Pages

Friday, February 5, 2016

Archelis, kerusi untuk 
pekerja perlu berdiri lama


Sekumpulan pakar bedah menggunakan Archelis ketika berdiri semasa
SEKUMPULAN pakar bedah menggunakan Archelis ketika berdiri semasa melakukan pembedahan untuk tempoh yang lama. - AGENSI
TOKYO 4 Feb. – Pekerjaan yang memerlukan seseorang itu berdiri terlalu lama sememangnya amat memenatkan.
Bagaimanapun, dengan terciptanya sebuah kerusi inovatif yang dikenali sebagai Archelis, seseorang pekerja terbabit masih boleh ‘duduk’, walaupun pada hakikatnya dia sedang berdiri.
Archelis secara umumnya direka untuk kegunaan pakar bedah yang terpaksa berdiri untuk tempoh yang lama serta beberapa kerjaya lain yang berdepan risiko sama termasuk guru, pekerja kilang, dan pegawai keselamatan.
Secara teknikalnya, Archelis sebenarnya bukanlah sebuah kerusi kerana rekaan itu lebih kepada pendakap yang membaluti bahagian punggung dan kaki agar pengguna dapat berdiri dengan lebih selesa.
Diperbuat daripada bahan karbon agar lebih fleksibel dan selesa untuk kegunaan dalam masa yang lama, Archelis dibangunkan oleh sebuah syarikat acuan dari Jepun iaitu Nitto dengan kerjasama Pusat Kejuruteraan Perubatan Hadapan, Universiti Chiba serta syarikat Hiraoki Nishimura Design dan Teknologi Polimer Jepun.
Walaupun Archiles bukanlah ciptaan terbaharu kerana Switzerland terlebih dahulu telah memperkenalkan kerusi Noonee yang menggunakan kuasa hidraulik untuk menyokong tubuh, namun, ciptaan itu dilihat lebih bergaya.
Ketika ini, produk buatan Jepun itu masih dimajukan dan dijangka memasuki pasaran selewat-lewatnya hujung tahun ini.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/archelis-kerusi-untuk-8232-pekerja-perlu-berdiri-lama-1.186952#sthash.yyKo61h4.dpuf

Thursday, February 4, 2016

Cantik yang menyeramkan

Luar biasa tetapi menakutkan. Itulah gambaran hasil seni seorang artis dari Russia yang menjadi sensasi di media sosial selepas menyiarkan rakaman video bagaimana dia membuat anak patung yang seolah-olah ‘hidup’.
Diperbuat daripada tanah liat khas, mata kaca, rambut palsu dan 13 sendi yang bersambung, anak patung ciptaan Michael Zajkov diukir dan diwarnakan dengan penuh ketelitian.
Artis yang berpangkalan di Moscow itu mempelajari seni ukiran di Univeriti Kuban di selatan Russia ketika bekerja di teater boneka, malah membuat pakaian patung berkenaan sendiri.
Bermula dengan anak patung pertama pada 2010, dia kini menyiarkan gambar boneka seolah hidup itu di laman Instagram dan dia kini mempunyai lebih 103,000 pengikut setia dari seluruh dunia.
Bukan sekadar menyiarkan gambar anak patung yang telah siap, Zajkov juga sering berkongsi rakaman video pendek mengenai sedikit proses membuat anak patung dari dalam studionya.
Malah terdapat imej kepala anak patung yang belum disambungkan dengan anggota badan di sekeliling studionya.
Zajkov memberitahu, inspirasi di sebalik ciptaannya adalah pembuat anak patung ‘hyper -realistik’ seperti Laura Scattolini dari Itali dan Anne Mitrani dari Perancis.
Katanya, dia menggunakan fesyen awal abad ke-20 sebagai pakaian kepada anak patungnya itu dengan menjadikan sutera dan renda antik sebagai bahan hiasan utama.
Selepas tamat pengajian di universiti pada 2009, dia bekerja dengan pereka fesyen, Irina Kuzyomina dan belajar menjahit pakaian anak patung.
Dia mula mencipta nama selepas membawa beberapa ciptaannya ke Art Dolls, pameran seni antarabangsa di Moscow pada 2013.
MATA anak patung menggunakan kaca Jerman yang dilukis tangan.
Para pengumpul sangat tertarik dengan lima anak patung dibawa Zajkov dikenali sebagai Anastasia, Antonina, Zoe, Nina dan Xenia yang melonjakkan popularitinya.
SALAH satu anak patung ciptaan Zajkov, Alice yang mengenakan fesyen era kurun 20-an yang diperbuat dari dari kain lace dan memakai topi bonet.
“Anak patung saya lebih realistik berbanding yang lain dan ramai mengatakan hasil rekaan saya amat menyeramkan,” katanya.
ANTARA koleksi ciptaan Zajkov sebelum dikenakan pakaian. 
Namun, katanya, dia gembira dengan reaksi orang ramai apabila pertama kali melihat anak patung rekaannya itu.
ANAK patung berwajah manusia yang sebesar tapak tangan. 
Malangnya, Zajkov tidak mengambil sebarang tempahan walaupun anak patungnya sering dibeli pengumpul.
KEBANYAKAN koleksi anak patung Zajkov mengenakan pakaian dari kain sutera dan renda antik manakala rambut daripada mohair Perancis.
Menurutnya, dia kini sedang mengusahakan projek terbaru, pameran anak patung lelaki yang bakal dibuka di pertunjukkan Doll Salon Antarabangsa di Moscow pada Mac ini.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2016 @ 9:49 AM

