Pages

Monday, April 1, 2013

Wanita dedah kisah dijaga monyet



Marina Chapman menunjukkan cara dia tidur di dalam hutan ketika dijaga sekumpulan monyet selepas diculik sekitar tahun 1950-an. - Agensi
YORKSHIRE 31 Mac - Seorang suri rumah di sini mendedahkan pengalamannya menjadi 'gadis Tarzan' ketika kecil selepas diculik daripada keluarganya dan dibuang ke dalam hutan Colombia.
Marina Chapman, dalam buku nukilannya, The Girl With No Name: The Incredible True Story of the Girl Raised by Monkeys, yang disiarkan secara bersiri oleh akhbar The Mail, menceritakan bagaimana sekumpulan monyet jenis capuchin menjaganya di dalam hutan selama lima tahun selepas dia ditinggalkan di hutan itu ketika berusia empat tahun.
Menurutnya, kumpulan monyet itu mengajarnya kelangsungan hidup dalam hutan termasuk mencari makanan, berkomunikasi, memanjat dari satu dahan ke satu dahan dan tidur di atas pokok.
"Semuanya berlaku dengan pantas sekitar tahun 1950-an. Saya melihat lelaki berkulit hitam memegang kain putih dan kemudian saya terbau bahan kimia yang sangat kuat. Selepas itu saya tidak lagi sedar apa yang berlaku," katanya.
Selepas terjaga, Chapman mendapati dirinya berada di dalam sebuah trak bersama beberapa kanak-kanak lain sebelum dibuang ke dalam hutan oleh lelaki yang tidak dikenali.
Pagi kedua berada di dalam hutan, dia terjaga dan berasa sangat lapar, namun berasa terkejut selepas mendapati sekumpulan monyet mengelilinginya.
Pada mulanya kumpulan monyet itu melihatnya dalam keadaan pelik, namun haiwan itu tidak menyerang, tetapi mendekati dirinya.
Disebabkan monyet tersebut memiliki makanan, Chapman sedar dia perlu mengikuti cara haiwan itu untuk terus hidup atau dia akan mati kerana kelaparan.
"Hari demi hari saya menunggu ibu bapa saya datang untuk menyelamatkan saya, namun mereka tidak muncul. Harapan saya semakin lama semakin hilang, malah saya berasa selesa bersama kumpulan monyet itu," katanya.
Selepas beberapa tahun di dalam hutan, dia mula berani meneroka kawasan lebih jauh daripada kebiasaannya sehingga bertemu dengan kumpulan manusia yang menghuni pinggir hutan dan akhirnya tinggal bersama keluarga tersebut.
Chapman mengakui dia mempelajari banyak perkara di dalam hutan, terutama sekali mengenai kehidupan berkeluarga, kasih sayang dan perhatian. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130401/lu_08/Wanita-dedah-kisah-dijaga-monyet#ixzz2PBw1wtMM
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Mufti gesa wanita Libya disekat kahwin lelaki asing



Tripoli: Mufti Besar Libya menggesa pihak berkuasa mengharamkan wanita negara itu berkahwin dengan warga asing walaupun mereka beragama Islam dan keturunan Arab.

Sheikh Sadeq Al-Gharian mengemukakan cadangan itu atas alasan keselamatan.


Menurutnya, beliau menerima banyak aduan bahawa lelaki Syiah dan Druze dari Syria dan Iran mengambil kesempatan terhadap kelonggaran sistem keselamatan di Libya.

Negara Islam Sunni seperti Libya amat sensitif dengan kehadiran golongan Syiah dalam masyarakat mereka menerusi pelbagai cara, termasuk perkahwinan dan pelancongan.


Awal bulan ini, pendakwah Mesir Safwat Hijazi menyuarakan bantahan terhadap persetujuan kerajaan negara itu untuk meningkatkan industri pelancongan dengan Iran.


Beliau meluahkan kebimbangan bahawa rejim Ayatollah di Teheran mungkin menghantar pendakwah Syiah yang menyamar sebagai pelancong.

Safwat memberitahu Al-Arabiya dalam satu wawancara bahawa sejak revolusi Iran, ulama Syiah negara itu berusaha untuk menyebarkan fahaman aliran itu ke luar negara terutama di kalangan masyarakat Sunni.


