Pages

Friday, November 13, 2015

Planet baharu sebesar bumi


LOS ANGELES 12 Nov. - Ahli astronomi, hari ini melaporkan mereka menemui sebuah planet baharu sebesar planet bumi yang terletak di luar sistem solar.
Planet GJ 1132b terletak kira-kira 39 tahun cahaya dari bumi dan merupakan planet bersaiz bumi paling dekat pernah ditemui. AGENSI
Laman web Bussines Insider melaporkan, planet yang dikenali sebagai GJ 1132b itu terletak kira-kira 39 tahun cahaya dari bumi dan merupakan planet bersaiz bumi paling dekat pernah ditemui.
Planet sebesar bumi yang paling dekat ditemui sebelum ini terletak kira-kira 57 tahun cahaya dari bumi.
“GJ 1132b boleh dikatakan planet yang paling penting yang pernah ditemui di luar sistem solar.
“Ini kerana jarak planet berkenaan yang dekat, cukup untuk pengkaji menggunakan teleskop menjalankan kajian dan memantau sebarang perubahan atmosfera,” kata ahli astronomi dari Universiti Maryland, Drake Deming.
Kini, ahli astronomi berusaha menjalankan kerja-ker­ja mengkaji atmosfera planet berkenaan dalam usaha mencari hidupan di dalam­nya.
Kajian turut akan menjurus kepada ujian aliran cahaya ke dalam planet berkenaan termasuk komposisi gasnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/planet-baharu-sebesar-bumi-1.157669#sthash.rnEfZJnR.dpuf

Thursday, November 12, 2015

Gambar menakjubkan pengantin dalam hujan jadi viral



AGENSI - GAMBAR Jessica dan Nick yang dirakam dalam hujan oleh Stewart berjaya memukau khalayak yang melihatnya.


NEW SOUTH WALES, Australia – Kebimbangan sepasang pengantin baru di sini terhadap cuaca mendung pada majlis perkahwinan mereka bertukar menjadi pengalaman menakjubkan melalui rakaman gambar intim di dalam hujan memukau khalayak.
Sebelum itu, Jessica Gower, 30, dan suaminya, Nick Gower, sudah pun memeriksa keadaan ramalan cuaca memandangkan majlis tersebut diadakan di lokasi terbuka di Southern Highlands.
Bagaimanapun, hujan yang turun pada saat-saat akhir membuatkan jurugambar pasangan pengantin berkenaan, Thomas Stewart memanfaatkan panorama tersebut dengan merakam beberapa gambar.
“Apabila saya melihat foto tersebut di laman sosial Facebook yang dimuat naik Stewart, saya rasa seperti terawang-awang. Ia kelihatan seperti gambar cerita dongeng antara puteri dan putera raja,” kata Jessica.
Sementara itu, menurut Stewart dia hanya mengambil masa 30 saat dan lima percubaan merakam gambar momen paling istimewa itu dan ternyata ia menjadi sesuatu yang amat sempurna.
Pengguna media sosial turut melahirkan rasa kagum terhadap gambar tersebut yang mendapat lebih 25,000 Likes dan dikongsi hampir 10,000 orang. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1112&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3rEBuKctC 
Hakcipta terpelihara 

Wednesday, November 11, 2015

Jadi gelandangan selama 
11 tahun akibat tertinggal bas


Rolf Bantle menghabiskan masa selama 11 tahun di Milan sebagai gelandangan selepas ditinggalkan bas penyokong gara-gara tersesat di dalam Stadium San Siro pada 25 Ogos 2004. AGENSI
MILAN 10 Nov. – Pada Ogos 2004, Rolf Bantle datang dari Switzerland ke Itali semata-mata mahu menyaksikan pasukan kesaya­ngannya, Basel FC menentang pasukan Inter Milan di sebuah bandar di negara ini.
Namun selepas selesai perlawanan, lelaki berusia 71 tahun itu tersesat jalan menyebabkan dia terkandas di Milan selama 11 tahun dan terpaksa hidup sebagai gelandangan.
Mengimbas kembali bagaimana situasi itu boleh berlaku, Bantle yang berasal dari Basel, berkata, dia datang ke Stadium San Siro pada 24 Ogos 2004 bersama sekumpulan penyokong menaiki bas untuk menyaksikan perlawanan getir Liga Juara-Juara tersebut.
Namun ketika perlawanan berlangsung, Bantle pergi ke tandas di stadium tersebut, tetapi gagal mencari tempat duduk yang ditempah bersama rakan-rakannya.
Malah selepas habis perlawanan, dia gagal muncul di tempat bas menunggu dan ditinggalkan di stadium tersebut.
“Saya berada di bahagian lain stadium itu dan gagal menemui kumpulan penyokong yang datang bersama saya.
“Saya hanya mempunyai 20 euro (RM94) sahaja dan tidak mempunyai telefon bimbit, menyebabkan saya terpaksa hidup berkelana di Milan,” katanya se­perti dilaporkan portal Oddity Central.
Di sebalik berasa panik, Bantle menyedari dia tidak mempunyai komitmen dan tiada saudara lain, sekali gus mengambil keputusan untuk menikmati kebebasan tersebut di kota Milan.
Bantle berkata, dia berjaya meneruskan kehidupan disebabkan kebaikan penduduk tempatan selain menggunakan tandas awam untuk mandi dan mengunjungi perpustakaan tempatan.
Kisah Bantle hanya diketahui umum baru-baru ini selepas dia mengalami keretakan tulang paha kerana terjatuh dan tidak mempunyai insurans kesihatan untuk mendapatkan rawatan di hospital di Itali.
“Pihak hospital kemudiannya menghubungi Kedutaan Switzerland dan saya dibawa pulang ke tanah air sebelum ditempatkan di rumah orang-orang tua di Basel.
“Pengalaman berkelana seorang diri di Milan selama 11 tahun merupakan kenangan yang menggembirakan dalam hidup saya,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/jadi-gelandangan-selama-8232-11-tahun-akibat-tertinggal-bas-1.156993#sthash.I69iwUIv.dpuf

