Pages

Friday, October 28, 2011

Hujan, salji tambah derita mangsa gempa Turki

ERCIS (Turki): Hujan dan salji menyukarkan lagi ribuan mangsa gempa bumi yang melanda timur Turki ketika kerajaan mengesahkan jumlah korban meningkat kepada 534 orang, semalam.
Pegawai pusat pengurusan krisis berkata, 2,300 orang cedera dan 185 berjaya diselamatkan dari bawah runtuhan setakat ini.

Sementara itu, gempa bumi sederhana sekuat 5.4 magnitud melanda wilayah Hakkari semalam, memaksa orang ramai bertempiaran lari menyelamatkan diri dari bangunan yang dibimbangi runtuh.

Bagaimanapun, tiada laporan kerosakan diterima.

Media pula mendakwa, beberapa orang mengalami cedera ringan ketika cuba menyelamatkan diri melalui tingkap.

Pusat gempa itu dikesan 150 kilometer di selatan pusat gempa di Ercis pada Ahad lalu. - AP

Ibu tumpang berhutang RM673,000 lepas pasangan Austria larikan anak

CARRIE bersama pasangan Bako dan anak kembar mereka.
CARRIE bersama pasangan Bako dan anak kembar mereka.
COLORADO: Seorang ibu tumpang dari Colorado terpaksa membayar bil kesihatan berjumlah AS217,000 (RM672,699) selepas melahirkan bayi kembar untuk pasangan dari Austria yang melarikan diri dari Amerika Syarikat bersama bayi kembar itu.
Carrie Mathews berkata, dia hampir mati ketika melahirkan anak Rudolf dan Teresa Bako Julai lalu kerana mengalami komplikasi teruk.
Walaupun kedua-dua keluarga itu sudah menandatangani kontrak, termasuk membayar bil kesihatan, Carrie berkata, pegawai kesihatan meminta bayaran tetapi pasangan Bako enggan berbuat demikian.

Carrie memberitahu 9News, dia bertemu pasangan Bako yang ‘sempurna’ itu selepas menemui sesawang Pusat Ibu Tumpang dan Anak Angkat Kebangsaan di internet.


Katanya, pasangan itu dalam lingkungan 50-an sudah 20 tahun cuba mendapatkan anak.

Pasangan itu bersetuju membayar AS25,000 (RM77,500) untuk mengandungkan seorang anak dan menandatangani kontrak 30 lebih halaman tentang perkara yang mungkin berlaku ketika kehamilan dan bayaran yang perlu diselesaikan.

“Pasangan itu akan membayar AS2,000 (RM6,200) setiap bulan (jumlah besar RM77,500), Mereka akan memasukkan wang ke dalam akaun di agensi,” kata Carrie.

Katanya mereka masih berhutang sebanyak AS$14,000 (RM43,400) kepadanya.

Menurut laporan, Carrie terbang ke Cyprus untuk proses pemindahan embrio.

Pasangan Bako membayar kos penerbangan dan tempat tinggal selama 17 hari ketika dia berada di sana.

Katanya dia hamil dengan bayi kembar dan tidak seperti kehamilannya yang dulu, kali ini dia mengalami masalah. Carrie mengalami pra-eklampsia, satu masalah kesihatan yang membawa kepada hipertensi kepada ibu mengandung dan boleh menyebabkan kematian.

Saif al-Islam mahu serah diri kepada ICC



TRIPOLI 27 Okt. - Anak lelaki Muammar Gaddafi, Saif al-Islam yang pernah berikrar akan berjuang sampai mati di bumi Libya, kini mahu menyerah diri kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan mengelak kemungkinan ditimpa nasib yang sama seperti bapanya.
Seorang pegawai Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) Libya semalam berkata, Saif yang merupakan satu-satunya anak Gaddafi yang masih bebas bercadang untuk menyerah diri kepada ICC di The Hague, yang telah mendakwanya atas tuduhan jenayah perang.
Tindakan Saif, 39, menyerah diri akan menutup satu lagi babak dalam sejarah empat dekad pemerintahan keluarga Gaddafi, sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membincangkan usul untuk menamatkan mandat Libya yang membolehkan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara mengebom negara ini dan membantu pemberontak merampas kuasa.
Beliau dilihat oleh banyak pihak sebagai anak kesayangan Gaddafi dan bakal penggantinya.
Saif ingin menyerah diri kepada ICC bersama-sama bekas ketua agensi perisikan, Abdullah al-Senussi, kata pegawai NTC, Abdel Majid Mlegta.
ICC mendakwa Gaddafi, Saif dan Senussi atas peranan mereka menggunakan kekerasan untuk menghancurkan pemberontakan yang bermula pada Februari lalu.
Namun jurucakap ICC berkata, pihaknya belum dapat mengesahkan sebarang rancangan Saif untuk menyerah diri.
Pegawai NTC berkata, Saif bersembunyi di gurun selatan Libya setelah gagal mencari perlindungan di negara jiran seperti Algeria atau Niger, yang telah menawarkan perlindungan kepada empat lagi anak Gaddafi yang terselamat dalam perang saudara selama lapan bulan itu. - Reuters

Gempa bumi bermagnitud 5.2 landa tenggara Turki



28/10/2011 2:38am

ISTANBUL 28 Okt. – Satu gempa bumi berukuran 5.4 skala Richter menggegarkan tenggara Turki, semalam, beberapa hari selepas gempa sekuat 7.2 magnitud yang meragut 523 nyawa melanda negara ini pada Ahad lalu.
Menurut Pusat Kawalan Kandili, gegaran tersebut dikesan pagi ini di Yuksekova, dekat sempadan Iraq.
Pekan tersebut terletak 200 kilometer di tenggara wilayah Van yang dilanda gempa kuat hujung minggu lalu.
Gabenor Yuksekova, Uzeyir Aizi Ozeren berkata, tiada kemusnahan dilaporkan setakat ini, dan mereka sedang berusaha menghubungi penduduk kampung di wilayah tersebut.
Sementara itu, di pekan Ercis, pasukan penyelamat menyelamatkan seorang remaja berusia 18 tahun yang terperangkap selama kira-kira 100 jam di celah-celah runtuhan bangunan.
Mangsa, Aydin Palak kemudiannya dibawa ke hospital di Ercis dan doktor memaklumkan dia berada dalam keadaan stabil sebelum dihantar ke hospital lain untuk mendapatkan rawatan lanjut. – AFP

