Pages

Tuesday, November 29, 2011

Culik tak sengaja

LEGA...ibu bapa kanak-kanak lima tahun lega selepas anak mereka ditemui semula.
LEGA...ibu bapa kanak-kanak lima tahun lega selepas anak mereka ditemui semula.
TAHAN...anggota polis (kiri) membawa dua daripada empat suspek yang   ditahan, semalam.
TAHAN...anggota polis (kiri) membawa dua daripada empat suspek yang ditahan, semalam.

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun terpaksa menempuh detik hitam hampir lima jam apabila ‘diculik’ secara tidak sengaja oleh seorang lelaki yang melarikan kenderaan mewah jenis BMW milik bapanya, semalam.

Dalam kejadian di Jalan KIP 1, Desajaya, di sini kira-kira jam 9.30 pagi itu, kanak-kanak malang terbabit ditinggalkan bapanya berusia 37 tahun dalam kenderaan di bahu jalan seketika kerana mahu membeli makanan di sebuah restoran di kawasan berhampiran.


Difahamkan, seorang lelaki tidak dikenali tiba-tiba meluru masuk ke dalam kenderaan yang tidak dimatikan enjinnya itu ketika bapa mangsa baru meninggalkan kenderaan itu.

Menyedari kenderaan dan anak lelakinya dilarikan, bapa mangsa bergegas membuat laporan di Balai Polis Kepong, sebelum kes dirujuk ke Balai Polis Desajaya untuk siasatan dan tindakan lanjut.


Menurut sumber, suspek yang melarikan kenderaan mewah itu dikatakan hanya menyedari ada seorang kanak-kanak lelaki di tempat duduk belakang selepas mangsa menangis ketakutan lima minit kemudian.


“Suspek bagaimanapun masih meneruskan niatnya melarikan kenderaan berkenaan tanpa menghiraukan tangisan kanak-kanak itu,” katanya.

Sumber berkata, sebaik laporan mengenai insiden itu diterima pihak berkuasa, usaha mengesan kanak-kanak terbabit giat dijalankan.


“Selain menghebahkan kejadian itu kepada semua unit peronda, beberapa sekatan jalan raya dilakukan bagi mengesan suspek di sekitar ibu negara,” katanya.

Usaha hampir lima jam itu membuahkan hasil apabila pihak berkuasa menerima maklumat mengatakan mangsa sedang di disembunyikan di sebuah hotel di Sri Damansara.


Sumber berkata, sepasukan polis dari Balai Polis Sri Damansara yang dimaklumkan bergegas ke lokasi kejadian sebelum menahan empat individu termasuk seorang wanita masing-masing berusia antara 20 hingga 34 tahun, kira-kira jam 2 petang. “Ketika ditahan, pihak berkuasa turut merampas sebuah kereta jenis Nissan Latio dipercayai milik kumpulan terbabit,” katanya.


Katanya, sebaik ditahan, seorang daripada suspek mengaku hanya berniat melarikan kenderaan mewah milik bapa mangsa tanpa menyedari terdapat kanak-kanak dalam kereta berkenaan.


“Semua yang ditahan kemudian dibawa ke balai polis berhampiran kawasan itu untuk soal siasat,” katanya yang turut memberitahu, pihak berkuasa sudah mengenal pasti lokasi kereta BMW milik mangsa disembunyikan.


Difahamkan, selepas merakamkan percakapan bapa mangsa, kanak-kanak malang itu kemudian diserahkan kembali kepada keluarganya.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Gombak, Superintendan Rosly Hassan ketika dihubungi, mengesahkan penahanan keempat-empat suspek.


Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 363 dan 379A kerana menculik daripada penjaga yang sah.

myMetro | Culik tak sengaja:

'via Blog this'

Esakan di makam keramat

myMetro | Esakan di makam keramat:KUNCI...Kori mengunci pintu makam Tok Pulau Manis yang gagal ditemui tiga kaki ekor.
KUNCI...Kori mengunci pintu makam Tok Pulau Manis yang gagal ditemui tiga kaki ekor.

KUALA TERENGGANU: “Tiga lelaki berserban dan berjubah itu merayu sambil menangis teresak-esak kepada saya meminta pertolongan menunjukkan jalan keluar dari kawasan makam Tok Pulau Manis selepas semalaman berlegar-legar kerana tidak nampak pintu keluar,” kata Imam Masjid Pulau Manis di sini, Kori Endut.

Kori, 68, berkata demikian ketika mendedahkan mengenai padah menimpa tiga lelaki berlagak alim yang melakukan upacara pemujaan nombor ekor di kubur ulama terkenal, Syeikh Abdul Malik Syeikh Abdullah di Kampung Pulau Manis, Serada, di sini.

Beliau berkata, tiga lelaki berusia 40-an terbabit lengkap berserban dan berjubah bagi mengabui mata orang ramai ketika memuja nombor ekor di kubur ulama yang lebih dikenali sebagai Tok Pulau Manis itu.

Menurutnya, kejadian yang menimpa tiga sahabat itu yang tidak dapat mencari jalan keluar selepas melakukan aktiviti pemujaan, antara padah yang menimpa mereka yang melakukan perbuatan khurafat di kubur berkenaan.


Kori bertanggungjawab menjaga kubur berkenaan yang terletak kira-kira 50 meter dari Masjid Pulau Manis berkata, dia melihat tiga lelaki itu menangis teresak-esak sambil berlegar-legar di sekeliling kawasan makam itu jam 7 pagi.

Bayi dalam beg digantung di cermin sisi kereta

SHARJAH: Seorang bayi baru lahir ditemui terbiar, pagi semalam di kawasan Abu Shagara, kata polis Sharjah.
Polis berkata, bayi itu yang dipercayai berketurunan Afrika ditemui orang yang lalu di situ dalam sebuah beg yang digantung pada cermin sisi sebuah kereta kira-kira jam 5.20 pagi, semalam.
Seorang lelaki yang dalam perjalanan ke masjid untuk solat Subuh mendengar tangisan bayi sebelum menemui beg berkenaan.
Dia kemudian menghubungi bilik operasi polis di sini. Bayi itu kemudian dibawa ke Hospital al-Qasimi oleh ambulans.
Polis Sharjah kini aktif menjalankan siasatan bagi menjejaki ibu bayi berkenaan. Sumber di Hospital al-Qasimi berkata, bayi seberat tiga kilogram itu dalam keadaan baik.
 Sumber itu juga berkata, Jawatankuasa Perlindungan Kanak-Kanak yang dipengerusikan Pengarah Perubatan Sharjah, Shaikh Mohammad Bin Saqr al-Qasimi akan menjaga bayi malang itu.
Terdapat 1,068 kanak-kanak yang dipelihara jawatankuasa itu. myMetro | Bayi dalam beg digantung di cermin sisi kereta:

'via Blog this'

12 mayat mangsa jambatan roboh sudah ditemui

TENGGARONG (Indonesia): Dua belas mayat sudah ditemui dari sebatang sungai selepas sebuah jambatan roboh di sini menyebabkan puluhan kenderaan terjunam ke dalam sungai, kata pihak berkuasa, semalam.