ANAK patung ciptaan Zajkov menggunakan tanah liat, kaca dan kain renda antik khas.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/111878#sthash.OZXz86QB.dpuf

Gempar lihat ikan ada kaki, hidung

Pulau Grenadine: Seekor ‘ikan alien’ ditangkap di kepulauan kecil di Caribbean membingungkan pakar yang kini berusaha mengenal pasti spesiesnya.
Makhluk itu dilaporkan mempunyai ‘kaki’ yang membolehkannya berjalan di dasar laut selain memiliki ‘hidung’ seperti manusia, namun bersisik seperti ikan.
Haiwan laut itu ditangkap di pelabuhan Windward di pulau Carriacou, tidak jauh dari Grenada.
Seorang penduduk pulau itu berkata: “Semua orang mengerumuni untuk melihatnya kerana memang terlalu pelik.
“Ada juga yang takut kerana ia tidak ubah seperti makhluk dalam filem fiksyen sains ngeri.”
Nelayan, Hope McLawrence, 74, yang menangkap makhluk itu dengan jalanya mengaku penemuan itu amat mengejutkan.
“Haiwan berukuran 0.6 meter itu mempunyai dua kaki dilengkapi jari, tiada sirip dan tulang belakang yang panjang dengan hidung seperti manusia di atas mulutnya.
“Seumur hidup saya tidak pernah melihat sesuatu seperti ini. Lebih pelik apabila ia mempunyai sayap dan ekor,” kata McLawrence.
Dia yang berpengalaman lebih 50 tahun sebagai nelayan percaya haiwan itu tidak mampu berenang, sebaliknya berjalan di dasar laut.
“Memang mengejutkan kerana saya tidak pernah terfikir haiwan seperti itu wujud, apatah lagi di perairan kami yang cetek ini.
“Saya terasa seperti hidup dalam kisah misteri,” katanya.
Haiwan itu dipercayai ‘frogfish’ spesies ikan pemangsa yang makan apa saja yang mampu ditelannya, termasuk ikan lain, ketam dan udang. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2016 @ 7:53 AM


MAKHLUK pelik yang ditemui.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/112107#sthash.CRBQyRvL.dpuf