Pangsapuri bertindan


Dinobat Binaan Sepanjang Tahun kerana seni bina unik
11 November 2015 12:17 AM



SINGAPURA 10 Nov. - Satu struktur unik yang terdiri daripada blok bangunan pangsapuri dan kedai di Singapura, dinobatkan sebagai Binaan Sepanjang Tahun dalam acara tahunan Festival Seni Bina Dunia Kelapan, baru-baru ini.
The Interlace atau lebih terkenal dengan gelaran ‘Vertical Village’ yang direka bentuk oleh firma Metropolitan Architecture dan Buro Ole Scheeran, telah menerima banyak pujian kerana pendekatannya yang radikal dan alternatif ke arah kehidupan dalam persekitaran tropika.
Portal berita independent.co.uk melaporkan, acara tahunan itu diadakan di sebuah pusat peranginan berprestij, Marina Bay Sand, di Singapura dari 4 hingga 6 November lalu.
Pengarah festival, Paul Finch berkata, projek perumahan itu merupakan sebuah binaan yang menakjubkan dengan rekaan yang berani selain memaparkan idea seni bina kontemporari.
“Projek ini mempersembahkan satu gaya pemikiran alternatif dalam pembangunan,” ujarnya.
Binaan istimewa itu mengan­dungi 31 blok tindanan kediaman dan enam blok bangunan kedai.
Selain itu, bangunan tersebut turut dilengkapi kolam renang, gelanggang tenis, dan taman bunga.
Festival Seni Bina Dunia 2016 akan diadakan di Berlin, Jerman selepas diadakan selama empat tahun berturut-turut di negara ini.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pangsapuri-bertindan-1.156997#sthash.GqU96WDl.dpuf

Tuesday, November 10, 2015

India tuntut pulangkan mahkota berlian




AGENSI - RATU Elizabeth (kanan) dilihat memakai mahkota Koh-i-Noor semasa pertabalan mendiang suaminya.


NEW DELHI – Beberapa pelakon Bollywood dan ahli perniagaan di sini mengambil tindakan saman ke atas kerajaan Britain supaya memulangkan semula sebuah mahkota berlian bernilai £100 juta (RM661 juta) yang didakwa dicuri dari negara itu.
Mahkota yang dikenali sebagai Koh-i-Noor itu pernah dipakai pemerintah Britain, Ratu Elizabeth semasa pertabalan mendiang suaminya, George VI dan anaknya.
Prosiding perbicaraan kes untuk mendapatkan semula mahkota 105 karat itu dijangka dibawa ke Mahkamah Tinggi London.
“Koh-i-Noor bukan sahaja sekadar berlian 105 karat, namun ia adalah sebahagian sejarah dan budaya kami. Mahkota itu sepatutnya dikembalikan semula,” kata David de Souza yang mengetuai kumpulan untuk mendapatkan semula mahkota berkenaan.
Bagaimanapun, Britain menolak tuntutan untuk mengembalikan semula mahkota berbentuk bujur yang dihadiahkan oleh kerajaan India kepada Ratu Victoria pada tahun 1851 itu.
Seorang ahli sejarah, Andrew Roberts berkata, semua pihak perlu mengiktiraf bahawa Britain adalah tempat yang paling sesuai untuk menempatkan Koh-i-Noor.
“Malah, penglibatan Britain di India sejak tiga abad lalu telah membawa banyak pembaharuan terutama dari segi pemodenan, perlindungan, pembangunan, pertanian, penyatuan bahasa dan demokrasi,” katanya. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1110&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3r5CgzS3V 
Hakcipta terpelihara 

Lahirkan bayi pada usia kandungan 5 bulan



AGENSI - DONNA akhirnya dapat memeluk Wade selepas dilahirkan empat bulan lebih awal berbanding jangkaan tarikh sebenar.


LIVERPOOL, Britain – Seorang bayi akhirnya dibenarkan pulang ke rumahnya di sini selepas dilahirkan pada usia 23 minggu dalam kandungan.
Bayi ajaib tersebut, Wade Burgess sepatutnya dilahirkan bulan lepas tetapi lahir lebih awal pada 14 Jun dengan berat cuma 1.3 kilogram.
Berikutan keadaan itu, Wade terpaksa disambungkan dengan mesin keselamatan selama empat bulan menyebabkan ibunya, Donna tidak dapat menyentuhnya dan hanya melihat dari dinding kaca kerana dia terlalu lemah.
“Tidak dapat menyentuhnya merupakan saat yang amat memeritkan tetapi Wade merupakan bayi yang sangat ajaib,” kata Donna yang kini gembira dapat memeluk anaknya itu.
Wade bagaimanapun masih memerlukan sokongan oksigen bagi membantunya bernafas kerana paru-paru yang lemah tetapi doktor berharap dia tidak mendapat mempunyai masalah kesihatan dalam jangka masa panjang.
Kelahiran normal berlaku apabila bayi dalam kandungan berusia antara 39 hingga 41 minggu. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1110&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3r5CT9Vik 
Hakcipta terpelihara 

Kahwin' dengan patung lepas hidap kanser


9 NOVEMBER 2015

'Kahwin' dengan patung lepas hidap kanser

'Kahwin' dengan patung lepas hidap kanser Antara gambar perkahwinan lelaki yang mengahwini patung.

BEIJING - CHINA. Seorang lelaki mengambil keputusan mengahwini patung selepas disahkan mengidap penyakit kanser.

Lelaki yang berusia 28 tahun itu berbuat demikian bagi mengelakkan melukakan hati wanita sebenar selepas dia meninggal dunia kelak.

Menurut jurugambar yang mengambil gambar perkahwinan pasangan tersebut berkata, walaupun tidak bersetuju dengan keputusan lelaki itu untuk berkahwin dengan patung, namun dia tetap menghormati keputusan lelaki itu.

