Pages

Saturday, November 21, 2015

Pelik,Suku Bodi Ethiopia Lelaki Gemuk Buncit Adalah Lelaki Menarik.

  
Menjadi kurus mungkin impian bagi kebanyakan orang tetapi tidak bagi suku Bodi di Ethiopia yang menganggap bertubuh gemuk itu bererti sihat.

Suku kaum yang tinggal di sudut terpencil di Lembah Omo, Ethiopia itu menjadikan sebuah rumah di situ sebagai tempat untuk melakukan ritual pelik iaitu golongan lelaki muda perlu meminum darah dan susu lembu untuk dinobatkan sebagai lelaki bertubuh gemuk.


Enam bulan selepas perlawanan dimulakan, lelaki-lelaki itu muncul untuk menayangkan bentuk badan mereka agar terpilih sebagai pemenang.


Kini, ritual yang sudah jarang diamalkan itu menjadi subjek daripada beberapa gambar luar biasa yang diambil oleh jurugambar amatur dari Perancis, Eric Lafforgue.
Lafforgue telah menghabiskan masa bersama masyarakat suku Bodi ketika melakukan perjalanan di sebelah barat daya Ethiopia untuk mengikuti perayaan Tahun Baru Bodi atau upacara Ka'el.


Malangnya, upacara Ka'el dan cara hidup tradisional suku Bodi itu kini terancam berikutan rancangan kerajaan untuk memindahkan kira-kira 300,000 orang dari kawasan tersebut. Suku itu mengamalkan upacara Ka'el dalam gaya tradisional pada setiap bulan Jun.



Setiap keluarga dibenarkan menghantar seorang lelaki yang belum berkahwin untuk menyertai pertandingan tersebut. Jika terpilih, mereka harus berhenti melakukan aktiviti harian dan tidak boleh keluar dari rumah atau melakukan aktiviti seks mengikut masa yang ditentukan.

Makanan-makanan bagi membolehkan mereka mendapat tubuh yang gemuk itu diperolehi dalam bentuk darah lembu dan susu campuran yang disajikan secara teratur oleh kaum wanita di kampung mereka.

"Lembu merupakan haiwan suci bagi suku Bodi dan disebabkan itu, ia tidak dibunuh.

"Darah diambil dengan cara membuat lubang pada pembuluh darah lembu tersebut menggunakan tombak atau kapak dan kemudian, mereka menutup lubang tersebut dengan tanah liat," jelas Lafforgue.



Muntah

Tambahnya, disebabkan keadaan cuaca yang panas, golongan lelaki tersebut perlu minum dua liter darah dan susu lembu sebelum ia menjadi beku.

"Mangkuk pertama terdiri daripada darah dan perlu diminum ketika matahari terbit tetapi tidak semua mereka sanggup meminumnya sebelum ia menjadi beku.

"Ini kerana mereka akan muntah setiap kali cuba untuk minum darah tersebut tetapi mereka perlu mengamalkan tabiat itu jika ingin menjadi gemuk," katanya.

Pada hari pertandingan berlangsung, golongan lelaki itu akan menutup bahagian tubuh mereka menggunakan tanah liat dan abu, sebelum keluar dari rumah untuk berjalan ke lokasi upacara dijalankan.

Namun, disebabkan berat badan mereka, ramai yang cuba menggunakan jalan pintas.

"Beberapa orang daripada mereka mempunyai tubuh yang begitu besar sehingga tidak mampu untuk berjalan lagi.



"Malah, salah seorang daripada mereka meminta saya menumpangkan mereka hingga ke lokasi upacara berlangsung.

"Ketika perjalanan, dia kembali meminum susu dan darah lembu kerana ingin terus menggemukkan badannya sehingga ke detik-detik terakhir pertandingan," beritahu beliau.

Upacara itu termasuklah ritual berjalan dalam sebuah lingkaran di sekitar pohon suci selama beberapa jam, dan ditonton oleh kaum lelaki yang lain.

Mereka juga mendapat bantuan daripada golongan wanita yang akan memberikan mereka minuman beralkohol.

Setelah seorang pemenang dipilih, upacara tersebut berakhir dengan penyembelihan lembu menggunakan seketul batu dan kemudian mereka akan memeriksa bahagian perut dan darah lembu itu untuk melihat masa depan sama ada baik atau sebaliknya.

Setelah upacara berakhir, golongan lelaki itu kembali menjalani kehidupan normal. Sebahagian daripada mereka berjaya mendapatkan kembali berat badan asal dengan mengambil kuantiti makanan yang sedikit selama beberapa minggu.

