Pages

Tuesday, November 1, 2011

Pengawal baru 3 hari bekerja ditembak mati

  • Foto

  • Foto

    ANGGOTA polis melakukan pemeriksaan kenderaan milik syarikat keselamatan yang ditembak dalam rompakan berhampiran PPUM, Petaling Jaya, semalam.

Penjenayah bermotosikal lepaskan tembakan dalam rompakan di PPUM

PETALING JAYA: Seorang pengawal keselamatan yang baru tiga hari bekerja ditembak mati dalam rompakan nekad sebuah kenderaan pacuan empat roda, berhampiran Unit Kecemasan & Trauma, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini pagi semalam.
Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, Mohd Burhanuddin Jamaluddin, 23, bersama dua rakan setugas dalam perjalanan ke sebuah bank di Universiti Malaya (UM) selepas mengutip wang tunai RM173,000 dan puluhan cek dari Unit Kewangan pusat perubatan berkenaan.
Bagaimanapun, tiga penjenayah bermotosikal tiba-tiba menghalang laluan kenderaan Toyota Hilux sejurus menghampiri pintu keluar sambil mengacukan pistol dan mengarahkan mereka menyerahkan karung wang. Namun, mangsa yang duduk di sebelah pemandu tidak mengendahkan arahan lalu seorang daripada suspek melepaskan tiga das tembakan dengan dua daripadanya menembusi rusuk kirinya.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Khalid, berkata suspek turut mengacukan pistol, dipercayai revolver ke arah dua lagi pengawal keselamatan dalam kenderaan berkenaan dan mengugut akan melepaskan tembakan jika berdegil.

“Bimbang dengan keselamatan, seorang pengawal keselamatan di tempat duduk belakang membuka pintu dan suspek merampas karung wang lalu melarikan diri dengan membonceng motosikal menghala ke Petaling Jaya,” katanya kepada pemberita selepas meninjau tempat kejadian.

Hadir sama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah dan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed.
Mangsa yang berlumuran darah kemudian dikejarkan rakan setugas ke Unit Kecemasan & Trauma PPUM tetapi meninggal dunia setengah jam kemudian kerana kecederaan parah sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

“Polis sedang meneliti maklumat saksi dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh dari tempat kejadian bagi mendapatkan gambaran sebenar rompakan itu. Kita berharap rakaman itu dapat membantu mengenal pasti suspek yang dipercayai warga tempatan dan sedang bersembunyi di sekitar Lembah Klang,” katanya.

Wan Abdul Bari turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian menghubungi balai polis berhampiran atau Rakan Cop Polis KL talian 03-21159999 bagi membantu siasatan.

“Suspek dikategorikan sebagai penjenayah berbahaya dan kejam kerana mereka bukan saja memiliki senjata api serta menyamun, malah membunuh,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan, masing-masing atas kesalahan membunuh dan samun bersenjata api hingga menyebabkan kematian.

Van keselamatan tidak diguna kutip wang

KUALA LUMPUR: Kejadian samun di pekarangan Unit Kecemasan dan Trauma, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), semalam mungkin dapat dielakkan jika syarikat keselamatan yang dilantik mengutip wang di pusat perubatan berkenaan menggunakan van keselamatan seperti yang sering dilakukan sebelum ini.

Dalam kejadian itu, syarikat berkenaan dikatakan buat pertama kali menggunakan kenderaan pacuan empat roda untuk kutipan wang di Unit Kewangan PPUM, sebelum memasukkan wang ke cawangan Bank Islam di Universiti Malaya.

Sumber memberitahu Berita Harian, proses kutipan juga menggunakan rutin sama seperti laluan dan waktu yang hampir sama tanpa mengambil kira mereka mungkin menjadi perhatian dan sasaran penjenayah.

“Malah suspek seperti mengetahui kutipan semalam agak banyak untuk untuk tempoh dua hari, iaitu Sabtu dan Ahad. Masa kutipan pada setiap Isnin antara jam 10 hingga 10.30 pagi juga mungkin diperhatikan mereka,” katanya.

Berikutan itu, polis menjalankan siasatan sama ada kejadian didalangi orang dalam. Selain itu, faktor mengapa salah seorang pengawal keselamatan yang mempunyai senapang patah (pump-gun) tidak melepaskan tembakan disiasat bagi membolehkan polis melihat kejadian dari pelbagai sudut.

Dalam pada itu, usaha mendapatkan kenyataan daripada syarikat keselamatan berkenaan gagal selepas beberapa pegawai yang ditemui di pekarangan PPUM mengelak bertemu media.

Sementara itu, seorang saksi yang enggan dikenali berkata, kejadian mencetuskan suasana panik hingga menyebabkan orang ramai di kawasan berhampiran lokasi bertempiaran lari.