Kira-kira 30 orang dipercayai hilang selepas jambatan sepanjang 720 meter yang dibina menyamai jambatan Golden Gate di San Francisco yang merentasi Sungai Mahakam itu runtuh Sabtu lalu.


Pasukan penyelamat terpaksa menghentikan operasi menyelam dan mencari mangsa buat sementara waktu kerana tahap penglihatan yang buruk akibat keadaan air yang keruh dan arus deras. “Satu lagi mayat ditemui menjadikan jumlah kematian kepada 12,” kata ketua agensi mencari dan menyelamat Kalimantan Timur, Harmoni Adi.

Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho mengesahkan pengemaskinian jumlah kematian itu sambil berkata, beberapa mayat terdampar di tebing sungai “Seramai 14 lagi masih dirawat di hospital,” katanya sambil menambah darjah penglihatan mencatat kosong di sungai sedalam 40 meter itu. - AFP

myMetro | 12 mayat mangsa jambatan roboh sudah ditemui:

'via Blog this'

Potong tangan untuk tuntut insurans

TAIPEI: Seorang lelaki yang berkata tangannya perlu dipotong berikutan satu rompakan di China, disoalsiasat oleh polis di sini kerana dakwaan kecederaan itu dipercayai akibat perbuatannya sendiri.

Polis berkata, syarikat insurans Hu Chi-yang, 59, memohon supaya kes itu disiasat dan memetik polis China sebagai berkata, lelaki itu membeli polisi insurans berjumlah AS$1 juta (RM3 juta) sebelum kejadian.


Gambar Hu dengan tangan kirinya yang kudung disiarkan menerusi televisyen ketika dalam perjalanan ke balai polis.

Kes itu timbul awal bulan ini apabila Hu, bekas ahli perniagaan memberitahu media Taiwan, dia diserang berulang kali oleh tiga lelaki di Fujian, tenggara China.


Menurutnya, dia dirompak kira-kira AS$600 dan perompak terbabit hampir memotong tangannya hingga putus untuk melarikan cincin dan jam Rolex. Dia terpaksa menjalani pembedahan memotong tangan itu selepas doktor di China berkata, ia terlalu teruk untuk diselamatkan.


Hu kemudian mendakwa polis China enggan membenarkan dia membawa pulang tangan itu ke Taiwan, menyebabkan dia tidak boleh menggunakannya sebagai bukti.

Pada sidang akhbar Isnin lalu, polis di Fujian berkata, mereka percaya kecederaan Hu adalah akibat perbuatannya sendiri dan berkata, tangan itu dipotong dengan cermat dan darah yang diambil dari tempat kejadian mengandungi bahan bius.


Menurut agensi berita China News Service, polis turut menemui kesan jari Hu pada pisau yang ditemui di kawasan berhampiran dan bukti menunjukkan dia membelinya dari sebuah kedai tempatan.

Polis dan pendakwa raya di Taipei berkata, mereka membuka kes terhadap Hu.


“Kami diminta oleh sebuah syarikat insurans tempatan supaya menjalankan siasatan,” kata Timbalan Ketua Biro Siasatan Jenayah Taiwan,Yang Yuan-ming kepada wartawan.


Yang memetik penyiasat China sebagai berkata, Hu membeli polisi insurans bernilai AS$1 juta sebelum berlepas ke China. - AP

myMetro | Potong tangan untuk tuntut insurans:

'via Blog this'

16 anak dengan 14 wanita

CUMMING...tak bertanggungjawab.
CUMMING...tak bertanggungjawab.

LONDON: Bapa paling pemalas dan tidak bertanggungjawab di Britain dijangka menyambut kelahiran anaknya yang ke-16 hari ini.
Anak-anaknya itu dilahirkan oleh 14 wanita berlainan beberapa hari lagi.

Dalam pada itu, seorang lagi anaknya akan dilahirkan dalam masa beberapa minggu lagi.
Penganggur, Jamie Cumming dan teman wanitanya menjangka anak itu akan dilahirkan Jumaat lalu.

Bagaimanapun, bakal ibu yang berusia belasan tahun itu dihantar pulang dari hospital selepas doktor mendapati masa kelahirannya belum tiba.

Cumming, 34, dari Dundee yang sudah menjadi bapa kepada 15 anak hasil hubungan dengan 13 wanita berlainan sebelum ini, juga menanti kelahiran seorang lagi anak dari seorang wanita lain pada Januari depan.

Kekasihnya ketika ini ialah gadis berusia 19 tahun, Chelsea, sementara seorang lagi teman wanitanya, juga berusia 19 tahun, melahirkan anaknya yang ke-15 dua minggu lalu. Cumming yang berasal dari Dundee tidak mampu menyara anaknya yang ramai itu dan kebanyakan wanita yang melahirkan anaknya juga bergantung kepada bantuan kebajikan. Ibu Cumming, Lorraine yang tidak bercakap dengan anaknya itu berkata, dia malu dengan perbuatan Cumming dan menggesa dia bekerja lebih keras untuk menyara semua anaknya. “Dia sudah begitu lama menganggur tetapi tidak ada tanda-tanda mahu bekerja. “Kami tidak bertegur sapa antara satu sama lain dan walaupun saya begitu menyanyanginya kerana dia anak saya, saya begitu kecewa dengan sikapnya. “Sungguh sukar untuk berdepan dengan keadaan ini tetapi saya berusaha untuk menjenguk semua cucu saya. Dia langsung tidak peduli walaupun dia menyangka dia bapa yang baik kerana tinggal dengan tiga daripada mereka. Lorraine juga menyelar sikap bebas anaknya dalam memilih teman. “Saya sungguh sedih kerana dia langsung tidak mempedulikan anak sulungnya, Samantha yang saya pelihara sejak dilahirkan. Usia wanita yang digauli anak saya ketika ini tidak jauh beza daripada Samantha. Dia sungguh sukakan gadi remaja. Saya boleh sifatkan dia sebagai pemangsa seks.” Cumming berusia 17 tahun apabila Samantha dilahirkan pada 1995. Lorraine dan suaminya terpaksa membesarkan Samantha, yang kini berusia 16 tahun, seperti anak mereka sendiri. Antara 1997 dan 2002, Cum- ming menjadi bapa lima anak hasil hubungan dengan lima wanita berlainan. Pada 2004, dua anak perempuan dan seorang lelaki dilahirkan selang beberapa bulan dan antara Disember 2007 dan Ogos 2008, bekas pekerja bar itu memperoleh tiga lagi anak. - Agensi myMetro | 16 anak dengan 14 wanita:


