Pages

Tuesday, May 15, 2012

Kereta api dalam rumah

myMetro | Kereta api dalam rumah:

HIGGINS menunjukkan gerabak yang diubah suai menjadi bilik tidur.
HIGGINS menunjukkan gerabak yang diubah suai menjadi bilik tidur.
KEADAAN rumah Higgins tidak banyak berbeza daripada kediaman lain jika  dilihat dari  luar.
KEADAAN rumah Higgins tidak banyak berbeza daripada kediaman lain jika dilihat dari luar.
LONDON: Seorang pesara dari Buckinghamshire dianggap pemilik rumah paling aneh di Britain apabila menjadikan gerabak kereta api sebagai sebahagian daripada kediamannya.
Kini menetap di Ashton, Cornwall, Jim Higgins membina rumahnya dengan gerabak kereta api berusia 130 tahun yang pernah dimiliki syarikat Great Western Railway.

Menurut bekas pengurus pengangkutan itu, dia mengambil alih gerabak berkenaan daripada bekas bapa mentuanya, Charles Allen, yang dipaksa membina kediaman di sekeliling gerabak itu. Menurut Higgins, 64, gerabak itu pernah didiami wanita tempatan, dikenali sebagai Elizabeth Richards sejak 1930.
“Gerabak ini kemudian dikenali sebagai Lizzies Place apabila Elizabeth meninggal dunia pada 1966,” katanya.

Sejak itu, kata Higgins, gerabak berkenan terbiar kosong selama beberapa tahun sebelum Allan - seorang tukang kayu mahir - tercari-cari tempat tinggal selepas dia bersara.

“Dia datang dari Middlesex dan terus ‘jatuh cinta’ apabila melihat gerabak ini untuk kali pertama,” katanya.
Bagaimanapun, kata Higgins, apabila Allen memohon kebenaran menggunakan gerabak berkenaan untuk menjadi sebahagian banglonya, pihak berkuasa tidak memberi kebenaran.

Kata Higgins, gerabak itu tersadai di situ terlalu lama dan tidak mungkin dialihkan ke tempat lain.
“Disebabkan koc ini tidak boleh dipindahkan, Allen memutuskan untuk membina rumah di sekelilingnya,” katanya.

Menurut Higgins, dengan kemahirannya sebagai tukang, bapa mentuanya membina rumah berkenaan dengan menempatkan bilik tidur di dalam koc itu.

Kini, kata Higgins, dia sibuk menyiapkan projek pemuliharaan koc berkenaan dan menjangkakan ia siap sepenuhnya beberapa bulan lagi. “Ia memerlukan kesabaran sangat tinggi bagi mengekalkan keasliannya.

“Pada masa sama, tetapi tidak banyak maklumat yang ada mengenai koc ini,” katanya.

Apabila siap nanti, Higgins berkata, dia akan mempertimbangkan kemungkinan untuk membukanya kepada orang awam. “Saya mungkin menjadikannya sebuah muzium, tapi saya belum pasti,” katanya. - DM

'via Blog this'

Dijemput ajal ketika kejar pencuri

Kosmo! Online - Negara:



Rakan Koperal Rasul, Koperal Hamidin Daud yang juga merupakan pemandu kereta peronda polis berada di sebelah kenderaan yang remuk dilanggar lori curi yang mengundur.


ALOR GAJAH – Hajat dua anggota polis peronda untuk menangkap penjenayah yang melarikan sebuah lori membawa muatan perabot berakhir dengan seorang daripada anggota polis itu mati dilanggar kenderaan yang dikejar manakala penjenayah itu pula masih bebas.
Dalam kejadian pada pukul 7.15 pagi di Kampung Melekek di sini semalam, Koperal Rasul Tumin, 47, mati di tempat kejadian selepas digilis lori yang mengundur selepas kenderaan itu ditinggalkan oleh penyamun di jalan yang berbukit.
Ketua Polis negeri, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, sebelum tragedi itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah menerima maklumat kehilangan sebuah lori tujuh tan yang membawa barangan perabot di Gemencheh, Negeri Sembilan pada pukul 6 pagi.
“Risikan pukul 6.55 pagi menemui lori tersebut berada di daerah Alor Gajah. Dua anggota polis peronda termaksud mangsa keluar mengesan kenderaan itu dan menemui lori tersebut di kawasan Masjid Tanah,” kata beliau ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Melaka di sini semalam.
Menurut beliau, Rasul yang menaiki kereta peronda dipandu rakan mengejar lori tersebut yang dipandu seorang lelaki yang enggan memberhentikan kenderaan tersebut.
Kereta peronda polis mengejar lori itu sehingga masuk ke kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Solok Limau Purut, Melekek.
“Ketika berada di ladang kelapa sawit itu, lori tersebut tidak mampu mendaki jalan berbukit.
“Suspek yang panik terus terjun dari lori itu dan meninggalkan kenderaan tersebut dipercayai tanpa brek tangan menarik sebelum menghilangkan diri,” kata beliau.

'via Blog this'

Pencuci tandas peroleh ijazah

Kosmo! Online - Dunia:



FILIPAJ menerima ucapan tahniah daripada Naib Canselor Universiti Columbia, Donald Schlosser di New York kelmarin.


NEW YORK – Seorang penjaga bangunan Universiti Columbia, Gac Filipaj merupakan antara pelajar cemerlang pusat pengajian tinggi itu.
Filipaj berusia 52 tahun dan dia bekerja membersihkan lantai, mengosongkan tong sampah dan membersihkan tandas di universiti tersebut di sini.
Kelmarin, dia berasa bangga kerana menerima ijazah sarjana muda dengan kepujian dalam majlis konvokesyen universiti itu.
Filipaj belajar selama 12 tahun dalam pengajian klasik sambil bekerja sepenuh masa sebagai penjaga bangunan.
Pada awalnya, dia mempelajari bahasa Inggeris selepas melarikan diri daripada perang saudara di negara kelahirannya, Yugoslavia pada tahun 1992.
Berasal daripada etnik Albania, dia berhijrah ke Amerika Syarikat kerana bimbang akan dipaksa menyertai tentera Serbia.
Selepas mendapat ijazah, Filipaj kembali bertugas sebagai penjaga bangunan di universiti berkenaan.
Namun, dia berharap akan mendapat pekerjaan yang lebih baik dan seterusnya menyambung pelajaran ke peringkat sarjana.
Penjaga bangunan tersebut masih menghantar wang kepada keluarganya yang bekerja di sebuah ladang di Montenegro. – Agensi

'via Blog this'

10 cedera kerbau jantan mengamuk

Kosmo! Online - Dunia:



GAMBAR bertarikh 10 Mei lalu menunjukkan seekor kerbau jantan mati ditembak selepas dia mengamuk di bandar Hue, Vietnam.- Agensi


