Pages

Thursday, August 4, 2011

Disimbah asid sebelum tarawih



KECEDERAAN yang dialami Faizal Halim selepas disimbah cecair percayai asid ketika mendapatkan rawatan di HRPZ II di Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – “Ketika itu saya sedang membelek senaskhah akhbar di kedai runcit sebelum tiba-tiba bahagian kanan muka dan belakang badan saya terasa panas.”
Demikian cerita Faizal Halim Rustam, 37, yang mengalami cedera parah selepas disimbah sejenis cecair dipercayai asid dalam kejadian di hadapan sebuah kedai runcit di Taman Uda Murni, Pengkalan Chepa, dekat sini malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, mangsa dalam perjalanan ke sebuah masjid untuk menunaikan solat tarawih sebelum singgah di kedai runcit tersebut untuk membeli minuman.
Menurutnya, selepas membeli minuman, dia membelek-belek senaskhah akhbar seketika sebelum tiba-tiba muka dan badannya terasa panas dan pedih seolah-olah terbakar.
“Muka dan badan saya terasa seperti terbakar dan saya terus berlari ke sebuah klinik yang terletak kira-kira 30 meter dari kedai runcit tersebut untuk mendapatkan rawatan.
“Sebaik sampai ke klinik tersebut, kakitangannya kemudian menyapukan krim ke seluruh anggota badan serta muka saya.
“Memandangkan kecederaan dianggap serius, saya kemudian dihantar ke Kota Bharu Medical Centre (KBMC),” katanya ketika ditemui semalam.
Tambahnya, berikutan kecederaan pada bahagian mata yang agak serius setelah diperiksa oleh doktor di KBMC, beliau kemudian dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk mendapat rawatan lanjut.
Ketika ditanya mengenai punca kejadian tersebut, Faizal berkata, ia mungkin disebabkan oleh dengki namun, beliau enggan mengulas lanjut.
“Saya tidak nampak dan tidak tahu siapa yang melakukan perbuatan itu.
“Saya harap pihak polis dapat menjalankan siasatan dan menangkap suspek yang melakukan perbuatan ini kerana ketika kejadian, saya pasti terdapat beberapa orang lain yang menyaksikannya di kedai tersebut,” ujarnya.
Berikutan kejadian itu, satu laporan telah dibuat di Balai Polis Kota Bharu semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian itu.
“Sesiapa yang menyaksikan kejadian tersebut diharap tampil untuk membantu siasatan,” katanya.kosmo

Kaki, organ dalaman dalam mangkuk tandas



ANGGOTA polis mengangkat mayat yang telah dipisahkan beberapa bahagian badan yang ditemui di Blok Chryssa, Apartmen Astaria, Taman Kosas, Ampang Jaya semalam.


AMPANG JAYA – Tragis dan meloyakan. Itulah gambaran yang boleh diberikan terhadap penemuan mayat manusia yang telah dipisahkan dengan sebelah kaki dan beberapa bahagian organ dalamannya dibuang ke dalam mangkuk tandas di sebuah rumah di Blok Chryssa, Apartmen Astaria, Taman Kosas di sini semalam.
Sebelum penemuan mayat itu, penghuni di blok itu mengadu terdapat bau yang kurang menyenangkan di kawasan sekitarnya.
Menyedari perkara itu, pihak penyelenggara apartmen telah membuat pemeriksaan di sebuah rumah kosong di tingkat lima dan menemui kaki sebelah kiri dan beberapa bahagian organ di dalam mangkuk tandas di rumah tersebut sebelum bertindak membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, pihak polis bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima maklumat daripada pengurus bangunan itu pada pukul 4 petang memaklumkan dia menjumpai kaki dan beberapa bahagian badan lain manusia di dalam sebuah rumah.
“Hasil pemeriksaan polis bersama pihak patalogi menjumpai sebelah kaki kiri dan organ dalaman manusia yang dibuang ke dalam mangkuk tandas.
“Berdasarkan maklumat patalogi, mayat itu dipercayai telah dibuang kurang daripada seminggu lalu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.
Amiruddin berkata, turut ditemui bahagian lain badan mayat itu yang disimpan di dalam beberapa helai beg plastik.
Difahamkan, beg plastik tersebut ditemui tergantung di atas siling tandas dan diletakkan di beberapa ruang dalam tandas tersebut serta banyak kesan tompokan darah di dalam rumah itu.
Beliau berkata, setakat ini pihak polis masih menyiasat identiti dan jantina mayat memandangkan rumah tersebut tidak berpenghuni dan terbiar sejak 10 tahun yang lalu.kosmo