Di Libya, gesaan mufti besar itu yang jika dilaksanakan kerajaan akan menjadi satu lagi halangan kepada hak wanita selepas era Gaddafi.

Februari lalu, Dewan Perlembagaan Mahkamah Agung menyekat poligami selepas ia memansuhkan pindaan lama yang mensyaratkan lelaki untuk mendapatkan persetujuan isteri pertama untuk berkahwin lagi. - Al-Arabiya

Senyuman dalam rahim



London: Imej kabur pada skrin hospital adalah gambar pertama untuk kebanyakan bakal ibu bapa melihat anak mereka.

Bagaimanapun, perisian pengimejan terkini mampu untuk mempamerkan janin dengan maklumat yang lebih menakjubkan.


Perisian itu menjalankan pengimbasan ultra bunyi 3D konvensional dan menambah warna, tekstur kulit, pencahayaan dan bayangan. Teknologi itu menghasilkan imej yang sungguh jelas dan membenarkan ibu bapa melihat wajah anak mereka sebelum ia dilahirkan.

Terdapat juga versi 4D yang bermakna ibu bapa boleh melihat anak mereka tersenyum dan menendang dalam perut secara langsung. Ia boleh juga dirakam dan dijadikan dalam bentuk DVD.


Perisian itu membenarkan doktor mengesan masalah pada janin lebih pantas daripada sebelum ini.


Perisian itu dihasilkan oleh Dr Bernard Benoit dari Hospital Princes Grace, Monaco yang terkenal di seluruh dunia kerana komitmennya memperkenalkan teknologi imbasan ultra bunyi yang inovatif.

Foto
FOTO jelas janin membolehkan ibu bapa melihat wajah bayi mereka sebelum dilahirkan.
Foto
PENGIMEJAN terhasil dengan penambahan warna, tekstur kulit dan bayangan imbasan 3D konvensional.
Beliau juga pakar dalam mengesan kecacatan pada janin pada peringkat awal kehamilan. - Daily Mail

Anak lembu berkaki lima di AS




GAMBAR yang tidak bertarikh menunjukkan seekor anak lembu yang mempunyai kaki kelima di atas badannya di ladang milik Harmel di Burton, Texas.


BURTON, Texas - Seekor anak lembu yang berkaki lima dilahirkan di ladang milik Charles Harmel di sini pada 9 Mac lalu.
Seorang pakar pembedahan haiwan, Dr. Lee Panko kemudian membuat pembedahan bagi membuang kaki kelima itu pada Selasa lalu.
Kaki kelima itu terdapat di atas badan dekat kepala haiwan tersebut.
Menurut Panko dari Hospital Veterinar Brenham di Brenham, Amerika Syarikat (AS), ia merupakan kejadian yang jarang berlaku.
Menurutnya, dia tidak pernah menyaksikan anak lembu berkaki lima itu sebelum ini. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0401&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm#ixzz2PA2PlxR9 
Hakcipta terpelihara 

Album The Beatles dilelong AS$290,500




GAMBAR fail menunjukkan salinan album kumpulan The Beatles yang berjudul Sgt. Pepper's Lonely Hearts Club.- AP


LOS ANGELES - Sebuah salinan album The Beatles yang jarang ditemui dilelong pada harga AS$290,500 (RM898,284), lapor portal berita The Hollywood Reporter.
Album tersebut berjudul "Sgt. Pepper's Lonely Hearts Club Band mempunyai tandatangan empat anggota kumpulan berkenaan.
Ia dibeli kelmarin oleh seorang pembeli yang identitinya tidak didedahkan.
Lelongan itu dibuat oleh firma Heritage Auctions yang berpangkalan di Dallas.
Menurut portal itu, album itu sebelum ini dijangka dilelong pada harga hanya AS$30,000 (RM92,766).
Ia dipercayai ditandatangani oleh empat anggota kumpulan itu pada kulit album tersebut pada Jun 1967.
Menurut portal itu, sebelum ini kulit album Meet the Beatles dilelong pada harga AS$150,000 (RM463,830). - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0401&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2PA0i9NBj 
Hakcipta terpelihara 

Sunday, March 31, 2013

Keluarga Rapunzel




30 Mac 2013
Keluarga Rapunzel
Russel dan anak-anaknya menunjukkan rambut mereka yang hampir mencecah lantai serta menjadi perhatian penduduk setempat di Illinois, Amerika Syarikat
ILLINOIS - Seorang ibu bersama tiga anak perempuannya dikurniakan genetik rambut panjang hingga digelar Rapunzel oleh penduduk setempat.

