Pages

Wednesday, March 16, 2011

Ular sawa baham babi hutan



Oleh Mohamed Farid Noh
mfarid@bharian.com.my
2011/03/16

ANGGOTA   JPAM menunjukkan ular sawa  yang ditangkap  di Parit Laman, Sri Medan, Batu Pahat kelmarin.
ANGGOTA JPAM menunjukkan ular sawa yang ditangkap di Parit Laman, Sri Medan, Batu Pahat kelmarin.
Reptilia tidak mampu bergerak selepas kekenyangan dijumpai dalam kebun

BATU PAHAT: Penduduk kawasan Parit Laman, Sri Medan, dekat sini, digemparkan dengan penemuan seekor ular sawa dengan berat dianggarkan melebihi 100 kilogram sedang berlingkar dalam keadaan kekenyangan di sebuah kebun, kelmarin.
Difahamkan ular sawa batik atau nama saintifiknya 'Python Neticulatus' berkenaan baru saja menelan seekor babi hutan berdasarkan keadaan perutnya yang sebesar tong gas.
Sebaik menemui reptilia itu kemudian perlahan-lahan menuju ke kolam berdekatan kebun berkenaan dipercayai untuk menyembunyikan diri.

Bimbang perkara buruk mungkin terjadi, penduduk di situ kemudian menghu-
bungi talian kecemasan 999 bagi memaklumkan penemuan reptilia berukuran kira-kira 4 meter itu.

Timbalan Pegawai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Batu Pahat, Musi Kipli ketika ditemui berkata, pihaknya menerima maklumat penemuan ular itu kira-kira jam 12 tengah hari.
“Sejurus tiba di lokasi penemuan ular itu di Parit Lapis Laman di sini, kami mendapati ular sawa berkenaan menuju ke arah kolam, namun pergerakannya agak terbatas berikutan kekenyangan.

Katanya, usaha menarik kembali ular itu dari kolam berjaya selepas anggota termasuk pegawai dari JPAM dan lapan orang dewasa mengangkat reptilia itu yang dipercayai kekenyangan selepas membaham seekor babi hutan.

Bagaimanapun, katanya, ular sawa berkenaan mati dalam perjalanan ke peja-
bat JPAM di pusat bandar, di sini.
Berita

Kebakaran terbaru di reaktor nuklear Jepun

Berita

KEADAAN loji nuklear No 1 dan No 3 Daiichi Fukushima yang masih terbakar dan mengeluarkan asap selepas meletup semalam. - Foto DIGITAL GLOBE/REUTERS


Mar 15, 2011 12:32 pm


2011/03/16

TOKYO: Kebakaran terbaru meletus di loji nuklear Jepun awal hari in sekali gus memburukkan lagi krisis berkenaan.

Kebakaran di reaktor nombor empat di loji No 1 Fukushima dilaporkan berlaku dengan sendiri, kata agensi keselamatan atom negara berkenaan.
'Kami terima maklumat dari TEPCO (operator loji Tokyo Electric Power Co) bahawa kebakaran dan asap boleh dilihat dan ia berlaku secara sendiri,' kata jurucakap, Minoru Ogoda kepada AFP."
Seorang pekerja terdahulu melaporkan asap merebak keluar dari tingkat empat bangunan reaktor berkenaan, kata jurucakap TEPCO. 

Tidak dapat dipastikan tempoh masa kebakaran itu berlaku tetapi berjaya dipadamkan 30 minit selepas dikesan. 

Tiada laporan mengenai kecederaan dan kesan kerosakan belum dapat disahkan. - AFP 

Awan radioaktif bergerak ke Tokyo




SEORANG kanak-kanak diimbas untuk diperiksa kadar radiasi padanya di sebuah pusat pemeriksaan di bandar Koriyama, negeri Fukushima semalam.