Tetapi beberapa minggu kemudian, generasi berikutnya akan kembali bersaing untuk mendapatkan gelaran lelaki tergemuk.

"Menjadi seorang lelaki gemuk merupakan impian setiap anak-anak suku Bodi tetapi beberapa minggu selepas upacara tersebut, pemenang akan kembali mendapatkan berat badan normal mereka, tetapi dia akan tetap dikenang sebagai seorang pahlawan selama hayatnya," tambahnya.

Mudahnya beli kereta

Pelanggan hanya perlu ambil kereta di mesin layan diri

Mesin layan diri syarikat penjual kereta dalam talian, Carvana

Mesin layan diri syarikat penjual kereta dalam talian, Carvana memudahkan pelanggan untuk mendapatkan kenderaan yang telah ditempah. AGENSI
NASHVILLE 20 Nov. - Sebuah syarikat penjual ke­reta dalam talian, Carvana mencipta cara tersendiri untuk menghantar kereta kepada pelanggan dengan cara mudah dan menarik iaitu menggunakan mesin layan diri gergasi.
Laman web Oddity Central melaporkan, Carvana menghasilkan konsep pembelian kereta menggunakan mesin layan diri itu pada tahun 2013 di Atlanta dan mengambil masa dua tahun untuk memperbaiki sistemnya supaya mesra pelanggan.
“Mesin layan diri tersebut sa­ngat canggih kerana memboleh­kan pengguna mendapatkan ke­reta dengan memasukkan duit syiling khas.
“Kami juga berjaya mengurangkan kos operasi kerana tidak perlu mengupah tenaga kerja yang banyak,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Carvana, Ernie Garcia.
Untuk membeli kereta, pembeli boleh melihat gambar kereta yang diminati sebelum menempahnya di dalam laman web syarikat tersebut.
Kemudian, pelanggan perlu melengkapkan dokumen perjanjian sebelum diberi sekeping duit syiling khas yang boleh digunakan di mesin layan diri terbabit untuk mendapatkan kereta yang ditempah.
Garcia berkata, mesin tersebut berbentuk seperti menara lima tingkat yang dindingnya diperbuat daripada kaca dan boleh memuatkan 20 buah kereta dalam satu-satu masa.
Katanya lagi, sistem tersebut memudahkan pengguna men­dapatkan kereta yang telah ditempah di laman web, sekali gus mengurangkan kos penghantaran yang perlu ditanggung pelanggan sebelum ini.
“Pelanggan jimat sebanyak AS$2,000 (RM8,500) untuk kos penghantaran. Selain itu pelanggan juga dapat merasai pengalaman menarik ketika menggunakan mesin layan diri berkenaan,” ujar Garcia.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/mudahnya-beli-kereta-1.160532#sthash.hbdybqWZ.dpuf

Friday, November 20, 2015

Badan harimau bintang dipenuhi duri landak



HARIMAU bintang ini mengerang kesakitan ketika cuba mengeluarkan duri landak dari badannya. - Agensi


LIMPOPO, Afrika Selatan – Seekor harimau bintang yang lapar menerima padah ketika cuba menerkam seekor landak selepas badannya dipenuhi dengan duri haiwan itu baru-baru ini.
Jurugambar, Helgard de Villiers yang merakamkan kejadian itu ketika mengunjungi Taman Negara Kruger, Afrika Selatan berkata, kedua-dua haiwan itu seakan-akan terlibat dalam satu pergaduhan hebat di sebalik semak sebelum harimau bintang berkenaan muncul dengan kesan luka pada badannya.
“Saya lihat harimau bintang itu mendekati sesuatu di sebalik semak dan ia kelihatan berwaspada dengan haiwan di hadapannya,” ujar de Villiers.
Harimau berkenaan menerkam dua ekor landak dan berjaya menangkap seekor landak yang lebih besar menggunakan kukunya.
Bagaimanapun, harimau bintang itu gagal dalam pemburuannya dan keluar dari semak dengan kesan kecederaan selain memerlukan masa lebih satu jam untuk menanggalkan duri landak tersebut daripada badannya. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1120&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3s06SwTuv 
Hakcipta terpelihara 

