Pages

Saturday, February 21, 2015

SALJI DI BAITULMAQDIS


Kawasan pekarangan Kubah As-Sakhrah di Kompleks al-Aqsa, Baitulmaqdis,
Kawasan pekarangan Kubah As-Sakhrah di Kompleks al-Aqsa, Baitulmaqdis, diselaputi salji berikutan cuaca sejuk melampau, semalam. - AFP
Cuaca sejuk melampau menyaksikan Baitulmaqdis di Palestin dan Bukit Height yang dikuasai tentera Israel di Syria, diselaputi salji setebal berpuluh-puluh sentimeter pada awal pagi semalam.
Laluan trafik ke Baitulmaqdis termasuk perkhidmatan bas, tergendala buat sementara waktu sehingga salji setebal 25 sentimeter itu dibersihkan.
Laman web jabatan kaji cuaca, Meteo-Tech meramalkan, cuaca sejuk, hujan, dan ribut diramal berlaku di Baitulmaqdis dan kawasan sekitarnya sehingga hujung minggu ini.
Selain lokasi itu, sebahagian besar Tebing Barat turut mengalami cuaca sejuk.
Salji juga dilaporkan berlaku di Lebanon dan Amman, Jordan sejak kelmarin.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/salji-di-baitulmaqdis-1.61820#sthash.Bgh7Eio1.dpuf

Friday, February 20, 2015

Air Terjun Niagara beku akibat cuaca sejuk

FENOMENA luar biasa apabila Air Terjun Niagara bertukar menjadi beku. - AGENSI


NEW YORK, Amerika Syarikat – Cuaca yang melampau menyebabkan Air Terjun Niagara menjadi beku selepas suhu jatuh pada paras 8 Celsius kelmarin.
Pengurus Komunikasi dan Perhubungan Awam kawasan air terjun tersebut, Michelle Blackley berkata, fenomena yang menakjubkan itu telah menarik banyak kunjungan orang ramai yang ingin menyaksikan sendiri keadaan air terjun tersebut yang sedang membeku.
“Berikutan air terjun itu yang cukup popular dan sering mendapat perhatian, ia telah menarik minat ramai pengunjung untuk menyaksikan sendiri keindahan air terjun tersebut ketika membeku,” katanya.
Cuaca sejuk itu dikatakan akan berterusan dan berkemungkinan besar seluruh bahagian timur termasuk sebahagian Florida akan dilanda suhu melampau yang jatuh bawah tahap beku.
Pejabat-pejabat kerajaan di Washington DC ditutup baru-baru ini ekoran ancaman salji tebal dan ais yang mengakibatkan perjalanan menggunakan kenderaan bertambah sukar, manakala Coleman, Kentucky dikatakan dilanda salji paling teruk. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0220&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3SFaxBniN 
Hakcipta terpelihara 

Jam tangan RM16 dijual RM94,000


Jam tangan RM16 dijual RM94,000
ARIZONA - AMERIKA SYARIKAT. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Itulah yang dapat digambarkan apabila seorang lelaki yang membeli jam tangan berharga cuma RM16 dan kemudian menjualnya semula dengan harga RM94,000.



Zach Norris pada mulanya ingin membeli beg golf di sebuah kedai barangan terpakai, tetapi kemudian mendapati seutas jam tangan vintaj Jaeger-LeCoultre 1959 dijual pada harga RM16.



Zach berkata, dia kemudiannya menjual jam tersebut dengan harga RM94,000 di sebuah laman web pengumpul jam tangan Hodinkee.com.



"Hanya 900 utas jam tangan ini di buat," katanya dipetik Metro.co.uk.



Tambah Zach, duit hasil jualan tersebut akan digunakan untuk menampung perbelanjaan perkahwinannya.

Harga teddy bear setaraf kereta mewah?


Harga teddy bear setaraf kereta mewah?
MEMILIKI patung beruang atau teddy bear merupakan impian bagi yang menyukai boneka berbulu tebal ini.

Tetapi siapa sangka harga satu patung beruang yang dikeluarkan oleh salah sebuah syarikat pembuat patung ini mampu menyamai harga sebuah kereta mewah?

Dibuat dari syarikat Steiff di Jerman, patung beruang yang berharga mencecah sehingga RM 298,124.24 itu merupakan jenis patung beruang pertama yang dikeluarkan oleh syarikat tersebut.

Syarikat Steiff yang didakwa sebagai kilang pengeluar patung beruang pertama itu mengeluarkan patung tersebut bersempena dengan ulang tahunnya yang ke-125.

Menurut sumber dari portal luar negara, patung beruang tersebut diperbuat daripada benang emas, manakala mulut patung itu diperbuat daripada emas tulen.