2 rentung kapal meletup di jeti

TIGA buah kapal nelayan turut musnah terbakar dalam kejadian letupan di Jeti Angkasa Baru dekat Kudat, kelmarin.
TIGA buah kapal nelayan turut musnah terbakar dalam kejadian letupan di Jeti Angkasa Baru dekat Kudat, kelmarin.
Seorang lagi mangsa lemas ketika terjun ke laut cuba selamatkan diri

KOTA KINABALU: Dua rentung manakala seorang lagi lemas apabila tangki minyak sebuah kapal nelayan yang berlabuh di Jeti Angkasa Baru, di Kudat, kira-kira 200 kilometer (km) dari sini, meletup lalu terbakar, malam kelmarin.

Mangsa yang rentung dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu adalah masing-masing seorang lelaki dan wanita, manakala mangsa lemas adalah wanita yang dipercayai cuba menyelamatkan diri dengan terjun ke laut.
Semua mangsa berusia 20-an itu yang masih dikenal pasti identitinya dipercayai berada di atas kapal nelayan berkenaan ketika kebakaran berlaku.
Kebakaran itu juga menyebabkan empat lagi rakan mereka termasuk seorang wanita berusia di antara 21 hingga 50 tahun yang berada di bahagian luar kapal mengalami cedera parah, iaitu Richard Mohd, 21; Hamid Gabin, 35; Muhd Ayob Buyong, 50 dan seorang wanita dikenali sebagai Mylen Masarap, 27.

Semua mangsa yang mati dihantar ke Hospital Kudat untuk bedah siasat, manakala mangsa yang cedera dimasukkan ke hospital sama untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kudat, Deputi Superintendan Dawi Ossen ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut masih dilakukan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Katanya, siasatan awal mendapati tiga mangsa yang mati dipercayai berada di atas kapal nelayan yang terbakar akibat letupan tangki minyak itu.
Beliau berkata, mangsa pertama iaitu wanita yang mati dipercayai akibat lemas kerana tiada kesan terbakar, ditemui kira-kira jam 6.50 pagi manakala dua mangsa yang rentung termasuk seorang lelaki di temui kira-kira jam 11.30 pagi, tidak jauh dari lokasi kejadian.

“Semua mangsa yang selamat itu mengalami kecederaan parah selepas bertindak terjun dari kapal dan bot mereka untuk menyelamatkan diri.

“Siasatan awal juga mendapati dua daripada tiga mangsa yang mati dipercayai rakyat Filipina,” katanya.
Berita Harian Online | 2 rentung kapal meletup di jeti:

'via Blog this'

Banjir lumpur hempap bumbung

TEMBOK  yang dibina pemaju rapat dengan rumah penduduk di  Kampung Melayu Tambahan Batu 16, Rawang.
TEMBOK yang dibina pemaju rapat dengan rumah penduduk di Kampung Melayu Tambahan Batu 16, Rawang.
Penduduk bimbang tanah runtuh berikutan tembok projek himpit rumah

RAWANG: Tujuh keluarga trauma setiap kali hujan lebat kerana ia akan menyebabkan kediaman mereka di Jalan Sepakat, Kampung Melayu Tambahan, Batu 16, di sini, dilanda banjir lumpur.

Kejadian yang setakat ini sudah berlaku tiga kali pernah hampir meragut nyawa mereka apabila air bercampur lumpur, batu, kayu dan besi yang mengalir laju dari atas bukit di kawasan projek perumahan berhampiran menghempap bumbung rumah mereka sebelum banjir.
Yang pertama berlaku pada 28 Oktober lalu, kira-kira 6.30 petang selepas hujan lebat dan mangsa menyifatkan kejadian itu bagaikan tsunami kecil.
Lebih malang, belum pun habis kerja pembersihan kesan lumpur dan kerosakan lain dijalankan, kejadian yang cukup menakutkan itu berulang lagi pada 11 November kira-kira jam 10 pagi dan 17 November lalu pada 4 petang.

Ahmad Hadzer Daud, 50, berkata dalam kejadian pertama, beliau sekeluarga sedang sibuk membuat persiapan katering untuk kenduri kahwin apabila tiba-tiba terdengar bunyi benda menghempap atas bumbung rumahnya.

“Selepas itu, kami dapat melihat limpahan air lumpur yang laju dari arah tembok di belakang rumah.

“Ia seperti air terjun dan mengalir laju seperti anak sungai. Keadaan mencemaskan itu berlaku selama dua jam menyebabkan kami semua tidak berani duduk di dalam rumah.
“Habis semua peralatan memasak dan perabot rosak.

“Apa kami kesalkan, pemaju yang membangunkan kawasan di atas bukit berhampiran seolah-olah lepas tangan sedangkan rumah saya retak teruk manakala peralatan memasak, katering, pakaian dan perabot di dalam rumah turut rosak,” katanya kepada Sentral.

Seorang lagi mangsa, Shuib Abu Seman, 48, berkata sejak pemaju meratakan kawasan bukit di belakang rumah mereka setahun lalu untuk projek perumahan, pelbagai masalah dialami penduduk termasuk pencemaran udara, bunyi dan paling teruk rumah mereka mengalami retak di sana sini, selain banjir lumpur.

“Tembok setinggi empat meter dengan panjang hampir satu kilometer yang didirikan pemaju, terletak di atas sempadan rizab dan terlalu hampir dengan rumah penduduk.

“Malah ada menghimpit bumbung rumah penduduk. Paling menakutkan, ada beberapa kesan keretakan pada tembok batu yang boleh menyebabkan tembok berkenaan jatuh di atas bumbung rumah penduduk pada bila-bila masa,” katanya.

