Pages

Saturday, May 9, 2015

Budak 9 tahun jadi jutawan

Evan menjadi jutawan apabila rakaman videonya di YouTube mengenai
Evan menjadi jutawan apabila rakaman videonya di YouTube mengenai permainan baharunya mencuri perhatian 1.4 juta pengikut dan membuka 1.2 bilion paparan halaman. AGENSI

NEW YORK 8 Mei – Hobi seorang kanak-kanak di Amerika Syarikat bukan sahaja menarik minat perhatian ramai kanak-kanak, tetapi juga membuatkan kedua ibu bapanya tersenyum lebar kerana aktiviti sampingan anak mereka itu mampu menjana pendapatan mencecah jutaan dolar setahun.
Akhbar harian Daily Mail melaporkan Evan, 9, sudah mampu menjadi jutawan Internet melalui video rakaman yang dimuat naik di laman YouTube menggunakan nama EvanTubeHD, sekali gus membolehkan Evan menjana pendapatan melebihi AS$1 juta (RM3.5 juta) setahun.
Evan memuat naik sebanyak tiga rakaman video ke dalam saluran video YouTube seminggu yang memaparkan ulasan permainan baharunya, dan siaran tersebut berjaya mencuri perhatian 1.4 juta pengikut dan membuka 1.2 bilion paparan halaman.
Menurut bapa kanak-kanak itu, Jared, dia mula menyedari klip rakaman video terawal Evan yang dimuat naik pada 2011 hanya sekadar suka-suka, tetapi jumlah penonton video itu terus meningkat.
Sebagai bapa, dia menyedari Evan mempunyai keistimewaan mampu menghasilkan kandungan atas talian yang berkualiti dan mesra kanak-kanak.
“Kali pertama kami memuat naik rancangan itu, kami tidak berniat untuk membuat untung,” kata Jared kepada Fast Company.
Namun, lama kelamaan jumlah penonton semakin meningkat dan pengiklan mula meletakkan iklan mereka di halaman Evan dan menjana pendapatan kepada kanak-ka­nak itu.
Selain itu, Evan kini semakin popular dan dikenali ramai.
Selain video, EvanTubeHD juga mendapat peluang muncul secara komersial.
Evan sering berkongsi pengambaran dengan adik perempuannya, Jillian dan ibunya Alisa.
Salah satu daripada klip permainan videonya, Angry Birds Space Softee Dough disaksikan sebanyak 65 juta kali.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/budak-9-tahun-jadi-jutawan-1.89684#sthash.tou9hc16.dpuf

Friday, May 8, 2015

Gigi tertanam dalam tangan tanpa sedar

Gigi tertanam dalam tangan tanpa sedar
Gigi yang tertanam dalam tangan

SEORANG remaja 19 tahun tekejut selepas mendapati sebatang gigi telah tertanam di dalam tangannya selepas mengadu kesakitan.

Remaja itu mengaku telah menumbuk muka adiknya secara tidak sengaja di rumah mereka sehari sebelum tangannya membengkak.

Ketika kejadian, dia tidak menyedari bahawa tumbukannya itu telah menyebabkan gigi adiknya patah kerana selepas ditumbuk adiknya itu bergegas keluar dari rumah.

Memetik laporan Daily Mail, selepas membersihkan kecederaan tanganya, remaja itu terus tidur dan pada keesokan harinya dia mendapati tangannya membengkak dan sakit.

Dia terus mendapatkan rawatan di hospital. Doktor pada mulanya hanya mengesyaki dia hanya mengalami jangkitan biasa namun apa yang mengejutkan hasil imbasan X-ray mendapati terdapat sebatang gigi tertanam di dalam tangannya.

Tanpa melengahkan masa, pembedahan membuang gigi tersebut dilakukan untuk mengelakkan jangkitan yang lebih serius.

Kisah si ayam hitam legam

ayam Cemani
Ayam Cemani

UNIK dan ‘menawan’ itulah perkataan yang sesuai untuk menggambarkan mengenai ayam Cemani (hitam legam keseluruhannya).