HANOI - Seorang pegawai menyatakan seekor kerbau mencederakan sepuluh orang di tengah Vietnam apabila haiwan itu mengamuk di tempat awam.
Bagaimanapun, haiwan itu kemudian mati ditembak di sebuah tadika.
Seorang pegawai tempatan, Dang Van Ngan berkata, kerbau jantan seberat 300 kilogram itu berlari sekitar tiga jam sejauh hampir 20 kilometer di bandar Hue.
Menurutnya, dalam kejadian pada Khamis lalu, haiwan itu menjatuhkan sebuah motosikal, merempuh pintu dan meruntuhkan katil di sebuah rumah.
Ngan berkata, tiga sekeluarga yang berada di rumah berkenaan bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri.
Haiwan itu turut menyerang seorang wanita tua yang melintas sebatang jalan raya.
Menurut Ngan, wanita itu cedera di kepala dan dirawat di sebuah hospital.
Sembilan orang lagi cedera ringan.
Haiwan itu seterusnya menuju ke sebuah tadika berdekatan.
Beberapa guru tadika itu mengarahkan sejumlah kanak-kanak naik ke tingkat dua premis berkenaan selepas mereka melihat kerbau tersebut.
Kerbau itu kemudian terperangkap di laman sekolah tersebut yang berpagar sebelum dua askar tiba untuk menembak haiwan tersebut.
Haiwan itu mati selepas ditembak sebanyak lapan kali.
Pihak berkuasa masih tidak mengetahui pemilik kerbau itu, dari mana ia datang dan kenapa haiwan tersebut mengamuk.- Agensi

'via Blog this'

Lelaki paling pendek lawat taman hidupan liar

Kosmo! Online - Dunia:



DOLAKH mendukung Dangi di tepi dua ekor beruang koala yang memanjat sebatang pokok di taman Wildlife World, Sydney semalam.- AFP


SYDNEY - Lelaki paling pendek di dunia, Chandra Bahadur Dangi melawat sebuah taman hidupan liar di sini semalam.
Dia yang berasal dari Nepal dan berusia 72 tahun melawat taman itu, Wildlife World bersama dengan anak saudaranya, Dolakh Dangi.
Dangi yang setinggi 54.6 sentimeter tiba kelmarin bagi mempromosikan negaranya kepada penduduk Australia. - Agensi

'via Blog this'

Ibu 90 tahun cari rezeki untuk bantu anak

Kosmo! Online - Dunia:



AFP GAMBAR menunjukkan Xiuying (kanan) makan bersama anak perempuannya yang sakit di rumah mereka.


BEIJING – Seorang wanita berusia 90 tahun, Li Xiuying mengutip botol plastik untuk dijual di pusat kitar semula di sini.
Xiuying turut mengutip barang lain yang ditemuinya dekat pusat beli-belah sebelum dikumpulkan untuk dijual di pusat kitar semula.
Wang yang diperoleh hasil jualan itu akan digunakannya untuk membeli ubat-ubatan untuk seorang anak perempuannya berusia 74 tahun yang sakit.
Anak perempuannya itu tinggal bersamanya di sebuah rumah.
Xiuying menyimpan barang-barang yang ditemuinya itu di dalam rumahnya sebelum ia dijual
di pusat kitar semula. – Agensi

'via Blog this'

Budaya minum arak kian teruk di Britain

Kosmo! Online - Dunia:



BEBERAPA orang menghisap rokok semasa mereka minum arak di luar sebuah bar di Soho, London pada 21 April lalu.- Agensi


LONDON - Pengambilan arak secara berlebihan tanpa henti mencapai tahap kritikal di Britain, kata beberapa pakar kesihatan.
Pada hujung minggu, sekumpulan lelaki dan wanita keluar dari pub dan kelab malam dalam keadaan terhuyung-hayang akibat mabuk menjadi perkara biasa di ibu kota Britain di sini.
Sebahagian wanita berkenaan tanpa segan silu muntah di kaki lima tanpa menghiraukan pakaian mereka terselak dan menampakkan seluar dalam.
Sebahagian daripada mereka terpaksa dikejarkan ke hospital kerana tidak sedarkan diri ekoran minum terlalu banyak.
"Anda malu jika dilihat mabuk di rumah. Di sini (pub dan kelab malam), ia merupakan satu trend," kata seorang pelajar universiti, Kaisa Toroskainen semasa dia minum bir di sini bersama beberapa rakannya.
Mengulas tentang aktiviti tidak sihat itu, beberapa pakar menyatakan budaya minum arak menyebabkan Britain menanggung beban kewangan sekitar AS$4.4 bilion (RM13.57 bilion) setahun.
Ia termasuk bil hospital dan kos rawatan kesihatan berkaitan pengambilan minuman keras terutamanya penyakit hati yang melonjak 25 peratus sejak beberapa tahun lalu.
"Semakin ramai belia berusia lewat 20-an hingga pertengahan 30-an menghidap penyakit hati akibat minum arak," kata seorang pakar hati di Universiti Newcastle, Chris Day.
"Keadaan ini tidak berlaku di Britain 20 tahun dahulu," tambahnya.
Had umur untuk minum arak di Britain ialah 18 tahun berbanding 21 tahun di Amerika Syarikat.
Harga arak di negara ini murah iaitu kurang daripada $1.10 (RM3.39) untuk sebotol minuman keras. - Agensi

'via Blog this'

Pesawat terhempas di Himalaya

Kosmo! Online - Dunia:


BEBERAPA anggota penyelamat memeriksa lokasi nahas pesawat milik syarikat penerbangan Agni dekat Jomson, Nepal semalam.- Agensi


KATHMANDU - Sebuah pesawat terhempas di sebuah gunung di banjaran Himalaya ketika cuba mendarat di sebuah lapangan terbang di utara Nepal semalam dengan menyebabkan 15 orang terbunuh manakala enam lagi parah.
Ketua pentadbir tempatan, Laxmi Raj Sharma berkata, pesawat berkenaan berpatah balik untuk mendarat di Lapangan Terbang Jomson sebelum kapal terbang berkenaan terhempas.
Bangkai pesawat bertaburan tetapi kapal terbang itu tidak terbakar.
Menurut Sharma, siasatan awal menunjukkan pesawat itu mengalami masalah teknikal.
Katanya, mangsa yang terselamat diterbangkan ke bandar Pohkara, dekat Jomson, untuk menerima rawatan.
Perdana Menteri, Baburam Bhattarai dalam satu kenyataan melahirkan simpati berhubung kematian 15 orang dalam nahas udara itu.
Seorang pegawai polis, Nareswor Aryal berkata, pesawat itu membawa dua juruterbang dan seorang kru bersama 16 penumpang rakyat India dan dua warga Barat.
Lapangan terbang Jomsom merupakan pintu masuk ke destinasi popular untuk pendaki dan penganut Hindu yang dalam perjalanan ke Kuil Mutinath.
Ia terletak sekitar 200 kilometer ke barat daya ibu kota Nepal, di sini.
Pesawat jenis Dornier yang terhempas itu milik syarikat penerbangan tempatan, Agni Air. - Agensi

