Pages

Thursday, July 30, 2015

RM587,000 kerana selfie dengan ular

San Diego: Seorang lelaki nyaris maut selepas dipatuk ketika merakam gambarnya dengan ular orok-orok yang ditemuinya di dalam semak.
Rawatan dijalani Todd Fassler menyebabkan dua hospital di Calfornia kehabisan stok serum antibisa ular apabila doktor menggunakan semuanya untuk merawat kecederaan pada lengannya.
Lebih mengejutkan Fassler, dia terpaksa membelanjakan hampir AS$154,000 (RM587,000) untuk menjalani rawatan.
Daripada jumlah itu, AS$84,000 ialah untuk serum antibisa ular.
Tidak dapat dipastikan sama ada lelaki itu mempunyai insurans atau sama ada dia terpaksa membayar jumlah itu sepenuhnya.
Fassler mempunyai seekor orok-orok yang dijadikan haiwan peliharaannya sejak setahun lalu. Ia menimbulkan persoalan mengapa dia mahu merakam selfie dengan ular lain.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2015 @ 10:21 AM


KEADAAN lengan Fassler selepas dipatuk ular.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/66994#sthash.2S5CvWTf.dpuf

Bercium punca barah


Darwin: Bercium kini menjadi punca utama barah kepala dan otak.

Menurut Ketua Maksilofasial dan Pembedahan Kepala dan Leher Hospital Royal Darwin Dr Mahiban Thomas, perbuatan bercium boleh menyebabkan penyebaran virus papilloma manusia (HPV).

Virus itu bertanggungjawab terhadap 70 peratus kes kanser kepala dan leher.

Dalam wawancara dengan Daily Mail Australia, Thomas berkata, risiko mereka yang dijangkiti HPV di bahagian orofarinks untuk menghidap barah kepala dan leher adalah 250 kali lebih tinggi berbanding mereka yang tidak dijangkiti virus berkenaan.

Walaupun sering dikaitkan dengan barah pangkal rahim, HPV boleh dihidapi oleh lelaki dan wanita.

Menurut Thomas, kajian terbaru menunjukkan, penyebaran HPV boleh berlaku dengan bermesra tanpa interaksi seks.

Kini HPV, termasuk daripada perbuatan bercium, menjadi punca utama barah itu, berbanding merokok atau minum arak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2015 @ 10:09 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/66982#sthash.2TNs8S0D.dpuf

Bayi buta selepas gambar dirakam

Beijing: Seorang bayi buta sebelah mata selepas seorang rakan keluarganya terlupa memadam pencahayaan ketika merakam gambarnya dari jarak dekat.
Doktor berkata, daya penglihatan bayi tiga bulan yang namanya tidak didedahkan tidak boleh dirawat akibat pencahayaan kamera yang terlalu kuat apabila gambarnya dirakam dari jarak 35 sentimeter.
Ibu bapa bayi itu menyedari ada sesuatu yang tidak kena dengan penglihatan anak mereka selepas gambar itu dirakam.
Susulan kejadian, jarak penglihatan mata kiri mangsa berkurangan sementara mata kanannya buta.
Kerosakan itu dikatakan akan kekal dan tidak boleh dipulihkan walaupun dengan pembedahan.
Setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada rakan keluarganya yang merakam gambar itu akan dikenakan tindakan undang-undang. -Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2015 @ 10:19 AM


BAYI malang berkenaan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/66992#sthash.Tc2V7OCy.dpuf

Wanita diisytihar mati hidup semula


Berlin: Seorang doktor di sini menghadapi tuduhan cuai selepas mengisytiharkan seorang wanita berusia 92 tahun mati.

Dalam kejadian pada Mac lalu, doktor berusia 53 tahun itu mengesahkan wanita berkenaan mati selepas memeriksanya.

Bagaimanapun, wanita terbabit terjaga di bilik mayat selepas dihantar ke situ beberapa jam sebelum itu.

Pendakwa raya di daerah Essen Birgit Juergens berkata, doktor yang namanya tidak didedahkan kerana undang-undang privasi berdepan hukuman penjara dan denda jika didapati bersalah.

Doktor itu mengesahkan wanita berkenaan yang sakit tenat mati selepas dia ditemui tidak bernafas dan nadinya berhenti berdenyut di sebuah rumah penjagaan orang tua.

Malam itu, seorang pekerja rumah mayat menjerit ketakutan selepas mendapati wanita itu ‘hidup semula’.

