Pages

Tuesday, March 13, 2012

Memahami pergolakan di Syria

Memahami pergolakan di Syria - Rencana - Sinar Harian:
Bandar Idlib kini menjadi sasaran terbaru keganasan di Syria
Syria terus bermandi darah dan keadaan konflik meruncing di negara itu terus mendapat perhatian negara antarabangsa. Pelbagai langkah telah diambil oleh negara dan pertubuhan antarabangsa untuk meredakan ketegangan yang semakin memuncak di negara tersebut tetapi usaha mereka telah ditolak bulat-bulat oleh Presiden Bashar al-Assad. Berikut adalah soal jawab mengenai pergolakan yang berlaku hampir setahun di Syria.

1. Berapa jumlah mangsa terkorban di Syria?

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan lebih 7,500 orang terbunuh sejak bermulanya revolusi anti-Assad pada Mac lalu.

Angka sebenar kematian sukar diperoleh kerana jumlah diberikan oleh pelbagai sumber adalah berbeza.

Namun, dua kumpulan aktivis utama, Pusat Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria berpusat di Britain dan Jawatankuasa Penyelarasan Tempatan meletakkan angka korban sebenar lebih daripada 8,000 orang.

2. Siapakah pemberontak di negara itu?

Kumpulan pemberontak di Syria tidak disusun dengan teratur, ia terdiri daripada Angkatan Tentera Bebas Syria (FSA) dan kumpulan berbeza yang bersatu hanya untuk mencapai matlamat menggulingkan pemerintahan rejim Assad.

Ia turut disertai puluhan ribu penduduk yang tidak pernah putus asa mengadakan protes di seluruh negara anjuran kumpulan aktivis di negara itu.

Gerakan anti-Assad tersebut pada mulanya berlangsung dengan aman tetapi akhirnya bertukar ganas selepas pasukan tentera bertindak menggunakan kekerasan.


3. Mengapa mereka menentang rejim Assad?

Kebangkitan rakyat itu tidak hanya menentang pemerintahan Assad tetapi dinastinya.

Bapa beliau, Hafez Assad turut terkenal kerana kekejamannya terhadap pemberontakan politik.

Pada 1982, bapa Assad telah menindas pemberontakan dilancarkan oleh Ikhwanul Muslimin di bandar Hama sehingga menyebabkan kira-kira 20,000 orang terkorban.

Apabila bapanya meninggal dunia pada 2000, pelantikan Assad sebagai pemimpin yang sederhana berbanding pemerintahan kuku besi sebelum itu telah disambut baik, tetapi tidak lama kemudian pembaharuan awal tersebut bertukar menjadi cengkaman kuasa diktator.

Apabila protes bermula awal tahun lalu, kumpulan pembangkang hanya menuntut pembaharuan dalam kerajaan dan bukan pengunduran Assad.

Tetapi, selepas rejimnya melancarkan tindakan kekerasan, mereka mula mengadakn protes untuk menggulingkan presiden tersebut.

Bagaimanapun, Assad berjaya mengekalkan sokongan agak besar, puak Alawite telah menjadi penyokong terkuat beliau manakala puak Sunni berperanan sebagai tulang belakang revolusi itu dan hanya segelintir daripada mereka (golongan sekular dan atasan) menyokong kerajaan kerana khuatir akan berlaku huru-hara dan kebangkitan kumpulan pelampau di negara tersebut.

4. Bagaimana konflik itu bermula?

Selepas revolusi kebangkitan rakyat berjaya menggulingkan kerajaan Tunisia dan Mesir, protes pertama bermula di bandar selatan, Daraa pada pertengahan Mac lalu berikutan penahanan sekumpulan kanak-kanak sekolah yang terlibat melukis grafiti antikerajaan.

Tunjuk perasaan itu akhirnya merebak ke beberapa bahagian lain di Syria selepas pasukan keselamatan rejim Assad mula bertindak ganas dan melepaskan tembakan rambang ke arah kumpulan penunjuk perasaan.

Keganasan semakin meningkat selepas pembangkang melancarkan serangan balas di kawasan kejiranan penduduk.

Tentera rejim Assad dan FSA sering bertempur sehingga menyebabkan angka korban meningkat dari hari ke hari.

Homs telah menjadi satu daripada lokasi utama kebangkitan rakyat yang kebanyakannya adalah puak Sunni di kawasan kejiranan Baba Amr.

5. Apakah tindakan negara antarabangsa untuk menghentikan keganasan tersebut?

Usaha negara antarabangsa untuk menamatkan konflik di Syria seakan tidak berhasil.

Tindakan Liga Arab menghantar kumpulan pemerhati mereka ke negara tersebut pada November lalu juga dlihat sebagai gagal kerana kerajaan Assad masih enggan mematuhi pelan damai yang dicadangkan organisasi antarabangsa itu.

Cadangan Resolusi Majlis Keselamatan PBB juga tidak dapat dilaksanakan kerana mendapat bantahan dari Rusia dan China.

