Pages

Monday, May 25, 2015

Lelaki disahkan mati hidup semula

Milwaukee (Amerika Syarikat: Seorang lelaki yang disahkan mati selepas ditemui tidak sedarkan diri di kediamannya menggerakkan anggota tubuhnya ketika hendak dibawa ke rumah mayat.
Teman wanita lelaki berusia 46 tahun itu gagal menghubunginya selama dua hari sebelum meminta bantuan polis untuk mengesannya.
Seorang anggota polis pergi ke apartmen lelaki itu dan memasukinya bersama-sama pengurus bangunan.
Di dalam, mereka menemui lelaki itu yang dikenali sebagai Thomas Sancomb tersembam di hujung katil, menurut laporan Pusat Perubatan Milwaukee County.
Pasukan perubatan yang dipanggil ke kediaman itu berkata, tubuh Sancomb sejuk dan kaku menyebabkan mereka tidak berusaha menyedarkannya, sebaliknya mengisytiharkan dia mati, kata penyiasat forensik Genevieve M Penn.
Adiknya, John Sancomb, dimaklumkan menerusi telefon dan dia mohon supaya bedah siasat dilakukan bagi menentukan punca kematian abangnya.
Bagaimanapun, ketika hendak diusung ke kenderaan yang akan membawanya ke rumah mayat, tangan kiri dan kaki kanan Sancomb bergerak. Nadinya juga berdenyut semula.
Dia segera dihantar ke hospital berhampiran, tempat dia kini dirawat dan menjalani pemeriksaan.
Jurucakap Hospital St Mary’s Evan Solochek enggan mendedahkan maklumt lanjut kerana terikat dengan undang-undang privasi.
Bagaimanapun, keluarga Sancomb berkata, lelaki itu kini semakin pulih. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2015 @ 7:53 AM


SANCOMB
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/53154#sthash.eCME8bkv.dpuf

Ragam pemandu meletak kenderaan



SALAH satu kereta yang diparkir di garisan kuning.


YORKSHIRE BARAT, Britain – Beberapa keping gambar yang disiarkan di portal Huddersfield Daily Examiner baru-baru ini menunjukkan pemandu di pekan kecil itu seolah-olah tidak tahu bagaimana cara sepatutnya meletak kenderaan.
Menurut portal tersebut, mereka meminta peminat di laman sosial Facebook mengirimkan gambar cara kenderaan diparkir dan hasilnya amat mengejutkan.
“Daripada gambar-gambar yang diterima, kami menyimpulkan bahawa pemandu di Huddersfield meletak kenderaan sesuka hati mereka,” kata portal itu.
Antara gambar yang ada termasuklah meletak kenderaan di garisan kuning, tempat parkir orang kelainan upaya (OKU) dan tidak memasukkan kereta ke dalam garisan parkir yang ditetapkan.
Malah, ada juga pemandu yang bertindak meletak kenderaan di laluan yang menghalang pengguna untuk keluar masuk.
“Sesetengah mereka benar-benar tidak berfikir sebelum meletak kenderaan,” komen seorang pengguna di portal tersebut. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0525&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3b6IF3VWu 
Hakcipta terpelihara 

Kucing obes jalani diet turun berat badan


Moggy dikatakan mempunyai perwatakan yang baik

Moggy dikatakan mempunyai perwatakan yang baik
SUSSEX 24 Mei – Seekor kucing yang terlalu gemuk, Moggy, mendapat latihan daripada jurulatih peribadi bagi menurunkan berat badannya yang mencecah 22 paun, sama berat dengan seekor kanggaru kecil.
Menurut laporan Daily Mail, Moggy kini mengikuti diet khas dan program senaman bagi menurunkan berat badannya yang didakwa dua kali berat purata seekor kucing normal.
Namun, Moggy dikatakan tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan dan merupakan seekor kucing yang menarik.
Moggy yang berusia lapan tahun itu kini sedang mencari rumah kediaman selepas diserahkan kepada sebuah rumah angkat, Pusat Perlindungan Kucing Angkat Kebangsaan di Haywards Health di Sussex West.
Dia kini menerima latihan daripada pelatih peribadi selepas tiba di pusat penjagaan haiwan itu.
Seorang doktor haiwan di pusat itu, Vanessa Howie berkata, ia mungkin mengambil masa selama setahun untuk menurunkan berat badan Moggy sebanyak 11 paun.
“Kami telah menetapkan diet khas yang direka khusus untuk menurunkan berat badannya. Ia adalah diet rendah kalori, tinggi protein tetapi masih dalam lingkungan pemakanan yang seimbang,’’ katanya.
Menurutnya, adalah sangat penting bagi seekor kucing tidak menjalani diet yang melampau kerana ia boleh memudaratkan kesihatannya. Penurunan berat badan secara tetap adalah cara yang terbaik.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/kucing-obes-jalani-diet-turun-berat-badan-1.95363#sthash.PzlML2GF.dpuf