Jurgen berkata, wanita itu bagaimanapun mati dua hari kemudian akibat sakit yang tidak ada kaitan dengan kejadian itu. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2015 @ 10:09 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/66981#sthash.jZLSdFPv.dpuf

Pertemuan dua insan tanpa tangan


SAINT PAUL 29 Julai – “Anda tidak memerlukan sepasang tangan untuk memeluk seseorang, sebaliknya tekad untuk melakukan sesuatu yang mustahil dalam kehidupan.”
JESSICA COX (kiri) terharu dipertemukan dengan Ruth Evelyn Pranke yang juga tiada sepasang tangan di Saint Paul, Minnesota, baru-baru ini. AGENSI
Itu adalah kata-kata inspirasi seorang juruterbang tanpa tangan, Jessica Cox, 32, ketika bertemu dengan seorang kanak-kanak kecil, Ruth Evelyn Pranke yang juga memiliki kekurangan sepertinya.
Pranke dipertemukan dengan Cox pada sebuah program dokumentari khas yang dikendalikan oleh stesen televisyen ABC bertajuk Right Footed, yang menceritakan pengalaman hidup juruterbang orang kurang upaya (OKU) itu.
Pertemuan itu begitu menyentuh perasaan sehingga mendapat pelbagai reaksi positif dari pelbagai pihak yang menontonnya pada 24 Julai lalu.
Cox begitu teruja dengan pertemuan dengan Pranke yang baru berusia tiga tahun, namun memiliki daya tahan tinggi sepertinya untuk berjaya dalam hidup.
Menurut Cox, dia tidak menyangka keluarga kanak-kanak itu sanggup memandu lebih dari enam jam dari Minnesota semata-mata mahu bertemu dengannya dalam rancangan tersebut.
“Apabila saya melihat diri saya sendiri dalam Pranke dari segi fizikal dan mental, saya menjadi teruja dan tersentuh.
“Semua orang tertanya apa perasaan kami ketika bertemu kerana kami tidak boleh berpelukan kerana masing-masing tiada mempunyai tangan, tetapi hakikatnya anda tidak memerlukan tangan untuk memeluk seseorang,” katanya kepada ABC baru-baru ini.
Dalam pada itu, ibu Pranke, Karlyn berkata, anaknya mahu melihat dengan mata sendiri apakah yang boleh dilakukan oleh seseorang yang mempunyai kekurangan sepertinya.
Cox bukan sahaja boleh memandu kapal terbang, malah menjalankan kehidupan biasa seperti orang lain seperti boleh memandu kereta, bermain piano, dan komputer selain terlibat dengan program motivasi.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pertemuan-dua-insan-tanpa-tangan-1.118468#sthash.v9D5n4px.dpuf

Wednesday, July 29, 2015

Kucing gemuk kini ramping

Dallas: Berat badan seekor kucing diberi nama Skinny yang sebelum ini 18.5 kilogram, kini susut separuh selepas menjalani program diet di sebuah klinik haiwan di Dallas.
Dr Brittney Barton di Hospital Haiwan HEAL, berkata dia membela kucing berbulu jingga itu pada 2013 dan berjaya menurunkan berat badannya kepada 8.6 kilogram melalui senaman dan diet khas.
Menurutnya, pada hari biasa kucing itu berada di klinik dan pada hujung minggu bersama Barton dan keluarganya di rumah.
Skinny ditemui terbiar pada 2012 dan dihantar ke pusat penjagaan haiwan sebelum diambil Barton.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2015 @ 3:48 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/66731#sthash.0BampCFT.dpuf

Doktor keluarkan 20 ekor kutu besarang di bulu mata





BEIJING – Seorang wanita di sini terkejut apabila mengetahui bahawa terdapat lebih 20 ekor kutu bersarang pada bulu matanya.
Wanita itu yang hanya dikenali sebagai Zhang berkata, sebelum ini matanya bengkak dan berwarna merah kerana kerap digosok akibat terlalu gatal.
“Pada mulanya, saya fikir mata menjadi gatal kerana jangkitan kuman menyebabkan saya meminta salah seorang anak lelaki memeriksa mata dengan melihatnya secara lebih dekat.
“Bagaimanapun, dia terkejut selepas mendapati seperti terdapat beberapa ekor serangga yang sedang bergerak pada bulu mata,” katanya.
Wanita yang berasal dari Shandong itu kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Haida pada 22 Julai lalu.
Sementara itu, seorang pakar mata, Dr. Bao Guisheng berkata, lebih 20 ekor kutu melekat pada bulu mata wanita berkenaan.
“Kesemua kutu itu berwarna putih dan hanya boleh dilihat dengan jelas melalui mikroskop,” jelasnya.
Beberapa jururawat kemudian menggunakan pengepit kecil untuk membuang kesemua kutu berkenaan. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0729&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3hE89VfLC 
Hakcipta terpelihara 