Polis Dubai tak mahu lelong kereta mewah

Dubai: Seorang warga Amerika Syarikat yang tidak dikenali menawarkan Dh6 juta (RM6.88 juta) untuk membeli sebuah kereta mewah edisi terhad, Enzo Ferrari yang berada dalam tahanan polis di sini sejak hampir enam tahun lalu.
Namun, tawaran itu ditolak kerana kenderaan itu dikehendaki Polis Antarabangsa (Interpol), kata ketua polis trafik Dubai.
Kolonel Saif Al Mazroui menggambarkan kenderaan mewah itu sebagai ‘ciptaan terbaik’ dan berkata, ia menarik perhatian ramai pembeli yang mencari kereta mewah.
“Seorang warga Amerika Syarikat menawarkan Dh6 juta untuk membelinya, tetapi kami tidak akan menjual atau melelongnya kerana ia masih di bawah pertikaian undang-undang.
“Kereta itu benar-benar hasil rekaan terbaik dan hanya 300 dihasilkan oleh syarikat itu. Beberapa orang menawar untuk membelinya dan beberapa lagi hanya bertanya mengenainya,” katanya.
Kereta Ferrari itu dilengkapi enjin 12 silinder dan dinamakan sempena pengasas syarikat itu, Enzo Ferrari.
Ia direka pereka terkenal dari Jepun, Ken Okuyama. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2016 @ 9:26 AM


KERETA Ferrari Enzo yang ditahan polis Dubai.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/112128#sthash.uId4Ls1N.dpuf

Wajah dua beradik seperti orang tua


Anjali Kumari (kanan) dan Keshav Kumar kelihatan tua berbanding
Anjali Kumari (kanan) dan Keshav Kumar kelihatan tua berbanding usia sebenar mereka. AGENSI
RANCHI 3 Feb. – Dua beradik di India, Anjali Kumari, 7, dan Keshav Kumar yang baru berusia 18 bulan, menggemparkan penduduk kampungnya apabila rupa paras mereka kelihatan jauh lebih tua berbanding usia sebenar.
Adik beradik itu dilaporkan mengalami sindrom penyakit kulit yang jarang ditemui, iaitu Progeria yang membuatkan rupa paras seseorang yang mengalaminya kelihatan jauh lebih tua berbanding usia sebenar.
Anjali dan Keshav menetap di Ranchi, Jharkhand, bersama ibu bapa mereka, Rinki Devi, 35, dan Shatrughan Rajak, 40.
Anak sulung pasangan berkenaan, Shilpi, 11, tidak mengalami sindrom penyakit kulit tersebut.
Keadaan itu, menyebabkan dua beradik terbabit sering menjadi bahan ejekan ketika berada di luar rumah.
“Saya tahu rupa saya berbeza dengan budak-budak lain yang sebaya. Orang sering memerhatikan saya dan mengutuk rupa saya,” kata Anjali kepada Mail Online.
Kanak-kanak sekolah itu berkata, dia sering dipanggil dengan gelaran ‘daadi Amma’ (nenek), ‘budhiya’ (perempuan tua), ‘bandariya’ (monyet), dan ‘hanuman’ (seekor dewa monyet Hindu)
Ibu bapa kanak-kanak itu sangat berharap agar penyakit tersebut dapat dirawat, namun beberapa doktor di India memberitahu mereka agar pergi mendapatkan bantuan perubatan di luar negara.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/wajah-dua-beradik-seperti-orang-tua-1.186686#sthash.1BbHPXm4.dpuf