"Lelaki berkenaan berhak untuk membuat pilihan dan bebas untuk memilih apa yang disukainya," katanya dipetik CCTV News.

Foto perkahwinan lelaki mendapat perhatian netizen  selepas beberapa foto perkahwinannya itu tersebar di laman sosial.

Terkejut lihat video isteri hisap shisha


WARTAWAN SINAR HARIAN
9 NOVEMBER 2015

hisap shisha

 Gambar hiasan

KUWAIT CITY - KUWAIT. Seorang lelaki Kuwait menceraikan isterinya selepas terkejut melihat perilaku isterinya yang menghisap shisha di dalam sebuah rakaman video.

Memetik laporan Emirates, wanita berkenaan yang menghisap shisha tanpa pengetahuan suaminya itu merakamkan tabiatnya itu dan kemudian berkongsinya dengan seorang rakannya melalui aplikasi Snapchat.

Namun, dia secara tidak sengaja turut menghantar video berkenaan kepada suaminya.

Berang dengan perilaku isterinya yang merokok di luar pengetahuannya, lelaki berkenaan terus bertindak menceraikan isterinya.

Universiti haramkan ‘couple’ makan bersuap


Universiti haramkan ‘couple’ makan bersuap

9 NOVEMBER 2015
Universiti haramkan ‘couple’ makan bersuap Gambar hiasan

JILIN - CHINA. Sebuah universiti di daerah Jilin, China menguatkuasakan pengharaman makan bersuap bagi pasangan kekasih di kafeteria kampus pusat pengajian itu.

Memetik laporan sebuah portal antarabangsa, penguatkuasaan peraturan baharu universiti berkenaan dilaksanakan selepas pihak pengurusan tidak dapat mengawal tingkah laku kurang sopan pelajarnya.

Kebanyakan pelajar universiti tersebut melahirkan rasa terkejut ke atas larangan yang dikenakan, bagaimanapun hampir kesemua pelajar melahirkan rasa geli hati terhadap peraturan baharu yang dirasakan tidak masuk akal itu.

Difahamkan, peraturan baharu yang dikenakan termasuk larangan berpegangan tangan dan berpelukan di kafeteria universiti.

Bagaimanapun larangan makan bersuap adalah peraturan yang paling menarik perhatian dan dianggap lucu oleh seluruh isi kampus.

Seorang pelajar kampus memberitahu pemberita bahawa dia tidak pernah melihat mana-mana pasangan makan bersuap di kafeteria universiti berkenaan.

Pelajar tersebut yang tidak mahu dinamakan bagaimanapun beranggapan peraturan tersebut mungkin diperlukan bagi pihak pengurusan yang ingin mengawal tingkah laku pelajar.

“Saya boleh terima peraturan-peraturan ini dan saya tidak akan buat kesilapan seperti ini.

“Dan juga… Saya tidak mempunyai teman lelaki,” katanya berseloroh.

Seorang pekerja kafeteria ketika ditemui pemberita mengesahkan dakwaan pelajar terbabit.

Menurutnya, dia tidak pernah melihat sebarang adegan suap-menyuap antara pasangan pelajar  sejak berkhidmat di kafeteria di universiti berkenaan.

Dalam pada itu, seorang guru berkata, peraturan baharu itu dikenakan hanya sebagai langkah pencegahan yang dilaksanakan di universiti itu.

Pembantu rumah beli vila


Riyadh: Seorang pembantu rumah warga Indonesia menjadi pemilik sebuah vila besar hasil daripada gajinya SR1,000 (RM1,200) sebulan yang dikumpul sepanjang 10 tahun dia bekerja.

Media tempatan semalam menyiarkan gambar vila itu yang dirakam Mohammed Azuz, bekas majikan pembantu rumah yang namanya tidak disiarkan itu.

“Inilah gambar vila yang dimiliki oleh bekas pembantu rumah saya di Arab Saudi.

“Dia sudah bekerja dengan saya sejak 10 tahun lalu dan saya bersumpah dia begitu jujur dan tidak pernah mencuri,” kata Mohammed Azuz, merujuk kepada gambar vila yang disiarkan di laman sosial itu.

Dia bagaimanapun tidak menyebut di mana vila itu.

Menurut akhbar Saudi, ramai rakyat negara itu terkejut dengan rumah yang dimiliki pembantu rumah berkenaan dengan berkata, ribuan golongan Saudi masih tidak memiliki rumah walaupun mereka meraih pendapatan lebih tinggi berbanding wanita itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2015 @ 6:52 AM

Gambar yang tersebar di media sosial Arab Saudi menunjukkan gambar vila yang didakwa dimiliki pembantu rumah Itu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/91812#sthash.fUrSdZp0.dpuf

Ujian peluru berpandu disangka UFO

CAHAYA yang dilihat di angkasa lepas di Amerika Syarikat yang disangka UFO.
Los Angeles: Ujian peluru berpandu di luar pantai California semalam mencetuskan kekecohan di media sosial apabila orang ramai menyangka mereka melihat objek terbang yang tidak kenali (UFO).

Hashtag di Twitter #Navy, #comet dan #UFO menjadi perbicaraan hangat selepas pengguna media sosial memuatnaikkan video dan gambar cahaya misteri yang menerangi angkasa lepas dalam kegelapan malam.


“Ada UFO di Los Angeles. Saya teruja. Saya sudah bersedia,” tulis Shane Dawson, yang terkenal kerana videonya di YouTube, di akaun Twitternya.

Seorang lagi pengguna @AnieJacobson menulis: “UFO di Los Angeles. Ia bukan komet. Anak saya melihat UFO di Hollywood.”



Akhbar San Diego Union melaporkan, cahaya itu boleh juga dilihat penduduk di Nevada dan Arizona sementara pihak berkuasa menerima banyak panggilan melaporkan kejadian itu.

