Pages

Saturday, July 2, 2011

Pegawai bank letak jawatan untuk jadi bomoh





CAPE TOWN – Seorang pegawai bank Britain, Thomas Heathfield (gambar) sanggup meletakkan jawatan untuk menjadi seorang bomoh selepas dia menjalani latihan tiga bulan bersama beberapa pakar di sebuah desa di pedalaman Afrika Selatan, lapor sebuah akhbar semalam.

Heathfield, 32, menari tarian tradisi suku kaum tempatan setiap malam pada pukul 2.30 pagi dan memuntahkan darah kambing untuk lulus latihan perbomohan tersebut.

Dia juga perlu tidur di dalam semak, memakai jubah tradisional dan memburu bahagian badan haiwan yang disembunyikan penduduk tempatan.

Setelah menamatkan ujiannya, Heathfield diiktiraf sebagai bomoh atau sangoma di Afrika Selatan dan dia turut diberi nama tempatan, Gogo Mndawe dalam satu upacara pada minggu ini.

“Sukar untuk saya mempercayainya tetapi saya akhirnya selesai menjalani latihan ini,” kata Heathfield.

Ibu bapanya yang tinggal di Berkshire, England turut menghadiri upacara tersebut.

Menurut lelaki itu, dia rela melalui proses sukar untuk menjadi bomoh kerana mahu mengubah nasib malangnya sejak sedekad lalu termasuk ditinggalkan oleh beberapa teman wanitanya. – Agensi! Online - Dunia

Kejutan Zuckerberg minggu depan


KOMPUTER tablet iPad keluaran syarikat Apple.


SEATTLE, Amerika Syarikat (AS) - Pengasas bersama Facebook, Mark Zuckerberg mengumumkan bahawa laman jaringan sosial terbesar di dunia itu akan melancarkan 'sesuatu yang hebat' pada minggu depan.

Sebuah akhbar semalam melaporkan komen Zuckerberg pada Rabu lepas itu mencetuskan spekulasi bahawa Facebook memperkenalkan aplikasi terbaharu untuk kegunaan telefon bimbit atau komputer tablet seperti iPad.

iPad kini menjadi popular dan dikeluarkan syarikat Apple.

Tanpa mengulas lanjut, Zuckerberg dalam satu sidang media di pejabatnya di sini memberitahu, produk terbarunya akan dilancarkan dalam masa terdekat.

Facebook memiliki lebih 500 juta pengguna sejak ia dilancarkan pada Februari 2004.

Laman sosial berkenaan merupakan pesaing utama gergasi Internet seperti Google dan Yahoo untuk merebut pelanggan dan iklan. - Agensi! Online - Dunia

Kereta terbaharu BMW dalam Mission Impossible


BENTUK kereta BMW i8.


LOS ANGELES - Siri keempat filem aksi Mission Impossible yang dibintangi oleh aktor Tom Cruise akan memaparkan penggunaan kereta mewah dan berteknologi tinggi, sebuah kereta BMW i8.

Syarikat automotif BMW telah mengesahkan bahawa kenderaan futuristik i8 hibrid elektrik diesel itu buat pertama kali akan muncul dalam filem tersebut.

Paparan treler filem Mission Impossible: Ghost Protocol menunjukkan kereta BMW i8 tiba di Hotel Ritzy, Dubai iaitu lokasi penggambaran filem itu manakala pelakon pembantu, Paula Patton dengan penuh bergaya keluar dari bahagian penumpang.

Kereta BMW i8 yang berharga AS$160,000 (RM481,679) memberikan pemanduan penuh dengan gaya hebat.

Cruise memegang watak sebagai perisik Ethan Hunt dalam filem tersebut.

"Jika anda adalah perisik Ethan Hunt, kenderaan ini sememangnya sesuai di sisinya. BMW i8 menjanjikan kelajuan dari 0 hingga 96.56 kilometer sejam dalam tempoh lima saat.

"Kereta itu dikuasakan dengan 328 kuasa kuda diesel-elektrik yang mempunyai kelajuan tertinggi iaitu 249.45 kilometer sejam manakala bahan api pula 100.58 kilometer untuk 3.78 liter. Dalam erti kata lain, ia merupakan kenderaan perjalanan jauh yang sempurna," jelas pihak BMW. - Agensi! Online - Dunia

Kereta meletup di selatan Thai



SEORANG anggota skuad bom Thailand berada di tepi sebuah kereta Honda yang meletup di Narathiwat, selatan Thailand semalam.


BANGKOK - Sebuah kereta Honda meletup semasa seorang anggota skuad bom Thailand berada dekat dengan kenderaan itu pada pagi semalam di Narathiwat.
Anggota skuad bom itu yang memakai jaket perlindungan cedera namun tahap kecederaannya masih belum diketahui.
Letupan bom itu menyebabkan kereta tersebut musnah teruk.
Bom itu dipercayai diletakkan oleh kumpulan gerila pemisah yang mendalangi kejadian keganasan di sempadan Thailand dengan Malaysia.
Lebih 4,500 orang terbunuh dalam serangan keganasan yang berlaku di selatan Thailand sejak 2004. - Agensi! Online - Dunia

Friday, July 1, 2011

Jambatan terpanjang di dunia



Papan tanda berbunyi: "Shandong Highway Corp. akan membuka jambatan lebuh raya Shandong Teluk Jiaozhou’’ terpampang di atas jambatan teluk Jiaozhou di bandar Qingdao, wilayah Shandong, kelmarin. Ia merupakan jambatan terpanjang di atas permukaan laut di dunia yang mula dibuka, semalam. – REUTERS/China Daily


BEIJING 30 Jun - China membuka jambatan terpanjang di dunia merentasi laut - Jambatan Teluk Jiaozhou menghubungkan bandar pelabuhan China timur, Qingdao ke pesisir pulau Huangdao, hari ini.

