Pages

Friday, November 25, 2011

Pengikut Saleh tembak penentang


SANAA 24 Nov. - Pengikut setia kepada Presiden Yemen, Ali Abdullah Saleh menembak mati sekurang-kurangnya empat orang di bandar raya ini hari ini, sehari selepas Saleh bersetuju untuk berundur setelah 33 tahun berkuasa.

Insiden tembakan itu berlaku ketika beribu-ribu orang berhimpun sempena protes besar-besaran menentang jaminan kekebalan daripada tindakan undang-undang terhadap Saleh dan keluarganya di bawah perjanjian dengan ahli Parlimen pembangkang yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Aktivis yang melancarkan protes sejak 10 bulan lalu, menentang pemerintahan Saleh mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran bagi menentang pemberian kekebalan terhadap presiden itu dalam perjanjian yang ditandatangani di Riyadh, semalam.

Mengikut perjanjian yang dikelola Majlis Kerjasama Teluk (GCC) itu, Saleh akan terus menjadi presiden selama 90 hari selepas menyerahkan kuasanya kepada Naib Presiden Abdrabuh Mansur Hadi untuk mengendalikan kerajaan sementara dan pilihan raya.

Menurut aktivis, perjanjian penyerahan kuasa itu tidak membawa perubahan sebenar kepada rejim. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Fatah-Hamas adakan rundingan perpaduan


KAHERAH 24 Nov. - Pemimpin Palestin, Mahmoud Abbas dan ketua pergerakan Hamas, Khaled Meshaal bertemu di ibu negara Mesir hari ini dalam usaha melaksanakan satu perjanjian perpaduan yang tertangguh sejak lebih enam bulan.

Pertemuan itu menimbulkan harapan baru dalam mewujudkan perpaduan antara pergerakan Fatah pimpinan Abbas dan Hamas.

''Abbas ingin menggunakan semua usaha dalam mencapai perjanjian itu dan penyatuan politik,'' kata pegawai kanan Fatah, Azzam al-Ahmed hari ini.

Beliau berkata, agenda pertemuan tersebut telah ditetapkan semalam dan tiada jangka waktu ditetapkan.

''Pertemuan ini akan memfokus kepada agenda politik dan prospek masa depan Palestin selepas Israel bersifat keras kepala dalam rundingan damai,'' katanya.

Beliau memberitahu, ia juga akan menangani beberapa isu seperti Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), pembentukan kerajaan dan menghadapi cabaran pelaksanaan perjanjian penyatuan.

''Selepas pertemuan ini, mereka akan mengumumkan satu tarikh untuk pertemuan pusingan baru antara kumpulan Palestin di Kaherah pada bulan depan di mana semua isu akan dibincangkan termasuk pembentukan kerajaan,'' katanya.

Pemimpin nombor dua Hamas, Mussa Abu Marzuk berkata, pihaknya mahu membuka lembaran baru dan harapan kepada rakyat Palestin.

Fatah dan Hamas yang masing-masing mentadbir Tebing Barat dan Semenanjung Gaza, menandatangani perjanjian penyatuan pada Mei lalu untuk menamatkan permusuhan antara mereka namun sehingga sekarang masih belum melaksanakan perjanjian tersebut. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Pilihan raya tetap diteruskan



Seorang penunjuk perasaan membawa bendera Mesir ketika polis rusuhan melepaskan gas pemedih mata semasa pertempuran di jalan raya menuju ke Kementerian Dalam Negeri, berhampiran Dataran Tahrir di Kaherah, kelmarin. – REUTERS


KAHERAH 24 Nov. – Majlis tentera Mesir berkata, rakyat negara ini perlu memberi tumpuan kepada pilihan raya Parlimen yang bermula minggu depan, membayangkan ia tetap diteruskan seperti yang telah dijadualkan pada 28 November ini walaupun pergolakan semakin berleluasa.

Tentera Mesir turut menolak permintaan penunjuk perasaan yang mahukan mereka menamatkan penguasaan kerana tindakan berundur adalah umpama mengkhianati kepercayaan rakyat.

Sementara itu, pertempuran antara penunjuk perasaan dan polis anti-rusuhan Mesir terhenti buat pertama kalinya malam tadi, walaupun Dataran Tahrir masih diduduki dan kumpulan protes berjanji tidak akan berganjak sehinggalah tentera menyerahkan kuasa.