Manakala matanya pula dihias dengan permata.

Menurut syarikat tersebut, patung tersebut dikeluarkan dalam kuantiti yang sedikit berikutan harganya yang terlalu mahal dan tidak ramai mampu membelinya.

Lukisan paling mahal di dunia


Lukisan paling mahal di dunia
SEBUAH lukisan abad ke 19 telah dijual pada harga RM813 juta dalam satu lelongan baru-baru ini dan dipercayai lukisan paling mahal di dunia.

Lukisan yang diberi nama Nafee Faa ipoipo (bilakah anda akan berkahwin?) adalah sebuah lukisan tahun 1892 yang memaparkan dua orang wanita Tahiti.

Lukisan ini dilukis Paul Gauguin dan beliau menghabiskan masa menyiapkan lukisan di sebuah pulau pada abad ke 19.

Bekas pemilik lukisan tersebut, Rudolf Staechelin mengesahkan penjualan tersebut.

Apabila ditanya mengapa baru menjual lukisan itu, dia menjawab "ia adalah kerana kami mendapat tawaran yang lumayan," katanya dipetik Metro.co.uk.

Bagaimanapun, Rudolf enggan mendedahkan identiti pembeli tersebut tetapi dipercayai di jual kepada seorang jutawan minyak dari Qatar.

Sebelum ini, sebuah lukisan pernah dijual pada harga RM702 juta.

Thursday, February 19, 2015

Mogok lapar depan rumah mentua

KUMARI mogok lapar di luar rumah mentuanya sejak beberapa hari lalu.
Patna (India): Seorang pengantin baru di sini melancarkan mogok lapar di hadapan rumah mentuanya sejak tiga hari lalu bagi mendesak keluarga suaminya menerimanya sebagai menantu.
Wanita itu, Priti Kumari berkahwin dengan seorang guru, Dheeraj Kumar selepas lelaki itu diculik pada 21 April tahun lalu.
Bagaimanapun, Kumar mendakwa dia dipaksa berkahwin dengan Kumari dan dipukul apabila enggan berbuat demikian.
Selepas berkahwin Kumar dibebaskan dan dibenarkan pulang ke rumah, tetapi lelaki itu enggan menerima isterinya walaupun beberapa kali dirayu keluarga wanita berkenaan.
Kumari yang kecewa membuat satu majlis perkahwinan di luar rumah mentuanya di kampung Makdampur di negeri Bihar pada Hari Valentine lalu dengan harapan dia diterima sebagai menantu.
Usahanya sia-sia apabila keluarga mentuanya masih tidak membenarkan dia masuk ke rumah.
Sejak itu, Kumari berikrar melancarkan mogok lapar dan sanggup mati kebuluran daripada pulang ke rumah ibu bapanya.
Tindakan Kumari itu menyebabkan pihak berkuasa di negeri itu bingung dan menghantar sepasukan anggota polis untuk mengawasi keselamatan wanita itu serta pasukan perubatan bagi memantau kesihatannya.
“Saya sanggup mati daripada pulang ke rumah keluarga saya.
“Seorang gadis Hindu hanya berkahwin sekali dalam hidupnya,” kata Kumari yang menegaskan dia tidak akan menjamah sebarang makanan sehingga diterima keluarga mentuanya.
Keluarga Kumar berkata, mereka enggan mengiktiraf perkahwinan berkenaan kerana tidak mendapat restu kedua ibu bapa lelaki itu.
“Saya dipaksa berkahwin dengannya dan pihak polis juga sudah menahan tiga individu selepas saya membuat aduan, malah kes ini masih dibicarakan di mahkamah,” kata Kumar.
Perkahwinan paksa adalah perkara biasa di sebahagian negeri Bihar dan menurut polis, seramai 2,533 individu diculik untuk dikahwinkan sepanjang tahun lalu. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Februari 2015 @ 5:24 AM



- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/31948#sthash.zfnnGhQk.dpuf

Tukar nama Abcdefg kerana bosan

Tukar nama Abcdefg kerana bosan

BOGOTA - COLOMBIA. Bosan dan inginkan kelainan, seorang wanita telah menukar namanya kepada Abcdefg Hijklmn Opqrst Uvwxyz.

Abcdefg, 36, sebelum ini dikenali sebagai Ladyzunga Cyborg mempunyai tabiat kerap menukar namanya dan merasakan keperluan untuk sentiasa ‘mentakrifkan semula’ dirinya bergantung kepada ‘mood’.

Menurutnya, keputusannya untuk menukar nama adalah kerana saya sentiasa mahukan nama yang sukar untuk disebut.