Bagaimanapun, ketika orang ramai sibuk meramalkan dunia akan kiamat berikutan kejadian itu, pegawai mengeluarkan kenyataan untuk menjelaskan kejadian itu.

“Program Sistem Strategik Tentera Laut melakukan ujian peluru berpandu Trindent II di laut dari USS Kentucky (kapal perang) di Lapangan Ujian Pasifik di luar pantai California Selatan.

“Ujian itu diadakan seperti yang dijadualkan sebelum ini,” kata Komodor Tentera Laut Ryan Perry. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2015 @ 6:49 AM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/91806#sthash.QCqgFrJA.dpuf

Ratu Elizabeth disaman?


Selebriti Bollywood mahu Britain pulangkan berlian RM654j
10 November 2015 12:37 AM


Ratu Victoria (kiri) memakai mahkota bertatah berlian Koh-i-Noor bergambar bersama Ratu Elizabeth ketika kecil. AGENSI

LONDON 9 Nov. - Pemerintah Britain, Ratu Elizabeth II bakal berdepan tindakan undang-undang apabila sekumpulan ahli perniagaan India dan selebriti Bollywood menuntut pemulangan sebutir berlian yang menghiasi mahkota diraja negara ini.
Batu permata seberat 105 karat digelar Koh-i-Noor yang dipercayai dilombong di India kira-kira 800 tahun lalu itu, dihadiahkan kepada bonda Ratu Elizabeth II, Ratu Victoria semasa Britain menjajah India.
Tuntutan undang-undang itu dikemukakan di Mahkamah Tinggi London dan dibiayai kumpulan Titos diketuai pengasasnya, David de Souza.
“Berlian Koh-i-Noor merupakan satu daripada artifak yang ‘dicuri’ dari India. Penjajah Britain bukan sahaja ‘merompak’ kekayaan rakyat India, tetapi juga memusnahkan maruah negara itu (India),” katanya kepada Sunday Telegraph seperti dilaporkan Mail Online.
Bagaimanapun, usaha membawa pulang berlian Koh-i-Noor yang bernilai 100 juta pound (RM654 juta) itu agak janggal kerana Perdana Menteri India, Narendra Modi dijangka mengunjungi Istana Buckhingham minggu ini.
Bintang Bollywood, Bhumicka Sing berkata, Koh-i-Noor adalah sebahagian daripada sejarah dan kebudayaan India, sekali gus tanpa ragu-ragu ia perlu dikembalikan kepada India.
Kerajaan Britain menolak tuntutan supaya berlian itu dipulangkan selepas ia dihadiahkan kepada Ratu Victoria pada 1851 oleh pemimpin terakhir Sikh, Duleep Singh semasa penjajahan Britain di Punjab.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/ratu-elizabeth-disaman-1.156753#sthash.S56Z2NwE.dpuf

Monday, November 9, 2015

Pemuda tidak minum air tiga tahun


Peter Filak
LOS ANGELES 8 Nov. – Seorang lelaki berusia 26 tahun mengejutkan ramai pihak termasuk pakar pemakanan baru-baru ini apabila membuat pengakuan mampu kekal sihat tanpa minum walaupun seteguk air sejak hampir tiga tahun lalu.
Menurut laman web Oddity Central, bekas jururawat yang juga merupakan model webcam, Peter Filak memberitahu, kali terakhir dia minum air adalah pada 5 Mei 2012 dan kini bergantung sepenuhnya kepada buah-buahan dan sayuran sebagai diet harian.
Filak juga percaya, cara tersebut tidak akan menyebabkan masalah penghidratan dan mendakwa bahan seperti klorin dan fluorida untuk membersihkan air minuman boleh membahayakan tubuhnya.
“Saya akan bangun dari tidur dua hingga tiga kali setiap malam untuk membuang air kecil dengan makan buah dan sayur. Jadi, saya tidak perlu minum air lagi,” ujarnya di laman web miliknya, More Apples A Day.
Filak yakin pengambilan 800 hingga 1,000 kalori setiap hari berasaskan diet buah-buahan dan sayur-sayuran yang diamalkan dapat membantunya untuk terus hidup sehingga usia 150 tahun.
“Saya percaya usaha ini akan membantu saya untuk hidup lebih lama. Saya juga tidak perlu menghabiskan banyak masa di dapur dan tidak lagi berpeluh serta mempunyai masalah bau badan dengan diet ini,” katanya.
Namun, ramai yang tidak bersetuju dengan cara Filak itu termasuk Pakar Nutrisi Universiti New York, Profesor Lisa Sasson yang berpendapat bahawa menghidrat tubuh dengan air adalah amat penting dalam kehidupan seharian setiap manusia.
“Dehidrasi adalah sangat serius. Air mempunyai fluorida yang penting untuk kesihatan gigi, melancarkan fungsi tubuh serta membantu buah pinggang kita,” katanya.
habis.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pemuda-tidak-minum-air-tiga-tahun-1.156426#sthash.7ZeDn59E.dpuf

Sunday, November 8, 2015

Korek telaga, jumpa 'istana'


Beijing: Seorang petani terkejut apabila menemui gua karst di bawah halaman belakang rumahnya ketika menggali perigi.

Lelaki dikenali sebagai Zang itu membuat penemuan berkenaan 65 kaki di bawah tanah di rumahnya di daerah Qixian, wilayah Henan.

Kini orang ramai dari seluruh negara datang ke rumahnya untuk melihat gua misteri berkenaan.

Klip video selama tiga minit menunjukkan wartawan membawa kamera menunjukkan gua bawah tanah itu dengan ribuan stalagmit dan stalagtit berbentuk unik diperbuat daripada batu kapur, yang membentuk tiang serta teratai.

Zang berkata dia sekeluarga menggali perigi itu sejak 2007 kerana tanah itu tidak subur langsung. Pada 1 Oktober lalu mereka menemui gua bawah tanah berkenaan.

