Pages

Friday, August 13, 2010

3 manusia unik lawat Malaysia

GEORGETOWN: Selepas menjelajah 23 negara sejak 1996, dua lelaki dan seorang wanita dari Pakistan yang mempunyai ketinggian luar biasa mengadakan lawatan ke negeri ini selepas kunjungan ke Arab Saudi.
Haq Nawaz, 24, yang mempunyai ketinggian 245 sentimeter (sm) bersamaan 7 kaki 8 inci adalah lelaki tertinggi di Pakistan manakala rakan senegaranya, Ali Zaman, 48, yang berukuran 15.3 cm (39 inci) adalah lelaki paling rendah di negara itu.
Mereka yang melakukan lawatan 10 hari ke Pulau Pinang ditemui bersama wanita tertinggi Pakistan, Zainab Bibi, 32, 230 cm (7 kaki 4 inci) dengan ditemani pengurus mereka, Muhammad Shahid Ahmed.

Muhammad berkata, tiga manusia unik dibawa mengelilingi 23 negara termasuk Switzerland, United Kingdom, Perancis, Jerman, Thailand dan Arab Saudi.

Katanya, mereka bergambar dengan orang awam di sekolah, taman rekreasi, zoo, pusat beli-belah dengan bayaran minimum.

“Ini lawatan kali pertama ke Malaysia dan kami bertuah untuk berada di Pulau Pinang. Selepas ini, kami akan meneruskan lawatan ke Singapura, Filipina dan Korea,” katanya ketika ditemui, semalam.

Bufet berbuka sos alkohol

PETALING JAYA: Sos mengandungi alkohol dan arak digunakan sebagai bahan masakan juadah berbuka puasa. Itulah yang dibongkar penguat kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berikutan operasi khas ke beberapa hotel di sekitar Lembah Klang, semalam dan kelmarin.

BUKTI...seorang penguat kuasa Jakim menunjukkan botol arak masakan yang ditemui di sebuah hotel, semalam.
BUKTI...seorang penguat kuasa Jakim menunjukkan botol arak masakan yang ditemui di sebuah hotel, semalam.


BUKTI...seorang penguat kuasa Jakim menunjukkan botol arak masakan yang ditemui di sebuah hotel, semalam.
Penolong Pengarah Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hab Halal Jakim, Amri Abdullah berkata, sepanjang dua hari itu pihaknya memeriksa sembilan hotel dengan tumpuan diberikan kepada hotel yang menawarkan sajian bufet Ramadan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan itu menemui bukti kukuh arak dan sos beralkohol digunakan sebagai bahan masakan termasuk juadah berbuka puasa di dua hotel.

“Operasi itu dilakukan bagi mengotakan janji Jakim bertegas mengambil tindakan terhadap hotel yang menganjurkan promosi bufet berbuka puasa tanpa mematuhi garis panduan ditetapkan, khususnya dalam aspek halal,” katanya.

Beliau berkata, satu daripada hotel yang menggunakan bahan beralkohol sebagai resipi masakan dikesan hasil operasi terbaru dilakukan jam 11 pagi semalam di pinggir ibu negara.

Menurutnya, pemeriksaan rapi dilakukan di dapur hotel berkenaan yang dibahagikan kepada bahagian penyediaan makanan tempatan serta bahagian dapur khusus makanan Cina dan barat.
“Ketika memeriksa di dapur makanan Cina dan barat, kami menemui deretan botol arak masakan dan sos beralkohol diletakkan di rak khas. Setiap botol arak dan sos itu kandungan alkohol melebihi 10 peratus.

“Selepas disoal siasat, tukang masak di hotel berkenaan mengaku mencampurkan arak dan sos beralkohol ke dalam masakan bagi menambah perisa hidangan.
“Tindakan mencampurkan arak ke dalam masakan yang kemudian disajikan dalam hidangan bufet berbuka puasa jelas perbuatan melampau dan memperdaya pengguna Islam yang berbuka puasa di hotel berkenaan,” katanya.

Amri berkata, berikutan itu dia berjumpa pihak pengurusan hotel terbabit dan memberi amaran terhadap kesalahan dilakukan dan meminta mereka memastikan ia tidak berulang.

“Penjelasan diberikan bagi memastikan mereka mematuhi syarat terutama membabitkan makanan pelanggan beragama Islam,” katanya.

Menurutnya, pihak hotel berkenaan sebelum ini pernah memohon sijil halal Jakim, namun ia ditolak disebabkan mereka gagal mematuhi prosedur dan syarat ditetapkan.

Katanya, penguat kuasa Jakim dibahagikan lapan kumpulan membabitkan hampir 20 anggota untuk melakukan tugas pemantauan di hotel sepanjang Ramadan ini.

“Tujuan Jakim bukan saja mengambil tindakan undang-undang, malah kami cuba mendidik dan memberi maklumat tepat kepada pihak hotel berhubung kaedah bagi mendapatkan sijil halal Jakim. Maklum balas diterima menunjukkan ramai pengusaha hotel tidak faham berhubung kaedah memohon sijil halal berkenaan,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz memaklumkan hanya 51 dapur restoran dan premis makanan di 22 hotel di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur diberikan pensijilan halal Jakim.

Beliau menasihatkan pengusaha hotel yang belum memiliki sijil halal tidak menyalahgunakan mengelirukan pengguna termasuk penggunaan terma ‘Bufet Ramadan’ kerana ia menggambarkan persediaan makanan halal sedangkan hakikat sebenar belum terbukti.

Berbuka dengan nasi ambeng

BAGI yang tidak pernah mendengar atau melihat nasi ambeng, pasti tertanya-tanya rupa dan rasanya. Ia biasanya dihidangkan di dalam dulang beralaskan daun pisang dengan susunan tersendiri.
Nasi diletakkan di lapisan bawah, manakala di atasnya terdapat lebih daripada lima jenis lauk-pauk berlapikkan daun pisang. Antara lauk-pauk wajib untuk nasi ambeng adalah ayam masak kicap atau rendang, sayur campur (menggabungkan kacang panjang, suhun tauhu dan tempe), sambal goreng, tauhu goreng, mi atau mihun goreng, tempe goreng, serunding, ikan kering dan rempeyek.
Hidangan penuh menyelerakan ini bukan untuk dimakan seorang sebaliknya disediakan untuk empat orang. Namun tidak menjadi kesalahan sekiranya satu dulang untuk kurang atau lebih daripada empat orang.

Bagi penggemar nasi ambeng, Hotel Grand BlueWave, Shah Alam menyediakan hidangan istimewa nasi ambeng Tanjung Karang bersama 70 jenis lauk-pauk setiap hari bagi mengembalikan nostalgia era 1950-an sempena Ramadan ini. Menurut Chef Abdul Moit Samingan, ini kali pertama hidangan nasi ambeng disediakan sebagai juadah berbuka puasa. Terkenal di kalangan masyarakat berketurunan Jawa, makanan yang biasanya dihidang ketika majlis kenduri arwah atau doa selamat itu kini menjadi hidangan utama di hotel terbabit.

"Untuk hidangan nasi ambeng, pengunjung hanya perlu mengambil nasi bersama lauk-pauk yang diletakkan berasingan dan bukannya makan di dalam dulang. Ada petugas yang akan menunjukkan cara memakannya," kata Abdul Moit sambil menambah, sajian menepati konsep CitaRasa Asli Malaya itu dihidangkan di kafe Semarak. Bahagian lauk-pauk menampilkan sup tulang rawan, bubur lambuk, daging rendang tok, ayam pencen masak kari, ikan merah asam pedas, udang goreng berlada, lala goreng bercili, kambing lada hitam. Hidangan khas pula seperti ikan bakar Portugis, kambing panggang, kari ikan salmon bersama roti benggali menjadi hidangan istimewa di hotel. Tidak lupa pelbagai jenis ulam-ulaman dicicah sambal belacan bersama tempoyak dan budu serta penggemar makanan laut boleh menikmati udang dan kepah serta salad.

Mahu menikmati menu berbeza, pengunjung boleh mendapatkan pelbagai jenis makanan termasuk sate, ubi kayu rebus, mi kari, asam laksa, kuetiau goreng serta pemanis mulut seperti cendol pulut, pengat pisang, kek keju lemon, karamel bersama minuman teh tarik, sirap bandung, sirap selasih dan air soya yang enak. Harga sajian berbuka puasa adalah RM89.00++ setiap seorang manakala diskaun 30 peratus diberikan untuk pengunjung yang membuat tempahan pada Ramadan pertama sehingga hari ke-10 serta pada malam raya. Bagi yang gemarkan pakej penginapan bilik bersama berbuka puasa dan sahur, pakej Al-Mubarak menyediakan harga RM240++ setiap malam untuk seorang manakala RM300 ++ setiap malam untuk dua orang bersama menu berbuka dan sahur.