"Saya menukar nama supaya orang tidak mengenali saya tetapi ia bukan kerana saya telah diganggu tetapi adalah kerana saya sukakan sesuatu yang luar biasa", katanya dipetik Mirror.UK.

Abcdefg seorang guru dan kini mengajar seni dan fotografi di tiga buah universiti dan juga pereka fesyen secara sambilan.

Dia telah menghabiskan masa selama dua tahun berjuang untuk mendapat kebenaran menukar nama barunya itu.

Wednesday, February 18, 2015

Bebas dari penderitaan


Lelaki miliki ketumbuhan gergasi selamat jalani pembedahan

Sambany terpaksa menjalani pembedahan selama 12 jam bagi membuang

Sambany terpaksa menjalani pembedahan selama 12 jam bagi membuang ketumbuhan di lehernya selepas menderita sejak 40 tahun lalu. – AGENSI
NEW DELHI 17 Feb. - Penderitaan seorang warga emas yang memiliki ketumbuhan bersaiz dua kali ganda kepalanya selama 40 tahun, berakhir selepas sebuah badan amal prihatin menanggung kos pembedahannya.
Mail Online melaporkan, sepasukan doktor dari Mercy Ships memerlukan masa selama 12 jam bagi membuang ketumbuhan di leher warga emas dikenali sebagai Sambany itu.
Doktor Mercy Ships menyifatkan, pembedahan membuang ketumbuhan seberat 7.46 kilogram itu sebagai paling lama dan mencabar pernah mereka lakukan sepanjang penubuhan organisasi tersebut 30 tahun lalu.
“Jangka waktu pembedahan meningkat sekali ganda berbanding pembedahan biasa. Ketumbuhan itu seolah-olah seperti batu kerana sangat berat,” kata doktor Mercy Ships.
Sementara itu, Sambany yang berasal dari kawasan pedalaman Madagascar berkata, dia berasa sangat gembira dengan pembedahan itu selepas sekian lama menderita kerana sering menjadi bahan jenaka dan mengalami kesukaran untuk melakukan pelbagai aktiviti harian.
“Tiada kata yang dapat diucapkan. Saya tahu saya akan mati tidak kira sama ada saya lakukan pembedahan atau tidak. Saya memilih untuk melakukan pembedahan. Syukur semuanya berjalan lancar.
“Ketumbuhan itu terlalu besar sehingga saya tidak lagi mampu menanggung bebannya. Selain itu, saya sering mengalami masalah jantung dan perkara itu menyebabkan saya nekad untuk menjalani pembedahan,” jelas Sambany.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/bebas-dari-penderitaan-1.60898#sthash.SUBiABB5.dpuf

50 juta penduduk AS tempoh cuaca sejuk ekstrem

 

SATU pasangan berjalan berpegang tangan di jalan raya dipenuhi salji akibat cuaca sejuk yang melanda Boston, Massachusetts pada 15 Januari lalu.- REUTERS


BOSTON – Cuaca paling sejuk dalam sejarah melanda timur Amerika Syarikat (AS) kelmarin, manakala ribut salji melumpuhkan negeri-negeri di tengah AS sebelum bergerak ke arah tengah negara itu pagi semalam.
Salji tebal dan ais bergerak ke arah timur dari Tanah Pamah Selatan dan melanda negeri Missouri, Arkansas, selatan Illinois, Tennessee, Kentucky, Indiana serta Ohio, lapor Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS).
Di selatan AS, hujan air batu dijangka turun di negeri Carolina Utara, Carolina Selatan, Virginia, Mississippi dan Georgia.
Cuaca buruk itu memaksa lebih 1,800 penerbangan di AS dibatalkan ,manakala lapangan-lapangan terbang di Carolina Utara dan Tennessee adalah yang paling teruk terjejas.
Suhu sejuk ekstrem juga menyebabkan lapisan ais melitupi negeri Tennessee sekali gus memaksa sejumlah jalan raya, sekolah dan lokasi tarikan pelancong ditutup.
Banyak kereta tergelincir di jalan raya berhampiran Louisville, Kentucky, dengan angka kemalangan meningkat enam kali ganda daripada biasa, manakala lebih 1,000 jentera penyodok salji digunakan untuk membuang ais di jalan raya.
“Kira-kira 50 juta rakyat AS menempuh cuaca sejuk yang mencatat rekod baharu iaitu -15 darjah Celsius di bandar raya New York berbanding -12.8 darjah Celsius pada 16 Februari 2003. Washington pula mencatatkan -14.4 darjah Celsius berbanding -11.7 darjah Celsius pada 1987,” kata pakar cuaca NWS, Brian Hurley. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0218&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3S40EYyvu 
Hakcipta terpelihara 

NASA dedah gambar bongkah ais berwarna hitam

 



