Pages

Monday, March 26, 2012

AS bantu penentang Bashar

myMetro | AS bantu penentang Bashar:

SEOUL: Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, berikrar menghantar bantuan bukan senjata kepada pemberontak di Syria.
Dalam pada itu, konvoi keamanan yang diketuai oleh bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Koffi Annan, cuba meyakinkan Russia supaya bertindak lebih agresif terhadap Syria. Pengumuman Obama semalam adalah sokongan paling terbuka oleh AS kepada pemberontak dan ia pasti mencetuskan kemarahan Russia yang mengutuk Barat kerana mendesak Presiden Bashar al-Assad meletak jawatan. Sementara itu, di Syria, pemberontak dan pemerhati berkata, letupan terus menggegarkan bandar Homs.

Tentera kerajaan meningkatkan serangan di bandar berkenaan sementara kumpulan penentang menyerang pangkalan tentera di Damsyik.
Obama berkata, perbincangan telah dibuat dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan sebelum Persidangan Keselamatan Nuklear di Seoul, dan mereka bersetuju mengenai perlunya proses untuk menubuhkan sebuah kerajaan yang sah di Syria.

Seorang pegawai kanan Jabatan Keselamatan Negara AS berkata penghantaran bantuan perubatan dan bantuan lain perlu dijadikan tumpuan utama pada mesyuarat ‘Sahabat Syria’ yang dijadualkan pada 1 April di Istanbul. Jumaat lalu, Russia mengecam mesyuarat itu walaupun sebelum ini ia memberikan tindak balas yang bertentangan mengenai tahap jurang krisis itu dengan Barat.

Dalam pada itu, pertemuan Annan dengan Presiden Russia, Dimitry Medvedev diadakan beberapa hari selepas Moscow mengkritik Bashar dan menyokong Majlis Keselamatan PBB, meminta tenteranya keluar dari bandar Homs.
Bashar setakat ini tidak menunjukkan tanda untuk menuruti desakan itu.

Sementara itu, sekurang-kurangnya 28 orang awam dilaporkan terbunuh, semalam dan pemerhati melaporkan pertempuran merebak dari pinggir bandar Damsyik hingga ke wilayah utara yang bersempadan dengan Turki.
Jawatan kuasa Penyelaras Tempatan berkata: “Tentera kerajaan melancarkan serangan sengit di Khalidiyeh, Hamidiyeh dan Homs Lama semalam hingga menggegarkan seluruh bandar.” Dalam perkembangan lain, pemerhati, berkata penentang melancarkan serangan roket terhadap pangkalan tentera dekat Damsyik. - AP

'via Blog this'

Pejuang MILF, MNLF bertempur: 2 terbunuh

myMetro | Pejuang MILF, MNLF bertempur: 2 terbunuh:

COTABATO: Pergaduhan antara pemberontak menyebabkan dua terbunuh dan kira-kira 270 keluarga meninggalkan rumah masing-masing, kata jurucakap tentera semalam.
Lapan rumah turut terbakar ketika anggota Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) bertempur dengan penyokong Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF).

Jurucakap tentera berkata, selepas seminggu pertempuran berlaku di beberapa lokasi, pejuang MILF menyerang anggota MNLF di bandar pertanian Carmen, selatan Mindanao, kelmarin.
“Pertempuran itu menyebabkan seorang maut bagi setiap kumpulan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap MILF, Von al-Haq, berkata pergaduhan itu berpunca daripada perselisihan faham di antara pemimpinnya, Komander Karim, dengan ketua MNLF, Komander Teo.

“Mereka menuduh Komander Teo mendalangi pembunuhan isteri Komander Karim tiga minggu lalu,” katanya.
Bagaimanapun, Von al-Haq tidak tahu-menahu mengapa wanita terbabit dibunuh.

Ekoran ketegangan itu, MILF menghantar pegawainya ke kawasan terbabit bagi menamatkan permusuhan, manakala tentera turut diarah ke situ bagi memisahkan kedua-dua kumpulan. - AFP

'via Blog this'

Michelle Obama anggap anjing anak lelakinya

myMetro | Michelle Obama anggap anjing anak lelakinya:

JAKARTA: Wanita pertama Amerika Syarikat, Michelle Obama semalam membuat kenyataan mengejutkan apabila berkata, anjing peliharaannya, Bo adalah anak lelakinya.
"Bo adalah anak laki-laki saya," kata Michelle kepada David Letterman, lapor majalah People. 
“Saya mempunyai dua anak perempuan dan seorang anak lelaki,” kata isteri Presiden Amerika Syarikat itu.