Pakej ini boleh ditempah bermula 11 Ogos sehingga 9 September. Untuk tempahan berbuka puasa, hubungi talian 03-55118811 sambungan 2002 atau emel sales@bluewavehotels.com.

lham dari Gaza

NASIB malang yang menimpa masyarakat Islam di semenanjung Gaza menjadi ilham pereka terkenal, Hatta Dolmat dalam menghasilkan rekaan busana indah yang menjadi koleksi terbarunya kali ini.
Himpunan menarik yang diberi nama Kasyaf itu menyerlahkan inspirasi gaya sopan dalam menghormati perjuangan dan nasib saudara Islam di bumi Gaza.
Kasyaf yang bermaksud seakan seru atau wahyu, hidayah atau ilmu adalah sekadar tema penuh makna yang menjadi pilihan pereka muda ini.

Penampilan koleksi berkenaan dilihat membuka mata banyak pihak yang selama ini menganggap pereka itu hanya menumpukan kepada rekaan couture saja.

Menurut Hatta, peralihan berkenaan satu fasa baru dalam hidupnya dan sebagai pereka, dia mahu mencuba kelainan dalam mempersembahkan koleksi rekaannya.

Berbeza daripada koleksi sebelum ini, rekaan terbaru itu banyak bermain dengan warna hangat seperti merah, biru, hijau, ungu, merah jambu serta rona mawar keemasan yang lebih mewah pada penampilan.

"Saya mahu membuktikan wanita bertudung juga mampu kelihatan menarik dan tampil bergaya dalam persalinan mereka.

"Bertudung atau tidak bukan halangan untuk bergaya jika pandai memilih busana bersesuaian yang mampu menyerlahkan lagi penampilan seseorang," katanya.

Untuk himpunan berkenaan, Hatta mengenengahkan rekaan baju labuh daripada fabrik lycra yang bukan saja selesa tetapi sejuk untuk dipakai meskipun seharian.

Bagi menyerlahkan lagi imej elegan, dia turut menyelitkan hiasan jemeki dan kristal mewah yang menjadikannya pilihan gaya sesuai untuk Muslimah moden hari ini.

Selain lycra, Hatta menggunakan material mewah seperti sifon yang diketengahkan pada rekaan kaftan moden.
Kedua-dua fabrik itu memang sesuai untuk rekaan berkenaan kerana ia bagaikan terletak pada badan pemakai apatah lagi dengan penerapan elemen draping yang seakan memberi identiti baru kepada Hatta.

Hasilnya, busana berkenaan bukan saja cantik malah menyerlahkan imej elegan untuk wanita bertudung. Jadi, siapa kata bertudung menghalang seseorang itu daripada bergaya? Apa yang penting, jangan takut untuk mencuba.

Berbuka dengan makanan seimbang

PAKAR Pemakanan Kanan, Pusat Perubatan Sunway, Ho Wan Mi, berkata, pilihan hidangan terbaik untuk berbuka adalah menyediakannya sendiri di rumah kerana kita tahu bahan apa yang dimasukkan dalam masakan berkenaan.
Jelasnya, memasak sendiri membolehkan kita menikmati hidangan yang lebih seimbang malah terjamin daripada segi kebersihannya.
Katanya, dengan memasak, kita boleh mengawal jumlah kuantiti hidangan serta berkemungkinan dapat menggunakan minyak masak yang lebih baik untuk kesihatan.

"Jika berkesempatan, saya sarankan ibu bapa untuk memasak sendiri hidangan berbuka untuk keluarga mereka.

"Ini kerana dengan memasak sendiri, kita boleh memastikan hidangan yang lebih sihat dan seimbang tidak kira pada bulan puasa atau hari biasa," katanya.

Bagaimanapun, Ho berkata, bukan semua hidangan di bazar Ramadan tidak sihat untuk dinikmati kerana apa yang penting, masyarakat perlu menyeimbangkan juadah mengikut saranan piramid makanan.

Jika memilih untuk membeli hidangan, kita perlu membeli hidangan mempunyai kombinasi karbohidrat, protein, serat serta vitamin yang mencukupi untuk keperluan badan.

Katanya, membeli sejenis hidangan saja setiap hari tidak bagus untuk kesihatan kerana ia mungkin hanya mengandungi kandungan tertentu saja.

"Membeli hidangan dari bazar Ramadan memang menjadi pilihan masyarakat hari ini terutama bagi yang berkerjaya.

"Tiada salah membeli makanan daripada bazar kerana apa yang penting, anda harus bijak memilih makanan yang bersesuaian bukan hanya tertumpu kepada lauk seperti ayam panggang atau makanan laut bakar saja setiap hari kerana ia mengandungi bahan karsinogen.

"Hidangan bakar ini biasanya masak di bahagian luar tetapi tidak di bahagian dalamnya. Jadi, jika setiap hari memakannya, ia boleh mendatangkan masalah sakit perut dan lebih teruk, keracunan makanan," katanya.
Selain itu, Ho turut menyarankan ibu bapa supaya tidak mengabaikan keperluan makanan seimbang untuk anak mereka kerana banyak pasangan yang ditemui mengikut saja permintaan juadah yang anak mereka mahukan.

Ramai ibu bapa hari ini mengikut saja kehendak anak untuk menikmati makanan segera kerana bimbang andainya dihalang, mereka akan merajuk atau membuat perangai.

Katanya, kanak-kanak sebenarnya perlu dilayan seperti orang dewasa kerana kajian mendapati bahawa kanak-kanak juga mempunyai potensi menghidap penyakit orang tua seperti diabetes, darah tinggi dan kencing manis jika tidak mengamalkan pemakanan yang seimbang.

"Suatu ketika dulu, pesakit diabetes biasanya terdiri daripada golongan dewasa berusia 45 tahun ke atas.

"Tetapi hospital ini baru-baru ini turut menerima kes kanak-kanak berusia 10 tahun dengan berat 60 kilogram menghidap diabetes jenis kedua.

"Ia membuktikan bahawa diet seimbang untuk orang dewasa juga harus diambil oleh kanak-kanak tanpa sebarang kompromi kerana makanan segera seperti burger atau kentang goreng mengandungi banyak garam dan minyak.

"Pengambilan makanan seimbang perlu diamalkan sejak awal kerana jika mencapai usia 20 tahun, pasti sukar untuk membuang tabiat pemakanan yang tidak sihat itu," katanya.

Masak sendiri lebih jimat

MASAK sendiri atau beli? Itulah persoalan yang sering bermain di fikiran masyarakat setiap kali tiba Ramadan.
Bagi yang bekerja terutama tinggal di kota metropolitan, sukar bagi mereka berkejar pulang ke rumah untuk menyediakan juadah berbuka selepas waktu pejabat. Justeru, paling mudah adalah singgah saja di bazar Ramadan yang menyediakan pelbagai jenis makanan.
Namun, melihat lautan juadah yang dijual pasti membuatkan kita hilang pertimbangan sehingga membeli berlebihan serta berlaku pembaziran.

Biarpun Ramadan waktu terbaik mengekang nafsu, masih ramai tidak dapat melakukannya terutama mengekang nafsu berbelanja.

Sama ada membeli juadah atau memasak sendiri untuk berbuka, memang agak rumit untuk ditentukan kerana masing-masing mempunyai pendapat sendiri.

Bagi yang sudah mempunyai keluarga, kebanyakan mereka lebih gemar berbuka dengan hidangan dimasak sendiri kerana terjamin kualitinya malah mampu menjimatkan wang.

Harga makanan biasanya meningkat hampir sekali ganda menjelang Ramadan dan Syawal, ditambah pula kesan kenaikan harga gula serta bahan api, baru-baru ini. Suri rumah, Wan Nor Juliana Wan Hashim, 31, dari Kubang Kerian, Kelantan berkata, dia lebih gemar memasak sendiri hidangan berbuka untuk keluarga kerana lebih menjimatkan.

Ibu kepada dua anak perempuan berusia antara satu hingga empat tahun itu berkata, bagi yang memiliki keluarga besar sepertinya (lebih 10 orang), memasak adalah pilihan yang paling baik kerana lebih berbaloi.