Jambatan sepanjang 42 kilometer dan selebar 35 meter itu menelan kos melebihi AS$1.5 billion (RM4.5 billion).

Penilaian pembinaan jambatan itu telah diluluskan pada Isnin lalu dan jambatan beserta terowong bawah laut itu dibuka kepada lalu lintas mulai hari ini.

Jambatan yang disokong oleh 5,000 tiang itu mengambil masa empat tahun untuk disiapkan.

Menurut Guinness World Records, rekod jambatan atas air terpanjang sebelum ini dipegang oleh Tasik Pontchartrain Causeway di Louisiana, namun jambatan China ini lebih empat kilometer panjang daripadanya. - AgensiUtusan Malaysia Online - Luar Negara

Tumbukan baca SMS

GOMBAK: Tindakan seorang isteri memeriksa telefon bimbit suaminya selepas curiga dengan tingkah laku lelaki itu bertukar pergaduhan besar sebelum wanita itu ditumbuk di muka dalam kejadian di rumah mereka di Pinggiran Lembah Hijau, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, wanita berusia 27 tahun terbabit yang mengandung dua bulan, tersedar daripada tidur dan pada masa sama melihat telefon bimbit suaminya berada di atas meja manakala suaminya yang berusia 30-an masih tidur nyenyak.

Wanita itu memeriksa kandungan SMS dalam telefon itu apabila suaminya terjaga dan merampas telefon itu sebelum memarahi mangsa.

Menurut sumber, lelaki itu yang marah dengan tindakan mangsa mengambil telefon bimbitnya tanpa kebenaran naik angin.


“Mangsa memberitahu hanya ingin memeriksa telefon bimbit itu kerana curiga kemungkinan suaminya menyimpan rahsia.

myMetro | Tumbukan baca SMS

Tunangku pembelot!


TAK JADI...Mimi menunjukkan sebahagian barang hantaran perkahwinan yang  disediakannya.
TAK JADI...Mimi menunjukkan sebahagian barang hantaran perkahwinan yang disediakannya.

KUALA LUMPUR: Barang hantaran dan kad undangan sudah disiapkan, namun remuk hati seorang wanita apabila tunang kesayangannya tanpa diduga berkahwin dengan orang lain pada tarikh yang ditetapkan untuk majlis perkahwinan mereka.
“Tarikh 4 Jun 2011 sepatutnya dia bersanding dengan saya tetapi luluh hati saya apabila pada hari itu bekas tunang saya diijab kabul dengan wanita lain,” kata wanita itu yang mahu dikenali sebagai Mimi, 25.

Mimi berkata, dia tidak menyangka pengorbanan selama enam tahun berkenalan dengan lelaki itu yang dinamakannya, Z sebelum mengikat tali pertunangan pada 6 April 2007 berakhir dengan titik hitam dalam hidupnya.
“Hanya Tuhan yang tahu bagaimana perasaan saya kerana segala persiapan untuk perkahwinan disiapkan keluarga saya dan hanya menunggu tarikh majlis kenduri diadakan.

“Tergamak dia menconteng arang di muka saya dan keluarga, sedangkan saya dan keluarga melayan dia dengan baik sepanjang perhubungan kami,” kata anak ketujuh daripada lapan beradik yang bekerja sebagai jurujual itu.myMetro | Tunangku pembelot!

AU kecam Perancis hantar senjata kepada pemberontak

MALABO: Kesatuan Afrika (AU) mengecam Perancis selepas negara itu mengaku menghantar bekalan senjata untuk pemberontak Barbar berperang dengan tentera Muammar Gaddafi, semalam.

Pengerusi Suruhanjaya AU, Juan Ping, berkata apa yang dibimbangi bukanlah mengenai “siapa yang memberikan apa”, sebaliknya khuatir jika ia jatuh ke tangan pihak tidak berkenaan.


“Senjata itu diberikan sesiapa saja untuk mana-mana pihak di Libya. “Ia kini berada dalam tangan al-Qaeda dan pengedar dadah untuk digunakan bagi merosakkan kestabilan di Afrika,” katanya. - AFP

myMetro | AU kecam Perancis hantar senjata kepada pemberontak

Negara Arab mesti berubah

LONDON: Seorang puteri raja Arab Saudi berkata, tiada satu pun negara di Timur Tengah bebas daripada perubahan dan kerajaan perlu memberikan kebebasan kepada rakyat sebelum ia dipaksakan ke atas mereka.

Anak saudara Raja Abdullah, Puteri Basma Saud, berkata angin perubahan yang melanda negara Arab tidak mengecualikan sesiapa.