TOKYO - Igauan tragedi letupan loji nuklear Chernobyl di Ukarine yang mengorbankan hampir 9,000 nyawa kembali menghantui rakyat Jepun selepas awan radioaktif kesan daripada siri letupan di stesen tenaga nuklear Fukushima dibimbangi akan sampai ke ibu negara Jepun, dalam tempoh beberapa jam, lapor sebuah akhbar semalam.
Amaran itu dikeluarkan selepas kerajaan Jepun semalam membuat pengumuman bahawa radiasi dari loji nuklear milik Syarikat Tenaga Elektrik Tokyo (TEPCO) itu kini merupakan ancaman terhadap nyawa manusia.
Loji tersebut yang memiliki empat reaktor nuklear, terletak sekitar 245 kilometer dari Tokyo.
Tahap radiasi atau pencemaran radioaktif yang boleh menyebabkan kanser meningkat dengan mendadak di kawasan sekitar loji tersebut selepas reaktor No.4 terbakar semalam disyaki akibat satu letupan.
Sejak minggu lalu berlaku tiga letupan melibatkan beberapa reaktor di loji nuklear berkenaan.
Selepas kebakaran pada reaktor No. 4 berlaku, bacaan pencemaran radiasi di kawasan sekitarnya melonjak jauh melepas tahap selamat kepada 400 millisieverts sejam (mSv/j). Pendedahan radiasi yang selamat untuk manusia adalah cuma setakat 3mSv untuk setahun.
Tidak lama selepas itu, Kedutaan Perancis di sini pula memberi amaran bahawa awan radioaktif boleh sampai ke ibu negara Jepun itu dalam masa cuma beberapa jam.
Dalam nada serupa, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), turut mendedahkan bahawa radiasi daripada reaktor nuklear itu telah dibebaskan ke udara.
Mengulas mengenai perkembangan tersebut, Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan ketika berucap di televisyen tempatan, buat kali pertama mengakui bahawa radiasi telah tersebar dari loji nuklear Fukushima.
"Tahap radiasi itu amat tinggi dan risiko lebih banyak radiasi tersebar juga sangat tinggi," kata Kan.
"Kami sedang melakukan segala usaha untuk menghalang kebocoran radiasi itu daripada terus tersebar. Saya faham bahawa orang ramai kini bimbang tetapi saya merayu anda supaya bertenang," tambahnya.Radiasi boleh membunuh dan mengubah sel badan manusia yang menyebabkan penyakit barah. Setakat semalam, tahap radiasi yang tinggi dicatatkan di Ibaraki, sebuah bandar yang berada sekitar 128 kilometer dari sini.
Di bandar Saitama, dekat sini, tahap pencemaran radiasi yang direkodkan pula adalah 40 kali ganda lebih tinggi daripada normal.
Setakat ini, kerajaan Jepun telah mengkuarantin 150 orang kerana mereka dikhuatiri terdedah kepada pencemaran radiasi.
Pihak berkuasa turut mengambil langkah membersihkan pencemaran radiasi melibatkan 23 orang yang berada berhampiran loji nuklear di Fukushima.
Kerajaan Jepun meminta penduduk yang tinggal dalam lingkungan 32 kilometer dari loji nuklear Fukushima supaya tinggal di dalam rumah, menutup semua tingkap dan berhenti menggunakan penghawa dingin sebagai langkah keselamatan.
Lebih 100,000 orang dipercayai berada dalam zon tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, negara-negara luar bermula dengan China mula memindahkan rakyat mereka dari sini kerana bimbang tentang pencemaran radiasi. Setakat ini, beberapa negara asing termasuk Austria dan Perancis mengumumkan akan memindahkan kedutaan mereka ke bandar Osaka yang terletak 400 kilometer dari Tokyo.
Sementara itu, gempa bumi kuat berukuran 9 pada skala Richter yang melanda timur Jepun pada Jumaat lalu memusnahkan kawasan seluas sehingga berpuluh-puluh kilometer dan menyebabkan lebih 550,000 orang hilang tempat tinggal. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Bayi terselamat selepas tiga hari di bawah runtuhan




SEORANG anggota tentera mendukung bayi berusia empat bulan yang ditemui setelah berada di bawah runtuhan selama tiga hari.


SENDAI, Jepun - Seorang bayi perempuan berusia empat bulan berjaya diselamatkan selepas tiga hari berada di bawah runtuhan akibat tsunami dan gempa bumi sekuat 9 skala Richter yang mengegar Jepun pada Jumaat lalu.
Pada awalnya, sekumpulan askar dari Pasukan Pertahanan Jepun yang sedang mencari mangsa terselamat di kampung Ishinomaki terdengar tangisan seorang bayi. Selepas mengalihkan kepingan kayu, batu dan lumpur tebal, mereka akhirnya menjumpai bayi tersebut.
Bayi itu ditemui dalam keadaan sejuk, basah dan menangis. Dia dipercayai tidak mengalami sebarang kecederaan. Persoalan kenapa dia tidak lemas, masih menjadi misteri.
Bayi tersebut dikatakan terlepas daripada pangkuan ibu bapanya apabila ombak besar memusnahkan kediaman mereka. Keluarga malang itu percaya bahawa mereka akan kehilangan bayi itu buat selama-lamanya. Dia kemudian dipertemukan semula dengan bapanya yang dilihat sangat gembira.
Sebelum dia dijumpai, pasukan penyelamat sudah menemui sekurang-kurangnya 2,000 mayat di sepanjang pantai di wilayah Miyagi yang paling teruk terjejas.
"Penemuan bayi ini memberi semangat baru kepada pasukan penyelamat. Kami akan mendengar, melihat dan menggali dengan lebih berhati-hati selepas ini," kata salah seorang pegawai tentera terbabit. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Pemberontak mahu Gaddafi dibunuh




MESYUARAT para menteri luar Negara Kumpulan Lapan (G8) di Paris kelmarin gagal mencapai kata sepakat mengenai zon larangan terbang di Libya.