Michelle berkata, dia tidak pernah mengabaikan tugas selaku ibu dan memuja 'anaknya yang berbulu' itu.

“Bo amat menakjubkan. Dia anjing paling pintar di planet ini,” kata Michelle penuh bangga.

Beliau juga berkata, Bo memiliki kualiti yang positif serta dan sangat baik. - Agensi

'via Blog this'

Budak 9 tahun cuma boleh makan makanan bayi

myMetro | Budak 9 tahun cuma boleh makan makanan bayi:

NEW YORK: Ramai kanak-kanak lelaki yang meningkat remaja mengamalkan diet yang membosankan tetapi untuk seorang budak, dia tidak mempunyai pilihan lain kerana dia mungkin boleh mati.
Joshua yang berusia sembilan tahun, mengalami penyakit yang jarang ditemui, dikenali sebagai “eosinophilic esophagitis” yang bermaksud dia alah dengan pelbagai jenis makanan dan boleh membawa maut. 
Bagi kanak-kanak biasa makanan seperti piza, hot dog, sandwic mentega kacang dan jam adalah normal tetapi tidak bagi Joshua kerana dia mengalami alahan dengan muntah, cirit birit atau serangan anafilaksis.

Bau dari makanan juga boleh membawa maut kepadanya.

Ini bermakna, ibu dan bapanya mesti memasak untuk seluruh keluarga menggunakan gril di luar.

Bapanya, Brant berkata, “Yang paling sukar bagi saya, dia tidak boleh makan apa yang kami makan.”

Joshua hanya boleh makan makanan bayi setiap hari. Selain itu dia doktor memberikan formula untuk meningkatkan nutrien dalam badan melalui tiub di perutnya.

Joshua juga diberi pendidikan di rumah oleh ibunya, Cara, disebabkan penyakit yang membuatkan dia lesu.

“Setiap hari, Joshua akan bangun pada jam 6.45 pagi kerana dia mendengar bunyi enjin bas sekolah,” katanya.

Katanya, “Kadang-kadang dia akan memandang ke luar tingkap dan menangis kerana dia tidak boleh naik bas itu, dia tidak boleh naik bas sekolah dengan kanak-kanak lain.” - Daily Mail

'via Blog this'

Pasangan enggan lakukan seks dianggap kejam

myMetro | Pasangan enggan lakukan seks dianggap kejam:

NEW DELHI: Pasangan kelamin yang enggan melakukan hubungan seks, dianggap zalim oleh Mahkamah Tinggi di Delhi dalam satu kes rayuan untuk perceraian.
Mahkamah mengisytiharkan keengganan melakukan seks itu berasas setelah si suami berkata isterinya enggan tidur bersama di malam pengantin dan hanya membenarkan melakukan hubungan 10 hingga 15 kali, dalam masa lima bulan. 
Agensi Press Trust of India melaporkan hakim Kailash Gambhir ketika memberi keputusan berkata: “Keterangan suami mengatakan isteri tidak memberi tindak balas dan seperti tunggul kayu ketika melakukan hubungan seks, tidak dibantah.”

“Sudah terbukti tiada kemahuan melakukan hubungan seks tanpa sebab munasabah dan ini adalah kejam,” katanya.

Mahkamah Tinggi menolak rayuan wanita itu untuk tidak bercerai.

Pada 2001, mahkamah rendah membenarkan keputusan tidak bercerai. Pasangan itu berkahwin pada 1991.

“Hubungan seks adalah asas dalam perkahwinan dan perkahwinan tanpa hubungan seks adalah perkara dibenci,” katanya.

“Perkahwinan tanpa hubungan seks akan menjadikan ia hambar. Mungkin ada kes di mana seorang daripada pasangan terlalu ghairah dengan seks atau pasangannya tidak mempunyai tahap keghairahan yang sama, tetapi ia sangat penting.”