Tuesday, July 28, 2015

Nekad lawan barah dengan cara semula jadi

Nekad lawan barah dengan cara semula jadi

SEORANG wanita di Britain nekad menolak rawatan konvensional selepas dia disahkan menghidapi barah payudara kira-kira tiga minggu menjelang majlis perkahwinannya.
Alex Wynn, 33, dari Thame, Oxfordshire enggan menjalani rawatan termasuk membuang payu dara kirinya seperti disarankan doktor kerana mahu memiliki cahaya mata seperti pasangan lain.
Wynn menegaskan dia mahu melawan barah tersebut dengan menggunakan bahan semula jadi seperti mengambil vitamin C dan campuran jus sayur-sayuran termasuk lobak merah sebanyak 2 kilogram sehari.
"Saya memutuskan untuk merawat kanser dengan diet sihat walaupun doktor telah menyarankan pelbagai rawatan lapor  Daily Mail.
"Rawatan kemoterapi memberi kesan kepada sistem tubuh kita selama beberapa tahun dan saya tidak mahu ia memberi kesan kepada bayi dalam kandungan jika saya hamil dalam masa terdekat," jelasnya.
Keputusan Wynn turut mendapat sokongan daripada suaminya, Matt Baker, 30.
Wanita terbabit juga mengamalkan diet yang ketat seperti tidak mengambil daging, gula, produk tenusu, gluten, makanan tinggi kanji seperti kentang.
Wynn juga mempunyai kit ujian, Navarro Test yang berfungsi mengukur paras HCG, kimia sama dihasilkan sel barah.
"Saya telah membuat ujian sendiri sebanyak empat kali dan secara teorinya, paras kanser itu telah menurun," jelasnya. 

Ombak bercahaya biru

Ombak bercahaya biru

JIKA dilihat sekali pandang, ia kelihatan seperti dalam babak filem sains fiksyen, Avatar.
Siapa sangka, hasil tindak balas kimia telah menghasilkan ombak pesisir pantai bercahaya biru digelar bioluminescence.
Ia berlaku apabila mikroorganisma iaitu plankton ‘terganggu’ dengan oksigen lapor Daily Mail.
Imej mengagumkan itu diambil jurugambar, Doug Perrine ketika beliau berkunjung ke Vaadhoo, salah sebuah pulau Raa Atoll di Maldives.
Tindak balas itu dikatakan sama seperti ‘cahaya’ yang ada pada kelip-kelip untuk menarik perhatian mangsa atau pasangannya.
Kebanyakan organisma dasar laut mengeluarkan cahaya terutamanya spesies di yang berada di laut dalam.
Fenomena ombak menyala pada waktu malam juga dapat dilihat apabila mikroorganisma tersebut berkumpul dalam jumlah yang banyak di tepi pantai. 

'Kampung buah pinggang'

'Kampung buah pinggang'

PERCAYA atau tidak, hampir semua penduduk sebuah kampung di pedalaman Nepal menjual buah pinggang mereka kerana dihimpit kemiskinan.
Amalan tersebut menjadi perkara biasa bagi penduduk di perkampungan Hokse, sehingga kampung berkenaan mendapat jolokan 'kampung buah pinggang'.
Difahamkan, 'broker organ manusia' akan datang ke kampung tersebut dan kawasan sekitarnya bagi mencari individu yang sanggup menjual buah pinggang mereka.
Biasanya, penduduk kampung dijanjikan dengan habuan lumayan dan mereka akan dibawa secara haram ke selatan India untk menjalani pembedahan lapor Oddity Central.
"Dalam tempoh 10 tahun, orang luar datang ke kampung kami untuk mencari buah pinggang. Penduduk kampung sering ditipu bawah manusia hanya perlu hidup dengan satu buah pinggang sahaja.
"Mereka juga meyakinkan kami bahawa buah pinggang yang sudah dikeluarkan akan tumbuh semula," kata Geetha, ibu kepada dua anak yang menjual buah pinggangnya pada harga AS$2,000 (RM7,631). 

