Pages

Sunday, November 27, 2011

Wang darah RM1.7j untuk bebas

JEDDAH; Seorang amah warga Indonesia perlu membayar wang darah atau denda sebanyak dua juta riyal (RM1.7 juta) untuk mengelak hukuman mati.

Satinah yang didapati bersalah membunuh majikannya kira-kira empat tahun lalu, diberi tempoh sehingga akhir Disember ini untuk menjelaskan wang darah itu.


Keluarga mangsa sebelum ini enggan memaafkannya, sebaliknya mahukan hukuman pancung itu dijalankan segera. -Agensi

myMetroWang darah RM1.7j untuk bebas:

'via Blog this'

Bantah PM baru Mesir

SEORANG penunjuk perasaan yang cedera diusung oleh rakannya selepas pertempuran dengan anggota pasukan keselamatan berhampiran Dataran Tahrir di Kaherah, semalam.
SEORANG penunjuk perasaan yang cedera diusung oleh rakannya selepas pertempuran dengan anggota pasukan keselamatan berhampiran Dataran Tahrir di Kaherah, semalam.

KAHERAH: Penunjuk perasaan semalam meneruskan tuntutan mereka supaya majlis tentera menamatkan pemerintahannya sementara beberapa pertempuran berlaku berhampiran Dataran Tahrir, dua hari sebelum pilihan raya Parlimen.

Ratusan penunjuk perasaan berkhemah sepanjang malam di dataran itu dan sebahagian mereka berarak menuju ke bangunan Parlimen berhampiran pada awal pagi untuk membantah perlantikan perdana menteri baru oleh majlis tentera.


Majlis berkenaan kelmarin melantik Kamal Ganzouri untuk membentuk Kabinet baru. Kamal pernah menjadi perdana menteri ketika pemerintahan Hosni Mubarak.

Polis bertindak melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan itu. Empat orang dilapor cedera.


Pertempuran singkat itu adalah yang pertama selepas keganasan terhenti dua hari lalu setelah 41 orang terbunuh dalam pertempuran selama beberapa hari sejak Sabtu lalu.


Sementara itu, kumpulan yang berhimpun di Dataran Tahrir melaungkan slogan mendesak Ketua Majlis Tentera, Mohamed Hussein Tantawi meletak jawatan.

Jumaat lalu, puluhan ribu rakyat Mesir mengadakan perhimpunan besar-besaran bagi mendesak Majlis Tertinggi Angkatan Tentera menyegerakan penyerahan kuasa kepada orang awam yang mereka percaya memerlukan pemimpin tentera berundur sekarang.


Kekacauan politik dan keganasan memburukkan keadaan ekonomi negara itu yang teruk terjejas sejak penggulingan Hosni Februari lalu.

Sehingga ini, belum ada tanda-tanda menunjukkan pemimpin tentera bersedia untuk memenuhi tuntutan penunjuk perasaan.


Mereka sebaliknya berjanji bahawa presiden baru akan dilantik menerusi pilihan raya pada pertengahan tahun depan, lebih cepat daripada yang diumumkan sebelum ini serta melantik Kamal, 78, untuk mengetuai kerajaan sementara.


Sementara itu, majlis tentera mengumumkan setiap peringkat pengundian akan diadakan selama dua hari bagi memberi peluang semua orang mengundi.


Pengundian akan bermula esok tetapi tidak akan berakhir sehingga awal Januari kerana ia terpaksa melalui pelbagai peringkat. - AP

myMetroBantah PM baru Mesir:

'via Blog this'

Maut dalam lubang digali

 ANGGOTA UPP mengeluarkan  mayat Abdul Hamid selepas insiden  berhampiran kuarters UPP di Bukit Kayu Hitam, kelmarin.
ANGGOTA UPP mengeluarkan mayat Abdul Hamid selepas insiden berhampiran kuarters UPP di Bukit Kayu Hitam, kelmarin.
Pemandu jengkaut tertimbus ketika periksa mata jentera tersangkut

BUKIT KAYU HITAM: Seorang pemandu jengkaut maut apabila tebing lubang yang digalinya sedalam hampir tiga meter runtuh dan menimpanya ketika mangsa masuk ke dalam lubang berkenaan untuk memeriksa mata jenteranya yang tersangkut, pagi kelmarin.

Kejadian berhampiran Kuaters Unit Pencegah Penyeludupan (UPP), di sini, berlaku kira-kira jam 10.45 pagi ketika mangsa, Abdul Hamid Ismail, 47, turun ke dalam lubang untuk memeriksa mata jengkautnya yang dipercayai tersangkut pada batang paip ketika mengorek lubang di situ.
Rakannya, Supian Ariffin, 45, berkata ketika itu dia pergi mengambil tukul besi di dalam kereta kira-kira 30 meter dari lokasi mereka bekerja.
“Saya nampak dia masuk ke dalam lubang itu tetapi tiba-tiba tebing runtuh lalu menimpanya. Saya cuba menarik tangannya tetapi gagal.