Beliau yang dalam perjalanan keluar dari tempat letak kereta untuk melawat anaknya yang sedang dirawat, mendengar tiga das tembakan yang dilepaskan.

“Pada mulanya saya sangkakan bunyi mercun, namun selepas melihat beberapa orang bertempiaran lari, saya bersembunyi di sebalik dinding bangunan letak kereta.

“Selepas itu saya melihat seorang lelaki tergesa-gesa menaiki motosikal dan memecut ke arah Petaling Jaya sebelum melihat seorang pengawal keselamatan terbaring berlumuran darah dalam kenderaan itu,” katanya.
Berita Harian Online | Pengawal baru 3 hari bekerja ditembak mati:

'via Blog this'

200 nyaris maut kereta api rempuh lori tangki

  • Foto

    NAHAS kereta api merempuh lori tangki di Petagas semalam menyebabkan kesesakan teruk.

  • Foto

    SEORANG penumpang kereta api yang cedera diberikan bantuan.

Gegaran akibat letupan kuat dirasai sekitar Petagas

KOTA KINABALU: Kira-kira 200 penumpang kebanyakannya kakitangan kerajaan nyaris maut apabila kereta api dinaiki mereka merempuh sebuah lori tangki bermuatan 27,000 liter petrol yang menyebabkan letupan kuat di lintasan kereta api haram berhampiran Kilometer 5, Jalan Kota Kinabalu-Putatan, Petagas, dekat sini, semalam.
Letupan itu menyebabkan gegaran kuat di sekitar Petagas dengan asap tebal boleh dilihat dari jarak kira-kira lima kilometer (km), selain kesesakan lalu lintas yang teruk sepanjang kira-kira 10 km dari Jalan Kota Kinabalu-Putatan dan sebaliknya.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, lapan penumpang kereta api cedera ringan manakala pemandu lori berkenaan tidak cedera.

Kereta api tiga gerabak itu dalam perjalanan dari Stesen Kereta Api Tanjung Aru, di sini membawa penumpang yang kebanyakannya kakitangan kerajaan yang baru pulang kerja ke Stesen Kereta Api Papar, kira-kira 70 km dari sini.

Kereta api milik Jabatan Kereta Api Negeri Sabah (JKNS) itu dikatakan baru meninggalkan stesen berkenaan pada jam 5 petang dan dipercayai bergerak pada kelajuan antara 40 hingga 50 km sejam tetapi pemandunya dipercayai gagal memberhentikan kenderaan itu kerana agak hampir dengan lori berkenaan.

Ia menyebabkan kepala dan gerabak pertama kereta api itu tergelincir ke kanan landasan sebelum hangus manakala lori itu terputus dua dengan bahagian kepala dan tangkinya terpisah kira-kira 10 meter di kiri dan kanan landasan.
Penumpang yang panik terpaksa memecahkan cermin kereta api dan melompat keluar bagi menyelamatkan diri daripada api yang menjulang setinggi kira-kira 30 meter.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, kejadian dipercayai berpunca akibat pemandu lori membelok ke kiri jalan untuk melintasi landasan sebelum membawa bahan api itu ke sebuah stesen minyak, kira-kira 300 meter dari tepi landasan.

“Pemandu lori dipercayai gagal mengesan kereta api berkenaan tetapi sempat melompat keluar dari kenderaannya sejurus sebelum kenderaannya dirempuh kereta api," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Jurucakap JKNS berkata, kejadian menyebabkan kepala kereta api seberat kira-kira 60 tan itu tergelincir ke kanan landasan manakala gerabak depan hangus.

Katanya, lintasan kereta api berkenaan dibuat pihak tertentu secara haram, menyebabkan tiada pintu di landasan berkenaan.

Beliau berkata, kereta api itu baru dibeli JKNS dari China mula beroperasi sejak Februari lalu selepas dihentikan selama lima tahun berikutan projek menaik taraf landasan berkenaan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu, berkata bomba yang menerima panggilan pada jam 5.38 petang menghantar lima jentera dengan 35 anggota ke tempat kejadian dan api berjaya dipadamkan kira-kira jam 6.45 petang.

Penumpang terpaksa pecah cermin selamat diri

KOTA KINABALU: “Saya duduk di gerabak pertama. Tiba-tiba saya dengar dentuman dan disusuli letupan kuat. Saya nampak api menjulang di sebelah kanan tingkap kereta api. Saya dan penumpang lain terpaksa memecahkan cermin untuk melompat keluar.

“Kami takut kereta api meletup. Bagaimanapun saya bersyukur kerana tiada penumpang yang maut atau cedera parah,” luahan penumpang kereta api, Irwan Shamsuddin, 29.