“Sesiapa yang menganggap mereka kebal, itu satu kesilapan,” katanya.

Selain itu, Basma - aktivis sosial dan pendukung isu kewanitaan yang terkemuka - berkata tugas polis moral di Arab Saudi kini lari daripada matlamat asalnya untuk mencegah rasuah kepada pasukan pendesak sosial, terutama ke atas wanita.


Keadaan itu, kata Basma, menyebabkan masyarakat sentiasa hidup ketakutan.


“Semua pihak perlu sedar bahawa kita mesti membuka ruang berdialog dan tidak menunggu sehingga cabaran untuk itu meningkat.

“Mari kita bersama-sama memberikan kebebasan sebelum ia bertukar menjadi cabaran,” katanya.


Gerakan prodemokrasi di Timur Tengah setakat ini membawa perubahan besar dalam politik Tunisia dan Mesir, selain berkembang pesat di Libya, Yaman dan Syria. - Reuters

myMetro | Negara Arab mesti berubah

Anak panah terbenam di muka


BELUM SAMPAI AJAL...Tavernier terbaring di katil hospital sementara menunggu masa dibedah.
BELUM SAMPAI AJAL...Tavernier terbaring di katil hospital sementara menunggu masa dibedah.



NASIB BAIK...imej x-ray menunjukkan kedudukan anak panah di muka Tavernier.
NASIB BAIK...imej x-ray menunjukkan kedudukan anak panah di muka Tavernier.

HERTFORDSHIRE (Britain): Seorang remaja bernasib baik kerana terselamat walaupun mukanya tertusuk anak panah sepanjang lebih 20 sentimeter, semalam.
Sebelum itu, Lewis Tavernier membawa busur panah ke rumah kawannya di Stevenage dan memasang penahan sebelum meletakkan alat itu dengan berhati-hati di atas meja berhampiran.

Bagaimanapun, ketika Tavernier, 17, leka berbual dengan rakannya, secara tiba-tiba anak panah itu meluncur ke arah remaja terbabit.
Berada di kedudukan kurang dari satu meter, anak panah itu terus menusuk ke muka dan terbenam hampir lapan sentimeter pada pipinya.

Imbasan x-ray menunjukkan tulang pipi Tavernier retak tetapi anak panah itu tidak merosakkan sebarang saraf serta salur darah penting yang ada kira-kira dua milimeter darinya.

Pelajar Sekolah Marriots itu berkata, dia sering menggunakan alat berkenaan sebelum ini dan tidak pernah lupa memasang alat keselamatan sebelum meletakkannya di mana-mana.
“Disebabkan itu, saya tidak berfikir banyak apabila meletakkan panah itu di atas meja,” katanya.
Bagaimanapun, Tavernier mengakui insiden itu aneh kerana tiada sesiapa berada di situ kecuali dia dan temannya.
Kata Tavernier, rakannya melihat busur panah berkenaan tiba-tiba melepaskan anak panah ke arahnya.

“Kejadian berlaku amat pantas dan saya tidak perasan ia menusuk ke muka.

“Saya cuma ingat ada bertanya kepada rakan: “Ada anak panah di muka saya?” katanya.

Tavernier dikejarkan ke hospital oleh bapa rakannya dan ketika itulah baru dia berasa sakit.

Dia kemudian menjalani pembedahan segera di Hospital Lister bagi mengeluarkan anak panah berkenaan. - DMmyMetro | Anak panah terbenam di muka

Demam balik nahas


BUKTI...tiga imej didakwa makhluk halus yang dirakam di Jalan Kuantan-Gambang, Kuantan pada 17 Jun lalu.
BUKTI...tiga imej didakwa makhluk halus yang dirakam di Jalan Kuantan-Gambang, Kuantan pada 17 Jun lalu.

KUANTAN: “Saya demam dua hari selepas melihat imej tiga makhluk itu,” kata seorang penunda kereta, Abdul Mubin Mohamad, 24, yang mendakwa merakam gambar tiga makhluk halus menggunakan kamera digital di Jalan Kuantan-Gambang, berhampiran sebuah tokong, di sini, pada 17 Jun lalu.
Sebagai pekerja separuh masa di sebuah bengkel membaiki kereta yang terbabit dalam kemalangan, antara tugas Abdul Mubin ialah mengambil gambar kereta mangsa sebelum ditunda ke premis majikannya.

“Pada hari itu (17 Jun) kira-kira jam 11.30 malam, ada kemalangan di kawasan berkenaan membabitkan sebuah kereta BMW 5 Siri yang dinaiki empat lelaki dalam perjalanan ke Kuantan.
“Bagaimanapun, semua lelaki terbabit hanya cedera dan mereka dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan manakala kereta mereka terbabas ke kiri dan ‘melekat’ pada sebatang pokok,” katanya.

Dia yang turut membawa anak isterinya ke tempat kejadian itu mengambil gambar kereta berkenaan sambil dibantu rakannya. Bagaimanapun, kereta itu ditunda pemilik bengkel lain.