Apa yang menarik mengenai ayam ini adalah mengenai rupa parasnya yang 100 peratus hitam hinggakan dagingnya juga turut berwarna hitam.

Warna hitam itu menyelimuti seluruh tubuhnya termasuk balung, gelambir, paruh, bola mata, rongga mulut, lidah, bulu, sayap, lubang dubur, kaki dan kuku.

Ayam yang berasal dari pulau jawa ini merupakan antara ‘ayam lagenda’ di Indonesia dek kerana kelainannya itu, sekali gus tidak hairanlah mengapa ayam ini sentiasa menjadi buruan di Indonesia.

Menurut sejarah, pada zaman dahulu di sebuah desa Kedu, sewaktu Majapahit masih memerintah Indonesia pada abad ke 19, ayam cemani adalah ayam yang sangat istimewa dan ayam ini menjadi koleksi para pembesar dan raja-raja zaman dahulu.

Lantaran itu, ayam ini mahal harganya kerana dijadikan koleksi oleh para raja-raja dan keturunan pembesar.

Namun setelah beberapa generasi, ayam ini semakin berkurangan populasinya disebabkan ‘peminatnya’ itu.

Antara lain, ayam Cemani ini dikatakan dijadikan sebagai ‘alat’ untuk upacara ritual alam ghaib, sajian dalam perubatan tradisional, penarik rezeki dan sebagainya.

Maka tidak hairanlah ayam ini dijual dengan harga yang tinggi sehinggakan ada yang dijual dengan harga RM17,000 hinggalah RM85,000 seekor bergantung kepada pemiliknya meletakkan harga.

Namun harga bukan lagi ukuran kepada mereka yang menginginkannya. Ayam Cemani tetap diburu kerana khasiat dan kegunaannya.

Kerajaan sedia air untuk merpati

Makkah: Satu jabatan kerajaan akan menggalas tanggungjawab menyediakan air untuk burung merpati di sekitar Masjidilharam dan kawasan lain, mengambil alih peranan yang selama ini dilakukan jemaah, pelawat dan penduduk.
Memetik sumber Majlis Perbandaran Makkah, sebbuah akhbar tempatan melaporkan, jemaah dan pelawat menggunakan bekas lama untuk memberi minum kepada burung berkenaan.
“Bekas lama yang digunakan mungkin memudahkan pembiakan nyamuk dan boleh menyebabkan wabak denggi merebak,” kata Penolong Pengarah Jabatan Kesihatan majlis itu, Essam Faqih.
Menurutnya, jabatan berkenaan mengagihkan lebih 5,000 bekas air di sekitar Masjidilharam untuk burung berkenaan.
Pihaknya juga akan menyediakan bekas serupa kepada penduduk yang menjaga burung itu.
Katanya, ramai jemaah gemar memberi makanan dan minuman untuk burung merpati di masjid paling suci umat Islam itu. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2015 @ 8:11 AM


GAMBAR hiasan menunjukkan burung merpati di sekitar Masjidilharam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/49082#sthash.wMo4R8Zz.dpuf

Jambatan 'menggerunkan'

SEBUAH jambatan di Jepun mencetuskan fenomena unik apabila beberapa keping gambar tersebar memaparkan kecuraman luar biasa yang seolah-olah berbahaya untuk dilalui oleh kenderaan.
Jambatan dikenali sebagai Eshima Ohashi itu mula popular selepas digunakan dalam sebuah iklan syarikat Daihatsu Motor yang menggunakan teknik fotografi istimewa bagi menunjukkan seoalah-olah ia sangat curam.
Bagaimanapun kecuraman jambatan sepanjang 1.7 kilometer berkenaan sebenarnya hanya 6.1 peratus di sebelah Shimane dan 5.1 peratus di Tottori, kecuraman yang biasa bagi sebuah jambatan konkrit.
Teknik fotografi perspektif menggunakan lensa kamera yang panjang menyebabkan gambar dihasilkan tampak 'gerun' berbanding realiti. - mpora.com
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2015 @ 8:26 AM