Arab Saudi dan Qatar bercadang untuk memberi bantuan ketenteraan tetapi Amerika Syarikat dan negara lain tidak menyokong cadangan membekalkan senjata kepada pemberontak kerana khuatir ia akan menyebabkan pertumpahan darah menjadi lebih buruk.

Ini kerana Syria dikelilingi satu jaringan kompleks kesetiaan dengan kumpulan Hezbollah dan Iran di rantau tersebut.

Selepas pelbagai usaha menemui jalan buntu, Liga Arab memutuskan untuk menghantar bekas Setiausaha Agung PBB, Kofi Annan untuk mengadakan rundingan bersama Assad.

Semasa rundingan pertama, presiden itu menolak untuk mengadakan sebarang dialog politik kerana mendakwa ‘kumpulan pengganas bersenjata’ masih bermaharajalela di negara tersebut.

Matlamat Annan adalah cuba mengatur satu gencatan senjata dan mendapatkan laluan untuk agensi bantuan kemanusiaan bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Syria yang sedang bergolak.

Beliau turut mengadakan pertemuan bersama beberapa pemimpin kumpulan pembangkang termasuk ketua Badan Penyelarasan Pembangkang, Hassan Abdulazim.

Dalam satu kenyataan, Abdulazim menegaskan sebarang usaha untuk menyelesaikan krisis di Syria sepatutnya dilakukan selepas tahanan dibebaskan dan keganasan berakhir.

Bagaimanapun, misi selama dua hari ke Damsyik itu didakwa gagal memeterai sebarang perjanjian untuk menghentikan pembunuhan ke atas orang awam terutamanya wanita serta kanak-kanak di negara itu.

Sebaliknya angka korban terus meningkat sehingga memaksa ratusan penduduk melarikan diri ke Turki sejak Sabtu lalu.

'via Blog this'

Dakwaan komplot ketua kongsi gelap, Musa mahu saman

Dakwaan komplot ketua kongsi gelap, Musa mahu saman - Nasional - Sinar Harian:
Tan Sri Musa Hassan
SHAH ALAM - Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya mendapati laporan terkini kes membabitkan beliau dan ketua kongsi gelap Johor, Goh Cheng Poh lima tahun lalu dimanipulasikan.

Menurutnya, kes itu telah lama selesai malah beliau­ bersama Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail termasuk Ketua Jabatan Sia­satan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Ramli Yusuff disiasat dan dibebaskan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang kini dikenali sebagai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Isu ini sudah selesai dan kami ‘bersih’. Mengapa pula sekarang ada yang mahu timbulkan cerita ini lagi?

“Kita akan kaji laporan itu, jika ada maklumat ditulis tidak betul, baru diambil tindakan undang-undang,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut portal berita Malaysiakini, mereka kini memiliki dokumen yang mendedahkan bagaimana maklumat dibekalkan pemberi maklumat sehingga membawa penangkapan Goh Cheng Poh atau dikenali Tengku Goh pada 2007.
Kejadian bermula apabila Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Seri Johari Baharum mengarahkan Ramli menyiasat Tengku Goh.

Ramli kemudian mengarahkan enam pegawainya untuk menyiasat dan ketika menjalankan tugas, mereka mendapati Musa terbabit dalam kes berkenaan.

Menurut portal itu, enam pegawai polis itu kemudiannya dijadikan mangsa­ dan didakwa memalsukan bukti terhadap Tengku Goh yang didakwa terlibat perjudian dan pengubahan wang haram. Bagaimanapun, mereka dibebaskan pertengahan tahun lalu.

'via Blog this'

Bapa mental gigit kemaluan anak

Bapa mental gigit kemaluan anak - Global - Sinar Harian: "BEIJING - Seorang kanak-kanak lelaki berumur enam tahun terpaksa dimasukkan ke hospital selepas alat kemaluannya putus kerana digigit bapanya yang didakwa mengalami masalah mental, kelmarin.

Laporan akhbar tempatan menyebut, doktor yang merawat mangsa berjaya menyambung alat kemaluannya, namun terlalu awal untuk mengetahui sama ada ia mampu berfungsi seperti biasa.

Difahamkan, suspek pernah dilihat berpura-pura mencekik anaknya di balkoni rumah mereka."

'via Blog this'

Israel berterusan lancar serangan di Gaza

Israel berterusan lancar serangan di Gaza - Global - Sinar Harian:
Kanak-kanak yang cedera dalam serangan Israel ini dirawat di hospital, semalam.
BANDAR GAZA - Israel berterusan melancarkan serangan udara pada hari keempat, semalam menyasarkan pangkalan kumpulan militan, Jihad Islam di Genting Gaza dalam pertempuran yang semakin meningkat dan seakan mencabar usaha antarabangsa untuk mengenakan gencatan senjata ke atas mereka.

Pertempuran sejak Jumaat lalu telah mengorbankan 20 nyawa termasuk 18 militan.