Beliau berkata, penduduk sudah beberapa kali berbincang dengan pemaju untuk menuntut pampasan dan mereka bersetuju membayar mengikut kerugian dialami ketika perbincangan dijalankan pada hari kejadian pertama.

Bagaimanapun, selepas seminggu, pemaju bertukar fikiran dan mengatakan akan membayar RM1,000 saja untuk setiap keluarga sebagai bayaran ganti rugi.

Beliau juga kesal kerana bantuan yang dimohon daripada pelbagai pihak termasuk Ahli Majlis Majlis Perbandaran Selayang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Gan Pei Nei tidak dilayan.
Berita Harian Online | Banjir lumpur hempap bumbung:

'via Blog this'

Israel hadapi 150,000 peluru berpandu

TEHRAN: Israel akan diserang dengan 150,000 peluru berpandu jika ia melancarkan sebarang tindakan ketenteraan terhadap Iran, kata Menteri Pertahanannya, Jeneral Ahmad Vahidi.

Menteri berkenaan memberitahu bahawa sukarelawan tentera Israel perlu dihukum terhadap apa yang mereka lakukan kepada penduduk Islam di Palestin, lapor Iran Independent News Service semalam.
Bercakap kepada 50,000 sukarelawan tentera di Bushehr, menteri terbabit berkata bahawa Iran bukanlah Iraq ataupun Afghanistan.
“Jika Amerika Syarikat melancarkan serangan dan menyerang Iran, kita akan tunjukkan kepada mereka bagaimana untuk berlawan, sambil menambah Israel perlu dihukum terhadap apa yang dilakukan kepada penduduk Palestin dan Lubnan,” katanya.

Vahidi tidak menyatakan secara spesifik sama ada peluru berpandu itu akan dilancarkan dari Iran atau lokasi lain.

Pada Sabtu lalu, seorang komander kanan Pengawal Revolusi Iran berkata bahawa negara itu akan mensasarkan perisai pertahanan peluru berpandu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Turki jika Amerika atau Israel menyerang Republik Islam berkenaan.

Jeneral Amir Ali Hajizadeh, ketua bahagian aeroangkasa pasukan pertahanan Iran dipetik agensi berita separa rasmi Mehr memberi amaran bahawa persiapan yang dilakukan oleh Tehran adalah sebahagian strategi untuk menghadapi ancaman Amerika dan Israel.
Menteri Pertahanan Iran berkenaan juga memberi amaran mengenai serangan balas oleh Amerika tetapi tindakan itu perlu melepasi pertahanan ampuh Iran.

“Amerika dan sekutunya perlu tahu bahawa Iran terlalu kuat dan berusaha akan mengajar Amerika bagaimana untuk berperang dan apa maknanya untuk berperang dan menjadi wira,” kata Vahidi kepada sekumpulan sukarelawan itu di Bushehr, sebuah bandaraya menempatkan loji kuasa nuklearnya.

Iran bertegas bahawa program nuklear negara itu adalah untuk tujuan keamanan tetapi laporan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) pula menyatakan bahawa Tehran berterusan membangunkan teknologi senjata nuklear.

Sejak laporan itu disiarkan, negara Barat mendesak masyarakat antarabangsa mengenakan tekanan terhadap rejim Tehran untuk menangguhkan program nuklear terbabit.

Amerika, Britain dan Kanada mengenakan sekatan terhadap sektor kewangan dan tenaga Iran, memaksa Tehran mengusir duta Britain. Perancis dan Belanda juga menggesa tindakan sama terhadap republik Islam itu. – Agensi
Berita Harian Online | Israel hadapi 150,000 peluru berpandu:

'via Blog this'

Paku dalam badan amah

RIYADH: Pembantu rumah Sri Lanka yang ditemui tujuh paku dalam tubuhnya berikutan pembedahan yang dilakukan di Hospital Pusat Dammam, Sabtu lalu, enggan menamakan orang bertanggungjawab melakukan jenayah itu ke atasnya.

Menurut sumber, Balsubramaniuam Shashikala, 22, dimasukkan ke hospital oleh majikannya selepas mengadu sakit badan. Doktor yang melakukan pembedahan menemui tujuh paku di dalam tubuhnya.
Pegawai Kedutaan Sri Lanka di Riyadh bergegas ke hospital untuk melihat ke mana Shashikala pergi selepas dia dibenarkan keluar pagi berikutnya, lapor Arab News. Sumber berkata, pihak kedutaan menggesa polis mengadakan siasatan penuh terhadap kes itu. Pembantu rumah itu cuma mengingati dia diberi ubat pelali oleh isteri majikannya dan tidak mampu memberitahu apa yang berlaku selepas itu.

Shashikala memberitahu polis majikannya tidak pernah melayannya dengan buruk sejak tiba di negara itu pada 22 Ogos lalu. Dia kini diletakkan dalam penjagaan kedutaan sehingga kes itu selesai.

Minggu lalu, Biro Pekerjaan Asing Sri Lanka (SLBFE) membayar ganti rugi kepada seorang warga Bahrain untuk membebaskan pembantu rumah wanita Sri Lanka yang mendakwa didera majikan.

Pembantu rumah itu menuduh majikannya memasukkan paku ke dalam tubuhnya. Selepas pegawai SLBFE masuk campur dan meletakkannya dalam jagaan badan bukan kerajaan di Bahrain, dia dilaporkan menarik semula kenyataan.
Majikannya memfailkan kes mendakwa difitnah oleh pembantu rumah berkenaan.
“SLBFE menghubungi warga Bahrain itu dan membayar wang kepadanya untuk menarik balik kes,” kata pengerusi agensi itu, Kingsley Ranawaka.

Pembantu rumah berkenaan yang dibawa balik ke Sri Lanka oleh SLBFE, dirawat di hospital di Colombo kerana sakit perut.

SLBFE mula menyiasat selepas pembantu rumah itu mendakwa didera oleh majikannya.
“Kami menghantar pegawai dari Kuwait untuk menyiasat perkara itu. Selepas pegawai terbabit meletakkan dia dalam jagaan NGO, dia enggan mendakwa majikannya. Dia cuma berlakon supaya dihantar pulang,” kata Ranawaka.

Ranawaka berkata, SLBFE turut menyiasat kes yang berlaku di Arab Saudi kerana sudah menjadi dasar biro itu.

“Apa pun kosnya, kami akan menghantar doktor berkelayakan untuk memeriksa perkara itu dan akan mengambil langkah memfailkan tindakan undang-undang bagi pihak pekerja Sri Lanka,” katanya.