“Berikutan itu saya terpaksa mendapatkan bantuan anggota UPP yang berada kira-kira 200 meter dari situ, tetapi sebaik tiba di lubang berkenaan Abdul Hamid dipercayai sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Teja, Changlun, dekat sini, semalam.

Mayat mangsa dikeluarkan dengan bantuan pasukan bomba dan penyelamat dan dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Jitra untuk dibedah siasat.

Isteri mangsa, Rosmah Abdullah, 50, berkata, dia tidak menyangka gurauan suaminya untuk melangsaikan semua hutang kepadanya adalah petanda dia akan pergi meninggalkan mereka buat selama-lamanya.
Berita Harian Online | Maut dalam lubang digali:

'via Blog this'

Pemuda dikhuatiri lemas

ANGGOTA  Jabatan Pertahanan Awam Malaysia mengusung warga emas, Esak Omar, 71 yang uzur dari Kampung Gelong Gajah, Tumpat ke balai raya berdekatan semalam.
ANGGOTA Jabatan Pertahanan Awam Malaysia mengusung warga emas, Esak Omar, 71 yang uzur dari Kampung Gelong Gajah, Tumpat ke balai raya berdekatan semalam.
KOTA BHARU: Seorang pemuda yang dilarang beberapa kali penduduk Kampung Pantai Kuala Pak Amat, Pengkalan Chepa, dekat sini daripada mandi di laut, dikhuatiri lemas dihanyutkan ombak kuat, kira-kira jam 4 petang semalam.

Mohd Farid Mohd Yusoff, 20, dikatakan tetap berkeras dan mandi berseorangan ketika kejadian walaupun sudah dinasihatkan penduduk supaya tidak berbuat demikian kerana keadaan laut berbahaya di kawasan itu yang sebelum ini juga pernah merekodkan kes lemas.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Saipu Bahari Mat Noor, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu jam 4.55 petang dan menghantar enam anggota termasuk dua anggota bomba sukarela.
“Usaha mencari pemuda itu sedang dilakukan dengan bantuan Unit Skuba selain anggota bomba dan penduduk. Sehingga jam 6.30 petang ini (semalam), mayat mangsa belum ditemui,” katanya.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Kelantan setakat petang semalam adalah 1,623 orang membabitkan 397 mangsa di jajahan ini, Pasir Mas (1,148) dan Tumpat (78).

Di KUALA TERENGGANU, sehingga jam 6.30 petang semalam, 272 mangsa banjir masih ditempatkan di lima pusat pemindahan di Setiu, Marang, Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu, manakala tujuh mangsa terakhir di Sekolah Padang Kemunting, Kemaman sudah dibenarkan pulang.

Seramai 77 mangsa daripada 15 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan Kampung Beris Tok Ku di Setiu, 23 orang daripada tujuh keluarga di Marang, 165 daripada 37 keluarga di Kuala Terengganu dan tujuh mangsa daripada dua keluarga di Hulu Terengganu.
Di KUANTAN, cuaca panas sejak kelmarin membolehkan 11 mangsa yang ditempatkan di Balai Raya Kampung Chendor, dekat Cherating sejak Khamis lalu, pulang ke rumah sebelum pusat pemindahan banjir yang menempatkan dua keluarga berkenaan ditutup semalam.
Berita Harian Online | Pemuda dikhuatiri lemas:

'via Blog this'

Pesta beli-belah bertukar ganas di AS

PEMBELI berpusu-pusu masuk ke kompleks Macy di New York, kelmarin.
PEMBELI berpusu-pusu masuk ke kompleks Macy di New York, kelmarin.
Perompak tembak pembeli enggan serah barang, pelanggan sembur lada rebut tuala

NEW YORK: Detik bermula musim belah-belah sebelum perayaan Krismas yang digelar ‘Black Friday’ di Amerika Syarikat memalit tragedi hitam selepas orang ramai bersesak merebut membeli permainan video, pembuat waffle dan tuala hingga ada yang menggunakan taktik ganas.

Satu daripada insiden paling luar biasa pada hari itu berlaku di Los Angeles apabila 20 orang cedera selepas seorang wanita di gedung Walmart menggunakan semburan lada untuk mendapatkan permainan Xbox.
Walmart kelihatan mengalami hari paling buruk berbanding mana-mana peruncit ketika pelanggan menjerit, menolak dan menyiku antara satu sama lain semata-mata untuk berjimat.
Insiden di seluruh negara termasuk seorang lelaki ditembak perompak di tempat letak kereta di luar San Leandro, kedai di California dan pelanggan disembur penyembur lada oleh pengawal keselamatan di sebuah kedai di Kinston, Carolina Utara.