Rejim Zionis mendakwa mereka membedil pusat simpanan senjata milik kumpulan Jihad Islam dan turut menyebabkan dua terbunuh di lokasi berbeza serta tiga lagi dilaporkan cedera.

Pegawai kesihatan Gaza, Adham Abu Salmia berkata, puluhan penduduk di Bandar Gaza termasuk beberapa kanak-kanak juga cedera dalam serangan itu.

Dalam satu kenyataan, jurucakap polis Israel, Micky Rosenfeld berkata, serangan balas tersebut dilancarkan kononnya selepas Gaza membedil 11 roket ke selatan Israel pada awal pagi semalam.

'via Blog this'

5 beranak diserang api misteri

5 beranak diserang api misteri - Kelantan - Sinar Harian:
5 beranak diserang api misteri
KOTA BHARU- Lima beranak kini terlalu penat untuk memadam api misteri apabila sekali lagi selepas lebih setahun reda, kebakaran ajaib itu berlaku semula di rumahnya di Kampung Bunga Emas, Penambang, di sini.
Lebih buntu keluarga berkenaan terpaksa bersengkang mata tidak lelap tidur dan bergilir-gilir berjaga hampir empat hari sejak diserang api tersebut kerana bimbang keselamatan diri.
Kira-kira jam 1.40 petang semalam wartawan Sinar Harian berpeluang menyaksikan sendiri api misteri tersebut membakar tudung hijau pemilik rumah tersebut, Zainab Sulaiman, 75,di dalam sebuah bilik selepas disedari cucunya Wan Norfatini Wan Hanafi, 12, setelah terhidu bau asap.
Lali dengan kejadian tersebut, Zainab kini tidak panik, malah dengan tenang mengambil kain basah memadam api terbabit sambil berselawat sebelum ianya menjadi lebih besar.
Sejak kemunculan api terbabit terdapat penduduk kampung dan sanak saudara yang masuk ke dalam rumah untuk melihat secara lebih dekat kebakaran itu pengsan malah ada menangis dengan sendirinya.
Zainab yang tinggal di rumah berkenaan sejak 34 tahun lalu berkata, kemunculan api tersebut disedari cucunya, pada Jumaat lalu kira-kira jam 4.30 petang ketika bersedia untuk menunaikan solat Asar.
“Sebelum ini kami sudah lega kerana lebih setahun kejadian ini tidak berlaku namun, Jumaat lalu saya terkejut apabila api terbabit muncul semula dan membakar almari di ruang tamu rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.
Tidak terhenti di situ sahaja pada hari berikutnya kira-kira 15 kali kebakaran kecil berlaku dan lebih mengejutkan keluarga Zainab apabila api terbabit muncul semula sebanyak 33 kali dua hari lalu seawal jam 7.45 pagi lagi menyebabkan penduduk terpaksa menghubungi bomba sebelum mengawalnya.
Api yang muncul di rumah berkenaan tersebut juga turut membakar beberapa helai baju, songket, tilam, wayar elektrik, perkakas perkahwinan untuk disewa dan kerusi bayi.
Selain itu, terdapat kejadian aneh lain berlaku iaitu beras dicampurkan dengan pewarna kemerahan dan hari ini (semalam) kira-kira jam 1.15 petang jubah kesayangan Zainab dibelinya bulan lalu turut disambar api.
“Sekarang ini, kami sudah buntu walaupun api tersebut dipadamkan ia akan terbakar di tempat lain. Apa-apa pun saya reda dengan ujian ALLAH SWT dan saya tidak putus-putus berdoa supaya kami sekeluarga dilindungi. Bukan kami tidak berikhtiar, pada kejadian pertama kali lalu ada ustaz yang datang membantu dan sembahyang hajat beramai-ramai oleh penduduk kampung termasuk usaha pihak bomba mengajar cara mengawal kebakaran tetapi kali ini ia menghantui kami lagi,” katanya.
Kemunculan api terbabit turut menyebabkan tangan Zainab dan menantunya, Rafeah Zakaria, 39 melecur serta terpaksa makan dalam suasana gelap pada sebelah malam disebabkan wayar elektrik hangus.
Pada penghujung Disember 2010, Sinar Harian melaporkan kejadian seumpama itu berlaku di rumah tersebut sehingga mendapat perhatian pelbagai pihak untuk mengawal api terbabit daripada terus mengganggu keluarga itu.
Ketika kejadian pertama kali di rumah terbabit Zainab memaklumkan wang RM2,000 hilang daripada simpanan, beras dimasukkan pewarna merah dan budu manakala pakaian digunting.

'via Blog this'

Pusat tuisyen ‘hidup’ kerana guru tidak berkualiti?

Pusat tuisyen ‘hidup’ kerana guru tidak berkualiti? - Semasa - Sinar Harian:SHAH ALAM – Cuba luangkan masa melihat barisan kedai berhampiran tempat tinggal anda.

Kedai runcit, kedai gambar, pusat tuisyen, kedai fotostat, restoran, dan... pusat tuisyen lagi?