TEKNIK fotografi menyebabkan jambatan kelihatan menggerunkan. Gambar kecil memaparkan kecuraman sebenar. FOTO Getty

Gaun Rihanna jadi perhatian


Rihanna
Rihanna
NEW YORK 7 Mei – Penampilan penyanyi, Rihanna yang memukau dengan gaun kuning meleret pada acara Met Gala di sini, Isnin lalu, melonjakkan nama pereka busana tersebut, Guo Pei yang berasal dari China.
Nama Pei disebut-sebut sebagai pereka yang bakal menjadi rebutan selebriti Hollywood selepas gaun tersebut menjadi topik jenaka di Twitter dan Instagram.
Menurut Rihanna kepada portal Vanity Fair, beliau sangat menyukai busana yang dipakainya pada malam itu.
“Saya amat menyukai gaun itu, walaupun saya terpaksa dipapah ketika berjalan di karpet merah,” katanya.
Menariknya, Pei, 45, mengambil masa selama dua tahun untuk menyiapkan gaun tersebut yang dijahit tangan.
Pada majlis itu, dua gaun Pei turut dipamerkan sempena pameran seni bertajuk China: Through the Looking Glass.
Satu daripadanya yang dinamakan Magnificent Gold, disiapkan pereka itu dalam tempoh masa 50,000 jam menggunakan fabrik import seperti sutera.
Menurut Pei, dia menggunakan khidmat 300 orang tukang sulam dan 150 orang pereka untuk menjahit 30,000 butir mutiara asli pada busana itu yang bernilai 500,000 (RM2.73 juta).
Pei yang telah berkecimpung selama 26 tahun dalam bidang rekaan fesyen berkata, dia berhasrat mengeluarkan koleksi pakaian baharu yang mampu milik.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/gaun-rihanna-jadi-perhatian-1.89280#sthash.UYqn8Z8R.dpuf

Thursday, May 7, 2015

Cetak surat letak jawatan atas kek


Mark HERMAN mengambil pendekatan unik mencetak surat peletakan
MARK HERMAN mengambil pendekatan unik mencetak surat peletakan jawatannya di atas sebuah kek di Tuscon, Amerika Syarikat, baru-baru ini. Agensi
TUSCON 6 Mei – Seorang lelaki yang ingin meletakkan jawatan di sebuah stesen televisyen, bertindak mencetak surat peletakan jawatannya di atas sebuah kek.
Portal UPI melaporkan, Pengarah Siaran Berita di KOLD-TV, Mark Herman mencetak surat peletakan jawatannya di atas sebuah kek besar dan menyerahkannya kepada majikan dan pekerjanya.
“Hari ini saya serahkan surat peletakan jawatan paling sedap,’’ katanya dalam akaun laman sosial, Reddit.
Herman yang bekerja dengan stesen televisyen itu sejak empat tahun lalu meletakkan jawatan selepas menerima pekerjaan baharu di stesen televisyen, WKRN-TV di Nashville.
“Saya sedar rakan-rakan sekerja akan merasa sedih dengan peletakan jawatan saya, jadi saya membuat kek ini untuk mengurangkan kesedihan mereka,’’ katanya.
Di atas kek tersebut, tertera notis peletakan jawatannya bermula 22 Mei lalu.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kerana diberi peluang untuk bertugas di stesen televisyen itu selama empat tahun.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/cetak-surat-letak-jawatan-atas-kek-1.88717#sthash.c9S63QMV.dpuf