'via Blog this'

Salji luar biasa di Bosnia

Kosmo! Online - Dunia:



SEBUAH kereta melalui sebatang jalan raya dalam cuaca bersalji dekat Sarajevo, Bosnia semalam.- Agensi


SARAJEVO, Bosnia-Herzegovina - Penduduk Bosnia sekali lagi berdepan salji pada bulan ini walaupun musim sejuk sudah berakhir di negara berkenaan.
Suhu di Bosnia turun kepada lima darjah Celsius semalam dengan lalu lintas sesak ekoran orang ramai mengalami kesukaran untuk ke tempat kerja.
Salji turut menyebabkan sekitar 50 buah kampung di kawasan pergunungan dekat ibu kota Bosnia, di sini terputus bekalan elektrik.
Cuaca luar biasa itu berlaku selepas seminggu suhu panas mencecah 27 darjah Celsius dicatat di sini pada Sabtu lepas.
Suhu sejuk itu diramalkan berterusan hingga pertengahan minggu ini apabila salji akan digantikan dengan hujan lebat. - Agensi

'via Blog this'

Monday, May 14, 2012

ANTARA SABAR DAN MENGELUH


Pada zaman dahulu ada seorang yang bernama Abul Hassan yang pergi haji di Baitul Haram. Di waktu tawaf tiba-tiba ia melihat seorang wanita yang bersinar dan berseri wajahnya.

"Demi Allah, belum pernah aku melihat wajah secantik dan secerah wanita itu,tidak lain kerana itu pasti kerana tidak pernah risau dan bersedih hati."

Tiba-tiba wanita itu mendengar ucapan Abul Hassan lalu ia bertanya, "Apakah katamu hai saudaraku ? Demi Allah aku tetap terbelenggu oleh perasaan dukacita dan luka hati kerana risau, dan seorang pun yang menyekutuinya aku dalam hal ini."

Abu Hassan bertanya, "Bagaimana hal yang merisaukanmu ?"

Wanita itu menjawab, "Pada suatu hari ketika suamiku sedang menyembelih kambing korban, dan pada aku mempunyai dua orang anak yang sudah boleh bermain dan yang satu masih menyusu, dan ketika aku bangun untuk membuat makanan, tiba-tiba anakku yang agak besar berkata pada adiknya, "Hai adikku, sukakah aku tunjukkan padamu bagaimana ayah menyembelih kambing ?"

Jawab adiknya, "Baiklah kalau begitu ?"

Lalu disuruh adiknya baring dan disembelihkannya leher adiknya itu. Kemudian dia merasa ketakutan setelah melihat darah memancut keluar dan lari ke bukit yang mana di sana ia dimakan oleh serigala, lalu ayahnya pergi mencari anaknya itu sehingga mati kehausan dan ketika aku letakkan bayiku untuk keluar mencari suamiku, tiba-tiba bayiku merangkak menuju ke periuk yang berisi air panas, ditariknya periuk tersebut dan tumpahlah air panas terkena ke badannya habis melecur kulit badannya. Berita ini terdengar kepada anakku yang telah berkahwin dan tinggal di daerah lain, maka ia jatuh pengsan hingga sampai menuju ajalnya. Dan kini aku tinggal sebatang kara di antara mereka semua."

Lalu Abul Hassan bertanya, "Bagaimanakah kesabaranmu menghadapi semua musibah yang sangat hebat itu ?"

Wanita itu menjawab, "Tiada seorang pun yang dapat membezakan antara sabar dengan mengeluh melainkan ia menemukan di antara keduanya ada jalan yang berbeza. Adapun sabar dengan memperbaiki yang lahir, maka hal itu baik dan terpuji akibatnya. Dan adapun mengeluh, maka orangnya tidak mendapat ganti yakni sia-sia belaka."

Demikianlah cerita di atas, satu cerita yang dapat dijadikan teladan di mana kesabaran sangat digalakkan oleh agama dan harus dimiliki oleh setiap orang yang mengaku beriman kepada Allah dalam setiap terkena musibah dan dugaan dari Allah. Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda dalam firman Allah dalam sebuah hadis Qudsi,:

" Tidak ada balasan bagi hamba-Ku yang Mukmin, jika Aku ambil kekasihnya dari ahli dunia kemudian ia sabar, melainkan syurga baginya."

Begitu juga mengeluh. Perbuatan ini sangat dikutuk oleh agama dan hukumnya haram. Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda,: " Tiga macam daripada tanda kekafiran terhadap Allah, merobek baju, mengeluh dan menghina nasab orang."

Dan sabdanya pula, " Mengeluh itu termasuk kebiasaan Jahiliah, dan orang yang mengeluh, jika ia mati sebelum taubat, maka Allah akan memotongnya bagi pakaian dari wap api neraka." (Riwayat oleh Imam Majah)

Semoga kita dijadikan sebagai hamba Tuhan yang sabar dalam menghadapi segala musibah.

KISAH NABI UZAIR A.S



Mungkin ramai yang belum pernah dengar tentang Nabi Uzair dan kisah keldainya.

Di dalam al-Quran, Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Atau apakah (kamu tidak memperhatikan) orang yang melalui suatu negeri yang (temboknya) telah roboh menutupi atapnya. Dia berkata: “Bagaimana Allah menghidupkan kembali negeri ini setelah hancur?”, maka Allah mematikan orang itu seratus tahun, kemudian menghidupkannya kembali. Allah bertanya: “Berapa lama kamu tinggal di sini?” Ia menjawab: “Saya tinggal di sini sehari atau setengah hari.” Allah berfirman: “Sebenarnya kamu tinggal di sini selama seratus tahun lamanya; lihatlah kepada makanan dan minumanmu yang belum berubah; dan lihatlah kepada keledaimu itu (yang telah menjadi tulang-belulang): Kami akan menjadikan kamu tanda kekuasaan Kami bagi manusia; dan lihatlah kepada tulang- belulang keldai itu, kemudian Kami menyusunnya kembali, kemudian Kami membalutnya dengan daging.” Maka tatkala telah nyata kepadanya (bagaimana Allah menghidupkan yang telah mati) dia pun berkata: “Saya yakin bahawa Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.”” (Surah al-Baqarah ayat 259)

Yang popular menurut kaum salaf dan kaum khalaf bahawa Uzair adalah pahlawan dalam kisah ini yang diceritakan oleh Allah SWT. Dikatakan bahawa Uzair adalah seorang Nabi dari nabi-nabi Bani Israil. Dialah yang menjaga Taurat, lalu terjadilah peristiwa yang sangat mengagumkan padanya. Allah SWT telah mematikannya selama seratus tahun kemudian dia dibangkitkan kembali. Selama Uzair tidur satu abad penuh, terjadilah peperangan yang didalangi oleh Bakhtansir di mana ia membakar Taurat. Tidak ada sesuatu pun yang tersisa kecuali yang dijaga oleh kaum lelaki. Mukjizat yang terjadi pada Nabi Uzair adalah sumber fitnah yang luar biasa di tengah kaumnya.