Atlet menembak kahwin lari





MELAKA - Seorang bapa merayu anaknya, seorang atlet menembak pelapis kebangsaan yang menghilangkan diri setelah kahwin lari tahun lalu supaya kembali ke pangkuan keluarga.
Azlan Maidin, 53, juga merayu anaknya, Nabila Ashazra, 20, (gambar) supaya meneruskan kembali latihan menembak di Majlis Sukan Negara di Kuala Lumpur demi masa depan.
Nabila adalah pemenang pingat emas acara Air Pistol di Kejohanan Menembak Asia Tenggara di Bangkok tahun lalu.
Dia bagaimanapun menghilangkan diri setelah dipercayai berkahwin dengan seorang lelaki berusia 44 tahun di Wilayah Pattani, Thailand pada 12 November tahun lalu.
Lebih menyedihkan keluarga atlet tersebut ialah lelaki berkenaan yang sudah mempunyai empat anak mengambil Nabila sebagai isteri ketiga.
Azlan menjelaskan, dia mula menyedari kehilangan Nabila setelah mendapat panggilan telefon daripada seorang wanita yang mendakwa sebagai isteri pertama lelaki tersebut pada 25 Julai lalu.
Menurutnya, dalam perbualan singkat itu, wanita tersebut mendakwa anak perempuannya itu kini berada di Kampung Kor, Lorong Kubur, Kota Bharu, Kelantan.
"Saya sangat risau kerana dia dikatakan berkahwin dengan seorang lelaki berusia 44 tahun dan sudah pun mempunyai dua isteri serta empat anak," katanya kepada pemberita di Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela BN) Negeri Melaka, Ayer Keroh di sini semalam.kosmo

Lelaki berkulit hitam jadi \Spider-Man\ baharu




WAJAH adiwira Spider-Man yang terbaharu, Miles Morales yang berkulit hitam.


PHILADELPHIA - Pihak pengurusan majalah Marvel Cormics mendedahkan bahawa adi wira Spider-Manterbaharu ialah lelaki berkulit hitam.
Lelaki itu yang menjadi adiwira itu dikatakan pemuda kacukan kulit hitam dan Latin.
Menurut pihak pengurusan komik tersebut, pemuda yang menjadi adiwira baharu itu ialah Miles Morales yang menggantikan Peter Parker yang telah meninggal dunia di tangan Green Goblin.
Dalam edisi komik itu yang terbaharu berjudul Ultimate Fallou, Morales menanggalkan kostum penyamarannya dan mendedahkan mukanya buat kali pertama.
Para peminat terpaksa menunggu sehingga satu pengumuman rasmi dibuat tentang bagaimana dia menjadi adiwira.
Namun, satu lagi kejutan akan berlaku apabila pihak pencipta watak berkenaan menyatakan pada masa depan Spider-Man mungkin seorang gay. - Agensikosmo

David Beckham ada kereta Ferrari baharu


KERETA baharu David Beckham, Ferrari 612 Scaglietti diletakkan di luar rumahnya di Los Angeles baru-baru ini.


LOS ANGELES - Bintang bola sepak England yang bermain untuk kelab LA Galaxy, David Beckham (gambar kecil) mempunyai koleksi kereta terbaharunya, lapor sebuah akhbar semalam.
Kereta baharu Beckham itu merupakan Ferrari 612 Scaglietti yang berharga AS$300,000 (RM894,294.01), berwarna hitam dan mempunyai nombor 7.
Nombor itu pernah digunakan oleh Beckham semasa dia mewakili kelab Manchester United.
Kereta baharu itu dilihat diletakkan di luar rumah Beckham di sini baru-baru ini.
Sejak dilancarkan pada 2004, kereta Ferrari itu mempunyai sistem navigasi satelit, alat pemain muzik MP3, mengenali suara pemilik dan teknologi wayarles.
Sebelum ini, Beckham memiliki satu koleksi kenderaan yang terdiri daripada sebuah kereta BMW, Lamborghini, Aston Martin, Porsche, Escalade, sebuah jip dan beberapa motosikal. - Agensi

Lagi wakil rakyat AS letak jawatan


GAMBAR menunjukkan Louis Magazzu memegang telefon bimbit berkamera di dalam sebuah bilik.