Gigi tertanam dalam tangan


Sebatang gigi tertanam pada bahagian sendi jari tangan seorang
Sebatang gigi tertanam pada bahagian sendi jari tangan seorang remaja Britain selepas dia secara tidak sengaja tertumbuk adiknya. AGENSI
LONDON 6 Mei – Seorang remaja lelaki Britain terkejut selepas dimaklumkan doktor yang merawatnya bahawa terdapat sebatang gigi yang tertanam pada bahagian sendi jari tangannya.
Remaja berusia 19 tahun itu yang namanya tidak didedahkan mendakwa, dia secara tidak sengaja telah menumbuk mulut adiknya dalam satu kejadian baru-baru ini dan tidak sedar bahawa adiknya itu telah kehilangan gigi.
Mail Online melaporkan, lelaki tersebut ketika itu sedang berlatih tinju sebelum adiknya secara tiba-tiba muncul.
Selepas tertumbuk adiknya, lelaki tersebut memaklumkan bahawa mangsa keluar tergesa-gesa dan dia tidak tahu adiknya cedera.
Dia kemudian mendapati, terdapat kesan luka pada tangannya dan segera mencuci luka itu sebelum tidur.
Bagaimanapun pada keesokan harinya, lelaki itu bangun daripada tidur dalam keadaan kesakitan dengan tangannya membengkak hingga membuatkan dia mengalami kesukaran untuk menggunakan jari.
Lelaki itu yang dibawa ke hospital terkejut selepas hasil x-ray mendapati terdapat sebatang gigi kacip tertanam di bahagian sendi antara jari kelingking dan jari manisnya sebelum dia menjalani pembedahan untuk membuang gigi tersebut.
Menurut doktor, kebanyakan tisu pada otot gigi yang ditemukan antara kedua-dua jari itu telah mati dengan tendon pada jari kelingking didapati masih kukuh.
Kes itu diterbitkan dalam jurnal Laporan Kes BMJ.
Sementara itu, pakar pembedahan plastik di Hospital Queen Victoria, West Sussex, Dr Roshan Vijayan dalam jurnal itu berkata, kes tersebut amat pelik kerana pesakit sendiri tidak menyedari bagaimana kejadian tersebut berlaku.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/gigi-tertanam-dalam-tangan-1.88715#sthash.pVi3HD98.dpuf

Pekedai Islam Xinjiang diarah jual arak


Penduduk Islam etnik Uighur di Xinjiang sering ditindas kerajaan
Penduduk Islam etnik Uighur di Xinjiang sering ditindas kerajaan China termasuklah dilarang berpuasa, menyimpan janggut, dan yang terbaharu pekedai Islam diarah menjual arak. AGENSI
XINJIANG 6 Mei – Kedai dan restoran milik peniaga Islam di sebuah perkampungan, di sini diarah untuk menjual minuman keras serta rokok atau bakal berdepan pendakwaan dan kedai mereka boleh ditutup jika gagal berbuat demikian.
Laman web International Business Times memetik kenyataan Radio Free Asia (RFA) semalam sebagai berkata, bentuk penindasan terbaharu terhadap penduduk Islam di wilayah Xinjiang itu, bertujuan mengurangkan pengaruh agama berkenaan di barat laut China.
Pihak berkuasa Majlis Perbandaran Laskuy mengeluarkan notis kepada penduduk di Kampung Aktash minggu lalu yang mengarahkan restoran dan pasar raya di kampung berkenaan perlu menjual lima jenama minuman keras dan rokok sebelum 1 Mei lalu.
Selain itu, peniaga turut diarah untuk mempromosikan barangan dalam bentuk yang menarik.
“Mana-mana peniaga yang enggan mengikuti arahan akan menyebabkan kedai mereka ditutup dan digantung, selain berdepan tindakan undang-undang.
“Peraturan ini merupakan arahan daripada pemimpin tertinggi parti pemerintah Parti Komunis,” jelas notis berkenaan.
Arahan tersebut merupakan tindakan terbaharu China dalam kempen yang disifatkan sebagai mahu menghapuskan pelampau agama dan melemahkan pengaruh Islam di barat laut negara ini.
Setiausaha Jawatankuasa Kampung Aktash, Adil Sulayman berkata, notis tersebut merupakan sebahagian daripada pelaksanaan kempen melemahkan Islam yang dijalankan oleh kerajaan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pekedai-islam-xinjiang-diarah-jual-arak-1.88858#sthash.Hac1WHl1.dpuf

Wednesday, May 6, 2015

Keunikan Masjid Sancaklar


SUMBER: WWW.DEZEEN.COM
5 Mei 2015
Masjid Sancaklar
Masjid Sancaklar Masjid ini dibina menampilkan gabungan batu dan konkrit.