Menceritakan detik cemas itu, Irwan yang bertugas sebagai anggota Jabatan Pertahanan Awam di bandar raya ini, berkata sebelum kejadian, beliau terdengar bunyi amaran kereta api tetapi tidak menyangka akan merempuh lori itu.

“Saya fikir pemandu kereta api hanya memberi amaran kepada orang yang melintas landasan. Bagaimanapun, selepas dentuman dan letupan itu, saya nampak api menjulang kira-kira 30 meter,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.

Penumpang, Razmi Jaafar, 37, berkata ketika kejadian beliau dan penumpang di gerabak pertama baru bergerak meninggalkan Stesen Kereta Api Tanjung Aru, dekat sini ke Papar pada jam 5 petang.

“Baru setengah jam bergerak meninggalkan stesen itu tiba-tiba saya terdengar letupan kuat dari arah depan. Saya nampak api menjulang. Saya dan penumpang lain terpaksa memecahkan tingkap untuk melompat keluar.

“Saya dan penumpang lain berebut-rebut keluar. Saya sempat menyelamatkan beberapa penumpang yang lain,” katanya.

Pemandu lori, Pauleh Dausun, 45, berkata ketika menghampiri landasan itu, ada sebuah kenderaan pacuan empat roda di depannya melintasi landasan.

“Saya dengar bunyi hon tetapi menyangka ia dari treler atau kenderaan lain di jalan. Saya hanya menyedari kereta api apabila ia sudah terlalu dekat. Saya cuba menekan pedal minyak. Kepala lori berjaya melepasi landasan tetapi tangki lori tersangkut di landasan.

“Saya terpaksa melompat keluar. Sejurus meninggalkan lori, saya terdengar dentuman dan disusuli dengan letupan kuat,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, beliau yang tidak cedera bersyukur kerana terselamat dalam kejadian itu.

Saksi kejadian yang hanya ingin dikenali sebagai Liza berkata, ketika kejadian beliau yang memandu kereta baru keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dan terlihat lori berkenaan melintasi landasan tanpa ada sebarang tanda pemandunya ingin memberhentikan kenderaannya.

“Tiba-tiba saya nampak kereta api itu terus merempuh bahagian tangki lori itu. Letupannya kuat. Api menjulang tinggi,” katanya.
Berita Harian Online | 200 nyaris maut kereta api rempuh lori tangki:

'via Blog this'

MILF siap sedia perangi askar Filipina

PENDUDUK Muslim berhimpun secara aman dekat Istana Presiden di Manila Jumaat lalu selepas tentera Filipina menyerang pejuang MILF baru-baru ini menyebabkan 30,000 penduduk melarikan diri.
PENDUDUK Muslim berhimpun secara aman dekat Istana Presiden di Manila Jumaat lalu selepas tentera Filipina menyerang pejuang MILF baru-baru ini menyebabkan 30,000 penduduk melarikan diri.
Pihak berkuasa dakwa kumpulan berkenaan mungkin jadi sasaran jika lindungi penjenayah

MANILA: Pemisah Islam di Filipina bersedia berperang semula selepas kerajaan memberi amaran akan memburu mereka jika melindungi penjenayah, kata jurucakapnya, Von al-Haq, semalam.
Al-Haq berkata, pemisah Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) sudah bersedia berdepan kemungkinan serangan itu, sambil menambah kumpulan berkenaan kekal komited untuk mengadakan rundingan damai dengan kerajaan.
“Kami sudah mengarahkan anggota darat berada dalam kedudukan bertahan. Namun, ia atas kebimbangan mungkin ada serangan. Jika mereka mendesak, kami perlu lawan. Itu jelas,” katanya kepada wartawan.

Amaran dikeluarkan selepas tentera berkata MILF mungkin menjadi sasaran jika ia terus melindungi penjenayah di sebalik perjanjian gencatan senjata untuk menamatkan pemberontakan selama beberapa dekad yang meragut 150,000 nyawa sejak 1970-an.

Sejak beberapa minggu lalu, anggota tentera dan polis yang memburu penjenayah di selatan Filipina bertempur dengan sasaran yang dikaitkan dengan MILF menyebabkan 40 anggota tentera, polis dan penduduk awam maut.

Ketika MILF sendiri tidak mengiktiraf sebahagian mereka yang diburu itu sebagai anggotanya, ia mengaku bertanggungjawab di atas pembunuhan 19 anggota keluarga di Basilan atas alasan mereka menceroboh wilayah pergerakan itu.
Jurucakap tentera, Kolonel Arnulfo Burgos, berkata di sebalik kebimbangan MILF, mekanisme gencatan senjata masih berkuat kuasa yang menghalang keganasan kedua-dua pihak.