WASHINGTON, Amerika Syarikat (AS) - Seorang lagi wakil rakyat AS terpaksa meletakkan jawatan selepas dia didapati menghantar gambar bogelnya kepada seorang wanita yang menjalin hubungan dengannya di Internet, lapor sebuah akhbar semalam.
Gambar bogel ahli politik itu kemudian disiarkan di sebuah laman web Parti Republikan.
Wakil rakyat berkenaan, Louis Magazzu (gambar), 53, dari Parti Demokrat mengaku menghantar gambar bogelnya menerusi e-mel kepada wanita berkenaan yang menjalin hubungan secara dalam talian dengannya selama beberapa tahun.
Gambar itu menunjukkan Magazzu sedang merakamkan dirinya berbogel di hadapan sebuah cermin.
Ahli politik berkenaan mendakwa wanita terbabit meminta gambar bogelnya tetapi tidak menyangka dia sebenarnya diperangkap oleh kenalannya itu.
Dalam satu kenyataan e-mel, Magazzu yang mewakili daerah Cumberland memohon maaf kepada keluarga, rakan-rakan dan pengundinya berhubung skandal tersebut.
Sebelum ini, dua wakil rakyat Parti Demokrat yang dianggotai Presiden Barack Obama iaitu Anthony Weiner dan David Wu terpaksa meletakkan jawatan kerana terbabit dalam skandal melibatkan wanita. - Agensi

10 pelancong Malaysia mengaku seludup dadah RM29.7 juta


ANTARA dadah yang dirampas polis daripada sekumpulan pelancong Malaysia di Lapangan Terbang Auckland, 
New Zealand pada April lalu.


AUCKLAND, New Zealand - Seramai 10 pelancong Malaysia yang ditangkap cuba menyeludup masuk dadah jenis methamphetamine yang disembunyikan di dalam kasut mereka menerusi Lapangan Terbang Auckland, mengaku bersalah kerana dakwaan membawa dadah, lapor sebuah akhbar semalam.
Tiga anggota kumpulan berkenaan yang ditangkap di Lapangan Terbang Auckland pada April lalu telah mengaku bersalah kerana mengimport dadah kelas A.
Media Fairfax melaporkan bahawa tujuh yang lain iaitu Yuen Fatt Wong, 61, Teng-Kim Ooi, 52, , Tan Ah Nya. 51, , Sit Mooi En, 29, Lian Fong Wong, 53, Eng Wan Teoh, 22, dan Ah Kooi Teoh, 21, turut mengaku salah semalam.
Mereka terus ditahan sebelum dihadapkan semula ke mahkamah pada bulan depan.
Tiga ahli kumpulan itu yang lebih dahulu mengaku salah iaitu Eng Hin Ong, 39, Waihong Leong, 23 and Ewe How Ong, 40 tidak muncul di mahkamah semalam.
Lapan pelancong lelaki dan dua wanita dari Malaysia itu ditemui dengan sekurang-kurangnya lapan kilogram methamphetamine bernilai AS$10 juta (RM29.7 juta) disembunyikan di dalam kasut mereka semasa mereka memasuki New Zealand melalui lapangan terbang tersebut.
Mereka terdiri daripada sekumpulan 14 pelancong Malaysia.
Rampasan dadah berkenaan merupakan antara rampasan dadah terbesar di New Zealand. - Agensi

Hosni dibicarakan walaupun terbaring




HOSNI MUBARAK terbaring di atas katil dalam sebuah kurungan di sebuah mahkamah di Kaherah semalam.


KAHERAH - Bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak mula dibicarakan semalam di sebuah mahkamah di sini berhubung dakwaan beliau melakukan rasuah dan mengarahkan pembunuhan para penunjuk perasaan.
Namun, dia terbaring di atas sebuah katil hospital yang terdapat di dalam sebuah kurungan di mahkamah berkenaan kerana sakit.
Stesen-stesen televisyen Mesir turut menyiarkan imej beliau terbaring itu.
Hosni turut mengangkat kepala untuk melihat proses perbicaraan itu.
Dua anak lelakinya, Gamal dan Alaa yang turut dibicarakan bersamanya berdiri di tepi katil Hosni dan bercakap dengannya.
Hosni diterbangkan dengan menggunakan sebuah pesawat tentera dari sebuah resort peranginan di Sinai menuju ke ibu kota Mesir, di sini untuk dibicarakan.
Di pekarangan mahkamah itu, berlaku pergelutan antara ratusan penyokong dan penentang bekas presiden itu.
Kawalan keselamatan amat ketat di luar bilik mahkamah berkenaan.

SEBUAH stesen televisyen di Mesir menyiarkan dua anak Hosni Mubarak, Gamal (kiri) dan Alaa (empat dari kiri) di dalam kurungan di sebuah mahkamah di Kaherah semalam.