Pada suatu hari, tampak bahawa cuaca sangat panas dan segala sesuatu merasa kehausan. Sementara itu, desa yang didiami oleh Uzair hari itu nampak tenang kerana sedang melalui musim panas di mana sedikit sekali aktiviti di dalamnya. Uzair berfikir bahawa kebunnya perlu untuk disaliri dengan air. Kebun itu cukup jauh dan jalan menuju ke sana sangat berat dan disela-selai dengan tanah perkuburan. Sebelumnya, tempat itu adalah kota yang indah dan ramai di mana penghuninya cukup asyik tinggal di dalamnya lalu ia menjadi kota mati.

Uzair berfikir dalam hatinya bahawa pohon-pohon di kebunnya pasti merasakan kehausan lalu ia menetapkan untuk pergi memberinya minum. Hamba yang soleh dan salah seorang nabi dari Bani Israil ini pergi dari desanya. Matahari tampak masih baru memasuki waktu siang. Uzair menunggang keldainya dan memulai perjalanannya. Beliau tetap berjalan hingga sampai di kebun. Beliau mengetahui bahawa pohon-pohonnya tampak kehausan dan tanahnya tampak terbelah dan kering. Uzair menyirami kebunnya dan ia memetik dari kebun itu buah tin (sebahagian buah tin) dan mengambil pohon anggur. Beliau meletakkan buah tin di satu keranjang dan meletakkan buah anggur di keranjang yang lain. Kemudian ia kembali dari kebun sehingga keldai yang dibawanya berjalan di tengah-tengah terik matahari.

Di tengah-tengah perjalanan, Uzair berfikir tentang tugasnya yang harus dilakukan keesokkan harinya. Tugas pertama yang harus dilakukannya adalah mengeluarkan Taurat dari tempat persembunyiannya dan meletakkannya di tempat ibadah. Beliau berfikir untuk membawa makanan dan memikirkan tentang anaknya yang masih kecil, di mana beliau teringat oleh senyumannya yang manis, dan beliau pun terus berjalan dan semakin cepat. Beliau menginginkan keldainya untuk berjalan lebih cepat.

Lalu Uzair sampai di suatu kuburan. Udara panas saat itu semakin menyengat dan keldai tampak kepayahan. Tubuhnya diselimuti dengan keringat yang tampak menyala kerana tertimpa sinar matahari. Keldai itu pun mulai memperlambatkan langkahnya ketika sampai di kuburan. Uzair berkata kepada dirinya, “Mungkin aku lebih baik berhenti sebentar untuk beristirahat, dan aku akan mengistirahatkan keldai. Lalu aku akan makan siang.”

Uzair turun dari keldainya di salah satu kuburan yang rosak dan sepi. Semua desa itu menjadi kuburan yang hancur dan sunyi. Uzair mengeluarkan piring yang dibawanya dan duduk di suatu naungan. Ia mengikat keldai di suatu dinding, lalu ia mengeluarkan sebahagian roti kering dan menaruhnya di sampingnya. Selanjutnya, ia memerah di piringnya anggur dan meletakkan roti yang kering itu di bawah perahan anggur. Uzair menyandarkan punggungnya di dinding dan agak menjulurkan kakinya. Uzair menunggu sampai roti itu tidak kering dan tidak keras.

Kemudian Uzair mulai mengamati keadaan di sekelilinginya dan tampak keheningan dan kehancuran meliputi tempat itu: rumah-rumah hancur berantakan dan tampak tiang-tiang pun akan hancur, pohon-pohon sedikit saja terdapat di tempat itu yang tampak akan mati kerana kehausan, tulang-tulang yang mati yang dikuburkan di sana berubah menjadi tanah. Alhasil, keheningan menyeliputi tempat itu. Uzair merasakan betapa kerasnya kehancuran di situ dan ia bertanya dalam dirinya sendiri, “Bagaimana Allah SWT menghidupkan semua ini setelah kematiannya? Bagaimana Allah menghidupkan kembali negeri ini setelah hancur?”

Uzair bertanya, “Bagaimana Allah SWT menghidupkan tulang-tulang ini setelah kematiannya, di mana ia berubah menjadi sesuatu yang menyerupai tanah.” Uzair tidak meragukan bahawa Allah SWT mampu menghidupkan tulang-tulang ini, tetapi ia mengatakan yang demikian itu kerana rasa hairan dan kekaguman. Belum lama Uzair mengatakan kalimatnya itu sehingga ia mati. Allah SWT mengutus malaikat maut padanya lalu rohnya dicabut sementara keldai yang dibawanya masih ada di tempatnya ketika melihat tuannya sudah tidak lagi berdaya. Keldai itu tetap di tempatnya sehingga matahari tenggelam lalu datanglah waktu subuh. Keldai berusaha berpindah dari tempatnya tetapi ia terikat. Ia pun masih ada di tempatnya dan tidak boleh melepaskan ikatannya sehingga ia mati kelaparan.

Kemudian penduduk desa Uzair merasa gelisah dan mereka ramai-ramai mencari Uzair di kebunnya, tetapi di sana mereka tidak menemukannya. Mereka kembali ke desa dan tidak menemukannya. Lalu mereka menetapkan beberapa kelompok untuk mencarinya. Akhirnya, kelompok- kelompok ini mencari ke segala penjuru tetapi mereka tidak menemukan Uzair dan tidak menemukan keldainya. Kelompok-kelompok ini melewati kuburan yang di situ Uzair meninggal, namun mereka tidak berhenti di situ. Tampak bahawa di tempat itu hanya diliputi keheningan. Seandainya Uzair ada di sana nescaya mereka akan mendengar suaranya. Kemudian kuburan yang hancur ini sangat menakutkan bagi mereka, kerana itu mereka tidak mencari di dalamnya.

Lalu berlalulah hari demi hari, dan orang-orang putus asa dari mencari Uzair, dan anak-anaknya merasa bahawa mereka tidak akan melihat Uzair kedua kalinya dan isterinya mengetahui bahawa Uzair tidak mampu lagi memelihara anaknya dan menuangkan rasa cintanya kepada mereka sehingga isterinya itu menangis lama sekali. Sesuai dengan perjalanan waktu, maka air mata pun menjadi kering dan penderitaan makin berkurang. Akhirnya, manusia mulai melupakan Uzair dan mereka tetap menjalankan tugas mereka masing-masing. Dan berjalanlah tahun demi tahun dan masyarakat mulai melupakan Uzair kecuali anaknya yang paling kecil dan seorang wanita yang bekerja di rumah mereka di mana Uzair sangat cinta kepadanya. Usia wanita itu dua puluh tahun ketika Uzair keluar dari desa.