Katanya, rundingan tidak rasmi akan datang antara MILF dan kerajaan awal bulan ini diharap dapat menenangkan ketegangan.

“Kami akan menunggu reaksi daripada apa yang berlaku dalam rundingan damai November ini,” kata Burgos.

MILF yang mempunyai 12,000 anggota terbabit dalam rundingan damai dengan kerajaan dan mengadakan perjanjian gencatan senjata.

Bagaimanapun, keganasan yang dipersalahkan ke atas mereka mencetuskan kemarahan terhadap pergerakan berkenaan, dengan desakan semakin memuncak supaya kumpulan itu diperangi.

Presiden Benigno Aquino berkata, beliau kekal komited dengan proses damai dengan pemisah di sebalik keganasan terbaru meletus. – AFP
Berita Harian Online | MILF siap sedia perangi askar Filipina:

'via Blog this'

15 daerah Bangkok masih banjir

SEORANG mangsa banjir di kawasan Bang Phlat lalu dekat ukiran pokok ketika 15 tempat di ibu negara Thai dinaiki air.
SEORANG mangsa banjir di kawasan Bang Phlat lalu dekat ukiran pokok ketika 15 tempat di ibu negara Thai dinaiki air.
Perdana Menteri Thailand nafi lupakan mangsa bah di kawasan utara ibu kota

BANGKOK: Sekurang-kurangnya 15 daripada 50 daerah di ibu kota Thailand sudah dilanda banjir manakala penduduk di enam kawasan diarahkan berpindah kerana paras air yang dianggap membimbangkan.
“Banjir yang melanda kawasan penempatan kami mempunyai kuasa besar. Apabila melangkah keluar pagar untuk berpindah, salah satu benteng runtuh ke arah rumah jiran dan air menyerbu ke dalam rumah kami. Ia seperti mimpi ngeri.
“Saya rasa sebelah Thonburi akan hilang seluruhnya kerana air tidak berhenti daripada terus naik,” kata Yibporn Ratanawit, 31, penduduk Thonburi yang terletak di tebing barat sungai Chao Phraya.

Ketika perhatian kerajaan sejak kebelakangan ini tertumpu kepada usaha melindungi Bangkok, pusat politik dan ekonomi Thailand, ada juga rungutan mereka yang berada di utara bandar raya itu, sebahagiannya sudah ditenggelami air selama beberapa minggu atau bulan, dilupakan.

Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra, menyedari kebimbangan itu dengan mengirim kenyataan ke laman Facebooknya semalam.

“Kerajaan mengambil berat mengenai semua orang yang berdepan dengan banjir, selain mereka yang berdepan dengan tempoh panjang bencana ini. Kerajaan menegaskan kepada gabenor wilayah supaya sentiasa mengambil berat mengenai penduduk,” katanya.
Banjir itu yang bermula lewat Julai dan diburukkan dengan musim tengkujuh lebih teruk berbanding biasa serta serangan ribut tropika, sudah mengorbankan 381 orang dan menjejaskan lebih satu pertiga daripada wilayah di negara itu.

Banjir memusnahkan berjuta hektar tanaman dan memaksa beribu-ribu kilang ditutup.

Yingluck turut berharap proses menyedut keluar air menerusi Bangkok dapat dipercepatkan kerana air pasang menyaksikan laluan air utama bandar raya sudah melepasi paras.

Air pasang yang lebih tinggi berbanding biasa menolak sungai Chao Phraya dari Teluk Thailand sejak beberapa hari lalu menyukarkan usaha menyedut keluar banjir ketika ia melalui bandar raya itu dari wilayah yang sudah ditenggelami air sejak dua bulan lalu.

Kesan daripada banjir paling buruk di Thailand dalam masa lebih setengah abad memberi tekanan kepada pam, beg pasir dan benteng yang melindungi Bangkok, walaupun ia berkesan dan kebanyakan tempat di bandar raya itu kekal kering. – AP
Berita Harian Online | 15 daerah Bangkok masih banjir:

'via Blog this'

Jepun perlu 30 tahun tutup loji Fukushima

REAKTOR unit 1 loji Fukushima ditutup   lapisan pelindung ketika laporan mengatakan pihak berkuasa   masih menghadapi masalah  mengatasi kebocoran radiasi.
REAKTOR unit 1 loji Fukushima ditutup lapisan pelindung ketika laporan mengatakan pihak berkuasa masih menghadapi masalah mengatasi kebocoran radiasi.
Kebocoran radiasi masih belum dikawal sepenuhnya

TOKYO: Jepun memerlukan sekurang-kurangnya 30 tahun untuk menutup dengan selamat loji kuasa nuklear Fukushima Dai-ichi yang rosak selepas dilanda tsunami walaupun ia sudah kurang melepaskan radiasi berbanding sebelumnya dan disifatkan sebagai stabil.
Kes loji terbabit adalah kemalangan nuklear terburuk di dunia sejak Chernobyl pada 1986. Ia rosak teruk berikutan gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun pada 11 Mac lalu.
Ia juga dilanda masalah kehilangan kuasa, melebur dan letupan yang melepaskan bahan radioaktif hingga memaksa berpuluh ribu penduduk berpindah dari situ.