BENGHAZI - Kepimpinan pemberontak Libya meminta kuasa-kuasa Barat supaya membunuh pemimpin Libya, Muammar Gaddafi dan melancarkan serangan ketenteraan terhadap tenteranya, lapor sebuah akhbar semalam.
Jurucakap Lembaga Revolusi Kebangsaan yang memimpin kumpulan pemberontak, Mustafa Gheriani berkata, campur tangan tentera Barat perlu bagi mengelakkan lebih banyak bandar yang sebelum ini jatuh ke tangan pemberontak ditawan semula oleh Gaddafi.
"Kami memberitahu Barat bahawa kami mahu zon larangan terbang. Kami mahu serangan udara ke atas kereta kebal dan roket tentera Gaddafi. Kami mahu serangan udara ke atas kediaman Gaddafi," kata Mustafa.
"Ini adalah mesej daripada delegasi kami di Eropah," tambahnya.
Ditanya sama ada serangan ke atas kediaman pemimpin Libya itu bermakna lembaga revolusi itu mahu Gaddafi dibunuh, beliau menjawab: "Mengapa tidak, jika dia mati adakah anda akan menangisi kematiannya?"
Permintaan pihak pemberontak itu disampaikan oleh satu delegasi yang mengadakan pertemuan dengan Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton di Paris kelmarin ketika para menteri Negara Kesatuan Lapan (G8) bersidang sama ada untuk menyokong permintaan bagi menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya atau sebaliknya.
Sementara itu, Gaddafi, 68, semalam menolak untuk berunding dengan pihak pemberontak yang dilabelnya sebagai pengganas Al-Qaeda.
Gaddafi berkata, beliau dan tenteranya akan 'berjihad' untuk menghapuskan semua pengganas tersebut.
Kenyataan tegas itu dibuat selepas tenteranya berjaya merampas beberapa bandar utama yang ditawan pemberontak termasuk Ras Lanuf dan Zuwarah, barat Tripoli. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Iran selar kehadiran tentera Arab Saudi di Bahrain




TENTERA Arab Saudi mula memasuki Bahrain sejak Isnin bagi mengembalikan keamanandi negara tersebut.


TEHERAN - Iran semalam menyifatkan kehadiran tentera asing di Bahrain sebagai tidak boleh diterima dan memberi amaran kepada Arab Saudi dan sekutunya, Amerika Syarikat (AS) mengenai 'kesan-kesan buruk' kerana masuk campur dalam krisis politik negara tersebut.
Kira-kira 1,000 askar Arab Saudi mula memasuki Bahrain sejak Isnin lalu sebagai sebahagian usaha oleh Majlis Kerjasama Teluk (GCC) untuk membantu kerajaan Bahrain menangani protes yang dilakukan oleh majoritinya puak Syiah.
"Kehadiran tentera asing dan masuk campur dalam urusan dalaman Bahrain tidak boleh diterima dan hanya merumitkan isu sedia ada. Iran menganggap AS bertanggungjawab atas kesan tindakan ini," kata jurucakap Kementerian Luar Iran, Ramin Mehmanparast kepada agensi berita rasmi Iran, ISNA.
Sementara itu, Pentagon menyatakan pihaknya tidak diberi sebarang notis bahawa tentera Arab Saudi atau pasukan tentera dari negara lain akan memasuki Bahrain.
Kehadiran tentera itu dibuat setelah penunjuk perasaan berjaya menembusi kawalan polis Bahrain pada Ahad lalu. Mereka juga menyekat lebuh raya yang menuju ke daerah kewangan di Bahrain. - Reuters

Kosmo! Online - Dunia

Tuesday, March 15, 2011

Gegaran kuat dijangka esok




Anggota tentera mengangkat mayat dari bawah timbunan kenderaan di bandar Higashimatsushima di wilayah Miyagi, kelmarin. - AFP


TOKYO 14 Mac - Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan, menggambarkan gempa bumi yang melanda negara ini sebagai krisis terburuk di Jepun sejak Perang Dunia Kedua.
Keadaan bertambah suram ekoran laporan media yang memetik pakar sebagai berkata, terdapat 70 peratus kemungkinan akan berlaku satu lagi gegaran kuat menjelang lusa.
Penduduk di ibu negara Jepun ini pula mengalami situasi tidak menentu hari ini berhubung bekalan makanan dan elektrik, ekoran gempa dan tsunami yang berlaku di timur laut negara ini pada Jumaat lalu, manakala krisis nuklear belum menunjukkan tanda akan reda.
Rak-rak makanan di kedai-kedai dan pasar raya terus kosong dan banyak perkhidmatan kereta api ditutup apabila penduduk Tokyo kembali bekerja selepas hujung minggu dihabiskan dengan mengikuti siaran televisyen yang merakamkan imej-imej kemusnahan meluas di bahagian timur laut, kira-kira 250 kilometer ke utara ibu negara.
Lebih 100 perkhidmatan kereta api komputer di kawasan Tokyo dijadual ditutup separuh atau sepenuhnya, hari ini.
Panggilan telefon ke operator kereta api terbesar di negara ini, East Japan Railways Co. tidak berjawab disebabkan panggilan yang terlampau banyak.
Pembekal tenaga, Tokyo Electric Power Co (TEPCO) awal hari ini mengumumkan pemutusan bekalan elektrik secara berjadual di Tokyo dan bandar raya sekitarnya untuk menjimatkan tenaga ekoran krisis di loji tenaga nuklear di kawasan gempa.
Sesetengah kedai kehabisan bekalan makanan berbungkus seperti mi segera, kari segera, tauhu, roti dan telur, sebahagiannya disebabkan masalah pengangkutan dan penghantaran, di samping pembelian panik oleh penduduk.
Turut mendapat permintaan tinggi ialah tauhu, dipercayai boleh membantu mengatasi keracunan radiasi kerana mengandungi iodin pada kadar yang rendah.
Namun tidak ada tanda berlaku panik di Tokyo, dengan kereta api komuter utama beroperasi dan pekerja pejabat keluar makan tengah hari seperti biasa. - Reuters
Utusan

