandu udara, akan dilakukan ujian di Teluk Oman di selatan Teluk Parsi, lapor The Telegraph.
Naib presiden Iran, Mohammed Reza Rahimi baru-baru ini memberi amaran bahawa ‘walau setitik minyak’ tidak akan dibenarkan melepasi laluan Selat Hormuz jika Eropah dan Amerika Syarikat meneruskan rancangan untuk menghukum Tehran berikutan aktiviti nuklearnya dengan mengenakan sekatan terhadap eksport sumber tenaga.

Ancaman itu memaksa satu maklum balas keras dari Amerika Syarikat di mana ia mengatakan bahawa cubaan halangan itu tidak akan membabitkan toleransi.

Ia membangkitkan kebimbangan bahawa Amerika Syarikat boleh menghantar kapal perang ke rantau itu untuk melindungi perkapalan antarabangsa.

Dua kapal laut Amerika Syarikat dilaporkan memasuki zon di mana Iran mengadakan latihan perangnya pada Khamis walaupun pihak tentera menegaskan bahawa mereka dalam misi rutin.
Sementara itu seramai 5,283 orang termasuk 390 wanita berdaftar untuk menjadi calon dalam pilihan raya Parlimen Iran yang dijadual pada 2 Mac, kata Kementerian Dalam Negeri semalam.

Majlis Ulama Iran, panel yang terdiri daripada ulama konservatif dan pakar undang-undang, memantau calon berdaftar sama ada mereka mematuhi syarat yang untuk mengisi 290 kerusi di Parlimen.

Setiap calon mestilah warga Iran berusia antara 30 hingga 75 tahun yang akan menegakkan perlembagaan yang mensyaratkan kuasa mutlak di tangan pemimpin agung, Ayatollah Ali Khamenei.

Calon perlu mempunyai ijazah sarjana atau setaraf.

Majlis itu turut bertanggungjawab menyelia pilihan raya dan meluluskan keputusan pengundian.

Parlimen Iran ketika ini dikuasai pihak konservatif. Mereka bukanlah blok sendirian, bagaimanapun ia akan mewakili beberapa senarai.

Mereka juga termasuk 60 reformis tetapi parti reformis utama yang sesetengahnya diharamkan tidak akan menyertai pilihan raya.

Bagaimanapun, sesetengah calon dari kem reformis sudah mendaftar, menurut media Iran.

Pilihan raya pada Mac akan menjadi kali pertama sejak pertelingkahan dalam pilihan raya semula 2009 oleh Presiden Mahmoud Ahmadinejad, yang mengumumkan kemenangan walaupun mencetuskan dakwaan penipuan dan protes besar-besaran yang ditangani dengan kekerasan. - AFP.
Berita Harian Online | Iran uji roket jarak jauh:

'via Blog this'

Tokoh-tokoh AS digodam


BOSTON 31 Dis. - Penggodam terdiri daripada anggota kumpulan gabungan Anonymous baru-baru ini, menyiarkan beratus-ratus ribu alamat e-mel dan beribu-ibu nombor kad kredit milik pelanggan syarikat analisis perisikan swasta, Strategic Forecasting Inc.

Senarai yang disiarkan di Internet pada Khamis lalu itu termasuk membabitkan individu terkemuka seperti bekas Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) Dan Quayle, bekas Setiausaha Negara, Henry Kissinger dan bekas Pengarah Agensi Siasatan Pusat (CIA), Jim Woolsey.

Senarai itu juga termasuk maklumat sejumlah besar mereka yang bekerja dengan syarikat-syarikat besar AS, ketenteraan AS dan kontraktor-kontraktor pertahanan besar.

Penggodam dilaporkan menggunakan taktik pengedaran e-mel bervirus dikenali sebagaispear phishing untuk memperdayakan mangsa.

Pada minggu lalu, penggodam yang dikenali sebagai Antisec itu mendedahkan telah menggodam firma yang dikenali sebagai Stratfor dan menyatakan pendedahan data yang diperolehi mereka itu nanti akan mencetuskan huru-hara.

Antisec, bagaimanapun tidak mendedahkan bila ia akan melakukannya tetapi penganalisis politik menyatakannya ia mungkin mengandungi maklumat yang akan memalukan kerajaan AS.

Stratfor, semalam dalam satu kenyataan mengesahkan e-mel yang disiarkan itu telah dicuri daripada pangkalan data mereka dan mereka sedang membantu penguat kuasa undang-undang untuk menyiasat perkara itu. - REUTERS

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

35 lagi korban pemberontakan di Syria



Kumpulan penunjuk perasaan anti-kerajaan memakai topeng bagi melindungi daripada gas pemedih mata yang dilemparkan oleh pasukan keselamatan Syria di Adlb, kelmarin. - REUTERS


BEIRUT 31 Dis. - Harapan untuk melihat pemberontakan berdarah di Syria selama sembilan bulan berakhir dengan kehadiran pasukan pemerhati daripada Liga Arab, berkecai setelah 35 lagi penduduk awam terbunuh apabila tentera melepaskan tembakan ke arah beratus ribu penunjuk perasaan antikerajaan di Damsyik dan bandar-bandar lain, semalam.

Menurut Jawatankuasa Koordinator Tempatan, rangkaian aktivis yang menganjurkan protes melaporkan sekurang-kurangnya 35 orang terbunuh dalam protes di seluruh Syria, semalam.

Mereka termasuk sembilan orang yang terbunuh di pusat bandar Hama dan lima di selatan bandar Dara, tempat di mana pasukan pemerhati Liga Arab ditempatkan.

Aktivis pembangkang sebelum ini telah menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap misi pemerhati Liga Arab yang dihantar untuk memantau keadaan di Syria serta memastikan Damsyik mematuhi pelan damai serantau yang menggesa tentera keluar dari kawasan bandar, tahanan politik dibebaskan dan akses bebas kepada media.

Menurut aktivis, misi itu terlalu kecil dan senang diperdaya oleh kerajaan.

Sementara itu, pegawai-pegawai Syria menegaskan bahawa mereka melaksanakan pelan damai itu.

Tunjuk perasaan, semalam merupakan antara yang terbesar dan paling banyak sepanjang minggu ini apabila kumpulan pemberontak menggesa penyokong mereka menunjukkan kekuatan dengan menawan semula dataran-dataran bandar.

Beratus-ratus ribu orang dilaporkan berhimpun di jalan-jalan raya selepas solat Jumaat, semalam. - REUTERS/ AGENSI

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'