Pages

Thursday, November 17, 2011

Padah 64 tumpang bas 9 tempat duduk

ANGGOTA penyelamat menarik satu mayat keluar dari bas sekolah yang bertembung dengan trak membawa arang di Gansu, kelmarin.
ANGGOTA penyelamat menarik satu mayat keluar dari bas sekolah yang bertembung dengan trak membawa arang di Gansu, kelmarin.
Lebih muatan punca kemalangan

BEIJING: Sekurang-kurangnya 17 pelajar tadika dan dua dewasa terbunuh semalam selepas sebuah bas sekolah dengan sembilan tempat duduk membawa 64 orang terbabit dalam kemalangan dalam perjalanan ke sekolah di barat China.
Mangsa berusia 5 hingga 6 tahun maut selepas kenderaan itu bertembung dengan sebuah trak membawa arang di wilayah Gansu menyebabkannya remuk.
Pihak berkuasa menyalahkan lebih muatan sebagai punca kemalangan dalam kejadian yang mencetuskan kemarahan di seluruh negara itu, mendedahkan kelemahan sistem pendidikan hingga membahayakan pelajar di kawasan luar bandar, lapor Xinhua.

Lima orang mati di tempat kejadian iaitu empat kanak-kanak dan pemandu bas itu, kata pegawai dikenali sebagai Fan, pengarah pejabat kecemasan di Biro Keselamatan Gansu.

Seramai 14 mangsa lagi menghembuskan nafas terakhir di hospital atau ketika dalam perjalanan ke pusat perubatan. Seorang lagi mangsa adalah guru tadika, katanya.

Fan berkata, bas itu membawa 64 orang, 62 daripadanya adalah kanak-kanak. Seramai 45 orang lain dihantar ke hospital, 13 daripada mereka parah, lapor Xinhua.
Gambar dalam laman web Xinhua menunjukkan bahagian depan bas mini itu remuk manakala trak itu tidak rosak teruk.

Tujuh belas mangsa berada dalam perjalanan ke tadika Little Doctor di Qingyang ketika nahas berlaku jam 9.40 pagi waktu tempatan.

Pihak tadika menguruskan bas itu, kata Li Yuanqing, pegawai akhbar kerajaan tempatan daerah, Zhengning.

Kenderaan membawa lebihan penumpang biasa dilihat di China dan kemalangan sering berlaku kerana kenderaan terbabit tidak berada dalam keadaan baik selain tabiat memandu pemandu yang buruk.

September lalu, televisyen menyiarkan berita sebuah bas mini lapan tempat duduk ditahan kerana membawa 64 pelajar tadika. – AP
Berita Harian Online | Padah 64 tumpang bas 9 tempat duduk:

'via Blog this'

Karzai beri syarat kepada askar AS

Afghanistan tak suka tentera asing

KABUL: Presiden Afghanistan, Hamid Karzai semalam menuntut supaya berkuasa sepenuhnya atas kehadiran tentera Amerika Syarikat di negara itu apabila menuntut Washington memberinya ‘kedaulatan nasional pada hari ini’ ketika berucap dalam Loya Jirga.
Perkara itu disebut dalam perjumpaan berkenaan iaitu pertemuan antara ketua puak Afghanistan yang memulakan sidang empat hari.
“Kami mahu kedaulatan negara dan kami mahukannya hari ini,” katanya kepada perjumpaan yang bersiap sedia berdebat mengenai hubungan jangka panjang Afghanistan dengan Amerika apabila sekumpulan tentera asing berundur pada 2014.

“Kami mahukan hubungan tanpa ikatan dengan Amerika sebagai negara merdeka,” katanya kepada Loya Jirga, satu perjumpaan tradisi golongan berpengaruh Afghanistan dalam satu proses perundingan yang hasilnya tidak diikat.

Karzai juga menegaskan, Amerika perlu menghentikan serbuan tentera pada waktu malam dan berhenti membangunkan institusi yang diberi kuasa bebas bergerak di Afghanistan sebagai satu syarat perjanjian perkongsian strategik di antara Kabul dan Washington.

Jika Amerika memenuhi syarat itu, kata Karzai, Afghanistan bersedia memberi tempat kepada tentera negara asing itu dalam jangka panjang.
“Jika mereka mahu pangkalan tentera, kami akan beri kepada mereka, ia memberi manfaat kepada pihak kami, wang akan datang dan tentera akan dilatih,” katanya.

Beliau juga memberi jaminan kepada jiran Afghanistan mengenai mana-mana perjanjian perkongsian strategik.

“Kami akan beri jaminan kepada semua negara jiran bahawa tiada negara termasuk negara jiran akan diganggu oleh Afghanistan.

“Kerajaan Afghanistan melihat kepentingan nasional dalam mempunyai hubungan baik dengan jiran dan mahukan kebebasan mempunyai hubungan baik dengan China, Russia dan negara lain.” – AFP
Berita Harian Online | Karzai beri syarat kepada askar AS:

'via Blog this'

Jalan utama Bangkok semakin kering

PESAWAT  lama  kelihatan di lapangan terbang Don Muang, Bangkok, yang dilanda banjir ketika air terus surut di beberapa kawasan di ibu negara Thailand itu.
PESAWAT lama kelihatan di lapangan terbang Don Muang, Bangkok, yang dilanda banjir ketika air terus surut di beberapa kawasan di ibu negara Thailand itu.
BANGKOK: Paras air banjir menurun berterusan ketika ini menyebabkan semua jalan raya utama Bangkok dijangka boleh dilalui semula dengan lancar dalam tempoh dua minggu lagi, lapor pihak berkuasa selepas bah melanda Thailand sejak beberapa bulan lalu hingga mengorbankan 564 orang.

“Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Rodham Clinton yang tiba semalam turut dijangka mengumumkan bantuan besar kepada Thailand bagi menangani keadaan selepas banjir,” kata pegawai.
Hillary singgah di Thailand ketika dalam perjalanan ke Bali, Indonesia untuk hadir ke persidangan ASEAN. Turut berada di Bangkok ialah Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon, yang melawat kawasan banjir.
Pada masa ini, banyak kawasan masih digenangi air khususnya di sebelah barat dan timur Bangkok. Banjir di kawasan itu dijangka mengambil masa lebih lama sebelum surut.

Paras air yang menurun di laluan utama Bangkok, Rama II membolehkan kenderaan untuk lalu, kata mereka.

Pihak berkuasa juga bernasib baik kerana banjir tidak melanda bahagian pusat bandar itu yang padat penduduk dan menjadi kawasan perniagaan utama.

Sekurang-kurangnya 20 daripada 77 wilayah Thailand dilanda banjir sejak Julai lalu, kebanyakannya di kawasan utara dan tengah dan seperlima daripada 64 juta penduduk terjejas.
Pihak Berkuasa Metropolitan Bangkok melaporkan dalam webnya bahawa banjir di ibu negara semakin surut khususnya di lapangan terbang Don Muang. – AP
Berita Harian Online | Jalan utama Bangkok semakin kering:

'via Blog this'

Wednesday, November 16, 2011

Kasarnya Tapak Tangan Ibu

RAKYAT MARHAEN: Kasarnya Tapak Tangan Ibu:


altPada suatu pagi, berlangsungnya satu temuduga di sebuah syarikat yang terkenal di Malaysia.
Semasa menemuduga salah seorang calon, pengurus syarikat tersebut mendapati seorang calon temuduga perempuan mempunyai rekod akademik yang baik sejak dari sekolah menengah sehinggalah sepanjang pengajiannya di universiti. Setiap semester calon tersebut memperoleh keputusan yang cemerlang.
Pengurus itu bertanya, "Adakah awak mendapat apa-apa biasiswa di sekolah atau universiti?"
Gadis itu menjawab "Tidak."
Pengurus itu bertanya lagi, "Jadi adakah ayah awak yang membayar semua yuran pengajian?"
Gadis itu menjawab,"Ayah saya telah meninggal ketika saya berusia satu tahun, ibu saya yang telah membayar semua yuran pengajian saya."

Pengurus meneruskan soalannya, "Ibu awak bekerja di mana?" Gadis itu menjawab,"Ibu saya bekerja sebagai pencuci kain dari rumah ke rumah."
Pengurus meminta gadis tersebut menunjukkan tapak tangannya dan gadis tersebut menunjukkan tapak tangannya yang halus seperti tidak pernah membuat kerja berat.
Pengurus berasa hairan lalu bertanya lagi, "Awak tidak pernah membantu ibu awak mencuci kain dahulu?"
Gadis itu menjawab, "Tidak pernah. Ibu selalu berpesan supaya saya belajar bersungguh-sungguh untuk berjaya dalam kehidupan. Tidak pernah dia meminta saya untuk menolongnya membasuh pakaian. Lagipun ibu membasuh lebih cepat daripada saya."
Pengurus tersebut memberitahu dia mempunyai satu permintaan, dia menyuruh gadis tersebut membantu ibunya membersihkan tangan apabila gadis itu pulang ke rumah nanti dan berjumpa semula dengannya keesokan harinya.
Gadis itu merasakan peluang untuk memperoleh jawatan tersebut semakin tinggi. Dia pulang ke rumah dengan gembira untuk membersikan tangan ibunya.
Di rumah, ibunya berasa pelik tetapi tersentuh dengan keinginan anaknya membersihkan tangannya sambil menghulurkan kedua-dua belah tapak tangan kepada anaknya.
Gadis itu membersihkan tangan ibunya perlahan-lahan. Tanpa disedari air matanya mengalir ketika itu. Inilah kali pertama dia mendapati tangan ibunya begitu kasar dan terdapat banyak calar di tangan ibunya. Kadangkala ibunya mengaduh kesakitan apabila terkena air di tangannya.
Lama-kelamaan gadis itu mula menyedari bahawa tangan ini lah yang bersusah payah membasuh kain setiap hari untuk mendapatkan sedikit wang membiayai pengajiannya di sekolah dan universiti.
Calar-calar itulah harga yang perlu ibunya bayar demi kejayaannya yang cemerlang dan juga demi masa depan seorang anak. Setelah selesai membersihkan tangan ibunya, gadis itu secara senyap-senyap membasuh semua pakaian ibunya yang masih tertinggal.
Keesokkan harinya, gadis itu kembali semula ke pejabat.
Pengurus tersebut menyedari air mata bergenang di mata gadis tersebut lalu dia bertanya : "Apa yang telah awak buat dan pelajari semalam di rumah?"
Gadis itu menjawab : "Saya membersihkan tangan ibu saya dan membasuh semua baki pakaian yang masih tertinggal."
Pengurus itu bertanya lagi, "Apa yang anda rasa?"
Gadis itu menjawab : "Pertama, saya sedar apa itu pengorbanan seorang ibu, tanpa ibu, tiada kejayaan saya pada hari ini. Kedua, dengan bekerja bersama dengan ibu saya sahaja saya dapat belajar dan mengerti betapa sukarnya mendapat sedikit wang untuk hidup. Ketiga, saya tahu betapa pentingnya hubungan kekeluargaan."
Pengurus itu tersenyum lalu berkata, "Ini adalah apa yang saya mahukan, saya ingin mencari pekerja yang dapat menghargai bantuan orang lain, orang yang tahu penderitaan orang lain dan orang yang tidak akan meletakkan wang sebagai perkara utama dalam hidupnya. Awak diterima untuk bekerja di sini."
Gadis itu bekerja dengan tekun dan menerima rasa hormat dari rakan-rakan sekerjanya. Prestasi syarikat juga semakin meningkat.
Pengajaran dari cerita ini adalah kita hendaklah menghargai jasa ibu bapa yang banyak bersusah payah demi masa depan kita sebagai anak-anak.
Ringan-ringankan diri untuk membantu ibu atau ayah melakukan kerja-kerja di rumah. Dari situ, kita akan belajar untuk menghargai kesusahan dan keperitan yang dialami oleh mereka.