Sementara itu, pegawai berkata loji terbabit, kira-kira 240 kilometer ke timur laut Tokyo sudah stabil manakala seorang pakar yang dinamakan Suruhanjaya Kuasa Atom Jepun berkata, mereka akan mengambil masa sehingga 30 tahun atau lebih untuk memastikan ia benar-benar selamat.

Panel terbabit membuat jangkaan itu dalam satu draf laporan yang akan siap akhir tahun ini. Draf berkenaan dimuatkan dalam halaman web suruhanjaya terbabit hujung minggu lalu.

Pekerja loji masih lagi berhadapan dengan masalah untuk mengatasi kebocoran radiasi dari loji terbabit, walaupun kadarnya dikatakan semakin berkurangan.
Panel berkenaan berkata, ia mengambil masa 10 tahun untuk membuang bahan api nuklear selepas kemalangan loji nuklear Three Mile Island pada 1979 di Amerika Syarikat dan menyifatkan proses di Fukushima lebih sukar dan mengambil masa yang panjang.

Ia juga dijangka menelan banyak belanja. Satu laporan Sabtu lalu dalam akhbar Yomiuri menyebut pakar percaya proses terbabit akan membabitkan kos bernilai lebih 1.5 trilion yen (RM58 bilion).

Gempa bumi kuat dan tsunami pada Mac lalu menyebabkan tiga daripada enam reaktor loji terbabit lebur. Letupan juga memusnahkan bangunan mereka selain Unit 4 berhampirannya.

Pegawai di Tokyo Electric Power Co, syarikat yang mengendalikan loji terbabit berkata, mereka berjaya menyejukkan reaktor yang musnah, mencapai matlamat dipanggil ‘cold shutdown’.

Tetapi, pembaikan lanjut dan langkah keselamatan masih lagi dijalankan. Panel itu berkata pengalihan rod kuasa di Fukushima tidak akan bermula sehingga 2021.

Sebagai langkah keselamatan, satu daripada unit yang musnah kini memiliki satu gantian daripada bahan kedap udara yang direka untuk mempertahankan partikel radioaktif dalam bangunan berkenaan. Kaedah yang sama juga dirancang untuk bangunan lain.

Pegawai kerajaan juga perlu berhadapan dengan usaha menghalang kebocoran di kawasan sekitar loji. Zon sekitar 20 kilometer di kawasan loji terbabit masih terjejas.

Ketika masalah buruk hampir berakhir, penemuan kawasan radiasi terbaru di dalam dan sekitar Tokyo mencetuskan kebimbangan penduduk di sana di mana ramai ibu bapa sering menjalankan pemeriksaan radiasi di kawasan kejiranan mereka.

Dalam kebanyakan kes, bacaan berada di bawah had tahunan yang diterima di peringkat antarabangsa tetapi pengkritik berkata, standard berkenaan melebihi had Jepun sebelum kemalangan dan kerajaan perlu memperhebat usaha menghalang radiasi terus bocor. – AP
Berita Harian Online | Jepun perlu 30 tahun tutup loji Fukushima:

'via Blog this'

5,000 biri-biri berarak di Madrid




AFP - SEJUMLAH orang melihat sejumlah biri-biri berarak di bandar raya Madrid kelmarin.


MADRID - Kira-kira 5,000 ekor biri-biri dan 60 lembu berarak di bandar raya ini di Sepanyol kelmarin yang dikendalikan oleh sekumpulan penggembala.
Menurut Presiden satu majlis penggembala, Jesis Garzon, perarakkan itu bertujuan bagi melaksanakan hak untuk menggunakan laluan semasa penghijrahan haiwan tersebut dari kawasan tempat tinggi ke kawasan padang rumput.
Perarakan itu juga dilakukan dengan mengikut tradisi lama apabila seorang ketua penggembala membayar sejumlah duit siling yang digunakan pada abad ke-11 untuk menggunakan laluan di bandar raya ini. - AP

Budak lembam tiada MyKad



MOHD. HAFIZ menunjukkan kad pengenalan sementara miliknya di Melaka semalam.