Kuman kebal antibiotik ancam penduduk dunia



IMEJ yang dirakam di bawah mikroskop menunjukkan bakteria E. coli. - AGENSI


PARIS – Benteng terakhir bagi melindungi manusia daripada jangkitan maut telah diatasi sekali gus meningkatkan risiko tercetusnya wabak global, kata beberapa saintis selepas mereka menemui sejenis bakteria yang kebal terhadap ubat antibiotik paling kuat.
Penemuan itu menjadi petanda bahawa Zaman Gelap mungkin akan kembali dan memadamkan kemajuan perubatan yang dicapai sejak beberapa abad lalu ekoran doktor-doktor tidak lagi berdaya mengawal jangkitan kuman biasa seperti E. coli.
“Penemuan ini amat membimbangkan,” kata penulis bersama kajian baharu itu, Profesor Liu Jian-Hua daripada Universiti Pertanian Selatan di China.
Jian-Hua dan rakan-rakan penyelidiknya me­nemui sejenis gen, MCR-1 yang menjadikan bakteria kebal terhadap kumpulan ubat antibiotik yang dikenali sebagai polimiksin, digunakan ke atas bakteria super.
Gen itu dikesan dalam bakteria biasa seperti E. coli dan K. Pneumoniae yang menjadi punca pneumonia dan jangkitan darah. Ia menyebabkan dua bakteria itu kebal terhadap ubat-ubatan.
Sebelum ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah memberi amaran bahawa bakteria kebal itu boleh menyebabkan manusia kembali ke era sebelum antibiotik apabila jangkitan atau luka kecil boleh membawa maut.
Menurut Jian-Hua, bakteria super itu dikesan semasa pemeriksaan berkala ke atas sebilangan ternakan babi dan ayam di selatan China. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1120&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3s065knjD 
Hakcipta terpelihara 

Thursday, November 19, 2015

Lelaki bela lintah gergasi sebagai haiwan peliharaan



RAKAMAN video menunjukkan seekor lintah gergasi peliharaan menghisap darah pada lengan tuannya di satu lokasi tidak diketahui di Jepun.


TOKYO, Jepun – Seorang lelaki memilih untuk membela seekor lintah gergasi sebagai haiwan peliharaan selain memuat naik di internet rakaman video haiwan itu menghisap darah pada lengannya.
Video yang agak menggerunkan itu menunjukkan lintah gergasi sebesar lengan diberi makan tengah malam dengan menghisap darah tuannya sendiri.
Sambil lintah terus menghisap darahnya, lelaki yang tidak dikenali itu secara bersahaja menyuluh lampu di badan haiwan peliharaannya bagi menunjukkan saiz sebenar makhluk tersebut.
Seekor lintah akan menggigit sebelum melekatkan mulut pada kulit mangsanya dan terus menghisap darah sehingga kenyang sebelum melepaskan cengkamannya.
Kebanyakan spesies lintah bagaimanapun tidak memakan darah manusia dan lebih menyukai haiwan kecil tanpa tulang yang ditelannya sekali gus seperti seekor ular sawa.
Lintah yang memang digunakan dalam perubatan tradisional juga telah kembali digunakan dalam perubatan alternatif khususnya bagi mengelakkan darah membeku serta pembedahan plastik.
– Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1119&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3rssNgiwf 
Hakcipta terpelihara 

Wednesday, November 18, 2015

Objek asing bentuk segi tiga didakwa UFO


17 NOVEMBER 2015
UFO

UFO Sedutan rakaman yang dimuatnaik oleh Lou

PENAMPAKAN objek asing berbentuk segi tiga di langit malam di Melbourne, Australia menarik beribu-ribu perhatian pelayar termasuk pemburu UFO (unidentified flying object).

Melalui sebuah video yang dimuatnaik UFO Lou di YouTube 13 November lepas, UFO berkenaan didakwa sebuah 'struktur mega' (mega structure) yang muncul hanya untuk beberapa saat dan hilang tidak berapa lama kemudian.

"Objek kelihatan statik, muncul selama beberapa minit kemudian hilang. Sangat besar. Saya menggunakan lensa 50mm," kata Lou.

Menurut Dailymail, Lou sentiasa meninggalkan kameranya untuk merakam keadaan langit pada waktu malam dan akan melihat rakaman keesokan harinya.

Majoriti pelayar meluahkan rasa kagum dan menyifatkan rakaman oleh Lou sebagai 'epik' dan unik, selain memberi semangat kepada pemburu-pemburu UFO.

"Ini rakaman yang sangat hebat. Terima kasih atas kerja keras anda dan orang seperti anda mungkin akan berjaya pada masa hadapan," kata Mark.

Oktober lepas, teleskop angkasa Kepler milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Negara Amerika Syarikat (NASA) telah merakam gejala pantulan cahaya yang ganjil.

Gejala pantulan cahaya yang tidak konsisten telah menyebabkan teori struktur mega mahluk asing menjadi perbualan hangat.