'via Blog this'

Pensyarah ditahan proses syabu

Kosmo! Online - Negara:


KUALA LUMPUR – Seorang bekas pensyarah warga Iran yang tidak habis menuntut di peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) rupa-rupanya memiliki rahsia besar apabila dia didapati menggunakan sebuah kondominium sebagai makmal untuk memproses syabu di negara ini.

Tembelang lelaki berusia 38 tahun tersebut terbongkar apabila dia dicekup sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman bersama bahan mentah dan peralatan memproses syabu bernilai RM700,000 di sebuah kondominium di Jalan Putra di sini pada pukul 8.30 malam, 2 November lalu. Kondominium itu disewa pada harga RM2,000 sebulan.

Difahamkan, suspek memiliki ijazah sarjana dan pernah menjadi pensyarah di sebuah universiti di Teheran, Iran sebelum datang ke sini untuk menyambung PhD di sebuah universiti tempatan dalam bidang Pengajian Kerajaan dan Politik pada 2006.

Bagaimanapun, suspek tidak habis menuntut apabila dia yang sepatutnya menamatkan pengajiannya dalam tempoh lima tahun telah berhenti daripada menyambung PhD pada 2008.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang berkata, siasatan awal mendapati suspek begitu mahir memproses dadah tersebut apabila mampu menjadikannya daripada bentuk cecair kepada serbuk tanpa disedari penghuni lain.

Katanya, selain suspek dan 2.3 kilogram syabu, pihaknya turut merampas peralatan memproses bahan khayal itu seperti penapis, dulang dan botol plastik.

“Kita masih menyiasat sejak bila suspek yang masih bujang itu mula melibatkan diri. Ketika serbuan, hanya terdapat suspek seorang di dalam rumah,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.


'via Blog this'

'Dia bukan suami saya'

Kosmo! Online - Negara:



HO (kanan) dan Michael menunjukkan gambar Keng Hong kepada pemberita pada sidang media di Kuala Lumpur baru-baru ini.


KUALA LUMPUR - Seorang wanita memohon pihak berkuasa berbuat sesuatu terhadap empat ah long yang kini memaksanya membayar hutang seorang lelaki yang menyewa rumahnya dan mendakwa dia adalah isterinya.

"Saya cuma menyewakan rumah kedai saya di Seri Kembangan, Selangor kepada lelaki itu yang dikenali sebagai Mei Keng Chong, 39, sejak tiga bulan lalu dan tidak pernah mengenalinya sebelum ini.

"Dia cuma membayar sewa satu kali sahaja dan terus menghilang sehingga hari ini. Tiba-tiba saya dikejutkan dengan panggilan ah long yang mengatakan 'suami' saya itu telah membuat pinjaman dan minta saya bayar segera," kata wanita itu yang mahu dikenali sebagai Ho.

Menurut Ho, akibat perbuatan Keng Cheong, rumahnya pernah beberapa kali disimbah cat merah selain edaran poster yang memintanya menjelaskan hutang lelaki itu.

"Saya dan suami saya kini hidup dalam ketakutan kerana kumpulan ah long itu sering menghubungi kami tanpa mengira waktu.

"Berapa banyak yang dia berhutang saya pun tidak tahu dan tidak mahu tahu kerana saya bukan isterinya malah tidak pernah kenal siapa dia," katanya pada sidang media di pejabat Pengerusi Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Michael Chong di Jalan Ampang di sini baru-baru ini.


'via Blog this'

Budak 11 tahun maut dilanggar kenderaan

Kosmo! Online - Negara:



GAMBAR kenangan, Amirul (duduk tengah) bersama ahli keluarganya.


KUANTAN – Mohd. Amirul Hakim Khairuddin, 11, yang meninggal dunia di hospital akibat cedera parah selepas dilanggar lari sebuah kenderaan di Simpang Bunga Cengkih di sini kelmarin tidak pernah menunggang basikal seorang diri keluar dari kawasan rumahnya.

Namun, menurut bapa kanak-kanak itu, Khairuddin Sabtu, 44, tengah hari kelmarin anaknya menunggang basikal seorang diri untuk ke rumah rakannya yang tinggal di Bukit Istana kira-kira tiga kilometer dari rumahnya.

“Sebelum ini arwah tidak pernah pergi jauh dan hanya bermain di kawasan kuarters Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota, tempat saya bekerja.

“Selalunya, saya hantar dia ke rumah kawannya di Bukit Istana tetapi semalam (kelmarin) dia sendiri mengayuh basikal ke rumah rakannya tanpa pengetahuan saya,” ceritanya sedih ketika dihubungi di sini semalam.