“Kami mahu menghentikan pertempuran ini kerana ramai yang telah terkorban. Mereka hanya anak-anak muda yang membaling batu ke arah polis,” kata seorang penunjuk perasaan, Osama Abu Seree, 30.

Pertempuran terhenti di Dataran Tahrir dan beberapa tempat lain selepas penunjuk perasaan mencapai persetujuan dengan polis untuk kekal di dataran di tengah Kaherah itu.

“Dia berambus, kami menang,” menurut satu sepanduk yang merujuk kepada Pengerusi Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata Mesir, Mohamed Hussein Tantawi.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Mansour el-Essawy membentangkan satu laporan kepada majlis tentera mencadangkan penangguhan pilihan raya Parlimen yang dijadualkan pada 28 November ini, lapor televisyen Al Jazeera hari ini.

Pilihan raya yang dijadual pada Isnin ini itu adalah pilihan raya bebas pertama Mesir dalam tempoh beberapa dekad.

Pihak tentera dan Ikhwan Muslimin, mahu pilihan raya itu diteruskan, tetapi kebanyakan penunjuk perasaan tidak meletakkan kepercayaan kepada tentera untuk memastikan ia berjalan dengan adil dan tulus.

Kira-kira 40 juta orang layak mengundi dalam pilihan raya Parlimen ini sejak penggulingan bekas Presiden Hosni Mubarak pada Februari lalu.

Pengundi akan memilih seramai 498 anggota Dewan Rendah dan Parlimen, manakala 10 anggota lagi akan dilantik oleh Tantawi.

Satu pertiga daripada anggota itu akan dipilih berdasarkan calon individu, sementara dua pertiga lagi akan menggunakan sistem senarai seimbang.

Dalam pilihan raya itu, Mesir yang mempunyai 27 wilayah akan dibahagikan kepada tiga pusingan di mana setiap pusingan dijarakkan seminggu. – Ap/REUTERS/AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

'Kekejaman Khmer Rouge cerita dongeng'

  BEKAS pemimpin Khmer Rouge yang   dibicarakan atas dakwaan jenayah perang  (dari kiri) Ieng Sary, Nuon Chea dan Khieu Samphan.
BEKAS pemimpin Khmer Rouge yang dibicarakan atas dakwaan jenayah perang (dari kiri) Ieng Sary, Nuon Chea dan Khieu Samphan.
3 bekas pemimpin tolak dakwaan jenayah perang

PHNOM PENH: Bekas pemimpin tertinggi Khmer Rouge, Khieu Samphan, semalam menyifatkan pendakwa menceritakan kisah dongeng dalam perbicaraan jenayah perang bersejarah membabitkan beliau dan dua defendan lain, selain terus percaya bahawa kebanyakan rakyat Kemboja menyokong rejim itu.
Khieu Samphan dibicarakan bersama dua lagi tertuduh didakwa melakukan jenayah perang, jenayah kemanusiaan dan pembunuhan beramai-ramai menyebabkan kematian dua juta rakyat negara itu ketika pemerintahan Khmer Rouge pada 1975 hingga 1979.
Tidak kira sama ada anda suka atau tidak, majoriti rakyat Kemboja menyokong. - Khieu Samphan, Tokoh nombor dua Khmer Rouge
Pendakwa memulakan perbicaraan yang ditunggu-tunggu itu dengan memberitahu kamar mahkamah penuh sesak mengenai kezaliman era ‘Killing Fields’, melakar defendan sebagai ‘pembunuh satu generasi penduduk Kemboja.’

Tuduhan itu disangkal Khieu Samphan, 80, ketika menjawab soalan dalam kandang saksi.

“Anda nampaknya mahu semua orang dengar kisah dongeng. Saya dapat rasa anda mahu saya dihukum mati,” katanya dalam keterangan selama sejam itu.
Tokoh nombor dua, Khieu Samphan, Nuon Chea dan bekas Menteri Luar rejim itu, Ieng Sary, menafikan semua dakwaan terhadap mereka berkaitan rejim komunis itu.
Diketuai Pol Pot, yang meninggal dunia pada 1998, Khmer Rouge mengosongkan bandar raya, memansuhkan penggunaan wang dan agama serta membunuh hampir satu pertiga rakyat Kemboja.