Nenek pelihara pokok sebagai ‘anak’


Salalumarada Thimmakka bergambar berlatarbelakangkan antara 384 pokok ara yang ditanam dan dijaga di tepi jalan di Kampung Hulikal sejak berpuluh-puluh tahun lalu. AGENSI
NEW DELHI 17 Nov. – Seorang wanita India yang tidak mempunyai zuriat mengambil keputusan menjadikan beratus-ratus pokok sebagai ‘anaknya’.
Menurut portal Oddity Central, kisah unik itu bermula apa­bila Salalumarada Thimmak­ka berkahwin dengan seorang petani, Chikkaiah berpuluh-puluh tahun dahulu, tetapi tidak dikurniakan zuriat sehingga me­nyebabkan mereka dicemuh oleh orang kampung.
Mengetepikan ce­mu­han tersebut, Thimmakka dan suami mengambil keputusan untuk menanam dan me­mu­lihara pokok-pokok ara di kawasan lapang dan di tepi-tepi jalan di Kampung Hulikal dekat Karnataka, menurut laporan itu.
Malah, Thimmikka menga­kui dia menjaga pokok terbabit seperti anaknya sendiri dengan memastikan tumbuh-tumbuhan itu tidak dijangkiti penyakit atau dirosakkan oleh haiwan liar.
Pada awalnya, dia menanam 10 batang pokok ara, sebelum menambah bilangannya setiap tahun, dan kini jumlahnya telah mencecah 384 batang pokok yang kesemuanya bernilai kira-kira 1.5 juta rupee (RM99,419).
Namun, selepas kematian suaminya pada 1991, kerajaan negeri Karnataka mengambil alih pokok-pokok tersebut, dan Thimmakka menerima banyak anugerah daripada kerajaan dan pertubuhan alam sekitar atas usahanya itu.
Bagaimanapun, nenek berusia 103 tahun itu masih dibelenggu kemiskinan selepas popularitinya dipergu­nakan pihak tertentu yang ma­hu mengaut keuntungan tanpa berkongsi dengannya.
Malah, katanya, tanah milik­nya dan mendiang suaminya juga dirampas oleh saudara-maranya yang tamak, tetapi dia bersyukur kerana kerajaan memberikan sebidang tanah dan pencen sebanyak 500 rupee (RM33) setiap bulan kepadanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/nenek-pelihara-pokok-sebagai-8216-anak-8217-1.159563#sthash.2KsNOLn4.dpuf

Tuesday, November 17, 2015

Dubai beli 20 pek jet

Dubai: Pasukan bomba Dubai akan dilengkapkan dengan 20 kelengkapan pek jet untuk memudahkan mereka memadamkan kebakaran di tingkat atas di bangunan tinggi.
Perkara itu didedahkan oleh sebuah syarikat penerbangan New Zealand.
Pesawat itu boleh berada di udara lebih 45 minit dan mencapai ketinggian kira-kira 1,000 meter, membolehkan pengendalinya memadamkan kebakaran seperti yang berlaku di bangunan Dubai Marina pada 21 Februari lalu.
Menurut Martin Aircraft Company Limited (Martin Aircraft), ia menandatangani perjanjian dengan Pertahanan Awam Dubai untuk membekalkan pek jet itu, termasuk dua simulator dan operasi sokongan dan latihan.
Pegawai tidak memberitahu kos pesanan itu.
Bagaimanapun, dengan setiap satu jet pak berharga AS$250,000 (RM1.2 juta), perjanjian itu mungkin mencecah Dh18.3 juta (RM22 juta), tidak termasuk kos tambahan.
Dalam kenyataannya, Martin Aircraft berkata, perjanjian urusniaga itu ditandatangani pada 9 November lalu ketika Pameran Udara Dubai.
Pengarah Operasi Pertahanan Awam Dubai Leftenan Kolonel Ali Hassan Al Mutawa berkata, penggunaan pek jet itu amat penting ketika Dubai meneruskan pembinaan bangunan pencakar langit.
Penghantaran jet pek itu dijangka bermula tahun depan.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2015 @ 7:09 AM


JET pek.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/93586#sthash.wuMTmi5M.dpuf