Abdul Mubin berkata, selepas urusan mengambil gambar selesai, dia pulang ke rumah.
“Saya berhenti di sebuah stesen minyak di Jalan Gambang untuk ke tandas sebelum isteri menegur mengenai gambar diambil selepas berasa curiga dengan bentuk tiga lembaga yang dirakam.
“Saya membesarkan lagi imej berkenaan sebelum terkejut melihat ‘satu keluarga’ berwajah ngeri dan lengkap berpakaian.
“Makhluk menyerupai wanita itu berpakaian serba putih manakala dua lagi berbaju merah,” katanya, di sini, semalam.

Menurutnya, terkejut dengan penemuan makhluk itu yang kali pertama dilihatnya, dia kemudian memberitahu rakannya yang sama-sama berada di tempat kejadian.

Dia berkata, rakannya mendakwa tidak selesa ketika mereka berada di kawasan berkenaan sebelum itu.

Katanya, rakannya turut mendakwa menemui kesan tapak kaki berlumpur berjalan naik ke bumbung kereta yang terbabit nahas itu tetapi enggan menceritakan kepadanya kerana bimbang sesuatu buruk berlaku.

Abdul Mubin mendakwa, ketika merakam gambar berkenaan, dia yakin tiada sesiapa berada di depannya kerana tempat kejadian gelap gelita.

“Saya menunjukkan rakaman itu kepada beberapa rakan lain dan mereka mendakwa objek itu makhluk halus dan ini kali pertama saya merakam gambar sedemikian selepas beberapa tahun bekerja sebagai penarik kereta,” katanya.

Sementara itu, anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Mohd Azwari Abdullah, 31, berkata, dia juga mengalami nasib sama dan demam selepas melihat gambar berkenaan.

“Ketika di tempat kejadian, saya sudah merasa ada sesuatu tidak kena namun saya tetap meneruskan tugas menyelamatkan mangsa yang tersepit dalam kereta.

“Makhluk halus itu ciptaan Tuhan dan hanya boleh dilihat secara kebetulan saja namun saya bersyukur kerana tidak mengalami kejadian lebih buruk selepas kerja menyelamat selesai dijalankan,” katanya.myMetro | Demam balik nahas

Imej ikan pari gergasi dirakam jurugambar


SEORANG penyelam mendekati seekor ikan pari manta di Teluk Hanifaru, Kepulauan Maldives baru-baru ini.


MALE - Imej sekumpulan ikan pari manta gergasi berenang di Teluk Hanifaru, Kepulauan Maldives dirakamkan seorang jurugambar Britain, lapor sebuah akhbar semalam.
Jurugambar berkenaan, Warren Baverstock, 42, mengambil masa selama sembilan hari untuk merakamkan kumpulan ikan pari gergasi itu yang tiba untuk memakan plankton di perairan tersebut baru-baru ini.
Terdapat sekitar 200 pari manta dengan lebar lebih tiga meter berkumpul di teluk sebesar padang bola sepak itu untuk mencari makanan. - AgensiKosmo! Online - Dunia

Mati dipatuk ular senduk peliharaan



GAMBAR fail menunjukkan Luke Yeomans mencium kepala seekor ular senduk.


EASTWOOD, Britain - Seorang lelaki yang memelihara 24 ekor ular senduk di belakang rumahnya di sini mati dipatuk seekor haiwan peliharaannya itu, lapor sebuah akhbar semalam.

Lelaki itu, Luke Yeomans, 47, pernah menyatakan dalam satu temu bual baru-baru ini bahawa dia tidak akan mati dipatuk ular peliharaannya.

Dia mati diserang sakit jantung selepas dipatuk ular kelmarin manakala mayatnya ditemui polis berada di kawasan tempat dia menyimpan ular tersebut di belakang rumahnya.

Lelaki itu mempunyai pengalaman mengendalikan ular senduk selama 30 tahun.

Kawasan belakang rumahnya itu dianggap sebagai taman perlindungan haiwan ular senduk yang pertama di dunia.

Seorang penduduk tempatan berkata: "Kejadian itu amat mengejutkan. Setiap orang mengetahui bahawa Luke menyimpan ular namun dia amat berpengalaman dan kami tidak menyangka kejadian ini akan berlaku." - AgensiKosmo! Online - Dunia

Kapal bantuan ke Gaza dirosakkan


BAITULMUQADDIS – Sebuah lagi kapal yang menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Gaza telah disabotaj oleh Israel, kata pihak penganjur semalam.

Seorang aktivis pro-Palestin memberitahu sebuah stesen radio tentera Israel bahawa enjin kapal milik Ireland itu rosak semasa ia berada di sebuah pelabuhan.

Pada awal minggu ini, beberapa aktivis memberitahu, pihak Israel didakwa telah merosakkan kipas sebuah kapal milik misi bantuan itu di pelabuhan Piraeus, Greece.

Sekitar 10 buah kapal dijadualkan belayar ke Gaza dari Greece pada minggu ini.

Setakat ini, masih tidak dapat dipastikan sama ada misi berkenaan akan ditangguh ekoran kerosakan yang berlaku ke atas dua kapal itu. – AgensiKosmo! Online - Dunia

Kakitangan awam mogok di Britain



SEBAHAGIAN daripada kakitangan awam berhimpun di London semalam bagi membantah tindakan kerajaan melaksanakan langkah pengurangan perbelanjaan negara.