Gaddafi kuasai semula Brega




Dua orang pemberontak menggunakan mesingan antipesawat di Brega sebelum tentera yang setia kepada Gaddafi menawan bandar itu, kelmarin. - AFP


AJDABIYAH, Libya 14 Mac - Tentera yang setia kepada pemimpin Libya, Muammar Gaddafi berjaya menguasai semula Brega, bandar minyak strategik, selepas bertempur dengan pemberontak semalam, ketika Perancis berjanji akan mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya menguatkuasa zon larangan terbang di negara ini.
Tentera kerajaan yang menuju ke bahagian timur negara ini melalui jalan pantai, merampas semula Brega awal pagi semalam ketika keyakinan mereka dilihat semakin bertambah untuk mara ke kubu kuat pemberontak di Benghazi.
Bagaimanapun pemberontak yang meneruskan protes untuk menamatkan pemerintahan Gaddafi berkata, mereka berjaya merampas semula Brega malam tadi. Kenyataan itu bagaimanapun tidak dapat disahkan.
Tentera kerajaan yang berjaya menawan semula sebuah lagi bandar minyak, Ras Lanuf kira-kira 100 kilometer ke barat Brega berkata, pihaknya yakin dapat menumpaskan pemberontak yang dituduh mempunyai hubungan dengan al-Qaeda dan perkhidmatan keselamatan asing.
Gaddafi sendiri dilapor telah bertemu Duta Rusia, China dan India bagi menggesa negara-negara itu melabur dalam sektor minyak di Libya, yang terjejas teruk akibat pergolakan dan mengakibatkan beribu-ribu pekerja asing dalam industri itu pulang ke negara mereka.
Eksport minyak Libya turut terjejas teruk ekoran pertempuran itu, kekurangan kakitangan, sekatan antarabangsa dan keengganan bank antarabangsa membiayai urus janji tertentu.
Sebahagian pakar meramalkan, Libya mungkin mengambil masa setahun sebelum pengeluaran minyaknya kembali stabil kepada 1.6 juta tong sehari.
Perancis dalam pada itu berjanji akan menggandakan usaha meyakinkan kuasa dunia untuk menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya.
Menurutnya, Liga Arab semalam turut menyeru PBB memperkenalkan zon tersebut sebagai tanda mengambil berat terhadap rakyat Libya.
Pada masa sama, kerajaan Libya berkata, pihaknya menyambut baik kedatangan satu panel Kesatuan Afrika (AU) untuk membantu menyelesaikan krisis di Libya, tetapi mengecam gesaan Liga Arab itu. - Reuters
Utusan

Kereta kebal tentera Gaddafi memasuki bandar Zuwarah

Utusan

15/03/2011 3:29am

KAHERAH 15 Mac – Kereta-kereta kebal tentera yang setia dengan Muammar Gaddafi mula memasuki bandar Zuwarah di barat Libya yang dikuasai pemberontak hari ini.

Awal hari ini Televisyen Al-Arabiya melaporkan, jet-jet pejuang tentera yang setia dengan Gddafi telah menyerang bandar tersebut menyebabkan empat pemberontak terkorban.

Sementara itu, jet-jet pejuang tentera yang setia kepada Gaddafi turut mengebom bandar Ajdabiya yang dikuasai pemberontak.

Bandar itu merupakan satu daripada dua pusat utama memisahkan tentera kerajaan dan ibu pejabat pihak pemberontak.

Seorang penduduk bandar itu, Said Ali Bouhilfaya, seorang jurutera berkata, serangan udara itu berlaku setiap 20 minit selepas suasana tenang sehari suntuk.

Serangan bom itu berlaku selepas jurucakap pihak pemberontak mendakwa pesawat kerajaan menggugurkan risalah-risalah di seluruh bandar Ajdabiya meminta penduduk tidak menyokong kumpulan yang menentang Gaddafi– Reuters"

Jet pejuang tentera pro-Gaddafi bom bandar Ajdabiya

Utusan

15/03/2011 11:39am

TOBRUK, Libya 15 Mac – Jet-jet pejuang tentera yang setia kepada Muammar Gaddafi mengebom bandar Ajdabiya yang dikuasai pemberontak yang merupakan satu daripada dua pusat utama memisahkan tentera kerajaan dan ibu pejabat pihak pemberontak.