Blogger kecantikan raih pendapatan lumayan


LONDON 24 Mei – Seorang blogger kecantikan mampu meraih pendapatan lumayan mencecah AS$15,000 (RM53,981), dengan hanya membuat ulasan berkenaan sesuatu produk kecantikan dan memuat naik video tersebut untuk tatapan pengikutnya.
Danielle Bernstein
Mail Online melaporkan, Danielle Bernstein, 22, yang merupakan pemilik blog We Wore What mendedahkan, setiap ulasan produk kecantikan yang dibuatnya, dia menerima tajaan antara AS5,000 (RM17,993) dan AS$15,000 (RM53,981).
Bernstein yang ketika ini memiliki 992,000 orang pengikut berkata, kadar tajaan bergantung kepada berapa ramai pengikut di dalam blog, selain berapa panjang durasi video serta bagaimana hubungan seseorang blogger dengan syarikat kecantikan terbabit.
“Saya pernah mempromosi produk kecantikan terkenal Lancôme dan saya mendapat tajaan bernilai AS$15,000 (RM53,981) untuk setiap produk yang diulas.
“Lebih ramai pengikut, lebih banyak syarikat yang berminat untuk menaja anda bagi mempromosikan produk kecantikan mereka. Tajaan kadang-kala boleh mencecah sehingga berjuta ringgit,” jelas Bernstein.
Menurut Bernstein, kadar bayaran bagi laman sosial Instagram agak berbeza, di mana bagi pemilik yang mempunyai beratus ribu orang pengikut, setiap produk yang diulas akan menerima bayaran antara AS$500 (RM1,799) dan AS5,000 (RM17,993).
“Kalau laman sosial tersebut mempunyai berjuta-juta pengikut kadar tajaan boleh mencecah AS$100,000 (RM359,878),” ujarnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/blogger-kecantikan-raih-pendapatan-lumayan-1.95373#sthash.gJDHcyD6.dpuf

Saturday, May 23, 2015

Sanggup tinggal dalam kereta kerana anjing

Sanggup tinggal dalam kereta kerana anjing
Hillary tinggal di dalam kereta kerana enggan berpisah dengan anjingnya.

KENT - ENGLAND. Seorang wanita menghabiskan masa selama empat bulan tinggal di dalam kereta kerana enggan berpisah dengan anjing peliharaannya.

Hillary Barrows, 57, sebelum ini bekerja sebagai guru bahasa Inggeris pulang ke kampung halamannya Januari lalu dan menyewa di sebuah flat.

Namun, Hillary terpaksa berpindah keluar dari rumah tersebut  kerana tidak mampu untuk membayar sewa.

Walaupun ditawar untuk tinggal di rumah kebajikan, namun, Hillary enggan berbuat demikian kerana terpaksa berpisah dengan anjing peliharaannya.

Dia kemudian mengambil keputusan untuk tinggal di dalam kereta Alfa Romeo miliknya.

"Saya kehabisan duit untuk menyewa rumah dan walaupun ditawarkan untuk tinggal di rumah kebajikan, saya menolaknya kerana tidak dibenarkan untuk membawa haiwan peliharaan.

"Salah satu tempat yang boleh tinggal adalah kereta," katanya dipetik Metro.uk

Menurutnya, dia tidak menghadapi sebarang masalah untuk tinggal di dalam kereta kerana kemudahan yang disediakan seperti tandas awam untuk mandi, kedai makanan segera yang dibuka 24 jam membolehkannya mengecas telefon bimbit dan komputer.

20 tahun menunggu cinta di stesen kereta api

20 tahun menunggu cinta di stesen kereta api
Ah Jin - Foto Tecent

TAINAN - TAIWAN. Seorang lelaki sanggup menghabiskan masanya selama 20 tahun untuk menunggu kekasih hatinya di sebuah stesen kereta api dan tidak pernah meninggalkan tempat itu.

Menurut laporan Tencent, lelaki tersebut dikenali sebagai Ah Ji menunggu teman wanitanya di stesen kereta api di Tainan selama lebih 20 tahun namun kekasihnya itu tidak pernah muncul.

Lelaki tersebut jatuh cinta dengan seorang wanita tempatan dan kedua-duanya telah bersetuju untuk bertemu di stesen kereta api berkenaan, namun wanita tersebut gagal menepati janjinya itu.