LONDON – Ramai guru dan kakitangan awam menyertai piket besar-besaran di Britain semalam ketika ratusan ribu pekerja mengadakan mogok untuk membantah pencen dikurangkan oleh kerajaan.

Kesatuan-kesatuan sekerja di Britain menyatakan sekitar 750,000 pekerja menyertai mogok sehari itu yang menyebabkan kegiatan di pejabat kerajaan, lapangan terbang dan sekolah lumpuh.

Beribu-ribu ahli kesatuan sekerja berarak di ibu kota Britain, di sini dan bandar-bandar untuk mendesak kerajaan supaya menimbang semula rancangan untuk mengurangkan pencen sektor awam.

Kerajaan Britain mengambil inisiatif untuk mengurangkan defisit negara yang melambung tinggi dengan memotong perbelanjaan awam sebanyak £80 bilion (RM242.8 bilion).

Sebagai langkah berjimat cermat, kerajaan Britain mengurangkan pekerjaan sektor awam dan bayaran pencen selain menaikkan had umur persaraan daripada 65 tahun kepada 66 tahun.

Kenaikan had umur persaraan itu bagi mengurangkan bayaran pencen kepada kakitangan awam yang bersara. – AgensiKosmo! Online - Dunia

Thursday, June 30, 2011

Kisah Sedih Untuk Tauladan

Kisah benar utk dijadikan renungan terutama bagi lelaki. Setiap yang Allah swt kurniakan tak kira sempurna atau tidak pada pandangan mata kita, ia adalah anugerah, amanah yg tak terhingga nilainya. Isteri dan anak untuk disayang sampai bila2, bukan utk dibuang bila dah "tak berguna"..



Ini cerita pasal rakan baik saya. Wife dia kena barah buah dada....dia dah mula cari spare tayar, dapat lak student ipta..muda lagi. wife dia kena buang sebelah buah dada...kawan saya ni dah geli utk bersama dengan wife nya.Bulan 12 tahun lepas kawan saya kahwin dengan 2nd wife dia yg baru umur 21 tahun....

Masa cuti thaipusam hari tu, kawan saya bawa wife no.2 tinggal dengan wife
no.1 dan yang paling kejam...wife no.1 kena keluar dari bilik master bed
room..untuk kasi laluan kat wife no.2...kejam kejam

saya sampai sekarang tak boleh terima perbuatan kawan baik saya tu yang
halau wife no.1 keluar bilik, walaupun tindakan dia kahwin tu..saya tak kisah
sangat...tapi jauh di sudut hati saya...memang terasa kejam...sebab wife
dia masih sakit dan tak terfikir ke dia pengorbanan wife no.1 jaga dia dulu dan 4 orang anaknya.

masa thaipusam tu, saya sempat lah cakap dengan dia kat luar rumah, sebab kawan saya tu jiran sebelah rumah- Kami  sama-sama beli rumah masa bujang. saya
cakap sampai hati dia buat macamtu kat wife no.1, kawan saya marah saya balik,
hal rumahtangga dia, saya jangan campur..dah kena camtu....saya malas lah nak bertekak...

saya ada juga suruh dia asingkan dua dua isteri...dia tak nak...dia kata
payah dia nak berulang alik. lantaklah... ..biar tuhan je balas di atas
perbuatan kejamnya ke atas wife no.1.

kawan saya tu sebaya dengan saya umur 35 tahun, wife no.1 kawan saya tu umur
39 tahun. Tua dari kawan saya tu. Masa kawan saya belajar dulu...memula dia
dengan wife no.1 sebagai kakak dan adik angkat....wife dia dah kerja sebagai
operator kilang...so wife no.1 tu banyak support study kawan saya
tu...lepas tu dah jodoh dia orang kawin..

mungkin sebab perbezaan umur yg perempuan lebih tua, menyebabkan kawan
saya berubah arah.. tak tahu lah saya nak cakap... tapi yg buat saya
bengang...ade ke...kawan saya tu....selalu pujuk saya sampai lah ni
supaya jadi macam dia...cari no.2... tak sampai hati saya nak duakan
isteri tersayang saya tu.

saya memula tak tahu juga yang kawan saya tu , bawa wife no.2 dia tinggal
sama dengan wife no. 1 masa thaipusam..tapi bila saya dengar kecoh dari rumah
sebelah...saya jengoklah... saya nampak kawan saya tengah campak baju2
wife no.1 dari balconi....wife saya sampai nangis bila tengok peristiwa tu...

kat bawah...saya tengok...anak2 dia yg 4 org tu dengan maid...menangis2
pungut baju mak dia...kawan saya menjerit2 dari atas balconi..cakap. ..
"kau org cakap dengan mama kau...kalau nak papa jaga sampai mampus...jangan lawan cakap papa..."

tak boleh saya bayangkan macam mana perasaan anak2 dia bila dengar papa dia cakap macamtu...anak anak no.1&2 perempuan, 3 & 4 lelaki. saya rasa tujuan utama dia halau wife no.1 dan bagi laluan kat wife no. 2 ialah sebab ada jacuzzi dalam bilik utama tu...so...seronokla h dia berendam & mandi sama2 dengan wife no.2 dalam jacuzzi tu. saya ingat lagi..saya dengan kawan saya tu...sama2 pi pilih jacuzzi dan pasang kat bilik masing2 dulu...