Suspek perisik Israel: Mesir, Israel bertukar tahanan



28/10/2011 2:38am

TABA 28 Okt. – Satu konvoi kenderaan termasuk kereta perisai dari Mesir melintasi Taba sebelum memasuki Israel, sebagai persediaan kedua-dua negara bertukar tahanan membabitkan seorang suspek perisik Israel dengan 25 rakyat Mesir yang dipenjarakan di Israel.
Namun, tiada maklumat lanjut sama ada rakyat Israel itu, Ilan Grapel yang juga memiliki kerakyatan Amerika Syarikat berada dalam konvoi tersebut.
Sementara itu, jurucakap penjara rejim Zionis, Sivan Wiezman berkata, kesemua 25 tahanan Mesir, yang masing-masing disabitkan kesalahan menyeludup dadah, senjata atau menyusup masuk Israel secara haram, telah dipindahkan ke Sinai. – AFP

NTC jamin heret pembunuh Gaddafi ke mahkamah



28/10/2011 2:38am

BENGHAZI 28 Okt. – Kerajaan Libya semalam memberi jaminan akan mengheret pembunuh Muammar Gaddafi ke muka pengadilan ekoran bantahan antarabangsa terhadap keadaan kematian diktator itu.
"Untuk menghormati Gaddafi, kami tidak perlu menunggu arahan daripada orang lain (antarabangsa)," kata Naib Pengerusi Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC), Abdel Hafiz Ghoga.
Katanya, siasatan berhubung kes tersebut telah dilancarkan dan menetapkan kod etika untuk menangani tahanan perang.
"Saya percaya pembunuhan tersebut disebabkan tindakan individu dan bukan kerana revolusi atau tentera pemberontak.
"Sesiapa sahaja yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan Gaddafi akan dibicarakan di mahkamah dengan adil," katanya. – AFP

Polis Mesir bunuh pemuda terima hukuman ringan



KAHERAH 27 Okt. - Dua anggota polis Mesir yang membelasah seorang lelaki sampai mati, dalam kes yang mencetuskan pemberontakan rakyat negara ini, hanya dikenakan hukuman penjara tujuh tahun selepas didapati bersalah atas tuduhan lebih ringan iaitu membunuh tanpa niat.
Keputusan mahkamah semalam mengecewakan aktivis prodemokrasi tetapi ahli keluarga kedua-dua defendan, Mahmoud Salah dan Awad Ismail Suleiman tetap berang dengan hukuman penjara tujuh tahun yang dijatuhkan ke atas setiap anggota polis itu.
Mereka memecahkan bangku di bilik mahkamah di bandar pelabuhan Iskandariah serta menyerang bapa saudara dan peguam mangsa di hadapan askar dan anggota polis yang berkawal.
Aktivis prodemokrasi kecewa bukan sahaja dengan keputusan itu tetapi juga kerana perbicaraan ditutup kepada orang awam.
Mereka melihatnya sebagai tanda pemberontakan yang menyingkirkan Presiden Hosni Mubarak pada Februari lalu tidak memberi banyak kesan kepada usaha menghapuskan budaya rasuah yang mendalam di Mesir.
Lelaki yang dibunuh oleh polis itu, Khaled Said, 28, dilihat sebagai versi Mesir bagi pemuda Tunisia, Mohammed Bouazizi yang bertindak membakar dirinya sehingga mencetuskan revolusi di negara itu serta pemberontakan rakyat di dunia Arab.
Dalam kejadian pada 6 Jun 2010, dua anggota polis berpakaian biasa mengheret Said keluar dari sebuah kafe Internet di Iskandariah dan menghentak kepalanya ke tangga marmar sehingga mati.
Gambar Said dengan wajah berlumuran darah, tulang rahang patah dan tubuh lebam-lebam disiarkan secara meluas dan mendorong kempen aktivis menentang intimidasi dan pembunuhan oleh polis pada zaman Mubarak.
Laman Facebook yang diwujudkan sebagai memperingati Said digunakan untuk menyeru rakyat mengadakan protes besar-besaran pada 25 Januari lalu, yang kemudian merebak menjadi pemberontakan selama 18 hari yang berakhir dengan penggulingan Mubarak. - Agensi

Bangkai kapal Kublai Khan ditemui




Gambar yang diambil oleh Profesor Yoshifumi Ikeda menunjukkan penemuan serpihan kapal dipercayai daripada armada tentera laut Kublai Khan yang mahu menakluk Jepun. – AFP


OKINAWA 27 Okt. - Ahli arkeologi marin percaya bangkai sebuah kapal purba yang ditemui di dasar kawasan perairan Nagasaki, Jepun adalah sebahagian daripada armada purba milik Raja Mongolia kurun ke-13, Kublai Khan yang hilang, lapor stesen CNN.
Bangkai tersebut ditemui kira-kira 25 meter dari pantai Nagasaki, menggunakan peralatan ultrabunyi.
Ahli arkeologi percaya kapal purba itu digunakan pada 1281 dan merupakan sebahagian daripada 4,400 armada Raja Mongolia yang ditugaskan sebagai pasukan penjajah ketika pemerintahan Dinasti Yuan.
‘‘Penemuan bangkai kapal dengan lunas sepanjang 12 meter dan masih dalam keadaan baik itu akan membantu pengkaji mengenal pasti ciri dan sifat kapal perang sepanjang 20 meter tersebut,’’ ujar CNN yang memetik ketua pasukan penyelidik yang menemui kapal itu, Yoshifumi Ikeda.
Ikeda berkata, pihaknya merancang memperluaskan usaha-usaha penerokaan kawasan itu dan mencari lebih banyak maklumat bagi membantu mengembalikan kapal purba itu ke bentuk asal.
CNN melaporkan berdasarkan legenda Jepun, dua taufan dikenali sebagai Kamikaze menyelamat Jepun sebanyak dua kali dalam tempoh tujuh tahun daripada dua penjajahan armada Mongolia dengan memusnahkan kapal-kapal berkenaan.
China bagaimanapun tidak terselamat apabila diperintah Dinasti Yuan Mongolia antara 1271 hingga 1368.
‘‘Menurut buku bertajuk Lost Fleet: In Search of a Legendary Armada oleh ahli arkeologi, James P. Delgado mengenai Kublai Khan, kemusnahan 4,000 kapal penjajahan Dinasti Yuan yang mewujudkan kuantiti besar serpihan bangkai, membolehkan seseorang berjalan dari satu lokasi di darat ke lokasi kemusnahan itu,’’ ujar CNN.
CNN melaporkan, kapal purba itu diperbuat dari papan kayu dan dipercayai dicat dengan warna kelabu cerah merupakan antara lebih 4,000 artifak termasuk serpihan seramik, bata, peluru meriam dan sauh diperbuat daripada batu, ditemui di lokasi berkenaan.
‘‘Penemuan artifak itu menimbulkan kaitannya kepada armada penjajahan Dinasti Yuan,’’ kata CNN. – Agensi