Cuba bertanya pula kepada orang sekeliling yang mempunyai anak bersekolah, adakah anak mereka ke tuisyen?

Pasti sembilan daripada 10 orang akan menjawab ya.

Mengapa fenomena ini berlaku?

Adakah kerana sistem pembelajaran di sekolah tidak berkesan, sehingga ibu bapa perlu menghabiskan ratusan ringgit bagi seorang anak untuk menghadiri kelas tambahan?

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa untuk Pendidikan Malaysia (Page), Datin Noor Azimah Abdul Rahim bersetuju dengan pendapat ini.

“Pembelajaran diterima di sekolah tidak mencukupi, jadi ibu bapa terpaksa menghantar anak-anak ke tuisyen,” katanya.

Penulis bertanya lagi, adakah guru kita tidak berkualiti?

“Kita tidak boleh menyalahkan guru kerana latihan diberikan menentukan kebolehan mereka untuk mengajar.

“Guru patut memberi yang terbaik semasa me­ngajar, tetapi kini, kualiti guru menurun, mungkin kerana latihan diberikan tidak mencukupi,” katanya semasa pertemuan dengan Sinar Harian berhubung isu lambakan pusat tuisyen di negara ini.

Menurutnya, selain memperbaiki latihan guru, kerajaan juga perlu mengurangkan jumlah pelajar di dalam sebuah kelas dan menambah perbelanjaan pendidikan.

Noor Azimah berkata, lebih memburukkan keadaan adalah sikap menjadikan kerjaya guru sebagai pilihan ter­akhir jika tidak mendapat kerja lain.

“Ibu bapa yang menyedari hal ini enggan mengambil risiko dan memperjudikan pendidikan anak mereka, sebab itu mereka menghantar anak ke kelas tuisyen,” katanya.

Penulis kemudian menyoal lagi, apa punca guru di sekolah tidak dapat menyampaikan pelajaran dengan baik?

“Memang sukar untuk cikgu memberi perhatian kepada setiap murid kerana kelas yang besar, selain masa pembelajaran singkat, jadi mereka terpaksa mencadangkan supaya pelajar ke pusat tuisyen,” jawabnya.

Menurutnya, lambakan pusat tuisyen ini juga berlaku kerana kemahuan pelajar sendiri yang tidak berpeluang berinteraksi secara dekat de­ngan guru di dalam kelas.

Selain itu, kos pengajian yang tinggi di peringkat universiti juga menyumbang kepada kewujudan banyak pusat tuisyen.

“Ramai ibu bapa berharap anak mereka mendapat biasiswa untuk ke universiti, sama ada di dalam atau luar negara jadi tuisyen menjadi seperti pelaburan jangka panjang,” katanya.

Namun, Noor Azimah mengakui, fenomena tuisyen ini ada baik dan buruknya.

“Di pusat tuisyen, anak-anak disuap dengan pelbagai maklumat. Ini menyebabkan mereka tidak tahu mencari maklumat dan hanya bergantung kepada orang lain. Selain itu, kita juga tidak tahu kualiti sesebuah pusat tui­syen,” katanya.

Beliau juga berpendapat peranan kelas tuisyen telah dicabuli, sehingga pelajar kini mengambil semua subjek, berbanding dahulu, iaitu pelajar hanya mengambil kelas tambahan untuk subjek yang mereka lemah sahaja.

Menyuarakan harapan­nya untuk sistem pendidikan negara, Noor Azimah berkata, ibu bapa mahukan perancangan masa panjang yang mapan dan berkesan.

“Antara masalah utama dalam sistem pendidikan adalah perubahan dasar setiap kali berlaku perubahan tampuk pimpinan. Apabila menteri lain dilantik, dasar sebelum ini dilupakan dan akhirnya, anak-anak menjadi mangsa,” katanya.
'via Blog this'