maaf lama saya nak sambung cerita kawan saya nie. Ini kerana saya sibuk
menguruskan urusan pengebumian, dan kenduri aruah wife no.1 kawan saya
tu.

aruah baru je meninggal dunia pada hari sabtu 25/1/03...sedangkan
suaminya - rakan baik saya tiada di malaysia kerana honeymoon dengan wife no.2 ke France . Rakan saya sudah berlepas pada malam 24/1/03 lagi.

apabila saya balik rumah setelah menghantar rakan baik saya ke airport
changi, Maid aruah call mengatakan yang aruah mengalami sesak nafas...saya
kelam kabut ke rumah sebelah..untuk bawa aruah ke hospital...sebelum aruah
pergi kehospital.. .dgn kepayahan aruah mencium dua anak kembarnya
(no.3,4) yg berusia 3 tahun yg sedang tidur. aruah juga berpesan kepada 2 anak perempuan ( no 1 dan 2) yg berusia 6 dan 5 tahun supaya menjaga adik-adiknya. Mungkin aruah dah tahu yg dia akan pergi

Hanya saya dan maid aruah sahaja yg menghantar aruah ke hospital. wife
saya menunggu di rumah rakan saya. beberapa kali masa dalam perjalanan aruah berpesan kat saya supaya tolong tengok2 kan anaknya...

Saya masa tu hanya menginggalkan pesanan sms kat rakan saya yang isteri
sakit kerana rakan saya masih dalam penerbangan. saya juga sempat menelefon abg aruah yg berada di Kluang supaya datang segera .aruah hanya mempunyai dua beradik sahaja, mak& ayah aruah sudah tiada.

masa kat hospital, aruah sempat berpesan dengan doktor, jangan lakukan
rawatan yang teruk2 kerana dia dah nak pergi...memang sedih masa tu. dah puas saya menangis dua/3 hari ni.

masa abang aruah sampai dari kluang ke hospital...aruah masih dalam bilik
rawatan....abang aruah terlampau geram bila tahu, adik iparnya pergi
melancong. masa tu aruah dah koma dan tak lama lepas tu, aruah pergi
dengan tenang. dan abang aruah yg membuat keputusan agar jenazah aruah segera di kebumikan tanpa menunggu kepulangan suaminya.

saya dengan abang aruah yang sibuk menguruskan urusan untuk mengeluarkan
jenazah.Banyak perkara saya pelajari, seperti mendapatkan pengesahan kematian oleh doktor, lepas tu kena buat laporan kematian di balai polis, dan balai polis mengeluarkan sijil kematian dan permit pengebumian , kemudian dengan sijil kematian dan permit pengebumian, kami terpaksa ke hospital untuk
pengeluaran jenazah dan juga urusan2 lain.

Alhamdulilah untuk urusan pengembumian jenazah, jawatankuasa masjid telah
banyak membantu saya. semua urusan pengebumian seperti pembelian
peralatan, mengali dan sebagainya diuruskan oleh jawatankuasa masjid. satu malam saya dan abang aruah tidak tidur.

dalam pukul 10 lebih 25/1/03 pagi barulah jenazah aruah dapat di bawa
kerumahnya dan selepas zuhur jenazah aruah selamat di kebumikan.

Suami aruah hanya menelefon semasa jenazah aruah di bawa pulang ke rumah dan saya memberikan jaminan bahawa semua urusan akan saya selesaikan dan supaya rakan saya tu meneruskan percutian, dalam kepala saya masa tu tak de fikir untuk marahkan rakan saya tu, hanya yang terlintas untuk selesaikan urusan pengebumian sahaja.

masa jenazah dirumah anak2 aruah yg no.1 dan 2 dah tahu ibunya sudah
tiada, tapi yang kembar tu..sibuk tanya kenapa mama tidur kena tutup..sedih sangat
saya. saya hanya berupaya memeluk dua kembar tu supaya senyap...tapi airmata saya meleleh juga.saya kenal aruah masa saya form 4 di mrsm, masa tu saya saya dan rakan saya sama2 belajar di mrsm. masa form 4 lah rakan saya menjadi yatim piatu kerana bapanya meninggal dan aruah yang selalu menjadi perangsang kepada rakan saya tu. Lepas spm, we all dapat tawaran ke USA . setiap bulan rakan saya tu mendapat kiriman wang dari aruah kak zai tidak kurang dari $100 USD.

masa pengebumian saya antara yang menyambut jenazah dari dalam lubang kubur untuk diturunkan ke liang lahad. saya memegang bahagian kepala jenazah, dan saya merasakan bahawa aruah sedang menenung saya, sedih masa tu.

Masa urusan pengebumian tu, anak2 aruah yang kembar hanya memandang sahaja.Tetapi bila tanah di kambus, barulah yang kembar tu menangis, tapi dipujuk oleh wife saya.

suami aruah akan kembali pada hari rabu 29/1/03. dan sehingga hari ni,
setiap malam ke empat2 anak aruah tidur bersama sama saya...mereka rindukan aruah mama mereka, dan juga papa mereka. Boleh dikatakan budak2 tu selalu je mengigau bila tidur panggil mama...mama. ..mama... dan saya terpaksa memujuk dgn mengatakan.. .senyap2 sayang...papa ada...dan saya berharap agar allah..berikan hidayah kat rakan saya tu...supaya dia sedar akan kekejaman dia dan ALFATIHAH lah kiriman kita semua yang masih bernafas dibumi ini untuk arwah kak zai...