Menurutnya, apabila pulang ke kuarters selepas habis kerja kelmarin, dia dapati Amirul tiada di rumah menyebabkan dia keluar mencari mangsa di Bukit Istana.

Semasa itu, isterinya, Rohaida Ishak, 36, berada di Temerloh kerana ada kerja.

“Sampai di rumah rakan Amirul, rakan arwah beritahu Amirul telah pulang pukul 4.30 petang pada hari kejadian,” ceritanya.

Bimbang dengan keselamatan Amirul, Khairuddin kemudian mencari anaknya sebelum menemui mangsa pada pukul 8 malam yang sudah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) selepas ditemui di tepi jalan.


'via Blog this'

Istana Negara kini di Jalan Duta

Kosmo! Online - Negara:


BENDERA Peribadi Yang di-Pertuan Agong dinaikkan di pekarangan Istana Negara di Jalan Duta, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Upacara pemindahan Istana Negara dari istana yang lama di Bukit Petaling ke istana yang baharu di Jalan Duta di sini dilakukan secara penuh istiadat di sini semalam.

Ia bermula dengan upacara menurunkan bendera peribadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di istana lama yang berusia 83 tahun di tepi Bukit Petaling kira-kira pukul 9 pagi.

Upacara yang dilakukan oleh sekumpulan 10 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) itu menandakan penutupan rasmi bangunan yang tersergam indah dan ditandai dua kubah emas itu.

Bendera itu kemudiannya diarak keluar dari kawasan istana pada pukul 9.15 pagi dan diserahkan kepada Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil di hadapan pagar masuk istana dan dibawa ke Istana Negara yang baharu di Jalan Duta.

Tengku Farok Hussin kemudiannya mengarahkan Bentara Istana Negara, Rosli Asri mengunci pintu masuk utama istana lama menandakan segala tugas telah tamat di Istana Negara sebelum mengorak langkah ke Istana Negara yang baharu di Jalan Duta bagi istiadat menaikkan Bendera Peribadi Yang di-Pertuan Agong.

Kawalan itu dilaksanakan Batalion Pertama RAMD dan Skuadron Istiadat Berkuda melibatkan seramai tiga pegawai, 69 anggota lain-lain pangkat dan 12 ekor kuda.

Selepas itu, Istiadat Menaikkan Bendera Peribadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di kompleks Istana Negara baharu bernilai kira-kira RM800 juta itu menandakan pemindahan rasmi tersebut.

Istiadat itu dimulakan dengan perbarisan oleh 52 anggota RAMD serta 12 Skuadron Istiadat Berkuda.


'via Blog this'

Dipenjara kerana bunuh petani semasa rebut Viagra Himalaya

Kosmo! Online - Dunia:



GAMBAR menunjukkan tiga tumbuhan Yarshagumba di Kathmandu, Nepal.


KATHMANDU - Sebuah mahkamah di Nepal menjatuhkan hukuman penjara terhadap 19 penduduk kampung atas kesalahan membunuh sekumpulan petani dalam pergaduhan berhubung hak untuk mengutip tumbuhan Yarshagumba yang mampu menguatkan seks yang dikenali sebagai Viagra Himalaya, kata seorang pegawai semalam.

Seramai tujuh petani telah dibunuh di daerah Manang pada bulan Jun 2009 semasa mengutip tumbuhan itu yang merupakan pendapatan utama bagi kebanyakan penduduk di Himalaya

Para tertuduh itu mendakwa tujuh petani tersebut mati secara tidak sengaja ketika berlaku pergaduhan berhubung hak untuk mengutip tumbuhan tersebut yang harganya boleh mencecah puluhan ribu dolar untuk satu kilogram di China.

Laporan mengenai kehilangan para petani itu diketahui oleh pihak berkuasa pada Jun 2009.

"Enam tertuduh didapati bersalah kerana membunuh dan dijatuhkan hukuman penjara selama 20 tahun," kata seorang pendaftar sebuah mahkamah di daerah Manang, Shambhu Baral.

Menurutnya, seramai 13 lagi dijatuhi hukuman dua tahun penjara, tetapi mereka telah menghabiskan masa dalam tahanan sejak ditangkap.

Katanya, bukti-bukti menunjukkan hanya enam orang terlibat secara langsung dalam pembunuhan itu.

Pada mulanya, pihak berkuasa menangkap seluruh penduduk kampung tetapi sejumlah wanita dan kanak-kanak kemudian dibebaskan. -AFP


'via Blog this'

Jam tangan filem James Bond dibeli pada harga RM612.364

Kosmo! Online - Dunia:



JAM tangan Rolex yang digunakan Roger Moore dalam filem James Bond, Live and Let Die.


GENEVA, Switzerland - Seutas jam tangan Rolex yang dipakai oleh Roger Moore sebagai ejen perisik James Bond dalam filem Live and Let Die dijual pada harga 176,917 euro (RM612,364) dalam satu lelongan di sini kelmarin.

Jam tangan itu dilengkapi dengan gergaji yang boleh membuat putaran dan digunakan untuk memotong seutas tali bagi menyelamatkan Solitaire yang dilakonkan oleh Jane Seymour daripada menjadi mangsa ikan jerung yang lapar dalam filem tersebut.

Medan magnet yang terlampau aktif pada jam itu digunakan untuk membantu Moore mengelak terkena peluru.

Namun, medan magnet tersebut sebaliknya digunakan perisik tersebut untuk menurunkan zip seorang wanita pada permulaan filem keluaran 1973 itu.

Lelongan itu turut menampilkan seutas jam tangan emas berwarna merah jambu buatan tahun 1968 oleh pembuat jam Switzerland, Patek Philippe yang mencatat harga jualan 21.2 juta euro (RM90.8 juta).