Keputusan dibuat setelah penggubal undang-undang menjelaskan lagi rangka undang-undang untuk memudahkan perceraian.

India masih mempraktikkan perkahwinan yang diatur keluarga dan perceraian jarang berlaku, tetapi kadar perceraian dilaporkan semakin meningkat di bandar besar sejak kebelakangan ini. - AFP

'via Blog this'

Beckham jual ‘istana’

myMetro | Beckham jual ‘istana’:

KELUARGA Beckham lebih senang di Los Angeles.
KELUARGA Beckham lebih senang di Los Angeles.
RUMAH agam di Hertfordshire mempunyai laman sebesar 22 ekar di beli pada 1999
RUMAH agam di Hertfordshire mempunyai laman sebesar 22 ekar di beli pada 1999
LONDON: Mereka menjadikan Los Angeles kediaman mereka sejak lima tahun lalu.
Dan kini, keluarga Beckham membuat keputusan untuk terus menetap di sana dan mahu menjual rumah mereka di Britain yang lebih dikenali sebagai Beckingham Palace.
Menurut penialaian oleh ejen hartanah, rumah agam milik David dan Victoria itu di Hertfordshire, kini berharga kira-kira 18 juta pound (RM88 juta).

Mereka juga membuat keputusan untuk menjual rumah mereka di Perancis yang berharga RM12.2 juta yang akan memutuskan pertalian mereka dengan Eropah.

Pasangan itu yang bernilai RM781 juta, sukakan rumah itu kerana ia menyimpan banyak kenangan indah, tetapi menganggap ia membazir kerana mereka jarang menetap di situ.

Dalam wawancara dengan majalah Vogue tidak lama dulu, Victoria berkata sekiranya dia ke London, dia lebih suka tinggal di Hotel Savoy kerana dia terpaksa menghabiskan masa empat jam pergi dan balik pejabat dari rumahnya.

Sumber berkata, mereka merasakan membazir membiarkan rumah indah itu dibiarkan kosong bulan demi bulan.

Beckham baru-baru ini ditawarkan bermain dengan kelab bola sepak Paris, Saint Germain tetapi kerana tidak mahu berpindah lagi, dia menolak dengan memberi alasan ‘keluarga.’

Sumber itu berkata, “Mereka tidak perlukan wang tetapi kedua-dua rumah itu tidak digunakan lagi dan dalam keadaan ekonomi sekarang, adalah tidak masuk akal untuk membazir wang begitu saja.”

“Keluarga mereka telah menjadikan LA sebagai rumah dan anak mereka pun gembira di sana.”

Pasangan itu membeli Beckingham Palace yang mempunyai laman sebesar 22 ekar pada 1999, tidak lama selepas berkahwin.

Mereka membelanjakan RM88 juta untuk mengubahsuai rumah agam itu termasuk membina antara lain kolam renang dan gimnasium.

Mereka turut membeli sebuah rumah dengan lapan bilik tidur di Perancis pada 2003 tetapi jarang meluangkan masa di rumah itu.

Keluarga Beckham berpindah ke LA pada 2003, supaya David boleh bermain untuk kelab LA Galaxy.

Mereka terus menjadikan LA sebagai rumah mereka dan anak-anak lelaki mereka, Brooklyn, Romeo dan Cruz bersekolah di sana.

Ketika di Amerika Syarikat, mereka telah dikurnia seorang anak perempuan, Harper.

David, 36, pernah berkata, dia tidak mahu berpindah kerana anak-anaknya gembira di LA. - Daily Mail

'via Blog this'

Gempa bumi bermagnitud 7.2 gegar Chile

Berita Harian Online | Gempa bumi bermagnitud 7.2 gegar Chile: "WASHINGTON: Gempa bumi kuat bermagnitud 7.2 menggegarkan ibu kota Chile, Ahad (waktu tempatan), iaitu lokasi yang diancam kejadian sama dengan ukuran 8.8 skala Ritcher pada 2010.