Suri rumah sepertinya harus bijak mengawal perbelanjaan keluarga sepanjang Ramadan ini kerana pada masa sama, perlu menyimpan untuk membeli keperluan Aidilfitri.

Katanya, walaupun harga makanan di negeri Cik Siti Wang Kembang jauh lebih murah berbanding negeri lain, dia tetap memilih untuk memasak sendiri hidangan berbuka setiap hari.

"Memang memasak sendiri lebih menjimatkan kerana kita dapat menikmati pelbagai jenis hidangan dengan hanya membeli bahan asasnya saja yang kurang daripada RM30 setiap hari.
"Selain itu, tahap kebersihan juga dapat dijaga dan aspek berkenaan memang saya utamakan memandangkan memiliki anak yang masih kecil.

"Apatah lagi, kanak-kanak memang mudah mendapat penyakit cirit-birit sekiranya termakan makanan yang tidak bersih atau yang sudah berulang kali dipanaskan semula," katanya.

Bagaimanapun, untuk hidangan sampingan seperti kuih-muih, Wan Nor Juliana berkata, biasanya dia membeli saja juadah yang dimahukan di bazar berdekatan kerana lebih pelbagai.

"Untuk membuat sendiri memang tidak kerana proses penyediaan kuih-muih lebih rumit dan mengambil masa yang lebih panjang berbanding memasak hidangan utama.
"Jadi, untuk menjimatkan masa, kami beli saja sejenis dua kuih-muih seperti buah Melaka, kek batik, jala emas atau bunga tanjung," katanya.

Berlainan pula dengan Dian Sumarti Mokhtar, 28, yang lebih memilih untuk membeli saja juadah di bazar Ramadan meskipun sudah memiliki keluarga sendiri.

Ibu kepada seorang anak perempuan berusia setahun tujuh bulan itu berkata, suaminya, Azwan Awaludin, 28, tidak cerewet mengenai hidangan untuk berbuka kerana tiada juadah kegemaran yang perlu disediakan setiap hari.

Katanya, kesibukan tugas sebagai penolong penerbit rancangan di RTM kadang-kala mencuri masanya untuk bersama keluarga tetapi dia sedaya upaya menghabiskan kerja awal untuk berbuka dengan suaminya sepanjang bulan puasa ini.

"Oleh kerana jarak tempat kerja dan rumah agak jauh, kami sampai ke rumah menjelang waktu Maghrib.

"Jadi, untuk menyediakan hidangan berbuka dengan segera memang mustahil, lebih-lebih lagi selepas menempuh perjalanan jauh dan kesesakan trafik.

"Untuk itu, saya atau suami akan bergilir singgah di bazar Ramadan berhampiran tempat tinggal untuk membeli makanan untuk kami tiga beranak. Ia sememangnya lebih mudah dan tidak membazir kerana kami beli apa yang mahu dimakan pada ketika itu saja," katanya.

Menurut Dian Sumarti, pada hujung minggu biasanya dia memasak juadah hidangan berbuka terutama masakan kegemaran suaminya iaitu sambal udang petai atau ikan patin masak tempoyak.

"Setiap hari menikmati makanan yang dibeli memang menjemukan dan untuk itu, saya memasak pada hujung minggu, tidak kira ketika bulan puasa atau hari biasa.

"Namun, jumlah hidangan yang disediakan tidak terlalu banyak iaitu dua lauk dan sayur. Keluarga kami tidak ramai, jadi tidak perlu memasak beria-ia sangat," katanya.

Nor Azizah Alyas, 28, berkata, walau sesibuk mana sekali pun, dia tetap berusaha menyediakan sendiri hidangan berbuka untuk suaminya, Khairul Zamili Kamaral Zaman, 29 dan anak, Kasyful Nur Ikhwan, 2.

Dia yang menjalankan perniagaan sendiri sejak mendirikan rumah tangga tiga tahun lalu, berkata, mereka sekeluarga jarang makan di luar kerana tidak semua makanan yang dijual itu menepati cita rasa.

Untuk itu, dia memasak hidangan utama setiap hari dan mempelbagaikan menu bagi mengelakkan rasa jemu.

Dia dan suami menyediakan stok barangan basah tiga hari sekali dan untuk barangan kering, seminggu atau dua minggu sekali.

"Biasanya kami berkunjung ke pasar raya besar bagi mendapatkan bekalan ikan, ayam, daging serta sayuran untuk digunakan dalam tempoh tiga hari hingga seminggu.

"Perbelanjaan membeli bahan itu biasanya tidak lebih RM60 dan ia memang lebih menjimatkan jika dibandingkan dengan membeli setiap hari di luar.

"Jadi, dalam keadaan ekonomi tidak menentu dengan kenaikan harga barang, memang lebih baik bagi kami memasak sendiri di rumah. "Memang agak meletihkan apabila terpaksa berkejar-kejar menyiapkan hidangan setiap hari selepas bekerja tetapi berpuas hati saya dapat menyediakan hidangan yang lebih berkhasiat daripada air tangan sendiri," katanya.

Oat cegah risiko sakit jantung

ADAKAH jantung anda dalam keadaan baik? Ia perlu difikirkan setiap wanita apabila penyakit jantung menjadi pembunuh nombor satu wanita di Malaysia malah lebih bahaya daripada semua penyakit kanser secara keseluruhan.
Mulai 1990 sehingga 2005, penyakit jantung di kalangan wanita meningkat sebanyak 135 peratus. Pada 2006, 23 peratus kematian wanita disebabkan penyakit jantung, suatu yang amat membimbangkan apabila ia membabitkan satu kematian bagi setiap empat wanita.

Beberapa cara berikut dapat memberi penerangan mengenai keadaan jantung.


  •  Pinggang besar, risiko besar.
    Lemak di sekeliling pinggang dan kawasan perut menandakan risiko lebih besar daripada lemak pada sebahagian bawah tubuh badan.

    Ini bermakna wanita yang mempunyai bentuk badan buah epal iaitu lemaknya tertumpu di dalam perut berbanding punggungnya mempunyai risiko penyakit jantung yang lebih besar daripada wanita yang mempunyai bentuk badan buah pear iaitu wanita yang mempunyai punggung lebih besar dan pinggul kecil.

    Lemak abdomen juga boleh diketahui dengan mengukur lilitan pinggang. Ukuran melebihi 80 sentimeter (32 inci) menandakan anda obes dan mempunyai risiko besar untuk mendapat sakit dada, sakit jantung ataupun strok dan diabetes.
  • Madinah sesak

    MADINAH: Sebaik puasa diumumkan, suasana di kota Madinah menjadi sesak apabila ratusan ribu pengunjung mula memenuhi Masjid Nabawi bagi menunaikan ibadah solat Tarawih pada malam pertama Ramadan.
    Pengarah Kementerian Haji cawangan Madinah, Muhammad Al-Bejawi berkata, kementeriannya sudah bersedia untuk menguruskan kebajikan pengunjung ke Masjid Nabawi.

    Menurut beliau, sebelum ini kementeriannya sudah menganjurkan kursus latihan bagi kakitangan dalam usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan yang diberikan.

    Menurut laporan statistik terkini, sebanyak 525,567 jemaah umrah tiba menerusi 2,564 penerbangan ke Madinah dari permulaan musim umrah hingga semalam.
    Sebanyak 56 penerbangan membawa jemaah umrah setiap hari.

    Pengarah Lapangan Terbang Antarabangsa Madinah, Abdul Fatah Bin Muhammad Atta berkata, kerja pembinaan dan naik taraf yang dilakukan di lapangan terbang tidak menjejaskan kelancaran trafik udara. - Agensi

    4 beradik lahir anak 4 hari

    CHICAGO: Empat beradik perempuan dilaporkan melahirkan anak dalam masa empat hari berturut-turut. Tiga daripada beradik itu, Lilian Sepulveda, 27, Saby Pazos, 29 dan Leslie Pazos, 24, melahirkan anak dengan disambut pakar sakit puan yang sama di sebuah hospital di Chicago pada Jumaat dan Sabtu minggu lalu.
    Manakala seorang lagi, Heidi Lopez melahirkan anak pada Isnin lalu di California.

    Seorang anggota keluarga terbabit berkata, keempat-empat beradik itu tidak merancang untuk melahirkan anak dalam tempoh sama. - Agensi

    Boikot Masjid Al-Aqsa bawah Israel



    BANDAR GAZA – Perdana Menteri Gaza, Ismail Haniyeh menggesa semua umat Islam supaya tidak mengunjungi Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis selagi kawasan itu berada di bawah penguasaan rejim Israel. 

