Pages

Tuesday, January 17, 2012

9 maut dalam serangan udara di Somalia

MOGADISHU: Sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh apabila beberapa pesawat membedil kem kumpulan militan di selatan Somalia hari ini.

Saksi, Noh Haji, berkata pesawat berkenaan membedil kubu dan membakar khemah kumpulan militan al-Shahab yang ada hubungan dengan al-Qaeda Somalia.
Katanya, beliau melihat sembilan mayat dibawa anggota al-Shahab selepas serangan itu.
Serangan di Afmadow itu berlaku sehari selepas beberapa pesawat dikatakan membunuh lima kanak-kanak dan dua pejuang di Jilib, satu lagi bandar di selatan Somalia.

Jurucakap tentera Kenya mengesahkan serangan di Jilib tetapi menegaskan ia hanya membunuh anggota kumpulan militan itu.

Tentera Kenya memasuki Somalia pada Oktober lalu susulan kebimbangan perang saudara selama 21 tahun di negara jiran itu akan merentas sempadan. - AP
Berita Harian Online | 9 maut dalam serangan udara di Somalia:

'via Blog this'

Israel batal status VIP Presiden Palestin

RAMALLAH: Israel melucutkan status VIP terhadap Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dan hanya memberi beliau permit perjalanan yang sah untuk tempoh dua bulan saja.

Pegawai Palestin berkata, Abbas memaklumkan mengenai perkara itu dalam mesyuarat Parti Fatah pimpinannya, minggu lalu.
“Dalam ucapannya, Abbas berkata permit baru itu adalah sama taraf dengan pas yang dipohon pekerja Palestin untuk memasuki Israel, sekali gus mencerminkan keangkuhan rejim Zionis yang terus mengekalkan penguasaannya ke atas Palestin.
“Tindakan Israel itu adalah sebagai hukuman ke atas beliau kerana memohon keanggotaan Palestin di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” kata pegawai berkenaan yang namanya tidak didedahkan.

Jurucakap agensi Israel yang mengeluarkan dokumen perjalanan untuk rakyat Palestin, Mejar Guy Inbar berkata, setakat ini tiada perubahan dalam dasar pemberian permit perjalanan.

Beliau berkata, permit yang dikeluarkan kepada Abbas adalah kesilapan teknikal dan akan diselesaikan tidak lama lagi.

“Peraturan untuk perjalanan masih sama seperti sebelum ini. Saya menafikan semua dakwaan bahawa wujud perubahan bagi pengeluaran pas perjalanan untuk pegawai Palestin,” katanya.
Permit perjalanan VIP membolehkan Abbas pergi ke mana-mana saja dan pada bila-bila masa. Pegawai palestin mengakui, permit baru itu tidak menghalang Abbas keluar atau masuk ke Tebing Barat.

Ahad lalu, Abbas ke London untuk mengadakan perbincangan dengan pemimpin Britain.

Sementara itu, berpuluh-puluh pengguna laman Facebook menyebarkan apa yang dikatakan sebagai ‘salinan dokumen perjalanan Abbas’ disertai dengan ulasan sinis mengenai kelemahan pemimpin itu.

Jurucakap pasukan keselamatan Palestin, Adnan Dmiri berkata, ramai pegawai Palestin kehilangan status VIP sejak pertengahan tahun lalu, sejurus sebelum Abbas membuat permohonan keanggotaan Palestin di PBB pada September. – AP
Berita Harian Online | Israel batal status VIP Presiden Palestin:

'via Blog this'

Penemuan kubur penyanyi 3,000 tahun di Mesir


Penemuan kubur penyanyi 3,000 tahun di Mesir

KAHERAH - Sebuah kubur penyanyi wanita berusia hampir 3,000 tahun di Lembah Diraja Mesir ditemukan ahli arkeologi Switzerland, menurut Menteri Barangan Purba, Mohammed Ibrahim, kelmarin.
Pasukan dari Universiti Basel Switzerland yang diketuai Elena Pauline-Grothe dan Susanne Bickel secara tidak sengaja menemukan kubur tersebut yang terletak dalam Karnak, berhampiran Luxor.

Difahamkan menerusi tulisan pada plak kayu yang ditemui dalam kubur itu, Nehmes Bastet, merupakan seorang penyanyi untuk dewa tertinggi Amon Ra semasa Dinasti ke-22 (945-712 Sebelum Masihi).

Nehmes juga merupakan anak perempuan Paderi Tertinggi Amon, jelas Ibrahim.

Penemuan itu amat penting kerana memaparkan Lembah Diraja juga digunakan sebagai tempat pengebumian individu-individu biasa dan sami-sami pada zaman dinasti itu, dan sehingga kini, kesemua kubur yang ditemui di lembah bersejarah itu mempunyai kaitan dengan keluarga diraja Mesir purba.
Penemuan kubur penyanyi 3,000 tahun di Mesir - Global - Sinar Harian:

'via Blog this'

Polis temui mayat lelaki tanpa alat sulit

TOKYO: Polis bandar raya ini semalam melakukan siasatan selepas menemui mayat seorang lelaki bogel yang dipotong alat sulitnya dengan pisau dapur, lapor media Jepun.

Mayat lelaki berusia 49 tahun itu yang ditikam beberapa kali di dada dan perut ditemui terbaring di atas katil di sebuah apartmen di barat Tokyo, lapor NHK.

Alat sulit lelaki itu ditemui di bawah katil dan pisau berlumuran darah turut dijumpai di dalam bilik di apartmen berkenaan, lapor Jiji Press sepertimana dipetik daripada kenyataan sumber polis.

Jurucakap Polis Tokyo mengesahkan pihaknya masih menyiasat punca kematian itu. - AFP

myMetro | Polis temui mayat lelaki tanpa alat sulit:

'via Blog this'

Iran lancar operasi haram jualan patung Barbie

TEHERAN: Polis pencegah kemungkaran Iran bertindak terhadap penjualan anak patung Barbie bagi melindungi orang awam daripada apa yang mereka sifatkan sebagai budaya Barat yang meruntuhkan nilai Islam.

"Kira-kira tiga minggu lalu, mereka (polis) datang ke kedai kami. Mereka mengarahkan kami menurunkan semua patung Barbie,” kata seorang pemilik kedai mainan di utara Teheran.


Pemimpin agama Iran mula mengisytiharkan Barbie, yang dibuat oleh syarikat Amerika, Mattel Inc, sebagai bertentangan dengan Islam pada 1996. Ia menyifatkan patung itu sebagai kesan keruntuhan budaya dan sosial.’ - Reuters

myMetro | Iran lancar operasi haram jualan patung Barbie:

'via Blog this'

Pampasan RM23j kepada lelaki zakar pendek

EL CAJOUN: Seorang bekas kelasi diberi ganti rugi sebanyak AS$7.5 juta (RM23.25 juta) dalam satu kes kemalangan kereta di California yang menyebabkan kemaluannya menjadi pendek kira-kira 1.27 sentimeter.