Jabatan Kaji Selidik Geologikal Amerika Syarikat (USGS), berkata gempa terbaru itu dikesan pada jarak 32 kilometer(km) barat laut Talca, Chile iaitu pada kedalaman 30km.
Pusat Amaran Tsunami Pasifik di Hawaii yang memantau perkembangan di Chile berkata,"Kemusnahan berpunca daripada tsunami membabitkan kawasan di Pasifik adalah sesuatu yang dijangka tidak akan berlaku". - AFP"

'via Blog this'

Ibu tanggung derita dakwa anak gadis dilari kekasih

Berita Harian Online | Ibu tanggung derita dakwa anak gadis dilari kekasih:

SITI HAJERAH menunjukkan gambar anaknya, Siti Ruzaida yang dipercayai diculik.
SITI HAJERAH menunjukkan gambar anaknya, Siti Ruzaida yang dipercayai diculik.
ALOR SETAR: Seorang ibu sebak kerana sentiasa terkenangkan anak perempuan bongsunya berusia 18 tahun yang masih belum ditemui selepas dilarikan teman lelaki dari rumah mereka di Taman Aman, Anak Bukit, di sini, Oktober tahun lalu. 

Siti Hajerah Ahmad, 52, berkata anak bongsunya, Siti Ruzaida Ishak, pernah beberapa kali menghubunginya dan menyatakan mahu pulang ke pangkuan keluarga namun dihalang teman lelaki yang dikenali sebagai Mohd Faizal Issyam Ismail, 24, atau `Boy'.
Katanya, beliau difahamkan Siti Ruzaida yang lebih mesra dengan panggilan Fatin kini dipercayai berada di Kuala Lumpur.
“Sejak kehilangan Fatin, saya sudah melakukan pelbagai usaha termasuk melaporkan kes berkenaan kepada polis namun masih gagal mengesan kedudukan Fatin. 

“Lelaki itu dipercayai memecahkan tingkap bilik rumah pada kira-kira jam 2 pagi sebelum melarikan Fatin dan kehilangannya hanya disedari tiga jam selepas itu, " katanya. 

Siti Hajerah berkata, ketika itu suaminya, Ishak Abdullah, 61, ada terdengar bunyi bising di luar rumah namun tidak menyangka sesuatu yang buruk berlaku ke atas anak bongsu daripada empat beradik itu. 

Katanya, kehilangan Fatin hanya disedari kakaknya, Siti Fairuz, 22, yang memasuki biliknya kira-kira jam 5.30 pagi hari terbabit. 
Beliau berkata, kejadian itu berlaku ketika Fatin yang sebelum itu belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Anum, Jitra dan tidak sempat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu. 

“Fatin ada menghubungi saya November tahun lalu menggunakan telefon bimbit seorang penduduk di Damansara Damai, Kuala Lumpur meminta diselamatkan. Beliau juga menangis teresak-esak dan merayu membawanya pulang ketika itu," katanya. 

Katanya, kali terakhir Fatin menghubunginya sebulan lalu menyebabkan mereka sekeluarga bimbangkan keselamatan gadis berkenaan. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, pihaknya berusaha mengesan gadis terbabit dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang daripada jagaan sah. 

'via Blog this'

Mangsa bunuh tentera AS dapat pampasan

Berita Harian Online | Mangsa bunuh tentera AS dapat pampasan:

BEBERAPA lelaki melihat kesan darah dan mayat rentung di salah sebuah rumah mangsa serangan askar Amerika di Panjwai,  selatan Kabul, pada 11 Mac lalu.
BEBERAPA lelaki melihat kesan darah dan mayat rentung di salah sebuah rumah mangsa serangan askar Amerika di Panjwai, selatan Kabul, pada 11 Mac lalu.
KANDAHAR: Keluarga mangsa pembunuhan beramai-ramai oleh anggota tentera Amerika Syarikat (AS) akan menerima pampasan, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC). 
Tentera AS membayar ganti rugi sebanyak AS$50,000 (RM150,000) bagi setiap mangsa yang terbunuh dan AS$11,000 (RM33,000) bagi setiap seorang yang cedera. 
BBC melaporkan, keluarga mangsa menghadiri pertemuan sulit dengan pegawai tentera AS dan Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF) diketuai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di pejabat gabenor Kandahar untuk membincangkan mengenai perkara itu. Anggota majlis daerah Kandahar, Agha Lalai, berkata wang itu dipercayai diperoleh daripada Presiden Barack Obama tetapi pegawai AS enggan memberikan sebarang reaksi.