Perebutan untuk memiliki tuala direkodkan di sebuah kedai di Michigan hingga menjadi klip sensasi YouTube. Perebutan hingga membawa kepada pergaduhan kerana merebut tuala murah juga berlaku di sebuah gedung Walmart di Oregon, Ohio.

“Mereka berebut untuk mendapatkan tuala mandi yang dijual pada harga AS$1.88 (RM6.01), sukar dipercayai,” kata Sarjan Jason Druckenmiller.

“Seorang wanita cuba berebut tuala apabila dia ditolak dari belakang menyebabkannya bertindak balas terhadap orang itu.”
Jurucakap syarikat itu, Greg Rossiter berkata, pergaduhan di beberapa kedai mencemarkan permulaan musim membeli belah Krismas di beribu gedung Walmart.

Rakaman video keganasan membeli belah memenuhi YouTube lewat kelmarin. Satu klip menunjukkan sekumpulan pelanggan merempuh dan mengoyakkan kotak telefon bimbit murah percuma untuk semua. Satu lagi menunjukkan pelanggan membanjiri kedai ketika pintu baru dibuka.

“Inikah apa yang sudah manusia capai?” tanya seseorang yang mengulas secara online. Seorang lagi berkata ‘keadaan seperti piranha sedang menyerbu makan dengan lahapnya.”

Contoh lagi saat klasik adalah klip video suasana huru hara di Arkansas untuk merebut pembuat waffle berharga AS$2 (RM6.39).

Klip yang bergoyang selama 48 saat itu menunjukkan sekumpulan pelanggan lelaki mencangkung dan menjerit, wanita dan kanak-kanak memanjat antara satu sama lain, merebut dan membaling kotak dengan seorang wanita tidak perasan seluarnya terlondeh.

“Oh Tuhan!” kedengaran seorang wanita menjerit dengan suara nyaring. Seorang penonton video menulis: “Inilah kemuncak tamadun Barat.”

Sebuah gedung Walmart di Cave Creek, Arizona, dikosongkan malam Khamis lalu selepas sebuah bungkusan mencurigakan ditemui dalam bilik rehat pekerja, kata jurucakap Maricopa County Jabatan Sherif, Christopher Hegstrom. Robot polis mengambil bungkusan itu manakala anjing pengesan bom menggeledah kedai sebelum ia dibuka.

Satu lagi rakaman video yang banyak dilihat di YouTube menunjukkan seorang lelaki tua yang cedera dipukul polis di Walmart Arizona.

Video menunjukkan lelaki itu tidak sedarkan diri dan berdarah pada muka ketika polis menggulingkannya dan mengelap darah. Ada yang membantah tindakan polis, menuduh mereka bertindak kejam dan menyuruh orang lain menelefon 911 untuk bantuan kecemasan. – Reuters
Berita Harian Online | Pesta beli-belah bertukar ganas di AS:

'via Blog this'

KALAU JODOH TAK KE MANA




MOHAMED Zulfazli Abdul Ghani dan Nurhafiza Anati Ab. Rahim menaiki sampan di hadapan rumah mereka yang ditenggelami air di Kampung Nyatoh, Setiu, Terengganu, semalam. – MINGGUAN/SITI AIRUNNISA ALAUI



IBARAT pepatah ‘kalau jodoh tak ke mana’, pasangan pengantin Mohamed Zulfazli Abdul Ghani, 31, dan Nurhafiza Anati Ab. Rahim, 25, tetap melangsungkan perkahwinan mereka selepas rumah pengantin perempuan ditenggelami air.
Majlis akad nikah Mohamed Zulfazli, seorang juruteknik dari Perak, dan Nurhafiza, pengurus makanan segera, diadakan kelmarin manakala acara kenduri dan bersanding semalam di Masjid Kampung Penarik dekat Kampung Nyatoh, Setiu, Terengganu.
Pasangan itu gembira majlis perkahwinan mereka dapat dilangsungkan dalam suasana meriah dengan kehadiran lebih 1,000 tetamu.
Utusan Malaysia Online - Berita Utama:

'via Blog this'

Tukang kebun parah disondol babi hutan 60kg



KEADAAN Nordin yang cedera akibat diserang babi hutan dan dirawat di HSAH, Alor Setar semalam.


SUNGAI PETANI - Seorang tukang kebun sekolah cedera parah akibat disondol seekor babi hutan di pekarangan rumahnya di Kampung Pokok Asam Lama, Bukit Jenun, Pendang dekat sini semalam.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 1.15 pagi ketika mangsa, Nordin Said, 51, sedang tidur di dalam rumahnya.