MELAKA – Tidak tahu puncanya, seorang remaja yang dibesarkan di rumah kebajikan sejak kecil kini dihantui rasa gelisah kerana gagal memperoleh status warga negara meskipun sudah beberapa kali membuat permohonan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Lebih membingungkan Mohd. Hafiz, 21, kehidupannya kini terpaksa berbekalkan sijil kelahiran sementara yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana ketiadaan MyKad.
Lebih menyedihkan, Mohd. Hafiz yang juga remaja lembam, sijil kelahiran sementara itu juga tidak tertera agama, asal keturunan dan bangsanya.
''Saya kerap berdepan kesukaran setiap kali berurusan dengan pihak berkuasa berikutan tiada kad pengenalan.
''Saya juga gagal memperoleh pekerjaan dan membuka sebarang akaun bank,'' katanya ketika ditemui Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela BN) di Kota Cemerlang di sini semalam.
Bercerita mengenai kehidupannya, Mohd. Hafiz memberitahu, dia dibesarkan di Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Afzan, Kuantan sejak kecil sehingga darjah enam tanpa diketahui asal-usul serta ibu bapa kandungnya.
Selepas tamat darjah enam, ketika berusia 13 tahun, dia kemudian dihantar oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ke Rumah Budak Laki-Laki Tun Abdul Aziz di Durian Daun, di negeri ini.
"Selepas tamat sekolah, saya banyak bekerja di restoran makan, disebabkan tiada kad pengenalan, saya sering diberikan layanan buruk oleh majikan tempat saya bekerja,'' katanya.

Lima cedera koridor runtuh




BEGINILAH keadaan koridor di sebuah bangunan tiga tingkat yang runtuh hingga mengakibatkan lima pekerja cedera di Sungai Buloh, Selangor semalam.


SUNGAI BULOH - Seorang wanita yang sedang mengambil angin selepas menikmati sarapan pagi terkejut apabila mendapati rumah jirannya yang dalam pembinaan tiba-tiba runtuh hingga menghasilkan bunyi kuat dan diselaputi debu putih dalam kejadian di Jalan Love Lane, Kampung Baru Sungai Buloh di sini semalam.
Kejadian pukul 9.20 pagi itu menyebabkan lima pekerja cedera termasuk dua daripadanya parah selepas koridor di tingkat tiga bangunan tiga tingkat yang dalam pembinaan sejak dua tahun itu tiba-tiba runtuh.
Difahamkan, kejadian itu dipercayai berpunca dari struktur koridor yang tidak kukuh. Bangunan itu dijangka menempatkan tujuh buah rumah apabila siap kelak.
Runtuhan tersebut telah menimpa koridor di tingkat dua sebelum ia terus menjunam ke bawah. Kesemua mangsa ketika itu sedang bekerja di tingkat tiga.
Salah seorang mangsa dikatakan tersepit di celah runtuhan. Bomba mengambil masa selama lima minit untuk mengeluarkannya.
Wanita yang ingin dikenali sebagai Ah Leow, 71, itu berkata, dia terus menjenguk dari tingkap sebaik terdengar bunyi kuat dari bangunan yang siap kira-kira 95 peratus itu.
"Ketika itu saya sedang berehat selepas bersarapan. Tiba-tiba saya dengar bunyi kuat disusuli debu putih menyelubungi bangunan itu sebelum bomba tiba menyelamatkan mangsa," ceritanya.

Dapat RM3.06 juta menang siri tunggang lembu jantan




SILVANO ALVES menunggang seekor lembu jantan dalam siri pertandingan akhir penunggang profesional di Las Vegas kelmarin.


LAS VEGAS, Amerika Syarikat - Pemuda berusia 23 tahun dari Brazil, Silvano Alves memperoleh hadiah wang tunai AS$1 juta (RM3.06 juta) selepas menjadi juara menunggang lembu jantan dunia di Las Vegas kelmarin.
Dia merupakan peserta keempat dari Brazil memenangi gelaran dunia itu dalam tempoh enam tahun berdasarkan kutipan mata dan persembahan dalam musim penunggang lembu jantan profesional.
"Saya sebenarnya tak dapat berkata-kata. Saya amat gembira dengan keputusan. Ini adalah satu mimpi bagi setiap penunggang lembu jantan," katanya.
Alves memenangi gelaran dunia itu walaupun dia hanya menduduki tempat ketiga dalam siri terakhir pertandingan penunggang lembu jantan profesional yang diadakan di sini kelmarin.
Dalam pertandingan itu, Robson Palermo juga dari Brazil menduduki tempat pertama dan membolot hadiah wang tunai AS$250,000 (RM767,374). - Agensi

Kereta api rempuh lori tangki




KELIHATAN api marak dan asap tebal selepas sebuah lori tangki dirempuh sebuah kereta api penumpang dalam kejadian di Kota Kinabalu, Sabah semalam.