Ratusan anggota polis cuba memisahkan kumpulan penunjuk perasaan yang bergaduh.
Kumpulan penunjuk perasaan yang menyokong Hosni dan yang menentangnya saling membaling botol dan batu ke arah satu sama lain.
Sebelum pergaduhan itu berlaku, sekitar 50 penyokong pemimpin berusia 83 tahun itu melaungkan slogan sambil memegang potretnya di luar lokasi perbicaraan.
Hosni tinggal di sebuah resort di Sharm El Sheikh sejak beliau meletakkan jawatan pada 11 Februari lalu.
Beliau kemudian ditahan di sebuah hospital kawasan peranginan itu sejak April lalu.
Doktor-doktor menyatakan Hosni mengalami masalah jantung.
Hosni yang memerintah Mesir selama 29 tahun dijangka dihadapkan di sebuah mahkamah berkenaan di dalam sebuah kandang bersama beberapa tertuduh lain termasuk dua anak lelakinya dan seorang bekas menteri dalam negeri.
Dakwaan-dakwaan tersebut boleh membawa hukuman gantung sampai mati. - Agensi

Wednesday, August 3, 2011

Jurujual cedera parah disimbah cecair dipercayai asid

KOTA BHARU 3 Ogos – Seorang jurujual kereta cedera parah di beberapa bahagian badan selepas disimbah cecair dipercayai asid oleh individu tidak dikenali dalam kejadian di Taman Uda Murni, Pengkalan Chepa di sini, malam tadi.
Mangsa Faizal Halim Rustam, 37, disimbah cecair itu ketika sedang membaca akhbar di sebuah kedai dalam kejadian pada pukul 8.30 malam.
Akibat kejadian itu, Faizal kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan keadaannya bagaimanapun dilaporkan stabil.
Beliau mengalami kelecuran pada bahagian belakang badan, mata, leher serta lengan.
Ketika ditemui pemberita di hospital itu, Faizal berkata, ketika kejadian, beliau membeli minuman dan sempat membaca akhbar di luar kedai berkenaan sebelum disimbah cecair berkenaan. – Bernama
utusan

Cuba seludup syabu bentuk kepala harimau

SHAH ALAM – Polis menggagalkan cubaan menyeludup masuk dadah jenis syabu yang dibentuk menjadi replika kepala harimau dan diletakkan di dalam kotak sebagai cendera hati dalam rampasan di balai ketibaan KLIA semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, dalam rampasan pada 11 pagi itu, polis menahan seorang lelaki warganegara Iran berusia 26 tahun yang membawa replika berkenaan.

Bercakap kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini, beliau berkata, dalam rampasan berasingan, helah seorang lelaki warganegara Nigeria yang cuba menyeludup masuk dadah jenis syabu menggunakan ikan kering berjaya dikesan oleh pihak polis yang melakukan pemeriksaan di KLIA.

Beliau berkata, dalam rampasan yang dilakukan pada Isnin lepas, polis menahan suspek berusia 31 tahun dan menemui 15 potong ikan kering.

"Selepas diperiksa kita menemui kira-kira satu kilogram dadah jenis syabu yang disembunyikan pada bahagian dalam ikan kering berkenaan,” katanya.

Hisan berkata, nilai kedua-dua rampasan itu dianggarkan mencecah RM1.8 juta. – Bernama
kosmo

Penjara akibat buat laporan palsu diragut

KANGAR – Gara-gara ingin mengelak denda Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana kehilangan MyKad, seorang suri rumah menghadapi kemungkinan dihukum penjara enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Semuanya kerana dia membuat laporan palsu kononnya diragut oleh dua lelaki di sini pada pagi Ahad lepas menyebabkan dia kehilangan buku bank, surat pajak gadai, wang tunai RM5 dan MyKad.
Ketua Polis Daerah Kangar, Supt Abdul Rahman Noordin berkata, kerana membuat laporan palsu wanita berusia 55 tahun itu boleh didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun keseksaan yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman tersebut.
Abdul Rahman berkata, polis telah menyiasat kes itu mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan mendapati kejadian itu tidak berlaku pada masa dan tarikh yang dinyatakan.
Wanita itu akhirnya mengaku dokumen itu tercicir.
"Kami memandang serius perkara ini (laporan palsu). Ini bukan kes pertama laporan palsu berkaitan kehilangan MyKad. Sejak awal tahun ini sudah ada tiga kes termasuk kes terbaru Ahad lalu,” kata Abdul Rahman di pejabatnya hari ini. – Bernama
kosmo