“Pada mulanya saya menyangka sudah menemui kubur, tetapi nyata kawasan ini terlalu besar. Hasil pemeriksaan mendapati ia tidak ubah seperti istana bawah tanah,” katanya. - Agensi
BATU berbentuk seperti bunga teratai.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 November 2015 @ 5:06 AM


Stalagmit dan stalagtit menghiasi gua bawah tanah itu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/91669#foto

Friday, November 6, 2015

Jadi jutawan dengan hanya kutip bola golf


04 November 2015 12:10 AM



TALLAHASSEE, Florida 3 Nov. – Seorang penganggur, Glenn Berger kini mampu mengumpul kekayaan sebanyak AS$15 juta (RM64 juta) dengan hanya mengutip bola golf di sekitar Florida.­
Portal berita odditycentral.com melaporkan, Berger kira-kira 14 tahun lalu terpaksa mencuri selepas ketiadaan pekerjaan, namun segalanya berubah selepas dia mendapat ilham yang mengubah kehidupannya menjadi seorang jutawan.
Dia memutuskan untuk menyelam di dasar tasik di sekitar padang golf di sekitar Florioda untuk mencari bola golf.
Setakat ini, dia telah membawa naik sebanyak 1.3 hingga 1.7 juta biji bola setahun.
“Ketika itu saya seorang pengganggur dan saya mencuri bola golf di padang golf berdekatan rumah saya. Kemudian saya menyedari, perkara itu tidak betul untuk mencari wang,” kata Berger.
Berikutan itu, dia mula menjual bola golf yang ditemukan di dalam tasik di padang golf pada harga serendah AS$1 (RM4.20) sebiji, keputusan yang berbaloi dan lumayan sejak dia mula melakukannya.
Bagaimanapun, kerjaya itu bukanlah mudah seperti yang disangka kerana dia terpaksa berdepan banyak bahaya dan cabaran di dasar tasik setiap hari antaranya, meja, kereta golf, mesin pemotong rumput, ular, dan yang paling teruk ialah buaya.
Katanya, dia akan sentiasa memastikan keadaan sekitar kawasan tasik selamat sebelum turun ke dalam air, namun kadang-kadang dia masih terserempak dengan beberapa ekor buaya yang menghuni tasik di padang golf di Florida.
“Pada suatu ketika, saya tiba-tiba terasa tangan saya sudah berada di dalam mulut seekor buaya. Tanpa berlengah, saya melompat keluar dari dalam air,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/jadi-jutawan-dengan-hanya-kutip-bola-golf-1.154142#sthash.dp623gsG.dpuf

Kanak-kanak jadi kemetot akibat penyakit ganjil


Kenadie Jourdin (kiri) bersama ibunya, Brianne.
LONDON 3 Nov. – Seorang kanak-kanak penghidap penyakit ganjil yang hanya dialami oleh 100 orang di dunia, berjaya meneruskan kehidupan sama seperti manusia normal, walaupun pada awalnya doktor meramalkan dia akan me­ninggal dunia.
Mail Online melaporkan, Kenadie Jourdin menghidap penyakit primordial dwarfism atau penyakit genetik yang jarang-jarang ditemukan di mana pesakitnya akan mengalami masalah kemetot.
Walaupun Kenadie kini berusia 12 tahun, berat badannya sama seperti kanak-kanak berusia dua tahun dengan ketinggian hanya sembilan meter.
Ibunya, Brianne Jourdin, 36, berkata, ketika dilahirkan, anaknya itu memiliki berat badan satu kilogram serta ukuran panjang 28 sentimeter dan doktor memberi amaran berkemungkinan besar Kenadie tidak akan dapat hidup lama.
“Doktor berkata anak saya mengalami masalah kerosakan otak dan berkemungkinan besar akan meninggal dunia dalam beberapa hari lagi. Namun, ramalan tersebut tidak benar. Ketika Kenadie berusia lapan bulan, doktor mengesahkan anak saya menghidap penyakit primordial dwarfism.
“Penyakit berkenaan jarang-jarang ditemukan dan pesakitnya mengalami masalah tulang rapuh selain pertumbuhan tidak sempurna,” jelasnya.
Namun, tambah Brianne, Kenadie kini mampu menjalani kehidupan sama seperti kanak-kanak normal lain, seperti pergi ke sekolah dan melakukan aktiviti berenang serta bermain hoki.
“Sebagai ibu saya amat ber­syukur kerana anak saya sihat, walaupun dilahirkan tidak normal,” ujarnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/kanak-kanak-jadi-kemetot-akibat-penyakit-ganjil-1.154123#sthash.pVjjc7io.dpuf

Monday, November 2, 2015

Apa duit boleh buat pada otak kita?


FATHIN ATHIRAH HASLI
wang

2 NOVEMBER 2015
wang Gambar hiasan.

WANG ataupun duit boleh membuatkan seseorang itu melakukan perkara-perkara yang tidak rasional dan merbahaya.
‎
Ada juga di antara kita yang tersilap membuat keputusan dalam urusan atas talian.

Jadi apa sebenarnya yang berlaku pada fungsi otak kita bila ia melibatkan wang?

Bekas Naib Presiden dalam institusi perbankan terbesar di Amerika Syarikat, JP Morgan, Kabir Sehgal pernah berkongsikan pengalamannya tentang wang dan neurosains.

Pendapatnya itu dikongsikan ke dalam sebuah artikel yang disiar menerusi Harvard Business Review.

Sehgal menulis, pakar neuro mula menggunakan mesin pengimejan resonans magnet yang berfungsi untuk mengimbas kawasan otak yang dirangsang apabila seseorang individu itu berfikir untuk membuat keputusan dalam mengurus kewangan.

Hasil beberapa kajian mendapati wang boleh memuncakkan aktiviti neural pada otak dan ia dibuktikan  menerusi permainan judi yang disertai oleh 12 pemain.

Hasil kajian mendapati aktiviti neural yang memuncak pada otak mereka.

Penyelidik juga membandingkan hasil kajian mereka dengan laporan analisis individu yang ketagih dengan dadah dan hasilnya hampir sama.