Lelaki yang kini berusia 47 tahun bagaimanapun tidak pernah berputus asa menanti kekasihnya itu dan enggan meninggalkan stesen berkenaan walaupun cuba dipujuk ahli keluarganya.

"Saya hanya mahu menunggunya," katanya.

Menurut salah seorang ahli keluarganya, Ah Ji kini enggan bercakap dan akan berdiam diri jika ditanya mengenai masa lalunya.

Nenek 65 tahun selamat lahir anak kembar empat

Nenek 65 tahun selamat lahir anak kembar empat
Gambar arkib Annegret Raunigk ketika usianya 55 tahun bersama anak-anak dan cucu-cucunya.

BERLIN - JERMAN. Seorang  nenek 65 tahun yang mempunyai 13 orang anak dan 7 cucu selamat melahirkan bayi kembar empat, Selasa lalu.

Annegret Raunigk melahirkan tiga bayi lelaki dan seorang bayi perempuan pramatang secara pembedahan di Hospital Berlin.

Keempat-empat bayi tersebut dilahirkan ketika usia kandungannya 26 minggu dan kini berada dalam keadaan baik dan mempunyai peluang cerah untuk hidup.

Annegret yang mempunyai 13 orang anak yang berusia di antara 9 hingga 44 tahun mengambil keputusan untuk mempunyai anak lagi selepas anak bongsunya, 9 tahun inginkan seorang adik.

Menurut AP, Annegret hamil melalui kaedah IVF yang dilakukan di Ukraine kerana prosedur tersebut adalah diharamkan di Jerman.

Keputusannya untuk melahirkan bayi di usia emas mendapat kritikan beberapa pakar perubatan kerana menganggap warga emas itu tidak mampu secara fizikal untuk mengandung empat bayi.

Walaubagaimanapun, Annegret percaya setiap orang perlu diberi peluang untuk memilih jalan hidup yang diingininya.

Orang utan dibicara


Kes pertama dunia haiwan punyai hak seperti manusia

Nasib Sandra yang berjuang untuk kebebasannya dilapor akan diketahui
Nasib Sandra yang berjuang untuk kebebasannya dilapor akan diketahui di sebuah mahkamah Argentina pada bulan ini. AGENSI
BUENOS AIRES 22 Mei - Nasib seekor orang utan betina yang kebebasannya diperjuangkan oleh kumpalan hak asasi haiwan, dilapor akan diketahui di sebuah mahkamah Argentina pada bulan ini selepas sebuah lagi mahkamah memutuskan bahawa haiwan itu mempunyai hak asasi tertentu sama seperti manusia.
Akhbar Sydney Morning Herald melaporkan, antara hak asasi itu termasuk orang utan yang bernama Sandra yang berasal dari Sumatera, Indonesia itu perlu dibebaskan dari Zoo Buenos Aires,
Dalam kes pertama seumpama itu di dunia, sebuah mahkamah di Buenos Aires pada Disember tahun lalu memutuskan, Sandra yang berumur 29 tahun patut mendapat hak yang sama seperti manusia.
Keputusan itu berikutan tindakan Persatuan bagi Pegawai-pegawai dan Peguam Hak Asasi Haiwan (AFADA) yang mewakili Sandra memfailkan writ habeas corpus, satu dokumen yang biasanya digunakan bagi mencabar kewajaran penahanan atau pemenjaraan individu yang tidak sah, November tahun lalu.
Peguam AFADA berhujah, beruk juga mempunyai fungsi kognitif yang mencukupi dan tidak boleh dianggap sebagai objek dan pada masa sama mempunyai emosi sama se­perti manusia walaupun tidak mempunyai bentuk fizikal manusia.
Keputusan itu menurut peguam, juga akan membuka ruang untuk membolehkan beruk dan haiwan lain yang mendapat la­yanan buruk di zoo, sarkas, taman tema air dan makmal untuk mendapat kebebasan mereka.
Hakim, Elena Libertori akan mendengar hujah peguam AFADA sekali gus menentukan Sandra dapat dibebaskan ke habitat liar ataupun ditempatkan di pusat perlin­dungan haiwan.
Peguam AFADA, Andres Gil Dominguez berkata, hakim ‘telah mendengar keterangan pakar dari Amerika Syarikat, melalui Skype, dan pengakuan da­ripada seorang ketua zoo’.
Sandra yang mempunyai berat 50 kilogram dan tinggi 1.5 meter dilahirkan di Zoo Rostock di Jerman pada 1986 dan dihantar ke Argentina pada 1994, dikenali kerana bersifat pemalu dan sering bersembunyi di kandangnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/orang-utan-dibicara-1.94691#sthash.DMqqpAOU.dpuf