Mangsa gempa perlu bantuan




Sebahagian daripada bangunan yang runtuh dalam gempa di bandar Ercis, timur Turkey pada Ahad lalu. Kerja-kerja membersihkan runtuhan bangunan dimulakan menggunakan jentera berat dan jentolak di Ercis, kelmarin. - AP


ERCIS 27 Okt. - Pasukan penyelamat menarik keluar seorang remaja lelaki yang masih hidup dari runtuhan sebuah bangunan hari ini, empat hari selepas satu gempa bumi kuat melanda wilayah majoriti Kurdis, Van di timur Turki.
Siaran televisyen menunjukkan pekerja penyelamat mengeluarkan remaja yang kelihatan lesu itu dari celah runtuhan.
Remaja berusia 19 tahun itu adalah mangsa pertama yang dikeluarkan hidup-hidup sejak penyelamat membawa keluar seorang pelajar universiti dan dua guru, semalam.
Dalam pada itu Turki memberi keutamaan kepada usaha melindungi beribu-ribu penduduk yang hilang tempat tinggal akibat gempa bumi, sementara peluang semakin tipis untuk mencari mangsa yang terselamat empat hari selepas bencana itu melanda wilayah majoriti Kurdis, Van di timur negara ini.
Angka kematian meningkat kepada 523 orang manakala 1,650 lagi cedera berikutan gempa bumi 7.2 skala Richter pada Ahad lalu, paling kuat di Turki dalam tempoh lebih sedekad.
Beberapa negara menyahut permohonan bantuan daripada Turki yang meminta bekalan khemah, rumah pasang siap dan kontena, termasuk Israel walaupun hubungan antara kedua-dua kerajaan keruh sejak komando Zionis membunuh sembilan rakyat Turki yang menyertai flotila kapal bantuan ke Genting Gaza tahun lepas.
Di Ercis, bandar yang mempunyai 100,000 penduduk dan paling teruk dilanda bencana itu, mangsa melahirkan rasa kesal ketika berbaris panjang untuk mendapatkan bekalan khemah di jalan utama, selepas hujan lebat malam tadi bertukar menjadi salji pagi ini.
"Semua orang terkena hujan dan jatuh sakit, kami beratur selama empat hari tetapi tidak mendapat apa-apa.
"Apabila tiba giliran kami, mereka memberitahu kami, mereka kehabisan khemah," kata seorang ejen hartanah, Fetih Zengin, 38, yang rumahnya rosak teruk dalam gempa itu.
Katanya, mereka sekeluarga termasuk 10 kanak-kanak tidur berbumbungkan sehelai kain plastik yang direntangkan di atas papan.
"Semua orang memerlukan khemah kerana musim salji akan tiba, tetapi keadaan sangat teruk," katanya.
Gerakan mencari mangsa yang terselamat masih diteruskan di sesetengah lokasi tetapi di tempat lain, penyelamat sudah putus asa dan menghentikan operasi.
Sementara itu, mayat seorang ibu dan bayinya dikeluarkan dari runtuhan sebuah bangunan malam tadi, kata saksi. - AP/Reuters

KiddyTrack kesan lokasi anak




SEORANG model Maxis menunjukkan peranti KiddyTrack yang membolehkan ibu bapa mengesan di mana anak-anak mereka berada di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Maxis Bhd. (Maxis) kini menyediakan penyelesaian mengesan kanak-kanak yang pertama di Malaysia, KiddyTrack, yang dipacu oleh teknologi Mesin-ke-Mesin (M2M) Terurus Maxis.
Penyelesaian M2M Terurus Maxis itu terdiri daripada perkhidmatan telemetri atau telematik yang menyediakan komunikasi lancar antara peranti atau pelayan tanpa wayar melalui SMS, GPRS, 3G atau Circuit Switch Dial-Up (CSD) tanpa memerlukan input pengguna.
Pengurus Besar dan Ketua Perniagaan Korporat Maxis, Sekar Shanmugam berkata, KiddyTrack menggunakan perkhidmatan rangkaian 3G Maxis untuk mengesan anak-anak pelanggan melalui penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS).
“Dalam hanya beberapa saat menerima SMS berkenaan, sistem ini akan menyediakan pengguna dengan sambungan URL peta Google yang menunjukkan lokasi setempat sehingga lima meter di mana kanak-kanak itu dikesan.
“Apabila ia tidak mendapat isyarat GPS, maklumat berasaskan sel oleh platform M2M Terurus Maxis boleh menyediakan lokasi kanak-kanak itu dalam lingkungan ketepatan radius 50 meter,” katanya pada majlis pengumuman kerjasama Maxis dengan pemaju teknologi pengesan tersebut, KiddyTrack Sdn. Bhd. (KiddyTrack) dan pelancaran perkhidmatan KiddyTrack di sini semalam.

Rangka manusia 16,000 tahun dihantar ke tapak asal




KAWASAN gua tempat penemuan rangka manusia berusia 16,000 tahun di Gua Bewah, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.