Polis sahkan mayat rentung adalah Dirang

Polis sahkan mayat rentung adalah Dirang - Semasa - Sinar Harian:
Nurul Nadirah Abdullah
SENAI - Polis mengesahkan penemuan serpihan rangka manusia yang rentung di Ladang Kelapa Sawit Nusa Damai, Masai, 8 Mac lalu, adalah milik Nurul Nadirah atau panggilan manjanya, Dirang, yang hilang sejak 1 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Roslan Zainuddin berkata, pengesahan itu dibuat selepas pihaknya menerima hasil keputusan ujian DNA ke atas serpihan rangka manusia yang ditemui dan sampel ibu Dirang, Roselyn Alan, 25, hari ini.
"Berdasarkan pemeriksaan dijalankan di tempat kejadian, kami menemui serpihan tulang dan berjaya mendapatkan sampel DNA yang kemudiannya dihantar ke makmal dan sepadan dengan DNA ibunya," katanya kepada pemberita di sini hari ini," katanya lagi.
Laporan Bernama memetik Roslan berkata, walaupun siasatan awal mendapati mayat rentung itu milik manusia dewasa, namun hasil ujian DNA yang dikeluarkan itu mendapati ia adalah milik Dirang yang dilaporkan hilang sejak 1 Mac.
Katanya, faktor keadaan mayat yang rentung teruk juga menyebabkan pengecaman sukar dilakukan oleh pihaknya.
Perkembangan terbaru itu sekaligus menamatkan misteri kehilangan Nurul Nadhirah yang sebelum ini dilaporkan hilang ketika keluar membeli mi segera dan telur kira-kira pukul 11 pagi, di kedai runcit di kawasan rumahnya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam.
Berikutan itu satu pasukan siasatan khas telah ditubuhkan dengan diketuai oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Datuk Amer Awal dan dibantu pasukan dari Bukit Aman bagi menyelesaikan kes itu.
Kes itu turut mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk pihak swasta dan orang perseorang yang turut sama membantu mencari dengan mengedarkan poster mengenai kehilangan mangsa.
Hasil siasatan sebelum ini, katanya polis telah menahan empat suspek termasuk bapa kandung mangsa dan jirannya bagi membantu siasatan berhubung kehilangan kanak-kanak itu.
Roslan berkata, berikutan hasil ujian itu, polis kini menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh berbanding sebelum ini yang disiasat atas aduan orang hilang.    
Menurutnya, tempoh tahanan reman keempat-empat suspek akan dilanjutkan bagi membantu siasatan.

'via Blog this'

Ibu Nurin Jazlin sedih nasib Dirang

Ibu Nurin Jazlin sedih nasib Dirang - Semasa - Sinar Harian:
pusara Nurin Jazlin
SHAH ALAM - "Ya ALLAH... mengapa ini perlu berulang lagi? "Bulu roma saya meremang selepas mengetahui nasib Dirang. Air mata saya mengalir laju membasah pipi. Saya seperti nampak Nurin Jazlin Jazimin. Seperti sama-sama menangis mendengar bencana yang menimpa Dirang pula.

"Di hadapan mata, saya seperti sedang ditayangkan peristiwa menimpa anak saya lebih empat tahun lalu." Itulah yang diluahkan Norazian Bistaman, 40, ibu Nurin Jazlin, kanak-kanak yang dibunuh kejam pada September 2007 lalu.

Norazian tidak dapat mengawal sebak selepas mendengar berita Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang, 5, dipercayai dibunuh kejam sebelum mayatnya dibakar di sebuah ladang kelapa sawit di Nusai Damai, pasir Gudang Johor.

"Apa yang berlaku pada Dirang hampir sama seperti malang yang menimpa puteri kedua saya, Nurin Jazlin.

"Pencarian Dirang yang berakhir dengan berita perit ini sama dengan yang pernah kami lalui. Pedih dan perit yang dirasai Lima Medeng dan Roselyn Alan tidak ubah dengan apa yang saya dan suami pernah rasa.

"Kepada keluarga Dirang, bersabarlah... ini semua adalah dugaan. Apalah yang mampu kita lakukan selain berharap si durjana di luar sana itu segera mendapat balasan," katanya lagi.

Selain turut bersedih dengan kejadian menimpa Dirang, pada masa sama, Norazian meluahkan rasa marah dan geram pada manusia yang tergamak membunuh kanak-kanak tidak berdosa itu.

“Tidak kisahlah sama ada pembunuh anak saya atau Dirang itu orang yang sama atau tidak. Tetapi apa yang saya hendak katakan, pembunuh itu pasti tidak akan terlepas. Sepandai pandai tupai melompat akhirnya akan jatuh ke tangan juga!” katanya lagi.

Dalam pada itu Norazian berkata, dia berharap supaya masyarakat tidak sewenang-wenangnya gemar mengaitkan kes kanak-kanak hilang dengan dendam atau melibatkan pemberi pinjam tanpa lesen (ah long).

“Masyarakat janganlah suka kaitkan kes budak hilang  dengan perkara seperti itu. Sebaliknya, bersama-sama memberi pesanan supaya semua ibu bapa berhati-hati dalam mengawasi anak,” katanya.

Dari nada suaranya, jelas wanita itu benar-benar rasa terpukul dengan kejadian menimpa Dirang.

Pada 20 Ogos 2007, puteri comelnya, ketika itu murid tahun dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak dilaporkan hilang setelah keluar seorang diri ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1 Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Pencarian berakhir apabila mayatnya ditemui 27 hari kemudian dalam sebuah beg yang diletakkan di hadapan premis perniagaan di Petaling Jaya dan hasil bedah siasat mengesahkan Nurin  Jazlim mati akibat didera secara seksual.

'via Blog this'

Ibu Dirang: 'Kenapa kasi mati anak aku'

Ibu Dirang: 'Kenapa kasi mati anak aku' - Semasa - Sinar Harian:
dirang ibu
PASIR GUDANG – Ibu kanak-kanak hilang 1 Mac lepas, Roselyn Alan, 25, pengsan seketika sebaik dihubungi pihak polis yang mengesahkan rangka yang temui Khamis lalu adalah anaknya, Nurul Nadirah Abdullah, 5, atau dikenali sebagai Dirang.
Roselyn yang menangis tidak berhenti lebih sejam selepas menerima panggilan dari pihak polis kira-kira jam 6.40 petang tadi meraung sambil berkata, “kenapa kasi mati anak aku..!!!"