Moore yang kini berusia 84 tahun pernah berlakon dalam tujuh filem James Bond bermula pada tahun 1973.

Kali terakhir dia membawa watak ejen perisik yang memiliki lesen untuk membunuh itu ialah menerusi filem A View to a Kill pada tahun 1985. - Agensi


'via Blog this'

Timberlake tunai janji

Kosmo! Online - Dunia:



JUSTIN TIMBERLAKE (kanan) menepuk tangan semasa dia menghadiri majlis tari-menari bersama Koperal Kelsey De Santis (tengah) di Pusat Konvensyen Greater Richmond di Virginia pada Sabtu lalu.


RICHMOND, Amerika Syarikat (AS) - Pelakon terkenal, Justin Timberlake mengotakan janjinya untuk membawa seorang anggota askar marin wanita AS ke majlis tari-menari tahunan.

Penyanyi dan aktor tersebut menyiarkan sekeping gambar bersama sepucuk surat di laman webnya pada Ahad lalu untuk memberitahu bahawa majlis tari-menari itu sebagai yang paling meriah buatnya.

Anggota askar marin berkenaan, Koperal Kelsey De Santis mempelawa Timberlake menerusi YouTube untuk menghadiri majlis tarian itu bersamanya.

Timberlake kemudian menerima undangan tersebut.

Stesen televisyen WTR-TV melaporkan Timberlake memakai tuxedo dalam majlis tersebut di Pusat Konvensyen Greater Richmond di sini.

Majlis Tari-Menari Kor Marin itu diadakan di sini pada Sabtu lepas.

Pada awal bulan ini, rakan Timberlake yang turut berlakon bersamanya dalam filem Friends With Benefits, Mila Kunis turut menerima undangan yang sama ke satu lagi majlis tari menari Kor Marin di negeri Carolina Utara. - Agensi


'via Blog this'

Dipenjara kerana tembak anak tiri

Kosmo! Online - Dunia:



ROLA EL-HALABi duduk di dalam sebuah mahkamah di Berlin, Jerman kelmarin.


BERLIN, Jerman - Bapa tiri petinju wanita Jerman, Rola El-Halabi dipenjara enam tahun kerana berulang kali menembak petinju berkenaan di bilik persalinan ketika dia bersiap sedia untuk perlawanan merebut kejuaraan.

Rola ditembak di tangan, lutut dan kaki oleh bapa tirinya itu, Hicham El-Halabi, 44, yang juga pengurusnya ketika dia menunggu untuk menentang Irma Balijagic Adler dari Bosnia bagi merebut gelaran juara lightweight Persekutuan Tinju Antarabangsa (IBF).

Kelmarin, sebuah mahkamah di sini menyatakan bahawa Hicham El-Halabi sengaja menembak petinju berusia 25 tahun itu pada 1 April lalu untuk menghalangnya daripada meneruskan kerjaya tinjunya.

Namun, wanita berkenaan tidak mengalami kecederaan yang boleh mengancam nyawanya.

Turut ditembak ialah dua pengawal keselamatan yang berada di tempat kejadian.

Mahkamah yang sama menyatakan Hicham sebelum ini pernah menyerang tunang Rola pada Disember 2010.

Rola merupakan juara dunia Persekutuan Tinju Antarabangsa Wanita (WIBF) dan Persatuan Tinju Wanita Antarabangsa (WIBA) pada 2009. - Agensi


'via Blog this'

Erdogan bidas Presiden Syria

Kosmo! Online - Dunia:



Recep Tayyip ERDOGAN


ANKARA - Turki kini hilang keyakinan terhadap rejim pemerintah Syria, kata Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan semalam.

Kenyataan tersebut merupakan amaran kepada Presiden Syria, Bashar Al-Assad bahawa penggunaan kekerasan oleh tenteranya terhadap para penentangnya meletakkan beliau dalam senarai pemimpin yang dahagakan darah.

Erdogan mendesak Bashar supaya menghukum mereka yang bertanggungjawab menyerang misi-misi diplomatik Turki di Syria.

Dalam ucapannya, Erdogan tidak menghormati Bashar apabila beliau memanggil pemimpin Syria itu dengan menggunakan nama pertamanya.

"Bashar, anda mesti mencari mereka yang bertanggungjawab dan menghukum mereka," kata Erdogan

Sejumlah penyokong Bashar cuba menceroboh misi diplomatik Turki pada Sabtu lepas untuk mengecam keputusan Liga Arab yang menggantung keanggotaan Syria dalam pertubuhan itu ekoran penggunaan kekerasan oleh pemerintah Libya bagi mematahkan kebangkitan rakyatnya sejak lapan bulan lalu. - AP


'via Blog this'

Peralatan pelik musim banjir laris di Bangkok

Kosmo! Online - Dunia:



DUA remaja menjual but dan seluar kalis air di Bangkok pada 2 November lalu.