SALAH satu gambar yang dirakam menunjukkan bongkah ais dengan campuran warna biru, putih dan hitam yang berbeza daripada warna kebiasaan. - AGENSI






ANTARTIKA – Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) mendedahkan rakaman beberapa keping gambar menakjubkan bongkah ais terbalik yang berwarna hitam di sini baru-baru ini.
Gambar yang diperoleh daripada Program Antartika Amerika Syarikat itu menunjukkan bahagian permukaan bawah sebuah bongkah ais yang sangat mengagumkan dengan beberapa ekor penguin berada di atasnya.
Menurut para penyelidik, corak-corak menakjubkan yang terdapat pada bongkah ais itu sebenarnya adalah unsur-unsur yang terdapat dalam lautan sejak beratus-ratus tahun dahulu.
“Bongkah ais itu mengandungi mendapan dan mineral-mineral berusia ratusan tahun yang dibawa oleh tiupan angin dan ia bertindak sebagai lapisan ais tersebut apabila terbalik.
“Peluang menyaksikan pemandangan sebegini umpama berada di dalam mimpi,” kata Nasa dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.
Pemandangan itu dirakamkan di Lembah Aisberg, satu kawasan di barat Laut Weddell di mana banyak bongkah ais bergerak ke arah timur laut di sekitar pusaran air laut tersebut.
“Kejadian bongkah ais terbalik amat jarang berlaku tetapi apabila berlaku, kesannya cukup dahsyat kerana boleh menghasilkan tsunami yang bakal mengancam kapal-kapal berdekatan,” katanya.– Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0218&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3S3zwbeyI 
Hakcipta terpelihara 

Kulit badan tampal muka

Kota Bharu: Kemalangan kira-kira lapan tahun lalu di Lebuhraya Timur Barat Grik-Jeli mengubah kehidupan 11 beranak dari Kampung Padang Sakar, Salor di sini.
Akibat kejadian itu, si isteri bukan saja koma seminggu, malah mukanya mengalami kecacatan kekal dan terpaksa ditampal dengan kulit belakang badan untuk pulih manakala suami pula lumpuh akibat serangan angin ahmar selepas kejadian itu.
Bagi Surati Rahim, 58, dia tidak mungkin melupakan kejadian itu yang bukan saja menyebabkan dia menderita, malah keluarganya hilang punca pendapatan apabila suami turut sakit selepas kejadian itu.
“Namun, saya bersyukur kerana anak-anak tidak mengalami kecederaan serius dan merekalah tempat kami bergantung hidup ketika ini.
“Sekadar cukup makan pakai saja kerana anak-anak juga mempunyai tanggungan sendiri. Kami pun bukan daripada keluarga kaya.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Februari 2015 @ 7:24 AM


SURATI alami kecacatan kekal di muka.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/31583#sthash.uX2gmMX7.dpuf

Janin tunjuk tanda bagus

GAMBAR janin yang dikandung Cheryl menunjukkan tanda bagus. 
Manchester: Sepasang suami isteri di sini terkejut selepas anak mereka yang masih dalam kandungan dirakam menunjukkan isyarat bagus ketika pemeriksaan ultrabunyi.
Pasangan berkenaan, Paul Schofield, 31, dan isterinya Cheryl Stevenson, 32, membuat pemeriksaan rutin di Hospital Saint Mary di sini baru-baru ini.
Schofield dan Cheryl serta beberapa jururawat di hospital berkenaan terkejut serta ketawa selepas melihat imej janin itu.
Jururawat yang menjalankan pemeriksaan ultrabunyi itu memberitahu bahawa, mereka tidak pernah melihat bayi yang masih dalam kandungan menunjukkan isyarat bagus begitu jelas.
“Jururawat itu berkata, mereka pernah melihat bayi yang masih dalam kandungan menunjukkan isyarat tangan, tetapi tiada yang sejelas ini.
“Dia membawa kebahagiaan dalam hidup kami,” kata Schofield.
Dalam pemeriksaan itu pasangan berkenaan dapat mengesahkan anak yang dikandung Cheryl lelaki.
Pasangan berkenaan sudah bersama selama lima tahun dan mempunyai seorang anak lelaki berusia 18 bulan.
“Ini sangat menakjubkan dan ramai yang bertanya adakah gambar anak kami ini tulen.
“Bagi kami ini gambar yang sangat berharga dan kelihatan bayi kami sangat bahagia dalam rahim sehingga menunjukkan isyarat bagus,” ujar Cheryl.
Menurut pasangan berkenaan, mereka masih belum memutuskan nama untuk anak mereka itu. - Agensi
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/31608#sthash.7r5S138h.dpuf

Burger berusia 20 tahun

BURGER yang didakwa sudah berusia 20 tahun.
Adelaide: Dua lelaki, Casey Dean, 34, dan Eduard Nitz,33, mendakwa memiliki burger paling tua di dunia - makanan yang disimpan mereka sejak 20 tahun lalu.