Berlalulah sepuluh tahun, dua puluh tahun, delapan puluh tahun, sembilan puluh tahun sehingga sampai satu abad penuh. Allah SWT berkehendak untuk membangkitkan Uzair kembali. Allah SWT mengutus seorang malaikat yang meletakkan cahaya pada hati Uzair sehingga ia melihat bagaimana Allah SWT menghidupkan orang-orang mati. Uzair telah mati selama seratus tahun. Meskipun demikian, ia dapat berubah dari tanah menjadi tulang, menjadi daging, dan kemudian menjadi kulit. Allah SWT membangkitkan di dalamnya kehidupan dengan perintah-Nya sehingga ia mampu bangkit dan duduk di tempatnya dan memperhatikan dengan kedua matanya apa yang terjadi di sekelilingnya.

Uzair bangun dari kematian yang dijalaninya selama seratus tahun. Matanya mulai memandang apa yang ada di sekelilingnya lalu ia melihat kuburan di sekitarnya. Ia mengingat-ingat bahawa ia telah tertidur. Ia kembali dari kebunnya ke desa lalu tertidur di kuburan itu. Inilah peristiwa yang dialaminya. Matahari bersiap-siap untuk tenggelam sementara ia masih tertidur di waktu Zohor. Uzair berkata dalam dirinya, “Aku tertidur cukup lama. Barangkali sejak Zohor sampai Maghrib.” Malaikat yang diutus oleh Allah SWT membangunkannya dan bertanya, “Berapa lama kamu tinggal di sini?”

Malaikat bertanya kepadanya, “Berapa jam engkau tidur?” Uzair menjawab, “Saya tinggal di sini sehari atau setengah hari.” Malaikat yang mulia itu berkata kepadanya, “Sebenarnya kamu tinggal di sini selama seratus tahun lamanya. Engkau tidur selama seratus tahun. Allah SWT mematikanmu lalu menghidupkanmu agar engkau mengetahui jawapan dari pertanyaanmu ketika engkau merasa hairan dari kebangkitan yang dialami oleh orang-orang yang mati.” Uzair merasakan kehairanan yang luar biasa sehingga tumbuhlah keimanan pada dirinya terhadap kekuasaan al-Khaliq (Sang Pencipta). Malaikat berkata sambil menunjuk makanan Uzair, “Lihatlah kepada makanan dan minumanmu yang belum berubah.”

Uzair melihat buah tin itu lalu ia mendapatinya seperti semula di mana warnanya tidak berubah dan rasanya pun tidak berubah. Telah berlalu seratus tahun tetapi bagaimana mungkin makanan itu tidak berubah? Lalu Uzair melihat piring yang di situ ia memerah buah anggur dan meletakkan di dalamnya roti yang kering, dan ia mendapatinya seperti semula di mana minuman anggur itu masih layak untuk diminum dan roti pun masih tampak seperti semula, di mana kerasnya dan keringnya roti itu dapat dihilangkan ketika dicampur dengan perahan anggur. Uzair merasakan kehairanan yang luar biasa, bagaimana mungkin seratus tahun terjadi sementara perahan anggur itu tetap seperti semula dan tidak berubah. Malaikat merasa bahawa seakan-akan Uzair masih belum percaya atas apa yang dikatakannya, kerana itu, malaikat menunjuk keldainya sambil berkata, “Dan lihatlah kepada keledaimu itu (yang telah menjadi tulang- belulang).”

Uzair pun melihat ke keldainya tetapi ia tidak mendapati kecuali ia tanah dari tulang-tulang keldainya. Malaikat berkata kepadanya, “Apakah engkau ingin melihat bagaimana Allah SWT membangkitkan orang-orang yang mati? Lihatlah ke tanah yang di situ terletak keledaimu.”



Kemudian malaikat memanggil tulang-tulang keldai itu lalu atom-atom tanah itu memenuhi panggilan malaikat sehingga ia mulai berkumpul dan bergerak dari setiap arah lalu terbentuklah tulang-tulang. Malaikat memerintahkan otot-otot saraf daging untuk bersatu sehingga daging melekat pada tulang-tulang keldai. Sementara itu, Uzair memperhatikan semua proses itu. Akhirnya, terbentuklah tulang dan tumbuh di atasnya kulit dan rambut.

Al-hasil, keldai itu kembali seperti semula setelah menjalani kematian. Malaikat memerintahkan agar roh keldai itu kembali kepadanya dan keldai pun bangkit dan berdiri. Ia mulai mengangkat ekornya dan bersuara. Uzair menyaksikan tanda-tanda kebesaran Allah SWT tersebut terjadi di depannya. Ia melihat bagaimana mukjizat Allah SWT yang berupa kebangkitan orang-orang yang mati setelah mereka menjadi tulang belulang dan tanah. Setelah melihat mukjizat yang terjadi di depannya, Uzair berkata, “Saya yakin bahawa Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.”

Uzair bangkit dan menunggangi keldainya menuju desanya. Allah SWT berkehendak untuk menjadikan Uzair sebagai tanda-tanda kebesaran-Nya kepada masyarakat dan mukjizat yang hidup yang menjadi saksi atas kebenaran kebangkitan dan hari kiamat. Uzair memasuki desanya pada waktu Maghrib. Ia tidak percaya melihat perubahan yang terjadi di desanya di mana rumah-rumah dan jalan-jalan sudah berubah, begitu juga manusia dan anak-anak yang ditemuinya. Tak seorang pun di situ yang mengenalinya. sebaliknya, ia pun tidak mengenali mereka. Uzair meninggalkan desanya saat beliau berusia empat puluh tahun dan kembali kepadanya dan usianya masih empat puluh tahun. Tetapi desanya sudah menjalani waktu seratus tahun sehingga rumah-rumah telah hancur dan jalan-jalan pun telah berubah dan wajah-wajah baru menghiasi tempat itu.

Uzair berkata dalam dirinya, “Aku akan mencari seorang lelaki tua atau perempuan tua yang masih mengingat aku.”

Uzair terus mencari sehingga ia menemukan pembantunya yang ditinggalnya saat berusia dua puluh tahun. Kini, usia pembantu itu mencapai seratus dua puluh tahun di mana kekuatannya sudah sangat merosot dan giginya sudah ompong dan matanya sudah lemah. Uzair bertanya kepadanya, “Wahai perempuan yang baik, di mana rumah Uzair.”

Wanita itu menangis dan berkata, “Tak seorang pun yang mengingatinya. Ia telah keluar sejak seratus tahun dan tidak kembali lagi. Semoga Allah SWT merahmatinya.” Uzair berkata kepada wanita itu, “Sungguh aku adalah Uzair. Tidakkah engkau mengenal aku? Allah SWT telah mematikan aku selama seratus tahun dan telah membangkitkan aku dari kematian.”