Usaha menemu bual Roselyn gagal apabila dia menangis tidak berhenti. Begitu juga dengan bapa tiri mangsa, Lima Medeng, 25, yang enggan ditemu bual ekoran masih terkejut.
Nenek mangsa, Milnah Jul, 56, berkata, dia dihubungi Roselyn yang ketika itu berada di bawah blok Flet Seri Delima Jalan Suria, Bandar Seri Alam, di sini selepas keluar mencari Dirang.
“Roselyn hubungi saya sambil menangis memberitahu polis mengesahkan rangka yang ditemui adalah Dirang.
“Saya terkejut dan tidak menyangka rangka itu adalah Dirang kerana sebelum ini kami sekeluarga lega selepas dimaklumkan polis bahawa rangka yang ditemui adalah rangka orang dewasa,” katanya.
Suasana sedih menyelubungi kediaman mangsa apabila ahli keluarga dan jiran tetangga yang hadir turut menangisi pemergian Dirang yang ditemui dalam keadaan menyedihkan.
Jirannya, Noridah Juliri, 44, berkata, kehilangan Dirang yang dianggap seperti anak sendiri turut meresahkannya sekeluarga kerana keluarga yang dikenali sejak lebih 10 tahun itu seperti keluarganya sendiri.
Menurutnya, Roselyn dilihat tidak senang duduk sehingga mengabaikan anak bongsunya, Ainul Suhada Abdullah, dua bulan, sejak kehilangan Dirang 1 Mac lepas.

“Saya terguris dan tidak lalu makan sehingga sama-sama masuk ke ladang kelapa sawit mencari Dirang, apatah lagi ibu yang mengandungkannya tentu risau.
“Berita ini benar-benar menyedihkan kami sekeluarga kerana Dirang sudah seperti anak saya sendiri,” katanya.
Seorang lagi jiran, Merlinda Budin, 22, berkata, sebelum rangka ditemui Khamis lepas, dia bermimpikan Dirang berjalan dalam api.
“Saya bermimpi Dirang berjalan dalam api sambil berteriak ‘Mak cik.. tolong ambil saya...’
“Saya sangat sedih dan tidak menyangka mimpi itu petanda dia akan pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya," katanya.

'via Blog this'

Kisah Loo Jo Yee




Loo Jo Yee . Ada kisah menarik mengenai beliau. Mari kita kongsi cerita beliau.

Beliau tiada nama Islam kerana sekarang seseorang muallaf sudah tak perlukan tukar nama dengan nama Islam, dan hanya perlu ber ‘binti’ kan kepada Abdullah serta tak perlu tukar bangsa, maka namanya kekal Loo Jo Yee binti Abdullah.
Beliau telah masuk Islam ketika masih berusia 17 tahun, disebabkan di Malaysia mempunyai undang-undang untuk memeluk agama Islam bermula 18 tahun sahaja. Jadi, beliau terpaksa menangguhkan dulu permohonan.

Keluarga Jo Yee merupakan pengikut agama kristian yang kuat. Dan beliau bakal menjadi seorang paderi di sebuah gereja. Disebabkan itu, keluarga beliau sangat bantah hingga menganggap masuk Islam adalah sangat menghinakan bagi keluarganya.

Loo Jo Yee mendapat hidayah melalui dua peristiwa yang menarik.
Yang pertama adalah, beliau mempunyai ramai rakan-rakan yang beragama Islam. Oleh itu, mereka telah berdebat tentang agama masing-masing. Ketika itu, beliau bermatlamat untuk membawa rakan-rakan Islam untuk masuk agama Kristian.

Namun untuk berdebat dengan rakan-rakan, beliau telah mengkaji al-quran, membaca kisah Nabi Muhammad s.a.w dan mengkaji kemunculan Islam untuk mencari kelemahan Islam.

Semakin beliau mengkaji, semakin lama beliau mula tertarik dengan ajaran Islam. Beliau sendiri mengaku bahawa di dalam Bible banyak perkara yang telah diolah hingga menyimpang dari perkara sebenar.

Oleh itu, Jo Yee mengkaji Islam dengan lebih mendalam untuk mencari perkara yang sebenar. Dengan itu, beliau telah mendapat ketenangan jiwa ketika membaca al-quran. Itu adalah hidayah pertama Loo Jo Yee.

Peristiwa kedua yang membawa hidayah kedua beliau adalah ketika beliau menghidap mendapat penyakit thyroid di bahagian leher. Doktor mengesahkan 90% besar kemungkinan adalah penyakit tersebut. Beliau merasakan ini adalah penamat bagi kehidupan beliau walaupun masih muda.