Ular berkaki

Ular berkaki
SATU fosil ular berkaki empat dianggarkan berusia kira-kira 113 juta tahun ditemui di Brazil, baru-baru ini.
Media Britain melaporkan penemuan terbaharu mengenai spesis ular purba ini dipercayai merupakan leluhur nenek moyang kepada generasi ular zaman moden.
Menurut kajian yang diketuai para saintis dari Britain dan Jerman, spesis dikenali sebagai Tetrapodophis amplectus ini hidup ketika awal zaman batu kapur iaitu kira-kira 100 hingga 146 juta tahun lalu.
"Ini adalah fosil ular yang paling primitif dan nampak jelas ia tidak hidup di air," kata Dr Nick Longrich dari University of Bath kepada BBC.
Katanya lagi, spesis ini dikatakan mempunyai banyak persamaan ciri ular klasik seperti hidung pendek, tempurung kepala dan badan yang panjang, bersisik, gigi bertaring dan rahang mudah lentur untuk menelan mangsa besar.
Sebelum ini, beberapa fosil ular berkaki belakang turut dilaporkan pernah ditemui dan bukti itu kini dipamerkan kepada awam di muzium sejarah semula jadi di London.  

Gumpalan rambut ais

Gumpalan rambut ais

PEMBENTUKAN bunga fros adalah satu fenomena biasa di kawasan bersuhu sejuk beku.
Bagaimanapun, pembentukan rambut ais ini sememangnya satu fenomena mengagumkan.
Ia pertama kali ditemui kira-kira 100 tahun lalu oleh ahli geofizik dan meteorologi, Alfred Wegener pada 1918 lapor sciencerecorder.com.
Ketika itu, Wegener berpendapat fenomena pelik itu mungkin disebabkan oleh kulat yang tumbuh di atas kayu lembab dan reput.
Hasil kajian pasukan penyelidik dari Switzerland dan Jerman mendapati bentuk pelik itu dihasilkan oleh sejenis kulat digelar Exidiopsis effusa.
Bagaimanapun, ia hanya tumbuh pada waktu malam di kawasan hutan mempunyai pokok berdaun lebar.
Analisis kimia ke atas sampel ais tersebut juga mengesahkan kehadiran lignin dan tanin sejenis produk metabolik aktiviti kulat yang menghalang pembentukan kristal ais besar pada permukaan kayu. 

Arnab laut

Arnab laut

BARU-baru ini satu spesies lintah bulan yang menyerupai arnab ditemui di Jepun.
Haiwan kecil itu kelihatan seperti arnab kecil yang gebu dan menjadi popular dalam kalangan pengguna Twitter di negara matahari terbit tersebut lapor  Rocketnews24.
Difahamkan, lintah bulan itu daripada keluarga Jorunna iaitu dari spesies kelas droid parva dan boleh dijumpai di sepanjang Lautan Hindi antara Jepun dan Filipina.
Apa yang membuatkan haiwan kecil ini menyerupai arnab ialah ia mempunyai sepasang rhinophores telinga yang seakan-akan menyerupai telinga arnab.
Ia bertindak sebagai pengesan bau dan membantu haiwan kecil ini mencari makanan. 

Doktor sambung tangan di kaki selama sebulan

tangan
Tangan yang terpaksa disambung dikaki
28 Julai 2015
HUNAN - CHINA. Sekumpulan doktor di China terpaksa menyambung pergelangan tangan seorang lelaki yang putus di kakinya untuk memastikan sel tisu tangan tersebut terus hidup.

Menurut laporan berita Morning News, sekumpulan doktor berjaya membantu seorang pesakit menyambung semula tanggannya yang putus dengan mencantumkan tangan tersebut ke kaki mangsa terlebih dulu.

Ketua Jabatan Pembedahan Mikro Hospital Xiangyan berkata, lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Zhou putus tangan kiri selepas tangannya itu terperangkap dalam sebuah mesin semasa bekerja.

"Doktor terpaksa menyambung bahagian tangan yang terputus di kaki mangsa terlebih dahulu untuk memastikan pengaliran darah sebelum menyambung semula tangan lelaki berkenaan.

"Tisu mungkin akan mati jika bekalan darah terputus terlalu lama" katanya.

Tambahnya lagi, ini merupakan kejayaan kali kedua hospital berkenaan selepas kejayaan pertama pada Disember 2013.

Tangan lelaki berkenaan diletakkan di kaki selama sebulan sebelum dipindahkan semula ke pergelangan tangannya.

Pembedahan tersebut melibatkan 10 pakar bedah.