BANGKOK - Banjir yang melanda ibu kota Thailand di sini memberi durian runtuh kepada peniaga-peniaga kecil yang menjual pelbagai barang yang digunakan semasa banjir.
Antara barangan tersebut termasuk but getah beraneka warna, jet ski, pam air, kipas bot dan pembalut plastik.
Malah, mekanik-mekanik di sini menawarkan perkhidmatan mengapungkan kenderaan yang ditenggelami air dengan menggunakan bahan styrofoam.
Mereka juga melakukan modifikasi khas dengan memasang snorkel enjin dan ekzos yang diubah suai bagi membolehkan kereta, trak dan motosikal meredah jalan raya yang ditenggelami air.
Mekanik-mekanik itu di bandar raya ini sibuk dengan peralatan khas yang diubah suai bagi membolehkan kereta, trak dan motosikal melalui kawasan yang dilanda banjir.
Seorang mekanik berusia 24 tahun, Thong Dechapak berkata, bengkel kereta keluarganya mengenakan caj AS$333 (RM1,049) untuk memasang dua alat berkenaan.
Gajet enjin itu dipacak tegak melepasi bumbung kereta seperti snorkel selaman.
Ia berfungsi untuk menyedut udara bagi membolehkan pembakaran enjin terus berlaku ketika kenderaan melalui air banjir.
"Permintaan untuk alat ini tinggi. Kami menerima tempahan pelanggan sekitar dua bulan lalu apabila wilayah-wilayah di utara bandar raya ini mula ditenggelami air banjir," kata Thong.


Gambar yang dirakamkan pada 7 November lalu menunjukkan sebuah jet ski diletakkan di atas sebuah trak untuk dijual di Bangkok.



Seorang peniaga lain, Wiweena Boonsanong, 27, pula menjual beraneka but getah yang didatangkan dalam pelbagai warna.
"Wanita mahu gemar berfesyen walaupun dalam suasana banjir, kami mahu sentiasa kelihatan comel," kata Boonsanong.
Dalam tempoh sejam, peniaga wanita itu berupaya menjual enam pasang but getah pada harga AS$12 (RM37) sepasang.
Selain but getah, mesin kipas yang boleh digunakan sebagai kipas untuk menggerakkan rakit buluh turut mendapat permintaan menggalakkan.
Sebuah mesin berkenaan dijual pada harga sekitar AS$315 (RM993).
Wichra Lertrasamee yang menjual peralatan itu menyatakan, seorang pembeli membelinya untuk menggerakkan rakit buluh.
Keluarganya mula menjual peralatan untuk musim banjir itu di rumahnya di wilayah Chachergsao, timur Bangkok.
Apabila banjir itu melanda dari utara, dia mendirikan kedai sementara di kawasan berdekatan dengan Pathum Thani.
Apabila wilayah itu juga dilanda banjir, dia memindahkan perniagaannya ke Bangkok.
Menurutnya, dia bangun daripada tidur pada pukul 3 pagi supaya dapat tiba di bandar raya ini menjelang pukul 5 pagi bagi mendapatkan tempat strategik di pasar. Beberapa kawasan di Bangkok kini masih dilanda banjir. - Agensi

'via Blog this'

Tuesday, November 15, 2011

200 mangsa bah halang lebuh raya

BANGKOK: Mangsa banjir yang berang, semalam menghalang lebuh raya utama sebagai memprotes dan meluahkan kekecewaan apabila sebahagian kawasan di ibu negara Thailand itu terjejas teruk akibat banjir, manakala pusat bandar raya terselamat.
Selepas berminggu-minggu mengalami banjir, air bah di sesetengah kawasan di Bangkok mulai surut. Bagaimanapun, di tempat lain penduduk semakin berang apabila kawasan penempatan mereka digenangi air semata-mata bagi mengelakkan kawasan perniagaan dan pelancongan di pusat bandar raya itu tenggelam.

Di barat Bangkok, kira-kira 200 penduduk menghalang sebahagian lebuh raya Rama II, laluan utama yang menghubungkan Bangkok dan selatan Thailand bagi menuntut supaya air yang menenggelami penempatan mereka dialirkan keluar. - AFP

Barak harap kemalangan maut berlaku lagi

BAITULMAQDIS: Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak, semalam gembira dengan insiden letupan di sebuah pangkalan tentera elit Iran dan berdoa lebih banyak kejadian seumpama itu berlaku.
Katanya, walaupun tidak tahu sejauh mana kesan letupan itu, dia berharap kejadian berkenaan menyebabkan kemusnahan yang berganda.

Sebelum ini, Teheran berkata, seorang jeneral kanan yang mempelopori unit artileri dan peluru berpandu adalah antara 17 anggota keselamatan terbunuh dalam letupan pada Sabtu lalu.

Kemalangan itu berlaku di Bid Ganeh, di Malard, barat Teheran.

Jurucakap Pengawal Revolusi Iran, Ramezan Sharif, berkata kemalangan itu berlaku ketika tentera memindahkan sejumlah peluru dari depoh ke tempat lain. - AFP

Parlimen lulus hukuman lebih berat untuk pelawat ke Israel

TEHERAN: Parlimen Iran semalam meluluskan undang-undang mengenakan hukuman lebih berat ke atas warga negaranya yang berani melawat Israel.
Melalui peraturan baru itu, warga Iran yang pergi ke Israel boleh dipenjara di antara dua hingga lima tahun, selain dilarang memiliki pasport selama lima tahun.

Sebelum ini, kesalahan seumpama itu dikenakan penjara satu hingga tiga bulan, tetap ada juga pesalah dikenakan hukuman lebih berat. - AFP

Kurung kekasih anak

SERDANG: Seorang ibu bersekongkol dengan anak lelakinya berusia 17 tahun untuk mengurung seorang remaja perempuan dalam bilik rumah mereka sebelum memaksa mangsa menggugurkan kandungan berusia dua bulan hasil hubungan sulit dengan remaja lelaki terbabit.
Remaja perempuan berusia 16 tahun yang masih bersekolah dilaporkan hilang oleh keluarganya dan dikurung dalam satu unit kediaman di pangsapuri di Puchong, sejak dua minggu lalu.