Keluarga mangsa diberitahu sebahagian saksi sudah dibawa ke AS untuk memberikan keterangan manakala yang lain akan mengambil bahagian menerusi video apabila Staf Sarjan Robert Bales dibicarakan berhubung tragedi di daerah Panjwai pada malam 11 Mac lalu. 

Jumaat lalu, tentera AS berkata, Bales akan didakwa dengan 17 tuduhan secara rasmi melakukan pembunuhan terancang membabitkan sembilan kanak-kanak dan lapan orang dewasa Afghanistan. 

Bales, 38, juga didakwa dengan enam tuduhan cubaan membunuh seorang lelaki, seorang wanita dan empat kanak-kanak.
Dia kini ditahan dipenjara tentera di Fort Leavenworth, Kansas, selepas dibawa keluar dari Afghanistan minggu lalu. 

Peguam Bales, John Henry Browne yang tidak mempedulikan laporan bahawa anak guamnya mabuk pada malam pembunuhan, berkata Bales tidak ingat mengenai kejadian itu. 

John Henry Browne berkata, tiada bukti forensik terhadap Bales dan tidak pengakuan dibuat. 

Bales ialah satu-satunya suspek dalam pembunuhan berkenaan di sebalik dakwaan Afghanistan lebih daripada seorang tentera AS terbabit dalam kejadian itu. 

Perbicaraannya mungkin mengambil masa bertahun-tahun, bertentangan dengan tuntutan Afghanistan yang mahukan keadilan pantas dan tegas, dan dia berdepan hukuman mati jika disabitkan. 

Kes terbabit mengeruhkan lagi hubungan Kabul dan Washington manakala Taliban menarik diri daripada rundingan damai berikutan kejadian itu. – Agensi/AP 

'via Blog this'

Tentera Syria guna perisai manusia

Berita Harian Online | Tentera Syria guna perisai manusia:




2012/03/26

BEIRUT: Pergerakan Human Rights Watch (HRW) semalam berkata rejim tentera di Syria menggunakan penduduk awam sebagai perisai manusia untuk melindungi diri daripada diserang pemberontak. 

Memetik kenyataan saksi dan video YouTube, ia menuduh tentera dan militan Shabiha pro-rejim memaksa rakyat berarak di depan mereka ketika memasuki bandar yang dikawal pembangkang di Idlib.
“Dengan menggunakan penduduk awam sebagai perisai manusia, tentera Syria menunjukkan secara terang-terangan tidak mempedulikan keselamatan mereka.
“Tentera Syria perlu menghentikan perbuatan hina ini dengan segera,” kata penyelidik kecemasan HRW, Ole Solvang, dalam satu kenyataan. 

Dalam kenyataan, kumpulan hak asasi manusia yang beribu pejabat di New York itu berkata rejim tentera mula menggunakan perisai manusia di Idlib pada awal tahun selepas pemberontak cuba menyerang tentera. 

Taktik itu dilaporkan digunakan di bandar Al-Janudyah, Kafr Nabl, Kafr Ruma dan Ayn Laruz di Idlib. 

Di Kafr Nabl, seorang penduduk dikenali sebagai Abdullah berkata tentera memaksa dia dan beberapa penduduk lagi berjalan di depan kereta perisai ketika operasi memburu dan menangkap 2 Mac lalu. 
“Kami hendak pergi solat Jumaat apabila tentera dari pangkalan berhampiran masjid mengepung kami. Mereka menahan 25 orang termasuk saya dan lapan kanak-kanak. 

“Mereka memaksa kami berarak di depan dan di keliling kenderaan tentera ke beberapa rumah untuk menggeledah mencari aktivis pembangkang yang dikehendaki. 

“Mereka menahan beberapa orang. Kemudian mereka memaksa kami berarak kembali ke pangkalan, sebelum membebaskan melepaskan kami selain aktivis yang ditahan. Seluruh operasi berterusan kira-kira dua jam,” Abdullah dipetik sebagai berkata oleh HRW. 