KUALA TERENGGANU – Rangka manusia berusia 16,000 tahun yang dipercayai rangka tertua pernah ditemui di negara ini akan dikembalikan ke tapak asalnya di Gua Bewah, Tasik Kenyir tidak lama lagi.
Pengarah Muzium Terengganu, Yusof Abdullah berkata, pihaknya sedang membuat persiapan terakhir berhubung urusan penghantaran rangka dikenali sebagai Bewah Man itu. Ia dijangka dilakukan pada akhir tahun ini.
Katanya, sekumpulan pakar tempatan dan ahli arkeologi kini sibuk membina satu bekas khas yang sesuai untuk menempatkan rangka manusia itu yang telah ditemui di Gua Bewah pada November tahun lalu.
“Penyelidikan ke atas rangka ini telah memasuki fasa terakhir dan selepas itu kita akan menghantarnya ke tempat ia ditemui.
“Kita juga akan pastikan rangka ini tidak diganggu dan sentiasa berada dalam keadaan baik,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Ditanya apakah jantina rangka itu, Yusof menjelaskan, sepasukan ahli arkeologi baru-baru ini telah menemui cebisan gigi ketika melakukan cari gali di Gua Bewah dan penemuan itu diharap akan dapat membantu untuk menentukan jantina rangka berkenaan.
“Ini adalah penemuan baru bagi Bewah Man namun kita akan melakukan lebih banyak ujian sebelum dapat menentukan jantina sebenar rangka yang dianggap tertua di negara kita,” jelasnya.
Yusof menjelaskan, setiap rangka yang ditemui di kawasan itu telah dihantar kepada pakar-pakar di Amerika Syarikat untuk penyelidikan lanjut.

Perth perkenalkan siling emas gergasi



KETUA Pegawai Operasi Perth Mint, Ed Harbuz berdiri di sisi siling emas seberat lebih satu tan.


PERTH - Kilang duit siling Perth Mint di Australia semalam memperkenalkan sekeping duit siling emas yang didakwanya terbesar di dunia.
Siling emas berkenaan memiliki berat lebih satu tan dan bernilai sekitar AS$55 juta (RM171.8 juta).
Sebelah siling itu tertera gambar seekor kanggaru sedang melompat. manakala sebelah lagi memiliki profil ketua negara Britain, Ratu Elizabeth II.
Siling emas itu diperkenalkan sempena sidang kemuncak negara-negara Komanwel yang akan dirasmikan oleh Ratu Elizabeth II di sini pada minggu ini.
Siling gergasi seberat 1,012 kilogram itu mengandungi 99.99 peratus emas tulen. Lebar siling itu hampir 80 sentimeter (sm), sementara tebalnya ialah 12sm.
Kilang wang tersebut mengambil masa 18 bulan untuk menghasilkan siling tersebut yang kini dipamerkan kepada orang ramai.

Banjir lumpur paras lutut landa perkampungan di Itali




PENDUDUK kampung Aulia melihat kenderaan-kenderaan yang rosak dan bertindih antara satu sama lain selepas banjir kilat melanda kawasan tersebut.- AFP


AULLA, Itali - Pasukan tentera dan pekerja penyelamat masih mencari mangsa-mangsa terselamat selepas banjir kilat dan banjir lumpur melanda beberapa buah kampung di kawasan pinggir pantai di kawasan Liguria dan Tuscany.
Sekurang-kurangnya sembilan orang maut, manakala enam yang lain masih hilang dalam bencana alam tersebut.
Pasukan pengawal pantai turut dipanggil semalam, susulan beberapa laporan bahawa sebahagian mangsa yang hilang mungkin dihanyutkan ke laut dalam ribut yang melanda pada minggu ini.
Kampung-kampung seperti kampung Aulla di Tuscany kini dilitupi lumpur setinggi paras lutut. Air deras dan lumpur mengalir melalui beberapa buah kampung yang terletak sekitar 75 kilometer dari bandar Genoa dan dekat Cinque Terre, kawasan pelancongan popular di Itali.

Saintis berjaya rungkai kod Jerman berusia 300 tahun




IMEJ yang disediakan oleh University of Southern California menunjukkan salinan kitab Copiale Cipher yang kodnya telah berjaya dipecahkan.


LOS ANGELES - Sepasukan penyelidik Amerika Syarikat (AS) dan Sweden telah berjaya merungkai kod rahsia kitab Copiale Cipher yang berusia 300 tahun dari Jerman menerusi bantuan satu program komputer baharu.
Berikutan kejayaan tersebut, program komputer itu dijangka mampu membantu mentafsir manuskrip-manuskrip rahsia yang lain.
"Ia membuka pintu kepada mereka yang mengkaji sejarah idea dan masyarakat-masyarakat rahsia," kata saintis komputer dari University of Southern California (USC), Kevin Knight.
"Para sejarawan percaya bahawa masyarakat-masyarakat rahsia memainkan peranan dalam revolusi. Namun semua ini sedang dikaji kerana sebahagian besar dokumennya masih belum dapat ditafsir," tambah Knight.
Kitab Copiale Cipher yang mengandungi 75,000 huruf menggambarkan ritual dan kecenderungan politik sebuah masyarakat rahsia di Jerman pada kurun ke-18. Manuskrip itu ditulis pada lembaran kain berwarna emas dan hijau.
Knight juga merancang untuk mentafsir kod-kod mesej popular lain termasuklah kod yang dihantar oleh Pembunuh Zodiak, seorang pembunuh bersiri AS sekitar tahun 1960 dan 1970-an. Pembunuh itu ada menghantar mesej-mesej rahsia kepada pihak media dan gagal ditangkap hingga sekarang.
- AFP

Pemilik rumah berang harga rumah jatuh di Shanghai




JUALAN hartanah di China jatuh sebanyak 10 peratus, sekali gus menyebabkan para pemaju memotong harga bagi menaikkan semula kadar jualan mereka.- Reuters