Hotel terbesar dunia di Mekah

rendering by Dar Al-Handasah

Abraj Kudai, rendering by Dar Al-Handasah

23 Mei 2015 12:53

Arab Saudi sedang membina sebuah hotel bertaraf lima bintang yang akan menempatkan lebih 10,000 buah bilik, dijangka diiktirafkan sebagai hotel paling besar di dunia. Hotel itu akan siap sepenuhnya pada 2017. AGENSI


MEKAH 22 Mei – Arab Saudi sedang membina sebuah hotel bertaraf lima bintang yang akan menempatkan lebih 10,000 buah bilik, dijangka diiktirafkan sebagai hotel paling besar di dunia.
Portal Mail Online melapor­kan, hotel setinggi 44 tingkat dan dikenali sebagai Abraj Kudai itu, dijangka siap sepenuh-nya pada tahun 2017.
Reka bentuk hotel moden dan canggih tersebut dihasil-kan oleh syarikat pembinaan terkenal, Dar Al Handasah dan dibina di tanah seluas 4.6 juta meter persegi.
Menurut laman web reka bentuk, designMENA, kerja-kerja pembinaan projek menelan belanja 2.25 bilion pound (RM12.6 bilion) yang turut memiliki 70 buah restoran, kawasan pendaratan helikopter dan sebuah kubah terbesar di dunia itu kini giat sedang dijalankan.
“Sebanyak 10 tingkat hotel berkenaan akan menyediakan kemudahan bertaraf empat bin­tang untuk tetamu-tetamu manakala dua lagi tingkat lagi pula bertaraf lima bintang,” jelas designMENA.
Kumpulan Dar Al Handasah dalam laman webnya berkata, hotel berkenaan turut menawarkan pelbagai perkhidmatan menarik kepada pelanggannya seperti kemudahan stesen bas, pusat membeli belah dan pusat konvensyen.
“Reka bentuk dan kemudahan yang ditawarkan setanding dengan mana-mana hotel hebat yang kini kebanyakannya berada di Las Vegas dan kami yakin semua pihak akan kagum de­ngan seni binanya,” ujar Kumpulan Dar Al Handasah.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/hotel-terbesar-dunia-di-mekah-1.94705#sthash.iLlSQnHy.dpuf

Friday, May 22, 2015

Televisyen nipis setebal satu milimeter



SKRIN paparan OLED TV boleh melekat dan ditanggalkan pada dinding menggunakan pad magnet. - AGENSI


SEOUL – Sebuah syarikat di sini memaparkan satu inovasi baharu apabila berjaya mencipta sebuah televisyen paling nipis setebal satu milimeter dengan berat hanya 1.9 kilogram baru-baru ini.
Syarikat tersebut, LG Display menggunakan bahan polyimide bermolekul tinggi ketika menghasilkan panel fleksibel berbanding penggunaan plastik konvensional bagi mencapai lekuk yang maksimum sekali gus mengurangkan ketebalan televisyen yang dinamakan sebagai OLED TV.
Prototaip skrin paparan OLED TV yang dipaparkan oleh syarikat tersebut boleh melekat dan ditanggalkan pada dinding menggunakan pad magnet.
Syarikat itu percaya OLED TV mampu mengungguli semua teknologi televisyen pada masa hadapan dengan warna yang terang, kontras yang cemerlang dan saiz lebih lebar.
“Kami akan memasarkan televisyen ini pada Julai atau Ogos depan dan berharap dapat meningkatkan pengeluaran serta promosi pada suku ketiga tahun ini,” ujar Ketua Unit Perniagaan LG Display, Sang-Deog Yeo.
- AGENSI


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0522&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3aofsaOkf 
Hakcipta terpelihara 

Thursday, May 21, 2015

Hotel terbesar di Tanah Suci

Jeddah: Sebuah hotel yang didiangka terbesar di dunia dengan 10,000 bilik, 70 restoran, pusat beli-belah dan juga dilengkapi helipad akan dibina di bandar suci Makkah.
Projek AS$3.5 bilion (RM13 bilion) itu dijangka siap dalam tempoh dua tahun.
Hotel yang akan dinamakan Abraj Kudai itu dirancang dibina di kawasan seluas 291,000 meter persegi.
Ia juga akan mempunyai suite diraja, surau dan pusat konvensyen - semuanya di 12 menara berasingan.
Tumpuan utama hotel itu ialah kubah utama yang dijangka yang terbesar dan tertinggi di dunia.
Disebabkan tapak hotel ini hanya 1.6 kilometer dari Masjidil Haram, ia dijangka menempatkan jutaan jemaah.
Namun, bagi tetamu yang ingin menginap di sini, mereka haruslah memiliki akaun bank yang kukuh kerana sasaran hotel itu ialah golongan yang mampu tinggal di hotel empat bintang di 10 menara dan lima bintang di dua lagi menara.
Dari segi seni bina, Abraj Kudai kelihatan mirip bangunan 1930-an.
Areen Hospitality yang berpusat di London diberi kepercayaan untuk mereka bahagian dalamannya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2015 @ 9:47 AM