“Tidak ada satu pun yang memberi kesan besar kepada manusia melainkan wang,” kata salah seorang penyelidik kajian itu kepada Sehgal.

Kajian juga melaporkan imbasan pada otak mencerminkan amalan pengambilan risiko.

Salah sebuah institut pendidikan dari Stanford melakukan kajian terhadap kesilapan pelabur dalam membuat keputusan.

Menurut penyelidik, berdasarkan imbasan otak yang diterima, mereka dapat meramalkan pilihan subjek sama ada untuk membeli saham yang mana ia merupakan keputusan berisik, atau yang kurang berisiko seperti bon.

Selain itu, kajian juga mendapati wang boleh mewujudkan perasaan ragu-ragu, khuatir dan gelisah dalam urusan melibatkan wang.

Subjek dalam kajian menunjukkan kesedaran diri, mengambil masa untuk seketika atau termenung dan menunjukkan tanggungjawab dalam menyelesaikan masalah kewangan yang kompleks.

Berjalan kaki kembara 10 negara


WARTAWAN SINAR HARIAN
Berjalan kaki kembara 10 negara

1 NOVEMBER 2015
Berjalan kaki kembara 10 negara Tatyana dan Dimitry menyertai aktiviti lasak ketika mengunjungi negeri Kedah, Ogos lalu sempena bulan kemerdekaan.

KUANTAN – “Sepanjang pengembaraan, kami hanya peruntukkan RM7 sehari setiap seorang, bagi perbelanjaan harian termasuk makan dan minum dan setakat ini kami sudah mengembara berjalan kaki selama 353 hari."

Demikian ujar Tatyana Meshkova, 27, warga Rusia yang mengembara ke 10 negara bersama pasangannya, Dmitry Garkavenko, 36.

Pasangan tersebut sudah mengunjungi Malaysia buat kali ketiga sepanjang tempoh pengembaraannya yang bermula 11 November tahun lalu dan bercadang untuk ke Terengganu dan seterusnya Kota Kinabalu, November depan.

Menurut Tatyana, kehidupan ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang di negaranya membuatkan mereka mengambil keputusan untuk mengembara berbekalkan wang perbelanjaan dua bulan gaji iaitukira-kira RM5,000 seorang.

“Di negara kami, pendapatan bulanan terlalu minima yang mana wang gaji bulanan hanya habis untuk tempat tinggal, makan dan pakaian tanpa dapat melakukan sebarang aktiviti jadi kami ambil keputusan untuk berhenti dan mengembara menikmati keindahan alam dengan kos yang paling minimum.

“Selama kami mengembara ke beberapa negara yang sudah kami lawati iaitu bermula dari Rusia, kami ke Belarus, Ukraine, Vietnam, Loas, Kemboja, Thailand, Malaysia, China, Indonesia dan kembali ke Malaysia. Kami hanya memperuntukkan lebih kurang RM7 sehari (USD2),” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu menurutnya, mereka boleh bertahan hampir setahun mengembara kira-kira 423 hentian kerana sikap sabar dan menghargai setiap perkara termasuk orang, budaya dan bermacam lagi perkara ditemui sepanjang tempoh ini.

“Kami merancang untuk mengembara mengelilingi dunia selama tiga tahun sebelum pulang semula ke Rusia dan dalam tempoh ini kami sudah tiga kali ke Malaysia dan kali kedua ke negeri Pahang termasuk Kuantan,” katanya.

Sementara itu katanya, setiap destinasi yang dikunjungi akan dikongsi bersama rakan-rakan warga Rusia menerusi laman web dan sosialnya.

“Setiap pengembaraan saya abadikan sama ada gambar atau sedikit perkongsian informasi. Maklum  balas daripada rakyat Rusia juga begitu baik dan ada yang sudah mula untuk turut serta mengembara.

“Untuk keluar mengembara kita mesti tekad dan berfikiran terbuka, apa sahaja yang  ingin dilakukan pasti berjaya dan ketika di usia muda ini kita harus keluar untuk melihat dunia, menimba pengalaman dan bukan hidup terperuk di negara sendiri,” katanya yang bercadang untuk ke Filipina, Bali dan Australia selepas ini.

Si telinga capang gembira


Utah: Seorang budak lelaki yang sering diejek kerana mempunyai telinga capang akhirnya menjalani kehidupan seperti kanak-kanak normal selepas menjalani pembedahan plastik.

Gage Berger, 6, turut menjadi mangsa buli selama beberapa tahun kini sehingga menyebabkan dia tertekan dan enggan ke sekolah.


Bapanya, Timothy, 31, memberitahu, dia pernah ternampak Gage berdiri di depan cermin sambil menolak telinganya ke belakang.

“Gage fikir telinganya membawa masalah, mungkin sebab itulah dia sering bersedih,” katanya.



Timothy dan isterinya, Kallie bimbang keadaan itu bakal menjejaskan emosi Gage dan mula membuat kajian mengenai pembedahan kosmetik telinga dan menyerahkan keputusan itu kepada anaknya.

Gage kemudian bersetuju.

Mereka menghubungi pakar bedah plastik Dr Steven Mobley yang mengendalikan Yayasan Mobley untuk Pembedahan Amal di Salt Lake City, Utah.

Selepas prosedur itu, Timothy memberitahu, Gage kini lebih gembira dan mempunyai ramai kawan di sekolah. - Agensi
GAGE sebelum menjalani pembedahan.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2015 @ 5:03 AM
GAGE selepas menjalani pembedahan.


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/89960#sthash.rIjtODe4.dpuf

Belum terlambat

Agensi
Grand Rapids (AS): Seorang wanita berusia 97 tahun menerima diploma kehormat daripada sebuah sekolah di Michigan, 80 tahun selepas terpaksa berhenti dari sekolah berkenaan untuk membantu keluarga.