SHANGHAI - Beratus-ratus pembeli rumah yang marah mengadakan protes di ibu kota komersial China, di sini pada minggu ini kerana membantah kejatuhan harga hartanah milik mereka, lapor media pemerintah semalam.Terjejas akibat kemerosotan permintaan dan kekurangan dana, para pemaju bertindak memotong harga beberapa projek perumahan baru di bandar raya ini hingga 20 peratus.
Akhbar tempatan, China Business News melaporkan tindakan pemaju-pemaju itu mencetuskan kemarahan mereka yang membeli rumah-rumah serupa pada harga lebih tinggi.
Beberapa penganalisis memberitahu, siri protes itu yang adakalanya bertukar ganas, merupakan isyarat bahawa langkah-langkah pemerintah untuk memperlahankan kenaikan dalam pasaran hartanah di bandar-bandar utama China adalah berkesan.
Dalam insiden terbaru kelmarin, kira-kira 200 pemilik rumah menyerbu pejabat jualan sebuah projek perumahan yang dibangunkan oleh Greenland Group dan menuntut wang mereka dikembalikan.
"Kami mahu wang kami dipulangkan kerana kerugian yang kami alami terlalu besar," kata seorang penunjuk perasaan.
Dia mendakwa telah membayar AS$2,678 (RM8,327) untuk setiap meter persegi kediamannya pada tahun lalu. Tetapi pemaju kini memotong harga kediaman sama sebanyak 30 peratus untuk menggalakkan jualan.
Mengulas isu berkenaan, seorang penganalisis tempatan, Su Yan berkata pemaju terpaksa bertindak demikian kerana masalah dana.
"Para pemaju kini tertekan dan terpaksa mengurangkan harga hartanah," katanya. - AFP

Ibu kota Thailand 'dikepung' air bah



SEBUAH jeti yang rosak dilihat terapung di Sungai Chao Phraya. Banjir besar yang melanda memaksa pihak berkuasa Thailand mengarahkan penduduk supaya keluar dari Bangkok.-Reuters


BANGKOK - Puluhan ribu orang membanjiri stesen bas dan lebuh raya dalam usaha meninggalkan ibu kota Thailand, Bangkok ketika situasi banjir di sini semakin meruncing dengan arahan perpindahan pertama telah dikeluarkan.
Kota metropolis yang dihuni sembilan juta orang itu kini dikelilingi air banjir.
Setakat ini, banjir yang melanda Thailand sejak Julai lalu telah mengorbankan 373 orang di seluruh negara dengan kerugian mencecah berbilion-bilion dolar. Lapangan Terbang Don Muang iaitu lapangan terbang kedua terbesar di sini turut ditutup akibat banjir.
Setakat semalam, kebanyakan kawasan di Bangkok masih belum ditenggelami air. Namun, warga kota dilihat giat melakukan persediaan ekoran banjir kali ini yang tidak dapat dielakkan.
Gabenor Bangkok, Sukhumbhand Paribatra berkata, penduduk di dua daripada 50 daerah di sini iaitu Don Muang and Bang Phlat sudah diarah berpindah.
Kedua-dua daerah tersebut kini ditenggelami air banjir.

SEORANG lelaki mengayuh sebuah sampan ketika mengharung banjir di tengah-tengah kota Bangkok.-AFP


"Ini kali pertama saya menggunakan perkataan berpindah. Ini juga kali pertama saya meminta anda semua supaya beredar ke tempat lebih selamat," kata Sukhumbhand.
Di tempat-tempat lain di Bangkok, ribuan penduduk membanjiri terminal bas Mo Chit untuk meninggalkan bandar raya tersebut.
Kebanyakan mereka mengambil kesempatan cuti umum lima hari yang diisytiharkan oleh kerajaan bagi mengelakkan orang ramai terperangkap dalam banjir.
Cuti umum berkenaan yang bermula semalam hingga Isnin depan melibatkan kawasan-kawasan terjejas teruk akibat banjir termasuk Bangkok.
Sementara itu, peta satelit menunjukkan bandar raya itu kini 'dikepung' oleh air banjir.
Banjir yang melanda utara Thailand sejak Julai lalu sedang mengalir ke bandar raya ini dan menuju ke Teluk Thailand di selatan negara itu.
"Jumlah airnya amat besar," kata Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra.
"Sebahagian air banjir akan melanda Bangkok tetapi kita akan berusaha supaya banjir mengalir keluar dengan seberapa segera," tambahnya.
Menurut Yingluck, beberapa kawasan di sini mungkin ditenggelami air sedalam 10 sentimeter hingga 1.5 meter.

SEKUMPULAN penduduk menaiki sebuah trak untuk keluar dari Bangkok.


"Jika tiga tembok penghadang banjir di sini kekal utuh, situasi di Bangkok akan bertambah baik. Namun, jika benteng tersebut gagal, seluruh Bangkok akan dilanda banjir," ujarnya.
Sementara itu, pengeluar kenderaan dari Jepun, Toyota memberhentikan pengeluarannya pada Sabtu ini di empat buah kilang di Amerika Utara termasuklah Indiana, Kentucky, Ontario Kanada dan Virginia berikutan impak banjir di Thailand.
"Banjir di Thailand telah menyebabkan gangguan dalam pengeluaran beberapa pembekal di rantau itu. Kami masih belum pasti sama ada boleh memulakan pengeluaran pada Isnin (31 Oktober) atau sebaliknya. Kami akan memantau keadaan di sana," kata jurucakap Toyota, Amiko Tomita.
- Agensi