Pada 1995, Dean yang ketika itu berusia 14 tahun dan Nitz, 13, membeli burger di sebuah restoran Mcdonald’s tempatan, termasuk satu Quarter Pounder untuk kawan mereka yang tidak datang mengambilnya.

Namun, mereka tidak makan burger itu sehingga ke hari ini, setelah 20 tahun.

Dean berkata, dia agak yakin burger itu yang paling tua di dunia.



“Kami berjenaka dengan seorang rakan dengan memberitahunya kami menyimpan burger itu untuknya. Tetapi dia tidak muncul dan kami teringat mengenai burger itu enam bulan kemudian.

“Bulan bertukar menjadi tahun dan kini selepas 20 tahun, burger itu kelihatan sama di dalam bungkusan asalnya,” kata Dean.

Namun, burger itu bukan satu-satunya produk Mcdonald’s yang bertahan bertahun-tahun.

Burger keju terakhir McDonald’s dijual di Iceland masih kekal dan bebas cendawan selepas ia dibeli enam tahun lalu.

Restoran makanan segera itu di Iceland ditutup pada 2009 berikutan krisis kewangan yang melanda negara berkenaan.

Negara itu mempunyai tiga cawangan McDonald’s dan semuanya di ibu negara, Reykjavik.

Hjortur Smarason, 28, menunggu hingga hari terakhir sebelum restoran McDonald’s di tempatnya ditutup dan memastikan dia membeli burger terakhir bersama-sama kentang goreng.

Kini burger itu menjadi pameran di bar sebuah asrama di Reykjavik.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/31613#sthash.Ev2OEELb.dpuf

Tuesday, February 17, 2015

Kanta sesentuh dihiasi 
emas, berlian diperkenal

Pengguna yang inginkan kelainan, boleh mencuba kanta sesentuh
Pengguna yang inginkan kelainan, boleh mencuba kanta sesentuh yang dihiasi emas serta berlian. – Agensi
MUMBAI 16 Feb. – Seorang pakar mata India, memperkenalkan kanta sesentuh yang dihiasi emas 24 karat bagi mewujudkan kesan ‘bersinar’ kepada si pemakainya.
Bagaimanapun, mereka yang berminat untuk mendapatkan kanta sesentuh tersebut perlu membelanjakan antara AS$15,000 (RM52,500) dan AS$18,000 (RM63,000).
Portal berita Mail Online me­laporkan, Dr. Chandrashekhar Cha­wan mendapat idea untuk menggabungkan kanta sesentuh biasa dengan partikel nano emas bagi menimbulkan kesan bersinar itu.
“Partikel emas 24 karat dalam bentuk pes itu ditambah kepada kanta sesentuh biasa di Pusat Penyelidikan Mata Shekhar India.
“Bagi mengelak sentuhan antara mata dan emas, satu lapisan lagi dibentuk pada kanta sesentuh itu,’’ katanya.
Setiap kanta sesentuh itu mempunyai berat lima gram, namun tidak dapat dipastikan sama ada partikel emas tersebut mengganggu penglihatan penggunanya.
Chandrashekar turut menggunakan teknik itu untuk menggabungkan berlian dengan kanta sesentuh.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/kanta-sesentuh-dihiasi-8232-emas-berlian-diperkenal-1.60459#sthash.vUpGAOL6.dpuf

Lelaki 140 tahun meninggal dunia?


Riyadh: Sebuah akhbar Arab Saudi semalam melaporkan, seorang lelaki rakyat negara itu yang berusia 140 tahun meninggal dunia di rumahnya di sebuah kawasan terpencil berhampiran Taif, bandar di barat negara itu.
Menurut laporan akhbar Sabq, Ahmed bin Edwan Al-Hilali hidup ketika pemerintahan pengasas Arab Saudi yang juga raja pertama negara itu, Abdul Aziz bin Abdul Rahman al-Saud.
“Ahmed enggan mendengar nasihat anak cucunya dan berpindah ke Taif. Dia memilih untuk tinggal terpencil di dalam sebuah gua. Dia langsung tidak mempedulikan kehidupan moden dan memilih untuk menetap di kawasan tempat dia dilahir dan dibesarkan,” lapor akhbar itu.
Sabq juga melaporkan, lelaki tua itu amat dikenali dalam kalangan masyarakat setempat kerana kebaikan dan juga kewarakannya.
Bagaimanapun, setakat ini, belum ada sebarang pengesahan daripada kerajaan Saudi atau agensi lain yang mengesahkan usia Ahmed.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/31348#sthash.wbNNXrLh.dpuf