Seorang penduduk bandar itu, Said Ali Bouhilfaya, seorang jurutera berkata, serangan udara itu berlaku setiap 20 minit selepas suasana tenang sehari suntuk.

Serangan bom itu berlaku selepas jurucakap pihak pemberontak mendakwa pesawat kerajaan menggugurkan risalah-risalah di seluruh bandar Ajdabiya meminta penduduk tidak menyokong kumpulan yang menentang Gaddafi – Agensi"

Polis Yemen tembak mati 2 penunjuk perasaan




Para penyokong kerajaan Yemen serta polis antirusuhan berkumpul di sebatang jalan raya di Sanaa bagi menyekat penunjuk perasaan antikerajaan di Sanaa, kelmarin. - AP


SANAA 14 Mac - Dua orang maut, manakala ramai lagi dilaporkan cedera apabila polis Yemen melepaskan tembakan peluru hidup dan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan di Sanaa dan Aden.
Saksi berkata, mangsa yang cedera kebanyakannya terkena gas pemedih mata dan segelintir terkena serpihan peluru hidup.
Dua orang penunjuk perasaan cedera serius dalam pertempuran yang berlaku berhampiran Universiti Sanaa.
Di selatan pelabuhan Aden, seorang penunjuk perasaan terbunuh setelah ditembak ketika berlaku pertempuran antara penunjuk perasaan dengan polis manakala seorang lagi mangsa terbunuh akibat ditembak polis semalam, kata seorang doktor dari hospital berdekatan. - Reuters
Utusan

Konspirasi yahudi dan Kristian menjatuhkan islam

Berita

130 saksi kes ulama Indonesia


2011/03/15

Abu Bakar Bashir berdepan   tujuh tuduhan termasuk  mewujudkan rangkaian  pengganas.
Abu Bakar Bashir berdepan tujuh tuduhan termasuk mewujudkan rangkaian pengganas.
JAKARTA: Seramai 130 saksi pendakwa mula memberikan keterangan mulai semalam dalam perbicaraan pendakwah radikal, Abu Bakar Bashir terhadap tuduhan keganasan di Mahkamah Daerah selatan Jakarta.

Akhbar Herald Sun melaporkan sekurang-kurangnya 16 saksi dipanggil pihak pendakwa dalam perbicaraan menerusi video selepas mereka memohon untuk tidak tampil di mahkamah berikutan kebimbangan atas keselamatan mereka.
Panel hakim minggu lalu bersetuju terhadap permohonan selepas pihak pendakwa menghantar surat tulisan tangan daripada 16 saksi.
Kebanyakan yang memberikan bukti itu adalah saksi dari pusat tahanan di timur Jakarta yang juga anggota kumpulan pelampau, Jemaah Ansharut Tauhid, pergerakan yang diketuai Bashir.

Kumpulan itu didakwa melatih anggota di kem ala tentera dan berjaya dikesan tahun lalu di Acheh.

Kebanyakan mereka menghadapi tuduhan mempunyai hubungan dengan kem itu termasuk Abu Tholut, bekas komander Jemaah Islamiah dan lelaki dikenali sebagai Ubaid, suspek yang menjadi orang tengah yang menyampaikan dana yang dikelolakan Bashir.

Lelaki berusia 72 tahun itu didakwa dengan tujuh tuduhan berkaitan pengganas termasuk rangkaian latihan pengganas dan kem, kebanyakan membawa hukuman mati. – Agensi

Penyelamat bergelut cari mayat

Berita




2011/03/15


  • Foto
    PASUKAN penyelamat Jepun menemui seorang bayi perempuan berusia empat bulan yang selamat bersama keluarganya di Ishimaki, utara Jepun selepas tiga hari gempa bumi melanda negara itu.
  • Foto
    PASUKAN penyelamat mencari mangsa bencana gempa bumi dan tsunami di Kesennum, utara Jepun, semalam.
  • Foto
    SEORANG lelaki melihat sisa kemusnahan termasuk kereta api di Onagewa, Miyagi, semalam.
  • Foto
    ANGGOTA polis mencari mangsa di sebalik pesawat di lapangan terbang di bandar Iwanuma, Miyagi, semalam.
2,000 jasad ditemui semalam di dua pantai di wilayah Miyagi

SENDAI: Pekerja penyelamat, polis dan pihak berkuasa tempatan terus bertungkus lumus untuk mencari sejumlah besar mayat dan mengesahkan nasib berpuluh ribu penduduk hilang, ketika bekalan makanan dan air semakin berkurangan berikutan gempa bumi dan tsunami Jumaat lalu.
Kira-kira 2,000 mayat ditemui semalam di dua pantai di wilayah Miyagi. Penemuan berkenaan meningkatkan secara ketara jumlah kematian dalam gempa bumi dan tsunami terbabit di mana setakat ini polis mengesahkan sejumlah 1,647 kematian dan 1,720 penduduk hilang di seluruh kawasan terjejas di timur laut dan timur Jepun.
Kira-kira 1,000 mayat ditemui di pantai wilayah yang teruk terjejas di Miyagi, semenanjung Ojika, manakala sejumlah 1,000 lagi ditemui di bandar Minamisanriku di mana kerajaan tidak dapat menghubungi kira-kira 10,000 penduduk atau hampir separuh daripada penduduk bandar itu.