    Menurutnya, pemboikotan itu perlu sebagai tanda protes terhadap pendudukan haram Yahudi di Baitulmaqdis, wilayah yang dianggap sebagai tempat suci bagi umat Islam. 

    “Kami menggesa semua umat Islam tidak ke Masjid Al-Aqsa kerana kunjungan ke sana sepertu mengiyakan pendudukan rejim Zionis,” katanya. 

    Ismail mengeluarkan kenyataan itu dalam ucapannya semasa menerima kunjungan hormat delegasi Misi Konvoi Darat ke Gaza anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) di Pejabat Perdana Menteri, di G:aza, kelmarin. 

    :Beliau juga menyuarakan rasa terharu dan berbesar hati atas usaha Mapim yang merancang untuk menubuhkan sebuah hospital bagi kanak-kanak di Gaza. 

    :“Kami menyambut segala usaha anda dengan penuh kasih sayang,” katanya. 

    :Konvoi 44 peserta disambut meriah oleh pemimpin Hamas itu dan setiap ahli dihadiahkan cenderahati sebagai tanda terima kasih beliau atas usaha peserta yang berazam membantu membebaskan Gaza. 

    Ismail turut menyampaikan sijil penghargaan kepada dua rakyat Malaysia, wartawan Astro Awani, Ashwad Ismail dan aktivis, Mustapa Mansor, yang menyertai konvoi kemanusiaan Freedom Flotilla yang diserang tentera rejim Israel, 31 Mei lalu.

    Permintaan meningkat, 'pok ke' jadi rebutan



    KUAH - Kelmarin akhbar ini menerbitkan berita mengenai nilai pok ke yang tinggi di pasaran. 

    Sebaik sahaja berita itu tersiar, wakil Sinar Harian dibanjiri dengan puluhan panggilan yang berminat untuk membeli dan menjual hidupan spesies cicak itu. 

    Seorang pemanggil dari Padang Besar yang hanya mahu dikenali sebagai Ibrahim berkata, dengan nilai berat 80 gram dia sanggup membeli dengan harga RM8,000. 

    Menurutnya, pok ke ini terdapat pelbagai jenis dan tidak semuanya boleh dijadikan penawar dalam perubatan. 

    Seorang lagi pemanggil dari Changlun, berkata pok ke yang boleh dijadikan penawar memang banyak terdapat di Langkawi. 

    “Kami berhasrat ke Langkawi untuk membeli pok ke milik saudara Anwar dengan nilai yang tertentu, malah kami berhasrat menternak pok ke itu secara usaha sama,” katanya ketika menghubungi wakil Sinar Harian. 

    Cicak spesies berkenaan kini menjadi rebutan dalam kalangan masyarakat selepas beberapa media menyiarkan kemujarabannya sebagai penawar HIV dan Aids. 

    Pok ke kini mempunyai nilai tinggi di pasaran sehingga mencecah RM100,000 seekor mengikut beratnya. 

    Dipercayai selepas beberapa kajian dilakukan, enzim pok ke yang diambil dari bahagian hatinya itu mujarab untuk mengubati penyakit HIV ataupun Aids.

    Hampir gila ditinggal suami

    RAIHANA Ahmad (bukan nama sebenar) mungkin sudah berhenti menagih simpati bekas suaminya terhadap tiga anak yang sudah tidak dipedulikan lebih 20 tahun lalu.
    Namun, dia yakin Allah sentiasa bersama orang yang beriman, malah dia terus cekal menempuh ujian yang dianggap trauma sepanjang membesarkan anak-anak beberapa tahun dulu.
    Ibu tunggal berusia 53 tahun itu tidak menafikan keperitan yang terpaksa ditempuhinya dulu memang sukar digambarkan. Ketika masalah melanda dirinya dulu, dia seorang eksekutif di sebuah syarikat swasta tetapi ketika pergolakan rumah tangga berlaku, dia berkongsi dengan sahabat baiknya menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan memandangkan dia sedikit tertekan dengan masalah yang melanda.


    Pun begitu, dia bersyukur anak-anak sudah besar dan kini masing-masing sedang menuntut di institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Anak bongsu pula di kolej menjalani persediaan ke luar negara, membuatkan hatinya semakin reda dengan apa yang berlaku.


    “Tidak dinafikan masa mula-mula bercerai dulu memang saya susah. Oleh kerana diceraikan suami yang tergila-gilakan perempuan lain, saya seolah-olah tidak boleh terima hakikat diceraikan tanpa sebab.


    “Daripada rakan baik suami, saya mendapat tahu yang dia sudah lama berkahwin secara diam-diam dengan setiausahanya tetapi dia tidak pernah mengaku sudah berkahwin. “Tetapi apabila saya sendiri memerangkapnya di sebuah kondominium apabila diberitahu rakan baiknya mengenai sikap suami yang suka berfoya-foya, barulah tahu saya memang ditipu hidup-hidup selama ini.


    “Kalau balik lewat atau tidak balik langsung untuk seminggu dua, alasan yang diberikan adalah kerja di luar daerah. Sebagai isteri, saya sebenarnya bodoh kerana percaya 100 peratus kepada suami.


    “Apabila perkahwinan keduanya terbongkar dan dia berbohong di mahkamah dengan meniru tanda tangan saya konon membenarkan dia berkahwin lain, lalu perkara itu menjadi isu besar setiap kali kami bergaduh. “Dia suka memutarbelitkan fakta sehingga kadang-kadang hakim meminta dia bersumpah di mahkamah, dia mengatakan sanggup menjunjung al-Quran dan tidak mengaku yang dia berbohong dalam banyak perkara,” katanya.


    Bagi wanita ini, sebaik dia mengetahui yang suaminya berkahwin lagi, dia jadi pendiam, tidak lagi seperti dulu. Sepatah ditanya sepatah jua yang dijawab. Makan pakai suami langsung sudah tidak dipedulikan kerana yakin suaminya memperoleh segalanya daripada isteri baru dan hati­nya seolah-olah terkilan dengan perlakuan suami.


    Kadang-kadang suaminya tidak pulang dan jika balik ke rumah, hanya untuk bertengkar dan selepas itu suami keluar rumah untuk tempoh yang lama.


    Oleh kerana anak-anak melihat sendiri bagaimana ibu mereka diabaikan, anaknya yang sulung menasihati ibunya supaya menyelesaikan masalah itu di mahkamah. Raihana pula ketika itu bagaikan hilang arah, menjadi pemurung dan tidak ba­nyak bercakap. Bukan hanya dengan suami, bahkan dengan anak-anak dia menjadi kurang mesra. Lama-kelamaan fikirannya semakin meracau sehingga memaksanya mengambil cuti selama enam bulan daripada majikannya semata-mata untuk menenangkan jiwanya.


    “Saya hampir-hampir dimasukkan ke hospital sakit jiwa kerana fikiran saya semakin teruk. Setiap kali mendapat kaunseling, saya selalu memikirkan hidup ini sudah tidak berguna lagi. Entah mengapa hati ini terlalu sedih memikirkan saya anak yatim piatu, kini saya kehilangan suami dan semua itu mengganggu jiwa saya.

    “Akhirnya saya hilang pertimbangan dan berhenti kerja. Apabila berhenti kerja, sudah tentu nasib diri bertambah buruk sehingga suami menggunakan semua itu untuk mencerca, menghina serta memburukkan saya kepada keluarganya konon saya ‘perempuan gila’ antara punca dia berkahwin lain.


    “Tidak cukup dengan itu, dia menghina saya di mahkamah dengan mengatakan saya gila dan atas dasar itu saya diceraikan. Keadaan saya bertambah parah kerana terpaksa turun naik mahkamah hampir lima tahun untuk menuntut hak.


    “Mulanya anak-anak di bawah jagaan dia tetapi saya berjaya membuktikan yang saya hanya mengalami sedikit masalah kejiwaan tetapi masih terkawal. Ini kerana doktor yang merawat saya tahu tahap kemurungan saya bukannya gila seperti yang didakwa bekas suami,” katanya sambil sesekali mengesat air mata.


    Sepanjang tempoh perceraian sejak 2005, dia penat turun naik mahkamah tetapi banyak masalah terpaksa ditempuh. Antaranya, penang­guhan kes yang berkali-kali misalnya peguam bekas suami tidak dapat hadir ke mahkamah dan pelbagai alasan yang tidak munasabah.