Budak 10 tahun bertunang dikritik

Kaherah: Gambar pertunangan kanak-kanak lelaki berusia bawah 10 tahun bersama sepupunya yang dimuat naik dalam media sosial mencetuskan kritikan orang awam.
Gambar itu menunjukkan kanak-kanak terbabit yang memakai tali leher menyarung cincin di jari tunangnya sebelum memaut lengan masing-masing.
Akhbar melaporkan ayah kanak-kanak perempuan terbabit, Eid Al Banna berkata: “Insya-Allah, pertunangan anak perempuan saya Salma dengan sepupunya Yousuf berlangsung hari ini. Pernikahan akan diadakan selepas mereka tamat pengajian.”
Bagaimanapun, dia tidak menerangkan sama ada dia bermaksud tamat pengajian universiti atau persekolahan. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2015 @ 7:18 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/66667#sthash.m2oF7khr.dpuf

Selfie pada ketinggian 1,996 meter



AGENSI rakaman selfie dari udara ternyata begitu cantik dan mengagumkan.


ANKARA, Turki - Seorang wanita berusia 20 tahun merakam gambar selfie detik-detik menarik semasa melakukan aktiviti luncur udara pada ketinggian 1,996 meter di ruang udara pantai Mediterranean di sini.
Wanita itu, Lauren Newell yang berasal dari Broseley, Britain berjaya menyempurnakan penerbangan luncur udara yang kedua tertinggi di dunia semasa bercuti di negara ini.
Gambar wanita itu dirakam oleh seorang jurulatih sukan lasak semasa mereka berdua melakukan penerbangan tersebut.
Malah, pelancong dari Britain itu dilihat langsung tidak berasa gementar semasa berada di atas ruang udara Laut Oludeniz sebaliknya melemparkan senyuman ketika jurulatih berkenaan merakamkan gambar selfie.
“Walaupun berada pada aras yang terlalu tinggi di atas laut, saya tidak berasa takut sebaliknya begitu teruja melihat laut dan lagun paling indah yang belum pernah dilihat sebelum ini,” katanya.
– Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0728&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3h8Go5N00 
Hakcipta terpelihara 

Monday, July 27, 2015

Kisah tragis, pengemis tercantik di dunia

Kisah tragis, pengemis tercantik di dunia

BEIJING - CHINA. Mempunyai rupa paras cantik bak ‘supermodel’, namun siapa sangka si gadis yang bernama Han Biyao ini 'bekerja' sebagai pengemis.

Han Biyao merupakan seorang gadis Tionghua, disebut-sebut sebagai pengemis tercantik di dunia.

Di mana sebalik rupa parasnya yang rupawan, ada kisah tragis yang pernah melanda dirinya.

Memetik laporan Rocket News baru-baru ini melaporkan, bahawa sebelum meninggal ayah Biyao merupakan seorang jutawan.

Sepeninggalan ayahnya menyebabkan ibunya jatuh sakit sehingga tidak mampu bekerja bagi menyara hidup.

Keperitan keluarga Biyao tidak terhenti di situ, apabila dilaporkan bahawa keluarga itu dihimpit dengan hutang hingga mencecah ratusan ribu yuan, hingga hampir memaksa Biyao untuk menjual keperawananya dek kerana untuk melangsaikan hutang tersebut. 

Itulah kehidupan, hidup bagai roda kadangkala di atas kadangkala di bawah, itulah terjadi kepada Biyao di mana dahulu hidupnya dikelilingi dengan harta.

Namun dalam sekelip mata gadis berwajah cantik ini jatuh miskin dan hidup menderita, Biyao mengaku pernah bekerja sebagai seorang pelayan restoran demi menyambung hidup dan merawat ibunya.

Kini, Biyao memilih menggunakan kelebihan suaranya untuk menjadi penyanyi selain masih mengemis di sudut-sudut kota metropolitan Beijing, China.

Sempat rakam gambar UFO

Sempat rakam gambar UFO
Mahmood menunjukkan gambar didakwanya UFO yang berjaya dirakam ketika atas jambatan yang menghubungkan sempadan Pinang Tunggal Kedah dan Pulau Pinang.

SUNGAI PETANI – Seorang pengawal keselamatan mendakwa terlihat objek terbang tidak dikenali (UFO) dan merakamkannya dengan telefon bimbit sebelum ia hilang.

Mahmood Hamid, 65, mendakwa, ternampak pemandangan matahari terbenam luar biasa ketika melalui jambatan menghubungkan Pinang Tunggal Kedah dengan Pulau Pinang, kira-kira jam 7 malam kelmarin.