Wednesday, February 3, 2016

Yareta, tumbuhan berusia ribuan tahun



Di 
Amerika Selatan, terdapat sejenis tumbuhan unik dan boleh dianggap tumbuhan purba kerana ia mampu hidup sehingga 3,000 tahun.
Yareta atau Azorella compacta merupakan tumbuhan berbunga yang tergolong dalam keluarga Apiaceae.
Ia tumbuh di padang rumput Puna yang dingin terletak di Pergunungan Andes di Peru, Bolivia, utara Chile dan Argentina Barat pada ketinggian antara 3,200 dan 4,500 meter, di mana angin sejuk bertiup.
Untuk terus hidup dalam keadaan yang ekstrem, Yareta tumbuh dalam keadaan yang begitu padat di antara satu sama lain di mana berat tumbuhan itu mampu mencecah berat seperti seorang manusia.
Tumbuhan itu juga tumbuh rapat di atas tanah bagi mengekalkan haba dalaman sebanyak yang mungkin.
Ini juga membantu untuk menentang angin kuat pada altitud tinggi, yang mampu mencabut akar apa-apa jenis tumbuhan.
Untuk terus hidup dalam persekitaran Pergunungan Andes yang ganas, Yareta berkembang secara perlahan-lahan iaitu hampir 1.5 sentimeter setahun (pada kadar geologi).
Kebanyakan Yareta dianggarkan berusia lebih dari 3,000 tahun.
Yareta kini menjadi antara spesies yang dilindungi dan disebabkan kadar pertumbuhannya yang perlahan, ia juga disenaraikan sebagai tumbuhan yang terancam. - amusingplanet
Tahukah anda?
Menurut penduduk tempatan, Yareta boleh digunakan sebagai ubat-ubatan untuk meredakan sakit sendi. Teh yang dibuat dari daunnya dikatakan mampu mengatur tekanan darah, mengubati diabetes dan juga ubat untuk melangsingkan badan
.

Teratai gergasi



JAUH 
di dalam hutan hujan Amazon, tersembunyi pelbagai spesies tumbuhan misteri.
Salah satu perkara yang membingungkan kebanyakan ahli botani ialah penemuan sejenis tumbuhan tropika yang sangat menakjubkan iaitu Victoria Amazonica.
Victoria Amazonica dikenali sebagai pokok teratai daripada spesis Nymphaeceae. Ia memiliki daun yang sangat besar, berbentuk bulat dan diameter daunnya boleh membesar sehingga lebih daripada tiga meter.
Anggaran berat setiap daunnya mencecah sehingga 31 kilogram (kg).
Teratai ini merupakan spesies semula jadi bersaiz besar tanpa melalui proses penghibridan. Ia merupakan daripada benih asal tanpa mengalami sebarang proses kacukan.
Hasil kajian mendapati bahawa rahsia tumbesaran gergasi teratai ini terletak pada kitaran hidupnya. Ia bermula sejak proses pendebungaan lagi.
Bunga-bunga Victoria akan mengeluarkan aroma buah seperti nanas pada waktu siang. Bauan manis ini adalah untuk menarik kumbang mendekati bunga pokok teratai ini.
Apabila menjelang waktu malam, bunga akan tertutup dan kumbang yang mendekati bunga akan terperangkap di dalamnya. Bunga ini didebungakan oleh kumbang.
Lazimnya pada satu musim, setiap pokok bakal menghasilkan 40 hingga 50 daun dan setiap daun akan membesar lebih daripada lapan inci diameternya setiap hari. Diameternya terus membesar sehingga mencapai lebih daripada tiga meter. - livingrainforest
Trivia
-Kebolehannya mengapung di atas air disebabkan oleh struktur anatomi daun ini. Jika diterbalikkan, akan kelihatan jaluran berwarna putih seperti sarang labah-labah memenuhi setiap ruang bawah daun. Ia berfungsi seolah-olah seperti 'tulang rusuk'. Ia berongga dan mempunyai kemampuan yang sangat tinggi untuk memerangkap udara. Udara yang terperangkap dalam ruang antara 'tulang rusuk' membolehkan daun ini terapung cantik di atas permukaan air.
-Terdapat duri tajam meliputi bawah daun, batang dan tunas bunga bagi melindungi daripada dimakan haiwan seperti ikan. Namun begitu, di sebalik saiz daun yang sangat besar ini, ia sebenarnya sangatlah rapuh. Daun ini mudah bocor atau terkoyak jika tercucuk. Ketahanan daun Victoria matang boleh menyokong beban sebanyak 45 kg.
-Pada awal penemuannya, tumbuhan ini diberi nama Victoria bersempena nama Ratu England pada masa itu. Ia juga turut dikenali sebagai “piring air gergasi’
.