Masjid Sancaklar

Masjid Sancaklar
Ruang solatnya seperti berada di dalam sebuah gua.
Masjid Sancaklar

MASJID moden yang terletak di Buyukcekmece berhampiran pinggir Istanbul ini sememangnya mempunyai rekaan yang unik dan berbeza kerana ia menampilkan gabungan batu dan konkrit serta ruang solat seperti berada di dalam sebuah gua.

Idea kreatif tersebut dicetuskan oleh firma arkitek tempatan, Emre Arolat dan keunikannya telah melayakkan Masjid Sancaklar tersebut disenarai pendekkan untuk anugerah Design of the Year 2015.

Struktur yang kelihatan seperti arca ini dibina pada kawasan seluas 700 meter persegi itu juga hanya berbumbungkan batu.

Pada musim sejuk, ruang solat dipanaskan oleh haba terpendam dari bumi.

Menurut jurucakap firma tersebut, pembinaan Masjid Sancaklar bertujuan untuk mengetengahkan seni bina baharu yang menggabungkan ciri topografi dan alam semula jadi sepenuhnya.

Ini bukan foto gempa bumi di Nepal!

Ini bukan foto gempa bumi di Nepal!
Foto oleh Na Son Nguyen yang diambil pada 2007.

SALAH satu foto viral yang menunjukkan seorang kanak-kanak lelaki memeluk seorang kanak-kanak perempuan dikatakan disalah tafsir sebagai mangsa gempa bumi Nepal dan mangsa peperangan di Syria.

Menurut BBC, foto tersebut paling banyak dikongsi di laman sosial Facebook dan Twitter.

Pelayar di laman media sosial meletakkan kapsyen 'anak yatim di Burma', 'mangsa peperangan di Syria' dan yang terbaru 'mangsa gempa bumi Nepal'.

Sebenarnya, gambar tersebut diambil hampir seabad lepas di utara Vietnam.

Jurugambar, Na Son Nguyen berkata, gambar tersebut diambil pada Oktober 2007.

"Gambar tersebut diambil di Can Ty, sebuah kampung di Ha Giang (Vietnam)," kata Nguyen.

"Saya sedang melewati kampung tersebut dan berhenti selepas ternampak kanak-kanak tersebut sedang bermain di hadapan rumah mereka.

"Kanak-kanak perempuan berkenaan, mungkin berumur dua tahun, menangis kerana kehadiran orang asing.

"Abangnya yang mungkin berumur tiga tahun atau lebih, memeluk adiknya untuk menenangkannya," jelas Nguyen apabila ditemuramah BBC.

"Keadaan tersebut sayu dan juga comel. Jadi saya ambil gambar," ujar Nguyen tersenyum.

Nguyen kemudian berkongsi gambar tersebut di blognya dan terkejut apabila gambar tersebut diguna secara meluas tiga tahun kemudian.

"Ada orang mereka cerita tentang kanak-kanak tersebut.

"Seperti ibu kanak-kanak tersebut telah tiada dan ayah mereka meninggalkan mereka," kata Nguyen.

Menurut Nguyen, 'salah guna' foto tersebut tidak berhenti setakat itu.

"Saya jumpa gambar tersebut dikatakan adalah mangsa perang di Syria," katanya lagi.

Nguyen berkata, beliau cuba menjelaskan berhubung situasi sebenar foto tersebut tetapi gagal.

"Saya rasa foto tersebut adalah foto saya yang paling banyak digunakan, malangnya untuk konteks yang salah," luah beliau.

Misteri di sebalik sungai terdalam di dunia

Sungai Kongo
Sungai Kongo simpan 1001 misteri.