Terelynn Russel, 43, berasal dari luar Chicago berkata, rambutnya kini berukuran 1.8 meter panjang, melebihi ketinggiannya.

"Ketiga-tiga anak saya juga dikurniakan rambut panjang hampir mencecah lantai," katanya dalam laporan MailOnline.

Russel menjelaskan, untuk menjaga kebersihan dan 'keselamatan' mereka sekeluarga, beliau membuat peraturan di rumahnya.

"Mereka perlu sentiasa mengikat rambut apabila berada di dapur," katanya.

Menurutnya, peraturan itu terpaksa dibuat selepas beliau secara tidak sengaja terpijak rambutnya sendiri ketika sedang menukar lampin anak bongsunya.

Selain itu, wanita tersebut turut menetapkan jumlah pengambilan syampu dan langkah penjagaan rambut.

Sejak tahun lalu, Russel dan anak-anaknya telah mendermakan sekurang-kurangnya 20 inci rambut mereka kepada badan amal Locks of Love.

Arca 4,000 gula-gula getah




30 Mac 2013
Arca 4,000 gula-gula getah
Gula-gula getah ini disusun dan dipasang dengan teliti bagi mendapatkan bentuk geometri bangunan.
Arca 4,000 gula-gula getah
Sebanyak 4,000 keping gula-gula getah disusun rapi.
Paris - Seorang guru sanggup meluangkan masa tiga bulan untuk menyiapkan struktur bangunan geometri dengan menggunakan 4,000 keping gula-gula getah.

Jeremy Laffon, 34, dari Marseilles, Perancis membina struktur kompleks geometri berukuran dua meter lebar dan hampir tiga meter panjang sebelum diruntuhkan secara perlahan.

“Gula-gula getah ini disusun dan dipasang dengan penuh teliti. Saya menggunakan air liur dan gam sebagai pelekat untuk mencantumkan kepingan gula-gula getah ini,” katanya menurut laporan DailyMail

Menurutnya, ia merupakan arca simbol kekecewaan yang mana pembinaannya dilakukan bertujuan untuk melihat arca tersebut runtuh dengan perlahan dan penuh berseni.

“Ilham untuk membuat arca ini tercetus selepas saya dijemput untuk mengajar di sebuah sekolah seni yang penuh dengan pelajar. Saya mencari alternatif untuk memuatkan kesemua pelajar tersebut ke dalam satu kelas dan dari situ timbul idea tentang formula ruang dan kepadatan,” katanya.

Menurutnya, beliau terpesona dengan pembinaan sebuah rumah kad dan memutuskan untuk mewujudkan arca yang sama dengan menggunakan bahan yang belum pernah digunakan sebelum ini.

“Gula-gula getah adalah tidak stabil dan satu usaha sukar untuk membuat struktur binaan ini,” katanya.

Beliau berkata, kepuasan hanya dapat dicapai tatkala melihat keseluruhan struktur binaan itu runtuh secara perlahan.

Doktor Brazil dituduh bunuh 7 pesakit, angka sebenar mungkin 300




30 Mac 2013
Doktor Brazil dituduh bunuh 7 pesakit, angka sebenar mungkin 300
Virginia Helena Soares de Souza
Doktor Brazil dituduh bunuh 7 pesakit, angka sebenar mungkin 300
Hospital Evangelico di mana Virginia Soares de Souza berkhidmat. - Foto ihsan Yahoo/Reuters
CURITIBA, Brazil - Seorang doktor Brazil didakwa membunuh sekurang-kurangnya tujuh pesakit dalam usaha mengosongkan katil sebuah hospital di Curitiba, tenggara Brazil, semalam.

Virginia Helena Soares de Souza mengambil sekumpulan doktor untuk membantunya melakukan pembunuhan itu di Hospital Evangelico.