Guru terbunuh selepas balik mengajar

BESUT – Seorang guru dari Sekolah Kebangsaan Langkap, Setiu terbunuh setelah kereta yang dipandunya berlanggar dengan sebuah lori tangki minyak di Kilometer 54 Jalan Kuala Terengganu-Jerteh dekat Kampung Sungai Tong petang ini.
Mangsa Ahmad Yusrizal Yusof, 30, mati di tempat kejadian setelah cedera parah di bahagian muka dan badan akibat perlanggaran tersebut yang berlaku kira-kira pukul 1.35 petang.
Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Rohaizat Mohd Ani berkata, ketika kejadian mangsa sedang memandu kereta jenis Perodua Viva dalam perjalanan untuk mengambil isterinya Azlina Mohd Razali yang mengajar di SMK Sungai Tong setelah habis mengajar.
Katanya, kejadian berlaku apabila mangsa dikatakan terbabas di satu selekoh tajam sebelum berlanggar secara berhadapan dengan lori tangki minyak kelapa sawit yang dalam perjalanan ke Kota Bharu.
Rohaizat bagaimanapun memberitahu maklumat pemandu lori tangki itu belum diperoleh, tetapi difahamkan hanya mengalami cedera ringan.
“Ahmad Yusrizal sering berulang ke sekolahnya dari rumahnya di Kuala Terengganu itu meninggal dunia di tempat kejadian,” kata Rohaizat ketika dihubungi di sini hari ini. – Bernama
http://www.kosmo.com.my

Eropah lancar semula resolusi PBB kutuk Damsyik


AMMAN: Serangan dua hari berturut-turut tentera Syria ke atas para pembantah antipemerintah di bandar Hama mendapat kutukan Barat dan mendorong kuasakuasa Eropah melancarkan semula resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengutuk Damsyik, yang dipendam sekian lama.
Kereta-kereta kebal membedil kejiranan di seluruh bandar itu selepas solat tarawih pertama Ramadan tahun ini malam kelmarin.Sekurang-kurangnya 24 orang awam, termasuk 10 orang selepas solat tarawih itu, terbunuh dalam serangan pasukan keselamatan Syria di seluruh negara itu, kata seorang aktivis hak asasi kepada agensi berita AFP semalam.Seramai 10 orang mati syahid dan beberapa lagi cedera akibat tembakan oleh pasukan keselamatan semasa bantahan di beberapa bandar Syria selepas solat tarawih pada Isnin, hari pertama Ramadan,' kata ketua kumpulan Pemerhatian Hak Asasi Manusia Syria, Encik Rami Abdel Rahman.Beliau menambah bahawa 24 orang mati hari itu.Beliau memberitahu AFP di Nicosia bahawa enam orang terbunuh apabila ribuan pembantah berhimpun di Irbin, di timur laut Damsyik, seorang dekat ibu kota Syria itu, dua di Latakia dan seorang lagi di pusat bandar Homs.Lebih 150 orang ditahan untuk disoal siasat malam kelmarin, tambah Encik Abdel Rahman.'Bedilan peluru dilancar setiap 10 saat,' kata seorang saksi kepada agensi berita Reuters menerusi telefon, dengan bunyi bedilan dan letupan kedengaran di latar belakang.Sekurang-kurangnya 122 orang awam yang menyertai perhimpunan bagi menggesa Presiden Bashar al-Assad meletak jawatan terbunuh di Syria sejak Ahad lalu, menurut para saksi, penduduk dan aktivis hak asasi.Sebagai reaksi tehadap pertumpahan darah terbaru itu, empat negara Eropah telah mengedarkan satu draf resolusi baru PBB untuk mengutuk tindakan Presiden Assad, dalam usaha terbaru masyarakat antarabangsa untuk memaksa rejim beliau berhenti menggunakan keganasan terhadap para pembantah, lapor agensi berita Bloomberg News semalam.Majlis Keselamatan memulakan sidangnya bagi membicarakan teks semakan yang diserah oleh Britain, Perancis, Jerman dan Portugal itu pada 10 malam tadi di ibu pejabat PBB untuk membincangkan isu tersebut. -- Agensi.
sumber

Cara Mudah Nak tahu Kedai Guna Pelaris Jin



" Sesungguhnya tidak ada kekuasaan bagimu (Syaitan) terhadap hamba-hambaKu, kecuali  ke atas mereka yang mengikut kamu, iaitu orang-orang yang sesat" 
( Al-Hijr: 42)


"Sesungguhnya Syaitan itu tidak ada kekuasaannya atas orang-orang yang beriman dan bertawakkal kepada Tuhannya" ( An-Nahl : 99) 


"Sesiapa yang mendatangi tukang tilik dan tukang tenung ( bagi mendapatkan bantuan berkaitan ghaib), kemudian mempercayai ramalan si tukang/dukun tadi, maka ia (yang pergi berjumpa itu) telah pun kufur dengan agama Nabi Muhammad SAW " ( Riwayat Al-Bazar & Abu Ya'la, Albani : Sohih, Ghayatul Maram, no 285)
Assalamualaikum,salam blogger
di zaman moden hari ini masih ramai lagi yang berani menempah tempat di Neraka dengan mengamalkan sihir untuk pelbagai tujuan dan maksud.Walaupun sudah jelas larangan Rasulullah s.a.w tentang bahaya sihir ternyata masih ada lagi yang mendapatkan khidmat bomoh.