KITA sering didedahkan mengenai keindahan serta misteri Sungai Amazon yang terletak di Brazil. Bagaimanapun, jarang sekali kita dengar mengenai Sungai Kongo yang dikatakan sungai terdalam di dunia.

Sungai Kongo atau Congo River yang terletak di Afrika merupakan sungai yang paling dalam dan ke-9 terpanjang di dunia.

Kepanjangan sungai yang airnya berwarna hitam gelap ini diukur mencapai sehingga 4,700 kilometer secara keseluruhannya.

Manakala kedalaman sungai ini pula dikatakan mencecah sehingga 250 meter iaitu mengatasi Sungai Yangtze di China yang berkedalaman hanya 200 meter dan Sungai Danube di Eropah yang hanya mencapai 178 meter dalam.

Sejarah Sungai Kongo dipetik menerusi laman Wikipedia yang menyatakan bahawa sungai ini terbentuk sejak 1.5 juta hingga 2 juta tahun dahulu.

Terdapat lebih 700 spesies hidupan dalam air direkodkan di sepanjang sungai ini.

Spesies ikan yang paling merbahaya di sungai ini dikenali sebagai ikan harimau atau 'Tiger Fish' yang melahap daging sebagai makanan utamanya.

Ikan dari spesies karnivor ini dikatakan pernah menyerang dan membunuh seorang kanak-kanak Afrika yang didakwa bermain di tepi sungai tersebut.

Ikan lagenda yang turut digelar sebagai ‘Demon Fish’ ini boleh mencapai ukuran panjang sehingga lima meter manakala beratnya pula boleh mencecah sehingga 69 kilogram.

Ia ditakuti oleh seluruh masyarakat setempat, dianggap sebagai raja sungai, sekali gus mematahkan kebimbangan penduduk setempat terhadap ‘saudaranya’, ikan piranha yang turut mendiami sungai tersebut.

Di sebalik sejarah dan faktanya yang menakjubkan, Sungai Kongo dikatakan mencatat siri tragedi yang menakutkan.

Ratusan penduduk dikatakan terkorban dalam siri kemalangan bot dan feri yang rata-ratanya mencatatkan kematian tinggi di sungai tersebut.

Tragedi  terbaru dicatatkan pada Disember 2014 di mana kejadian feri tenggelam menyebabkan 30 penumpang feri maut sementara 105 yang lain terselamat.

Terpaksa diusung dengan kren kerana gemuk

Terpaksa diusung dengan kren kerana gemuk
Georgia terpaksa diusung menggunakan kren

SOUTH WALES - BRITAIN.  Seorang gadis yang pernah digelar remaja paling gemuk di Britain terpaksa diusung menggunakan kren dari rumahnya untuk ke hospital.

Georgia Davis, 22, mempunyai berat 382 kilogram terpaksa diusung keluar dari rumahnya di pangsapuri di Cwmaman, Aberdare, South Wales menggunakan kren ke dalam ambulans selepas perlu mendapatkan rawatan kerana beberapa jangkitan.

Menurut salah seorang rakannya, Georgia berada dalam keadaan baik, cuma memerlukan kren untuk mengangkatnya kerana dia tidak berupaya untuk berjalan walaupun jarak rumahnya tidak  kurang dari 18 meter.

Dua kren, tujuh kereta polis, dua jentera bomba dan 11 paramedik telah dipanggil untuk mengangkat Gergia dari pangsapurinya dan kos dianggarkan RM 40,000.

Jalan utama di kediamannya juga terpaksa ditutup selama 7 jam ekoran anggota bomba terpaksa menghantar kren yang lebih kukuh untuk mengangkatnya.

Menurut rakan yang juga jirannya berkata, dia berada dalam keadaan baik dan berada di hospital untuk beberapa minggu.

"Kami sentiasa mengambil berat mengenai keadaan kesihatannya dan mahukan dia mengamalkan diet khas untuk mengatasi masalah kegemukannya itu.

"Walaupun sebelum ini dia pernah berdiet, namun ia tidak berkesan,".