Saif mahu serah diri




SAIF AL-ISLAM


DUBAI – Anak lelaki Muammar Gaddafi, Saif Al-Islam (gambar) mahu sebuah pesawat membawanya keluar dari gurun di selatan Libya supaya dia dapat menyerah diri kepada mahkamah jenayah perang di The Hague, Belanda, kata sumber Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) semalam.
Saif juga mahu pembabitan negara ketiga sama ada Algeria atau Tunisia dalam menjayakan misi tersebut.
“Dia mahu sebuah pesawat membawanya keluar dari Libya sebelum dihantar ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague, Belanda,” kata sumber itu dalam satu wawancara telefon dari Libya.
Saif, 39, melarikan diri semasa bapanya maut seminggu lalu di tangan sekumpulan pejuang NTC.
Beberapa pegawai NTC memberitahu bahawa Saif kini bersedia untuk menyerah diri ke muka pengadilan seperti yang dilakukan oleh bekas ketua agensi perisikan Libya, Abdullah al-Senussi.
Kedua-duanya menjadi buruan ICC kerana melakukan jenayah kemanusiaan berhubung tindakan mereka dalam mengekang kebangkitan rakyat Libya pada Februari lalu.
Beberapa laporan bercanggah mengenai lokasi persembunyian Saif tersebar sejak dia hilang dari kubu kuat Gaddafi di Bani Walid, utara Libya dengan beberapa laporan menyatakan dia dan Senussi bersembunyi di Niger.
Namun, sumber NTC itu memberitahu, Saif masih berada di Libya.
Dia kini dilindungi seorang pemimpin puak Tuareg di kawasan gurun berhampiran sempadan Niger dan Algeria. – Reuters

Thursday, October 27, 2011

Rahsia Gaddafi Yang Kita Tidak Tahu.. (2)



Mengapa Saya Tidak Kutuk Gaddafi - Tukar Tiub


Tuan yang saya muliakan: [TT] Tuan menulis kepada saya dan bertanya kenapa saya memberi penghormatan kepada Gadaffi. Kenapa saya tidak menulis dan mengutuk Kolonel Gadaffi. Tuan terus bertanya dan menghambat dengan soalan kenapa saya bersimpati dengan seorang ditaktor yang telah merampas kuasa semenjak tahun 1969. Tuan bertanya apakah saya tidak tahu bahawa selama 42 tahun ini Libya tidak pernah melihat kepimpinan selain dari Kolonel Gadaffi. Kenapa saya tidak menulis tentang kezaliman yang berlaku di Libya.



Tuan yang saya muliakan, Saya juga disedarkan bahawa Kolonel Gadaffi ini telah memberi pembelajaran percuma dari sekolah rendah hingga ke universiti di Libya. Saya juga sedar bahawa Gadaffi memberi warga Libya perubatan percuma. Saya juga sedar yang Gadaffi telah menggunakan duit minyak petrol untuk membuat rumah dan memberikan secara percuma kepada warga Libya.


Saya juga sedar Gadaffi memberi sokongan kepada banyak perjuangan pembebasan antarabangsa pada tahun-tahun 70’an dahulu. Sokongan dana dan diplomatik untuk PLO, Japanese Red Army, IRA dari Ireland Utara, ETA dari Sepanyol – termasuk juga menyokong dan memberi dana dan senjata kepada Moro National Liberation Front dari Mindano.


Dalam masa yang sama - saya amat sedar bahawa ruang demokrasi amat sempit di Libya. Saya sedar Gadaffi memerintah Libya tanpa ada pemilihan. Gadaffi naik tahtha kerana rampasan kuasa. Dalam hal ruang demokrasi saya tidak bersama menyokong Gaddafi.


Malah ketika Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), ABIM, Persatuan Bahasa Melayu Universiti Melaya (PBMUM) - mengangkat dan menjulang Kolonel Gadaffi pada tahun tujuh puluhan dahulu – saya secara sinis telah mentertawakan kumpulan kumpulan ini. Ketika ini Gaddafi sedang menjual agama dengan Buku Hijaunya. Gadaffi membuat Buku Hijau kerana Pengerusi Mao pada ketika itu ada Buku Merah. Saya tersenyum sinis apabila melihat kumpulan-kumpulan Islam amat senang ditipu. Saya perhatikan mereka memiliki kecetekkan fikrah dan gagal untuk memahami konsep ruang demokrasi yang lebih luas.


Ini berlaku lebih dari 30 tahun dahulu. Ini ketika saya telah bangun menyokong perjuangan adil rakyat Vietnam. Kita saya menyokong pejungan rakyat Kamboja. Kita kami anak muda keluar ke jalan raya untuk bersetiakawan dengan rakyat Palestine dan warga Afrika Selatan. Ketika ini anak muda seluruh dunia sedang bangun melawan kuasa imperialis Anglo-Amerika.


Biar saya jelaskan disini. Saya tidak pernah menghalalkan apa sahaja bentuk kezaliman. Sama ada kezaliman yang dilakukan kerana idealoji kiri seperti di Russia dan di China, atau kerana dogma agama di Iran dan Pakistan atau atas nama keselamatan seperti di Malaysia dan di Israel. Kezaliman adalah kezaliman tidak kira dari mana datangnya. Yang dizalimi tetap terseksa.


Tuan yang saya hormati, Disini biar saya luaskan pandangan siasah agar kita bukan hanya memahami Gaddafi dengan Buku Hijaunya atau dengan Libya wujud tanpa pilihanraya. Saya ingin membuka wacana yang lebih luas. Dalam bahasa German, saya ingin membuka wacana realpolitik – politik yang dieja dengan huruf k. Saya harapkan apa yang saya huraikan ini akan membuka fikrah kita bersama untuk melihat tanda dan makna politik yang sedang berlaku dihadapan mata kepala kita.


Tuan yang saya hormati,


Libya ialah anggota OPEC – negara pengeluar minyak. Ertinya Libya negara kaya. Ertinya jika duit minyak tidak digunakan secara membazir. Atau digunakan hanya untuk isteri Gadaffi membeli intan berlian dari kedai Jacob di New York atau membeli beg tangan Jane Birkin – sudah pasti warga Libya tidak hidup lumayan. Ini tidak berlaku di Libya justeru pendapatan warga Libya adalah yang tertinggi di Afrika.


Sebagai anggota OPEC kelihatan Libya dibawah pimpinan Kolonel Gadaffi selalu membantah keputusan dan cadangan OPEC yang diajukan oleh Saudi Arabia. Arab Saudi sering mengajukan dasar pengeluaran minyak yang tidak akan menggangu gugat sistem ekonomi kapitalis yang dikepali oleh Amerika Syarikat. Saudi mahu harga minyak petrol terus rendah. Amat jelas - Raja Saudi adalah budak suruhan Amerika yang paling setia. Raja Saudi akan menjaga kepentingan ekonomi kapitalis Amerika lebih baik dari menjaga Makam Nabi. Dasar Saudi yang pro Amerika inilah yang sering ditibai oleh Gadaffi.