Angka kematian rasmi itu tidak termasuk kira-kira 200 hingga 300 mayat di Sendai, ibu kota Miyagi yang belum ditemui polis dan pekerja berikutan kesukaran untuk ke tempat yang dipenuhi dengan sampah sarap dan kemusnahan itu.

Kira-kira 450,000 penduduk dipindahkan sehingga Ahad di Miyagi dan lima wilayah lain tetapi bekalan air dan makanan serta minyak berkurangan di kebanyakan tempat, memaksa kerajaan memutuskan untuk menghantar bekalan melalui udara oleh helikopter Pasukan Pertahanan.

Nasib kira-kira 2,500 pelancong yang berada di kawasan dilanda gempa juga tidak dapat disahkan, kata agensi pelancongan Jepun.
Perdana Menteri Naoto Kan berkata dalam satu mesyuarat pagi semalam bahawa ibu pejabat bencana kerajaan setakat ini menyelamatkan kira-kira 15,000 penduduk.

Sebuah kapal Pasukan Maritim Pertahanan menyelamatkan 32 penduduk di pelabuhan Ishinomaki pada Sabtu, kata kementerian pertahanan dalam kenyataan berasingan.

Masalah komunikasi juga berterusan di kawasan yang teruk terjejas di Miyagi dan Iwate di mana 561,000 talian telefon dan 221,400 gentian optik dikendalikan Nippon Telegraph dan Telephone East Corp yang masih lagi tidak dapat disambungkan sehingga 6 pagi. – Agensi

Pekan Yamamoto bak lautan lumpur

Berita





2011/03/15

SEORANG wanita duduk di tepi jalan  menangis melihat kediaman dan harta benda musnah akibat gempa, tsunami yang melanda   bandar  Natori, Miyagi.
SEORANG wanita duduk di tepi jalan menangis melihat kediaman dan harta benda musnah akibat gempa, tsunami yang melanda bandar Natori, Miyagi.
17,000 rumah terletak di pantai Pasifik musnah

YAMAMOTO: Di pekan yang dihanyutkan tsunami, Yamamoto di daerah Miyagi, ibu bapa kepada remaja berusia 18 tahun masih mencari bas mini yang membawa anak mereka.
Pasangan itu berkata, anak mereka berada dalam bas itu selepas gempa bumi dan tsunami melanda timur laut Jepun.
“Anak kami berada dalam bas itu. Tolong keluarkan segera,” kata ibu bapa Mizuki Kanno sambil menjerit selepas mendapati bas mini itu hancur dan mayat anak mereka di dalam kenderaan itu. Menangis sambil meminta tolong hanyalah satu-satunya perkara yang mampu dilakukan Eiji dan Matsuko Kanno, masing-masing berusia 43 tahun.

Polis tempatan memberitahu mereka yang tiada apa yang boleh dilakukan kerana kekurangan peralatan.

Di pekan Yamamoto yang mempunyai kira-kira 17,000 rumah yang terletak di pantai Pasifik kini seperti lautan lumpur sepanjang beberapa kilometer.

Hanya tangga kelihatan di tapak di mana stesen Sakamoto dengan laluan JR Joban digunakan. Kebanyakan pokok rhu turut dihanyutkan. Hanya kelihatan sekarang ialah kenderaan lintang-pukang begitu juga rumah.
“Saya nampak ombak lumpur datang dan mula berlari,” kata penduduk berusia 37 tahun yang bekerja di pusat penjagaan kesihatan.

Beliau pada mulanya berfikir mahu berlindung di pusat perlindungan di pekan, tetapi mengubah fikiran berlari ke tempat lebih tinggi selepas menyedari pusat itu berada di kawasan rendah.

“Jika saya lari ke pusat bandar, saya pasti akan mati,” katanya.

Yoshiko Shoji berkata, beliau terselamat kerana bernasib baik.

Wanita berusia 72 tahun dari Wad Wakabayashi Sendai terjun dari rumahnya dengan berkaki ayam sebaik mendengar bunyi runtuhan. Beliau menarik tangan suaminya, Toyoji dan berlari sekuat hati melihat tsunami yang membawa pokok dan perabot.

Beliau bernasib baik kerana dapat menumpang kereta kenalan. Apabila beliau berpaling, lumpur sudah setinggi dua meter.

Polis tempatan berkata, mereka menjumpai kira-kira 200 hingga 300 mayat di wad.

“Lebih banyak nyawa mungkin dapat diselamatkan jika persatuan komuniti tempatan memutuskan lebih awal apa tindakan yang boleh diambil dalam situasi seumpama ini,” kata Shoji. – Agensi.