Orang kuat Pol Pot, Nuon Chea, kelmarin turut menolak semua tuduhan terhadapnya, mendakwa dia berkhidmat kepada negara dan rakyat dengan mempertahankan Kemboja daripada penceroboh Vietnam.

Dalam nada sama, Khieu Samphan berkata, dia bertindak untuk mempertahankan negara selepas rampasan kuasa pada 1970 yang mewujudkan kerajaan pro-Amerika Syarikat diketuai Lon Nol.

“Tidak kira sama ada anda suka atau tidak, majoriti rakyat Kemboja menyokong kerana kami menentang rejim Lon Nol,” katanya.

Pendakwaan menegaskan defendan tahu mengenainya dan terbabit dalam jenayah seperti paksaan berpindah, perhambaan buruh, pembunuhan musuh dan pembunuhan beramai-ramai penduduk Islam Cham dan etnik Vietnam. – AFP
Berita Harian Online | 'Kekejaman Khmer Rouge cerita dongeng':

'via Blog this'

Bau busuk bongkar rahsia



ANGGOTA polis mengangkat mayat Song Moi yang ditemui mati dibunuh di dalam bilik rumahnya di Taman Jaya, Jalan Langgar, Alor Setar kelmarin.


ALOR SETAR - Seorang lelaki yang menyangka ibunya bermalam di rumah adik-beradik lain selepas tidak kelihatan sejak tiga hari lalu terkejut apabila menemui mayat peniaga mi tersebut terbaring dengan satu tikaman di leher kelmarin.

Kejadian pukul 11.41 malam di Taman Jaya, Jalan Langgar di sini itu terbongkar apabila Tan Ching Yun, 30-an, bertindak memecahkan pintu bilik ibunya, Heng Song Moi, 59, yang berkunci selepas terhidu bau busuk.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Curi kereta beli dadah



ABDUL RAZAK menunjukkan kereta Proton Waja curi yang dirampas daripada tiga lelaki di Serdang semalam.


SERDANG – Siapa sangka seorang lelaki yang cacat kakinya tergamak menjadi mata-mata bagi satu sindiket mencuri kereta bergelar Geng Waja sebagai jalan mudah untuk mendapatkan wang bagi membeli dadah.

Bagaimanapun, kegiatan jahat suspek bersama dua lagi rakannya yang normal sejak beberapa tahun lalu berkubur apabila kesemuanya ditahan Isnin lalu. Polis turut merampas tiga buah kereta jenis Proton Waja yang dicuri di sekitar Lembah Klang.

Difahamkan, lelaki berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU) itu ditugaskan untuk memantau keadaan sekeliling ketika dua rakannya menghampiri kereta yang menjadi sasaran.

Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abdul Razak Elias, lelaki OKU itu dan seorang rakannya yang menaiki sebuah kereta Waja cuba melarikan diri ketika diarahkan berhenti berhampiran Kolej Seri Kembangan di sini.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Harga purata emas naik 27 peratus setahun



MEMILIKI barangan kemas menjadi impian setiap wanita, meskipun pelaburannya menelan belanja yang tinggi namun ia tetap menawarkan pulangan yang menguntungkan.


KUALA LUMPUR - Peluang melabur dalam bentuk simpanan emas tidak harus dilepaskan memandangkan ia mencatat kenaikan harga purata sebanyak 27 peratus setahun dan bakal menggandakan nilai harta pelabur.

Penasihat korporat Serambi Emas Sdn. Bhd. (Serambi Emas), Datuk Salleh Majid berkata, ini merupakan salah salah portfolio pelaburan yang menguntungkan khususnya bagi masyarakat Melayu yang masih ketinggalan daripada aspek memiliki aset kekayaan.

Bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini dikenali sebagai Bursa Malaysia) itu menjelaskan, cara belian emas yang menguntungkan ialah dengan menggunakan kemudahan Ar-Rahnu.

Menurutnya, kaedah itu dapat mengelakkan daripada sebarang kecurian atau unsur-unsur penipuan memandangkan ketulenan emas itu disahkan oleh pihak ketiga.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Mangsa kebakaran Indian Settlement tagih bantuan



PAKIRI (kanan) bersama penduduk kampung meninjau tapak kebakaran lapan buah rumah di Indian Settlement, Batu Lapan, Gombak semalam.