Katanya, membuat tuduhan palsu cuma memburukkan keadaan dan merosakkan imej Sri Lanka.

Katanya, jika pekerja memerlukan bantuan, mereka boleh datang ke biro itu pada bila-bila masa dan pegawai sedia membantu mereka. – Agensi
Berita Harian Online | Paku dalam badan amah:

'via Blog this'

Abu Sayyaf dituduh bom hotel

ZAMBOANGA: Militan Abu Sayyaf dipercayai bertanggungjawab selepas polis menemui satu mayat di bawah runtuhan hotel Filipina yang dibom, menjadikan angkat korban kepada tiga orang.

Letupan itu berlaku ketika lokasi berkenaan dipenuhi tetamu sebuah majlis persandingan tetapi ia dipercayai tidak ada kena mengena dengan motif serangan.
Abu Sayyaf dipercayai melakukan dua letupan bom serentak, satu lagi dilakukan di pulau Basilan yang berdekatan selepas pihak berkuasa menemui alat letupan sebelum dimatikan situ. “Letupan itu agak kuat hingga merobohkan sebahagian besar hotel dan memecahkan tingkap di beberapa bangunan berhampiran,” kata Datuk Bandar Zamboanga, Celso Lobregat.

Dua daripada mangsa yang cedera dalam keadaan tenat, manakala lebih daripada 12 lagi terus memantau mangsa lain.

Polis berkata, mereka turut menemui kesan kimia yang digunakan untuk menghasilkan bom dalam sisa runtuhan Hotel Atilano Pension House, beberapa jam selepas letupan tengah malam kelmarin.

“Kami menemui satu lagi mayat di bawah runtuhan dan kami melakukan apa yang terdaya untuk menangkap mereka yang mendalangi serangan ini,” kata ketua polis bandar raya, Superintenden Kanan Edwin de Ocampo.
Bahan letupan 10 kilogram yang sama kuat dengan kesan TNT dilaporkan digunakan dalam serangan itu. Katanya, 27 cedera dalam letupan itu, yang datang daripada salah satu bilik hotel berkenaan.

Kekuatan letupan memusnahkan tingkat atas bangunan dua tingkat itu, manakala kebakaran yang menyusul akibat letupan meranapkan tingkat bawah, kata wartawan yang berada di tempat kejadian.

De Ocampo berkata, siasatan awal menunjukkan letupan berkemungkinan disebabkan bom yang diubah suai walaupun tidak kumpulan mendakwa bertanggungjawab melancarkan serangan.

Bandar raya Zamboanga kerap menjadi sasaran serangan bom, selalunya dilancarkan pemisah Islam dan kumpulan bersenjata yang beroperasi di kawasan sekitar atau kepulauan berhampiran. Oktober lalu, letupan bom meragut dua nyawa di Zamboanga. Pergerakan Abu Sayyaf yang dikaitkan dengan al-Qaeda beroperasi di seberang selat berhampiran pulau Basilan, dan dari situ selalu menculik dan melancarkan serangan bom.

Inspektor Cesar Memoracion berkata, pihaknya sudah memberi amaran kepada pemilik hotel itu supaya berjaga-jaga menghadapi serangan tetapi tidak mendedahkan identiti penyerang.

Pada Januari 2000, hotel itu digegarkan letupan menyebabkan tiga militan yang memasangnya terbunuh dalam bilik mereka. – AFP
Berita Harian Online | Abu Sayyaf dituduh bom hotel:

'via Blog this'

Afghanistan suruh NATO serang pos tentera Pakistan

 TENTERA Pakistan memberi penghormatan terakhir kepada rakan mereka yang terbunuh akibat serangan NATO.
TENTERA Pakistan memberi penghormatan terakhir kepada rakan mereka yang terbunuh akibat serangan NATO.
Serangan udara cetus ketegangan di antara Kabul, Islamabad, Washington

PESHAWAR: Tentera Afghanistan yang diserang ketika bertugas berhampiran sempadan Pakistan meminta bantuan pesawat udara Perjanjian Pakatan Atlantik Utara (NATO) yang membawa kepada pembunuhan 28 askar Pakistan di dua pos pemeriksaan.

Pada masa sama, pegawai Afghanistan juga mengakui mereka tidak pasti siapa yang menembak anggota perondanya sebelum subuh Sabtu lalu kecuali tembakan itu dilepaskan dari arah pos pemeriksaan Pakistan.
Bagaimanapun, Pakistan semalam menafikan melakukan provokasi yang membawa kepada serangan udara NATO, sekali gus meningkatkan ketegangan berhubung serangan merentasi sempadan yang terus mengeruhkan hubungan Amerika Syarikat dan Pakistan.
“Ini tidak benar. Mereka reka alasan. Jika betul, di manakah korban mereka,” kata jurucakap ketua tentera Pakistan, Mejar Jeneral Athar Abbas.

Tentera Pakistan juga mendedahkan, serangan udara NATO berterusan selama dua jam meskipun panglima tentera Pakistan merayu supaya ia dihentikan.

Sementara itu, beribu-ribu penduduk berkumpul di luar Konsulat Amerika di Karachi kelmarin untuk membantah serangan itu.

Wartawan agensi berita yang berada di lokasi berkata, penduduk melaungkan ‘Matilah Amerika’ manakala seorang lelaki dilihat memanjat tembok dan meletakkan bendera Pakistan pada kawat besi.
“Amerika menyerang sempadan kami. Kerajaan perlu memutuskan hubungan dengannya segera. Amerika mahu menceroboh negara kami tetapi kami tidak akan membenarkannya,” kata Naseema Baluch, suri rumah yang turut hadir dalam perhimpunan itu.

Ramai rakyat Pakistan percaya tentera yang memerangi militan cuma melindungi kepentingan Barat.

Kejadian itu memburukkan lagi hubungan kedua-dua negara. Tentera Pakistan berkata, NATO melancarkan serangan tanpa sebab dan menegaskan tiada aktiviti militan berhampiran pos sempadan di wilayah Mohmand.

Berang dengan serangan itu, Islamabad menutup sempadannya kepada trak yang membawa bekalan kepada tentera pelbagai negara di Afghanistan dan menuntut Amerika mengosongkan pangkalan udaranya dalam masa 15 hari.

Ketua tentera Pakistan, Jeneral Ashfaq Pervez Kayani, menghadiri majlis pengebumian mangsa ketika Washington berusaha meminimumkan ketegangan kedua-dua negara.