Dia didakwa memberi arahan memasukkan bahan-bahan sedatif dan ubat tahan sakit selain mengawal tahap oksigen dan penggunaan ubat-ubat lain, lapor CNN.

Tujuh pegawai penjagaan kesihatan turut didakwa bersama de Souza.

De Souza tidak mengaku salah.

Laporan Reuters pula menyebut angka kematian pesakit disebabkan tindakan doktor itu kemungkinan mencecah 300 orang.

Pendakwa raya mendakwa de Souza mencabut palam, tindakan yang bertentangan dengan hasrat seseorang pesakit dan keluarga mereka dan ia juga bercanggah dengan peruntukan undang-undang Brazil.

Polis pula berkata, doktor itu bertindak demikian bagi mengosongkan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan membebaskan 'suasana tidak menyenangkan', yang diakibatkan oleh pesakit.

De Souza yang ditahan bulan lalu dikatakan memberi arahan kepada kumpulan doktor terbabit antara 2006 dan 2013.

Dalam temu bual dengan rakan media CNN, TV Globo, doktor yang menyiasat kes itu, Mario Lobato berkata, jumlah kematian akibat tindakan de Souza kemungkinan lebih banyak.

Kata Lobato, pasukannya sedang menganalisis carta perubatan membabitkan lebih 1,700 pesakit dan menemu bual lebih ramai doktor.

Sepanjang tujuh tahun lalu, de Souza sendiri tidak menyenaraikan ubat-ubatan yang diberikan kepada pesakit terbabit tetapi ada mengarahkan doktor-doktor yang membantunya agar menukar peralatan pernafasan mekanikal.

Malah, de Souza juga membebarkan doktor terbabit melihat rekod-rekod perubatan untuk menyenaraikan ubat-ubat yang perlu atas namanya.

Peguam de Souza, Elias Mattar Assad berkata, beliau akan membuktikan arahan anak guamnya bersandarkan keperluan perubatan.

Implan gigi dari sel tikus dicipta




31 Mac 2013
Implan gigi dari sel tikus dicipta
Binaan gigi dari sel tikus ini mengandungi dentin dan enamel yang amat kuat.
SEKUMPULAN saintis Barat sekali lagi mengorak langkah apabila berjaya mencipta implan gigi manusia daripada sel tikus.

Ketua penyelidikan, Profesor Paul Sharpe berkata, pihaknya berharap ujian berkenaan mampu menggantikan gigi palsu yang bersifat sementara.

"Gigi yang dihasilkan melalui gumpalan embrio tikus ini mampu menjadi gigi kekal dengan cara benihnya ditanam di dalam geraham pesakit," katanya dipetik dari MailOnline.

Hasil kajian awal menunjukkan struktur binaan gigi buatan kekal ini mengandungi dentin dan enamel yang amat kuat," katanya dalam Jurnal Kajian Pergigian Antarabangsa.

Tambah beliau, hasil kajian awal juga mendapati gabungan sel tikus yang membentuk gigi dalam geraham manusia adalah selamat untuk diguna pakai. 

Peranti navigasi kucing




31 Mac 2013
Peranti navigasi kucing
Pemilik kini boleh menjejaki haiwan peliharaan mereka dengan menggunakan peta Google.
KESELAMATAN kucing atau anjing kesayangan kini lebih terjamin dengan ciptaan peranti navigasi yang boleh dipasang pada leher haiwan itu.

Pencipta peranti Dave Evans, 41, dari Marlborough, Wiltshire berkata, alat navigasi itu mampu menjejaki setiap langkah haiwan menggunakan peta Google.
“Idea ini timbul selepas kucing peliharaan saya kerap hilang,” katanya dipetik dari laporan MailOnline.

Menurutnya, maklumat navigasi haiwan kalis air itu boleh diakses melalui komputer dengan menggunakan pemacu memori.

Beliau berkata lagi, kini pemilik anjing atau kucing  tidak perlu lagi mengupah pembantu untuk membawa haiwan kesayangan itu bersiar.