GOMBAK - Penduduk di Indian Settlement, Batu Lapan di sini yang kehilangan rumah dan harta benda mereka dalam kejadian kebakaran, menagih bantuan kewangan daripada Kerajaan Pusat supaya mereka dapat membina rumah baharu.

Dalam kejadian pada pukul 8.30 malam Sabtu lalu, sebanyak lapan buah rumah teres yang diperbuat daripada papan hangus menyebabkan hampir 45 penduduk tinggal sehelai sepinggang.

Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kehilangan nyawa berlaku dalam kejadian yang pertama kali berlaku di kampung itu sejak ia wujud 140 tahun lalu.

Ketua kampung itu, S. Pakiri berkata, sebanyak lapan keluarga yang rumah mereka hangus sama sekali kini ditempatkan buat sementara di sebuah dewan di kampung itu

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Banjir di 2 negeri semakin buruk



BEBERAPA penduduk terpaksa mengharung air semasa menuju ke pusat pemindahan banjir di Kampung Serungga, Repek, Pasir Mas semalam.


KUALA TERENGGANU – Keadaan banjir di Terengganu dan Kelantan semakin buruk apabila jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan terus bertambah semalam.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negeri Terengganu berkata, seramai 2,717 orang telah ditempatkan di 46 buah pusat pemindahan di lima buah daerah di negeri tersebut.

Katanya, daerah paling terjejas teruk ialah Setiu apabila seramai 1,540 mangsa daripada 400 keluarga telah dipindahkan ke 16 buah pusat pemindahan.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Maut disengat tebuan



ANAK Ghani, Abd. Hafiz melihat tempat bapanya diserang tebuan tanah hingga mengakibatkan lelaki itu maut di Kampung Pecah Batu, Marang kelmarin.


MARANG - Seorang lelaki sempat menunggang motosikal untuk mandi di rumah selepas disengat berpuluh ekor tebuan tanah yang 'mengamuk' apabila sarangnya diganggu sebelum mangsa menemui ajal empat jam kemudian dalam kejadian di Kampung Pecah Batu dekat sini kelmarin.

Ghani Mamat, 58, yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Hutan Banau disahkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu pada pukul 5 petang akibat serangan jantung yang berpunca daripada bisa sengatan itu.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Syarikat kutip organ palsu manusia



SEBUAH kotak yang mengandungi organ palsu manusia berada di tepi seorang pekerja di syarikat OrthoMetals di Zwolle, Belanda pada 14 November lalu.


ZWOLLE, Belanda - Sebuah syarikat di sini mengumpul dan menjual organ palsu manusia sebagai barang lusuh untuk dikitar semula.

Syarikat OrthoMetals mendapat bekalan organ palsu manusia daripada 450 rumah pembakaran mayat di 15 buah negara Eropah secara percuma.

Pengarah OrthoMetals, Ruud Verberne berkata, antara organ palsu yang diasingkan sebelum mayat dibakar pada suhu 900 darjah Celsius itu termasuk paha, lutut dan implan logam.

Menurutnya, keluarga dan saudara-mara si mati lebih rela melihat organ palsu orang kesayangan mereka dikitar semula daripada ia dibuang ke tong sampah.

Verberne berkata, sejumlah 200 tan logam berharga dikumpul dari rumah-rumah pembakaran mayat di Eropah pada setiap tahun.

Di gudang syarikat tersebut, pelbagai peralatan palsu itu diasingkan mengikut kategori seperti besi, titanium dan kobalt kromium dan kemudian dijual kepada pembeli barang lusuh dengan mengikut harga pasaran. - AP

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Duit siling kuno ditemui di Baitulmuqaddis



SALAH satu duit siling kuno yang ditemui di belakang Tembok Ratapan di Bandar Lama, Baitulmuqaddis dipamerkan kepada wartawan kelmarin.


BAITULMUQADDIS, Israel - Sepasukan ahli arkeologi Israel menemui sejumlah duit siling kuno dekat Tembok Ratapan di Bandar Lama di sini.

Beberapa ahli arkeologi berkata, duit siling berkenaan yang digunakan sekitar 15 Tahun Masihi ditemui di dalam tempat mandi orang Yahudi di kaki dinding barat Kuil Kedua.

Menurut mereka kelmarin, kuil itu dimusnahkan oleh tentera Rom pada tahun 70 Tahun Masihi.