Wanita yg baik adalah wanita yg tak kan sanggup melihat wanita lain dihina macam ni..

(diambil dari sebuah laman web, penulis asal tidak dinyatakan.. bg mereka yg dah bace, fikir2kan isi tersirat dalam kisah ni..)
Kisah Sedih Untuk Tauladan:

Pejabat Bersih diserbu, ratusan baju T dirampas



Pejabat Bersih diserbu, ratusan baju T dirampas


PASUKAN polis membawa keluar dokumen dipercayai berkaitan Bersih di Petaling Jaya, semalam.


PETALING JAYA 29 Jun - Pejabat komuniti pertubuhan haram, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) di Seksyen 4 di sini, yang berselindung di sebalik pejabat sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain, diserbu sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.
Dalam serbuan pukul 12 tengah hari dan berakhir pada pukul 3 petang itu, sebanyak tujuh beg plastik hitam berisi baju T yang mempunyai logo Bersih dilihat dibawa keluar daripada rumah berkenaan.
Selain itu, enam kotak berisi dokumen, empat helai kain rentang dan beberapa poster, kesemuanya berkaitan perhimpunan haram Bersih turut dirampas.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, serbuan dilakukan selepas pihaknya mendapat maklumat awam berhubung aktiviti sebuah pertubuhan haram di premis itu.
"Hasil serbuan, polis menemui ratusan baju T berwarna kuning tertulis Bersih 2 selain poster dan kain rentang. Berikutan itu, kita menahan lima wanita dan dua lelaki, dipercayai pekerja kepada pertubuhan haram tersebut.
"Polis turut merampas logo Bersih dan dokumen lain dikaitkan dengan pertubuhan yang turut merancang mengadakan perhimpunan haram pada 9 Julai ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, ketujuh-tujuh individu yang ditahan itu akan disiasat mengikut Seksyen 50 (3) Akta Pertubuhan 1966 dan kes diserahkan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk tindakan lanjut.
Di IPOH, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jalong, Leong Mee Meng dan ADUN Teja, Chang Lih Kang antara 14 individu yang ditahan ketika mengagihkan baju T bertulis 'Bersih' di pasar tani pekan Sungai Siput hari ini.
Mereka ditahan oleh sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput pada pukul 9 pagi.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, pasukan itu merampas tiga baju T tertera tulisan Bersih 2 di depan dan sehelai kain rentang tertera tulisan 'Sokong Bersih'.
"Pada baju itu tertera tulisan Menuju Ke Istana Negara pada 9 Julai, Bersihkan Pilihan Raya Kembalikan Hak Rakyat dan 300,00 bergerak Menuntut Demokrasi Yang Adil pada belakang baju," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Shukri berkata, semasa tangkapan dibuat tiada berlaku sebarang kekerasan.
Katanya, kesemua mereka ditahan di Balai Polis Sungai Siput untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 27(5) dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.Utusan Malaysia Online - Jenayah

Belanda lulus rang larang sembelih cara Islam, Yahudi

AMSTERDAM: Parlimen Belanda telah meluluskan usul melarang penyembelihan haiwan cara Islam dan Yahudi di negara itu.

Rang undang-undang yang dikemuka oleh Parti Hak Asasi Haiwan itu diluluskan Dewan Rakyat dengan 116 undi menyokong dan 30 undi membantah.

Ia bagaimanapun perlu diluluskan oleh Dewan Senat sebelum dapat dikuatkuasakan.

Rang itu menetapkan haiwan perlu dipengsankan sebelum disembelih, bertentangan dengan cara Islam dan Yahudi yang memerlukan haiwan berada dalam keadaan sedar.

Ketua parti itu, Cik Marianne Thieme, berkata cara penyembelihan dua agama itu memberi kesakitan tidak patut ke atas haiwan dan oleh itu perlu dibanteras walaupun ia tuntutan agama.

'Kebebasan beragama tidak boleh dilaksana tanpa sebarang had. Bagi kami, kebebasan agama tidak boleh diamalkan apabila wujud penderitaan haiwan ataupun manusia,' katanya.

Perkembangan itu mencetuskan bantahan oleh sekitar sejuta penduduk Islam dan 40,000 penduduk Yahudi di Belanda.

Ketua Rabai Belanda, Encik Binyomin Jacobs, berkata perbahasan itu mengimbas semula memori pahit bagi masyarakat Yahudi.

'Mereka yang telah melalui Perang Dunia Kedua akan ingat bahawa undang-undang pertama yang diluluskan pemimpin Jerman di Belanda ialah melarang cara penyembelihan Yahudi bagi haiwan.'

Seorang pemimpin Islam Belanda, Encik Uca Octay, berkata: 'Kami terpaksa mengimport daging halal dari negara-negara jiran atau mencari cara lain bagi memenuhi keperluan masyarakat Islam setempat.'