Mangsa yang mengandung dua bulan hasil hubungan terlarang dengan teman lelakinya yang tidak lagi bersekolah juga berdepan maut apabila dipaksa menelan pelbagai ubat-ubatan bagi menggugurkan kandungannya.
Menurut sumber polis, mangsa keluar dari rumah ibunya di Kajang pada 30 Oktober, kira-kira jam 8 pagi sebelum dibawa ke rumah teman lelaki dan dikurung serta dipaksa tinggal sebilik.

Katanya, ketika teman lelaki bersama ibunya ke tempat kerja, mangsa dikurung dan dilarang meninggalkan rumah hingga mereka pulang.

“Mangsa dipaksa menggugurkan kandungan bagi mengelak diketahui jiran mengenai hubungan sumbang mereka,” katanya di sini, semalam.
Sumber berkata, mangsa sebelum ini sanggup tinggal bersama kerana terpedaya dengan janji manis teman lelakinya yang mahu bertanggungjawab dan berkahwin dengannya.

Namun, janji tidak ditunaikan, malah mangsa dipaksa menggugurkan kandungan.
“Perbuatan kejam dua beranak itu membuatkan mangsa tertekan dan cuba melarikan diri dengan keluar dari rumah, namun hampa selepas semua pintu dikunci dari luar.

“Mangsa kemudian menjumpai alat jalur lebar milik teman lelakinya sebelum menghubungi ibunya melalui e-mel,” katanya.

Katanya, kira-kira jam 5 petang kelmarin, ibu mangsa bersama beberapa anggota polis ke rumah terbabit sebelum memecahkan pintu besi dan membawa pulang gadis berkenaan.

Mangsa bersama ibunya membuat laporan di Balai Polis Serdang, di sini, bagi tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah mengesahkan menerima laporan berhubung kes berkenaan.

‘Beg bergerak-gerak’


COMEL...Zaitul Najahah mendukung bayi yang ditemui.
COMEL...Zaitul Najahah mendukung bayi yang ditemui.
ALOR SETAR: Seorang jururawat tidak menyangka beg kain berbelang merah putih di bawah pokok yang ditemuinya berhampiran kawasan letak kereta di belakang Klinik Kesihatan Bandar Alor Setar, Lebuhraya Darulaman, di sini, semalam, mengandungi bayi lelaki baru dilahirkan.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, bayi dalam keadaan berbungkus dengan tuala mandi berwarna putih itu dipercayai baru empat jam dilahirkan.

Bayi seberat 2.6 kilogram (kg) yang masih bertali pusat itu ditemui jururawat berkenaan yang baru saja meletakkan kenderaan di kawasan itu untuk memulakan tugasannya di klinik.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Baharom Abu berkata jururawat itu membuka bungkusan itu dan terkejut apabila mendapati ada bayi lelaki di dalamnya.

“Bayi yang masih bertali pusat itu dipercayai baru empat jam dilahirkan dan mukanya masih kemerahan selain tangannya dihurungi semut. Bayi itu ditemui di bawah pokok berhampiran kawasan letak kereta di belakang Klinik Kesihatan Bandar Alor Setar, Lebuhraya Darulaman, di sini.

“Jururawat itu ternampak beg kain berbelang merah putih di bawah pokok berhampiran yang kelihatan bergerak-gerak sebelum menghampirinya. “Dia mendapati seorang bayi lelaki yang hanya berbungkus dengan tuala mandi berwarna putih di dalam beg berkenaan dan terus membawanya ke klinik sebelum menghubungi pihak polis,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Baharom berkata, bayi terbabit dirawat di klinik kesihatan itu dan dilaporkan dalam keadaan sihat.

Katanya, polis turut menyiasat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran, namun belum mendapat petunjuk. “Berdasarkan siasatan awal, polis percaya bayi berkenaan berketurunan Melayu. “Setakat ini, kami masih berusaha dan sedang mengenal pasti beberapa petunjuk bagi menjalankan siasatan berhubung kes ini. “Kami mendapatkan rakaman CCTV di kawasan berhampiran bagi mendapatkan maklumat lanjut,” katanya. Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi dan memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya. “Kami minta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Zaitul Najahah Abd Patah di talian 04-7321222,” katanya.

Maksiat ‘ayam hutan’


OPERASI...tilam dalam pondok yang digunakan pelacur terbabit.
OPERASI...tilam dalam pondok yang digunakan pelacur terbabit.
RAMPAS...wang dan barangan yang dirampas daripada Pak Uban.
RAMPAS...wang dan barangan yang dirampas daripada Pak Uban.
KOTA TINGGI: Seorang lelaki yang dikenali sebagai Pak Uban mengambil jalan mudah untuk mencari rezeki pada usianya yang semakin senja apabila membina sebuah pusat pelacuran mini berhampiran lombong pasir di sini.
Pusat maksiat beroperasi 24 jam di Batu 16, Jalan Kota Tinggi-Mersing itu mempunyai tiga pondok, dua daripadanya untuk pelacuran manakala satu lagi untuk pelanggan bersembang sementara menunggu giliran.
Pak Uban yang berusia 65 tahun menggajikan tiga wanita warga asing yang dijadikan pemuas nafsu seks pelanggan yang bukan saja terdiri daripada pekerja lombong terbabit, malah buruh ladang serta penduduk tempatan.

Kegiatan haram di Hutan Simpan Panti itu berlarutan sejak lebih sebulan lalu dan sukar dikesan berikutan lokasinya yang tersembunyi dan berhampiran rumah kongsi pekerja.


Bagaimanapun, hasil intipan polis berdasarkan maklumat orang ramai, kegiatan itu dipatahkan, kelmarin.