Hubungan keruh kedua-dua negara mencapai kemuncak selepas pasukan khas Amerika membunuh pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden di Abbottabad, Mei lalu.

Menteri Luar Pakistan, Hina Rabbani Khar, memberitahu Setiausaha Negara Amerika, Hillary Clinton, serangan NATO itu menafikan semua kemajuan dalam memulihkan hubungan kedua-dua negara.

Dia memberitahu Hillary dalam panggilan telefon serangan itu tidak dapat diterima dan mencetuskan kemarahan di kalangan rakyat negaranya.

Islamabad juga membuat bantahan kepada kerajaan Afghanistan, dan berkata ia sepatutnya menghalang NATO menyerang Pakistan.

Seorang pegawai Afghanistan menyifatkan bantahan itu sebagai tidak berasas dan berkata NATO beroperasi di Afghanistan dengan mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas diluluskan Pakistan. – Agensi
Berita Harian Online | Afghanistan suruh NATO serang pos tentera Pakistan:

'via Blog this'

Peluru sesat: 2 beradik terselamat



Foo Yong Kent melihat kesan tembakan perompak terkena pada kereta bapanya dalam kejadian rompakan kedai emas di Wakaf Tapai, Marang, Terengganu, semalam.


MARANG 28 Nov. - Dua beradik melalui pengalaman mengerikan apabila mereka nyaris terkena tembakan peluru sesat yang dilepaskan seorang perompak di luar sebuah kedai emas di pekan Wakaf Tapai dekat sini hari ini.

Ketika kejadian pada pukul 11.30 pagi itu, Foo Yong Kent, 9, dan Foo Yong Jack, 6, sedang berada di dalam kereta menunggu ibu mereka, Wee Sow Tian, 46, membasuh tangan di kedai milik keluarga itu sebelum ke bandar Kuala Terengganu.

Satu das tembakan yang dilepaskan perompak itu menembusi cermin hadapan kereta jenis Proton Iswara Aeroback dinaiki kanak-kanak itu namun mujur ia tidak mengenai mereka.

Meskipun dua kanak-kanak itu terselamat dan tidak mengalami kecederaan, mereka kini berada dalam keadaan trauma berikutan kejadian tersebut.

Ketika tembakan peluru sesat itu dilepaskan, Yong Kent berada di tempat duduk depan sebelah pemandu manakala adiknya, Yong Jack di kerusi belakang.

Tembakan dilepaskan perompak terbabit ke arah pemilik kedai emas sebelum melarikan diri bersama rakannya dengan sebuah motosikal menghala ke Bukit Payong.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Ahmad Mazlan Yahaya berkata, tembakan itu dilepaskan sebaik sahaja penjenayah itu terserempak dengan pemilik premis berkenaan ketika cuba melarikan diri.

Bagaimanapun, katanya, pemilik kedai emas terbabit terselamat kerana dia sempat mengelak dengan menyorok di tepi sebuah kereta.

"Kedua-dua penjenayah sebelum itu melarikan satu dulang barang kemas bernilai RM10,000 setelah merompak kedai emas itu menggunakan sepucuk pistol dan tukul besi," katanya di sini hari ini.

Berikutan itu, polis melancarkan operasi memburu dua penjenayah terbabit dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang di talian 09-6812222 bagi membantu siasatan.

Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

Peru pulihara kompleks purba



Pemandangan kompleks purba Marcahuamachuco di Peru. – AFP


LIMA 28 Nov. – Kerajaan Peru melancarkan usaha memulihara sebuah kompleks purba berusia kira-kira 1,600 tahun di utara Andes, Marcahuamachuco bagi menjadikannya sebagai pusat tarikan pelancongan di negara ini.

Kebanyakan harta arkeologi dan artifak yang terdapat di dalam kompleks purba di kawasan gunung seluas 240 hektar itu telah dicuri, namun strukturnya termasuk bangunan batu, beberapa galeri dan sebuah pusat keagamaan masih dapat dilihat sehingga sekarang.

Persoalan mengenai siapakah penduduk di kawasan itu dan mengapa mereka memilih tinggal di sana masih menjadi misteri.

Ketua arkeologi yang dilantik kerajaan, Cristian Vizconde berkata, kompleks itu dibina seperti sebuh kubu bagi mengelak ia diserang dan dijajah.

‘‘Marcahuamachuco di Quechua mempunyai penduduk yang memakai topeng seperti burung helang telah dikaji oleh ahli arkeologi sejak 1900,’’ ujarnya.

Beliau berkata, sebahagian dari kawasan itu masih tertimbus dan dimensi sebenar kompleks berkenaan masih tidak diketahui.

Pada Oktober tahun lepas, kerajaan bekerjasama dengan sebuah badan yang melindungi kawasan warisan budaya dunia, Global Heritage Fund untuk memulihara Marcahuamachuco.

Sejumlah dana disediakan untuk mengkaji dan memulihara Marcahuamachuco bagi dijadikan destinasi pelancongan mampan.

Ia juga bertujuan untuk diisytiharkan sebagai warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO).

Vizconde berkata, ia merupakan kompleks paling penting pada zaman purba pra-Inca di Andes yang mempunyai bahasanya sendiri dikenali sebagai culli.

– AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Banjir: Pelancongan Thailand rugi 32 bilion baht


BANGKOK 28 Nov. — Banjir terburuk yang melanda Thailand dalam tempoh lima dekad menyebabkan industri pelancongan di negara ini mengalami kerugian dianggarkan mencecah 32 bilion Baht (kira-kira RM3.2 bilion).

Jurucakap Kementerian Pelancongan dan Sukan Watchara Kannika berkata, banjir itu menyebabkan Thailand kehilangan pendapatan antara 16 bilion Baht dan 19 bilion Baht (kira-kira RM1.6 bilion dan RM1.9 bilion) daripada SEGI pelancong asing.

Bagi pelancong domestik pula, kerugian dianggarkan 13 bilion Baht (kira-kira RM1.3 bilion), katanya.

Thailand diunjur akan kehilangan antara 400,000 hingga 750,000 pelancong asing dan enam juta pelancong tempatan akibat bencana alam itu.

Beliau berkata, pihaknya meramalkan banjir akan bertambah baik pada hujung bulan ini atau awal bulan depan.