Virus baru lebih bahaya dari SARS




31 Mac 2013
Virus baru lebih bahaya dari SARS
Pesakit yang dijangkiti koronovirus ini akan mengalami simptom seperti kesukaran bernafas, demam, batuk dan radang paru-paru dalam tempoh 48 jam
LONDON - Virus baru yang yang menyebabkan kematian kedua di Britain, minggu lalu didakwa lebih berbahaya dari SARS (Sindrom Pernafasan Akut yang Teruk).

Koronovirus misteri yang menyerang sistem pernafasan dan dipercayai berasal dari Timur Tengah itu mula dikenal pasti awal tahun lalu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan angka kematian kini mencecah 11 orang dan dua daripadanya ialah warga Britain.

Ahli mikrobiologi, Yuen Kwok-yung berkata, jika virus tersebut mengalami mutasi ia mungkin akan menjadi wabak pembawa maut.

"Virus baru ini boleh menyerang banyak organ dan membunuh sel dengan cepat berbanding SARS," katanya menurut laporan MailOnline.

Sebanyak 17 kes dilaporkan sejak WHO mengeluarkan amaran berjaga-jaga pada September lalu. 
    
Pembawa koronovirus itu juga masih tidak dapat dikenal pasti, namun saintis Netherlands mendakwa hasil penyelidikan ke atas sampel darah pesakit menunjukkan ia mungkin disebarkan oleh spesies kelawar Asia. 

Saturday, March 30, 2013

Nyalaan matahari dirakamkan NASA



AFP
GAMBAR menunjukkan percikan api dari permukaan matahari pada 16 Mac lalu.


FLORIDA - Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) milik Amerika Syarikat semalam mendedahkan gambar nyalaan api di permukaan matahari.
Gambar itu dirakamkan pada 16 Mac lalu.
Ia menunjukkan terdapat percikan api yang terkeluar dari permukaan matahari. - AFP

Friday, March 29, 2013

Remaja Pakistan ditembak Taliban tulis buku



WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Mac 2013
Malala Yousafzai
Malala Yousafzai keluar hospital semalam. - Foto ihsan CNN
BIRMINGHAM - Aktivis remaja Pakistan, Malala Yousafzai yang terselamat selepas ditembak oleh Taliban Oktober lalu telah menandatangani perjanjian untuk menerbitkan sebuah buku yang nilainya dijangka mencecah AS$3 juta ( RM9.3 juta).

Malala, 15, yang memperjuangkan hak pendidikan kanak-kanak perempuan akan menceritakan sendiri pengalamannya yang telah dinafikan untuk ke sekolah.

Beliau juga akan menceritakan pengalamannya terselamat dari cubaan bunuh oleh Taliban.

Dia dan keluarganya kini tinggal di Birmingham.

Buku bertajuk, “I am Malala” bakal diterbitkan pada musim luruh ini.

“Saya berharap buku ini boleh didapati di seluruh dunia. Jadi, mereka dapat tahu betapa sukarnya bagi kanak-kanak di kampung halaman saya mendapat kemudahan pendidikan.

“Saya ingin menceritakan pengalaman saya sendiri dan kawan-kawan yang lain mengenai kesukaran kami berjuang untuk mendapatkan ilmu.

“Saya mahu buku ini menjadi sebahagian dari kempen kepada setiap kanak-kanak di seluruh dunia yang hak belajar ialah mnerupakan hak asasi bagi kanak-kanak,” katanya dipetik laporan BBC.

Penerbit Weidenfeld dan Nicolson berkata, Malala sendiri akan bercerita mengenai kisah hidupnya, pengalaman ditembak dan semangat juangnya yang tidak pernah takut kepada puak pelampau.

Korea Utara isytihar perang bila-bila masa




28 Mac 2013
Korea Utara isytihar perang bila-bila masa
Pemimpin Korea Utara Kim Jong-Un melihat persiapan ketenteraan di pangkalan tentera Baengnyeong Island.
SEOUL - Korea Utara memberi petunjuk terakhir akan menyerang Korea Selatan selepas bertindak memutuskan talian komunikasi dengan negara itu, semalam.

Agensi berita KCNA memetik jurucakap tentera sebagai berkata, Korea Utara menghentikan respons talian hotline ketenteraan di perindustrian di Zon Bebas Tentera (DMZ) dan Palang Merah yang digunakan oleh kedua-dua negara sebelum ini.