Margaret Thome Bekema akhirnya boleh memakai topi mortarbod dan memenuhi impian seumur hidupnya di depan rakan dan keluarganya, kelmarin.


Margaret sepatutnya menamatkan pelajaran di Sekolah Tinggi Katolik di Grand Rapids bersama-sama Kelas 1936 tetapi terpaksa menamatkan persekolahan untuk menjaga tiga adiknya apabila ibunya sakit akibat barah.

Ketika itu dia berusia 17 tahun.



“Saya berhenti sekolah untuk menjaga keluarga. Memang keputusan yang sukar. Saya suka bersekolah dan mempunyai ramai kawan,” katanya.

Menurut Margaret, bapanya membawanya pulang dari sekolah apabila ibunya sakit dan dia disuruh memasak, mengemas rumah serta menguruskan pakaian adik- adiknya.

Dia juga menjaga ibunya sehingga dia meninggal dunia.

“Saya amat berterima kasih,” katanya selepas menerima diploma berkenaan daripada pengetua sekolah Greg Deja.

Anaknya, Gerri Smith berkata, ibunya amat kesal kerana tidak menamatkan pelajaran bersama rakan sekelasnya.

“Dia sentiasa berharap untuk memperoleh diplomanya,” kata Gerri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2015 @ 5:07 AM

MARGARET membelek diploma yang diterimanya daripada Deja (kiri)
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/89985#sthash.z5kxstAC.dpuf

Pemandu Muslim dapat RM1 juta



AGENSI - SYARIKAT Star Transport Inc. didapati bersalah dan diarah membayar pampasan RM1 juta kepada dua bekas pemandunya.


ILLINOIS – Sekumpulan juri telah menganugerahkan pampasan berjumlah AS$240,000 (RM1 juta) kepada dua pemandu trak beragama Islam yang dipecat sebuah syarikat pengangkutan kerana enggan menghantar bekalan arak, lapor MailOnline.
Seorang hakim Amerika Syarikat (AS) mendapati tindakan syarikat Star Transport Inc. itu telah melanggar kepercayaan agama Mohad Abass Mohamed dan Abdikarim Hassan Bulshale.
Kes saman yang dibuka Suruhanjaya Peluang Pekerjaan Saksama (EEOC) pada 2013 menyatakan kedua-dua lelaki itu dipecat pada 2009 atas alasan enggan menghantar minuman beralkohol kerana bertentangan de­ngan ajaran Islam.
EEOC berpendapat syarikat tersebut sepatutnya dengan mudah boleh memindahkan ke­dua-dua lelaki keturunan Somalia itu untuk tugasan lain berbanding mengambil tindakan memecat mereka.
Syarikat itu mengakui liabiliti dalam kes tersebut awal tahun ini sebelum Ketua Hakim Daerah AS, James Shadid berpihak kepada suruhanjaya tersebut pada Mac lalu.
“Ini satu keputusan yang sangat hebat. Star Transport gagal menyediakan sebarang latihan membezakan kepercayaan agama kepada kakitangan sumber manusia mereka, seterusnya membawa kepada kejadian malang dua kakitangan ini.
“Melalui keputusan ini, juri telah membalas ketidakadilan itu dengan menghantar mesej jelas kepada Star Tarnsport dan semua majikan lain bahawa mereka bertanggungjawab ke atas sebarang amalan pekerjaan yang melanggar undang-undang,” kata peguam EEOC dalam kes tersebut, June Calhoun.
Bagaimanapun, kedua-dua lelaki itu belum pasti akan menerima pampasan yang ditetapkan mahkamah memandangkan syarikat tersebut te­lah ‘gulung tikar’ pada awal tahun ini.
Kes berkaitan kepercayaan agama turut menyaksikan seorang wanita Islam me­nerima pampasan AS$20,000 (RM85,000) Jun lalu ke­rana diskriminasi ketika dia memakai tudung di pejabat Abercrombie & Fitch.
Pada September lalu, seorang kerani di Kentucky, Kim Davis dipenjarakan kerana enggan mengeluarkan sijil kahwin kepada pasangan sama jenis.
– Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1102&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3qHTpBDz6 
Hakcipta terpelihara 

Pengantin naik kereta Batman ke majlis kahwin

Seorang pengantin di India membuat kejutan apabila hadir ke majlis

Seorang pengantin di India membuat kejutan apabila hadir ke majlis perkahwinannya dengan menggunakan kereta Batman. AGENSI
NEW DELHI 1 Nov. – Seorang pengantin lelaki di negara ini membuat kejutan kepada tetamu baru-baru ini apabila datang ke majlis perkahwinannya dengan menggunakan kereta Batman atau Batmobile.
Mail Online melaporkan, tetamu yang berada di luar bangunan tergamam apabila melihat kereta ikonik berkenaan tiba ke majlis tersebut, sebelum memberikan tepukan gemuruh apabila mengetahui pengantin lelaki berada di dalamnya.
Apa yang lebih menarik adalah kereta tersebut dipandu sendiri oleh Batman.
Batman bukan sahaja memandu Batmobile, tetapi turut membantu pengantin lelaki keluar daripada kenderaan yang hanya boleh memuatkan dua orang penumpang itu.
Bagaimanapun, identiti sebenar pengantin lelaki tersebut masih tidak diketahui.
Batmobile yang digunakan dalam majlis perkahwinan berkenaan merupakan daripada model lama iaitu dari jenis Circa 2000.
Batmobile model Circa 2000 sering digunakan dalam filem-filem klasik Batman sehinggalah ditukar dalam filem Batman Begins pada tahun 2005.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pengantin-naik-kereta-i-batman-i-ke-majlis-kahwin-1.153213#sthash.utCdTBaJ.dpuf

Sunday, November 1, 2015

Tiga beradik kahwin serentak


HABSAH ISMAIL
Tiga beradik kahwin serentak

1 NOVEMBER 2015
Tiga beradik kahwin serentak Tiga beradik lelaki yang melangsungkan perkahwinan serentak diraikan di Dewan DarulNaim Kem Kijang, semalam.