Kampung pecah rekod ada 122 pasangan kembar



SEBUAH 
perkampungan di Ukraine telah diberi jolokan sebagai Tanah Kembar selepas memecahkan rekod dengan mempunyai 122 pasangan kembar.
Kampung Velikaya Kopanya di wilayah Zakarpattia Oblast terletak dekat barat negara itu mempunyai kurang daripada 400,000 penduduk. Namun, bilangan kembar di kawasan kecil tersebut boleh dikatakan tinggi melebihi 100 orang.
Kini, kampung dengan 61 pasangan kembar berkenaan telah diiktiraf dalam buku rekod Ukraine, dan seterusnya mungkin mendapat pengiktirafan dari Rekod Dunia Guinness.
Menurut pegawai tempatan Maryana Savka, jumlah pasangan kembar yang dilahirkan di kampung terbabit adalah lebih tinggi berbanding tempat lain dan sejak tahun 2004, mereka mempunyai sekurang-kurangnya dua atau tiga kembar baharu setiap tahun.
Penduduk tempatan percaya kelahiran kembar 'luar biasa' itu mungkin disebabkan air tempatan khas yang didakwa baik untuk kesihatan. – Mirro
r

Tuesday, February 2, 2016

Pantai beku China jadi tarikan



SEBAHAGIAN pemandangan pantai beku selepas dilitupi dengan salji tebal. - AGENSI


BEIJING – Fenomena pantai membeku akibat cuaca sejuk melampau kini menjadi salah satu tarikan baharu pelancong di China.
Pantai Bohai yang terletak di bandar Qinhuangdao, wilayah utara Hebei itu membeku sehingga menyaksikan fenomena kepingan ais termasuk bentuk titisan ais di kawasan berbatu.
Bandar industri yang mempunyai populasi 2.7 juta penduduk itu kelihatan jelas berbeza daripada landskap asalnya sejak pantai di situ bertukar menjadi beku.
“Sebelum ini, pantai berkenaan tidak popular, namun apabila fenomena ini berlaku, ia berjaya menarik minat ramai orang, malah ada yang sanggup meredah perjalanan beratus-ratus kilometer semata-mata untuk menyaksikan sendiri keindahan pantai berkenaan,” kata seorang pengawal pantai itu yang enggan dikenali.
Pusat Ramalan Cuaca Laut Marin Utara China telah mengeluarkan amaran biru selepas laut dilitupi dengan ais di Teluk Liaodong selama tiga hari berturut-turut pada awal minggu lalu. – AGENSI


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0202&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3yxjxXjoz 
Hakcipta terpelihara 

Monday, February 1, 2016

Lelaki bertukar jadi ‘pokok’


AGENSI - ABDUL Bajandar menunjukkan kedua-dua tangannya yang ditumbuhi dengan ketuat besar berbentuk akar pokok.


DHAKA – Seorang lelaki berusia 25 tahun di sini bertukar menjadi ‘pokok’ selepas kedua-dua tangan dan kakinya ditumbuhi ketuat seperti akar pokok.
Abdul Bajandar yang berasal dari Khulna disahkan menghidap sejenis penyakit ganjil yang dikenali sebagai Epidermodysplasia Verruciformis sejak tujuh tahun lalu.
Penyakit itu yang merupakan sejenis penyakit kulit yang jarang berlaku menyebabkan ketumbuhan ketuat seperti akar dan kulit kayu di sekitar badan akibat jangkitan virus human papillomavirus .
Bagaimanapun, beberapa pakar bedah di Hospital Kolej Perubatan Dhaka kini membuat keputusan untuk menjalankan pembedahan bagi membuang sebahagian besar ketuatnya jika keadaan kesihatan lelaki itu mengizinkan.
Sebelum ini, seorang lelaki dari Indonesia, Dede Koswara turut dikenali sebagai lelaki pokok kerana memiliki ketuat di bahagian kaki dan tangannya namun dia telah meninggal dunia kelmarin. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0201&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3yrnsFlsv 
Hakcipta terpelihara 