Aktivis pembangkan di Kafr Nabl, Raed Fares, berkata tentera meningkatkan kehadiran mereka di bandar apabila bantahan bermula tujuh bulan lalu dan mula menggunakan perisai manusia Januari lalu selepas cubaan menyerang mereka dengan bom tepi jalan. – AFP
'via Blog this'

Anggota bomba kes samun kafe siber dicari

Kosmo! Online - Negara:




ALOR SETAR – Polis kini sedang mengesan seorang anggota bomba dan penyelamat bagi membantu siasatan berhubung kes samun sebuah kafe siber di Taman Ampang pada 13 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd. Jan berkata, Mohd. Suphian Ali, (gambar) 36, dengan kad pengenalan 760502-11-5003 masih bebas selepas disyaki menyamun sebuah kafe siber di sini bersama dua rakannya.
Menurut beliau, dalam kejadian samun pada pukul 2.55 pagi itu, suspek bersama dua lelaki dipercayai cuba menyamun pemilik kafe siber namun gagal selepas seorang daripada dua rakannya itu berjaya ditangkap ketika bergelut dengan mangsa.
“Salah seorang daripada tiga suspek membawa parang lalu mengacukannya ke arah pemilik kafe siber itu untuk meminta wang manakala dua lagi suspek memerhatikan keadaan sekeliling.
“Semaa itu berlaku pergelutan antara mangsa dengan seorang suspek dan mangsa berjaya menahan suspek terbabit manakala dua rakannya melarikan diri,” kata beliau pada sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Hari Polis ke-205 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar di sini semalam

'via Blog this'

Tolong pulangkan Ruzaida

Kosmo! Online - Negara:




Hajerah menunjukkan gambar anaknya, Ruzaida yang hilang sejak tahun lalu di Anak Bukit, Alor Setar semalam.



ALOR SETAR – Sebuah keluarga dari Anak Bukit di sini dirundung kesedihan ekoran kehilangan anak gadis mereka dipercayai dilarikan kekasihnya sejak 8 Oktober 2011.
Siti Ruzaida Ishak, anak bongsu daripada empat beradik itu keluar dari rumah melalui tingkap di biliknya pada pukul 2 pagi dengan membawa sebuah beg pakaian kerana dipercayai mengikut kekasihnya yang dikenali sebagai Boy.
Ibu mangsa, Siti Hajerah Ahmad, 52, memberitahu, Boy atau nama sebenarnya, Mohd. Faizal Issyam Ismail, 24, disyaki memecah mangga tingkap bilik anaknya sebelum membawa anaknya lari.
Katanya, pada waktu itu, suaminya, Ishak Abdullah, 61, terdengar bunyi bising di luar rumah namun terlalu mengantuk untuk bangun melihat apa yang berlaku.
“Saya pula tidak sedar kerana tidur dengan nyenyak. Kehilangan Ruzaida hanya disedari pada pukul 5.30 pagi pada hari kejadian,” kata Hajerah di sini semalam.

'via Blog this'

Gelanggang sabung ayam di Colombia

Kosmo! Online - Dunia:



KANAN: Sejumlah orang menonton satu pertandingan sabung ayam di sebuah gelanggang khas di Cali kelmarin.


CALI, Colombia - Sejumlah orang menyaksikan pertandingan sabung ayam di sebuah gelanggang khas di sini kelmarin.
Gelanggang itu mempunyai kemudahan tempat duduk untuk para penonton.
Walaupun bilangan penonton semakin berkurangan, pertandingan tersebut masih diadakan di beberapa wilayah di negara ini.
Pada satu kaki ayam tersebut, taji dilekatkan bagi membolehkan ia mencederakan lawan haiwan tersebut. - Agensi

'via Blog this'

Kereta tergantung jadi daya tarikan

Kosmo! Online - Dunia:



SEORANG pekerja, Maik Dannewitzsch berdiri di dalam kereta yang digantung dengan menggunakan kabel di sebuah taman di Moritzburg pada Selasa lalu.