Semasa penggalian dilakukan, ahli-ahli arkeologi menemui tempat mandi itu yang digelar mikveh.

Ia ditutup dengan batu-bata untuk memberi laluan kepada pembinaan tembok tersebut yang dibina di atas tempat mandi berkenaan.

Siling kuno itu ditemui di bahagian tempat mandi yang tidak ditimbus.

"Sehingga hari ini, adalah dipercayai bahawa semua tembok berkenaan telah dibina oleh Raja Herod," kata seorang pakar arkeologi Pihak Berkuasa Antikuiti Israel, Eli Shakoun yang mengetuai kerja-kerja menggali bersama Profesor Ronny Reich dari Universiti Haifa.

"Apabila kami menemui duit siling ini yang bertarikh 20 tahun selepas kematian Raja Herod, kami merumuskan bahawa bukan raja berkenaan yang membina bahagian tembok ini," katanya. - AFP

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Pemuda tampar muka Menteri Pertanian India



HARVINDER SINGH yang menampar Menteri Pertanian India, Sharad Pawar, ditahan dalam sebuah kereta polis di New Delhi semalam.


NEW DELHI – Seorang pemuda menampar muka Menteri Pertanian India, Sharad Pawar semalam untuk menarik perhatian berhubung kenaikan harga makanan dan amalan rasuah di negara berkenaan.

Ketika kejadian, Pawar yang berusia 71 tahun sedang bercakap kepada sekumpulan pemberita dalam satu majlis politik apabila dia diserang oleh lelaki tersebut.

Beberapa laporan berita televisyen menyatakan, lelaki itu menjerit slogan tentang harga makanan yang melambung tinggi dan gejala rasuah.

Imej di stesen televisyen menunjukkan penyerang itu memegang sebilah pisau semasa dia ditarik keluar oleh beberapa pengawal keselamatan dan pembantu Pawar.

“Tahukah anda kenapa saya memukul beliau? Orang ramai di negara ini tertekan. Adakah saya salah?” jerit lelaki itu semasa dia dibawa keluar oleh beberapa pengawal keselamatan peribadi yang menangkapnya.

Stesen televisyen tempatan, CNN-IBN TV melaporkan penyerang itu kini ditahan polis.

Menurut agensi berita AP, Pawar tidak cedera teruk dalam insiden tersebut.

Menurut laporan agensi berita Bernama, Pawar yang memberi reaksi mengenai kejadian itu menyatakan perbuatan itu adalah bodoh.

Ketika ditanya sama ada dia akan mengemukakan dakwaan terhadap penyerangnya, menteri itu berkata, terpulang kepada polis untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Pawar berkata, penyerang itu dilihatnya berdiri dalam kumpulan wartawan dan dia mungkin mengambil kesempatan daripada kawalan keselamatan yang longgar.

Semasa ditampar, Pawar hilang imbangan badan dan kelihatan tidak peduli dengan kejadian itu sebelum menuju ke pintu keluar auditorium dan memasuki sebuah kereta yang sedang menunggunya.

“Saya merancang untuk datang ke majlis itu untuk menampar menteri tersebut,” kata penyerang Pawar, Harvinder Singh.

Perdana Menteri India, Manmohan Singh turut mengutuk kejadian itu. – Agensi

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Pertempuran di Kaherah ditamatkan


SEJUMLAH penunjuk perasaan berdiri di belakang kawat berduri di Dataran Tahrir, Kaherah semalam.


KAHERAH - Polis dan kumpulan penunjuk perasaan bersetuju untuk mengelakkan konfrontasi selepas kedua-dua belah pihak bertempur di jalanan sejak lima hari lalu dengan menyebabkan sekurang-kurangnya 40 orang terbunuh.

Dalam perkembagan yang sama, tentera Mesir yang memerintah Mesir buat sementara juga mengeluarkan kenyataan bagi memohon maaf ekoran kehilangan nyawa orang awam.

Pihak tentera berikrar akan membawa ke muka pengadilan mereka yang bertanggungjawab menyebabkan kematian penunjuk perasaan di Dataran Tahrir dan tempat-tempat lain di Mesir.

Sehingga semalam, askar-askar menggunakan palang besi dan pagar berduri untuk membina halangan yang memisahkan penunjuk perasaan dengan pihak polis di jalan-jalan keluar dari Dataran Tahrir ke Kementerian Dalam Negeri.