Monday, November 16, 2015

Polis Dubai tambah lagi kereta mewah

Dubai: Polis di sini menambah kereta mewah yang dimilikinya dengan yang terbaru, kereta hibrid Porche 918 Spyder menyertai pasukan berkenaan.
Kereta mewah mesra alam itu dipamerkan di Pameran Kereta Antarabangsa Dubai, semalam.
Ketua Polis Dubai, Mejar Jeneral Khamis Mattar Al-Mazeina berkata, kenderaan peronda mewah yang biasanya digunakan untuk meronda kawasan tumpuan pelancong itu dilengkapi teknologi dan kamera terkini.
Kenderaan itu juga dihubungkan secara elektronik dengan pusat kawalan Polis Dubai.
Menurutnya, penambahan kenderaan keselamatan mewah dalam pasukan polis Dubai menarik tumpuan media dunia.
April lalu, ia menambah tiga Porsche Panamera SE-Hybrid.
Khamis berkata, penambahan kereta hibrid itu menggambarkan komitmen polis Dubai terhadap alam sekitar.
Ia juga memiliki kereta terlaju Buggati Veyron sejak awal tahun ini. Kereta mewah lain yang dimiliki polis Dubai ialah Lamborghini Aventador, Ferrari FF, Chevrolet Camaro SS, Mercedes-Benz SLS AMG, Bentley Continental GT, edisi terhad Aston Martin One-77, Ford Mustang GT, BMW M6 Gran Coupé, a Brabus G63 AMG, Lykan HyperSport, Bugatti Veyron, Audi R8, Nissan GT-R, Mercedes-Benz SL63 AMG, McLaren MP4-12C, Hummer H3, Lexus GS dan beberapa yang lain. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 November 2015 @ 5:23 AM


KERETA hibrid Porche 918 Spyder, kereta mewah terbaru milik polis Dubai dipamerkan di Pameran Kereta Antarabangsa, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/93168#sthash.T3BCddxh.dpuf

Google Maps selesaikan misteri lelaki hilang pada 2006



AGENSI - IMEJ Google Maps menunjukkan sebuah kereta yang tenggelam dalam sebuah tasik di Michigan, AS baru-baru ini.


MICHIGAN, Amerika Syarikat (AS) – Misteri kehilangan seorang warga emas sejak sembilan tahun lalu terungkai selepas Google Maps berjaya merakam imej sebuah kereta yang tenggelam di dalam sebuah tasik.
Davie Lee Niles yang berusia 72 tahun dilaporkan hilang pada 11 Oktober 2006 selepas dia dilihat kali terakhir di Bar Jake di Byron.
Ketika itu, ahli keluarganya berkata, dia yang menghidap penyakit kanser telah keluar untuk menemui seorang rakannya.
Bagaimanapun, dia kemudian mening­galkan rakannya itu secara tiba-tiba, namun tidak pulang ke rumah. Mereka kemudian membuat laporan polis tetapi usaha mengesan gagal menemuinya.
Sementara itu, seorang kakitangan Google Maps, Brian Houseman berkata, dia terlihat imej kereta yang tenggelam di dalam sebuah tasik menyebabkan dia segera menghubungi pihak polis.
“Saya tidak sangka terdapat sebuah kereta yang tenggelam di tasik itu. Tidak ada sesiapa yang boleh mengesan objek itu dengan tepat memandangkan airnya agak keruh,” katanya.
Pihak polis kemudian menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) sebelum mengesahkan itu adalah mayat Niles. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1115&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3rdpZIffl 
Hakcipta terpelihara 

Saturday, November 14, 2015

Lima tahun cari isteri 'senasib'

Kerala (India): Impian sepasang kembar seiras lelaki berkahwin dengan pasangan kembar dan dinikahkan oleh dua paderi yang juga kembar akhirnya tercapai.
Dilraj dan Dinker Varikkassery berkahwin dengan pasangan kembar, Reema dan Reena dalam satu majlis di sebuah gereja di sini pada 8 November lalu.
Dalam majlis berkenaan, mereka bukan sahaja dinikahkan oleh dua paderi kembar, tetapi diiringi gadis pembawa bunga dan budak pengiring yang juga pasangan kembar.
Dilraj dan Dinker, 32, berkata, sejak kecil mereka melakukan perkara bersama-sama termasuk bersekolah dan belajar di kolej yang sama.
Kedua-dua mereka kini bekerja di bidang Teknologi Maklumat di syarikat yang sama.
“Sejak kecil kami melakukan perkara yang sama dan apabila dewasa kami memutuskan untuk berkahwin dengan kembar seiras sama seperti kami,” kata Dilraj.
Menurutnya, mereka mengambil masa selama lima tahun untuk mencari pasangan hidup yang sesuai termasuk membuat iklan di akhbar dan mengwujudkan satu laman di Facebook.
Pencarian mereka akhirnya berhasil selepas mereka bertemu pasangan kembar, Reena dan Reema yang bekerja sebagai jururawat.
“Apabila bertemu Reena dan Reema, kami terus tahu merekalah calon isteri yang kami cari selama ini,” kata Dilraj. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 November 2015 @ 5:17 AM


DILRAJ dan Dinker bergambar dengan pasangan masing-masing ketika majlis perkahwinan mereka.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/92979#sthash.ejMSX4TM.dpuf

Friday, November 13, 2015

Telefon polis kerana sunyi


Telefon polis kerana sunyi

12 NOVEMBER 2015
Telefon polis kerana sunyi Stuck Ockwell dan (gambar kecil) Doris.

GREATER MANCHESTER - BRITAIN. Seorang wanita berumur 95 tahun bertindak menelefon talian kecemasan kerana 'kesunyian'.