KOTA KINABALU - Hampir 200 penumpang kereta api terselamat selepas kenderaan itu terbakar apabila merempuh sebuah lori tangki minyak yang dipandu seorang lelaki dalam kejadian dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini semalam.
Kejadian tersebut berlaku pukul 5.30 petang apabila lori yang membawa 27,000 liter petrol itu cuba melintas landasan kereta api tersebut untuk menghantar bekalan minyak ke sebuah stesen berdekatan.
Sebaik dirempuh, lori tersebut terus terbakar hingga menghasilkan letupan kuat dan asap tebal setinggi 30 meter. Bagaimanapun, penumpang kereta api dan pemandu lori itu terselamat.

Nadia diarah bayar RM50,000



NADIA


KUALA LUMPUR - Selepas enam tahun bertelingkah, kemenangan akhirnya berpihak kepada pelakon, Lisdawati apabila rakan artis, Nadia Mustafar diarah oleh Mahkamah Sesyen di sini, supaya membayar ganti rugi sebanyak RM50,000 kepadanya berhubung artikel fitnah mengenai kegagalan menjelaskan hutang di majalah Media Hiburan.
Hakim Yong Zarida Sazali turut memerintahkan Nadia atau nama sebenarnya Siti Naziyah Sheikh Mustafar, 35, membayar kadar faedah empat peratus bermula dari tarikh penghakiman hingga penyelesaian kes dan kos mengikut skala.
"Selepas meneliti hujahan dan keterangan pihak-pihak, mahkamah membenarkan tuntutan plaintif (Lisdawati)," katanya.
Lisdawati dan Nadia bagaimanapun tidak hadir pada prosiding semalam dan mereka diwakili peguam masing-masing iaitu Sangeet Kaur Deo bagi Lisdawati manakala Nadia pula oleh Siti Julaini Mohd. Shahar dan Mohamed Lusfi Yaakob.
Pada 21 April lalu, Lisdawati memfailkan saman terhadap Nadia kerana mendakwa mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadap dirinya.
Berdasarkan pernyataan tuntutannya, Lisdawati atau nama sebenarnya, Nisdawati Nazaruddin, 33, mendakwa Nadia dengan niat jahat memberikan wawancara mengandungi perkataan memfitnah kepada wartawan majalah Media Hiburan, Hanif Abdul Ghani.
LISDAWATI


Hanif tidak dipanggil sebagai saksi kerana telah meninggal dunia tiga tahun lalu.
Wawancara itu didakwa berlaku sekitar Januari 2005 dan Lisdawati mendakwa, majalah itu menyiarkan artikel berkaitan pada 8 hingga 14 Januari 2005.
Isteri kepada pelakon Fauzi Nawawi itu mendakwa, dalam erti biasa, artikel itu antaranya bermakna dan difahamkan bermaksud dia meminjam wang, berhutang dan gagal menjelaskan hutang yang dikatakan itu kepada Nadia.

Oh wow, ungkapan terakhir Steve Jobs



STEVE JOBS


WASHINGTON, Amerika Syarikat (AS) - Kata-kata terakhir yang yang diucapkan oleh Steve Jobs sebelum pengasas bersama Apple Corp. itu menghembuskan nafas terakhir ialah "Oh wow, Oh wow, Oh wow.
Ia diucapkan oleh Jobs kepada isterinya, Laurene dan dua anak mereka yang menemaninya semasa dia terlantar di katil sebuah hospital di AS akibat komplikasi penyakit kanser pankreas.
Jobs meninggal dunia pada awal bulan lalu pada usia 56 tahun setelah sekian lama menghidap kanser.
Kata-kata terakhir pengasas bersama Apple Corp itu dipetik oleh adik perempuannya, Mona Simpson, 54, yang merupakan seorang penulis novel ketika dia menyampaikan ucapan memperingati mendiang dalam satu majlis memorial pada 16 Oktober lalu.
Kata-kata itu kemudian disiarkan dalam akhbar tempatan, New York Times kelmarin.
Menurut Simpson, Jobs ialah seorang yang berjiwa lembut dan penyayang.
"Jobs yang saya kenali amat mementingkan kasih sayang dan daripada satu sudut, dia seperti wanita kerana banyak bercakap mengenai soal cinta," katanya. - AFP

Tiga maut serangan berani mati di Kandahar




Reuters - BEBERAPA anggota polis Afghanistan memeriksa senjata milik para penyerang selepas serangan bom berani mati dekat pejabat Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian di Kandahar semalam.