Matthew Wall yang baru berkahwin mengalami kecederaan dan kerosakan saraf pada kemaluannya berikutan kemalangan pada 2007 itu.


Lelaki berusia 27 tahun itu menjalani pembedahan membetulkan zakarnya dan ia menyebabkan ia semakin pendek sebanyak 1.27 sentimeter berbanding sebelum kejadian.

Juri di mahkamah El Cajoun, memberikan ganti rugi kepadanya sebagai pampasan untuk kesakitan, penderitaan, kos perubatan serta kehilangan punca pendapatan yang dialaminya.. - Agensi

myMetro | Pampasan RM23j kepada lelaki zakar pendek:

'via Blog this'

Ajal Andrea belum tiba

KERETA terbabit tersadai di ruang tamu rumah Andrea.
KERETA terbabit tersadai di ruang tamu rumah Andrea.
ANDREA selamat kerana tergerak hati untuk ke dapur.
ANDREA selamat kerana tergerak hati untuk ke dapur.

LONDON: Sebuah kereta terbabas dari jalan raya lalu merempuh dinding dan memasuki ruang tamu rumah seorang pegawai kesihatan dan keselamatan di Colchester, Essex semalam.

Pegawai berkenaan, Andrea Barr bagaimanapun terselamat kerana dia beredar dari ruang tamu untuk ke dapur beberapa minit sebelum kejadian itu. Dua pertiga kereta itu tersadai di ruang depan rumahnya, memusnahkan perabot dan sebahagian tempat pendiangan, mematahkan kaki piano dan menyebabkan televisyen tercampak dari tempat asalnya.


Pemandu kereta itu, lelaki berusia 70 tahun, terkejut tetapi tidak cedera, Andrea, 55, yang mendiami rumah itu bersama-sama Bob Blatch, petani berusia 72 tahun, berkata: “Kami tidak boleh bernafas kerana debu batu-bata memenuhi ruang rumah. “Saya hanya mahu terus menangis. Saya tidak dapat mengagak kos untuk membina semula rumah itu.” Blatch berkata: “Tiada siapa yang cedera. Itu yang penting.” Andrea, nenek dan bekas pembiak anjing jenis whippet serta menghidap sklerosis. biasanya duduk di kerusi urutnya pada masa yang sama kejadian berlaku pada Sabtu lalu, kira-kira jam 5.45 petang.

Mujur dia tergerak hati untuk ke dapur sejurus sebelum kemalangan berlaku. - Agensi

myMetro | Ajal Andrea belum tiba:

'via Blog this'

Laman web penerbangan Israel, pasaran saham digodam

BAITULMAQDIS: Laman sesawang syarikat penerbangan Israel, El Al, dan Pasaran Saham Tel Aviv (TASE) digantung pagi semalam, hanya beberapa jam selepas ia dilaporkan diancam penggodam Arab Saudi.

Kedua-dua laman sesawang itu memaparkan mesej menyatakan pihak terbabit mengambil langkah “penyelenggaraan.” Jurucakap pengurusan bursa saham Israel mengesahkan laman sesawang mereka diserang, tetapi ia tidak menjejaskan sistem dagangan agensi itu.


“Ada seseorang menyerang laman sesawang TASE pagi ini (semalam) yang kelihatan seperti pengagihan penafian perkhidmatan (DDOS),” katanya.

Sebelum itu, seorang penggodam memperkenalkan dirinya sebagai 0xOmar memberi amaran akan menyerang kedua-dua laman sesawang berkenaan.


Insiden itu adalah serangan terbaru sejak dua minggu lalu yang menyaksikan puluhan ribu maklumat kad kredit milik warga Israel dipaparkan di Internet serta laman sesawang negara itu.


Penggodam mendakwa mereka beroperasi dari Arab Saudi atau Gaza.

Seranga siber itu mendapat pujian kumpulan pejuang Islam Palestin, Hamas.


Pemimpin Hamas menganggap tindakan itu melambangkan kreativiti anak muda Arab. - AFP

myMetro | Laman web penerbangan Israel, pasaran saham digodam:

'via Blog this'

Britain selar penempatan Israel di Palestin

LONDON 17 Jan. – Timbalan Perdana Menteri Britain, Nick Clegg semalam menyelar pembinaan penempatan di Israel dengan menyifatkannya sebagai 'vandalisme yang disengajakan' ketika Presiden Palestin, Mahmoud Abbas memulakan lawatan Eropahnya.
Berucap selepas perbincangan bersama Abbas di London, Clegg menjelaskan pembinaan perumahan haram secara berterusan di Tebing Barat dan timur Baitulmaqdis menyebabkan 'kerosakan' kepada usaha rundingan damai kedua-dua negara tersebut.
“Ia boleh disifatkan sebagai 'kerosakan yang disengajakan' dan sekali gus menggangu rundingan damai yang telah diusahakan sejak beberapa tahun lalu,” katanya. – AFP
Utusan Malaysia Online - Terkini:

'via Blog this'

Apartmen di Beirut runtuh, 11 maut


ANGGOTA penyelamat Lubnan mengusung mangsa yang ditemui di bawah runtuhan selepas bangunan enam tingkat di tengah Beirut itu runtuh pada Ahad lalu. Setakat ini 26 terbunuh dan dipercayai masih ramai lagi yang terperangkap di bawah runtuhan berkenaan. - Foto AFP-bharian
Jan 17, 2012 9:54 am

BEIRUT 16 Jan. - Sebanyak 11 orang terbunuh apabila sebuah blok apartmen lama setinggi enam tingkat runtuh di sini, semalam.
Agensi berita nasional ANI memetik Persatuan Palang Merah Lebanon melaporkan, setakat ini 11 mayat telah ditemui dan 11 penduduk yang cedera ditemui di bawah runtuhan bangunan apartmen itu.
Blok apartmen lama di daerah Ashrafiyeh di timur Beirut itu runtuh tiba-tiba petang semalam.
Antara mereka yang terbunuh ialah seorang kanak-kanak perempuan berumur 15 tahun yang tinggal bersama neneknya, yang hanya mengalami kecederaan.
Antara mereka yang turut cedera ialah seorang lelaki warga emas berusia 73, dua warga Sudan dan seorang masing-masing warga Mesir dan Filipina.
"Ia seperti gempa bumi" apabila blok apartmen itu runtuh, kata seorang saksi kepada stesen televisyen tempatan MTV.
ANI melaporkan bangunan itu sudah lama tidak dibaiki dan hujan lebat yang turun baru-baru ini menyebabkan keadaan bangunan itu semakin teruk. - AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Ketua Taliban Pakistan terbunuh