"Cahaya itu nampak cantik, jadi saya rakamkan gambarnya. Lepas itu, bila dongak semula, saya nampak ada objek macam piring terbang di lokasi sama," katanya.

Menurutnya, disebabkan tidak bersedia dia hanya sempat mengambil gambar bahagian tepi objek.

"Objek ini sangat besar, menutupi jambatan dan sungai. Seakan tak percaya dengan apa yang saya nampak.

"Saya pernah dengar cerita mengenai UFO dan sangka ia sekadar dongeng atau rekaan fiksyen. Tapi, bila lihat dua gambar yang saya ambil, objek itu memang wujud," katanya.

Katanya, terdapat dua corong udara pada objek itu.

"Satu daripada corong itu hasilkan kabus warna ungu yang sangat cantik," katanya.

Sementara itu, Arifin Azin, 53, turut mendakwa pernah melihat objek sama ketika usianya lima tahun di Kampung Pengkalan Semeling tidak jauh dari Sungai Merbok.

"Objek setinggi 0.5 meter itu datang dekat hingga saya cuba untuk tangkap. Tapi tak berjaya dan ia hilang di kawasan hutan," katanya.

Rakan mereka, Md Shah Ismail, 59, yang membuat rujukan di laman sesawang menjumpai beberapa contoh rujukan maklumat seperti UFO yang dipaparkan.

“Berdasarkan bahan bacaan yang ditemui, lebih 140 kes kemunculan UFO di Semenanjung Malaysia dalam tempoh 30 tahun sekitar 1981 hingga 2008.

"Tanjung Sepat dan Sungai Petani antara lokasi paling kerap ia muncul,” katanya.

Pulau Santa Cruz del Islote paling padat di dunia


Santa Cruz del Islote yang dihuni kira-kira 1,200 orang penduduk
SANTA CRUZ DEL ISLOTE yang dihuni kira-kira 1,200 orang penduduk diiktiraf sebagai pulau paling padat di dunia iaitu empat kali ganda lebih padat daripada bandar Manhattan, New York. AGENSI
BOGOTA, Colombia 26 Julai – Sebuah pulau kecil di utara negara ini, diiktiraf sebagai pulau paling padat di dunia selepas dihuni kira-kira 1,200 orang penduduk iaitu empat kali ganda lebih padat daripada bandar Manhattan, New York.
Mail Online melaporkan, pulau yang dikenali sebagai Santa Cruz del Islote yang terletak kira-kira dua jam perjalanan dari negeri Cartagena, Colombia berkeluasan 2.4 hektar.
Pulau yang ditemui kira-kira 150 tahun lalu oleh sekumpulan nelayan yang mencari hasil laut di sekitarnya itu mempunyai 90 buah rumah, dua buah kedai runcit, sebuah restoran dan sebuah sekolah.
Oleh kerana keluasannya yang agak terhad berbanding penduduk yang ramai, kawasan ber­kenaan tidak mempunyai tapak perkuburan dengan mereka yang meninggal dunia akan disemadikan di pulau-pulau berhampiran.
Pulau Santa Cruz del Islote tidak mempunyai kemudahan asas seperti sistem saliran dan elektrik, di mana air bersih diperolehi daripada sumbangan tentera laut Colombia yang menghantarnya setiap tiga minggu sekali.
Sementara itu, bekalan elektrik diperolehi melalui satu mesin janakuasa yang hanya beroperasi selama lima jam sehari.
Satu-satunya bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri kepada penduduk di pulau berkenaan adalah perkhidmatan pengawal ke­selamatan yang bertanggungjawab memantau keselamatan kira-kira 80 orang pelajar sekolah di pulau itu.
Kebanyakan penduduk bekerja sebagai nelayan, selain menjadi pemandu pelancong kepada mereka yang terpesona dengan keindahan pulau berkenaan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pulau-santa-cruz-del-islote-paling-padat-di-dunia-1.117311#sthash.6943mvrC.dpuf

Sunday, July 26, 2015

'The untold story of 'imam penjara''

'The untold story of 'imam penjara''

ADA hikmah, demikian luah seorang anak muda yang dikenali sebagai 'imam penjara' ketika menceritakan kembali kenangannya menghuni penjara Machang, Kelantan tahun lalu.

Tidak semena-mena pemilik nama Muhammad Nafis Yaakub, 20-an, menjadi sebutan apabila sebuah video dimuatnaik di YouTube memperlihatkan dia sedang mengalunkan bacaan al-Quran di sebalik tirai besi.