Mereka ini terdiri dari berbagai lapisan masyarakat dan tujuan,bahkan ada juga dari kalangan artis dan ahli pilotik yang mendapatkan khidmat tukang-tukang sihir ini.Ada juga yang ingin membalas dendam kepada seseorang yang tidak disukainya dengan cara ini.
Apa yang saya nak sentuh pada kali ini ialah berkenaan dengan penggunaan pelaris kedai.Di sangkakan dengan bercambahnya ilmu dan pusat-pusat pengajian Islam di masjid-masjid ,surau-surau dan forom-forum amalan khurafat ini sudah berkurangan tapi nampaknya masih rancak di negara kita malaysia.


Jika dulu amalan pelaris yang menggunakan khidmat jin khadam atau tangkal ini hanypopular  di Indonesia dan Sabah sarawak sahaja tapi sekarang sudah merebak sampai ke semenanjung.Jadi kita sebagai pengguna harus berhati-hati dalam memilih kedai makan.Persoalannya bagaimana nak tahu kedai makan yang di syaki itu benar2 mengamalkan pelaris atau tidak.
Ini satu petua yang di ajarkan oleh seorang pengamal perubatan Islam.


Cara mudahnya nak tahu kedai itu ada pelaris (Khadam jin), baca Ayat Qursi 3kali di luar dari kedai. Sebaiknya semasa dalam kereta. Kemudian buka tingkap dan tiup 7x ke arah kedai. Tak perlulah tiup macam bomoh pooh kiri pooh kanan.he he
Tiup perlahan-lahan sampai habis nafas(mcm ustaz Ismail Kamus ajar)
Sekiranya ada pelaris di kedai tersebut, "khadam" tu akan marah dan kita akan rasa seperti satu angin menerpa ke muka kita. Kalau dah macam tu, eloklah kita jangan makan dikedai tersebut.
Beberapa cara di bawah bolehlah di amalkan untuk mengelak sihir :-
1) Al-Fatihah.
2) Membaca tiga surah terakhir atau 3 Qul setiap hari.
Ia berdasarkan hadith :
قال لي رسول الله صلى الله عليه وسلم : إقراء قل هو الله أحد , والمعوذتين , حين تمسي و حين تصبح , ثلاث مرات تكفيك من كل شيء ( رواه أبو داود والترمذي )
Ertinya : Baginda S.A.W telah berkata kepadaku : "Bacalah Qul Huwa Allahu Ahad" (al-ikhlas) dan (surah an-Nas) dan (surah al-falaq) sebanyak 3 kali ketika pagi dan petang, ia mampu mencukupkan kamu dari segala sesuatu.( At-Tirmidzi, Bab Doa yang disebut Ketika Ingin Tidur, no 3570 ; Sunan Abu Daud, Bab Apa Yang Dibaca Ketika Subuh, no 5072 ( Nuzhatul Muttaqin, no 1457 , 2/229 ) At-Tirmidzi : Hasan Sohih, An-Nawawi : Sohih

Liku-liku hidup punca tuntut harta

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Isteri ahli perniagaan Allahyarham Tan Sri Syed Kechik Syed Mohamed Al-Bukhary menjelaskan bahawa kehidupan melayari bahtera rumah tangga selama 44 tahun bersama suaminya itu adalah alasan beliau mengemukakan tuntutan harta sepencarian yang berjumlah hampir RM4 juta.Ujar Puan Sri Sofiah Moo Abdullah, 68, di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini, pelbagai perit-getir kehidupan telah dihadapi beliau sebagai isteri Allahyarham Syed Kechik, lebih-lebih lagi ketika suaminya menghidap pelbagai jenis penyakit sejak tahun 1990-an.
Jelas wanita itu, lebih merumitkan, ketika Syed Kechik diserang penyakit angin ahmar di bahagian kiri badannya, namun beliau bersyukur apabila suaminya kembali sembuh daripada penyakit tersebut dalam tempoh enam bulan.
Katanya lagi, Syed Kechik kembali pulih dalam tempoh yang singkat disebabkan oleh senaman harian yang dilakukannya sendiri tanpa mengupah pakar khas walaupun beliau mampu dari segi kewangan untuk berbuat demikian.
"Memanglah mampu dari segi kewangan, tetapi saya ingin melihat pertolongan tersebut hasil daripada tangan seorang isteri.
"Kawan-kawan Syed Kechik terkejut bagaimana Allahyarham boleh pulih daripada penyakit angin ahmar dengan cepat walaupun pada mulanya beliau tidak boleh bercakap dan bergerak,'' jelas Sofiah ketika pemeriksaan utama oleh peguam syarie yang mewakilinya, Sulaiman Abdullah.
Beliau kemudian mengesahkan bahawa 12 aset yang terdiri daripada lapan bidang tanah, dua akaun kewangan dan tiga akaun saham merupakan milik suaminya ketika beliau telah bergelar isteri kepada Syed Kechik.
Sofiah selaku plaintif memberi keterangan pada perbicaraan permohonannya untuk mendapatkan perintah agar harta pusaka peninggalan Syed Kechik yang bernilai hampir RM4 juta diisytiharkan sebagai harta sepencarian.
Dalam tuntutan yang difailkan pada 26 Julai lalu, Sofiah menyatakan, beliau berhak mendapat separuh daripada kesemua harta tersebut atau sekiranya ia dijual, nilainya diserahkan kepadanya sebagai harta sepencarian.
Sofiah menamakan anak lelaki sulung Syed Kechik menerusi perkahwinan pertama Allahyarham, Syed Gamal, 45, serta dua anak perempuan kandungnya Puan Sri Sharifah Zarah, 42, dan Sharifah Munira, 44, masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga.
Pada prosiding hari ini, Syed Gamal diwakili peguam syarie, Kamar Ainiah Kamaruzaman manakala kedua-dua adik perempuan tirinya diwakili peguam syarie, Norhusniah Husin.
Perbicaraan di hadapan Hakim Syarie, Mohamad Abdullah bersambung pada 26 September ini.
http://www.utusan.com.my