“Peperangan boleh meletus bila-bila masa, tiada keperluan menjaga talian itu,” katanya dalam laporan Reuters.

Menurutnya, tidak wujud lagi sebarang saluran dialog atau komunikasi kedua-dua negara termasuk Amerika Syarikat.

Talian hotline itu penting bagi kedua-dua negara kerana ia digunakan sebagai alat komunikasi oleh lebih 900 pekerja yang berulang-alik ke ke kompleks perindustrian Kaesong.

Kedua-dua negara itu kini, bersiap siaga untuk melancarkan serangan nuklear dengan peluru berpandu dan pesawat tempur.

Ibu syuhada Palestin meninggal




28 Mac 2013
Ibu syuhada Palestin meninggal
Mohammed terbunuh dalam serangan di Gaza. (Gambar kecil) Mariam Farhat.
GAZA - Seorang Ahli Parlimen Palestin yang digelar 'ibu syuhada' meninggal dunia pada usia 64 tahun di hospital Gaza akibat komplikasi penyakit paru-paru dan kegagalan buah pinggang.

Mariam Farhat mendapat perhatian dunia apabila rakaman videonya di muat naik ke laman You Tube  selepas menyokong jihad anaknya, Mohammed, 19, untuk menentang Israel pada 2005.

“Saya berdoa untuk mempunyai 100 anak seperti Mohammed. Saya akan korbankan mereka demi ALLAH,” katanya dalam laporan AP.

Paparan video itu menunjukkan, Mohammed berpegangan tangan dengan ibunya, yang berdoa untuk beliau menjadi syahid di penempatan Yahudi di Semenanjung Gaza.

Selepas Israel berundur dari Gaza pada 2005, keluarga Mariam kembali ke penempatan Yahudi di mana Mohammed melakukan serangan militan sebelum terkorban.

Mariam mempunyai dua orang anak yang telah dibunuh oleh tentera Israel manakala seorang lagi berada di dalam penjara Israel.

Pada 2006, beliau terpilih menganggotai Parlimen Palestin sebagai penggubal undang-undang Hamas.

Kira-kira 4,000 rakyat Palestin menghadiri pengebumian beliau, termasuk Perdana Menteri Hamas, Ismail Haniyeh.

1,000 bangkai itik terapung di sungai




27 Mac 2013
SICHUAN - Sekurang-kurangnya 1,000 bangkai itik ditemui terapung di Sungai Nanhe, wilayah barat daya Sichuan, menurut media tempatan, kelmarin.

Dipetik AFP, insiden terbaru itu dilaporkan berlaku seminggu selepas lebih 16,000 bangkai khinzir dibuang di Sungai Huangpu yang membekalkan 22 peratus air kepada penduduk di Shanghai.

Agensi berita Xinhua melaporkan kejadian tersebut telah meningkatkan lagi kebimbangan penduduk berhubung tahap kebersihan sumber air minuman di negara tersebut.

Menurut pihak berkuasa, kesemua bangkai itu sudah reput dan ia pasti menyukarkan mereka untuk mengenal pasti punca kematian misteri haiwan tersebut.

AS hantar pesawat pengebom




29 Mac 2013
AS hantar pesawat pengebom
Pesawat B-2 juga melakukan latihan menjatuhkan bom palsu di lokasi strategik di Korea Selatan.
AS hantar pesawat pengebom
Korea Utara melakukan latihan serangan bagi menguji kecekapan senjata nuklear
SEOUL - Sekutu kuat Korea Selatan, Amerika Syarikat (AS) menghantar dua pesawat pengebom B-2 ke negara itu dalam usaha meningkatkan ketegangan yang dicetuskan oleh Korea Utara sejak kelmarin.

Jurucakap tentera AS dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua pesawat, itu diterbangkan dari pangkalan Tentera Udara Whiteman di Missouri sejauh 21,000 kilometer.