Video yang bertebaran di media sosial sejak awal Ramadan tahun lalu turut menggamit hati Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang kemudian menjadikannya sebagai anak angkat sebaik tamat hukuman penjara.

Bercakap kepada Sinar Online hari ini, Muhammad Nafis berkata, siapa sangka kehidupannya di penjara yang disangkakannya sebagai malang pada awalnya, rupa-rupanya berlaku sebaliknya.

"Saya ditahan dalam lokap selama 11 hari dan selepas itu saya dibawa ke penjara Machang, Kelantan... di sana selepas tersebarnya rakaman itu dengan takdir ALLAH, saya dimuliakan apabila saya diangkat menjadi ustaz oleh penjara.

"Saya ditugaskan untuk menjadi imam, tenaga pengajar kepada rakan banduan yang lain... Alhamdulillah selama empat bulan saya dalam penjara saya sudah jelajah semua blok di penjara itu, untuk menumpang mengajar kepada rakan banduan yang lain termasuk warden sekali.... itulah bagi saya dalam ujian itu ada  manfaat dan hikmahnya," katanya.

Malah menurut Muhammad Nafis, dia yang sepatutnya dikenakan hukuman penjara selama enam bulan, namun atas faktor tertentu pihak penjara telah meringankan hukuman tersebut.

"Sebenarnya saya sepatutnya menjalani hukuman penjara selama enam bulan, tetapi telah dipotong menjadi empat bulan, apa-apa pun saya dilayan dengan baik oleh pihak penjara," katanya.

Sementara ketika ditanya mengenai rutinnya kini, Muhammad Nafis berkata, dia kini sibuk menjadi pengajar di Madrasah Tahfiz Al-Qalam di negara kelahirannya Kemboja.

"Kadang-kadang saya datang ke Malaysia dan Brunei untuk menjadi imam dan mengajar," katanya.

Untuk rekod Muhammad Nafis ditahan akhir Jun tahun lalu dan dihantar ke Penjara Machang selepas Mahkamah Majistret Kota Bharu menjatuhkan hukuman penjara enam bulan kerana kesalahan tinggal di negara ini melebihi tempoh sah.

Saturday, July 25, 2015

China bina teleskop terbesar dunia


Agensi - TELESKOP radio terbesar di dunia yang sedang dalam pembinaan di China.


BEIJING – China mula memasang sebuah teleskop radio terbesar di dunia yang akan mempunyai piring menyamai saiz 30 padang bola apabila siap kelak, lapor media pemerintah.
Teleskop Radio Apertur Sfera (FAST) berdiameter 500 meter itu dibina di sebuah lembah berbentuk mangkuk di antara bukit-bukau di wilayah Guizhou, barat daya China.
Sejumlah juruteknik mula memasang 4,450 panel pada pemantul teleskop itu kelmarin, lapor agensi berita rasmi Xihua.
FAST akan menjadi teleskop apertur tunggal terbesar di dunia, kata Xinhua sekali gus mengatasi teleskop Balai Cerap Arecibo yang memiliki diameter 305 meter di Puerto Rico, Amerika Syarikat.
Selama bertahun-tahun, saintis China bergantung kepada data terpakai yang dikumpulkan oleh orang lain untuk kajian mereka. FAST, menurut Xinhua akan memberi peningkatan amat besar kepada keupayaan China mengkaji angkasa lepas.
“Memiliki sebuah teleskop yang lebih sensitif membolehkan kami menerima isyarat radio yang lebih lemah dan jauh,” kata Ketua Pengarah Persatuan Astronomi China, Wu Xiangping.
Beijing sedang memesatkan program penjelajahan angkasa lepasnya yang dilihat sebagai simbol kemajuan negara.
Ia merancang menempatkan sebuah stesen angkasa lepas di orbit Bumi menjelang 2020 dan seterusnya menghantar manusia ke Bulan. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0725&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3grCkQCmr 
Hakcipta terpelihara 