PESHAWAR 16 Jan. - Pemimpin Taliban Pakistan, Hakimullah Mehsud dipercayai terbunuh dalam satu serangan oleh pesawat tanpa juruterbang Amerika Syarikat (AS) dekat sempadan Afghanistan pada minggu lepas.
Empat pegawai perisikan Pakistan semalam berkata, mereka mendapat maklumat mengenai kematian Hakimullah itu dengan memintas perbualan radio wayarles antara para pejuang Taliban.
Pejuang militan itu menceritakan bagaimana Hakimullah terbunuh ketika dalam perjalanan untuk menghadiri mesyuarat di wilayah kabilah Waziristan Utara dekat sempadan Afghanistan pada 12 Januari lalu.
Seorang pegawai kanan tentera Pakistan berkata, tidak ada pengesahan rasmi musuh ketat Islamabad itu terbunuh.
Taliban Pakistan, gerakan militan yang menimbulkan ancaman terbesar terhadap keselamatan negara ini, menafikan kematiannya.
Jika Hakimullah disahkan maut, kematiannya boleh meredakan tekanan ke atas pasukan keselamatan yang belum berjaya melemahkan kumpulan tersebut yang telah melancarkan banyak serangan pengebom berani mati di seluruh negara ini.
Namun, kematian itu juga mungkin tidak dapat mengurangkan keganasan dalam jangka panjang di Pakistan.
Kematian pemimpin sebelum Hakimullah, Baitullah Mehsud dalam serangan serupa pada 2009 menimbulkan harapan palsu Taliban Pakistan yang dikenali sebagai Tehrik-e-Taliban Pakistan atau TTP dapat ditumpaskan.
"Enam hingga tujuh anggota TTP berbual menerusi radio wayarles dan bercakap mengenai konvoi Hakimullah diserang dengan pesawat tanpa juruterbang semasa dia menuju ke satu lokasi dekat Miranshah untuk menghadiri mesyuarat," kata seorang pegawai perisikan itu. - REUTERS
Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Bahan letupan ditemuidi selatan Bangkok



SEBUAH bekas mengandungi bahan letupan diangkat oleh beberapa anggota forensik ke sebuah lori di sebuah bangunan di wilayah Samut Sakhon, pinggir Bangkok semalam. -


BANGKOK - Pengakuan seorang suspek pengganas telah membawa polis kepada penemuan lebih daripada empat tan bahan letupan di wilayah Samut Sakhon.

Ketua Polis, Jeneral Priewpan Damapong semalam berkata, 4,380 kg baja urea dan 10 gelen cecair ammonia nitrat dijumpai di sebuah bangunan komersial di Tambon Kalong, daerah Mueng, wilayah Samut Sakhon, 36 kilometer di selatan Bangkok, pagi semalam.

Kira-kira 200 anggota polis memeriksa bangunan awal pagi berikutan pengakuan suspek, warga Lebanon berumur 48 tahun itu, katanya.

Beliau berkata, suspek itu menyewa premis itu sejak Januari 2010 dengan kadar sewaan 15,000 Baht (RM1,500) sebulan dan bahan letupan itu telah lama disimpan di situ.

"Bagaimanapun, suspek itu mengaku bahawa bahan-bahan itu hendak diseludup ke negara lain dan bukan digunakan di negara ini," kata Priewpan.

Ibu negara ini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga berikutan Kedutaan Amerika Syarikat di Thailand, melalui laman webnya Jumaat lepas, memberi amaran kepada rakyat Amerika di Thailand bahawa pengganas asing mungkin sedang mencari peluang untuk melakukan serangan di kawasan pelancongan di ibu kota ini pada masa depan.

Beberapa negara lain juga mengikut jejak Amerika dengan mengeluarkan mesej amaran itu kepada rakyat mereka.

Sebelum amaran itu dikeluarkan, pihak berkuasa Thailand menangkap seorang suspek pengganas di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi di sini, pada Khamis lalu semasa cuba meninggalkan negara ini.

Sebelum itu, Priewpan menyebut lelaki itu adalah anggota kumpulan Hezbollah yang berpangkalan di Lebanon, mengaku kepada polis Thailand bahawa serangan yang dirancang itu dibatalkan kerana pihak berkuasa Thai telah dapat menghidu rancangan itu.

Seorang lagi suspek telah meninggalkan Thailand.

Timbalannya, Pansiri Prapawat berkata, polis akan mendapatkan perintah mahkamah esok untuk penahanan lanjut suspek pengganas itu.

"Polis berharap dapat membuat rumusan mengenai siasatan mereka menjelang esok," katanya. Kegiatan pengganas asing sentiasa dipantau pihak berkuasa Thai sejak pertengahan bulan lepas berikutan maklumat dari Mossad, badan perisikan Israel, bimbang mereka mungkin menyerang rakyat Israel di negara ini.

Semalam, Perdana Menteri Yingluck Shinawatra memberi jaminan semua kawasan awam dan pelancongan di sini adalah selamat. - Bernama

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Cairkan salji untuk jadikan bekalan air



VICTOR GAVENKO dan isterinya mencairkan salji di rumah mereka di kampung Pravy, Rusia semalam. - Reuters


KRASNOYARSK, Rusia - Satu pasangan suami isteri, Victor Gavenko dan isterinya, Nina menggunakan salji untuk dijadikan bekalan air bersih di rumah mereka di kampung Pravy, daerah Taiga, Rusia.

Gavenko, 76, dan isterinya, Nina tidak memperoleh bekalan air bersih menyebabkan mereka mencairkan salji.

Salji merupakan sumber mereka untuk mendapatkan bekalan air bersih untuk kegunaan sendiri dan haiwan ternakan. - Reuters


Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Ibu tekan butang letupkan bangunan



Bangunan syarikat makanan Campbell's Soup diruntuhkan menerusi alat kawalan letupan di King's Lynn, Britain kelmarin. - AP


KING"S LYNN, Britain - Seorang ibu dua anak, Sarah Griffiths diberi penghormatan untuk menekan butang letupan bagi meruntuhkan sebuah bangunan syarikat makanan Campbell's Soup di sini kelmarin.

Griffiths yang berusia 41 tahun menyatakan dia berasa lega diberikan penghormatan itu kerana bapanya pernah meninggal dunia di dalam kilang tersebut kerana satu kemalangan industri.