Memetik laporan Dailymail, pegawai polis, Stu Ockwell kemudian melawat Doris Thomson dan pasangannya tersebut kerana bimbang.

"Suaminya yang juga berumur 95 tahun sudah buta kerana manakala isterinya berusaha menjaganya. Aduan dibuat kerana mereka terdesak," kata Stu.

Menurut Stu, dia kemudian minum teh bersama-sama pasangan terbabit yang kemudian mula menceritakan kisah-kisah perang.

"Jiran juga menjaga pasangan terbabit dengan baik. Saya cuma datang untuk menenangkan mereka," jelas Stu.

Menerusi Twitter Stu, anggota polis tersebut juga yang membancuhkan teh.

Tambahnya, ada pihak yang mengecam tindakan pasangan warga emas terbabit yang membuat panggilan kecemasan palsu.

"Tetapi mereka sudah tua! Saya tetap datang untuk kebajikan mereka," tegasnya.

Suami Doris, Fred lega kerana masih ada pihak yang mengingati mereka.

"Bukan selalu dapat berbual dengan orang lain (selain Doris). Saya berasa sangat lega," kata Fred.

Burger terhebat tak guna daging

New York: Satu burger di kota New York dinobatkan yang terhebat di dunia walaupun tidak langsung mengandungi daging.
Superiority Burger terkenal berharga AS$6 (RM26) dibuat menggunakan patti sayur-sayuran dinamakan burger paling hebat di dunia oleh majalah GQ.
Pasti pilihan itu menimbulkan kontroversi, tetapi ramai yang memuji rasa dan tekstur patti burger itu tanpa mengetahui ia sebenarnya tidak langsung menggunakan daging lembu.
Burger itu dihidangkan dengan roti ban, daun salad dan tomato selain jeruk dil dan sos. Pemilik Superiority Burger East Village, Brooks Headley berkata, isi kandungan burger sayuran rahsianya.
Namun, bekas pemain dram kumpulan punk rock itu berkata, burger vegetarian semakin popular di negara itu.
“Saya tidak perlu makan daging untuk menikmati burger yang sempurna. Keenakannya dinikmati secara menyeluruh, setiap kunyahan patti burger digabungkan dengan ban, daun salad dan sos memberi kepuasan yang tidak dapat digambarkan,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2015 @ 7:37 AM


SUPERIORITY burger dinamakan yang terhebat di dunia.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/92666#sthash.KpQHQR6Y.dpuf

'Hutan' menegak dibina di Lausanne

Lausanne (Switzerland): Seorang arkitek Itali merancang membina menara ‘hutan menegak’ di Switzerland.
Stefano Boeri berkata, menara setinggi 36 tingkat di Lausanne itu bakal menjadi yang pertama di dunia dilitupi tumbuhan malar hijau sama seperti konsep digunakan untuk dua bangunan pencakar langit di Milan.
Kompleks dirancang dibina itu umumnya kediaman, tetapi juga merangkumi pejabat, gimnasium dan restoran panoramik di tingkat atas.
Projek digelar ‘La Tour des Cedres’ mempunyai tumbuh-tumbuhan ditanam dalam kotak konkrit sepanjang sisi bangunan, yang bertujuan memerangkap habuk seterusnya memperbaiki kualiti udara di kawasan berkenaan.
“Bentuk bangunan ini dan warna pokok serta tumbuhan yang berubah mengikut musim akan menjadikannya mercu tanda indah di Tasik Geneva.
“Ini akan menjadikan Lausanne bandar canggih ketika dunia berusaha menggabungkan elemen kualiti kehidupan bandar dengan kemampanan dan biodiversiti,” katanya kepada majalah Dezeen. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2015 @ 7:31 AM


LAKARAN artis mengenai bangunan 36 tingkat yang dirancang dibina di Switzerland.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/92656#sthash.NtOfuxkC.dpuf