HOTEL yang hendak dibina mengikut lakaran artis.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/52449#sthash.BSPgoWIH.dpuf

Penemuan ikan gergasi kes terpencil

Penemuan ikan gergasi kes terpencil
Ikan Arapaima Gigas ditemui di tebing Sungai Johor berhampiran Balai Trafik Lama Jalan Omar-Jalan Tembioh, petang kelmarin.

PASIR GUDANG - Jabatan Perikanan Negeri Johor menyifatkan penemuan ikan gergasi yang dikenali sebagai Arapaima Gigas di tebing Sungai Johor, kelmarin sebagai kes terpencil.

Pengarahnya, Munir Mohd Nawi berkata, penemuan spesis ikan air tawar terbesar di dunia itu berkemungkinan besar ia terlepas daripada peliharaan pengusaha aquarium yang satu ketika dahulu dibenarkan untuk diimport ke negara ini.

Bagaimanapun menurutnya, pihaknya telah membuat pemantauan di sungai-sungai negeri ini bagi memastikan tiada lagi spesis ikan itu di Sungai Johor.

“Spesis ikan ini tidak boleh membiak di sungai kita, tapi akan membesar mencecah sehingga 60 kilogram seekor.

“Kewujudan ikan gergasi ini akan menjadi pemangsa kepada ikan-ikan kecil, tapi penemuan ini hanya kes terpencil kerana kita sentiasa membuat pemantauan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Saguhati Nelayan Johor Selatan, di Taman Pasir Putih, di sini, semalam.

Majlis penyampaian saguhati tersebut disempurnakan Adun Tiram, Datuk Maulizan Bujang.

Sementara itu, seorang penerima, Mohd Mazlan Sulong, 59, berkata, wang saguhati sebanyak RM1,000 itu akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk membeli peralatan menangkap ikan selepas yang sedia ada semakin uzur.

“Terima kasih atas keprihatinan kerajaan negeri kerana bantuan sebegini dapat membantu nelayan pantai seperti saya menggantikan jaring dan bubu yang telah rosak.

“Sekurang-kurangnya dapat menambah pendapatan bagi menyara keluarga selepas pendapatan kami hanya bergantung sepenuhnya kepada hasil tangkapan,” katanya.

Bagi nelayan Orang Asli, Khamis Awang, 46, berkata, wang saguhati yang diperoleh akan digunakan untuk melengkapkan keperluan tiga anaknya.

“Saya gembira atas ingatan kerajaan kepada kami kerana dengan adanya bantuan ini boleh membantu mengurangkan beban kami dalam melengkapkan keperluan pendidikan anak-anak,” kataya.

Seramai 231 penerima terdiri daripada nelayan dan penternak dalam Parlimen Tebrau menerima saguhati sebanyak RM1,000 daripada kerajaan negeri Johor.

Pemburu AS bayar AS$350,000 untuk bunuh badak sumbu hitam



IMEI menunjukkan seekor badak sumbu hitam di Nabimia.


WINDHOEK – Seorang pemburu Amerika Syarikat (AS) yang membayar AS$350,000 (RM1.24 juta) untuk membunuh seekor badak sumbu hitam di Namibia berjaya menembak haiwan berkenaan pada Isnin lalu.
Pemburu berkenaan, Corey Knowlton berkata, tindakannya dapat membantu melindungi spesies terancam itu.
Pemburu dari Texas itu menembak badak sumbu tersebut menggunakan raifal berkuasa tinggi selepas pemburuan selama tiga hari yang disertai beberapa pegawai kerajaan untuk memastikan dia menghapuskan badak yang betul.
Knowlton, 36, mendapat hak menembak badak berkenaan dalam satu lelongan di Dallas pada awal 2014.
Dia sebelum ini dikritik hebat ramai aktivis pemuliharaan haiwan dan turut menerima ugutan bunuh.
“Seluruh dunia tahu mengenai pemburuan ini dan saya berpendapat adalah amat penting untuk orang ramai mengetahui bahawa haiwan ini dibunuh dengan cara yang betul,” kata Knowlton dalam satu temu bual bersama saluran televisyen CNN.
Sejak 2012, kerajaan Namibia menjual lima lesen untuk memburu badak sumbu hitam pada setiap tahun dengan alasan wang tersebut diperlukan bagi membiayai projek konservasi dan antipemburuan haram.
Pihak berkuasa Namibia hanya memilih badak sumbu hitam yang tua dan tidak lagi membiak serta menjadi ancaman terhadap badak sumbu muda untuk diburu.
Menurut Kesatuan Antarabangsa Untuk Pemuliharaan Alam Semulajadi (IUCN), terdapat kira-kira 850,000 ekor badak sumbu hitam hidup pada kurun yang lalu sebelum bilangan haiwan itu berkurangan kepada hanya 2,400 ekor pada 1995 akibat pemburuan haram.
Namun, bilangan badak sumbu hitam di negara Afrika itu kini meningkat kepada kira-kira 5,000 ekor. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0521&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3aix5bOOi 
Hakcipta terpelihara 