Wanita itu menang dalam satu pertandingan untuk mengetuai operasi memusnahkan bangunan tersebut yang dimiliki oleh pengeluar makanan sup Campbell's.

Bangunan diruntuhkan menerusi satu siri letupan menerusi alat kewalan.

Bapa Griffiths, Mick Locke mati kerana tubuhnya melecur pada tahun 1995 dalam satu kemalangan wap. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Kapten kapal ingkar arahan


SEORANG wanita melihat kapal mewah Costa Concordia yang terbalik di Pulau Giglio. Itali kelmarin.


ROM - Ketua Eksekutif pemilik sebuah kapal mewah yang terbalik di Pulau Giglio, Itali menyatakan kapten kapal berkenaan membuat keputusan yang tidak disahkan semasa dia cuba mengubah haluan.

Menurut ketua eksekutif itu, Pier Luigi Foshi semalam, pihaknya tidak bersekutu dengan kapten tersebut, Francesco Schettino ekoran perbuatannya itu.

Namun, kata Foshi, pihaknya akan menyediakan bantuan perundangan buat kapten kapal tersebut yang telah ditangkap pihak berkuasa.

Menurutnya, kapal berkenaan yang terbalik pada Jumaat lalu mempunyai laluan perkapalannya yang telah diprogram.

Dia berkata, alat penggera akan berbunyi jika ia berubah haluan.

"Laluan itu telah ditetapkan dengan betul. Secara faktanya, ia terkeluar dari laluan kerana satu sikap muslihat daripada komander (kapten kapal tersebut) yang tidak diluluskan," katanya.

Setakat ini lima orang telah disahkan mati manakala 15 mangsa lagi masih hilang semasa ia membawa 4,200 orang pada malam Jumaat lalu.

Kapal Costa Concordia itu terbalik selepas ia melanggar batu di pulau tersebut.

Kerja-kerja mencari mangsa dihentikan buat sementara semalam ekoran laut bergelora. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Monday, January 16, 2012

Ketampanan lelaki tingkat peluang hamil

PHILADELPHIA: Satu kajian yang dijalankan di Universiti Negeri Pennsylvania menyatakan bahawa penampilan fizikal dan ketampanan seseorang lelaki mempunyai fungsi besar untuk meningkatkan peluang kehamilan pasangannya.

Kumpulan penyelidik di universiti itu mendapati daya tarikan fizikal lelaki mempunyai kaitan dengan kepuasan bercinta bagi pasangannya dan mempengaruhi peluang kehamilan.
Penyelidik berkenaan menjalankan kajian ke atas 110 pasangan yang datang dari pelbagai wilayah di Amerika. Mereka mengambil gambar lelaki terbabit dan mengukur bentuk tubuh berdasarkan penilaian tubuh yang ideal.
Responden wanita kemudian diminta membuat penilaian berdasarkan susunan gambar dan menyatakan tahap kepuasan ketika bercinta dan berasmara.

“Hasil penelitian yang dijalankan menunjukkan, wanita memperoleh lebih kepuasan jika pasangannya mempunyai tubuh dan wajah yang dianggap penarik.

“Kami juga mendapati responden wanita yang memiliki pasangan tampan, cenderung untuk mempunyai ramai anak,” kata seorang penyelidik dalam kumpulan itu.

Bagaimanapun, hasil kajian itu menimbulkan kontroversi dan ia dipercayai menyebabkan lelaki berwajah tampan berasa angkuh.
Pakar kesihatan dan terapi seks dari New Zealand, Robyn Salisbury, berkata beliau meragui wujudnya kaitan antara kepuasan bersama pasangan tampan dengan peningkatan peluang kehamilan.

“Ketampanan pasangan mungkin menjadi satu faktor mempengaruhi kehamilan, tetapi ia bukanlah faktor utama,” katanya. – Agensi 

Indonesia pantau 25 gunung berapi

PADANG: Dua puluh lima gunung berapa di Indonesia menunjukkan aktiviti tidak normal atau diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga atau status pemantauan, kata pembantu khas presiden, Andi Arief, kelmarin.

“Menurut data rasmi, 25 gunung berapi diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga atau status pemantauan dan ia perlu diberi keutamaan merujuk kepada pelan mengurangkan bencana pada peringkat daerah atau bandar raya,” katanya dalam satu bengkel kerja mengenai peranan wartawan dalam pengurusan bencana.
Beliau berkata, di Sumatera Barat dua gunung berapi perlu dipantau rapi iaitu Merapi dan Talang kerana masih dalam status berjaga-jaga.
Gunung berapi Merapi terletak di daerah Agam dan Tanahdatar serta setinggi 2,891 meter di atas paras laut dan gunung berapi Talang setinggi 2,597 di atas paras laut di daerah Solok terletak kira-kira 40 kilometer dari Padang.

Selain dua gunung berapa itu, kerajaan dan agensi pengurusan bencana daerah turut memberikan perhatian kepada Gunung Papandayan di Jawa Barat, Gunung Karangetan dan Lokon di Sumatera Utara, Gunung Ijen di Jawa Timur, Gunung Gamalama di Maluku Utara, Gunung Krakatau di Banten dan Lampung serta Gunung Lewoloto Nusa Tenggara Timur.

“Tidak mustahil semua gunung berapi itu yang kini masih normal boleh berubah menjadi tidak normal disebabkan gempa bumi yang berlaku untuk mencetuskan magma dalam gunung untuk meningkatkan aktiviti mereka, jadi, penduduk perlu sentiasa bersedia dan berjaga-jaga,” katanya.

Andi berkata, gempa bumi dengan kekuatan di bawah 5.0 boleh mencetuskan magma dalam gunung berapi meningkat dan penduduk bukan sekadar perlu berjaga-jaga dengan gegaran besar tetapi juga gempa bumi berukuran kecil.
Gempa bumi berukuran 4.4 seperti yang berlaku di Singkawang, Kalimantan Barat adalah salah satu contoh, yang menyaksikan penduduk tidak meramalkan ia berlaku di situ, katanya.

“Gempa bumi berukuran kecil kini dikaji oleh penyelidik bagi meminimumkan kerosakan jika letusan berlaku dalam negara kerana banyak gunung berapi di Indonesia,” katanya. – Agensi </div>

ElBaradei tidak mahu jadi presiden

KAHERAH: Pemimpin pembaharuan Mesir, Mohamed ElBaradei, menarik diri daripada persaingan sebagai presiden, dan berkata pilihan raya adil tidak boleh dilakukan dengan cengkaman pemerintahan tentera hampir setahun selepas penyingkiran bekas Presiden Hosni Mubarak.