Rakan-rakan Islam Jo Yee telah banyak ‘encourage’ beliau untuk cuba berdoa kepada Allah taala. Beliau cuba dengan menadah tangan, menangis dan hanya berserah kepada Allah.

Keesokan harinya, ketika beliau menjalani medical check-up, doktor mengesahkan penyakit itu bukan kanser. Disebabkan itu, beliau yakin dengan kuasa Allah taala dan pada waktu itu juga la beliau mengucap 2 kalimah syahadah. Subhanallah.. Allahuakhbar!

Loo Jo Yee berasa hiba kerana beliau berasa telah dipilih Allah untuk mendapat hidayah ketika berumur 17 tahun sedangkan remaja yang seusia beliau sibuk bersuka-ria hingga tersasar di jalan Allah.

Banyak dugaan yang beliau terima selepas bergelar muallaf, hingga dipulaukan rakan-rakan sendiri dan keluarga tercinta. Beliau sangat bersyukur kerana mendapat keluarga angkat di Ipoh yang mengambil berat terhadap beliau. Jo Yee berharap selepas ini dia berpeluang untuk berdakwah kepada remaja-rakan yang seusia dengan cara tersendiri.

IF YOU CARE, DON'T FORGET TO SHARE!

by: Tengkunizam [dot] com

Api misteri kembali mengganas

Kosmo! Online - Negara:




Zainab menunjukkan api misteri (dalam bulatan) yang membakar kain tudungnya di rumahnya di Kampung Penambang Bunga Emas, Kota Bharu semalam.



KOTA BHARU – Selepas lebih setahun tenang tanpa serangan api misteri, keluarga Zainab Sulaiman, 75, atau lebih dikenali sebagai Mok Nab kembali resah apabila serangan tersebut kembali berulang di kediamannya di sini kelmarin.
Terbaru, kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 4.30 petang, Jumaat lalu di rumahnya di Kampung Penambang Bunga Emas, dekat sini, apabila api misteri tersebut muncul secara tiba-tiba dan membakar sebuah almari yang sarat dengan pakaian.
Menurut Zainab, kejadian tersebut disedari oleh seorang cucunya, Wan Mohd. Faiz Wan Hanafi, 16, yang terbau hangit seperti benda terbakar sebelum mendapati sebuah almari yang terletak di dalam sebuah bilik terbakar.
Katanya, ketika disedari api yang muncul tersebut begitu marak dan membakar almari serta sebahagian dinding bilik tersebut menyebabkan beliau dan menantunya, Rafeah Zakaria, 38, serta dua lagi cucunya, Wan Nurfatihah, 14, dan Wan Nurfatini, 12, panik dan berada dalam ketakutan.
“Kami semua terpaksa mengambil semua pakaian yang disimpan di dalam almari dan dicampak ke luar rumah melalui tingkap untuk mengelakkan daripada terus hangus terbakar selain bimbang api menjadi semakin marak.
“Orang kampung juga datang menolong memadamkan kebakaran dan disebabkan api yang sangat marak, saya terpaksa meminta orang kampung menelefon pihak bomba kerana bimbang rumah saya hangus terbakar,” katanya ketika ditemui semalam.

'via Blog this'

4,055 peserta sertai larian lasak

Kosmo! Online - Dunia:



SEBAHAGIAN peserta megharung padang lumpur dalam satu acara larian lasak di Thun, Switzerland.


THUN, Switzerland - Seramai 4,055 orang peserta mengambil bahagian dalam satu acara larian lasak di sini kelmarin.
Larian yang dinamakan Strongman Run itu melibatkan jarak sejauh 16 kilometer.
Selain berlari, para peserta perlu merentasi beberapa halangan termasuk padang lumpur sebelum tiba di garisan penamat. - Reuters

'via Blog this'

Mak nyah diterima sebagai pramugari

Kosmo! Online - Dunia:



PRAMUGARI mak nyah Chayathisa Nakmai CHAYA (kanan) sedang bertugas dalam sebuah pesawat PC Air pada Jumaat lalu.


BANGKOK - Seramai empat mak nyah diambil bekerja sebagai pramugari PC Air dalam kempen pengambilan pekerja baharu syarikat penerbangan berkenaan di Thailand.
"Saya suka kerja yang membolehkan saya menonjolkan kebolehan. S suka memakai seragam yang cantik," kata seorang pramugari mak nyah, Phuntakarn Sringern, 25, yang lebih dikenali sebagai Mew semasa mula bertugas dalam penerbangan ke Hong Kong pada Jumaat lalu.
Rakan sekerjanya, Chayathisa Nakmai, 24, yang juga seorang mak nyah berkata, dia sudah lama bercita-cita untuk menjadi seorang pramugari.
"Namun, syarikat penerbangan hanya menawarkan jawatan pramugari dan pramugara kepada wanita dan lelaki, orang seperti kami tidak diterima. Kini, segalanya sudah berubah," Chayathisa.
Penampilan mereka yang sama seperti pramugari lain menyebabkan penumpang tidak menyedari bahawa Mew dan rakan-rakannya ialah mak nyah.
Semasa pesawat berada di udara, beberapa penumpang penerbangan tersebut turut mengambil kesempatan bergambar dengan mereka.
"Oh, saya tidak tahu mereka mak nyah. Mereka nampak cantik dan sopan," kata seorang penumpang yang menamakan dirinya Bay ketika ditemu bual pemberita.
Thailand memiliki budaya toleransi terhadap orientasi seksual dengan mak nyah dianggap sebagai jantina ketiga di negara itu. - AFP