Terima derma 
melalui kad kredit


Gelandangan peroleh sumbangan sehingga RM207 sehari

Abe Hagenston mendakwa menjadi gelandangan pertama menerima derma
Abe Hagenston mendakwa menjadi gelandangan pertama menerima derma melalui kad kredit di Amerika Syarikat (AS). Agensi
DETROIT 31 Jan. - Seorang lelaki gelandangan, Abe Hagenston mendakwa menjadi orang pertama yang tidur di jalanan menerima sumba­ngan derma melalui kad kredit.
Akhbar New York Daily News melaporkan, orang ramai boleh menderma kepada Hageston, 42, yang memiliki kelengkapan pembaca kad di telefon bimbitnya.
Peralatan pembaca kad tersebut, Square Reader hanya berharga AS$10 (RM41.42) dan perlu disambungkan kepada soket mana-mana telefon Android dan iPhone untuk digunakan.
“Saya satu-satunya orang gelandangan di Amerika Syarikat (AS) yang menerima kad kredit. Semuanya dilakukan dengan selamat di laman web square.com.
“Saya menerima Visa, Mastercard, dan American Express,’’ katanya kepada CBS Detroit.
Lelaki itu yang menjadi gelandangan sejak tujuh tahun lalu bijak menggunakan peralatan digital untuk mendapatkan pekerjaan dan derma.
Hageston berkata, dia menerima antara AS$20 (RM82.85) hingga AS$50 (RM207) sehari hasil derma orang ramai yang melalui simpang lebuh raya, lokasi dia tidur.
Square.com mengenakan caj sebanyak 2.75 peratus kepada pengguna untuk setiap transaksi melalui satu aplikasi percuma di telefon pintar.
Hageston memberitahu, dia turut mewujudkan satu laman web bagi membantu gelandangan lain mendapat pekerjaan.
“Perniagaan saya adalah menjadi gelandangan, kini menjadi gelandangan adalah perniagaan saya,” jelas slogan lelaki itu di laman webnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/terima-derma-8232-melalui-kad-kredit-1.185561#sthash.B9HNoS2H.dpuf

Sunday, January 31, 2016

Lelaki Menderita Tangan Seperti Akar Akibat HVP


Diterbitkan: Ahad, 31 Januari 2016 10:08 AM

SEORANG pemuda digelar 'lelaki akar' kerana menghidap penyakit Human Pappiloma Virus (HVP) sejak 15 tahun lalu.
Abul Bazadar, 25, yang merupakan pengayuh beca kini sedang menjalani rawatan di hospital di Dhaka, Bangladesh kerana virus tersebut.
Pakar bedah yang merawatnya, Dr Samanta Lal Sen berkata, pihaknya telah membuat keputusan mengenai rawatan yang akan dilakukan terhadap Abul selepas perbincangan dibuat.
Pesakit akan menjalani pembedahan bagi mengasingkan ketuat, selain membentuk semula tangan dan kakinya.
HVP merupakan sejenis virus yang menyerang kulit manusia sehingga merubah bentuknya seperti akar akibat pertumbuhan ketuat.
Daripada 100 jenis HVP yang dikesan, terdapat 30 daripadanya akan memberi kesan terhadap kawasan kemaluan pesakit.

Manusia Akar meninggal dunia




KEDUA belah kaki Dede ditumbuhi ketuat sehingga menyebabkan dia digelar Manusia Akar oleh penduduk tempatan. - AGENSI


BANDUNG, Indonesia – Seorang lelaki yang digelar Manusia Akar kerana tubuhnya dipenuhi ketuat meninggal dunia di Hospital Hasan Sadikin (RSHS) di sini semalam.
Sehingga kini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak RSHS mengenai punca kematian Dede Koswara, 52, yang menderita penyakit ganjil epidermodisplasia veruciformis.
“Dia menghembuskan nafas terakhir pukul 3.30 pagi waktu tempatan,” kata jurucakap RSHS, Dr. Nurul Wulanshani.
Dede yang berasal dari Kabupaten Bandung pernah menjalani rawatan bagi membuang ketuat seberat 13.2 kilogram itu beberapa tahun lalu di hospital sama.
Ketuat seperti akar dan kulit pokok itu mula tumbuh di badan Dede ketika dia berumur 15 tahun selepas mengalami luka pada kakinya.
Dalam tempoh 10 tahun, ketuat itu semakin membesar sehingga memaksa Dede berhenti bekerja sebagai nelayan.
Bagi menampung kehidupannya, dia terpaksa menjadi bahan pameran dengan menganggotai pertunjukan manusia pelik.
Seorang pakar kulit dari Universiti Maryland , Anthony Gaspari berkata, Dede dijangkiti sejenis virus, manakala sistem pertahanan tubuhnya gagal berfungsi.
Menurutnya, sistem pertahanan badan yang lemah menyebabkan ke­tuat yang berpunca daripada virus itu tumbuh dan membesar pada badan Dede. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0131&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3ym5jhlmm 
Hakcipta terpelihara 