    Dia tidak berserah kepada takdir semata-mata, sebaliknya turut menjalani rawatan secara Islam untuk memulihkan keadaan. Ditambah pula dia memperoleh kebenaran mahkamah untuk menjaga anak-anaknya apabila mendapati salah seorang anaknya didera ibu tiri mereka.


    “Kalau diikutkan hati, memang saya sangat kecewa. Duit yang habis untuk turun naik mahkamah memang banyak sedangkan sehingga sekarang kes ini tidak juga selesai.


    “Tetapi apabila diperhatikan, perkara ini tidak boleh disalahkan pada mahkamah atau hakim semata-mata. Bagi saya, puncanya disebabkan bekas suami yang selalu berpindah-randah dan liat membayar nafkah,” katanya.


    Padanya, anak-anak terutama anak sulung menjadi sumber rujukan dan orang kanan dalam memandu arah kehidupannya dengan keadaan kesihatannya yang kurang baik kini.


    “Saya bersyukur kerana anak-anak tidak terpengaruh dengan keadaan saya dan bapa mereka. Pembelajaran anak-anak jarang terganggu, lagipun sejak dulu mereka rapat dengan saya. Ini membuatkan diri terfikir apa yang saya perjuangkan ini adalah untuk hidup dan masa depan mereka.


    “Begitu juga dengan kawan baik yang banyak memberi dorongan bahawa perjuangan ini adalah menuntut keadilan untuk anak-anak saya. “Lagipun selepas berhenti kerja dulu, dengan pengalaman saya dan saya juga mempunyai ijazah dalam perbankan, sudah tentu saya manfaatkan semua kemahiran itu untuk menjana semula masa depan saya.


    “Mungkin nasib menyebelahi saya apabila bertemu dengan peguam yang baik dan tidak berkira walaupun saya membayarnya atas kemampuan yang ada kerana hasratnya untuk membantu saya. “Apa yang paling saya utamakan kini bagaimana mendapatkan nafkah saraan untuk anak-anak kerana itu hak mereka yang diabaikan bapa kandung.


    “Saya tidak putus-putus berdoa supaya terbuka pintu hati bekas suami kerana semua itu bukan untuk saya tetapi buat anak-anaknya. “Kalau ditanya, memang serik pernah bersuamikan lelaki sebegitu tetapi mungkin itulah cara Allah menguji ketabahan, semua ini membuatkan saya tabah dan reda. Saya berharap kes ini dapat diselesaikan dalam tahun ini,” kata wanita cekal yang berasal dari utara tanah air ini.

    Dendamkan bekas isteri, anak derita

    RASA ego yang terlalu me­nguasai kebanyakan pasangan bercerai ada kalanya membuatkan mereka mengabaikan pemberian nafkah kepada zuriat sendiri, walhal ia adalah tuntutan agama.
    Penjaga sama ada ibu atau bapa yang bertanggungjawab seharusnya melaksanakan tugas sebaiknya kepada anak-anak walaupun dia sudah bercerai dengan pasangan masing-masing. Presiden Pertubuhan Perunding Latihan dan Motivasi Muslim Malaysia (Tamrin), Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad berkata, perbuatan mengabaikan tanggungjawab membayar nafkah oleh segelintir pihak kepada anak yang di bawah jagaan bekas isteri dianggap menzalimi zuriat mereka sendiri.
    “Konsep perkahwinan harus difahami pasangan yang berkahwin, antaranya mengembangkan zuriat dalam memenuhi kehendak batiniah secara halal.

    “Kita harus terima hakikat dalam sesebuah perkahwinan tidak semuanya berakhir de­ngan kebahagiaan. Segelintir pasangan menempuh laluan sukar sehingga berlaku perceraian. Tetapi pasangan seharusnya ada cara hendak membayar nafkah kepada anak-anak kerana dalam undang-undang sudah termaktub cara pembayaran dan perkiraan mengikut kewajarannya. “Jika bimbang wang itu digunakan bekas isteri, mungkin cara terbaik adalah memasukkan wang itu ke dalam akaun anak-anak atau menghulurkan sendiri kepada mereka.

    “Lebih baik lagi, cuba selesaikan segala masalah berkaitan anak seperti membayar yuran dan keperluan sekolah anak-anak kerana tanggungjawab itu boleh dilakukan secara berhemah.

    “Jika itu dapat dilakukan sebaiknya oleh si bapa, tidak timbul soal bekas isteri menuntut nafkah yang tertangguh sehingga ia memakan masa sehingga bertahun-tahun lamanya,” katanya.

    Beliau yang juga perunding motivasi untuk pelajar dan kekeluargaan, menyelar sikap segelintir lelaki yang liat membayar nafkah sehingga tertunggak sekian banyak dan memakan masa bertahun-tahun sehing­ga mangsa (terutama anak di bawah jagaan bekas isteri) terabai. Keadaan itu katanya, membuatkan anak marah, dendam atau kecewa dengan sikap bapanya dan tidak mustahil apabila membesar kelak, dia akan membenci bapanya itu.

    Beliau juga tidak menafikan terdapat sesetengah bekas suami agak berada dengan pendapatan lumayan setiap bulan tetapi setiap kali kes disebut di mahkamah, ia menggambarkan sesuatu yang tidak kena kerana gagal menunaikan tanggungjawab terhadap anaknya.

    “Jika bencikan bekas isteri atau berdendam dengannya berikutan perceraian, anak tidak seharusnya dijadikan mangsa. “Nafkah itu adalah hak anak kerana mungkin dia di bawah jagaan si ibu dan akibat perpisahan itu, si ayah tidak dapat bersama-sama menjaga anak. Jika haknya sudah diseleweng­kan si bapa atas perkara yang dinyatakan, si ayah itu sebenarnya berdosa.

    “Sebagai ayah, dia kena ingat kerana jika itu yang dilakukan dengan niat yang tidak baik iaitu untuk membalas dendam atau rasa sakit hati, sekiranya si anak berdoa dan doanya dianggap sebagai doa daripada orang teraniaya. “Allah maha mendengar doa orang teraniaya dan akan dimakbulkan. Oleh itu, pesanan kepada si ayah, usah berdendam kerana dendam yang berterusan memberikan akibat yang tidak baik,” katanya.

    Melihat rentetan kes bertahun-tahun di mahkamah, beliau mengakui keadaan itu turut menjejaskan prestasi si anak dalam pelajaran sehing­ga mencetuskan gejala sosial lain.

    Bagi mengelak hal itu berlaku, beliau menasihatkan supaya orang ketiga harus dijadikan ‘perantara’ penting dalam menyelesaikan kemelut yang berlaku.

    “Cara terbaik dengan menggunakan khidmat nasihat ibu bapa sendiri atau bekas ibu bapa mentua serta ipar duai campur tangan dan berbincang sebaiknya dengan cara berhikmah. “Jalan terbaik harus difikirkan kerana rujukan dan rasa hormat terhadap ibu dan bapa atau keluarga masing-masing membantu untuk menangani masalah itu sebaiknya.

    “Apapun masalah yang melanda, apa yang terpenting adalah kesedaran si ayah itu sendiri kerana jika dia berpegang kepada prinsip anak adalah amanah, dia harus menunaikan tanggungjawab atau amanah itu sebaiknya. “Dia juga bertanggungjawab memberi kasih sayang selain memastikan keperluan anak-anak dipenuhi demi kelangsu­ngan hidup serta masa depan mereka,” katanya.

    Dr Tengku Asmadi turut menyarankan supaya pasangan yang bercerai tidak menanamkan rasa benci yang keterlaluan sehingga mengganggu perkembangan mental dan fizikal anak-anak dengan merendahkan tahap ego masing-masing.

    6 tahun berjuang tuntut nafkah

    HASLINDA Muhammad (bukan nama sebenar) merasakan diri tidak bertuah dalam hidup berumah tangga apabila terpaksa turun naik mahkamah hampir tujuh tahun, semata-mata menuntut nafkah buat satu-satunya puteri tercinta.
    Dia hanya mampu bahagia dengan suami ketika menikmati usia perkahwinan hanya setahun. Selebihnya, dia hanya menanggung kedukaan berpanjangan sehingga memaksanya bertindak bijak supaya tidak terus bersedih.
    “Pada mulanya, perkahwinan kami dirahsiakan kerana sebagai isteri kedua, kebenaran untuk berkahwin lagi di pihak madu saya agak sukar diperoleh. Untuk itu, kami terpaksa bernikah di selatan Thailand berwalikan bapa sendiri.