Seperti di kebanyakan negara Kesatuan Eropah (EU), undang-undang Belanda menetapkan penyembelih haiwan mesti menggunakan kejutan elektrik bagi memastikan haiwan itu tidak sedar sebelum disembelih untuk mengurangkan kesakitan dan rasa takut.

Rang itu menyatakan badan agama boleh meneruskan cara penyembelihan mereka jika mereka dapat buktikan amalan itu tidak mendatangkan lebih kesakitan.

'Mustahil membuktikan perkara ini. Anda tidak boleh tanya haiwan apa mereka rasa selepas disembelih,' kata Encik Jacobs.

Imam Mahmud dari Masjid El Tawheed di Amsterdam pula berkata: 'Ini satu keputusan bermotif politik. Siapa yang berkuasa menetapkan satu-satu cara penyembelihan haiwan itu baik atau tidak?' - AP, Reuters.Cyberita Online Luar Negara

Arab Saudi ampunkan 325 warga Indonesia


RIYADH 29 Jun - Kira-kira 325 banduan Indonesia termasuk pembantu rumah diberi pengampunan diraja oleh kerajaan Arab Saudi, kata seorang pegawai Indonesia di Riyadh semalam.

Keputusan itu dibuat selepas beberapa siri rundingan antara Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono dengan Duta Arab Saudi ke Indonesia, M. Amen Al-Khayyat di Jakarta.

"Senarai nama rakyat Indonesia yang diberi pengampunan itu telah dihantar kepada Indonesia oleh Kementerian Hal Ehwal Luar Arab Saudi.

"Ia melibatkan banduan yang melakukan kesalahan ringan serta yang berkaitan serangan seksual," kata pegawai di Bahagian Perlindungan Warganegara Kedutaan Indonesia, Hendrar Pramutyo.

Katanya, Susilo juga telah merakamkan ucapan terima kasih di atas kerjasama Arab Saudi itu.

Jelas Pramutyo, kebanyakan yang diberi pengampunan adalah banduan yang sedang menjalani hukuman di 13 penjara seluruh negara dengan sebahagian daripadanya telah dipenjara dua hingga lima tahun.

Katanya, 325 banduan itu dipilih daripada 1,719 pendatang Indonesia ke Arab Saudi termasuk yang bekerja sebagai pembantu rumah.

Ditanya tentang butiran pertemuan antara Susilo dengan Al-Khayyat semalam, Pramutyo berkata, beliau tidak tahu tentang perkara yang dibincangkan, namun beliau mengesahkan pertemuan di Istana Presiden itu.

Pertemuan tersebut dibuat berikutan kes hukuman pancung yang dikenakan Arab Saudi ke atas seorang amah Indonesia di negara itu, Ruyati binti Satubi kerana membunuh isteri majikannya.

Berikutan kes itu, Indonesia giat menyelamatkan rakyatnya yang dijatuhi hukuman sama di Arab Saudi dan berjaya menyelamatkan seorang lagi amahnya, Darsem binti Dawud dengan membayar 2 juta riyal (RM1.6 juta) wang pampasan kepada Arab Saudi. - AgensiUtusan Malaysia Online - Luar Negara

Taliban lakukan serangan berani mati di hotel Kabul



BANGUNAN Hotel Intercontinental terbakar setelah pertempuran tercetus antara tentera NATO dengan penyerang berani mati Taliban di Kabul, semalam. - REUTERS


KABUL 29 Jun - Sekurang-kurangnya 19 orang maut dalam serangan berani mati dan serangan lelaki bersenjata di sebuah hotel terkemuka di sini hari ini.

Hotel milik kerajaan itu menjadi tempat tinggal delegasi pegawai kerajaan Afghanistan yang menghadiri satu persidangan keselamatan selain tempat penganjuran kenduri kahwin ketika kejadian itu berlaku.

Ketua Polis Kabul, Ayub Salangi berkata, kebanyakan pekerja Hotel InterContinental merupakan mangsa terbunuh dalam kejadian itu.

Beliau berkata, tiga anggota polis turut cedera.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Siddiq Siddiqi berkata, komando Afghanistan yang disokong sebuah helikopter NATO dikerahkan ke hotel berkenaan berjaya mengawal keadaan selepas lima jam.

Beliau memberitahu, enam orang dipercayai terlibat dalam serangan berani mati itu.

''Mereka masih memeriksa keadaan dan kami bimbang angka kematian akan meningkat,'' katanya kepada AFP.

Antara mereka yang tinggal di hotel itu adalah pegawai kerajaan dari seluruh negara yang menghadiri persidangan penyerahan kuasa kepada pasukan keselamatan Afghanistan selepas tentera asing mula berundur pada bulan depan.

Seorang pekerja hotel dikenali sebagai Ezatullah berkata, dia bersembunyi dalam sebuah bilik di tingkat lima apabila serangan itu bermula semalam.

''Saya dengar bunyi tembakan dan kemudian dua letupan. Bilik tempat saya bersembunyi dipenuhi dengan asap, Ketika saya keluar, saya nampak darah dan kemudian polis membawa saya keluar dari bangunan hotel,'' katanya.

Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid mengaku bahawa kumpulan militan itu mendalangi serangan berkenaan. - AFPUtusan Malaysia Online - Luar Negara