Ramai juga bimbang jeneral yang memerintah akan meletakkan calon kegemaran bagi membolehkan tentera terus memegang kuasa.
Penarikan diri pemenang Hadiah Nobel Keamanan itu menjadi tamparan kepada tentera dan kredibiliti pelan peralihan Mesir. ElBaradei dilihat sebagai calon paling menyokong revolusi dan sokongan perubahan terkuat di negara yang sekian lama diperintah secara autokratik.
Namun dalam kenyataan kelmarin, ElBaradei menunjukkan dengan jelas beliau tidak melihat sebarang harapan pilihan raya presiden yang dijadualkan menjelang Jun ini akan menamatkan pemerintahan tentera dan meluahkan kritikan pedas tentera bertindak seolah-olah rejim Mubarak tidak pernah tumbang.

“Saya sudah katakan sejak mula gerak hati tidak membenarkan saya bertanding sebagai presiden atau sebarang kedudukan rasmi kecuali benar-benar ada rangka kerja demokratik yang menjunjung demokrasi dan bukan hanya bentuknya.

“Majlis tentera, yang diketuai Menteri Pertahanan ketika pemerintahan Mubarak selama 20 tahun bertegas mahu menggunakan laluan lama yang sama, seolah-olah revolusi tidak pernah berlaku dan tiada rejim yang tumbang,” katanya.

Keputusan ElBaradei dilihat dapat membantu pergerakan bantahan antitentera, yang tidak teratur dan gagal memberikan laluan alternatif kepada peralihan untuk demokrasi.
Pada pertemuan dengan ElBaradei selepas pengumumannya kelmarin, beberapa aktivis menyuarakan harapan beliau kini melangkah ke depan untuk menjadi pemimpin penuh kuasa bagi pergerakan itu

“Dalam cubaan menjadikan langkah itu tidak membantu menyemarakkan bantahan antitentera majlis tentera meminta ElBaradei tidak mengumumkan keputusannya sehingga lewat petang,” kata pegawai yang rapat dengan bekas ketua pemerhati nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.

Kebanyakan kumpulan yang menganjurkan bantahan berasakan tentera mengekalkan struktur rejim Mubarak dan kuasanya.

Mereka bimbang pertubuhan Ikhwanul Muslimin, yang dijangka menguasai Parlimen baru, akan mengurangkan pengaruh tentera terhadap eksekutif sebagai balasan menulis Perlembagaan baru.

Kata ElBaradei dalam video yang disiarkan lewat kelmarin, beliau akan bekerja untuk menyatukan kumpulan belia, mencapai matlamat revolusi dan memberi tumpuan kepada keadilan sosial, kebebasan dan perkembangan ekonomi. – AP

Salji landa Kabul dianggap petanda tuah

SEORANG penduduk mengayuh basikal di satu kawasan yang dipenuhi salji di Kabul, semalam. - Foto AFP
SEORANG penduduk mengayuh basikal di satu kawasan
yang dipenuhi salji di Kabul, semalam. - Foto AFP

KABUL: Jika telahan rakyat Afghanistan benar dan salji membawa tuah, negara bergolak itu dijangka menerima berita baik di tengah langkah yang masih belum muktamad ke arah perjanjian damai dengan anggota Taliban berikutan salji yang turun mengubah landskap kering dan berdebu Kabul kepada seni indah berwarna putih bersih.

Pokok di sepanjang jalan dan tembok dengan kesan letupan dihiasi warna putih, dengan lelaki di ruang pejalan kaki dan pengawal yang bersenjatakan raifal berbual, tersenyum kepada orang ramai yang lalu lalang.
Laman web sosial Twitter, yang digunakan secara meluas di Afghanistan untuk mengesan keganasan terbaru dalam perang selama 10 tahun itu, menyatakan kegembiraan.
“Salji lebat turun di Kabul sejak 24 jam lalu. Kelihatan cantik,” kata Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF), yang mempunyai kira-kira 130,000 anggota tentera diketuai Amerika Syarikat di negara itu dalam Twitter.

“Polis Kabul meninggalkan senjata AK47 mereka dan bermain orang salji di Kabul,” kata seorang penduduk. – AFP 

Gempa bumi sederhana landa Semenanjung Minahassa di Indonesia

KUALA LUMPUR: Gempa bumi sederhana berukuran 5.6 pada skala Richter melanda Semenanjung Minahassa di Indonesia pada jam 4.26 petang tadi.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini, gempa itu berpusat di 283 kilometer barat daya Manado, Indonesia, dan 763 kilometer tenggara Tawau, Sabah.
Gempa itu tidak membawa ancaman tsunami. - BERNAMA

Sekatan Barat: Dilema pelajar Iran di Malaysia

SHAH ALAM – Tindakan negara-negara Barat mengenakan sekatan dan tekanan ke atas Iran bukan sahaja menggugat kestabilan ekonomi republik itu, malah kesannya turut dirasai penuntutnya di negara lain termasuk di Malaysia.

Sinar Harian Online yang menjejaki beberapa penuntut Iran univerisit di Lembah Klang berkongsi kesan dan implikasi khususnya dalam meneruskan pengajian tinggi mereka.

Sara, 25, yang sudah berada di Malaysia lebih dua tahun mengikuti pengajian ijazah sarjana berkata, pada awal tahun pertama semuanya berjalan lancar dan mereka dapat menjalani kehidupan normal serta tumpuan terhadap pelajaran lebih berfokus.

Jumlah wang sara diri yang diperlukan oleh mereka dalam sebulan adalah RM2,000 termasuk untuk bayaran sewa rumah, keperluan makanan, kenderaan dan duit poket.

“Apabila konflik mula berlaku, ibu bapa kami mula menghadapi kesukaran untuk mengirim wang... apabila inflasi meningkat dan nilai mata wang dolar juga melambung," katanya dengan merahsiakan identiti diri atas faktor keselamatan.

“Kami amat sedih mengenangkan ibu bapa yang terpaksa berusaha mencari wang untuk menampung kos sara diri kami,” katanya.

Apa yang mengejutkan, cara ibu bapa mereka menghantar wang kepada mereka juga semakin sukar, apabila pada awal Disember lalu, Amerika Syarikat (AS) mengundi untuk mengenakan sekatan baru ke atas bank pusat Iran.

Langkah itu menyekat institusi kewangan asing berurusan dengan bank berkenaan.

“Apa yang boleh dilakukan oleh ibu bapa kami adalah menggunakan khidmat ejen di Iran. Selepas membuat bayaran kepada ejen, pihak mereka akan menghubungi wakil ejen mereka yang berada di Malaysia dan kami akan dimaklumkan bahawa wang kami telah dimasukkan.