Menurut adik mangsa, Jaafar Said, 37, (gambar) abangnya kemudian dikejutkan dengan bunyi bising dari halaman rumah.

"Pada mulanya dia menyangka ia bunyi kambing memijak atap zink yang diletakkan di luar rumah.

"Dia kemudian keluar dan melihat kawasan sekitar rumahnya tetapi tiba-tiba seekor babi hutan menyondolnya," katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini semalam.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Banjir di empat negeri makin pulih



BEBERAPA penduduk membersihkan sampah sarap yang dihanyutkan air selepas banjir mulai surut di Kampung Permaisuri, Setiu semalam .


KOTA BHARU - Keadaan banjir semakin pulih apabila 2,329 mangsa kini masih berada di pusat pemindahan di empat buah negeri yang dilanda bencana tersebut semalam.

Menurut laman rasmi e-Banjir Kelantan, jumlah mangsa di negeri tersebut ialah 1,760 orang yang melibatkan tiga daerah iaitu Kota Bharu, Pasir Mas dan Tumpat berbanding 1,817 kelmarin di enam daerah.

Sehingga pukul 5 petang semalam paras air di Sungai Golok, Rantau Panjang masih mencatat paras bahaya tetapi menurun kepada 10.17 meter berbanding 10.24 meter kelmarin.

Laluan yang ditutup kepada semua kenderaan merangkumi Pohon Tanjung-Rantau Panjang (Jalan Lama) Kampung Siram, Jalan Rantau panjang-Panglima Bayu, Jalan Cabang Empat- Kampung Jambu, Tumpat dan Jalan Banggol Kulim Lokasi Dua.

Di Kuala Terengganu, hanya 561 mangsa masih ditempatkan di pusat-pusat pemindahan semalam berbanding 761 orang kelmarin.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negeri berkata, setakat pukul 5 petang, sebanyak 12 pusat pemindahan masih dibuka masing-masing tujuh di daerah Setiu, Kuala Terengganu (2), Marang (2) dan Hulu Terengganu (1).

Daerah Besut dan Kemaman telah pulih sepenuhnya apabila kesemua mangsa banjir telah dibenarkan pulang sejak kelmarin.

Dalam pada itu, lapan jalan raya yang ditutup semalam telah dibuka kepada semua kenderaan dengan hanya tiga laluan yang masih ditutup akibat dinaiki air.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Ancaman perogol bersiri berakhir


SUSPEK (gambar kiri) ditangkap ketika cuba merogol mangsa ke-20 dalam asrama pekerja yang terletak di dalam bangunan ini di Kota Bharu kelmarin.


KOTA BHARU – Pemburuan polis Kelantan terhadap seorang lelaki yang dilabelkan sebagai penjenayah seks paling dikehendaki berakhir apabila dia ditangkap oleh orang awam ketika cuba merogol mangsa dalam sebuah asrama di sini kelmarin.

Gadis berusia dalam lingkungan 20-an itu yang bekerja sebagai jurujual sepatutnya menjadi mangsa ke-20 lelaki tersebut.

Namun kegiatan licik suspek yang juga penganggur berusia 29 tahun itu memerangkap diri sendiri apabila suaranya dalam rumah perempuan itu menarik perhatian jiran mangsa yang menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada seorang wanita yang bertugas sebagai penjaga asrama tersebut pada pukul 11.10 pagi kelmarin.

Penjaga asrama itu bersama dua lelaki yang juga pekerja di sebuah kedai datang menyiasat atas kepercayaan ada penghuni membawa masuk teman lelaki tetapi kemudian terkejut mendapati suspek cuba merogol mangsa yang diikat dengan wayar seterika.

“Dua pekerja itu kemudian menangkap lelaki tersebut sebelum diserahkan kepada polis.

“Saya nampak ada kesan luka pada pipi mangsa dan tangannya diikat dengan wayar seterika,” kata wanita berusia 30 tahun itu yang enggan identitinya didedahkan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek tetapi enggan mengulas lanjut.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Chavez bawa pulang simpanan emas negara RM35.1 bilion



BEBERAPA kereta perisai membawa jongkong emas melintasi Istana Miraflores di Caracas kelmarin. - Reuters


CARACAS - Venezuela kelmarin menerima penghantaran pertama simpanan jongkong emas negara berkenaan yang berada di seberang laut, kata Presiden Hugo Chavez.

Chavez berkata, penghantaran tersebut dibuat selepas Venezuela meminta semua simpanan emasnya di luar negara dipulangkan.