Hotel guna khidmat robot

GAMBAR menunjukkan robot dan bilik hotel yang akan dibuka Julai depan. 
Tokyo: Sebuah hotel yang menggunakan khidmat robot dijangka dibuka pada 17 Julai depan di Huis Ten Bosch, di wilayah Nagasaki.
“Hotel itu akan menggunakan sistem pengecam muka dan bukannya kunci bilik biasa, selaras dengan perkembangan teknologi,” lapor akhbar Japan Times
Penggunaan robot itu, termasuk menyediakan perkhidmatan porter, membersihkan kamar dan perkhidmatan lain bertujuan mengurangkan kos dan memaksimumkan keselesaan.
Bercakap pada satu sidang akhbar di sini, presiden syarikat Hideo Sawada berkata, “kami akan membina hotel yang paling cekap di dunia. Pada masa depan, kami bercadang menggunakan robot untuk 90 peratus perkhidmatan hotel.”
Menurutnya, pelanggan akan dicaj sebanyak 7,000 yen (RM290) untuk satu bilik sementara harga untuk dua bilik ialah kira-kira 9,000 yen (RM360). - Agensi
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/31369#sthash.rl9HK7AS.dpuf

Monday, February 16, 2015

Cinta tak kenal siapa

London: Ramai beranggapan wanita yang sering menemani lelaki kurang upaya ini jururawat yang ditugaskan untuk menjaganya, namun jawapan yang diterima membuat orang lain bingung - dan mungkin ‘terhina.’
Shane Burcaw lahir dengan kecacatan genetik menyebabkan dia mengalami penyakit dikenali sebagai spinal muscular atrophy.
Keadaan itu menyebabkan Burcaw, 22, terpaksa bergantung hidup kepada kerusi roda untuk bergerak.
Keadaan itu dialami Burcaw sejak dia berusia tiga tahun.
Namun, nasib tidaklah sepenuhnya malang untuk Burcaw.
Kini menjadi penulis dan kolumnis, Burcaw menambat hati Anna Reinalda sejak beberapa bulan lalu.
Ketika keluar atau berjanji temu, orang ramai biasanya menganggap Burcaw ditemani seorang jururawat jelita.
Kekeliruan itu mendorong Burcaw menulis penjelasan dalam akhbar The Morning Call beberapa hari lalu.
“Sesetengah orang mungkin mempunyai masalah menilai gadis yang sebenarnya masih berupaya kelihatan cantik walaupun berpacaran dengan lelaki berkerusi roda.
“Sering kali kekasih saya ditanya jika dia adalah jururawat saya. Pernah sekali, ada orang bertanyakan sama ada Anna adalah adik atau kakak saya.
“Kami akhirnya lali dengan situasi sedemikian dan sentiasa mencari cara untuk membalasnya dengan jenaka,” tulisnya.
Pengalaman itu membentuk persepsi baru kepada Burcaw dan Anna.
“Kebanyakan orang cepat membuat kesimpulan salah apabila melihat seseorang berkerusi roda,” katanya.
Kini pasangan itu lebih bersedia untuk menjelaskan kepada orang lain jika ditanya mengenai soalan sama.
Anna akan menjawab: “Dia bapa saya,” manakala Burcaw pula memberitahu: “Ya, saya membayar wanita ini untuk menjadi rakan saya.”
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Februari 2015 @ 5:12 AM


WALAUPUN dibatasi kerusi roda, ia tidak menghalang Burcaw dan Anna menikmati hidup bahagia sebagai pasangan kekasih.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/30964#sthash.O9dNtNMu.dpuf