Friday, July 24, 2015

Lelaki 254 kg berbasikal jelajah AS

Tiverton (Rhode Island): Seorang lelaki yang berat badannya 254 kilogram, berbasikal menjelajah seluruh Amerika Syarikat bagi mengurangkan berat badannya.
The Daily News melaporkan, rim basikalnya yang bengkok menyebabkan Eric Hite terkandas di Tiverton sejak minggu lalu, kira-kira 140 kilometer dari tempat dia memulakan penjelajahan di Falmouth, Massachusetts.
Syarikat Newport Bicycle sedang menyediakan basikal yang sesuai dapat menampung berat badannya.
Menurut Hite, 40, selepas dua minggu berbasikal, berat badannya turun 27 kilogram.
Lelaki itu kini memakai seluar bersaiz 70 manakala kemeja T bersaiz 10X dan berharap dapat mengurangkan 45 kilogram serta mengumpul bahan untuk bukunya melalui jelajah itu.
Buku pertamanya sebelum ini, bercorak masakan yang kelakar mengandungi 50 resipi yang dihasilkannya ketika di kolej. - AP
Gambar yang dirakam pada 27 Julai lalu, menunjukkan Hites berehat di tepi khemahnya di Tiverton, menunggu basikal baru. - Foto The Daily News/AP
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2015 @ 8:56 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/65756#sthash.6zPU7LtO.dpuf

Thursday, July 23, 2015

5 gunung meletus serentak

Jakarta: Letusan lima gunung berapi di Indonesia semalam menyebabkan beberapa bahagian di negara itu dilitupi awan debu tebal yang mengakibatkan tiga lapangan terbang ditutup.
Pakar gunung berapi Indonesia, Surono berkata, gunung Raung di Pulau Jawa sejak beberapa minggu lalu memuntahkan debu dan batuan ke udara setinggi dua kilometer.
Gunung berapi Gamalama dan Dukono yang terletak di kepulauan Moluccas turut meletus serta mengeluarkan debu ke udara.
Keadaan diburukkan lagi selepas gunung Sinabung di Sumatera dan gunung Karangetang di pulau Siau turut meletus, semalam.
Lebih 13,000 penduduk yang majoritinya tinggal di kaki gunung Sinabung telah dipindahkan akibat aktiviti gunung berapi berkenaan sejak bulan lalu.
Kata Surono, letusan lima gunung berapi secara serentak itu bukan dicetuskan oleh aktiviti luar biasa.
“Penilaian kami menunjukkan tiada fenomena luar biasa yang menyebabkan letusan lima gunung berapi secara serentak ini,” ujarnya.
Menurutnya, semua letusan berkenaan berlaku secara semula jadi dan perkara normal di negara yang mempunyai kira-kira 130 gunung berapi aktif.
Jurucakap Kementerian Pengangkutan, Julius Adravida Barata berkata, lapangan terbang Jember dan Banyuwangi ditutup lewat kelmarin manakala lapangan terbang Bali ditutup selama beberapa jam semalam.
Media melaporkan, 37 penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai di Bali terpaksa dibatalkan.
Letusan gunung Raung pada awal bulan ini menyebabkan kekecohan di lapangan terbang berkenaan apabila menyebabkan ribuan pelancong terkandas.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2015 @ 6:20 AM


SEORANG penunggang motosikal melintasi Gunung Raung yang masih mengeluarkan debu ke udara kelmarin.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/65573#sthash.9iD8lv4l.dpuf

Remaja main piano ketika tidur

Wellington: Seorang remaja perempuan berusia 12 tahun mengejutkan keluarganya apabila bermain piano dengan baik ketika tidur.
Isabelle yang menghidap penyakit berjalan dalam tidur tiba-tiba bermain piano walaupun baru mengikuti kelas alat muzik berkenaan.
Aksi Isabelle bermain piano sambil tidur dirakam oleh bapa saudaranya, James Hodgson dan dimuat naik di laman YouTube.
Dalam video berkenaan Isabelle bermain piano dengan baik walaupun matanya tertutup dan berdengkur.
Beberapa ahli keluarga remaja itu kelihatan terpegun melihat dia bermain alat muzik berkenaan.
Hodgson berkata, Isabelle sering berjalan di dalam tidur, tetapi ini kali pertama dia bermain piano.
“Isabelle baru mengikuti kelas piano dan belum mampu bermain piano dengan baik.
“Bagaimanapun, aksinya bermain piano ketika tidur sangat mengejutkan kerana dia seperti sudah bertahun-tahun bermain alat muzik berkenaan.
“Lebih pelik lagi Isabelle kembali semula ke katil selepas bermain piano dan keesokan harinya dia tidak mengingati apa yang berlaku,” katanya.
Menurutnya, Isabelle juga tidak boleh bermain piano dengan baik seperti dilakukannya ketika tidur.
Tambahnya, Isabelle sebelum ini pernah menyanyi ketika tidur dan keesokan harinya remaja itu memberitahu dia bermimpi bernyanyi di satu konsert.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2015 @ 6:22 AM


AKSI Isabelle bermain piano ketika tidur.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/65575#sthash.H1LMdyn6.dpuf