Simpanan emas Venezuela itu di beberapa buah bank Eropah termasuk Britain itu dibawa dengan sebuah penerbangan dari Paris.

Askar-askar kemudian mengawal emas tersebut yang diisi ke dalam sekurang-kurangnya lima buah kereta perisai menuju ke Bank Pusat di Caracas.

Pada Ogos lalu, Chavez mengumumkan rancangan mendapatkan kembali simpanan emas Venezuela di luar negara berjumlah 211.35 tan dan bernilai AS$11 billion (RM35.1 bilion).

Beliau juga mengisytiharkan hasratnya untuk memindahkan aset cair Venezuela berjumlah AS$6.2 (RM19.5 bilion) bilion yang disimpan di Bank Switzerland, Britain, Perancis dan Amerika Syarikat (AS) ke negara rakan seperti China, Rusia dan Brazil. - AFP

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Hari Black Friday dicemari keganasan



SEORANG wanita berehat bersama barangan yang dibelinya selepas penat membeli-belah di Dataran Herald, New York kelmarin. - AP


NEW YORK, AS - Hari membeli-belah dikenali sebagai Black Friday terpalit sejarah hitam buat pengguna di AS kelmarin selepas banyak pergaduhan tercetus ekoran orang ramai berebut-rebut mendapatkan pelbagai barangan seperti permainan video dan tuala pada harga runtuh.

Insiden di luar jangkaan berlaku di sekitar Los Angeles apabila 20 orang cedera selepas seorang wanita di sebuah pasar raya Walmart menggunakan semburan lada untuk mengusir pembeli-pembeli lain dalam perebutan untuk mendapatkan konsol permainan video Xbox.

Rangkaian pasar raya Walmart kecoh setiap kali jualan Black Friday tiba berikutan perilaku tidak bermoral pengunjung yang saling menjerit, menolak dan menyiku semata-mata kerana mahu menjimatkan beberapa dolar.

Selain Walmart, kekecohan turut direkodkan di sebuah kedai di negeri Michigan. Pembeli bergaduh untuk mendapatkan tuala dengan insiden tersebut mencetuskan sensasi di laman web YouTube.

Perebutan tuala murah turut menimbulkan kekecohan di kedai Walmart di bandar Oregon, Negeri Ohio.

"Mereka bergaduh kerana berebutkan tuala mandi yang dijual semurah AS$1.88 (RM6), sungguh tidak munasabah," kata seorang anggota polis, Sarjan Jason Druckenmiller.

"Seorang wanita cuba mendapatkan beberapa helai tuala apabila dia ditolak dari belakang, dia kemudian berpaling dan melepaskan beberapa pukulan," tambahnya.

Black Friday menandakan bermulanya musim membeli-belah sempena perayaan Hari Krismas di AS. - Reuters

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

NASA hantar kenderaan penjelajah ke Marikh



ROKET Atlas V yang membawa kenderaan penjelajah Makmal Sains Marikh di pusat pelancaran di Cape Canaveral, Florida kelmarin. - Reuters


CAPE CANAVERAL, Amerika Syarikat (AS) - Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika (NASA) bersedia untuk melancarkan kenderaan robotik paling canggih dan berkuasa pernah dibina ke planet Marikh semalam.

Pelancaran tersebut adalah untuk meneroka sekali gus mencari tanda-tanda wujudnya kehidupan di planet merah itu.

Kenderaan enam roda berkenaan yang dinamakan Makmal Sains Marikh (MSL), dijana bahan api nuklear. Ia dijadual dilancarkan pukul 10.02 pagi waktu AS dari Stesen Tentera Udara Cape Canaveral di negeri Florida dengan menggunakan roket Atlas V.

"Inilah mesin idaman saintis-saintis yang mengkaji Planet Marikh," kata timbalan projek MSL, Ashwin Vasavada.

"Ini ialah kenderaan penjelajah yang paling berkeupayaan pernah dihantar, kami amat teruja," tambahnya.

Berharga AS$2.5 bilion (RM7.9 bilion), kenderaan itu mampu menghantar maklumat terperinci mengenai batu-batan di permukaan Marikh dan petanda sama ada kehidupan pernah wujud di planet berkenaan. - AFP

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Ekspatriat Mesir mula mengundi


SEORANG penunjuk perasaan yang cedera dibantu beberapa rakannya berhampiran Dataran Tahrir, Kaherah, Mesir semalam. - AP


KAHERAH - Lebih 100,000 warga Mesir yang menetap di luar negara buat pertama kalinya mengundi dalam pilihan raya Parlimen dengan membuang undi di pejabat kedutaan konsulat Mesir, kata pemerintah semalam.

Proses pengundian tersebut dijalankan menjelang pilihan raya Parlimen Mesir esok. Pilihan raya tersebut diadakan bagi memilih anggota Parlimen Mesir.