Gajah ‘rakam’ gambar selfie


Christian LeBlanc bergambar selfie dengan gajah sebelum binatang
Christian LeBlanc bergambar selfie dengan gajah sebelum binatang itu merampas kamera jenis GoPro miliknya di Koh Phangan, wilayah Surat Thani, Thailand, baru-baru ini. AGENSI
BANGKOK 20 Mei – Seekor gajah mencetuskan fenomena apabila imejnya ‘merakam’ gambar selfie menggunakan belalai ketika diberi makan oleh seorang pelancong, tersebar di Internet.
Pelancong dari Kanada itu, Christian LeBlanc memberitahu akhbar Daily Mail, ketika itu dia sedang memberi makan haiwan berkenaan di sebuah pusat perlindungan gajah di Koh Phangan, wilayah Surat Thani, baru-baru ini.
LeBlanc, 22 berkata, gajah itu kemudian terus merampas kamera GoPro miliknya yang telah diletakkan dalam mode ‘timer’ sebelum merakamkan beberapa keping gambar dengan menggunakan belalainya.
Dia yang merupakan pelajar di Bangkok berkata, selfie itu dirakam ketika dia cuba memberikan pisang kepada gajah tersebut.
“Saya memberikan gajah tersebut sebiji pisang, tetapi haiwan itu merampas kamera saya.
“Saya rasa sangat bertuah kerana dapat merakam detik manis bersama gajah ini. Ini adalah selfie terbaik dalam hidup saya,” katanya.
LeBlance berkata, dia dan teman wanitanya akan ke Filipina dan berharap dapat merakam gambar selfie bersama ikan paus yang merupakan ikan paling besar di dunia.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/gajah-8216-rakam-8217-gambar-selfie-1.94082#sthash.yi7xszFm.dpuf

Wednesday, May 20, 2015

Bergelar CEO pada usia hanya 10 tahun

Cory Nieves
Cory Nieves bijak mencari peluang untuk membantu ibunya menjana pendapatan.

MESKIPUN baru berusia 10 tahun, Cory Nieves bijak mencari peluang untuk membantu ibunya menjana pendapatan.

Kini, kanak-kanak ini bergelar Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di syarikatnya, Mr. Cory’s Cookies.

Nieves memulakan perniagaannya lima tahun lalu selepas berpindah ke New Jersey bersama ibunya Lisa Howard, dari Bronx, Amerika Syarikat.

Keadaan sejuk yang terpaksa dihadapi setiap kali turun dari bas membuatkannya terfikir bagaimana cara untuk membeli kereta.

Dia mencadangkan kepada ibunya untuk menjual koko panas, sebelum menambah makanan sampingan lain seperti pencuci mulut dan biskut.

“Pada awalnya saya memang tidak tahu apa-apa. Saya mula cari resipi di majalah dan mula reka resipi sendiri.

“Ia juga bebas bahan pengawet atau perisa tiruan. Saya tidak mahu beri orang makan sesuatu yang saya tidak makan,” katanya.

Dari dapur rumah, Nieves mengembangkan perniagaan sehingga dia terpaksa memindahkan operasi ke sebuah kawasan yang lebih komersial.

Pada 2012, perniagaannya diperbadankan menjadi sebuah syarikat liabiliti terhad (LLC).

Bagaimanapun, undang-undang buruh kanak-kanak melarang Nieves bekerja di dapur dan ibunya mengambil alih segala tugas membakar biskut.