Wanita itu kehairanan dan tidak mempercayai omongan itu. Wanita itu berkata, “Uzair adalah seseorang yang doanya dikabulkan. Kalau kamu memang Uzair, maka berdoalah kepada Allah SWT agar aku dapat melihat sehingga aku dapat berjalan dan mengenalmu.”

Lalu Uzair berdoa untuk wanita itu sehingga Allah SWT mengembalikan penglihatan matanya dan kekuatannya. Wanita itu pun mengenali Uzair. Lalu ia segera berlari di negeri itu dan berteriak, “Sungguh Uzair telah kembali!” Mendengar teriakan wanita itu, masyarakat bingung dan merasa hairan. Mereka mengira bahawa wanita itu telah gila.

Kemudian diadakan pertemuan yang dihadiri orang-orang pandai dan para ulama. Dalam majlis itu juga dihadiri oleh cucu Uzair di mana ayahnya telah meninggal dan si cucu itu telah berusia tujuh puluh tahun sedangkan datuknya, Uzair, masih berusia empat puluh tahun. Di majlis itu mereka mendengarnya kisah Uzair lalu mereka tidak mengetahui apakah mereka akan mempercayainya atau mengingkarinya. Salah seorang yang pandai bertanya kepada Uzair, “Kami mendengar dari ayah-ayah kami dan datuk-datuk kami bahawa Uzair adalah seorang Nabi dan ia mampu menghafal Taurat. Sungguh Taurat telah hilang dari kita dalam peperangan Bukhtunnashr di mana mereka membakarnya dan membunuh para ulama dan para pembaca Kitab suci itu. Ini terjadi seratus tahun lalu yang engkau katakan bahawa engkau menjalani kematian atau engkau tidur. Seandainya engkau menghafal Taurat, nescaya kami akan percaya bahawa engkau adalah Uzair.”

Uzair mengetahui bahawa tidak seorang pun dari Bani Israil yang mampu menghafal Taurat. Uzair telah menyembunyikan Taurat itu dari usaha musuh untuk menghancurkannya. Uzair duduk di bawah naungan pohon sedangkan Bani Israil berada di sekitarnya. Lalu Uzair menghapusnya huruf demi huruf sampai selesai lalu ia berkata dalam dirinya, “Aku sekarang akan mengeluarkan Taurat yang telah aku simpan.” Uzair pergi ke suatu tempat lalu ia mengeluarkan Taurat di mana kertas yang terisi Taurat itu telah rosak. Ia mengetahui mengapa Allah SWT mematikannya selama seratus tahun dan membangkitkannya kembali. Kemudian tersebarlah berita tentang mukjizat Uzair di tengah-tengah Bani Israil. Mukjizat tersebut membawa fitnah yang besar bagi kaumnya.

Sebahagian kaumnya mendakwa bahawa Uzair adalah anak Allah. Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Orang-orang Yahudi berkata: ‘Uzair adalah anak Allah.’” (Surah at-Taubah ayat 30)

Mula-mula mereka membandingkan antara Musa dan Uzair dan mereka berkata, “Musa tidak mampu mendatangkan Taurat kepada kita kecuali di dalam kitab sedangkan Uzair mampu mendatangkannya tanpa melalui kitab.” Setelah perbandingan yang salah ini, mereka menyimpulkan sesuatu yang keliru di mana mereka menisbatkan kepada nabi mereka hal yang sangat tidak benar. Mereka mendakwa bahawa dia adalah anak Tuhan. Maha Suci Allah dari semua itu, “Tidak layak bagi Allah mempunyai anak, Maha Suci Dia. Apabila Dia telah menetapkan sesuatu, maka Dia hanya berkata kepadanya: ‘Jadilah’, maka jadilah ia.” (Surah Maryam ayat 35)


SUMBER: (http://adaptasidunia.blogspot.com/2011/09/kisah-nabi-uzair-tertidur-100-tahun.html) dan (http://laman-seri.blogspot.com/2010/04/kisah-nabi-uzair-as.html)

Pasukan khas cari kotak hitam

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:


Gambar diambil pada 11 Mei lalu merakamkan seorang anggota tentera Indonesia yang menyertai operasi mencari dan menyelamat memerhati rangka pesawat Sukhoi Superjet 100 yang terhempas di cerun Gunung Salak, Jawa Barat Rabu lalu. - AFP
JAKARTA 13 Mei - Pasukan khas Indonesia dan pendaki profesional, hari ini terpaksa meredah gaung di sebuah gunung berapi bagi mencari kotak perakam penerbangan pesawat komersil Sukhoi Superjet 100 yang terhempas.
Kesemua 45 penumpang pesawat itu dipercayai terbunuh dalam nahas itu pada Rabu lalu dan helikopter kini membawa keluar cebisan mayat mangsa ke Jakarta untuk proses mengenal pasti identiti mangsa sejak semalam.
Punca pesawat itu terhempas ketika berada separuh penerbangan melalui pergunungan Bogor itu selama 50 minit pada Rabu lalu, masih tidak dapat dipastikan.
Justeru, usaha mencari kotak perakam penerbangan itu yang juga dikenali sebagai 'kotak hitam' adalah penting.
Pegawai penerbangan awam, Herrt Bakti Gumay berkata, berpuluh-puluh penyiasat Indonesia dan Rusia, hari ini memulakan pencarian di sebuah gaung di Gunung Salak berdekatan pesawat itu ditemui.
Stesen televisyen TVOne melaporkan pasukan penyelamat menemui satu peralatan yang mungkin kotak hitam di atas sebatang pokok di dalam gaung sedalam 500 meter itu dan kini cuba mendapatkannya.
''Berlaku kejadian tanah runtuh selepas pesawat itu terhempas di gunung berkenaan dengan enjin, peralatan pendaratan pesawat dan saki-baki bahagian pesawat ditemui di bawah runtuhan tanah itu,'' kata TVOne.
Jurucakap Kementerian Pengangkuta, sebanyak 41 penyiasat Rusia dan beberapa ratus pegawai Indonesia kini berada di tempat kejadian.
Beliau berkata, penyiasat Indonesia telah menyoal kakitangan menara kawalan mengenai hubungan terakhir dengan pesawat itu dan pembacaan radar sebelum kejadian itu berlaku.
Sukhoi Superjet 100 itu merupakan model pertama pesawat penumpang buatan Rusia sejak keruntuhan Kesatuan Soviet dua dekad lalu. - AGENSI

'via Blog this'

Saif didakwa beri arahan bunuh penentang

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:


TRIPOLI 13 Mei - Anak bekas pemimpin Libya, Saif al-Islam didakwa memberi arahan untuk membunuh penentang rejim bapanya, Muammar Gaddafi, dedah beberapa rakaman perbualan telefon yang dipintas.
Lebih 12,000 pita rakaman perbualan antara orang yang dekat dengan bekas pemimpin Libya itu antara Februari dan Jun tahun lepas dipintas, ketika pentadbiran rejim itu semakin goyah.
Satu daripada rakaman perbualan Saif yang bakal disiarkan oleh agensi berita, Al Jazeera, boleh didengar yang memaklumkan seorang pegawai kanan beliau akan menghantar orang untuk menghapuskan pemberontak di bandar pelabuhan Tobruk di timur negara ini.
Pegawai kanan tersebut, Tayeb El Safi memberi amaran kepada Saif, 39, mengenai 'pengkhianat' di pangkalan udara Abdel Nasser, Tobruk yang jatuh ke tangan pemberotnak pada pertengahan Februari tahun lepas.
Saif yang mendapat pendidikan di Sekolah Pengajian Ekonomi, London memberitahu Tayed: ''Jika kamu mempunyai orang di sana, hantar mereka ke pangkalan udara itu dan bunuh mereka.''
Rakaman tersebut penting ketika Libya dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berdebat untuk membicarakan Saif dan bekas ketua perisikan rejim tersebut atas dakwaan melakukan jenayah perang.
Peguam di Hague mempercayai sistem perundangan negara di Afrika Utara itu masih tidak stabil untuk mengadakan perbicaraan dengan adil.
Jika didapati bersalah, kedua- dua pemimpin rejim Gaddafi itu berdepan hukuman mati.
Ketua Pendakwa ICC, Luis Moreno Ocampo menyifatkan pita rakaman itu sebagai menarik.
Beliau berkata, ia menjadi bukti bahawa Saif memainkan peranan utama dalam tindakan kekerasan terhadap pemberontak. - Agensi

'via Blog this'

23 lagi terbunuh di Syria

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

Imej yang disiarkan rangkaian berita pembangkang Syria, Shaam News Network semalam merakamkan beberapa orang wanita meratapi kematian Ahmed Shamseddine semasa upacara pengebumiannya di Qusayr kelmarin. Ahmed terbunuh dalam pertempuran dengan tentera Syria. - AFP
BEIRUT 13 Mei - Seramai 23 terbunuh termasuk tujuh kanak-kanak, dalam pertempuran antara rejim Syria dengan pemberontak dan serbuan tentera ke atas kubu-kubu pemberontak, hari ini, ketika gencatan senjata yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memasuki bulan kedua.
Pertempuran dan serbuan terbaru itu berlaku ketika misi PBB ke Syria menyatakan, mereka kini mempunyai 176 tentera pemantau di negara itu, lebih separuh daripada 300 anggota yang dirancang dihantar ke negara ini sebelum ini.
Pasukan tentera pemantau itu ditugaskan untuk memastikan gencatan senjata yang diusulkan oleh wakil damai Liga Arab-PBB, Kofi Annan, yang sepatutnya dikuatkuasakan pada 12 April lalu dipatuhi.
Seorang penduduk awam ditembak mati oleh tentera di tempat pemeriksaan di Dmeir hari ini, manakala seorang lagi terbunuh akibat terkena tembakan di pinggir bandar Douma, menurut pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia.
Di tengah wilayah Hama pula, lima orang ditembak mati, termasuk seorang wanita, ketika tentera menyerbu perkampungan al-Tamanaa al-Ghab, lapor pertubuhan pemantau itu sambil menyatakan bahawa 18 orang turut cedera dan beberapa rumah dibakar.
Seorang komander pemberontak, Abu Adi, turut terbunuh dalam satu pertempuran sepanjang malam tadi dengan tentera di Douma.
Pertempuran turut berlaku di beberapa bahagian di wilayah Damsyik, lapor pertubuhan pemantau yang beribu pejabat di London itu.
Menurut Jawatankuasa Penyelaras Tempatan (LCC), tentera Syria membedil Douma awal pagi ini dan bunyi tembakan berat turut kedengaran di pinggir bandar itu.
Semalam, 22 orang terbunuh termasuk 11 orang awam, dua pemberontak dan sembilan anggota tentera. - AFP

'via Blog this'

49 mayat dipotong kepala, tangan dan kaki ditemui di Monterrey

Berita Harian Online | 49 mayat dipotong kepala, tangan dan kaki ditemui di Monterrey: "MONTERREY: Empat puluh sembilan mayat yang dipotong kepala, tangan dan kaki ditemui awal pagi tadi di lebuh raya utama utara Mexico menuju ke sempadan Texas, menjadikan ia insiden terbaru pembunuhan beramai-ramai membabitkan keganasan di antara kumpulan pengedar dadah Mexico.

Pihak berkuasa tempatan menemui kesemua mayat itu awal pagi tadi di sebuah kolam yang dipenuhi darah di pintu masuk ke bandar San Juan, di lebuh raya utama dari kota metropolitan Monterrey menuju ke sempadan Reynosa.
Sementara itu, pintu gerbang berwarna putih juga disembur cat hitam dengan perkataan "100% Zeta".
Jurucakap keselamatan negeri Nuevo Leon, Jorge Domene, berkata identiti 43 lelaki dan enam wanita yang ditemui itu sukar untuk dikenal pasti kerana kekurangan kepala, tangan dan kaki.

Bagaimanapun, kesemua mayat dibawa ke auditorium Monterrey untuk ujian DNA. - AP"

'via Blog this'

Seorang mati, 2 koma selepas langgan pelacur




       
BANGKOK: Seorang lelaki warga Bangladesh ditemui mati dan dua lagi tidak sedarkan diri, di sebuah bilik hotel di Pattaya, semalam.

Mangsa yang mati dikenali sebagai Business Chan, 57 manakala dua lagi Sanjib Saha, 54 dan Rashid Harunur, 58 yang koma, dibawa ke Hospital Memorial Pattaya.
Saksi berkata, mereka nampak ketiga-tiga lelaki itu membawa pelacur ke bilik mereka di Hotel Bella Express.

Polis percaya, pelacur itu memberi dadah kepada lelaki terbabit dan kemudian mencuri barang milik mereka memandangkan tiada tanda pergelutan.



Dadah dijumpai dan kesan barang kepunyaan tiga warga Bangladesh itu didapati diselongkar dan beberapa barang berharga hilang. - Bangkok Post

Mati hidup semula



       
KAHERAH: Keadaan sedih di upacara pengebumian bertukar gembira apabila ‘mayat’ yang hendak dikebumikan tiba-tiba bangun.

Hamdi Hafez al-Nubi, 28, pelayan restoran dari Naga al-Simmanm, diisytiharkan mati selepas mengalami serangan jantung di tempat kerja.
Ketika persediaan untuk mengebumikannya dilakukan, doktor yang dihantar untuk menandatangani surat kematiannya mendapati tubuhnya masih hangat.

Keluarga Hamdi yakin dia sudah mati, malah sudah pun memandikan ‘mayatnya’ dan bersedia untuk dikebumikan.