“Kami juga membuat beberapa siri latihan udara seperti menjatuhkan bom palsu ke pelbagai sasaran di Korea Selatan yang digazet sebagai lokasi latihan,” katanya dalam laporan AFP

Menurutnya, latihan ini menyaksikan keupayaan senjata nuklear AS dalam melakukan serangan jarak jauh, tepat dan cekap,” katanya.
Terdahulu, dua pesawat pengebom AS tiba di Korea Selatan untuk melakukan latihan ketenteraan, namun tindakan itu menimbulkan kemarahan Pyongyang kerana disifatkan sebagai provokasi ke arah serangan nuklear.

Lelaki Sikh pakai serban gergasi




SEORANG anggota Tentera Nihang Sikh memakai serban gergasi di Kuil Emas Amritsar semalam.


AMRITSAR - Seorang anggota tentera Nihang Sikh memakai serban gergasi di Kuil Emas di sini semalam.
Panjang kain serban itu lebih 325 meter.
Dia memakai serban itu sempena sambutan Hola Mohalla yang berlangsung selama tiga hari.Festival itu diadakan bagi menunjukkan kekuatan tentera Sikh. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0329&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_09.htm#ixzz2Ow0SeF24 
Hakcipta terpelihara 

Ikan paus diburu untuk ditembak dengan alat pengesan



GAMBAR fail seekor ikan paus biru.


SYDNEY - Sekumpulan saintis Australia menaiki bot untuk memburu beberapa ekor ikan paus biru di Lautan Selatan, Antartika selama tujuh minggu.
Saintis-saintis dari Divisyen Antartika Australia memburu ikan paus itu dengan tujuan untuk menembaknya supaya sebuah alat pengesan kecil satelit tertanam pada badan haiwan tersebut.
Alat pengesan itu akan membolehkan para saintis mengetahui pergerakan haiwan mamalia tersebut.
Ikan paus itu yang merupakan haiwan yang paling besar di dunia telah dikategorikan sebagai spesies terancam.
Menteri Alam Sekitar Australia, Tony Burke berkata, ikan paus itu boleh membesar sehingga lebih 30 meter dan mencecah berat 180 tan.
Menurutnya, lidah mamalia itu lebih berat daripada seekor gajah manakala hati ikan tersebut sebesar sebuah kereta yang kecil.
Setakat ini, para saintis tidak banyak mengetahui tentang kehidupan ikan paus itu. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0329&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2Ow0JtXuL 
Hakcipta terpelihara 

AS hantar pesawat kalis radar



GAMBAR menunjukkan pesawat B-2 Stealth terbang di sebuah pangkalan tentera Amerika Syarikat di Pyeongtaek, selatan Seoul semalam.


SEOUL - Tentera Amerika Syarikat (AS) menyatakan, sebanyak dua buah pesawat pengebom nuklear B-2 Stealth terbang di ruang udara Korea Selatan semalam.
Penghantaran pesawat itu adalah bagi memberi mesej kepada Korea Utara bahawa AS komited untuk mempertahankan Korea Selatan daripada sebarang serangan.
Pesawat-pesawat yang tidak boleh dikesan dengan radar itu dibuat selepas Korea Utara memutuskan talian komunikasinya dengan Korea Selatan.
Roket-roket milik Korea Utara juga diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga untuk menyerang pangkalan-pangkalan AS di rantau Pasifik.
Tindakan Korea Utara itu dibuat selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melakukan sekatan barang mewah ke negara itu selepas rejim Pyongyang melancarkan ujian nuklear ketiga pada bulan Februari lalu.
Pesawat-pesawat B-2 Stealth itu berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Whiteman di Missouri.
Ia terbang sejauh 20,800 kilometer ke Korea Selatan.
Menurut Tentera AS dalam satu kenyataan, sebutir bom palsu digugurkan dari pesawat itu di sebuah lokasi di selatan Korea Selatan sebagai sebahagian daripada latihan ketenteraan.
Kedua-dua pesawat itu menyertai latihan ketenteraan dengan tentera Korea Selatan yang telah mencetuskan kemarahan Korea Utara.
Korea Utara yang dipimpin Kim Jong-un yang berusia dalam lingkungan 30-an selepas kematian bapanya, Kim Jong-il pada April tahun lalu mengancam untuk melancarkan Perang Korea Kedua dan serangan nuklear ke atas Korea Selatan dan AS. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0329&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2Ow0FV4PZ 
Hakcipta terpelihara