“Adakalanya ibu bapa kami juga berhadapan dengan penipuan apabila terdapat ejen yang mengambil kesempatan dan menipu. Apabila ini berlaku, keadaan kami lebih menderita,” katanya.
Tambah Sara, sebagai alternatif, jika ada sahabat, kenalan atau saudara mara yang dikenali ingin datang ke Malaysia, ibu bapa akan kirim wang melalui mereka.
Bagaimanapun ia jarang-jarang berlaku, katanya lagi.

Ketika ditanya jika mereka ada membuat kerja sampingan, rakannya Mina, 24, mencelah, “menjadi kesalahan jika kami bekerja kerana kami berada di sini atas visa pelajar dan kerana kekangan inilah kami tidak dapat membuat kerja sampingan.”

“Apa yang boleh kami lakukan hanyalah berdoa setiap hari agar negara kami berhenti bergolak dan keamanan kembali menyinari setiap rakyat Iran,” ujarnya.

Seorang lagi penuntut, Maryam, 23, berkata, kesan perang di antara Iran dan Iraq yang berlangsung selama lapan tahun hingga Ogos 1988 masih dirasai.

Dan, kini rakyat terpaksa pula merasai penderitaan lain pula.

Ujar Mina, alangkah baiknya jika Iran seperti Malaysia di mana rakyatnya hidup dengan aman damai dan hidup muafakat dalam keadaan berbilang kaum.

“Rakan-rakan Malaysia juga sangat baik dan sering membantu kami ketika kami bermasalah dalam pelajaran.

“Pensyarah di sini juga sangat prihatin dan mengambil berat tentang kemajuan pelajar-pelajar,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan masa hadapan selepas tamat pengajian, mereka bertiga telah sepakat untuk merantau ke negara lain untuk mencari pekerjaan dan kehidupan baru.

“Bukan tidak sayangkan tanah air sendiri, tetapi selagi konflik seperti yang berlaku sekarang tiada penyelesaian, kami sendiri takut untuk pulang.

“Sudah ramai saudara-mara dan sahabat kami yang berada di negara seperi Sweden dan Amerika berjaya serta mampu membentuk kehidupan yang lebih baik," katanya lagi.

Sementara itu, Malaysia menjadi pilihan utama pelajar Iran untuk melanjutkan pelajaran peringkat sarjana dan kedoktoran berikutan suasana pembelajaran yang sesuai di negara ini.

Pengarah Hal Ehwal Pelajar Iran di Asia Tenggara, Prof Dr Azizollah Memariani sebelum ini pernah berkata, jumlah pelajar Iran di Malaysia merupakan yang tertinggi di Asia Tenggara sekitar 13,000 orang. Sekatan Barat: Dilema pelajar Iran di Malaysia - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

Kapal angkasa Rusia terhempas di Lautan Pasifik


Kapal angkasa

MOSCOW - Kapal angkasa Rusia terhempas ke dalam Lautan Pasifik, di luar persisiran pantai Chile, semalam, dua bulan selepas ia dilancarkan.

Serpihan kapal angkasa yang sepatutnnya digunakan untuk mengkaji planet Marikh itu ditemui bertaburan di laut dan lebih banyak pecahan kapal akan memasuki atmosfera Bumi, menurut Pasukan Pertahanan Angkasa Rusia.
Roket milik negara bekas Soviet itu gagal keluar dari orbit Bumi sejak ia dilancarkan, 9 November lalu.
Agensi angkasa Rusia memaklumkan serpihan kapal angkasa seberat 14 tan itu, termasuk 11 tan minyak roket bertoksik dijangka jatuh ke dalam Laut Atlantik antara Brazil dan Afrika Barat.
Kapal angkasa bernilai AS$165 juta (RM520 juta) direka untuk mengambil sampel tanah dari bulan planet Marikh tetapi ia terkandas di orbit dan mula jatuh ke Bumi secara perlahan-lahan akibat tarikan graviti.
Kapal angkasa Rusia terhempas di Lautan Pasifik - Global - Sinar Harian:

'via Blog this'

Jari hitam ubah siaran TV


Jari hitam ubah siaran TV

GOMBAK – Diganggu orang minyak ketika berada di dalam rumah adalah antara pengala­man yang tidak dapat dilupakan oleh seorang kanak perempuan berusia 8 tahun.

Kanak-kanak terbabit, Nurul Aishah Abdul Jamal berkata, dia terkejut selepas terpandang jari berwarna hitam tiba-tiba muncul dan menukar siaran televisyen kira-kira 10.45 malam, 31 Disember lalu.

Menceritakan kisah itu, Nurul Aishah berkata, dia pada mulanya mengagak kakaknya sedang bergurau untuk menakut-nakutkannya.

“Bila saya toleh ke kiri saya nampak orang warna hitam, kurus dan tinggi, macam tidak pakai seluar berdiri di dalam bilik dan kemudian hilang begitu sahaja,” katanya ketika ditemui.

Difahamkan ketika kejadian dia sedang menonton siaran Astro Ceria sebelum rancangan itu berubah ke siaran TV3.

Sementara itu, bapanya, Abdul Jamal Mohd Isa, 53, berkata, anaknya itu hanya menceritakan tentang perkara yang dialami sehari selepas kejadian itu.

“Ketika kejadian ibu dan kakaknya berada di rumah dia langsung tidak cerita apa-apa sehinggalah keesokannya, itu pun setelah dia ternampak seorang lelaki bertubuh gelap,” katanya.

Menurutnya kejadian itu benar-benar menakutkan, namun dia bersyukur anaknya tidak trauma dan tidak diapa-apakan oleh makhluk itu.

“Pelik sebab ketika kejadian di luar rumah ramai penduduk sedang sibuk menyiapkan makanan untuk sambutan tahun baru 2012, jadi berkemungkinan makhluk cuba mengambil kesempatan muncul di dalam rumah,” katanya.

Difahamkan kejadian yang menimpa anaknya itu merupakan kali kedua dilaporkan berlaku di pangsapuri berkenaan sebelum ini. Jari hitam ubah siaran TV - Selangor & KL - Sinar Harian:

'via Blog this'

Orang minyak masuk botol


Orang minyak masuk botol

GOMBAK – Tiga pakar ilmu Islam bergabung. Pengalaman dan ilmu digunakan sepenuhnya. Biarpun terpaksa berhempas pulas lebih dua jam, misi memerangkap orang minyak berakhir dengan jaya.

Melegakan penduduk kampung, bukan hanya orang minyak yang masuk perangkap, gangguan sampingan oleh jin-jin lain turut tumpas. Kesudahan misi, 25 botol digunakan untuk memerangkap jin-jin terbabit, termasuklah jelmaan jin orang minyak yang menjadi ibu gangguan misteri di kampung tersebut.