Sebelum ini, rejim yang dipimpin Presiden Hosni Mubarak melarang berjuta-juta rakyat Mesir yang menetap di luar negara daripada mengundi dalam mana-mana pilihan raya di negara itu.

Namun, selepas rejim Mubarak tumbang pada Februari lalu, larangan tersebut ditarik balik oleh pentadbiran baharu Mesir.

"Lebih 100,000 ekspatriat Mesir telah membuang undi hari ini manakala proses pengundian berjalan lancar," kata pemerintah dalam laman Facebooknya.

Menurut laman berita Ahram, cuma 300,000 daripada sejumlah 8 juta penduduk Mesir di luar negara telah mendaftar sebagai pengundi.

Negara berkenaan memiliki sekitar 80 juta penduduk.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang pemuda berusia 19 tahun terbunuh semalam semasa polis menyerbu kumpulan penunjuk perasaan yang menuntut pemerintahan tentera di Mesir ditamatkan segera.

Kumpulan-kumpulan penunjuk perasaan bergerak dari Dataran Tahrir di sini dan menghalang pintu masuk ke ibu pejabat Kabinet.

Mereka memprotes perdana menteri baharu yang dilantik oleh Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata Mesir, Kamal Al-Ganzuri. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Saturday, November 26, 2011

Warga Pakistan dicekup khalwat


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : November 26, 2011
Khalwat

AMPANG - Seorang lelaki warga Pakistan ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), dan pegawai Masjid Al-Azim kerana berkhalwat de­ngan seorang wanita warga Filipina di sebuah rumah kedai di Taman Kosas, semalam.

Pekerja kontraktor itu dicekup di bilik sewa kira-kira jam 3 pagi bersama wanita berusia 28 tahun itu.

Operasi tersebut dijalankan setelah pihak pegawai Masjid Al-Azim, menerima maklumat orang awam me­ngenai kehadiran wanita bukan Muslim di rumah berkenaan.

Pegawai Masjid Al-Azim Pandan Indah, Ahmad Nawi Osman berkata, beliau dan anggotanya mengetuk pintu kediaman tersebut beberapa kali, sebelum pintu rumah dibuka rakan lelaki berkenaan.

“Kami mendapati lima lelaki sedang tidur di ruang tamu, manakala pasangan berkenaan tidur di se­buah bilik,” katanya.

Beliau berkata, lelaki berusia 34 tahun itu hanya berseluar pendek tanpa baju, manakala wanita itu memakai baju tidur.

“Wanita itu bekerja sebagai pembantu rumah telah mendiami rumah itu, selama dua minggu. Kami mengarah­kan wanita itu meninggalkan rumah tersebut, manakala lelaki itu diwajibkan hadir ke Masjid Al-Azim untuk sesi kaunseling esok,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menjalankan operasi ini di bawah Seksyen 29, Enakmen Jenayah Syariah Jais 1995, jika sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau penjara 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

Warga Pakistan dicekup khalwat - Jenayah - Sinar Harian:

'via Blog this'

Kereta terbabas, 2 terbunuh, 3 parah


Oleh : BERNAMA
Tarikh : November 26, 2011
eksiden

SEREMBAN - Dua lelaki maut manakala tiga lagi parah apabila kereta yang dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam dan terbalik dalam parit di Kilometer 247 Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke utara berhampiran Plaza Tol Pedas-Linggi dekat sini, awal pagi tadi.

Jurucakap polis berkata dalam nahas kira-kira 4.45 pagi itu, Toh Peng Kee, 54, yang memandu Nissan Sentra, tercampak keluar setelah keretanya terbabas.

Mangsa yang cedera parah di badan dan kepala, meninggal dunia di tempat kejadian.

Seorang lagi mangsa yang maut ialah penumpang iaitu D. Devanesen, yang juga penolong Ketua Penyunting akhbar The Star.

Devanesen, 57, yang cedera parah di badan dan kepala, meninggal dunia pada 6.15 pagi semasa dirawat di wad kecemasan Hospital Tuanku Jaafar di sini.

Tiga penumpang lain iaitu dua anak kembar Devanesen, Devakumaran dan Devadevan, 13, serta seorang wanita warga Perancis, Neagu Srancine, 81, cedera parah dan dirawat di hospital sama.

Mayat mangsa yang maut dibawa ke hospital berkenaan untuk bedah siasat.