Kebanyakan pertempuran melibatkan penunjuk perasaan dan polis berlaku di jalan-jalan tersebut.

Keputusan untuk tidak berkonfrontasi itu berkuat kuasa sekitar pukul 6 pagi waktu Mesir.

Polis dan penunjuk perasaan bersetuju untuk berhenti bertempur selepas dinasihati oleh beberapa ulama tempatan.

Jalan-jalan raya di mana pertempuran berlaku hampir keseluruhannya dilitupi serpihan, debu, kasut dan topeng muka yang digunakan penunjuk perasaan untuk melindungi diri daripada gas pemedih mata polis.

Kekacauan di sekitar Dataran Tahrir yang bermula pada Sabtu lepas merupakan keganasan berterusan yang paling panjang sejak kebangkitan rakyat selama 18 hari yang menyebabkan Presiden Hosni Mubarak meletak jawatan pada 11 Februari lalu.

Junta tentera mengambil alih pemerintahan negara buat sementara waktu selepas Hosni meletakkan jawatan. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Thursday, November 24, 2011

Rakyat tolak janji Hussein

KAHERAH: Beribu-ribu rakyat Mesir menunjuk perasaan di Dataran Tahrir semalam, menuntut pemerintahan tentera ditamatkan meskipun pemimpin sementara negara itu berjanji untuk menyerahkan kuasa kepada presiden yang dipilih menjelang pertengahan 2012.

Ketua pemerintah tentera, Hussein Tantawi yang menjadi Menteri Pertahanan ketika pemerintahan Hosni Mubarak tetapi mengambil alih kuasa selepas bekas presiden itu disingkirkan pada Februari lalu, berikrar dalam ucapan menerusi televisyen kelmarin untuk mengadakan pilihan raya presiden akhir Jun depan.


Beliau juga menyatakan kesediaan untuk menyerahkan kuasa serta-merta menerusi satu pungutan suara ‘jika rakyat berkehendakkan begitu.’ Bagaimanapun, puluhan ribu rakyat Mesir yang menyertai perhimpunan antitentera di Dataran Tahrir selepas berita mengenai ucapannya tersebar berkata, mereka tidak mempercayai walau sepatah perkataan yang diucap Hussein.

“Kami tidak boleh mempercayai kata-katanya. SCAF tidak melakukan apa-apa walaupun sudah berbulan-bulan berkuasa,” kata Ibtisam al-Hamalawy, 50, merujuk kepada Majlis Tertinggi Angkatan Tentera.


“Hussein ialah Mubarak yang berpakaian tentera,” kata akauntan, Ahmed Mamduh, 35.


Penunjuk perasaan di Dataran Tahrir membayangkan mereka tidak mahu mendengar apa-apa kecuali pengumuman menamatkan pemerintahan tentera.

Sejak penggulingan Hosni, kemarahan penunjuk perasaan terhadap masjlis tentera semakin meningkat.


Mereka menuduh majlis itu melanjutkan pemerintahan rejim lama dan bertindak ganas seperti era Hosni dalam usaha mengekang bantahan.

Tunjuk perasaan terbesar yang terbaru itu bermula Sabtu lalu, membawa kepada perletakan Kabinet, hanya seminggu sebelum pilihan raya Parlimen diadakan, yang pertama sejak Mubarak disingkir.


“Revolusi kedua,” tajuk akhbar prokerajaan, Al-Akhbar, dalam edisinya semalam.


“Perkara paling berbahaya yang boleh berlaku ialah hubungan yang semakin buruk antara tentera dan kerajaan,” kata akhbar itu. - AFP

myMetro | Rakyat tolak janji Hussein:

'via Blog this'

Mohamed ElBaradei kecam keganasan pasukan keselamatan

KAHERAH: Bakal calon Presiden Mesir, Mohamed ElBaradei (gambar) semalam menuduh pasukan keselamatan melakukan ‘pembunuhan beramai-ramai’ ke atas penunjuk perasaan antitentera.’

“Gas pemedih mata dengan racun saraf dan peluru hidup digunakan terhadap orang awam di Dataran Tahrir di Kaherah. Mereka melakukan pembunuhan berama-ramai,” kata Mohamed dalam laman Twitternya.