Algojo veteran meninggal dunia

Riyadh: Seorang algojo veteran yang terbabit memancung puluhan pesalah di Arab Saudi meninggal dunia pada usia 70-an.
Menurut media tempatan, Ali Hamil Salami meninggal dunia di kediamannya di wilayah Jazan, selatan Saudi, kelmarin, selepas sakit sekian lama.
Dia antara algojo terkenal dan paling lama berkhidmat.
Turut mengucapkan takziah kepada keluarga Ali ialah Gabenor Jazan Putera Mohammed bin Naser bin Abdul Aziz.
Arab Saudi baru-baru ini mengiklankan kekosongan jawatan tukang pancung di negara itu dan mempelawa mereka yang layak mengisi lapan kekosongan jawatan itu.
Pemohon tidak perlu memiliki kelayakan atau kemahiran tertentu.
Selain memancung kepala, mereka yang menjawat jawatan itu juga perlu melaksanakan hukuman lain, termasuk memotong tangan pesalah yang didapati mencuri.
Arab Saudi mahu menambah jumlah tukang pancung kerana semakin ramai pesalah disabitkan dengan hukuman mati. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2015 @ 7:26 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/92648#sthash.QeoRatia.dpuf

Lelaki dipercayai paling tinggi di dunia meninggal dunia

Bangkok: Seorang lelaki yang dipercayai manusia paling tinggi di dunia meninggal dunia akibat komplikasi penyakit yang berpunca daripada kadar pertumbuhannya yang terlalu cepat.
Pornchai Saosri yang mempunyai ketinggian 2.69 meter meninggal dunia pada usia 26 tahun di kediaman keluarganya di kampung Ban Takaeo di wilayah Prasat, Thailand pada Isnin lalu.
Diberi nama timangan Oaf oleh keluarganya, dia baru-baru ini dimasukkan ke hospital dan hanya mampu berbaring kerana menghidap pelbagai penyakit.
Oaf dilaporkan sebagai lelaki paling tinggi di dunia, tetapi dia tidak pernah mendapat pengiktirafan rasmi kerana tidak mampu berdiri lurus dan ketinggiannya hanya diukur ketika duduk.
Lelaki paling tinggi di dunia yang dicatat dalam Rekod Dunia Guinness kini dipegang Sultan Kosen dari Turkey yang mempunyai ketinggian 2.51 meter.
Pornchai menderita penyakit darah tinggi dan meninggal dunia sejurus pulang dari hospital selepas dirawat selama seminggu.
Lelaki itu dijaga oleh ibunya, Woen Saosri, 56, dan bapanya, Saran, 60, dan anak saudara perempuannya yang berusia 15 tahun.
Woen dilaporkan menemui anaknya sudah tidak bernyawa ketika pulang ke rumah selepas mengambil upah mencuci pinggan.
Keluarga Pornchai sebelum ini pernah merayu orang ramai membantu membiayai kos perubatan lelaki itu.
Pornchai ketika itu berkata, dia mahu sebuah katil yang boleh digerakkan ke atas dan ke bawah seperti di hospital untuk memudahkan pergerakannya.
“Saya juga mahu mempunyai wang bagi membayar hutang ibu saya yang sudah tua ini,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2015 @ 7:34 AM


PORNCHAI tidak mampu berdiri dan dijaga oleh ibu bapanya dan anak saudara perempuannya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/92662#sthash.TW7kshmb.dpuf

Dakwa kapal karam British bawa 100,000 syiling emas




IMEJ fail bertarikh 29 April 2010 ini menunjukkan Collado di hadapan model kapal Lord Clive yang tenggelam pada tahun 1763


COLONIA DEL SACRAMENTO, Uruguay – Seorang pemburu harta karun kini berusaha mengeluarkan khazanah di dalam sebuah kapal perang British, Lord Clive yang tenggelam di perairan Uruguay lebih 250 tahun lalu.
Ruben Collado percaya kapal terbabit membawa 100,000 syiling emas ketika terkena bedilan meriam oleh tentera Sepanyol pada tahun 1763 apabila Britain dan Portugal cuba menawan bandar Colonia del Sacramento semasa Perang Tujuh Tahun.
Pengembara dari Argentina itu menghabiskan masa 14 tahun mencari bangkai kapal tersebut sebelum menemuinya secara tidak sengaja pada tahun 2004 selepas kipas botnya melanggar sebatang tiang yang tenggelam di muara Sungai Plate.
Selepas menunggu lebih 10 tahun untuk mendapatkan keizinan dengan pihak berkuasa Uruguay, Collado akhirnya bakal memenuhi impiannya untuk menarik bangkai kapal itu ke permukaan, membaiki kerosakannya dan membawanya ke pantai.
Collado berkata, dia percaya kapal itu membawa emas dan telah meyakinkan pelabur untuk membiayai usahanya menaikkan kapal terbabit.
"Saya seorang pemburu harta karun profesional. Jika kapal berkenaan tidak mempunyai apa-apa harta karun, pelabur tidak akan mempertaruhkan apa-apa wang," katanya.
Proses itu akan mengambil masa dua tahun untuk membersihkan batu-batu dan lumpur, menggerakkan kekisi logam besar di bawah kapal, membaiki dan menaikkannya sebelum dibawa ke pantai.
– AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1113&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3rK2zPDhZ 
Hakcipta terpelihara 