Kemalangan berlaku ketika semua mangsa dikatakan dalam perjalanan dari Singapura menghala ke Kajang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Superintendan Yusof Awang ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata punca kemalangan masih disiasat. - Bernama

Kereta terbabas, 2 terbunuh, 3 parah - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

Naik bot solat Jumaat

DEMI IBADAH...penduduk menggunakan sampan secara bergilir-gilir.
DEMI IBADAH...penduduk menggunakan sampan secara bergilir-gilir.
BERSEDIA...sampan yang mengangkut jemaah menunaikan solat Jumaat di Masjid Mukim Simpangan Hilir, semalam.
BERSEDIA...sampan yang mengangkut jemaah menunaikan solat Jumaat di Masjid Mukim Simpangan Hilir, semalam.

TUMPAT: Kira-kira 70 penduduk Kampung Simpangan Hilir, Pengkalan Kubor, dekat sini, terpaksa menaiki bot dan sampan untuk menunaikan solat Jumaat selepas kampung mereka ditenggelami banjir.

Tinjauan Harian Metro di kampung itu, semalam mendapati, penduduk terpaksa menaiki bot berenjin dan mendayung sampan secara bergilir-gilir dan terpaksa turun di pintu masjid selepas pekarangan masjid ditenggelami air sedalam kira-kira tiga meter.


Imam Masjid Mukim Simpangan Hilir, Ismail Awang Mat, 61, berkata, sudah menjadi tradisi penduduk kampung itu menggunakan bot dan sampan sebagai pengangkutan bagi menunaikan solat Jumaat dan solat berjemaah di masjid pada musim banjir.

Katanya, penduduk tetap menunaikan tanggungjawab masing-masing walaupun terpaksa bersusah payah ke masjid “Setiap tahun penduduk akan menghadapi banjir, malah menaiki bot atau sampan ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat atau solat berjemaah sudah menjadi tradisi sejak masjid ini di bina pada 1991.


“Kita bernasib baik air tidak pernah melimpah ke dalam masjid dan penduduk masih dapat menunaikan solat Jumaat dan solat berjemaah seperti biasa,” katanya.


Penduduk, Mat Razi Mat Ail, 50, berkata, 10 bot berenjin termasuk beberapa sampan milik orang kampung dijadikan pengangkutan menghantar penduduk ke masjid kira-kira 800 meter dari jalan besar.

Katanya, penduduk menggunakan pengangkutan itu secara bergilir-gilir kerana sebuah bot atau sampan hanya mampu memuatkan antara lima hingga enam orang penduduk kampung.


Sementara itu, Pemangku Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Pengakalan Kubor, Ahmad Mazdan Jusoh, ketika dihubungi berkata, 10 penduduk membabitkan dua keluarga di kampung berkenaan dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Kubor 2.

Katanya, operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir di kampung itu turut dibantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).


“Jumlah mangsa banjir di kampung itu dijangka bertambah berikutan paras air Sungai Golok semakin meningkat dan kita sudah bersedia melakukan kerja menyelamat,” katanya.

myMetro | Naik bot solat Jumaat:

'via Blog this'

Kotai hangus

MARAK...rumah kongsi yang terbakar di tapak projek pembangunan di Kampung Kerinchi, semalam.
MARAK...rumah kongsi yang terbakar di tapak projek pembangunan di Kampung Kerinchi, semalam.

KUALA LUMPUR: Puluhan rumah kongsi (kotai) tapak projek pembangunan di Kampung Kerinchi, di sini, hangus terbakar dalam kejadian jam 12 tengah hari semalam dan api yang marak dengan cepat hampir merebak ke Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pantai hanya beberapa meter dari lokasi kebakaran.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pantai, Zakaria Syed Yusof, berkata bomba lambat menerima maklumat kebakaran itu dan setibanya di tempat kejadian hampir 70 peratus kawasan rumah kongsi berkenaan sudah terbakar.


Menurutnya, tidak kurang 25 rumah kongsi didirikan di kawasan itu namun tiada sebarang kecederaan ataupun kehilangan nyawa kerana kawasan itu dikosongkan ekoran kerja pembinaan selesai sebulan lalu.

“Kami menerima panggilan kecemasan jam 12.16 tengah hari dan tiba di lokasi kurang 10 minit kemudian. Ketika jentera pertama tiba, kebakaran merebak hampir di keseluruhan kawasan rumah kongsi berkenaan dan kami percaya kebakaran itu terjadi lebih awal sebelum dimaklumkan kepada bomba.


“Api dikawal daripada merebak ke kawasan berhampiran 15 minit selepas itu, bagaimanapun semua rumah kongsi itu musnah,” katanya yang ditemui di tempat kejadian.


Katanya, punca kejadian belum dikenal pasti dan pihaknya menjalankan siasatan bagi mengetahui bagaimana api tercetus di kawasan itu sedangkan ia sudah lama tidak didiami.

myMetro | Kotai hangus:

'via Blog this'

Bekas menteri kritik Kabinet baru Libya

TRIPOLI: Seorang tokoh kanan dalam kerajaan sementara Libya mengecam kepemimpinan baru negara itu kerana menerima sokongan elit kuasa asing.