"Kementerian akan mencadangkan kepada Kabinet untuk satu bajet antara tiga hingga lima bilion Baht bagi memulihkan serta merangsang industri pelancongan negara dalam rancangan lima tahun," katanya. — BERNAMA

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Israel tangguh roboh laluan ke Al-Aqsa



Laluan jalan kaki diperbuat daripada kayu (bawah) dari Tembok Barat ke kawasan suci di mana terletak Masjid Al-Aqsa dan Tembok Kota Lama dapat dilihat dari bandar Baitulmaqdis Lama. Netanyahu menangguhkan kerja-kerja merobohkan laluan mendaki itu ke Masjid Al-Aqsa kerana bimbang tercetus bantahan di kalangan penduduk Islam. - Reuters


BAITULMAQDIS 28 Nov. - Israel dilapor menangguhkan kerja-kerja merobohkan laluan (mendaki) ke Masjid al-Aqsa di sini, berikutan kebimbangan meletusnya gelombang bantahan di dunia Arab dan Islam.

Sebuah stesen radio semalam melaporkan, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu mengambil keputusan tersebut bagi mengelakkan berlaku protes anti-Israel di Mesir ketika negara jirannya itu mengadakan pilihan raya Parlimen pertama hari ini selepas kejatuhan rejim Hosni Mubarak.

Majlis Perbandaran Baitulmaqdis pada 23 Oktober lalu melaporkan, ia diarah merobohkan laluan berkenaan.

Struktur kayu yang juga sebahagian daripada plaza yang menempatkan Masjid al-Aqsa dan luar tembok kota lama itu telah lama menjadi punca pertelingkahan antara Majlis Perbandaran Baitulmaqdis dengan masyarakat Islam serta Yahudi.

Laluan tersebut dibina dari tembok kota lama (tapak suci Yahudi), bersambung ke kawasan yang menempatkan Masjid al-Aqsa, kawasan ketiga paling suci bagi umat Islam yang juga dikenali sebagai Haram al-Sharif.

Ia dibina pada 2004 sebagai laluan sementara selepas struktur sebelum ini roboh dan digunakan oleh pelawat bukan Islam serta tentera Israel untuk memasuki kawasan kota lama.

Kerja-kerja membaik pulih laluan tersebut terhalang ekoran isu sensitif di tapak berkenaan yang turut dituntut pemantau plaza, Islamic Waqf.

Operasi membaik pulih itu tertangguh empat tahun lalu berikutan satu gelombang bantahan di seluruh negara Islam berhubung kebimbangan kerja-kerja pembinaan itu mungkin membahayakan struktur terbabit. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Penduduk Mesir mengundi



Pengundi wanita Mesir beratur sambil sebahagian daripada mereka memakai payung kerana hujan menunggu giliran untuk mengundi di sebuah pusat pengundian di Iskandariah, semalam. Di atas mereka terentang poster calon-calon Ikhwan Muslimin yang bertanding di bawah Parti Kebebasan dan Keadilan. – REUTERS


KAHERAH 28 Nov. – Rakyat Mesir hari ini keluar mengundi pada pilihan raya Parlimen pertama negara ini, selepas bekas Presiden Hosni Mubarak disingkirkan dalam satu pemberontakan pada Februari lalu.

Pusat-pusat pengundian dibuka seawal pukul 8 pagi waktu tempatan di sembilan daripada 27 daerah bagi pusingan pertama pilihan raya Parlimen yang berlangsung selama dua hari hingga esok.

Menurut statistik kerajaan, seramai 17.5 juta pemilih layak mengundi yang menyaksikan 3,809 calon bertanding bagi merebut 168 kerusi Parlimen.

Pusat pengundian dijadual ditutup pada pukul 7 petang waktu tempatan (1 pagi waktu Malaysia).

Pilihan raya itu dilihat sebagai satu proses penting bagi kebanyakan rakyat Mesir yang berharap untuk mencapai pemerintahan demokrasi selepas berdekad-dekad berada di bawah pemerintahan diktator.

Bagaimanapun, ia dicemari huru-hara ekoran tunjuk perasaan antikerajaan, sekali gus memperlihatkan kekeliruan di kalangan rakyat tentang arah tuju Mesir.

Di Kaherah, pengundi beratur panjang di luar pusat-pusat pengudian sebelum ia dibuka, satu petanda luar biasa yang ditunjukkan orang ramai yang berminat dengan politik selepas berdekad-dekad menunjukkan sikap acuh tidak acuh.

“Saya mengundi untuk kebebasan. Kami telah lama hidup seperti hamba. Kini kami mahukan keadilan dan kebebasan,” kata Iris Nawar, 50, di daerah Maadi, pinggir bandar Kaherah.

Parti-parti Islam yang diiktiraf secara rasmi selepas kejatuhan Mubarak, dijangka menang besar dalam pilihan raya tiga pusingan itu yang akan berlangsung sehingga 10 Januari ini.

Parlimen baru perlu membentuk satu jawatankuasa untuk merangka Perlembagaan baru sebelum pilihan raya Presiden yang akan diadakan pada akhir Jun tahun depan. – Agensi

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Terkejut ular sawa tersangkut di jaring ikan




JPAM Temerloh bersama penduduk Kampung Paya Parit Kuala Krau menunjukkan ular sawa yang berjaya ditangkap.


KUALA KRAU 28 Nov. - Seorang penduduk Kampung Paya Parit di sini terkejut apabila menemui seekor ular sawa sepanjang empat meter terlekat pada jaring ikan yang dipasang di Sungai Pahang kelmarin.

Mohd. Rodzi Mat Noh, 40, berkata, reptilia dianggarkan seberat 30 kilogram itu ditemuinya ketika dia melihat jaring yang dipasang di sungai itu berdekatan rumahnya pada pukul 7 pagi.

Katanya, dia terkejut apabila ternampak sesuatu objek pelik terlekat pada jaringnya.

"Pada mulanya saya ingat ada ikan besar terlekat pada jaring saya. Bagaimanapun, saya terkejut apabila melihat seekor ular sawa berada dalam jaring," katanya yang segera menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Temerloh sejurus selepas penemuan itu.

Menurut Mohd. Rodzi, walaupun mengetahui terdapat banyak ular sawa di kawasan itu, namun ini merupakan kali pertama reptilia tersebut terlekat pada jaringnya.

"Sebelum ini, penduduk pernah menangkap ular yang sama, tetapi saiznya lebih besar dan boleh membaham seekor anjing," katanya.

Dalam pada itu, jurucakap JPAM Temerloh menasihatkan orang ramai agar berhati-hati ketika musim banjir ini kerana banyak reptilia terutama ular keluar untuk mencari makanan.