Saturday, January 30, 2016

Kabin mudah alih boleh selamatkan penumpang?


Sedutan video yang dimuatnaik oleh Vladimir di Youtube.

KIEV - UKRAINE. Pencipta dari Ukraine, Vladimir Tatarenko menyediakan lakaran konsep menarik mengenai sebuah kabin pesawat yang mampu berpisah dari badan utama pesawat.
Idea asas Vladimir merujuk kepada keadaan-keadaan kecemasan apabila pesawat hampir ditimpa kemalangan dan kabin tersebut akan dipisahkan secara manual.
Menurut laporan CNN, lakaran konsep menunjukkan kabin tersebut dilengkapi payung terjun yang akan mengembang apabila kabin tersebut dipisahkan.
Namun berdasarkan video yang dimuatnaik oleh Vladimir, hanya penumpang akan terselamat, manakala kapten pesawat 'tidak berapa bernasib baik'.
Vladimir juga menyatakan terdapat mekanisma pengapungan berupa pelampung tiub (inflatable tubes) untuk kabin mendarat di permukaan air dengan selamat.
Bagaimanapun, ini bermakna kos untuk mewujudkan sebuah kabin mudah alih tersebut berkemungkinan lebih mahal daripada kos membina sebuah pesawat.
Ini kerana kabin tersebut perlu dilengkapi pelampung, peralatan elektronik untuk pelbagai mekanisma (payung terjun, pelampung tiub) malah kerusi penumpang yang lebih kuat daripada yang sedia ada.
Untuk ramalan, kos menyediakan pesawat bersama kabin berkenaan mungkin mencecah AS$350 juta (RM1,47 bilion) dan ianya tidak termasuk kos penyelenggaraan.
Berdasarkan laporan persatuan penerbangan antarabangsa IATA, terdapat 641 kes kemalangan maut dari sejumlah 3.3 bilion penumpang pada 2014.
Kata IATA, statistik tersebut menunjukkan teknologi kabin mudah alih 'masih belum diperlukan'.
Malahan, terdapat sesetengah pihak mendakwa kabin mudah alih akan melemahkan rangka pesawat secara keseluruhan kerana terdapat sambungan.
Bagaimana pula jika kabin tersebut melanggar gunung atau bangunan ketika mendarat?
Tanpa juruterbang untuk mengemudi kabin tersebut, tiada siapa pun pasti tentang lokasi sebenar ia akan mendarat
.