Gadis makan 22 biji 
burger dalam setengah jam


Zisser bersungguh-sungguh cuba menghabiskan kesemua 30 burger Big Macs bagi memecah rekod dunia yang dipegang Matt Stonie, namun gadis dari New Zealand ini gagal dalam percubaannya keeana hanya mampu menghabisakan 22 biji burger sahaja. AGENSI
LONDON 12 Nov. – Seorang gadis berasal dari New Zealand, mencipta ‘rekod’ tersendiri berjaya menghabiskan 22 biji burger BIG MACS dalam tempoh kurang dari satu jam dan menjadi viral di Internet, semalam, walaupun gagal dalam cubaannya untuk memecah rekod dunia yang dicatat sebelum ini.
Nela Zisser, 22, dari Auckland berjaya menghabiskan 12,000 kalori burger, seberat 4.5 kilogram yang menyamai berat seorang bayi, dalam masa yang singkat.
Portal berita Mirror Online melaporkan, cubaan gadis cantik itu memang menakjubkan.
Sebelum ini seorang lelaki Matt Stonie mencatat rekod dunia berjaya menghabiskan 25 biji burger McDonald dalam masa 22 minit.
Pada mulanya, Zisser membeli 30 biji burger McDonald dalam usahanya untuk memecah rekod dunia yang dicatat oleh Stonie.
Dalam usaha mencatat rekod dunia itu, Zisser terlebih dahulu minum segelas besar air Coke Zero dan air biasa bagi membantunya menghabiskan kesemua 30 biji burger tersebut, namun Zisseer mula memperlahankan kunyahannya lalu berhenti selepas menghabiskan burger ke-22.
Zisser terpaksa berhenti mengunyah dan tidak dapat menghabiskan baki lapan biji burger lagi yang dibelinya bagi memecah rekod yang dilakukan Stonie sebelum ini.
“Saya rasa itu merupakan makanan paling banyak yang saya pernah makan sepanjang hidup saya.
“Secara jujur saya kagum bagaimana Matt Stonie dapat melakukannya dengan menghabiskan 25 biji burger dalam 22 minit,” katanya.
“Namun, saya cukup gembira dapat menghabiskan 22 biji burger. Saya sangka hanya dapat menghabiskan antara 18 atau 19 burger sahaja,” tambah Zisser.
Menurut Zisser dia membelanjakan sebanyak AUS$180 (RM552) untuk membeli kesemua 30 burger itu.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/gadis-makan-22-biji-8232-burger-dalam-setengah-jam-1.157667#sthash.gh7SvfYw.dpuf

Planet baharu sebesar bumi


LOS ANGELES 12 Nov. - Ahli astronomi, hari ini melaporkan mereka menemui sebuah planet baharu sebesar planet bumi yang terletak di luar sistem solar.
Planet GJ 1132b terletak kira-kira 39 tahun cahaya dari bumi dan merupakan planet bersaiz bumi paling dekat pernah ditemui. AGENSI
Laman web Bussines Insider melaporkan, planet yang dikenali sebagai GJ 1132b itu terletak kira-kira 39 tahun cahaya dari bumi dan merupakan planet bersaiz bumi paling dekat pernah ditemui.
Planet sebesar bumi yang paling dekat ditemui sebelum ini terletak kira-kira 57 tahun cahaya dari bumi.
“GJ 1132b boleh dikatakan planet yang paling penting yang pernah ditemui di luar sistem solar.
“Ini kerana jarak planet berkenaan yang dekat, cukup untuk pengkaji menggunakan teleskop menjalankan kajian dan memantau sebarang perubahan atmosfera,” kata ahli astronomi dari Universiti Maryland, Drake Deming.
Kini, ahli astronomi berusaha menjalankan kerja-ker­ja mengkaji atmosfera planet berkenaan dalam usaha mencari hidupan di dalam­nya.
Kajian turut akan menjurus kepada ujian aliran cahaya ke dalam planet berkenaan termasuk komposisi gasnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/planet-baharu-sebesar-bumi-1.157669#sthash.rnEfZJnR.dpuf