    “Pada masa sama, saya berusaha mendaftar di sini dengan harapan jika berlaku sesuatu yang tidak diingini, sekurang-kurangnya ada juga hak,” katanya menceritakan pengalaman awal perkahwinannya dengan pilihan hati pada 2003.

    Usia perkahwinan atas rasa cinta seorang penuntut dengan pensyarah itu rupanya terlalu pahit untuk dirungkai. Ini kerana apabila dia dikurniakan cahaya mata perempuan yang ketika itu baru berusia tujuh hari, suaminya terus menghilangkan diri tanpa khabar berita.

    Keperitan ditanggung membesarkan anak sendirian dan surat nikah pula belum diterima. Namun, sesuatu mengajarnya menilai hati budi lelaki yang bergelar suami apabila surat nikah tiba berserta surat cerai sekali gus.

    Pengalaman itu benar-benar membuatkan dirinya nekad untuk turun naik mahkamah kerana merasakan lelaki itu juga perlu bertanggungjawab atas kesengsaraan yang ditang­gungnya.

    “Sepanjang tempoh enam tahun turun naik mahkamah, banyak masalah terpaksa saya tempuhi. Mulanya menggunakan khidmat percuma Biro Bantuan Guaman tetapi ada saja masalah. “Kadang-kadang hakim bercuti kerana pergi kursus, ada kalanya bekas suami tidak hadir di mahkamah dan tidak menggunakan khidmat peguam.

    “Sebenarnya, saya tidak minta banyak perkara. Setelah diceraikan, saya hanya minta hak saya seperti sedikit wang mutaah dan edah untuk saraan anak sebanyak RM200 sebulan.

    “Apa yang sedihnya, banyak juga saya terima pesanan ringkas (SMS) daripada bekas madu saya dengan caci maki dan kata-kata kesat. Begitu juga dengan kata-kata suami yang sampai kini berbekas di hati saya. “Kau nak sangat cerai, kau jagalah anak”. “Dari situ, saya nekad untuk terus memperjuangkan hak anak saya ini supaya mendapat pembelaan sewajar­nya,” katanya yang bertugas sebagai pendidik di sebuah sekolah di Kajang, Selangor.

    Ketika pertemuan dengan Haslinda, si cilik yang berusia enam tahun lebih itu turut menemaninya dan asyik memerhatikan kami berbual. Sesekali si ibu menitiskan air mata apabila bercerita kisah pedihnya. Si kecil itu, Alya Anta­sya (bukan nama sebenar) pula berlari di sekitar kantin sekolah dengan manjanya. Menceritakan pengalaman sepanjang membesarkan anaknya, dia berkata, bukan sekali Alya bertanyakan me­ngenai ayahnya. “Alya selalu bertanya me­ngenai ayahnya. Dia tidak pernah merasakan kasih sayang si ayah. Pertemuan pertama berlangsung dengan si ayah apabila saya pertama kali membawanya ke mahkamah syariah ketika kes dibaca dan bekas suami saya hadir.

    “Sebaik sampai di mahkamah dan perbicaraan belum bermula, saya letakkan anak atas ribaan dia dan bekas suami terkejut melihat anak sudah besar. Saya terharu kerana dia yang banyak bertanya mengenai ayahnya selama ini dan apabila dapat bertemu, kelihatan anak benar-benar dahagakan kasih seorang ayah,” katanya.

    Dia akui hanya di mahkamah saja mampu mempertemukan si anak dengan bapa­nya yang membuatkan anaknya berasa si bapa bekerja di mahkamah. Dalam fikiran yang masih kanak-kanak yang mampu terfikir untuk bertemu si bapa, mereka hanya perlu ke mahkamah untuk menanti peluang bertemu bapanya.

    Lebih memilukan, gambar bekas suami mendukungnya sewaktu bayi dan sekeping dua gambar bapanya terselit dalam album yang selalu menjadi peneman anaknya ketika tidur.

    Katanya, kes yang sering tertangguh akibat pelbagai alasan kadang kala membuat hatinya bosan untuk menuntut sesuatu biarpun ia menjadi haknya.

    Melihat keadaan itu, dia akhirnya menggunakan khidmat peguam terkenal dan sanggup membayar ribuan ringgit. Menurutnya, bukan wang yang menjadi buruannya tetapi apa yang penting, dia mahu membuktikan mahkamah menjadi tempat paling adil untuk menilai dan menghukum mereka yang berhak memperoleh hak yang sebenar-benarnya. Si pelaku atau mereka yang alpa dengan tanggungjawab disedarkan daripada lena.

    “Tidak dinafikan dalam kes sebegini, memang mahkamah tidak memihak kepada saya. Setelah berhabis duit, penat memanjat mahkamah rendah dan mahkamah tinggi, tiada apa yang saya peroleh setelah hampir tujuh tahun kes berjalan.

    “Bagaimana wanita hendak mendapat perlindungan dan haknya kalau begini caranya? Sampai bila-bilapun nasib mereka tidak terbela.

    “Walaupun tidak beranggapan anak sebagai beban, bekas suami sepatutnya tahu tanggungjawab terhadap anaknya. Zuriat ini amanah daripada Yang Maha Esa,” katanya dalam nada kesal.

    Sebagai suami yang terpelajar, bahkan pensyarah di sebuah universiti swasta tanah air, dia berharap supaya bekas suaminya itu membuka mindanya bahawa penghakiman di akhirat kelak seharusnya lebih ditakuti.

    Dia tidak pernah ralat dipertemukan jodoh dengannya tetapi yang amat dikesali sikap dan tanggungjawabnya langsung tiada. Apa yang dipinta bukannya puluhan ribu atau jutaan ringgit tetapi hanya nafkah bulanan dalam membesarkan zuriat tunggalnya itu.

    Obama dijangka temui Ahmadinejad




    2010/08/12

    pix_gal0
    WASHINGTON: Penasihat keselamatan Barack Obama, Jeneral James Jones membayangkan Presiden Amerika Syarikat itu bersedia untuk bersemuka dengan Presiden Iran Mahmoud Ahmadinejad jika Teheran meneruskan rundingan mengenai program nuklearnya.

    Jeneral bersara itu juga membayangkan pembebasan tiga pengembara Amerika Syarikat yang ditahan di Iran sejak tahun lalu juga akan menjadi langkah penting bagi merealisasikan pertemuan itu.
    Awal bulan ini, Ahmadinejad meminta perbincangan bersemuka bersama Obama ketika satu mesyuarat Perhimpunan Agung PBB di New York Oktober ini. Rumah Putih menolak sebarang perjumpaan.
    Bagaimanapun dalam temu bual dengan rangkaian televisyen CNN, Jones berkata pintu akan terbuka jika Iran bersetuju meneruskan perbincangan dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

    Ketika ditanya sama ada Obama bertemu pemimpin Iran itu, Jones berkata: Kesudahannya jika kita mencari satu titik pertemuan semua perkara adalah mungkin.

    Satu perkara mereka boleh lakukan ialah bebaskan tiga pengembara kami. Ia adalah langkah penting. Ia boleh membawa hubungan lebih baik.

    Pada masa sama, penasihat keselamatan kebangsaan Presiden itu berkata, tidak ada gunanya satu mesyuarat yang hanya bertujuan untuk menunjuk-nunjuk. 
    Iran mungkin tidak akan bersetuju dengan permintaan Amerika Syarikat itu berikutan regim berkenaan berulang kali menyatakan untuk meneruskan program nuklear mereka.

    Awal bulan ini, Ahmadinejad berkata, beliau bersedia mengadakan rundingan 
    bersemuka.

    Kami hadir ke perhimpunan PBB dengan penuh harapan, kata Ahmadinejad dalam ucapan kepada ekspatriat Iran yang disiarkan secara langsung melalui televisyen tempatan.

    Kita bersedia duduk bersemuka bersama Obama dan membawa isu global ke meja rundingan, secara lelaki, bebas dan di hadapan media dan melihat cadangan siapa lebih baik. Kita berasakan ia pendekatan terbaik.

    Dalam temu bual itu, Jones enggan menyebut sama ada tindakan ketenteraan mungkin akan dipertimbangkan terhadap Iran jika gagal untuk memenuhi permintaan antarabangsa.