Friday, January 29, 2016

Pelancong Jerman panjat Piramid Giza


Andrej Ciesielski sempat merakam gambarnya dari puncak Piramid
Andrej Ciesielski sempat merakam gambarnya dari puncak Piramid Giza. AGENSI
KAHERAH 28 Jan. – Seorang remaja berdepan risiko dipenjara sehingga tiga tahun selepas ditangkap ketika sedang menuruni Piramid Giza yang berusia kira-kira 4,500 tahun di sini.
Andrej Ciesielski, 18, yang berasal dari Jerman dikatakan hanya memerlukan masa lapan minit untuk mendaki piramid setinggi 146 meter itu dan sempat merakam beberapa keping gambar menarik ketika berada di puncak.
“Selepas beberapa minit mendaki, aksi saya menarik perhatian orang ramai termasuk beberapa pegawal keselamatan yang menjerit menyuruh saya turun dalam bahasa Arab,” katanya.
Jelas Ciesielski, sebelum me­lakukan aktiviti pendakian tersebut, dia ada bertanya kepada penduduk setempat mengenai perkara itu dan telah dimaklumkan bahawa perbuatan mendaki piramid tidak dibenarkan di Mesir.
“Saya diberitahu, saya mungkin akan dipenjarakan disebabkan perkara ini. Namun, kejayaan me­rakam gambar dari puncak piramid sebenarnya adalah sangat berbaloi.
“Pengalaman berada di atas puncak satu daripada keajaiban dunia itu pastinya tidak akan saya lupakan,” katanya.
Tambah Ciesielski, dia bagaimanapun dilepaskan oleh polis Mesir tanpa sebarang jaminan selepas disoal siasat dan rakaman kameranya diteliti.
Peristiwa sama pernah berlaku tiga tahun lalu apabila sekumpulan pelancong dari Rusia mencetuskan kekecohan selepas dikesan mendaki piramid tersebut oleh pengawal keselamatan pada waktu tengah malam.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pelancong-jerman-panjat-piramid-giza-1.184604#sthash.7gfEsjsm.dpuf

Thursday, January 28, 2016

Terkejut harimau datang, jilat jari kaki


Kelihatan seekor cheetah menjilat dan menggigit kaki jurugambar, Wolhuter. - Foto Dailymail

BOTSWANA - AFRIKA. Satu pengalaman ngeri apabila binatang buas seperti harimau datang menghampiri dengan niat untuk menerkam dan memakan mangsanya.
Berbeza pula bagi seorang jurugambar binatang liar apabila haiwan tersebut datang menghampiri semata-mata mahu 'merasa' jari kakinya.
Jurugambar tersebut, Kim Wolhuter, 57 sedang merakam keadaan di kawasan perlindungan haiwan liar di Botswana, 19 Disember lalu, lapor Dailymail.
Wolhuter ketika itu juga sedang merakam telatah seekor cheetah betina dan ragam anak-anaknya.
Tanpa disangka, salah seekor anak cheetah tersebut datang menghampiri dan mula menjilat-jilat dan menggigit jari kakinya yang dilunjurkan.
"Saya betul-betul sangka dia akan mula meratah saya," kata Wolhuter dipetik laporan Dailymail.
Kata Wolhuter, selepas menjilat-jilat, haiwan tersebut mula menggigit lembut ibu jari kakinya.
"Rasa sedikit sakit ketika digigit. Saya tarik kaki saya tapi dia tetap mahu 'bermain'.
"Kelihatan seperti dia 'menguji' saya seperti mana-mana kucing domestik yang menguji tuan mereka. Jadi saya perlu yakin kerana dia juga 'yakin' dengan saya," jelas Wolhuter
.

Tasik berwarna merah jambu




TASIK berwarna merah jambu ini ditemui pada tahun 1802.


CANBERRA, Australia – Sebuah tasik ganjil kerana berwarna merah jambu kini menjadi salah satu tarikan baharu di negara ini.
Tasik yang dikenali sebagai kolam susu strawberi dan terletak di Pulau Tengah, barat Australia itu bukan sahaja menarik tumpuan pelancong, malah turut menjadi sumber pendapatan bagi penduduk tempatan.
Sebuah laman web, Hillierlake.com menjelaskan, punca perubahan warna tasik itu masih menjadi misteri. Sehingga kini, beberapa saintis masih melakukan penyelidikan mengenai tasik ganjil berkenaan.
“Pasukan saintis mendapati, warna tasik itu mempunyai kaitan dengan kehadiran sejenis alga mikro, Dunaliella salina.
“Perubahan warna itu juga mungkin disebabkan oleh tindak balas antara garam dan sodium bikarbonat yang ditemui di perairan berkenaan,” menurut laman web itu.
Tasik yang sepanjang 600 meter dan lebar 250 meter itu dilaporkan ditemui pada 1802 oleh seorang pemandu arah, Matthew Flinders. – AGENSI


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0128&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3yUORQ3QF 
Hakcipta terpelihara