Tujuh beradik dikurung elak pengaruh buruk


Enam daripada tujuh beradik Angulo belajar mengenai dunia luar
Enam daripada tujuh beradik Angulo belajar mengenai dunia luar dengan hanya menonton lebih daripada 5,000 filem selepas tidak dibenarkan keluar dari rumah oleh bapa mereka. – AGENSI
MANHATTAN 14 Feb. – Tujuh beradik berumur antara 16 hingga 23 tahun yang dikurung di dalam rumah di New York sejak kecil dan hanya belajar mengenai dunia luar dengan menonton lebih daripada 5,000 filem kerana bimbang dipengaruhi perkara-perkara buruk yang terdapat di bandar raya ini.
Portal berita Mail Online melaporkan, adik-beradik Angulo yang terdiri daripada Bhagavan, 23, pasangan kembar, Govinda dan Narayana, 22, Mukunda, 20, Krisna, 18, Jagadesh, 17, serta adik perempuan, Visnu, 16, menetap bersama ibu bapa mereka di sebuah apartmen kecil, di sini.
Bapa mereka, Oscar Angulo yang berasal dari Peru, tidak membenarkan anak-anaknya ke­luar dari rumah tanpa pemantauan dan sentiasa memastikan pintu berkunci.
Susulan daripada keputusan itu, tujuh beradik berkenaan turut tidak dibenarkan bersekolah dan hanya belajar membaca dan me­nulis daripada ibu mereka, Susanne.
Kisah hidup tujuh beradik berkenaan mendapat perhatian seorang pengarah filem, Crystal Moselle yang kemudian menghasilkan sebuah dokumentari tentang keluarga tersebut bertajuk The Wolfpack.
Moselle berkata, dia mula mengetahui tentang keluarga Angulo selepas ternampak kelibat tujuh beradik berkenaan berjalan bersama-sama di First Avenue sambil memakai kaca mata hitam.
“Mereka kelihatan pelik dan saya seperti melihat mereka seperti satu puak yang sudah lama hilang di dunia. Saya percaya ada sesuatu yang menarik tentang keluarga ini dan mula melakukan siasatan.
“Selepas mendapatkan kebenaran daripada Oscar untuk membuat dokumentari tentang keluarga ini,” jelasnya, sambil menambah dokumentari The Wolfpack berjaya memenangi Anugerah Juri Festival Filem Sundance, baru-baru ini.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/tujuh-beradik-dikurung-elak-pengaruh-buruk-1.59490#sthash.MjmJ8699.dpuf

IPhone bertatah berlian


TELEFON pintar iPhone 6 keluaran Apple, boleh direka bentuk mengikut
TELEFON pintar iPhone 6 keluaran Apple, boleh direka bentuk mengikut cita rasa pelanggan termasuk dihias dengan berlian dan emas. – AGENSI
LONDON 15 Feb. – Jikalau anda inginkan telefon bimbit mewah yang direka khas untuk anda, sebuah syarikat telefon di London mampu merealisasikan impian anda, dengan syarat anda mempunyai wang yang ‘mencukupi’.
Telefon pintar iPhone 6 bertatahkan berlian serta disaluti emas 24 karat itu boleh dibeli pada harga 2.3 juta pound (RM12.8 juta), menjadikannya gajet komunikasi seumpamanya paling mahal di dunia.
Syarikat Goldgenie yang bertanggungjawab mencipta iPhone unik itu turut menghias logo ­Apple menggunakan berlian halus yang menambahkan kilauan pada telefon pintar berkenaan.
Atlet terkenal Ussain Bolt serta pemain bola sepak, David Beckham adalah antara pelanggan utama syarikat tersebut.
Pengasas syarikat itu, Laban Roomes berkata, telefon itu me­rupakan telefon eksklusif yang termahal buat masa ini.
Jelasnya, telefon pintar yang dikenali sebagai ‘Diamond ­Ecstasy iPhone’, boleh direka bentuk mengikut kemahuan pe­langgan dengan pilihan emas, platinum, dan pelbagai jenis batu permata.
“Harga sebuah telefon ini boleh dibandingkan dengan harga sebuah pulau kecil,” katanya kepada Mail Online.
Goldgenie turut menawarkan perkhidmatan reka bentuk khas telefon pintar bermula dari harga $9,700 pound (RM53,418).
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/iphone-bertatah-berlian-1.59956#sthash.FZHrE9Yh.dpuf

Pengantin Thailand kahwin dalam keranda


Pasangan pengantin baring dalam keranda dalam upacara untuk mengelak
Pasangan pengantin baring dalam keranda dalam upacara untuk mengelak nasib malang di Bangkok, kelmarin. – Agensi
BANGKOK 15 Feb. – Kebanyakan pasangan kekasih menganggap hari perkahwinan mereka sebagai permulaan hidup baharu yang biasanya disambut dengan majlis penuh kegembiraan, namun berlainan bagi pasangan pengantin di Thailand yang memilih upacara berbeza.
Portal berita Bangkok Post melaporkan, ada pasangan pe­ngantin baharu memilih untuk baring di dalam keranda ketika mengucapkan ikrar perkahwinan mereka.
Acara perkahwinan yang dijalankan oleh sami-sami itu dipercayai membolehkan pa­sang­an pengantin membuang nasib malang selain mengukuhkan cinta sejati, kemakmuran, dan perlindungan daripada sebarang ancaman ketika memulakan bahtera rumah tangga.
Malah, baru-baru ini, sebanyak 10 pasangan pengantin baharu mengadakan majlis perkahwinan unik itu di sebuah kuil di luar Bangkok.
Majlis perkahwinan unik itu menyaksikan setiap pasangan pengantin memasuki keranda besar berwarna merah jambu dan berbaring sambil meletakkan jambangan bunga di dada ma­sing-masing.
Sami kemudian akan menutup keranda itu dengan kain besar sebagai simbolik kepada kematian mereka, dan membacakan doa-doa kematian.
Acara berakhir dengan sami membacakan doa restu kehidupan baharu buat pengantin berkenaan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pengantin-thailand-kahwin-dalam-keranda-1.59959#sthash.oBpD81JB.dpuf