2,000 mayat ditemui


ANGGOTA tentera Jepun mengusung mayat seorang mangsa di Kamaishi, Jepun utara, tiga hari selepas gempa bumi dan tsunami melanda pantai timur negara itu.
ANGGOTA tentera Jepun mengusung mayat seorang mangsa di Kamaishi, Jepun utara, tiga hari selepas gempa bumi dan tsunami melanda pantai timur negara itu.

TOKYO: Pasukan penyelamat semalam menemui 2,000 mayat di Miyagi, wilayah paling teruk dilanda gempa bumi dan tsunami Jumaat lalu.
Stesen penyiaran NHK dan media lain memetik pegawai sebagai berkata, 1,000 mayat ditemui di pantai di Semenanjung Ojika.

Seribu lagi mayat ditemui di Minamisanriku, bandar yang musnah akibat gempa bumi dan tsunami yang melanda pantai Pasifik Jepun, lapor NHK yang memetik sumber pegawai negeri.

Bagaimanapun, sehingga petang semalam, angka rasmi kematian yang diberikan oleh Agensi Kebangsaan Polis kekal pada 1,647.

Bagaimanapun, Ketua Polis Miyagi berkata Ahad lalu, jumlah kematian pasti mengatasi 10,000 orang di wilayah itu saja. - AFPmyMetro

Imej ombak tsunami di bandar San Francisco




IMEJ menunjukkan ombak bergerak di Teluk San Francisco, Amerika Syarikat 13 jam selepas tsunami melanda timur laut Jepun pada Jumaat lalu.


SAN FRANCISCO, Amerika Syarikat (AS) - Bencana ombak tsunami setinggi 0.5 meter melanda Teluk San Francisco di sini yang dirakamkan selepas ia bergerak lebih 8,000 kilometer merentasi Lautan Pasifik, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Rakaman itu menunjukkan gelombang kecil tsunami melintasi Jambatan Golden Gate, 13 jam selepas Jepun dilanda gempa bumi kuat berukuran 9 pada skala Richter Jumaat lepas.
Di beberapa tempat di AS, tsunami yang lebih besar melanda bandar Crescent di negeri California apabila ombak setinggi lebih dua meter memusnahkan kawasan dermaga di bandar itu. - Agensi
Kosmo!

Turki minta Gaddafi lantik presiden




BEBERAPA penentang Muammar Gaddafi menunjukkan cara-cara menggunakan sebuah pelancar roket kepada penduduk di bandar Benghazi semalam.


ANKARA - Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan meminta pemimpin Libya, Muammar Gaddafi melantik seorang presiden baru yang mendapat sokongan penduduk dalam usaha menamatkan pergolakan di negara itu, lapor stesen televisyan, Al Arabiya semalam.
Menurut Erdogan, beliau menjangkakan Gaddafi akan mengambil langkah positif dalam menyelesaikan pergolakan di Libya yang bermula sejak 15 Februari lalu dengan angka kematian dianggarkan lebih 1,000 orang.
Pergolakan itu bermula apabila para penunjuk perasaan menuntut Gaddafi meletakkan jawatan selepas beliau berkuasa hampir 42 tahun.
"Kami mahukan pertempuran antara kedua-dua belah pihak di kawasan timur dan barat negara itu dapat dihentikan," kata Erdogan.
Gaddafi merupakan pemimpin Libya bagi tempoh empat dekad tetapi beliau tidak memakai gelaran presiden.
Dalam perkembangan pergolakan di Libya, laman web kumpulan pemberontak Libya, Libya al-Youm dan Brnieq melaporkan, tentera Gaddafi melancarkan serangan udara semalam dengan membedil beberapa kawasan yang berdekatan dengan penempatan di bandar Ajdabiya.
Jika tentera Gaddafi berjaya menawan Ajdabiya dan bandar-bandar berdekatan, mereka boleh merampas kembali kedudukan terkuat penunjuk perasaan di bandar Benghazi.
Sementara itu, pihak berkuasa Libya berjanji untuk memberi pengampunan kepada penunjuk perasaan jika mereka mengaku kalah dan meletakkan senjata, lapor stesen Libyan TV.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Rusia, Dmitry Medvedev mengharamkan Gaddafi dan keluarga daripada membuat sebarang transaksi kewangan ke negara itu menurut dekri yang ditandatangani pada 10 Mac lalu.
Sementara itu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Rodham Clinton kini berada di Paris bagi menghadiri seminar mengenai krisis yang sedang berlaku di Libya yang turut dihadiri pemimpin-pemimpin dari Eropah. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

11 cedera loji nuklear Jepun meletup




LETUPAN berlaku di janakuasa nuklear Fukushima Daiichidi Fukushima, timur laut Jepun semalam.