Apabila mendapati tubuh Hamdi masih hangat, doktor membuat pemeriksaan dan mendapati dia masih bernafas.
Keluarga Hamdi tidak membatalkan upacara pengebumian tetapi sebaliknya mengadakan kenduri meraikan ‘kebangkitannya’ semula. - AP”

Cuba tanam anak hidup-hidup

KELUARGA Radhika yang miskin.
KELUARGA Radhika yang miskin.

NEW DELHI: Bapa seorang bayi perempuan berusia enam minggu, ditahan bersama bapa saudara bayi itu kerana dikatakan cuba menanamnya hidup-hidup.
Mereka dikatakan percaya dengan berbuat demikian akan dapat melindungi anaknya yang lain daripada penyakit.
Seorang pekerja di kawasan perkuburan di Pilkhuwa, 100 kilometer dari Delhi, membuat laporan polis apabila ternampak kedua-dua lelaki itu cuba menanam bayi itu, Radhika.

Dinesh Kumar, bapa Radhika dan adiknya mendakwa seorang guru agama mengarahkan mereka melakukan perbuatan itu sebagai usaha mengelak nasib malang keluarga itu selepas anak mereka meninggal dunia akibat sakit, tahun lalu.


Radhika, kini berusia dua bulan, dirawat di hospital kerana kekurangan air dan zat.

Dalam kes yang mungkin menjadi kes ketiga bulan lalu, seorang wartawan mengatakan ia berlaku kerana kemiskinan dan buta huruf, menjadikan orang ramai percaya kepada kepercayaan karut.

Ibu Radhika, Bharati Rani, menafikan terlibat dalam kejadian itu dan berkata: “Beritahu saya ibu mana yang sanggup membunuh anaknya sendiri?”

Penjaga kubur, Sriram Kore berkata: “Anda lihat sendiri bukti kubur digali.”

Katanya bapa dan bapa saudara Radhika menggali kubur itu dan membuat upacara keagamaan.

“Mereka membawa bungkusan kecil, bayi perempuan yang sudah mati dan mahu menanamnya. Tapi, saya dapat lihat dia masih hidup, jadi saya cepat-cepat menelefon polis,” katanya.

Setakat ini, polis masih belum menjejaki guru agama yang terlibat.

Di India, kanak-kanak perempuan masih dianggap sebagai beban kerana perkahwinan tradisi memerlukan hantaran yang besar dibayar kepada pihak lelaki apabila berkahwin.

Negara itu mempunyai kadar kematian kanak-kanak perempuan tertinggi di dunia. - BBC

Dua maut, tiga cedera dalam kemalangan maut

Dua maut, tiga cedera dalam kemalangan maut - Johor - Sinar Harian:

Dua maut, tiga cedera dalam kemalangan maut
Pegawai Penyiasat Trafik IPD SPS melihat keadaan kereta yang terlibat dalam kemalangan
JAWI, Bandar Baharu – Hasrat bakal suami isteri untuk mendaftarkan perkahwinan mereka tidak kesampaian apabila terlibat dalam kemalangan maut yang mengorbankan dua wanita di Kilometer 168.2 Lebuh Raya Utara Selatan arah Utara, berhampiran sempadan Bandar Baharu, dekat sini, pagi semalam.

Kemalangan kira-kira jam 8 pagi itu dipercayai berlaku ketika kereta yang dinaiki lima sekeluarga dan dipandu Alvinder Singh Mokhtiar Singh, 32, dikatakan cuba mengelak sebuah lori yang hendak memasuki semula lorong kiri selepas memintas kenderaannya.

Bagaimanapun malangnya, dia dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu terbabas ke dalam longkang dan terlanggar tebing berbatu menyebabkan bakal isterinya, Sabjit Kaur Soba Singh, 20-an yang berada di tempat duduk belakang tercampak keluar dari kenderaan.

Mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala maut serta-merta di tempat kejadian.

Sementara, ibunya, Rupinder Kaur Rejinder Singh, 56, yang turut berada di tempat duduk belakang juga meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialami.

Manakala, Alvinder dan bapanya hanya mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Sungai Bakap.

Adik perempuan mangsa yang masih belum diketahui identitinya pula dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk menerima rawatan lanjut kerana cedera parah.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintendan Shafien Mamat ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, lima sekeluarga itu dikatakan bertolak dari Tronoh, Batu Gajah, Perak kira-kira jam 6 pagi dan menuju ke Bukit Mertajam untuk mendaftarkan perkahwinan Alvinder dan isterinya yang difahamkan bukan warganegara Malaysia.

“Bagaimanapun, ketika tiba di kilometer 168.2, mangsa dikatakan tidak perasan akan kehadiran sebuah lori di hadapannya lalu terbabas ke dalam longkang dan terlanggar tebing batu.

“Siasatan masih dijalankan dan mengklasifikasikan kes mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Shafien berkata, saksi yang melihat kejadian tampil di balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPS di talian 04-5858222.

'via Blog this'

Dinding rumah pusaka ‘ghaib’

Dinding rumah pusaka ‘ghaib’ - Perak - Sinar Harian:

Dinding rumah pusaka ‘ghaib’
Dinding yang runtuh sehingga menampakkan bahagian dalam rumahnya
SELAMA - Tidur seorang ibu empat cahaya mata tersentak apabila dikejutkan dengan dentuman kuat dari arah anjung rumahnya di Kampung Sungai Berdarah Hulu, di sini awal minggu lalu.

Suryani Abdul Manan, 45, berkata, terkejut dengan bunyi aneh itu, dia bertindak melihat keadaan anjung rumah pusakanya berusia 50 tahun berkenaan

Menurutnya, dia sama sekali tidak menyangka angin kencang yang disertai dengan hujan kira-kira jam 5 pagi itu menyebabkan sebahagian dinding di bahagian anjung tercabut.

“Apabila tiba ke bahagian anjung, sebahagian dinding sudah runtuh.

“Sebelum ini, kejadian angin kencang memang selalu berlaku di kawasan ini, tetapi tidak seteruk ini,” katanya.

Suryani berkata, ketika kejadian, dia bersama empat anaknya sedang nyenyak tidur dan terjaga setelah mendengar bunyi kuat dari arah anjung rumahnya.

Meskipun masih terkejut dengan keadaan itu, dia bersyukur kerana semua ahli keluarga selamat.

“Ketika kejadian suaminya bekerja di luar kawasan dan tidak menyangka perkara itu berlaku apabila dimaklumkan.

“Rumah ini perlu dibaiki segera kerana keadaannya membahayakan kami sekeluarga termasuk terdedah kepada pencuri,” katanya.

Sementara itu, Adun Selama, Datuk Mohamad Daud Mohd Yusoff bersimpati dengan keadaan itu selain menghulurkan bantuan baik pulih rumah berkenaan.

“Atap zink yang bocor juga akan diganti baru supaya memberi keselesaan kepada mereka sekeluarga.

“Saya akan menyelesaikan masalah ini segera dan berharap mereka sekeluarga dapat bersabar,” katanya.

'via Blog this'