70 maut di Filipina akibat ribut Nock-ten, hadapi ancaman ribut Muifa



MANILA 2 Ogos - Jumlah korban akibat ribut tropika Nock-ten di Filipina meningkat kepada 70 orang dengan Filipina berhadapan pula dengan ancaman ribut Muifa pula, kata kerajaan, hari ini.
Angka kematian itu meningkat daripada 54 orang selepas dua kanak-kanak dilaporkan terbunuh dalam tanah runtuh di sebuah kuari di Bohol, kelmarin dan 14 mangsa lagi akibat ribut Nock-ten.
Majlis Pengurusan Pengurangan Risiko Bencana Alam Kebangsaan berkata, sejumlah 178 penumpang dan anak kapal berjaya diselamatkan di Iloilo kelmarin.
Muifa yang dinamakan sempena sejenis bunga di China kekal di Laut Filipina berdekatan pulau Luzon pada Khamis lalu, menyebabkan hujan lebat dan ombak kuat.
Menurut majlis tersebut, Nock-ten melanda Luzon pada minggu lepas menyebabkan 66 orang terbunuh dan 17 lagi hilang.
Kebanyakan sekolah di Manila ditutup hari ini ketika cuaca buruk dikesan di kawasan pantai di barat Luzon dengan kemungkinan berlakunya ribut.
Perkhidmatan kaji cuaca meramalkan hujan lebat dan banjir mungkin berlaku akibat ribut berkenaan.
ock-ten yang dinamakan sempena nama seekor burung merupakan bencana alam kesepuluh manakala Muifa pula yang ke-11. - AFP-utusan

Diludah kekasih gelap suami


SHAH ALAM: Ramadan kali ini tidak bermakna bagi seorang ibu beranak empat berusia 39 tahun apabila dia bukan saja diceraikan suami sebaliknya dia cedera selepas dibelasah lelaki itu di rumah sewa kekasih lelaki itu di Banting, dekat sini, kelmarin.
Difahamkan mangsa dibelasah suaminya berusia 40-an itu disebabkan wanita terbabit melarang suspek bersekedudukan dengan kekasihnya yang juga warga Indonesia di rumah sewa berkenaan.

Lebih mengaibkan apabila warga Indonesia itu bertindak keji dengan meludah muka mangsa di hadapan suaminya itu ketika pasangan terbabit bertengkar.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, mangsa cedera di leher dan badan selepas ditampar dan ditumbuk suaminya.

Mangsa membuat laporan di Balai Polis Banting, di sini, menuntut tindakan tegas terhadap suaminya itu.

Menceritakan semula kejadian itu, mangsa yang mahu dikenali sebagai Intan, berkata dia dan anak lelakinya berusia 16 tahun pergi ke rumah sewa wanita terbabit bagi merayu suaminya pulang.