Pengamal Perubatan Darul Muhsinin, Ustaz Othman Mohd Salleh ketika ditemui Sinar Harian berkata, dia yakin makhluk dikaitkan dengan kehadiran orang minyak di kampung itu dapat diperangkap.

Menurutnya, lima jin utama yang berada sekitar kawasan kampung itu telah diperangkap dan dimasukkan ke dalam botol.

“Orang minyak itu adalah jel­maan jin, jika pengamalnya menggunakan minyak maka jin atau khadamnya akan muncul dalam bentuk itu dan dengan kuasa ALLAH, saya yakin salah satu daripadanya jelmaaan makhluk yang dikatakan orang minyak itu dapat diperangkap ,” katanya.

Upacara pembersihan dengan doa dan ayat suci al-Quran dilakukan jam 11.30 malam semalam, di sebuah rumah dibantu seorang wanita yang menjadi pengantara.

Program bermula dengan soal jawab dilakukan Ustaz Othman melalui jin yang memasuki tubuh wanita sebelum satu persatu jin diperangkap dan dimasukkan ke dalam botol.

Perjalanan upacara terganggu seketika selepas jin-jin yang hadir terlalu banyak di dalam rumah itu menyebabkan dua lagi ustaz daripada Perubatan Syifa’ Al-Ikhlas dipanggil.

Kehadiran dua ustaz nyata membantu, apabila satu persatu jin yang dikatakan mula memenuhi segenap pelosok rumah berkenaan berjaya diperangkap.

Tepat jam 1.45 pagi upacara tersebut selesai dan terdapat 25 jin berjaya diperangkap dan dimasukkan ke dalam botol. Orang minyak masuk botol - Selangor & KL - Sinar Harian:

'via Blog this'

Pukau guna ayat al-Quran


warga emas dipukau

TAL TUJOH – Seorang warga emas kerugian RM60,000 apabila dia dikatakan dipukau dua lelaki ketika pulang membeli kuih di Kampung Tal Tujoh, jam 10 pagi, semalam.

Mangsa, Azizah Yaacob, 66, berkata, dia ditegur dua lelaki lingkungan 40-an dan salah seorang daripadanya menggunakan dialek Indonesia.

Menurutnya, mereka menunjukkan sebentuk batu cincin dan membaca ayat-ayat suci al-Quran serta berselawat ke atas batu permata berkenaan.

“Selepas mendengarnya membaca ayat al-Quran, saya rasa kosong dan menuruti semua arahannya.

“Mereka menyuruh saya membuka rantai, dua cincin dan dua gelang tangan seterusnya menyuruh saya meletakkannya ke dalam sampul surat yang diberi,” katanya semalam.

Menurutnya, mereka membacakan ayat al-Quran dan berselawat sekali lagi, konon untuk memberikan rahmat bagi semua barangan kemas tersebut.

Menurutnya, selepas mereka membaca ayat al-Quran, mereka menyuruhnya membuat satu pusingan dan akhirnya mengembalikan sampul surat berkenaan.

Azizah berkata, mereka hanya membenarkan saya membuka sampul surat itu setelah tiba di rumah.

“Sekembalinya di rumah, saya terus membuka sampul berkenaan dan terkejut apabila saya dapati barang kemas tiada tetapi telah ditukarkan kepada gelang besi.

“Saya akan membuat laporan polis berhubung perkara ini, dan menasihati semua penduduk agar tidak mudah mempercayai individu tidak dikenali,” katanya. Pukau guna ayat al-Quran - Kelantan - Sinar Harian:

'via Blog this'

‘Culik’ budaya Sasak

KUALA LUMPUR: “Tiada apa yang menghairankan kerana kaedah ‘culik’ ini memang menjadi amalan suku kaum Sasak di Pulau Lombok ini. Bukan sehari dua, tapi saya difahamkan sudah lebih 15 generasi dari zaman nenek moyang kami mengamalkannya.

“Mengikut adat Lombok, menculik bukannya bermakna mencuri, tapi lebih kepada mengambil. Gadis itu pula bukannya dibawa ke mana-mana, tapi diletakkan sementara di rumah orang berpengaruh dan boleh dipercayai di kampung sebelah lelaki sementara menunggu wakil keluarga pergi berbincang dan menetapkan tarikh perkahwinan,” kata Embar, 49, wakil masyarakat Sasak ketika ditemui di kampungnya di Desa Sade, Rembitan, baru-baru ini.


Katanya, sudah menjadi adat bagi mereka yang tinggal di pulau itu untuk menculik anak gadis sebelum dimaklumkan kepada keluarga dan diijab kabul dengan lelaki pilihan, malah perkara itu amalan kaum Sasak sejak beratus tahun dulu.

Menurutnya, sehingga kini ia masih diamalkan dan di kampungnya terdapat kegiatan ‘menculik’ oleh pemuda yang jatuh cinta dengan gadis dan kemudiannya perbincangan lanjut antara dua keluarga diaturkan sebelum tarikh perkahwinan ditentukan.


“Cuma ketika ini ia semakin moden. Kalau dulu, si lelaki perlu memencilkan diri di dalam hutan untuk upacara ‘menyucikan diri’ kerana dalam tempoh mendapat persetujuan keluarga perempuan, dia perlu bersih daripada dosa.


“Biasanya selepas perempuan diculik dan tidak kembali ke rumah semalaman, keluarganya akan bersetuju untuk dikahwinkan dengan pilihan hatinya selepas melalui proses perbincangan yang biasanya diuruskan kepala desa (penghulu) di sesebuah kampung,” katanya.

Perkara itu turut diakui seorang pemuda tempatan yang mahu dikenali sebagai Awan, 39, yang sudah menculik gadis bagi pihak rakannya sebanyak 10 kali di kampung berkenaan.


Katanya, dia membantu beberapa rakannya yang ingin berumahtangga dengan menculik bakal isteri mereka dan dibawa ke rumah individu berpengaruh di kampung dan kepakarannya itu digunakan pemuda lain yang memintanya melarikan bakal pengantin perempuan.

“Sama ada culik mereka di rumah atau lari mengikut saya berjumpa keluarga lelaki, itu tidak penting kerana mengikut adat di sini, jika sudah mendapat kebenaran ibu bapa, mereka akan disatukan dalam pernikahan,” katanya.


Ditanya mengenai kemungkinan mempunyai rahsia tertentu untuk menculik perempuan, Awan yang mencari nafkah dengan melakukan kerja kampung berkata, tiada amalan tertentu untuk melakukan kegiatan itu kerana ia sudah menjadi adat dan sesiapa saja boleh melakukannya.