Apa yang ingin saya nyatakan disini ialah dalam politik antarabangsa Gadaffi ini ialah sosok anti imperialis. Justeru sokongan Libya terhadap gerakan pembebasan antarabangsa pada tahun tahun 70an dahulu wajib dilihat dalam konteks ini. Kerana anti imperialis ini Gadaffi ialah ‘ budak jahat’ dalam kitab rujukan Rumah Puteh. Kolonel ini tidak disukai oleh kuasa Anglo-Amerika. Kolonel Gadaffi tidak disukai oleh Shell, Esso, BP atau Cheveron Oil – kerana semua syarikat ini dikekang dari masuk menjarah minyak di Libya.


Dalam pandangan geopolitik kaum imperialis dan kaum pemodal antarabangsa Gaddafi telah membuat beberapa kesalahan. Biar saya terangkan kesalahan Gadaffi ini. Kesalahan-kesalahn inilah yang membuatkan bala tentera NATO datang menyerang Libya dan membunuh Gadaffi.


Tuan yang saya muliakan biarkan saya senaraikan satu demi satu kesalahan Kolonel Gadaffi ini. Di harapkan tuan akan terbuka mata dan hati untuk memahami siasah dunia dengan lebih lengkap. Jika tuan memahami ini maka saya berharap tuan memahami kenapa saya menyokong Gadaffi.


Pertama: Gaddafi telah mengeluarkan dana lebih dari 300 juta dolar Amerika untuk membuat sistem Satelit Afrika. Sistem satelit ini membolehkan 42 negara-negara Afrika berkomunikasi bebas dari kongkongan sistem komunikasi syarikat-syarikat Eropah. Saban tahun sebelum adanya sistem Satelit Afrika ini – negara negara Afrika terpaksa membayar 500 juta dolar satu tahun harga sewaan. Gaddafi membebaskan negara Afrika. Kaum pemodal antarabangsa lesap mata pendapatan sebanyak 500 juta dolar setahun.


Kedua: Gadaffi telah merancang untuk menubuhkan AMF – African Monetary Fund. Lembaga AFM ini berperanan seperti International Monetary Fund (IMF)– meminjamkan dana untuk negara Afrika yang memerlukan. Bezanya AMF ini bukan untuk mencari keuntungan. AMF ini bukan untuk memberi hutang atau menjadi Along untuk negara Afrika. AMF bertujuan membebaskan negara-negara Afrika dari sistem penjajahan ekonomi yang sedang memiskin benua ini.


Lembaga AFM ini juga akan mewujudkan Central Bank of Africa yang beribu pejabat di Abuja Nigeria. Ini bererti nilai duit Afrika bukan lagi ditetapkan oleh dolar, bukan lagi ditetapkan oleh pound sterling atau ero. Dengan wujudnya Central Bank of Afrika ini maka putuslah penjajahan ekonomi kaum pemodal antarabangsa dengan benua Afrika.


Gadaffi juga akan mewujudkan Africa Bank of Investman a yang beribu pejabat di Libya. Tujuan bank ini ialah untuk mencari modal dan melabor di negara-negara Afrika. Semua lembaga keewangan ini akan diwujudkan pada tahun 2011. Semua perancagan telah berjalan dengan lancar. Semua perjanjian telah ditanda tangani. Kini semuanya tinggal impian. Kini semuanya dimusnahkan oleh serangan Nato.


Ketiga: Kuasa imperial Anglo-Amerika tidak mahu Afriak bebas. Kuasa imperialis mahu rakyat Afrika terus bodoh dan dibodohkan. Ramai warga Afrika datang belajar di Libya. Sistem pembelajaran pecuma di Libya menjadi ancamaan kepada kaum pemodal. Bertambahnya warga Afrika yang bijak bermakna berkurang pula pengaruh kuasa pemodal antarabangsa di Afrika. Justeru, kaum pemodal antarabangsa mahu Afrika terus diperintah oleh para ditaktor seperti Mobutu Sese Seko, Idi Amin Dada atau Emperor seperti Bokasa.


Melalui Lolonel Gadaffi kesatuan African Union menjadi satu organisasi yang bukan sahaja beretorik tetapi berupaya melakukan sesuatu. Melalui duit minyak Gadaffi telah menyalurkan dana yang banyak ke negara-negara Afrika. Ini dilihat oleh kaum pemodal sebagai satu yang bahaya. Sebagai satu ancaman. Bahaya kerana jika Afrika bangun membina negara mereka sendiri maka kaum pemodal antrabangsa dan kehilangan tempat untuk merompak dan menjarah kekayaan.


Tuan yang saya hormati, Tiga pekara yang telah dilakukan oleh Gadaffi ini telah dengan terang-terang menentang kepentingan kaum kapitalis antrabangsa. Semua ini adalah jenayah Gadaffi terhadap kaum pemodal antrabangsa. Semua ini adalah kesalahan Gadaffi terhadap imperialis Anglo-Amerika. Jelas, apa yang saya tuliskan bukan jenayah Gadaffi terhadap warga Libya. Ini bukan bermakna Gadafy ini seorang sosialis – tidak. Apa yang Gadaffi lakukan ialah secara jujur dia ingin membebaskan Afrika dari cengkaman kaum pemodal antarabangsa.


Tuan yang saya hormati, Pekara yang saya tulis ini tidak akan dilaporkn oleh CNN, BBC, New York Times , Washington Post atau pun Utusan Melayu. Tidak ada media arus perdana yang berani menyentuh pekara ini. Laporan yang kita baca, dengar dan tonton hanya menyatakan bahawa warga Libya telah bangun menentang Kolonel Gadaffi. Apakah ini betul?


Saya hanya ada satu pemintaan kepada tuan yang saya hormati. Sila cari gambar, sila cari klip di YouTube, sila selidiki semua media dunia – adakah pernah tuan ternampak beribu-ribu anak anak muda berkumpul menentang Gadaffi seperti di Dataran Tahrir? Adakah tuan pernah terlihat gambar puluhan ribu rakyat Libya berdemo menentang Gadaffi seperti demo Bersih 7 Julai dahulu? Atau ternampak gambar beribu-ribu anak anak muda berdemo dan terus bermalam berminggu-minggu di Benghazi?