“Sebaik tiba di rumah berkenaan, saya meminta suami pulang ke rumah, namun tindakan saya itu menyebabkan dia berang sebelum memarahi saya.Malah, suami saya yang bagaikan dirasuk syaitan memukul saya di hadapan wanita terbabit,” katanya.Menurut Intan, penderitaannya tidak berakhir di situ apabila suaminya menceraikannya dengan talak satu manakala wanita terbabit meludah mukanya.Suami mengarahkan saya dan anak meninggalkan kawasan berkenaan,” katanya, semalam.Intan berkata, dia syak suaminya disihir wanita itu kerana lelaki terbabit tidak boleh berada di rumah mereka terutama sebelah malam sejak lima bulan lalu.Intan berkata, dia sanggup memaafkan suaminya itu dan kembali bersamanya semula demi masa depan mereka sekeluarga.Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan mengesahkan menerima laporan kejadian itu.http://www.hmetro.com.my

Isteri curiga SMS dedah rahsia pasangan


PETALING JAYA: Perbuatan seorang isteri memeriksa telefon bimbit suaminya sebelum menghubungi teman wanita lelaki terbabit membawa padah apabila dia cedera ditumbuk suaminya itu di rumah mereka di Lembah Subang, di sini, Ahad lalu.
Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, mangsa memeriksa telefon bimbit suaminya yang berusia awal 30-an sebelum berasa curiga satu kiriman SMS yang dihantar atas nama seorang lelaki.

Bagi memastikannya, mangsa yang juga kerani sebuah syarikat swasta dan berusia 30 tahun cuba bertanyakan suaminya mengenai SMS itu, namun suaminya mendakwa ia rakan sepejabatnya.

Tidak berpuas hati dengan penjelasan itu, mangsa menghubungi nombor berkenaan sebelum ia dijawab seorang wanita.

Menurut sumber, mangsa memarahi suaminya kerana berbohong menyebabkan berlaku pertengkaran. “Suami mangsa yang gagal mengawal kemarahan memukul mangsa sebelum keluar dari rumah,” katanya.

Mangsa yang cedera di muka dan badan membuat laporan di Balai Polis Kelana Jaya di sini.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/IstericurigaSMSdedahrahsiapasangan/Article/index_html

Cubaan kelentong pemilik kedai runcit gagal

KUALA LUMPUR: Tindakan dua lelaki warga tempatan cuba menyamar sebagai anggota polis dan memeras ugut seorang pemilik kedai runcit warga Bangladesh sebanyak RM4,000 gagal apabila mereka ditahan di kedai mangsa di Segambut Dalam, di sini, Sabtu lalu.
Difahamkan, kedua-dua lelaki itu yang berusia lingkungan 30-an berjaya diberkas kira-kira jam 7 malam di kedai mangsa ketika datang untuk menuntut jumlah wang yang diminta.

Polis kemudian membawa suspek ke balai untuk disoal siasat dan hasil daripada pemeriksaan terhadap kediaman suspek, polis berjaya menemui gari dipercayai digunakan untuk menyamar sebagai polis.

Menurut sumber, suspek yang datang ke kedai mangsa pada kira-kira jam 2 petang mendakwa mereka adalah anggota polis dari Bukit Aman dan meminta wang perlindungan daripada mangsa sebelum menunjukkan gari sebagai bukti.

“Mangsa kemudian merayu agar memberikan sedikit masa kepadanya untuk menyediakan wang diminta dan berjanji akan memberinya kepada mereka pada sebelah malam.

“Sebaik kedua-dua suspek beredar, mangsa kemudian menghubungi polis dan selepas dinasihati, mangsa membuat laporan di Balai Polis Travers,” katanya.


Selain itu, mangsa turut mengadu kedua-dua suspek sudah beberapa kali datang ke kedainya bagi tujuan meminta wang perlindungan dan kali terakhir adalah empat bulan lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid mengesahkan ada menerima laporan mengenai kes terbabit dan siasatan sedang dijalankan.
http://www.hmetro.com.my

‘Tahan anak saya’

KUALA LUMPUR: Tidak tahan perangai anak lelakinya berusia 13 tahun yang gemar mencuri, melawan cakap dan memukul adik, seorang ibu nekad membuat laporan polis dan mendesak pihak berkuasa menempatkan anaknya itu di pusat pemulihan akhlak.Kesabaran ibu berusia 31 tahun itu hilang selepas remaja terbabit mencuri RM200 milik datuknya sebelum memecahkan cermin kereta dan menyerang ibunya dengan kayu di rumah mereka di Batu Caves di sini, Ahad lalu.Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, remaja terbabit bertindak demikian apabila mendapat tahu ibunya mengambil RM200 yang disoroknya di dalam beg dan menyerahkan semula kepada datuknya.Sumber polis berkata, sebelum itu sebaik saja pulang ke rumah dan mendapati wang berkenaan tiada di dalam begnya, remaja terbabit bertindak ganas dengan menumbuk muka adik perempuannya 10 kali kerana menyangka adiknya mengambil wang itu.“Akibatnya, adik perempuan remaja itu yang berusia 11 tahun cedera di muka dan badan, malah dia juga dijadikan tebusan oleh abangnya ketika meminta ibunya memulangkan semula wang RM200 yang dicurinya,” katanya.
http://www.hmetro.com.my