“Saya sendiri tidak ada kelebihan. Cuma, di sini, ia sudah diterima sebagai adat, jadi tiada masalah untuk menculik kerana masing-masing sudah faham dan menerima adat ini dengan hati terbuka. Paling mudah, jumpa dulu di luar rumah dan terus dibawa lari,” katanya yang mula menculik sejak 1994.


Seorang lagi pemuda, Jali, 40, berkata, selain adat berkenaan, pemuda Lombok juga bijak bermain kata-kata untuk memikat teman wanita menyebabkan mereka bersetuju untuk pulang mengikut teman lelaki seterusnya melangsungkan perkahwinan.


“Kami menggunakan gurindam dan seloka untuk mencairkan hati wanita untuk memikat seseorang sebelum menculiknya.


“Lakukan saja begini. Kalau anda mahu menculik gadis Lombok dan dibawa ke Malaysia, silakanlah,” katanya.

myMetro | ‘Culik’ budaya Sasak:

'via Blog this'

Nyawa Bibik diragut pagar

TUTUP...mayat mangsa di tempat kejadian, semalam.
TUTUP...mayat mangsa di tempat kejadian, semalam.

JOHOR BAHRU: “Ketika saya cuba mengangkat pagar itu, Bibik masih bernyawa, tetapi beberapa minit kemudian dia diam dan tidak bergerak,” kata Shahrul Hassan, 41, menceritakan insiden amahnya terbunuh akibat dihempap pintu pagar rumah majikannya di Jalan Raja Udang, Larkin Jaya, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, mangsa yang dikenali sebagai Oneh, 50-an, tergelincir ketika membersihkan halaman rumah dan memaut pintu pagar bagi mengelakkan terjatuh, namun pagar besi seberat lebih 200 kilogram itu tumbang lalu menghempap kepala serta badannya.

Shahrul berkata, dia menyedari kejadian itu apabila terdengar dentuman kuat.

Sebaik keluar rumah untuk mencari punca bunyi, dia menemui Oneh yang dipanggil Bibik dan bekerja dengan ibu bapanya sejak lebih tiga tahun lalu, berlumuran darah dihempap pintu pagar.


“Saya sedih melihat keadaannya dan tidak banyak yang dapat kami buat untuk menyelamatkannya. Saya juga sebak mengenangkan hasrat Bibik mengerjakan haji tidak tercapai kerana dia pernah memberitahu wang simpanannya sudah mencukupi.


“Bagaimanapun, kami sekeluarga reda dengan ketentuan ini dan menganggap ia sebagai takdir Allah,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

myMetro | Nyawa Bibik diragut pagar:

'via Blog this'

Lebih ramai mati?

KAPAL mewah Costa Concordia tersadai dan mula karam di perairan Pulau Giglio di utara Itali selepas terlanggar batu karang malam kelmarin ketika menuju Laut Mediterranean. Sekurang-kurangnya 39  orang masih hilang sehingga malam tadi.
KAPAL mewah Costa Concordia tersadai dan mula karam di perairan Pulau Giglio di utara Itali selepas terlanggar batu karang malam kelmarin ketika menuju Laut Mediterranean. Sekurang-kurangnya 39 orang masih hilang sehingga malam tadi.
KESAN kerosakan jelas kelihatan di bahagian bawa kapal Costa Concordia tidak jauh dari pantai Pulau Giglio, semalam. Tiga disahkan maut dan ramai lagi hilang akibat pelanggaran yang berlaku beberapa jam selepas ia memulakan pelayaran.
KESAN kerosakan jelas kelihatan di bahagian bawa kapal Costa Concordia tidak jauh dari pantai Pulau Giglio, semalam. Tiga disahkan maut dan ramai lagi hilang akibat pelanggaran yang berlaku beberapa jam selepas ia memulakan pelayaran.

ROME: Operasi menyelamat penumpang kapal mewah Itali yang terbalik di Laut Mediterranean berlanjutan selepas sepasang suami isteri yang berbulan madu ditemui hidup, semalam.

Awal malam tadi (waktu Malaysia), penyelamat berjaya menarik keluar mangsa ketiga - pengarah perkhidmatan kabin, Manrico Giampedroni, 57, yang ditemui dalam satu daripada kabin kapal berkenaan yang separuh tenggelam.

Dia dipercayai mengalami patah kaki.

Lebih 4,000 orang dipindahkan apabila kapal Costa Concordia terlanggar batu karang di luar pantai Tuscany malam kelmarin.


Dua penumpang warga Perancis dan seorang kru Peru disahkan mati, tetapi sehingga malam tadi, 38 orang masih hilang.


Pasangan pengantin baru yang diselamatkan itu berasal dari Korea Selatan.

Mereka - kedua-duanya berusia 29 tahun - terperangkap dua tingkat di bawah geladak apabila kapal berkenaan tiba-tiba karam.

Seramai 35 orang penyelamat mengambil masa 90 minit mengeluarkan pasangan terbabit pada awal pagi semalam (waktu tempatan) selepas mendengar mereka menjerit meminta tolong.

Menurut pasangan terbabit, mereka tidak melihat atau mendengar mangsa lain sepanjang tempoh 24 jam terperangkap di situ.

Sementara itu, kapten Costa Concordia, Francesco Schettino, ditahan bersama pegawai pertama, Ciro Ambrosio, di Balai Polis Porto Santo Stefano, Itali, untuk disoal siasat mengenai insiden itu.

Pegawai pendakwa, Francesco Verusio, pula menyiasat kemungkinan untuk mengenakan tuduhan membunuh dan meninggalkan kapal ketika penumpang masih dalam bahaya.

Katanya, kapal berkenaan menghampiri Pulau Giglio melalui “jalan salah.”

Sumber pula berkata, Schettino, 52, meninggalkan kapal itu kira-kira jam 11.30 malam (waktu tempatan) - kira-kira sejam selepas ia terlanggar batu karang.

Penumpang terakhir pula diselamatkan kira-kira tiga setengah jam kemudian.

Penyelamat berkata, mungkin ada mayat belum ditemui di bahagian kapal yang dimasuki air.

Jurucakap bomba, Luca Cari, berkata pakar selam akan memeriksa bahagian dalam kapal itu untuk mengetahui keadaan sebenar.

“Kami tidak menolak kemungkinan lebih banyak korban dicatatkan,” katanya.

Laporan sebelum ini mendakwa, 29 pekerja dapur warga Filipina dikhuatiri terperangkap di bahagian bawah kapal sepanjang 290 meter itu. - DM

myMetro | Lebih ramai mati?:

'via Blog this'