'via Blog this'

Saintis hasil gandum tahan air masin

Kosmo! Online - Dunia:



SEBUAH kawasan yang ditanam dengan gandum jenis durum.


PARIS - Sekumpulan saintis mengumumkan kelmarin bahawa mereka membiak sejenis gandum yang boleh hidup di tanah berair masin.
Ketua penyelidikan berkenaan, Matthew Gilliham daripada University Adelaide, selatan Australia memberitahu, tanaman baharu itu dibiak daripada gandum jenis durum.
Saintis-saintis terbabit memasukkan gen yang dinamakan TmHKT1;5-A untuk membolehkan gandum tersebut tahan terhadap persekitaran masin.
Gen tersebut dimasukkan dengan menggunakan teknik-teknik pembiakbakaan kacuk dan bukan teknologi kejuruteraan genetik.
Tanaman tersebut digunakan untuk membuat pasta dan kuskus.
Menurut Gilliham, gandum baka baharu itu dapat membantu petani Jepun selepas tanaman mereka ditenggelami air laut dalam bencana tsunami tahun lalu.
Sekitar 20,000 hektar sawah padi di timur laut Jepun digenangi air laut dalam bencana tersebut yang menyebabkan ramai petani hilang mata pencarian. - AFP

'via Blog this'

Kahwin beramai-ramai untuk elak pelacuran

Kosmo! Online - Dunia:



PENGANTIN lelaki dan perempuan komuniti Saraniya bergambar selepas upacara perkahwinan mereka di kampung Vadia, negeri Gujarat kelmarin.


AHMADABAD, India - Satu majlis perkahwinan beramai-ramai melibatkan lapan gadis miskin nomad diadakan di barat India untuk mengelakkan mereka daripada terjebak dalam kancah pelacuran.
Majlis itu dianjurkan oleh sebuah pertubuhan bantuan tempatan, Forum Sokongan Komuniti Nomad.
Setiausahanya, M. Patel berkata, gadis-gadis tersebut dipilih daripada sebuah puak di Vadiya, sebuah kampung yang terletak 275 kilometer ke utara Gandhinagar, ibu negeri Gujarat.
Menurutnya, 12 lagi gadis bawah umur kini bertunang dengan remaja tempatan dan akan berkahwin selepas usia mereka mencecah 18 tahun.
"Gadis-gadis nomad yang tidak mampu untuk berkahwin kerap menjadi pelacur," katanya.
Di India, keluarga pengantin perempuan perlu membayar hantaran perkahwinan kepada pihak lelaki.
Pemerintah negeri memberikan tanah seluas 80 hektar kepada komuniti nomad tersebut tetapi tanah berkenaan tidak subur akibat kekurangan air. - Agensi

'via Blog this'

Taliban ikrar balas dendam

Kosmo! Online - Dunia:


BEBERAPA orang tentera AS berkawal di hadapan sebuah kem tentera di Panjwai, wilayah Kandahar. AS kini berdepan tekanan daripada Taliban yang mahu membalas dendam. - Agensi


KABUL – Kumpulan Taliban Afghanistan semalam berikrar akan membalas dendam ke atas kekejaman Amerika Syarikat (AS) berikutan insiden seorang tentera AS menembak mati 16 orang penduduk kampung di dalam rumah mereka.
Taliban menegaskan ia akan membalas tindakan kejam bagi pihak setiap seorang yang terkorban itu, jelas satu kenyataan di laman webnya.
Kelmarin, seorang tentera AS keluar dari pangkalan tentera di Kandahar sebelum memecah masuk ke dalam beberapa buah rumah di kampung berdekatan dan membunuh 16 orang yang terdiri daripada wanita serta kanak-kanak.
Dia kemudian ditahan. AS mengeluarkan kenyataan simpati kepada keluarga mangsa, selain berjanji akan mengambil tindakan.
“Kebanyakan mangsa ialah wanita, orang tua dan kanak-kanak yang tidak berdosa. Pengganas AS mahu mencari alasan atas jenayah tidak berperikemanusiaan ini dengan mendakwa pelakunya mengalami masalah mental.
“Jika benar sekali pun dia sakit mental, ini membuktikan satu lagi krisis moral tentera AS kerana mereka memberikan senjata kepada orang gila dan menembak orang awam Afghanistan yang tidak bersenjata tanpa memikirkan kesannya,” jelas laman web Taliban. – AFP

'via Blog this'