    Saya tidak akan membuat spekulasi mengenainya, katanya. Agensi 

    Bubur lambuk Masjid Jamek Kg Baru




    KUALA LUMPUR – Bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap bubur lambuk, Masjid Jamek Kg. Baru tahun ini akan menyediakan 3,750 bungkus bubur lambuk sehari untuk diagihkan secara percuma.
    Pengerusi masjid itu, Datuk Idris Shaari Mat Aris berkata, pada tahun ini masjid itu memasak 15 periuk bubur lambuk sehari berbanding 12 periuk pada tahun lepas.
    Setiap periuk itu dapat menghasilkan 250 bungkus bubur lambuk dan dengan 15 periuk sebanyak 3,750 paket bubur disediakan setiap hari sejak bermulanya bulan Ramadan pada Rabu, katanya di sini hari ini.
    Beliau berkata, jemaah masjid itu mula menyediakan bubur tersebut sejak pagi dan mengagihkannya selepas sembahyang asar, katanya.
    Sejak 51 tahun yang lepas, setiap kali menyambut Ramadan, penduduk kampung akan bergotong-royong menyedia dan memasak bubur itu untuk disedekahkan kepada orang ramai sebagai juadah berbuka puasa.
    Sempena pelancaran pasar ramadan oleh Kementerian Pelancongan pada Sabtu ini di masjid itu, Idris Shaari berkata, sebanyak 100 periuk bubur lambuk akan dimasak untuk program itu.
    "Seperti biasa ada juga kementerian dan pihak lain yang turut memberi sumbangan untuk memasak bubur lambuk ini,” katanya.
    Beliau berkata kos bagi menyediakan setiap periuk bubur lambuk ialah RM450 yang dapat menghasilkan 250 paket bubur yang boleh dimakan oleh empat hingga lima orang. – Bernama

    Revolusi BlackBerry Cetus Kontroversi






    SEDEKAD lalu mungkin tidak ramai yang mengenali produk keluaran syarikat yang berpangkalan di Kanada, Research In Motion (RIM) itu.
    Penggemar teknologi khususnya telefon bimbit lebih gemar memilih jenama yang mempunyai nama dalam lapangan pembuatan peranti telekomunikasi mudah alih.
    Senario itu terjadi mungkin disebabkan produk pertama BlackBerry yang dihasilkan pada tahun 1999 adalah berasaskan konsep alat kelui.
    Evolusi perubahan peranti pintar BlackBerry pertama mula dicipta pada tahun 2002 yang mengetengahkan keupayaan e-mel tolakan, faks Internet, pelayaran laman web dan perkhidmatan maklumat tanpa wayar lain.
    Selain itu, peranti pintar BlackBerry juga dilengkapi keupayaan aplikasi seperti buku alamat, kalendar dan sebagainya sama seperti peranti pintar lain yang terdapat di pasaran.
    Bagaimanapun, sejak beberapa tahun lalu, gergasi telekomunikasi berlumba-lumba menghasilkan peranti mudah alih berkuasa tinggi sehingga muncul segmen telefon pintar menjengah pasaran dunia.
    Jenama BlackBerry tidak terkecuali membangunkan telefon pintar sehingga melakar nama dalam segmen tersebut sehingga menjadi bualan hangat pengguna peranti mudah alih.
    Keupayaan teknologi BlackBerry mula mencuri tumpuan golongan usahawan dan profesional dalam mengharungi kehidupan seharian mereka kerana ia dapat memudahkan segala urus niaga dan komunikasi yang ingin dilakukan dengan mudah lagi pantas tanpa sebarang gangguan.
    Namun, kemasyhuran telefon pintar itu mula terserlah di persada dunia apabila Presiden kulit hitam pertama Amerika Syarikat (AS), Barack Obama berjaya mengekalkan penggunaan peranti tersebut tahun lalu.
    Pelbagai spekulasi dan kesangsian mengenai keselamatan penggunaan peranti tersebut mula timbul bagi menghalang Obama menggunakan peranti pintar itu sebelum beliau melangkah masuk ke Rumah Putih menjawat jawatan Presiden AS.
    Obama berkata, telefon pintar tersebut merupakan peranti yang akan digunakan untuk berhubung dengan rakyat AS dan mengelak daripada terperangkap dengan tugasan presiden.
    "Ia merupakan salah satu antara sejumlah peranti yang saya cuba gunakan bagi memastikan rakyat masih boleh berhubung dengan saya.
    "Saya ingin mempunyai suara, selain daripada orang terdekat yang bekerja dengan saya dapat menghulur dan menghantar maklumat tentang apa sedang berlaku di AS," katanya.
    Bagaimanapun, telefon pintar milik Obama telah diubah suai dengan perisian keselamatan canggih berbanding BlackBerry yang terdapat di pasaran untuk mengelak penggodam daripada memasuki peranti tersebut.

    BLACKBERRY diminati kerana kecanggihan teknologinya.


    Keistimewaan telefon pintar Blackberry terletak pada kecanggihan teknologinya. Malah ia begitu dikenali kerana mempunyai kebolehan menghantar dan menerima e-mel di mana sahaja.
    Kemudahan tersebut boleh digunakan dengan mudah sekiranya terdapat liputan rangkaian perkhidmatan mudah alih atau melalui sambungan Wi-Fi.
    Data yang diekstrak
    Dalam pada itu, perbezaan ketara yang terdapat pada telefon pintar tersebut adalah data yang diekstrak daripada peranti BlackBerry akan disimpan dalam format khas iaitu IPD dengan fail akan dienkripsikan ke sistem kerangka utama BlackBerry.
    Ini bermakna pencerobohan sukar dilakukan oleh sesiapa sahaja yang ingin memperoleh maklumat yang dihantar atau diterima pengguna BlackBerry.
    Pelayan Enterpris BlackBerry (BES) menjadi tulang belakang kejayaan syarikat itu menawarkan sistem e-mel mudah kepada pengguna yang membolehkan mereka membuka Microsoft Exchange, Lotus Domino dan Novell Group Wise.
    Menariknya tentang BES, ia berupaya menyimpan akaun e-mel secara bersepadu dengan mengemaskini kotak e-mel pengguna sebaik mesej masuk diterima yang dihantar melalui Pusat Operasi Rangkaian RIM (NOC) dinamakan e-mel tolakan.
    Secara teknikalnya, ia membekalkan sambungan TCP/IP menerusi komponen Perkhidmatan Data Mudah Alih - Servis Sambungan (MDS-CS) yang memungkinkan pembangunan aplikasi ke peranti BlackBerry berasaskan platform Sun Microsystems Java ME.
    Kecanggihan teknologi BlackBerry tidak terhenti di situ sahaja kerana peranti baru telefon pintar dibangunkan syarikat RIM turut dilengkapi perisian BlackBerry Messenger (BBM).
    BlackBerry Messenger yang juga dikenali sebagai BBM oleh masyarakat alam maya digunakan untuk menghantar dan menerima mesej segera melalui PIN BlackBerry dan imbasan kod bar.
    Khabar gembira
    Mengapakah teknologi perisian BBM begitu digemari pengguna peranti BlackBerry sehingga tidak menggunakan lagi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) apabila berkomunikasi dengan pemilik BlackBerry lain?
    Keunikan BBM adalah ia tidak melibatkan pembayaran seperti perkhidmatan SMS apabila menghantar mesej segera. Mereka juga mempunyai kebebasan berhubung bersama rakan-rakan yang berada di luar negara.

    BLACKBERRY mencetuskan ketagihan di seluruh dunia.