KABUL - Tiga orang awam terbunuh dalam satu serangan berani mati di bandar Kandahar, kata pihak berkuasa di Kandahar semalam.
Letupan itu berlaku berdekatan pejabat Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) di sini.
"Kami menyedari letupan itu yang berlaku di rumah tetamu UNHCR pada awal pagi," kata jurucakap badan dunia, Dan McNorton.
Dalam insiden itu, tiga orang awam terkorban manakala seorang warga Nepal cedera dalam serangan itu.
Serangan itu merupakan yang terbaharu dalam rentetan serangan maut ke atas warga asing di Afghanistan.
Pada Sabtu lalu, pengebom berani mati yang menggunakan kereta telah mengorbankan 13 orang anggota tentera dan kakitangan awam yang bertugas dengan Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa yang diketuai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Kabul termasuk rakyat Amerika, Britain, dan Kanada dalam satu serangan yang dahsyat ke atas pakatan tersebut sejak 10 tahun lalu di Afghanistan. - Reuters

Penduduk ketujuh bilion dirai



Reuters
MARINA NIKOLAEVA mendukung anaknya, 
Pytor yang dipilih secara simbolik sebagai penduduk ketujuh bilion di sebuah pusat perubatan di Kaliningrad, Rusia semalam.


MANILA -Empat bayi yang dilahirkan di India, Filipina dan Rusia semalam dipilih sebagai simbolik penduduk dunia yang ketujuh bilion.
Pemilihan itu dibuat selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meramalkan jumlah penduduk dunia akan menjadi tujuh bilion semalam.
Di negeri Uttar Pradesh, seorang bayi, Nargis dipilih secara simbolik oleh Lembaga Perancangan India sebagai penduduk dunia ketujuh bilion.
Pemilihan itu dibuat bagi mengetengahkan masalah pengguguran bayi perempuan di India.
AP
SETIAUSAHA Lembaga Perancangan India, Arti Kirloskar menyampaikan sijil kelahiran kepada ibu bayi Nargis yang dipilih secara simbolik sebagai penduduk ketujuh bilion di Mall, India semalam.


Sebanyak tujuh juta janin perempuan dianggarkan telah digugurkan kerana dianggap tidak mempunyai nilai ekonomi berbanding janin lelaki.
Di Filipina, bayi seberat 2.5 kilogram yang dinamakan Danica May Camacho dililih secara simbolik sebagai penduduk dunia ketujuh bilion.
Bayi itu dilahirkan dua minit selepas tengah malam kelmarin.
Kelahirannya di bilik bersalin Hospital Memorial Jose Fabella di sini mendapat liputan meluas pihak media.
"Bayi ini kelihatan sangat comel," kata ibunya, Camille Dalura sambil meriba bayi perempuannya.
"Saya tidak percaya bahawa dia ialah bayi ketujuh bilion di dunia," katanya.
Bayi berkenaan merupakan anak kedua Dalura bersama pasangannya, Florante Camacho.
AP
BAYI DANICA CAMACHO didukung oleh ibunya, Camille semasa bapa bayi itu, Florante Galura membawa kek selepas anaknya dipilih secara simbolik sebagai penduduk ketujuh bilion dunia di Hospital Fabella, Manila semalam.


Pasangan itu bersama bayi berkenaan turut diraikan para pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pasangan itu turut menerima hadiah daripada penderma tempatan termasuk biasiswa pendidikan bagi bayi tersebut dan satu pakej bagi membolehkan pasangan itu memulakan perniagaan runcit.
Turut menyaksikan peristiwa bersejarah itu ialah budak perempuan berusia 12 tahun, Lorrize Mae Guevarra yang diisytiharkan bayi keenam bilion di dunia pada 1999.
Seorang bayi bernama Pyotr yang dilahirkan pada pukul 0002 semalam di pelabuhan Kaliningrad, Rusia turut dipilih secara simbolik sebagai penduduk yang ketujuh bilion.
Pemilihan itu turut disahkan oleh perwakilan PBB dalam satu majlis memberikan sijil kepada bayi berkenaan yang dilahirkan oleh ibunya, Marina Nikolaeva.
Namun, di bandar Petropavlovsk-Kamchatsky, seorang bayi lelaki bernama Aleksandr didakwa sebagai penduduk ketujuh bilion kerana dia dilahirkan pada pukul 0019 pagi semalam, menurut agensi berita Interfax.
Semua majlis itu hanyalah simbolik sahaja kerana tiada kaedah statistik untuk mengesahkan bayi yang manakah di dunia yang sebenarnya penduduk ketujuh bilion dunia. - Agensi