Tidak. Tuan jangan membuang masa. Imej ribuan anak muda Libya berdemo ini tidak wujud. Kerana bukan warga Libya yang bangun menyerang kerajaan Gadaffi. Yang datang menyerang ialah soldadu upahan Amerika dan jet pengebom Nato yang bertungkus lumus siang dan malam menyerang Libya. Sejarah Libya ini tidak tamat disini. Saya akan sambung lagi minggu hadapan.(TT)


Tulisan ini telah disiarkan dalam SUARA KEADILAN terbaru
Addin: Rahsia Gaddafi Yang Kita Tidak Tahu.. (2):

'via Blog this'

‘Hanya arwah, suami tahu’

KUALA TERENGGANU: “Hanya arwah dan adik ipar tahu apa yang berlaku pada hari kejadian. Sebagai ahli keluarga, saya serahkan kepada polis menyiasat punca dan individu yang bertanggungjawab terhadap kejadian ini,” kata Zalina Yahaya, 33, kakak sulung kepada Suriani Yahaya, 28, yang meninggal dunia selepas disyaki dibakar suami sendiri, awal pagi kelmarin.
Suriani yang juga seorang jururawat meninggal dunia jam 4.30 pagi di Hospital Kuala Lumpur (HKL), kelmarin, selepas 10 hari bertarung nyawa akibat melecur lebih 80 peratus.

Menurut Zalina, dia dan ahli keluarganya sebolehnya tidak mahu memperbesar-besarkan peristiwa itu demi menjaga hati dan perasaan kedua-dua keluarga apatah lagi hubungan mereka dengan keluarga adik ipar sangat baik.

“Apabila berita menimpa Suriani dilaporkan dalam akhbar, pelbagai reaksi diterima terutama yang menyalahkan adik ipar. Namun, kami memohon orang ramai tidak membuat andaian melulu kerana ia masih dalam siasatan polis.

“Jika difikirkan, tidak mungkin adik ipar sanggup berbuat sedemikian apatah lagi sepanjang mengenalinya, dia seorang yang baik. Malah, sepanjang pengetahuan saya, hubungan mereka suami isteri tidak mempunyai masalah.

“Tragedi ini benar-benar memberi kesan kepada kami sekeluarga. Kami sekeluarga reda dengan apa yang berlaku terhadap mangsa dan menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pak Ya, Paya Resak, Marang, di sini, semalam.


Suriani, anak ketiga daripada enam beradik dikebumikan di Tanah Perkuburan Paya Resak kira-kira jam 9 malam kelmarin. Dia meninggalkan dua cahaya mata lelaki masing-masing berusia dua dan tiga tahun.

Harian Metro pada 17 Oktober lalu melaporkan seorang jururawat di HKL kritikal apabila lebih 80 peratus tubuhnya melecur dipercayai dibakar suami sendiri ketika mangsa mandi di rumahnya di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Kebumi bersama ‘bakakuk’


GALI...sepasukan polis forensik menggali kubur Wahimin di Kampung Lobau Lama, kelmarin.
GALI...sepasukan polis forensik menggali kubur Wahimin di Kampung Lobau Lama, kelmarin.

RANAU: Seorang lelaki yang secara tidak sengaja tertembak bapa mentuanya ketika memburu tupai di hutan Kampung Lobau Lama di sini, pada 24 September lalu, mengebumikan lelaki terbabit bersama senapang buatan sendiri dikenali sebagai ‘bakakuk’ yang digunakannya, dipercayai sebagai tanda penghormatan dan memohon kemaafan.
Difahamkan, lelaki berusia 36 tahun dipercayai bimbang dikenakan tindakan jika membuat laporan polis bertindak menyembunyikan kematian itu dengan menanam mayat bapa mentuanya berhampiran rumah selepas mendapat persetujuan ahli keluarga lain.

Bagaimanapun, perbuatannya terbongkar apabila seorang sepupu yang memandikan mayat mangsa melihat luka yang mencurigakan sebelum membuat laporan polis.

Polis yang menerima maklumat kemudian menahan mangsa yang akhirnya mengaku tertembak dan menanam mayat bapa mentuanya secara rahsia. Susulan pengakuan suspek, polis mendapatkan perintah mahkamah bagi menggali semula ‘kubur’ itu bagi melakukan bedah siasat terhadap mayat terbabit, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Abdul Rahman Kassim berkata, pihaknya terpaksa mendapatkan perintah mahkamah bagi menggali semula kubur Wahimin Usat, 50, yang mati ditembak menantunya sendiri di Kampung Lobau Lama.

“Selepas mendapat perintah mahkamah, sepasukan polis forensik menggali semula kubur mangsa bagi melakukan siasatan termasuk punca kematiannya.


“Polis menemui mayat mangsa yang ditanam bersama senapang ‘bakakuk’ dan difahamkan, senapang itu adalah senjata digunakan suspek ketika tertembak mangsa ketika memburu tupai,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, semalam.

Abdul Rahman berkata, mayat mangsa dan senjata berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau untuk siasatan lanjut.
“Siasatan awal mendapati, suspek secara tidak sengaja tertembak mangsa yang bersama-sama memburu di hutan Kampung Lobau Lama kira-kira jam 12 tengah hari, pada 24 September lalu.

“Suspek dipercayai melepaskan tembakan sebaik menyedari kehadiran seekor ‘tupai’ di sebatang pokok, namun terkejut apabila mendapati bapa mentuanya terbaring berlumuran darah dan tidak bernyawa lagi,” katanya.

Katanya, suspek membawa pulang mayat mangsa dan mengebumikan lelaki itu di sekitar rumah selepas mendapat persetujuan ahli keluarga lain tanpa melaporkan kejadian itu kepada polis.

“Suspek enggan membuat laporan kerana bimbang dikenakan hukuman kerana difahamkan dia menjadi harapan untuk menyara ahli keluarganya.

“Lelaki terbabit kini disiasat mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.