Georgia mengalami masalah obesiti sejak berusia lima tahun dan merupakan penggemar makanan segera seperti piza, kebab dan burger dan diambil dalam kuantiti yang banyak

Kebiasaannya, dianggarkan 13,000 kalori diambilnya setiap hari.

Rumahnya yang terletak di tingkat bawah pangsapuri berkenaan telah di ubah suai untuk memudahkan dia dibawa keluar jika berlaku kecemasan.

Nyalaan suria ‘bersayap’

solar
Rakaman video memaparkan fenomena nyalaan suria yang sememangnya memukau pandangan.

PENTADBIRAN Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa) mengeluarkan rakaman video memaparkan fenomena nyalaan suria yang sememangnya memukau pandangan.

Rakaman tersebut turut dikongsikan di laman Facebook agensi antarabangsa yang berpusat di Amerika Syarikat itu.

“Kejadian letusan ‘bersayap’ itu tidak pernah berlaku sebelum ini. Fenomena tersebut berlaku disebabkan oleh perbezaan gelombang aktiviti ultraungu,’ jelas Nasa.

Menurut agensi itu, kejadian itu direkodkan dalam tempoh enam jam oleh Balai Cerap Dinamik Solar (SDO) pada 21 April lalu.

“SDO merakamkan kejadian letusan tersebut dalam pelbagai gelombang ultraungu yang ekstrem termasuk 171 angstrom (warna emas) dan 304 angstrom (warna jingga),” kata Nasa lagi. – The Mirror

Iceberg Alley ‘laluan utama’ sebelum cair di Artik

Iceberg Alley
Kawasan laut antara Newfoundland dan Greenland yang digelar sebagai Iceberg Alley menjadi ‘laluan utama’ aisberg.

KAWASAN laut antara Newfoundland dan Greenland yang digelar sebagai Iceberg Alley menjadi ‘laluan utama’ aisberg pada musim bunga dan musim panas sebelum ia mencair di Artik.

Jika dilihat sekali imbas, ia kelihatan seperti gambar yang menggunakan teknik superimpose kerana bongkah ais tersebut memberikan pemandangan yang menakjubkan  ketika ia menuju ke arah Lautan Atlantik Utara.

Fenomena yang boleh dilihat di luar pantai timur Kanada itu juga digelar Arctic spring melt.

Ratusan bongkah ais tersebut adalah pecahan daripada glasier Greenland dan Artik Kanada sebelum ia terapung melalui Labrador lalu mencair sepenuhnya di Atlantik Utara.

Pada setiap tahun, hanya 400 hingga 800 daripada kira-kira 40,000 pecahan aisberg melalui Iceberg Alley dan kebanyakannya berusia kira-kira 10,000 tahun.

Ia bergerak pada kelajuan purata 0.7 kilometer sejam(km/j) sehingga 3.6 km/j, namun bergantung kepada tiupan angin. – The Mirror


Tahukah Anda

Saiz aisberg terbesar mampu mencapai berat lebih daripada 10 juta tan dan berukuran ratusan meter panjang.

• Aisberg paling kecil atau bergy bits berukuran seperti sebuah rumah kecil dan growlers adalah sebesar piano.

• Di Hemisfera Utara, aisberg terbesar pernah ditemui berhampiran Pulau Baffin di luar Kanada adalah seberat lebih 9 bilion tan dan berukuran 13 km panjang dan 6 km lebar serta 20 meter daripada permukaaan laut.

Tayang kereta kebal baru


Moscow: Kereta kebal baru Russia, Armata, semalam dilihat buat kali pertama di tempat awam apabila ia dipandu di sini menuju ke Dataran Merah untuk raptai terakhir sambutan perbarisan Hari Kemenangan.

Kementerian Pertahanan Russia bulan lalu menunjukkan gambar kereta kebal itu tetapi turetnya dibungkus dengan fabrik dan hanya pelantarnya dapat dilihat.

Semalam kali pertama kereta kebal itu ditunjukkan sepenuhnya di tempat awam.