Lelaki amal ilmu hitam dihukum penjara, sebat 300 kali

myMetro | Lelaki amal ilmu hitam dihukum penjara, sebat 300 kali: "MAKKAH: Seorang warga Afrika telah dijatuhkan hukuman penjara selama lapan bulan dan sebatan 300 kali oleh hakim di mahkamah di sini kerana mengamalkan ilmu hitam dekat dengan kawasan Jamrah di Mina, pada hari ketiga Hari Raya Aidiladha.

Anggota polis yang berada di sana menahan lelaki berusia 30 tahun itu kerana kelakuannya menimbulkan kesangsian.
Ketika polis memeriksa lelaki itu, mereka dapati banyak kertas yang mempunyai simbol ilmu hitam dan juga tulisan azimat ditubuhnya. Lelaki itu akhirnya mengaku kesalahannya."

'via Blog this'

Wanita bohong bunuh ibu, abang untuk elak kahwin paksa

myMetro | Wanita bohong bunuh ibu, abang untuk elak kahwin paksa: "Al-KHARJ (Arab Saudi): Seorang wanita Arab Saudi berusia 30 tahun mempunyai cara yang unik untuk mengelak daripada berkahwin dengan lelaki yang tidak disukai, iaitu dengan membuat laporan palsu yang dia telah membunuh ibu dan abangnya.

Anggota polis bergegas ke lokasi yang dikatakan tetapi mendapati ia laporan palsu.
Wanita itu berkata dia terdesak dan membuat laporan itu untuk menghalang dua abangnya daripada memaksa dia berkahwin dengan lelaki yang dia tidak suka.

Apabila mendapat tahu yang abangnya telah memalsukan dokumen pra-perkahwinannya semata-mata untuk memaksa dia berkahwin dengan lelaki pilihan mereka, wanita itu terus menelefon polis dan membuat laporan palsu mengenai ‘pembunuhan’ yang dia lakukan.



Ketika anggota polis tiba di rumahnya, abang wanita itu menafikan berlaku pembunuhan di rumah itu.


Wanita itu akhirnya memberitahu anggota polis, dia yang menelefon lalu mengadu abangnya telah menyebabkan dia merana.

Katanya lagi, dia berada di rumah itu bersama ibu dan dua orang saudara perempuannya dan hanya cara itu saja dia dapat memanggil polis datang ke rumahnya."

'via Blog this'

Daging korban ke 27 negara

myMetro | Daging korban ke 27 negara: JEDDAH: Program Pemanfaatan daging korban, berjaya memainkan peranan penting membantu berjuta jemaah untuk melakukan ibadah korban tanpa bersusah payah, sejak tiga dekad lalu, kata Presiden Bank Pembangunan Islam (IDB), Ahmed Mohamed Ali.

“Kami telah memenuhi keperluan ibadah korban jemaah haji dengan menyediakan jumlah haiwan korban yang diperlukan, menyembelih bagi pihak mereka dan menghantar daging korban ke 27 negara Islam miskin,” katanya.

Tahun ini, bank itu akan mengagihkan satu juta haiwan korban, satu rekod baru, termasuk 1,000,432 bebiri dan 2,430 lembu dan unta, katanya lagi.

“Tahun ini pengagihan daging korban dibuat sejak awal pagi Hari Raya Aidiladha kepada jemaah haji di Mina dan di bandar suci lain, termasuk kepada mereka yang memerlukan,” kata Ali.


Tambahnya, daging daripada 150,000 bebiri dan 433 lembu yang dikorbankan, telah diagihkan setakat ini.


“Pengagihan daging korban akan diteruskan dalam minggu akan datang melalui jalan darat dan laut untuk mereka yang memerlukan di 27 negara,” katanya.

“Khidmat pengagihan daging korban kepada umat Islam dilakukan 24jam melalui laman web www.adahi.org,” katanya.


'via Blog this'

Gempa gegar utara Maluku

myMetro | Gempa gegar utara Maluku: "JAKARTA: Satu gegaran gempa berukuran 6.4 magnitud melanda timur Indonesia di utara wilayah Maluku, semalam, kata ahli meteorologi tetapi tiada kerosakan, kemalangan jiwa dan ancaman tusnami dilaporkan berlaku.

Menurut Agensi Meteorologi dan Geofizik Indonesia, gempa itu berlaku kira-kira jam 11:05 pagi waktu tempatan (0405 GMT) dengan pusat gempa 69 kilometer di barat daya bandar Labuha dan berkedalaman 10 kilometer. Pusat Penyelidikan Geologi Amerika Syarikat pula merekodkan gempa itu pada ukuran 6.6 magnitud dengan kedalaman 19 kilometer.


“Kami belum menerima sebarang laporan kerosakan. Gegaran gempa turut dirasai di bandar Ternate,” kata pegawai agensi terbabit, Ajat Sudrajat. - AFP"

'via Blog this'

Tab mandi batu gunung berapi dijual RM5 juta

myMetro | Tab mandi batu gunung berapi dijual RM5 juta: "DUBAI: Diperbuat daripada batu permata Caijou, sebuah tab mandi mewah dijual pada harga RM5 juta di Festival Barangan Kemas Antarabangsa Dubai, semalam.

Tab mandi termahal di dunia itu dikatakan mempunyai kuasa luar biasa untuk memulihkan pelbagai penyakit. Dinamakan sebagai Le Grand Queen, tab mandi berkenaan diperbuat daripada batu Caijou yang sangat keras dan dihasilkan melalui proses gunung berapi di Indonesia. - TS"

'via Blog this'