Saturday, February 14, 2015

‘Sorok’ sebalik kubu wang

Beijing: Seorang pemaju hartanah membina kubu daripada wang untuk mengelak diserang pekerjanya selepas tersebar khabar angin dia muflis dan tidak dapat memenuhi bayaran kepada petani yang menyerahkan tanah mereka untuk pembinaan tapak komersial.
Cheng Hsiao, 45, diserbu petani yang bimbang kerugian bersama 1,000 pekerjanya di Guiyang, kelmarin.
Petani, Kong Lu berkata, mereka hendak memastikan dia tidak melarikan diri.
Bagaimanapun, setibanya di situ, mereka terkejut melihat pintu pejabat terbuka dan Cheng berdiri di sebalik dinding diperbuat sepenuhnya daripada wang.
Dia kemudian terus menyerahkan wang, melangsaikan hutang dan membayar bonus kepada pekerjanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Februari 2015 @ 5:17 AM


CHENG membina tembok daripada wang kertas.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/30743#sthash.Gx9zUrtl.dpuf

Rusia kekalkan larangan berhijab


Larangan berhijab di sekolah mendapat tentangan dan mencetuskan kemarahan banyak pihak.
Larangan berhijab di sekolah mendapat tentangan dan mencetuskan kemarahan banyak pihak.
MOSCOW - RUSIA . Mahkamah Agung Rusia mengekalkan larangan berhijab untuk pelajar perempuan beragama Islam di sekolah di seluruh Republik Mordovia.

Menurut laporan agensi berita RT, pengharaman pemakaian hijab telah mencetuskan bantahan daripada masyarakat Islam dan ulama di peringkat serantau dan persekutuan.
Mereka menegaskan larangan memakai hijab di sekolah adalah bercanggah dengan perlembagaan dalam kebebasan hati nurani.

Susulan daripada itu, pemimpin Islam Mordovia, Fagim Shafiyev membuat surat rayuan kepada pendakwa raya Rusia, menuntut agar keputusan itu ditarik balik.

Sementara itu, Mufti Besar Sheikh Ravil Gainutdin turut mengemukakan surat kepada Presiden Vladimir Putin, menggesa beliau untuk menyokong hak wanita Islam terhadap pemakaian hijab di sekolah dan universiti.

Bagaimanapun, kerajaan Mordovia bukan sahaja mengharamkan hijab, tetapi juga apa sahaja paparan jelas yang menggambarkan agama seseorang itu. - Press TV

Friday, February 13, 2015

Rezeki teramat muda

Beijing: Paras rupanya tidak ubah seperti kanak-kanak berusia tujuh tahun, namun Zeng Yushan sebenarnya remaja yang ‘terawet muda’ disebabkan ketumbuhan pada kelenjar pituitarinya.
Zeng, 19, dilahirkan pada Jun 1994 di pekan Huzhu namun berhenti membesar pada usia tujuh tahun.
Apabila dirujuk ke hospital, doktor mendapati dia mengalami masalah kecacatan hormon pertumbuhan.
Gadis itu tidak pernah bersekolah, sebaliknya ‘kecacatan’ itu digunakan bapanya untuk meminta sedekah.
Ketika pertama kali didiagnos dengan keadaan itu, ibu bapa Zeng tidak mampu membayar kos rawatannya dan kerap bertengkar sehingga akhirnya bercerai.
Zeng kemudian dijaga ayahnya, Yul Wei, namun lelaki itu juga sakit tidak lama selepas bercerai menyebabkan dua beranak itu mengemis.
Yul mati akibat kanser perut dan Zeng dibela sepasang suami isteri yang bersimpati.
Ayah angkatnya, Guo Liu, 50, berkata, ketika pertama kali melihatnya dia dan isteri tidak dapat memastikan jantina Zeng disebabkan botak selain mengalami pelbagai masalah kesihatan.
Zeng mendapat rawatan tetap, namun malangnya mempunyai daya fikiran kanak-kanak berusia lima tahun.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Februari 2015 @ 8:47 AM


ZENG (kiri) bersama ibu angkatnya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/30295#sthash.3BE73OSV.dpuf