Armata akan menjadi tumpuan utama perarakan tentera Sabtu ini sempena ulang tahun ke-70 kemenangan Russia ke atas Nazi Jerman dalam Perang Dunia Kedua.

Kira-kira 200 kelengkapan tentera dan 16,500 tentera mengambil bahagian dalam perarakan itu.

Pakar berkata, Armata mengatasi semua versi kereta kebal Barat.

Kereta kebal itu adalah yang pertama menggunakan kapsul perisai dalaman untuk menempatkan tiga anggota dan turet yang boleh dikawal dari jarak jauh. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2015 @ 8:17 AM

KERETA kebal baru Russia yang menyertai raptai perarakan tentera, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/48818#sthash.n3bTxlnU.dpuf

Gelanggang tenis bawah akuarium


Dubai: Sebuah firma arkitek Poland merancang membina kompleks tenis bawah akuarium di Dubai.

Arkitek Poland, Krzysztof Kotala dari 8+8 Concept Studio kini mencari pelabur untuk projek itu yang disifatkan mampu meraih keuntungan tinggi untuk Dubai jika berjaya dilaksanakan.

“Pelaburan besar membawa keuntungan dari segi ekonomi dalam sektor pembinaan seterusnya turut memberikan pulangan baik dari segi pemasaran dan pelancongan,” katanya.

Katanya, Qatar dan Jepun juga boleh menjadi lokasi baik untuk kompleks sukan bawah air seperti itu.

Dubai akan menjadi tuan rumah bagi Ekspo Dunia 2020 yang dijangka menarik 25 juta pelawat manakala Qatar bakal menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA 2022.

Kotala berkata, kompleks tenis bawah air itu pendekatan inovatif terhadap kemudahan sukan.

Kompleks terdiri daripada tujuh arena itu boleh digunakan sebagai kemudahan sukan, rekreasi dan pameran.

“Ia dibuat menyerupai terumbu karang jadi ia sepadan dengan persekitarannya selain menggunakan bahan yang tidak merosakkan alam sekitar.

“Saya belum menghitung kos pembinaan namun tidak menolak kemungkinan ia memakan belanja jutaan dolar selain mengambil lima tahun untuk siap,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2015 @ 8:19 AM

GAMBAR rekaan arkitek menunjukkan sebuah gelanggang bawah akuarium.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/48820#sthash.5aeAxnSl.dpuf

Lelaki boleh rasai bunyi


James Wannerton mempunyai kebolehan untuk menentukan rasa sesuatu
James Wannerton mempunyai kebolehan untuk menentukan rasa sesuatu bunyi. AGENSI
LONDON 5 Mei – Seorang lelaki di negara ini mempunyai kebolehan yang jarang dimiliki oleh manusia iaitu mempunyai deria untuk menentukan rasa sesuatu bunyi.
Laman web Oddity Central me­laporkan, kebolehan yang dimiliki oleh James Wannerton adalah sejenis penyakit dikenali sebagai synaesthesia, di mana deria rasa yang kebiasaannya berfungsi secara berasingan bergabung menjadi satu sistem lengkap.
Wannerton berkata, setiap kali mendengar bunyi yang terhasil dari persekitaran dia akan merasai pelbagai jenis rasa seperti rasa kentang goreng dan jem strawberi.
“Kebolehan ini sememangnya banyak membantu saya dalam pelajaran, begitu juga dalam menjalinkan hubungan percintaan.
“Deria ini memudahkan saya mengingati sesuatu pelajaran selain dapat menentukan perkara yang baik atau tidak dalam perhubungan,” jelas Wannerton.
Berdasarkan satu kajian yang dijalankan oleh Universiti Edinburgh, penyakit synaesthesia boleh terjadi dalam pelbagai bentuk dan yang paling kerap berlaku adalah pesakit menyamakan nombor dan perkataan sebagai warna.
Kajian itu turut mendedahkan empat peratus penduduk Britain berdepan kemungkinan untuk menghidap penyakit berkenaan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/lelaki-boleh-rasai-bunyi-1.88213#sthash.UwwfDPmj.dpuf