    Ia juga membenarkan paparan gambar, mesej peribadi, menghantar dan membaca pemberitahuan kepada pengguna-pengguna lain.
    Kesemua ciri-ciri yang dimiliki telefon pintar BlackBerry mula mencetus fenomena dan ketagihan di kalangan peranti mudah alih seluruh dunia.
    Perjalanan kecanggihan teknologi telefon pintar BlackBerry tidak seindah yang disangka apabila mencetuskan kontroversi di beberapa buah negara di dunia.
    Sebagai contoh, Suruhanjaya Komunikasi dan Teknologi Maklumat, Arab Saudi telah mengarahkan pengendali telefon bimbit supaya menyekat perkhidmatan BlackBerry bermula Jumaat lalu atau berdepan denda AS$1.3 juta (RM4 juta) jika gagal berbuat demikian.
    Bagaimanapun, pihak berkuasa Arab Saudi telah menangguhkan larangan perkhidmatan telefon pintar BlackBerry di negara berkenaan.
    Kenyataan agensi berita rasmi SPA menyatakan, perkhidmatan telefon pintar itu akan beroperasi secara dalam talian seperti biasa dan ia perlu melaporkan perkembangan dari semasa ke semasa kepada pihak berkuasa Arab Saudi sebelum jalan penyelesaian muktamad dicapai oleh kedua-dua belah pihak.
    Penangguhan tersebut telah membawa perkhabaran gembira kepada pengguna BlackBerry yang mencecah berjuta orang di Arab Saudi.
    "Saya tidak mengetahui mengapa mereka membuat kecoh mengenai BlackBerry," kata Sahar Mohammed, 19 seorang pelajar universiti.
    "Mereka sepatutnya mencapai persetujuan pada minggu lalu tanpa perlu membuatkan pengguna melalui pengalaman kurang selesa pada minggu lalu," ujarnya.
    Medium terbaik


    Telefon pintar berkenaan menjadi medium terbaik kepada golongan lelaki dan wanita di Arab Saudi untuk berhubung di antara satu sama lain melalui alam maya.
    "Saya mungkin akan mati...jika perkhidmatan berkenaan dihentikan walaupun selama tiga hari," kata Alonood Oseilan di laman sosial Facebook yang memprotes pengharaman perkhidmatan berkenaan.
    Seorang pelajar universiti, Khaled al-Harthi, 21, berkata, dia bergegas membeli peranti BlackBerry baru untuk meraikan peristiwa istimewa berkenaan.
    "Saya sudah mempunyai BlackBerry tetapi saya sangat gembira apabila perkhidmatannya diteruskan dan mengambil keputusan membeli satu lagi peranti berkenaan," ujarnya.
    Selain Arab Saudi, kontroversi mengenai teknologi BlackBerry juga berlaku di negara, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), India, Indonesia dan beberapa negara lain.
    Di Malaysia, syarikat-syarikat telekomunikasi berlumba-lumba menyediakan pakej terbaik BlackBerry kepada pengguna.
    Malah pakej-pakej berkenaan telah menjadi fenomena baru masyarakat negara ini khususnya golongan belia berkomunikasi bersama rakan-rakan dengan lebih pantas dan mudah.
    Sementara itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang menyiapkan laporan berhubung penggunaan telefon bimbit pintar BlackBerry di negara ini ekoran tindakan beberapa negara menggantung perkhidmatan telefon itu atas alasan keselamatan.
    Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, laporan itu kini dalam proses untuk dilengkapkan sebelum dikemukakan dalam satu mesyuarat minggu ini.
    "Laporan itu adalah tentang dakwaan kononnya perkhidmatan BlackBerry telah digantung di beberapa negara.
    "Kita akan umumkan hasilnya selepas mesyuarat nanti," katanya.

    Rizab riparian koridor penyelamat




    HUTAN rizab riprarian diwujudkan kerajaan Sabah untuk bagi mengelakkan aktiviti perladangan mengehadkan pergerakan haiwan.


    HIDUPAN liar di Sabah yang diancam kepupusan dijangka menyaksikan peluang survival yang lebih baik. Terima kasih kepada ‘koridor penyelamat’ yang diperkenal kerajaan negeri Sabah.
    Koridor penyelamat itu bukan sahaja bertujuan mewujudkan lebih banyak hutan bagi hidupan liar untuk hidup bebas tetapi juga bagi merealisasikan matlamat kerajaan negeri dalam memastikan 55 peratus daripada muka bumi Sabah diliputi hutan.
    Menteri Pelancongan, Budaya dan Alam Sekitar negeri Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, program itu membabitkan pemulihan rizab ‘riparian’ untuk mewujudkan laluan bagi hidupan liar bergerak dari satu kawasan ke kawasan lain.
    “Banyak pihak, khususnya pemilik ladang kelapa sawit, menanam tanaman mereka hingga ke tebing sungai. Oleh itu, ia menghalang laluan hidupan liar,” kata beliau.
    Hutan riparian merupakan kawasan hutan bersebelahan dengan saluran air seperti sungai, anak sungai, kolam, tasik, tanah paya, muara atau terusan yang menghubungkan hutan yang terpisah.
    Beli tanah
    “Kami akan memulihkan kawasan ini (rizab riparian) dan kami mengesyorkan alternatif kepada semua pemilik tanah untuk berhenti daripada menjalankan aktiviti pertanian di rizab riparian kerana apabila mereka bertani sehingga ke tebing sungai, hidupan liar, khasnya gajah akan sukar untuk melintas sungai,” katanya.
    Koridor penyelamat ini menjadi tumpuan di daerah Kinabatangan yang akan membabitkan kawasan yang luas untuk mewujudkan rizab riparian.
    “Kami sedang membeli tanah ini sedikit demi sedikit dan juga menggalakkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu mencari sumber kewangan kerana kami mahu ia dimiliki oleh semua.
    “Penguatkuasaan bermakna atas apa-apa alasan jika seorang petani atau pemilik ladang menceroboh rizab riparian, mereka sebenarnya melakukan kesalahan di bawah Kanun Tanah. Oleh itu langkah pengkuatkuasaan akan diambil oleh Jabatan Tanah dan Ukur,” katanya.

    Puteri Rantau Abang kembali mendarat selepas 32 tahun menghilang



    Orang ramai melihat penyu belimbing yang telah dipasang peralatan satelit migrasi sebelum dilepaskan di Pantai Rantau Abang, Dungun, Terengganu, kelmarin.


    DUNGUN 12 Ogos - Puteri Rantau Abang, penyu belimbing yang dilepaskan ke laut 32 tahun lalu di bawah program penetasan bagi tujuan pemuliharaan, dikesan kembali buat pertama kalinya ke pantai di sini untuk bertelur baru-baru ini.
    Kemunculannya memberi harapan baru terhadap masa depan spesies itu yang dikatakan gelap sekali gus membantu menyambung kajian mengenai migrasi yang pernah dilakukan 20 tahun lalu.
    Petang semalam, di pantai yang sama, ia dilepaskan semula ke laut setelah dipasang peralatan peranti satelit dengan teknologi terkini.
    Usaha Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang itu bertujuan mengumpulkan pelbagai maklumat saintifik mengenai laluan penjelajahan penyu itu, kawasan pemakanan dan permainannya di samping merekod suasana ekologi seperti kadar kemasinan dan suhu air.
    Ia dilepaskan oleh Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ahamad Sabki Mahmood dan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Rantau Abang, Datuk Zaa'bar Mohd. Adib.
    Pelancong dan penduduk tempatan yang teruja dengan usaha dilakukan, tidak melepaskan peluang menyaksikan upacara itu.
    Penyu belimbing itu yang ditetaskan pada 1978 dan dipasangkan tanda pengenalan oleh Jabatan Perikanan kini mencapai ukuran 1.51 meter lebar, 1.16 meter panjang dan seberat hampir 500 kilogram.
    Ia mendarat buat pertama kalinya untuk bertelur pada 15 Julai lalu, disusuli pada 26 Julai dan 6 Ogos lalu sebelum 'disimpan' buat sementara dalam tangki bagi tujuan pemasangan peralatan satelit.
    Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Ahamad Sabki memberitahu, peranti satelit Platform Transmitter Terminal yang dibeli dari New Zealand mempunyai jangka hayat bateri selama lebih setahun.
    "Pergerakan penyu itu sekiranya ia terus selamat akan dapat dikesan oleh Satelit Argos yang berpengkalan di Perancis.
    ''Banyak maklumat saintifik yang akan diperoleh seperti sejauh mana Puteri Rantau Abang berenang meninggalkan pantai Rantau Abang setelah bertelur," ujarnya.
    Katanya, maklumat mengenai lokasi kawasan pemakanannya juga amat mustahak untuk masyarakat antarabangsa bersama-sama meningkatkan aktiviti melindunginya.
    Menurut Ahamad Sabki, pihaknya juga turut mengharapkan publisiti meluas mengenai kajian sebegini agar dapat meningkatkan lagi kesedaran umum dan mereka akan bersama-sama jabatan melindungi dan memulihara spesies itu dan penyu-penyu lain .
    Sementara itu, Zaa'bar memberitahu, pada musim pendaratan tahun ini sehingga semalam, tiga ibu penyu belimbing telah mendarat di pantai Rantau Abang dengan hampir 500 biji telur.
    ''Telur-telur ini akan dieram di pusat penetasan Rantau Abang dan kemudiannya dilepaskan ke laut," ujarnya.
    Beliau berharap perkembangan terbaru ini benar-benar dapat membuktikan penyu belimbing akan terus kembali setelah beberapa dekad dilepaskan ke laut.