Utusan Malaysia Online - Pahang:

'via Blog this'

Baka anak rusa guna kaedah tabung uji



ANAK rusa Eld yang dibiak menerusi kaedah tabung uji di Zoo Terbuka Khao Kheow, Thailand semalam.-Reuters


BANGKOK - Sekumpulan pakar veterinar daripada Pertubuhan Taman Zoologi Thailand mengumumkan kejayaan membiakkan anak rusa spesies Eld menerusi kaedah tabung uji.

Menurut mereka, ia merupakan anak rusa Eld pertama yang lahir ke dunia menggunakan kaedah berkenaan.

Spesies rusa Eld diisytiharkan pupus di rimba seluruh dunia dengan cuma 38 ekor mamalia itu berada di pusat-pusat pemuliharaan di seluruh dunia.

Anak rusa tabung uji itu dilahirkan di Zoo Terbuka Khao Kheow, wilayah Chonburi pada 17 Oktober lalu. - Reuters

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Toyota perkenal kereta telefon pintar



PRESIDEN syarikat Toyota Motor Corp., Akio Toyoda bergambar di sisi kereta konsep dan skuter yang ditunggang sambil berdiri, Winglet di Tokyo semalam.


TOKYO - Presiden syarikat Toyota Motor Corp, Akio Toyoda memperkenalkan kereta konsep futuristik yang memiliki bentuk menyerupai sebuah telefon pintar gergasi dalam satu majlis di sini semalam.

Dinamakan Fun-Vii, beliau menggelarkan kereta konsep tersebut sebagai "sebuah telefon pintar bertayar empat".

Kereta itu berfungsi seperti sebuah komputer peribadi dengan pemandunya boleh berhubung dengan orang lain dengan mengetuk panel pintu kereta tersebut.

Pintu kenderaan itu dilengkapi skrin besar dengan fungsi sentuh yang beroperasi seperti sebuah telefon pintar.

"Sebuah kereta perlu mempunyai daya tarikan," kata Toyoda.

Beliau turut memperkenalkan sebuah skuter yang boleh ditunggang sambil berdiri yang dinamakan Winglet pada majlis berkenaan. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Angka kematian tragedi jambatan runtuh meningkat



SEBUAH bot (kiri) melintas Jambatan Kutai Kartanegara yang runtuh di bandar Samarinda, Kalimantan Timur pada Sabtu lepas.- AFP


TENGGARONG, Indonesia - Angka kematian akibat jambatan runtuh di Kalimantan Timur yang menyebabkan berpuluh-puluh kenderaan terjunam ke dalam sungai kini meningkat kepada 11 orang, kata beberapa pegawai semalam ketika siasatan bagi mengenal pasti punca nahas sedang dilakukan.

Lebih 30 orang dipercayai masih hilang selepas jambatan gantung Kutai Kartanegara sepanjang 720 meter yang dibina menyerupai jambatan Golden Gate di San Francisco runtuh ke dalam Sungai Mahakam pada Sabtu lepas.

"Jumlah mangsa yang terbunuh ialah 11 orang," kata ketua agensi pencari dan penyelamat wilayah Kalimantan Timur, Harmoni Adi.

Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho berkata, mayat-mayat mangsa terdampar di tebing sungai berkenaan.

"Sebanyak 39 orang cedera dan berdasarkan laporan orang ramai, sekurang-kurangnya 33 yang lain hilang," katanya.

"Sukar untuk mengenal pasti jumlah sebenar mangsa yang hilang kerana kami tidak tahu bilangan kenderaan dan orang ramai yang jatuh semasa jambatan itu runtuh," ujarnya.

Menurutnya, usaha mencari juga sukar berikutan keadaan air sungai yang keruh. Sungai Mahakam memiliki kedalaman hingga 40 meter.

Punca jambatan itu runtuh tidak dapat dipastikan tetapi Nugroho memberitahu bahawa satu kabel sokongan jambatan itu putus semasa kerja-kerja membaiki sedang dilakukan.

Jambatan berkenaan siap pada tahun 2002. - AFP

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Rakyat Mesir keluar mengundi


ORANG RAMAI membuang undi di sebuah pusat mengundi di Kaherah.


KAHERAH, Mesir - Beribu-ribu orang beratur di luar pusat-pusat mengundi di sini semalam untuk membuang undi dalam pilihan raya Parlimen pertama yang diadakan di Mesir sejak Presiden Hosni Mubarak meletak jawatan pada Februari lalu.

Orang ramai berbaris di beberapa buah pusat mengundi di sini dengan kasut mereka bersalut lumpur selepas hujan turun semalam.

Banyak pusat mengundi lewat dibuka kerana pelbagai masalah pentadbiran termasuk kekurangan kertas undi.

Di sekolah Omar Makram, pusat bandar raya ini, pengundi lelaki dan wanita beratur secara berasingan seawal pukul 8 pagi waktu tempatan untuk mengundi.

"Sebelum ini proses mengundi tidak memberi apa-apa makna kerana suara kami tidak diperlukan," kata seorang wanita, Mona Abdel Moneim yang kali pertama mengundi seumur hidupnya.

Di daerah Zamalek di sini, orang ramai beratur selama beberapa jam. Malah, ada yang membawa kerusi untuk berehat sementara menanti pos mengundi dibuka.

"Saya tidak sihat dan tidak bercadang untuk datang pada mulanya. Namun, apa yang berlaku baru-baru ini menimbulkan semangat untuk saya mengundi. Sudah cukup untuk kami berdiam diri selama 30 tahun," kata seorang wanita berusia 65 tahun, Samira.

Sementara itu, kumpulan penunjuk perasaan di Dataran Tahrir yang menjadi lokasi pertempuran antara orang ramai dengan polis memilih untuk terus tinggal di dataran itu sehingga pemerintahan tentera ditamatkan.

Beberapa ketua penunjuk perasaan tersebut memberitahu, mereka sangsi pihak tentera akan mengembalikan kuasa kepada rakyat walaupun selepas pilihan raya diadakan.

Setakat tengah hari semalam, proses pilihan raya berjalan dengan aman dan lancar selepas pasukan tentera dan polis dikerah berkawal di sekitar pusat-pusat membuang undi di negara berkenaan.

Pilihan raya kali ini diadakan untuk memilih ahli-ahli Parlimen Mesir.

Sekitar 17 juta daripada 85 juta rakyat Mesir layak mengundi dalam fasa pertama selama dua hari bagi memilih ahli Dewan Rendah Parlimen Mesir yang akan berakhir pada 11 Januari depan.

- Agensi

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'