Kini, Nieves mampu menjual sehingga 1,000 keping biskut setiap hujung minggu pada harga AS$3 (RM14) sekeping. – CBS News

Ikan berdarah panas

Ikan berdarah panas

SPESIES ikan adalah antara yang tergolong dalam haiwan berdarah sejuk seperti reptilia dan amfibia.
 
Bagaimanapun, sekumpulan saintis berjaya menemui spesies ikan pertama di dunia yang didakwa berdarah panas seperti mamalia.
 
Ia digelar sebagai Opah atau ikan bulan yang mempunyai berat sehingga 90 kilogram itu memanaskan badannya dengan cara menggerakkan siripnya yang kelihatan seperti kepak secara berterusan bersesuaian purata suhu sekeliling antara 4 hingga 5 darjah Celsius.  
 
Ahli biologi Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Kebangsaan (NOAA), Nicholas Wegner berkata, Opah mempunyai struktur yang unik pada insangnya bagi menghalang ikan itu kehilangan haba kepada persekitaran.
 
"Opah tidak perlu naik ke permukaan air untuk mengekalkan suhu yang sesuai dengan haiwan berdarah panas walaupun sebenarnya sukar untuk mengekalkan haba pada di keliling kawasan yang sejuk," jelasnya lagi.
 
Ikan berukuran seperti tayar kereta ini boleh ditemui pada kedalaman 50 hingga 400 meter pada dasar laut dan sumber makanannya adalah ikan kecil serta sotong. - DailyMail

Tuesday, May 19, 2015

Meninggal dunia selepas koma 42 tahun

Aruna Shanbaug
Aruna Shanbaug mengalami kerosakan otak dan terlantar selama 42 tahun di katil hospital.

NEW DELHI - INDIA. Seorang jururawat yang koma selama 42 tahun selepas diserang dan diperkosa rakan sekerjanya di sebuah hospital di India akhirnya meninggal dunia, semalam.

Aruna Shanbaug mengalami serangan seksual ketika bertugas di Hospital King Edward Memorial di Mumbai pada 1973.

Semasa kejadian, Shanbaug berusia 24 tahun.

Shanbaug diserang Sohanlal Bharta Walmiki menggunakan rantai anjing sehingga memutuskan aliran darah ke otak.

Walmiki ditangkap dan sekadar dipenjarakan selama tujuh tahun atas tuduhan menyerang dan merompak mangsa.

"Aruna Shanbaug meninggal dunia pada jam 8.30 pagi (waktu tempatan). Dia sempat dimasukkan ke ICU dan diberi bantuan ventilator," menurut jurucakap hospital.

Kejadian menimpa Shanbaug antara kes rogol paling sadis pernah berlaku di India, negara yang kerap berlakunya jenayah seumpama itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini. - The Mirror

Monday, May 18, 2015

Diikat sepanjang hidup

Shaanxi: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun menghabiskan sepanjang usianya diikat untuk menghalangnya melarikan diri selepas dia mengalami kecacatan otak sejak berusia lapan bulan.
Menurut laporan media tempatan, si bapa, Yang berkata, anaknya Xiaoyu mengalami demam panas ketika kanak-kanak.
Keadaannya selepas itu bertambah teruk.
Tetapi kerana miskin, Yang dan isterinya hanya merawat Xiaoyu di rumah. Ketika berusia setahun, kanak-kanak itu jatuh katil ketika mengalami sawan. Sejak itu, dia tidak boleh berkomunikasi.
Demi keselamatan Xiaoyu, Yang mengikat anaknya pada tingkap dapur.
Apabila keluar bekerja, dia akan mengikat kanak-kanak itu pada pokok di luar rumah dengan tali sepanjang semeter.
Setiap kali dihampiri jirannya, Xiaoyu hanya akan mengangkat kepalanya untuk melihat sebelum kembali menggumam bersendirian.
“Dia akan melarikan diri jika saya tidak mengikatnya. Saya tidak ada pilihan lain untuk menangani masalah ini,” kata Yang.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2015 @ 5:08 AM


YANG membawa anaknya keluar dari rumah mereka.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/51678#sthash.YUziLeB5.dpuf

Pulau baharu semakin besar di Jepun



PULAU Nishinoshima Baharu timbul di permukaan laut pada November 2013, kira-kira 1,000 kilometer ke selatan Tokyo. - AGENSI