Bekas Menteri Minyak dan Kewangan, Ali Tarhouni, berkata dia enggan menerima tawaran menyertai Kabinet Perdana Menteri, Abdurrahim el-Keib, kerana yakin mereka yang berkuasa tidak mewakili suara warga Libya, selain menerima bantuan kewangan, senjata dan perhubungan awam dari negara asing.


“Suara yang kita lihat kini adalah suara golongan elit,” katanya pada sidang media, semalam.

Mendapat pendidikan di AS, Ali adalah antara tokoh paling berpengaruh dan dihormati dalam kepemimpinan revolusi Libya.


Ali tidak menamakan secara khusus negara asing yang dimaksudkannya.


Kenyataan itu dibuat beberapa jam selepas Kabinet Abdurrahim mengangkat sumpah dengan kebanyakan tokoh pilihan terdiri daripada ahli politik veteran dan tidak dikenali.

Mereka mesti menyediakan Libya untuk mengadakan pilihan raya umum dalam tempoh tujuh bulan. - AP

myMetro | Bekas menteri kritik Kabinet baru Libya:

'via Blog this'

Hamas selaras tindakan tentang Israel

KAHERAH: Pejuang Islam Hamas berkata, mereka menggerakkan penentangan popular terhadap Israel tanpa mengetepikan hak mereka menggunakan senjata.

Menurut pemimpin Hamas, Khaled Meshaal, setiap rakyat berhak menentang penjajahan melalui apa saja cara.


“Namun, pada ketika ini kami mahu bekerjasama dengan penentangan popular semasa.

“Kami percaya kepada perjuangan bersenjata tetapi penentangan popular mempunyai persamaan dengan kumpulan Palestin lain,” katanya beberapa jam selepas bertemu pemimpin Fatah, Mahmoud Abbas, dalam usaha memuktamadkan perjanjian kedua-dua mereka Mei lalu. - AFP

myMetro | Hamas selaras tindakan tentang Israel:

'via Blog this'

Ulama sokong demo

KAHERAH: Ketika ribuan penunjuk perasaan membanjiri Dataran Tahrir bagi menuntut tentera menyerahkan kuasa kepada orang awam, Imam al-Azhar mengambil langkah luar biasa dengan menyatakan sokongan terhadap desakan itu.

Melalui tindakan yang tidak pernah diambil sebelum ini, Imam al-Azhar, Sheikh Ahmed al-Tayyeb dilaporkan menyokong dan mendoakan kejayaan penunjuk perasaan di pusat bandar raya Kaherah itu.


Pembantu kanan Sheikh Ahmed, Hassan Shafie, berkata pegawai tertinggi Universiti al-Azhar yang dilantik kerajaan itu memang mengharapkan desakan orang awam terhadap pemerintah tentera Mesir mencapai kejayaan.

Tidak cukup dengan itu, ulama terkenal juga mengetuai ribuan penunjuk perasaan mendirikan solat di dataran yang menjadi simbol kejayaan Mesir menyingkirkan Hosni Mubarak sebelum mendesak kuasa pemerintahan diserah kepada kerajaan awam.


Ulama berkarisma terbabit, Sheikh Mazhar Shahin, berkata mereka akan terus menduduki Dataran Tahrir sehinggalah tuntutan penyerahan kuasa itu ditunaikan tentera.


“Tiada pilihan lain kecuali kerajaan keselamatan kebangsaan ditubuhkan dengan diberi kuasa seperti seorang presiden,” katanya dalam ucapan digelar “syarahan revolusi” berkenaan.

Kekacauan politik di Mesir berterusan selepas orang awam berang dengan tindakan ganas pihak berkuasa menyuraikan protes di Dataran Tahrir baru-baru ini.


Insiden itu turut menyebabkan beberapa orang maut.

Sementara itu, menjelang pilihan raya parlimen pertama selepas era Hosni dijadual Isnin ini, tentera menamakan bekas perdana menteri, Kamal al-Ganzuri, 79, mengetuai kabinet baru Mesir.


Rumah Putih pula berpendapat, peralihan kuasa kepada kerajaan awam mesti dilakukan secara adil dan inklusif secepat mungkin sebagai memenuhi kehendak warga Mesir.


Jurucakap Rumah Putih, Jay Carney, berkata AS sangat yakin kerajaan baru Mesir perlu diberi kuasa sebenar dengan segera. Kenyataan itu dibuat sebelum Kamal dilantik. - AFP

myMetro | Ulama sokong demo:

'via Blog this'