KOTA BHARU - Teruja melihat tiga anak lelaki berkahwin serentak, ibu mereka, Noraini Yusof, 58, berdoa agar dapat menimang cucu pula tahun depan.

Noraini yang juga pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Perlindungan e-Kasih Kelantan berkata, perkahwinan serentak tiga anak lelakinya itu amat membahagiakan dan menggembirakannya.

“Alangkah indah dapat lihat anak-anak yang dahulu kecil kini dewasa dan bersanding pula serentak. Sukar saya gambarkan perasaan ini, sebagai seorang ibu, rasa cukup bahagia.

“Tiga menantu ini pula saya terima dalam masa agak cepat dan tanpa diduga, jadi saya harap perkahwinan direstui ini berpanjangan jodohnya,” katanya pada majlis perkahwinan yang berlangsung di Dewan DarulNaim Kem Kijang, Pantai Cahaya Bulan (PCB), di sini, semalam.

Tiga anaknya, Wan Mohd Faeruz Wan Mohd Ariff, 28, bertemu jodoh dengan Hafizah Minal (Tanah Merah), manakala Wan Mohd Fahmee, 26, berkahwin dengan Nor Asmira Mansor (Terengganu) dan Wan Mohd Fadha, 21, dijodohkan dengan Erma Ermira Nor Azman (Kuala Krai).

Noraini yang mempunyai enam anak, sebelum ini menerima menantu lelaki tetapi belum menerima rezeki cucu dan kali ini menerima tiga menantu perempuan sekali gus.

“Sebenarnya, Wan Mohd Fiqree yang sepatutnya berkahwin dahulu, tetapi ketiga-tiga abangnya pun menyatakan hasrat yang sama, jadi saya dan suami, Wan Mohd Ariffin meminang untuk keempat-empat anak.

“Bagaimanapun, perkahwinan Wan Mohd Fiqree terpaksa dianjakkan pada Mei tahun depan atas sebab memberi laluan kepada abang-abangnya,” katanya tersenyum.

Noraini yang menggalakkan ibu bapa mempunyai ramai anak mengadakan perkahwinan serentak berkata, dia melangsungkan  majlis di dewan berikutan musim tengkujuh  dan urusan lebih mudah.

“Penat memang penat tetapi ia hanya sekali, lagipun kahwin serentak ini banyak memberi faedah termasuk jimat kos, jadi bagi mereka yang ada ramai anak, jangan tangguh hasrat perkahwinan mereka,” katanya.

Menurutnya, dia memperuntukkan kira-kira RM50,000 untuk perbelanjaan perkahwinan tiga 

Gurun paling kering jadi taman bunga



Lautan bunga yang tumbuh di Gurun Atacama yang terletak kira-kira 600 kilometer ke utara Santiago, Chile.- AFP


COPIAPO, Chile – Menakjubkan Gurun paling kering di dunia, Gurun Atacama di Chile bertukar menjadi taman bunga berwarna-warni baru-baru ini kesan fenomena cuaca El Nino.
Fenomena cuaca itu yang bermula di tengah Lautan Pasifik menyebabkan banyak kawasan di dunia mengalami musim kering dan hujan ekstrem.
Di gurun Atacama yang terletak di utara Santiago, Chile, pelbagai spesies bunga tumbuh melata seperti hamparan permaidani dalam pemandangan yang tidak pernah dilihat sejak bebeberapa dekad lalu.
"Pada tahun ini, fenomena istimewa berlaku apabila gurun ini menerima taburan hujan paling banyak sejak 50 tahun lalu," kata seorang pakar gurun daripada Universiti Atacama, Raul Cespedes.
Menurutnya, fenomena El Nino menyebabkan taburan hujan lebat luar biasa berlaku di kawasan gurun paling kering di dunia itu. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1101&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3qCAFZLOe 
Hakcipta terpelihara 

Budak miliki jantung di luar badan


NEW YORK 31 Okt. – Walaupun dilahirkan dengan kecacatan yang unik iaitu jantung dan usus berada di luar dada dan abdomen, seorang kanak-kanak perempuan Rusia berusia enam tahun masih bersemangat untuk meneruskan kehidupan seharian.
Virsaviya Borun menderita kecacatan yang unik selepas dilahirkan dengan keadaan jantung dan ususnya berada di luar abdomen. AGENSI
Portal Mail Online melaporkan, kanak-kanak terbabit, Virsaviya Borun yang kini tinggal di South Florida, Amerika Syarikat (AS) bersama ibunya, menderita kecacatan dikenali sebagai Pentalogy of Cantrell, penyakit yang hanya berlaku satu dalam 5.5 juta kelahiran.
Jelas laporan itu, jantung Virsaviya yang berukuran saiz penumbuk, boleh dilihat berdegup di bahagian abdomen, selain hanya dilindungi lapisan kulit yang sangat nipis, dan usus kanak-kanak terbabit juga berada di luar badan disebabkan dia tidak mempunyai otot abdomen atau diafragma.
Malah dia dan ibunya, Dari Borun terpaksa berpindah dari Boston ke Florida kerana kanak-kanak terbabit tidak boleh hidup dalam cuaca sejuk.
Menurut ibunya, Dari Borun, ketika anak perempuannya itu berada dalam kandungan, doktor memaklumkan bahawa Virsaviyaakan mati sebaik-baik dilahirkan.
“Namun, anak saya membuktikan dakwaan doktor itu silap kerana dia masih mampu bernafas sehingga hari ini selepas enam tahun dilahirkan,” katanya.
Pesakit yang menderita kecacatan Pentalogy of Cantrell kebiasaannya memerlukan pembedahan, bergantung kepada betapa teruknya kecacatan tersebut dan boleh menyebabkan kematian jika tidak dirawat.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/budak-miliki-jantung-di-luar-badan-1.152728#sthash.tNmNHt75.dpuf