Terdahulu, sumber tentera memberitahu AFP, majlis tentera berbincang kemungkinan melantik bekas ketua agensi pemerhati nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu untuk mengetuai kerajaan baru selepas perletakan jawatan Kabinet Isnin lalu.

Majlis Tertinggi Angkatan Tentera (SCAF) berdepan dengan krisis paling buruk sejak mengambil alih kuasa berikutan penggulingan Hosni Mubarak Februari lalu.


Menurut Kementerian Kesihatan, sekurang-kurangnya 28 orang terbunuh sejak Sabtu lalu apabila pasukan pasukan keselamatan bertindak ganas untuk menyuraikan penunjuk perasaan. - AFP

myMetro | Mohamed ElBaradei kecam keganasan pasukan keselamatan:

'via Blog this'

Pesawat terhempas elak orang kampung lintas landasan

TIMIKA (Indonesia): Sebuah pesawat kecil terhempas ke kawasan pergunungan sejurus selepas membatalkan pendaratan di kawasan terpencil di wilayah Papua, semalam, membunuh seorang pembantu juruterbang warga Sepanyol.

Menurut pegawai penyelamat tempatan, juruterbang pesawat itu terselamat, tetapi mengalami kecederaan parah.


Ketua agensi penyelamat tempatan, Sumpeno Yuwono, berkata juruterbang terbabit membatalkan cubaan mendarat di lapangan terbang kecil di daerah Paniai selepas melihat ada orang kampung berkeliaran di landasan.

“Selepas meninggalkan kawasan itu, pesawat Cessna Grand Caravan milil Susi Air itu terhempas ke kawasan pergunungan kira-kira 11 kilometer dari situ,” katanya.


Menurut Sumpeno, juruterbang warga New Zealand itu dikejarkan ke hospital di bandar Timika, manakala mayat rakannya dihantar ke lapangan terbang berhampiran.


Seperti kebanyakan kawasan terpencil, landasan pendaratan di Paniai tidak berpagar dan orang kampung biasanya menjadikan ia laluan pintas.

Malah, kadang-kadang ada kanak-kanak menjadikannya sebagai padang permainan bola sepak. Pesawat itu terbang dari Nabire untuk menghantar makanan ke perkampungan di Timika. - AFP

myMetro | Pesawat terhempas elak orang kampung lintas landasan:

'via Blog this'

Bekas pengetua terbabit pornografi dijel 30 tahun

DUBUQUE (Amerika Syarikat): Seorang bekas guru besar sekolah rendah di Iowa dihukum penjara 30 tahun, semalam selepas mengaku bersalah atas dakwaan menghasilkan pornografi kanak-kanak membabitkan murid sekolahnya.

Robert Burke, 43, mengaku sebagai pemimpin sebuah sekolah di Dubuque, Iowa, dia menggunakan kamera video yang tersembunyi di bilik air sekolah untuk merakam secara rahsia alat sulit murid lelaki,” kata Jabatan Perundangan Amerika Syarikat.


Burke juga mengakui menyimpan video itu di komputer di kediamannya.

Kegiatannya terbongkar selepas ejen Biro Siasatan Persekutuan (FBI) di Washington memuat turun lapan imej pornografi kanak-kanak yang dikesan dari kediaman Burke. Bagaimanapun, Berke menegaskan dia tidak menyentuh mana-mana kanak-kanak berkenaan secara seksual.


Ujian forensik daripada peralatan komputer Burke turut mendedahkan tiada bukti menunjukkan dia berkongsi video yang dihasilkannya itu dengan pihak lain di sekolah.


Selain hukuman 360 bulan penjara, Burke turut didenda AS$25,000 (RM80,000).

myMetro | Bekas pengetua terbabit pornografi dijel 30 tahun:

'via Blog this'

Tali barut CIA kena cekup




2011/11/23

Hizbullah, Iran guna alat perisik AS kesan pembelot

WASHINGTON: Amerika Syarikat mendapat tamparan hebat apabila pergerakan Hizbullah berjaya mengenal pasti dan menahan pemberi maklumat di kalangan anggotanya yang bekerja untuk Agensi Perisikan Pusat (CIA).
Selain itu, dalam perkembangan berasingan di Teheran, pegawai di Iran turut berjaya membongkar identiti beberapa orang yang didakwa menjadi pemberi maklumat CIA.
Bekas pegawai Amerika berkata, pemberi maklumat CIA, dipercayai direkrut di kalangan rakyat tempatan berjaya dikenal pasti disebabkan kecuaian dalam prosedur kerja dikenali dalam dunia penyamaran sebagai ‘tradecraft’ yang digunakan agensi berkenaan.