MORITZBURG, Jerman - Sebuah kereta kecil digantung dengan menggunakan kabel di sebuah taman di sini.
Kereta itu digunakan dalam kursus memanjat di dalam hutan. Kursus itu ditawarkan kepada orang ramai di taman tersebut.
Dalam kursus itu, kereta Trabant itu menjadi pilihan untuk digantung kerana badan kenderaan tersebut diperbuat daripada plastik.
Kereta itu akan menjadi daya tarikan terbaharu di taman tersebut. - Agensi

'via Blog this'

Penganjur ratu cantik batal penyertaan lelaki tukar jantina

Kosmo! Online - Dunia:


JENNA TALACKOVA (kanan) menyertai pertandingan Ratu Cantik Transeksual di Bangkok pada 2010.


VANCOUVER - Pihak penganjur membatalkan penyertaan seorang lelaki, Jenna Talackova yang telah menjalani pembedahan pertukaran jantina untuk menjadi wanita pada pertandingan Miss Universe Kanada, lapor beberapa buah akhbar kelmarin.
Menurut akhbar dalam talian, Winnipeg Free Press, pihak penganjur mengesahkan pada Jumaat lalu bahawa Talackova, 23, tidak layak menjadi peserta.
Penyertaannya dibatalkan selepas pengarah pertandingan itu, Denis Davila mengesyaki Talackova bukan seorang wanita tulen.
Davila mendakwa, Talackova pernah melakukan pembedahan pertukaran jantina menyebabkan satu perbalahan berlaku antara mereka.
Semasa perbalahan itu, Talackova akhirnya mengaku dia dilahirkan sebagai seorang lelaki.
Dia sebelum ini merupakan antara 65 peserta yang akan bertanding pada pertandingan Ratu Cantik Universe Kanada di Toronto pada Mei depan.
Pemenang pertandingan itu bakal mewakili negara ini pada pertandingan peringkat dunia.
Menurut akhbar The Vancouver Province, dia perlu berbincang dengan peguamnya sebelum membuat keputusan untuk diwawancara selepas penyertaannya dibatalkan.
Namun, Talackova membuat kenyataan di laman Twitter dengan menyatakan dia tidak akan berputus asa selepas digugurkan daripada menjadi peserta.
"Saya tidak akan membiarkan pihak penganjur menggugurkan saya disebabkan (amalan) diskriminasi," katanya.
Dia menjalani pembedahan untuk menukar jantina semasa berumur 19 tahun.
Talackova pernah bertanding pada Ratu Cantik Transeksual di Bangkok pada 2010. - Agensi

'via Blog this'

Kelawar berusia 100 tahun dipamer

Kosmo! Online - Dunia:



SEORANG kakitangan memegang seekor kelawar buah berusia 100 tahun yang telah diawet di Akademi Sains Semula Jadi di Philadelphia pada Jumaat lalu. - AP


PHILADELPHIA - Seekor kelawar buah dari India yang berusia 100 tahun yang telah diawet dipamerkan di Akademi Sains Semula Jadi di sini.
Kelawar itu merupakan antara haiwan yang dipamerkan sempena sambutan ulang tahun yang ke-200 akademi tersebut.
Haiwan tersebut juga merupakan antara 18 juta spesimen yang disimpan di akademi itu. - AP

'via Blog this'

Robert panjat bangunan di Jakarta

Kosmo! Online - Dunia:



SALAH satu aksi Robert.


JAKARTA - Warga Perancis yang diberi nama jolokan, Spiderman, Alain Robert berjaya memanjat sebuah bangunan 50 tingkat setinggi 215 meter di sini semalam.
Bagaimanapun, Robert, 49, menggunakan tali dan abah-abah semasa dia memanjat bangunan Menara Bakrie itu.
Sebelum ini, dia terkenal kerana memanjat sejumlah bangunan tinggi tanpa menggunakan tali dan kelengkapan keselamatan.
Menurut portal berita tempo.co, dia mula memanjat pada pukul 10.25 pagi dan berjaya tiba di atas bangunan tersebut pada sekitar pukul 12 tengah hari.
Dia memanjat bangunan tersebut selepas diundang oleh pihak pengurusan syarikat televisyen swasta,antv.
Portal berita Gatra melaporkan, Presiden antv, Dudi Hendrakusuma, pihak berkuasa tidak akan membenarkan Robert memanjat jika dia tidak memakai peralatan keselamatan.
Beliau berkata, pihak polis memberlikan kelulusan untuk memanjat tiga hari lalu.
Robert diundang memanjat bangunan itu sempena ulang tahun ke-19 antv.
Antara bangunan yang pernah dipanjatnya ialah Yayasan Sabah, Kota Kinabalu di Sabah; Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur; Hotel Vermont di Rio de Janeiro, Brazil dan Menara Wilis, Chicago di Amerika Syarikat. - Agensi