TOKYO – Sebuah pulau baharu yang muncul di perairan Jepun memberi peluang yang jarang didapati dalam kalangan saintis untuk mengkaji bagaimana kehidupan bermula di tanah tandus.
Beberapa penyelidik berkata, najis burung dan muntah anak-anak burung menjadi ramuan rahsia yang membantu menggalakkan kemunculan hidupan se­perti tumbuh-tumbuhan di pulau gunung berapi itu.
Dinamakan Nishinoshima Baharu, pulau itu timbul di permukaan laut pada November 2013, kira-kira 1,000 kilometer ke selatan ibu kota Jepun, Tokyo.
Pulau itu menjadi semakin besar dan mengatasi keluasan jirannya, Pulau Nishinoshima yang merupakan sebahagian daripada Kepulauan Ogasawara. Gugusan pulau berkenaan kaya dengan kepelbagaian ekosistem.
Pulau baharu itu berkeluasan 2.46 kilometer persegi dan menyamai saiz sebanyak 345 padang bola sepak.
Sehingga kini hampir semua pulau berkenaan terdiri daripada batu-batan.
Nishinoshima Baharu terbentuk daripada himpunan lahar gunung berapi yang menyejukkan.
Kalangan saintis yakin pulau itu akan dipenuhi flora dan fauna suatu hari nanti. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0518&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3aR27MNtJ 
Hakcipta terpelihara 

Wanita hidap penyakit darah keluar daripad mata


Penyakit Gardner Diamond menyebabkan mata Ikeda mengeluarkan darah ketika tidur. - AGENSI


HAWAII – Seorang wanita di sini menderita sejenis penyakit misteri dengan matanya mengeluarkan darah ketika tidur sekali gus mengejutkan sekumpulan doktor.
Linnie Ikeda, 24, yang berasal dari Waikele disahkan menghidap penyakit Gardner Diamond pada 2008 menyebabkan darah keluar daripada matanya.
Bagaimanapun, dua tahun kemudian, darah mula keluar dari lidahnya menyebabkan beberapa doktor yang memeriksanya bingung mengenai punca penyakit itu.
“Apabila darah keluar daripada mata, ia tidak menyakitkan sebaliknya saya cuma merasa tekanan pada bahagian mata.
“Lazimnya, ia akan berdarah sekitar antara pukul 2 hingga 5 pagi. Saya akan mengetahui mata mengeluarkan darah apabila ia membengkak dengan teruk,” katanya.
Keadaan itu menyebabkan seluruh lengan tangan, belakang badan dan lutut Ikeda akan mempunyai kesan lebam.
Bagaimanapun, Ikeda terpaksa membiasakan diri dengan penyakit pelik itu kerana doktor masih gagal merawat penyakit tersebut. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0518&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3aR1yt5Wq 
Hakcipta terpelihara 

Sunday, May 17, 2015

Mursi, Qaradawi dijatuhi hukuman mati

KAHERAH 16 Mei – Mahkamah Mesir, hari ini menjatuhi hukuman mati ke atas bekas Presiden, Mohammed Mursi dan ulama Islam terkenal, Yusuf Al-Qaradawi atas kesalahan melakukan rusuhan di penjara pada 2011 bagi menentang Presiden, Hosni Mubarak.
Agensi berita BBC memetik kenyataan Hakim Shaaban el-Shami sebagai berkata, Mursi merupakan salah seorang daripada 100 anggota pergerakan Ikhwanul Muslimin yang dijatuhi hukuman tersebut oleh mahkamah.
Mursi mendengar keputusan itu di kandang pesalah, manakala sebahagian besar tertuduh yang lain tidak hadir, termasuk Yusuf Al-Qaradawi yang kini menetap di Qatar.
Bagaimanapun, hukuman itu hanya akan dilaksanakan selepas mendapat pengesahan daripada Mufti Besar Mesir, pihak berkuasa agama paling tinggi di Mesir.
Keputusan akhir hukuman akan diumumkan pada 2 Jun ini.
Sebelum ini Mursi dijatuhi hukuman penjara selama 20 tahun oleh mahkamah atas kesalahan mengeluarkan arahan supaya menahan penunjuk perasaan di Istana Presiden pada 2012.
Penyokong Mursi mendakwa kes melibatkan pemimpin mereka itu bermotifkan politik dan mahu menutup kes penggulingan beliau oleh pihak tentera.
Dalam perkembangan lain, tiga hakim mahkamah Mesir dilaporkan ditembak mati oleh sekumpulan lelaki bersenjata, beberapa jam selepas bekas Presiden, Mohammed Mursi dijatuhi hukuman mati.
Polis berkata, ketika kejadian ketiga-tiga hakim berkenaan berada di dalam bas di bandar al-Arish, Semenanjung Sinai, sebelum mereka diserang oleh kumpulan bersenjata.
“Dua orang hakim lain turut cedera dalam serangan tersebut,” jelas anggota polis.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/mursi-qaradawi-dijatuhi-hukuman-mati-1.92588#sthash.vhzj9W5X.dpuf