Oleh itu, bekas pegawai operasi CIA, Bob Baer, yang bukunya dijadikan filem Hollywood, Syriana, berkata kemampuan Hizbullah tidak boleh dipandang rendah.

“Sistem keselamatan Hizbullah setanding dengan agensi lain di dunia. Ia lebih baik daripada agensi perisikan Russia, KGB,” kata Baer.

Satu sebab Hizbullah berjaya membongkar pengintip ialah kerana ia mempunyai pengaruh besar hingga dapat memaksa pasukan keselamatan Lubnan menyerahkan komunikasi sulit dan peralatan pengintipan dibekalkan Amerika.
Ia kemudian menggunakan peralatan itu untuk mengenal pasti dan mengesan pemberi maklumat CIA. – Reuters
Berita Harian Online | Tali barut CIA kena cekup:

'via Blog this'

Rakyat Mesir sahut gesaan terus protes

PENUNJUK perasaan veteran memakai topeng bagi mengelak  gas pemedih mata ketika menyertai protes  di Dataran Tahrir, semalam.
PENUNJUK perasaan veteran memakai topeng bagi mengelak gas pemedih mata ketika menyertai protes di Dataran Tahrir, semalam.
Desak majlis tentera yang memerintah serah kuasa

KAHERAH: Rakyat Mesir beramai-ramai menuju ke Dataran Tahrir semalam untuk perhimpunan besar-besaran menuntut menamatkan pemerintahan tentera, meningkatkan ketegangan selepas pertempuran selama beberapa hari dianggap mengancam pilihan raya perundangan minggu depan.
Aktivis Perikatan Revolusi Belia dan gerakan 6 April menggesa protes bermula di Dataran Tahrir pada 4 petang waktu tempatan (12 tengah malam di Malaysia).
Kerajaan awam yang dilantik tentera mengumumkan peletakan jawatannya kelmarin tetapi televisyen memetik sumber Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata (SCAF) sebagai berkata, ia ditolak tentera.

Keputusan kerajaan dan tindakan SCAF disusuli pertempuran antara penunjuk perasaan dan anggota keselamatan dekat bangunan Kementerian Dalam Negeri.

Pencegah rusuhan melepaskan tembakan peluru getah dan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan yang menggunakan batu dan bom petrol.

Penunjuk perasaan lain membantu mereka yang cedera untuk mendapatkan rawatan di ambulans dekat situ.
Penunjuk perasaan di Dataran Tahrir, pusat demonstrasi yang menumbangkan pemerintahan Hosni Mubarak Februari lalu, melaungkan slogan mengecam SCAF dan polis.

“Kementerian Dalam Negeri pembunuh,” laung penunjuk perasaan menjelang perhimpunan beramai-ramai itu.

Pasukan perubatan berkata, dua terbunuh awal semalam, menjadikan angka yang terkorban akibat pertempuran antara pasukan keselamatan dan penunjuk perasaan sejak Sabtu lalu meningkat kepada 28.

Dalam usaha menangani krisis itu, SCAF menjemput semua parti politik dan kebangsaan menyertai rundingan penting semalam, lapor media.

Pertubuhan Ikhwanul Muslimin berkata, ia akan mengambil bahagian dalam rundingan itu tetapi tiada petunjuk sama ada pihak yang menggesa bantahan itu akan hadir.

Amerika Syarikat berkata, ia amat bimbang dengan keganasan dan mendesak pilihan raya demokratik manakala Amnesty International menuduh rekod SCAF mencabul hak asasi manusia lebih buruk daripada era Mubarak.

SCAF berkata, ia meminta Kementerian Kehakiman menubuhkan jawatankuasa menyiasat keganasan dan menggesa semua pihak dan rakyat berusaha mengembalikan keamanan, dan mewujudkan persekitaran stabil dengan matlamat mengadakan proses politik. – AFP
Berita Harian Online | Rakyat Mesir sahut gesaan terus protes:

'via Blog this'