'via Blog this'

Keluarga sindrom 'serigala' dirawat

Kosmo! Online - Dunia:



BUDHATHOKI (dua dari kiri) bersama anak-anaknya, Mandira (kiri), Niraj (dua dari kanan) dan Manjura di Hospital Model Kathmandu di Nepal semalam. - AFP


KATHMANDU - Sebuah keluarga yang menghidap sejenis penyakit genetik yang menyebabkan muka mereka ditumbuhi rambut tiba di sini semalam untuk menjalani rawatan.
Devi Budhathoki, 37, dua anak perempuannya yang berumur 13 tahun dan lima tahun serta seorang anak lelakinya berusia 12 tahun menanggung malu kerana penyakit tersebut.
Penyakit tersebut dikenali sebagai hypertrichosis yang menyebabkan rambut tumbuh antara mata dan dahi mereka.
Rambut yang banyak pada muka itu menyebabkan mereka kelihatan seperti serigala.
"Anak-anak saya telah berbincang mengenai kehidupan baharu sejak kami menerima maklum balas daripada sebuah hospital yang akan merawat kami," kata Budhathoki.
Dia merupakan seorang petani dari sebuah kampung terpencil, Khare dekat sempadan Tibet.
Pihak pengurusan Hospital Model Kathmandu bersetuju untuk merawat mereka.
"Prosedur yang terbaik untuk mereka mungkin merupakan rawatan laser untuk membuang rambut," kata Dr. Shankar Man Rai yang memantau rawatan keluarga tersebut.
Penyakit itu juga dikenali sebagai sindrom serigala dan sejak beberapa abad lalu, penghidapnya menjadi bahan tontonan pada pameran aneh dan sarkas.
Menurut Budhathoki, anak lelakinya berasa bosan dengan sindiran daripada rakan-rakannya.
"Dia (anak lelakinya) telah memberitahu rakan-rakannya bahawa dia akan kembali dengan muka baharu," katanya.
Budhathoki menyatakan, anak-anaknya tidak mahu pergi ke sekolah kerana keadaan mereka itu.
Dia dan suaminya, Nara juga mempunyai seorang anak lelaki berusia tujuh tahun dan seorang anak perempuan berumur 17 tahun.
Namun, kedua-duanya tidak menghidap penyakit tersebut. - Agensi

'via Blog this'

Kapal hanyut dari Jepun ke pantai barat Kanada

Kosmo! Online - Dunia:


GAMBAR Jabatan Pertahanan Kebangsaan Kanada menunjukkan kapal nelayan Jepun berada di luar pantai barat Kanada pada 20 Mac lalu.


WASHINGTON - Sebuah kapal pukat tunda Jepun tanpa kru yang dihanyutkan tsunami setahun lalu kini menghampiri pantai barat Kanada.
Menurut laporan stesen televisyen CNN dan akhbar Vancouver Sun, kapal itu dilihat terapung kira-kira 224 kilometer (km) dari pantai British Columbia.
Menurut CNN, kapal yang dilengkapi peralatan menangkap sotong itu ditemui semasa sebuah pesawat tentera Kanada melakukan rondaan.
Juruterbang pesawat itu kemudian menghantar nombor pendaftaran pada badan kapal itu kepada Pengawal Pantai Jepun.
Sebelum ini, kapal tersebut berlabuh di bandar Hachinohe, wilayah Aomori semasa bencana tsunami melanda pantai timur Jepun pada 11 Mac tahun lalu.
"Kapal itu kelihatan berada dalam keadaan baik dan ia mempunyai jalur karat kerana terbiar selama setahun," kata seorang penyelaras maritim di sebuah pusat penyelamat di Victoria, British Columbia, Marc Proulx kepada CNN.
Sementara itu, beberapa pegawai Kanada bimbang jika kapal itu boleh menghalang pelayaran kapal lain.
- Agensi

'via Blog this'