FUKUSHIMA - Letupan hidrogen kedua menggegarkan loji janakuasa nuklear Fukushima Daiichi di sini selepas pihak berkuasa Jepun berkerja keras untuk mengelakkan reaktornuklear loji berkenaan daripada melebur susulan gempa bumi dan tsunami yang melanda negara itu pada Jumaat lalu.
Peleburan teras radioaktif di dalam reaktor nuklear loji itu boleh menyebabkan pencemaran radiasi yang mengancam keselamatan beribu-ribu penduduk sekitarnya.
Namun, beberapa pegawai berkata, dinding-dinding tebal yang mengelilingi teras radioaktif reaktor nuklear itu masih kukuh selepas letupan hidrogen tersebut, yang kedua sejak Sabtu lepas.
Kebimbangan besar kerajaan Jepun sekarang, adalah berlakunya kebocoran radiasi di loji nuklear tersebut yang terletak di Fukushima, 240 kilometer ke utara bandar ini.
Sejak hujung minggu lalu, jurutera-jurutera bertungkus-lumus berusaha untuk mengelakkan kebocoran radiasi di tiga reaktor nuklear loji berkenaan.
Dinding teras reaktor nombor 3 masih utuh selepas letupan berlaku, kata kerajaan tetapi ia memberi amaran agar orang ramai yang berada dalam zon perpindahan sekitar 20 kilometer dari loji itu supaya tidak keluar rumah.
Pemilik loji tersebut, Syarikat Tenaga Elektrik Tokyo (TEPCO) menyatakan, 11 orang cedera dalam letupan itu.
"Semua yang saya lihat menyatakan bahawa dinding bekas teras reaktor nombor 3 itu masih berfungsi dan ia mengelak radiasi daripada tersebar dan berita ini adalah berita baik," kata pakar nuklear Universiti Negeri San Diego State, Murray Jennex.
"Letupan ini bukan seperti letupan di loji nuklear Chernobyl, Ukraine. Loji Chernobyl tiada dinding penghadang apabila ia meletup pada 1986 dan menghamburkan bahan radioaktif ke udara," tambahnya.
Namun begitu, seorang pegawai Jepun berkata, terdapat 22 orang yang disahkan mengalami pencemaran radiasi sebelum letupan itu dan 190 lagi mungkin terdedah pada kebocoran tersebut.

KOMBINASI gambar menunjukkan detik-detik sebahagian janakuasa nuklearFukushima Daiichi meletup semalam.


Perkembangan tersebut turut menyebabkan beberapa kapal perang dan pesawat AS yang membawa bantuan kemanusiaan menjauhi kawasan Fukushima buat sementara waktu.
Pemerintah Ketumbukan Ketujuh Tentera AS menyatakan, tindakan itu merupakan langkah pencegahan bagi mengelak pencemaran radioaktif.
Sementara itu, di timur laut Jepun, hampir keseluruhan prasarana terutamanya jalan raya, landasan keretapi, bekalan elektrik dan pelabuhan kini lumpuh.
Anggaran awal kerugian yang ditanggung akibat malapetaka gempa bumi dan tsunami itu mencecah AS$170 bilion (RM516 bilion).
Kerugian besar itu, kata beberapa penganalisis ekonomi, boleh menyebabkan Jepun diambang kemelesetan ekonomi.
Kesan ekonomi itu dilihat semalam apabila bursa saham Jepun mengalami kejatuhan lebih enam peratus dengan nilai mata wang yen pula diniagakan rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Dalam perkembangan berkaitan, pekerja-pekerja penyelamat mencari mangsa-mangsa yang tertimbus di bawah timbunan runtuhan di utara ibu negara Jepun, di sini.
Berjuta-juta penduduk Jepun kini terputus bekalan elektrik dan air.
Keadaan di negara matahari terbit itu amat teruk sehinggakan Perdana Menteri Naoto Kan menyifatkan Jepun kini mengalami krisis terburuk sejak Perang Dunia Kedua.
Beberapa pegawai memberitahu, sekurang-kurangnya 10,000 orang dikhuatiri terkorban di Jepun dalam bencana gempa bumi kuat berukuran 9 pada skala Richter itu yang disusuli ombak besar tsunami.
Semalam, agensi berita Kyodo News melaporkan sebanyak 2,000 mayat telah ditemui di dua buah pantai pesisiran pantai di Miyagi, timur laut Jepun. - Reuters
Kosmo!

Jutaan mangsa hidup tanpa air




BEBERAPA anggota menyelamat melakukan gerakan mencari mangsa dekat sebuah kapal yang dihanyutkan ombak tsunami di bandar Higashimatsushima, timur laut Jepun semalam.


SOMA - Berjuta-juta penduduk di bahagian utara Jepun yang musnah dilanda gempa bumi dan tsunami pada Jumaat lalu terpaksa hidup tanpa air, makanan atau peralatan pemanas badan dalam cuaca sejuk yang hampir beku.
Keadaan meruncing itu masuk malam keempat semalam.
Di bandar ini berhampiran Miyagi, negeri yang paling teruk terjejas dalam bencana alam itu, rumah pembakaran mayat di situ tidak dapat menampung jumlah mayat yang dibawa masuk untuk dibakar.
"Kami telah mula membakar mayat tetapi kami boleh menangani cuma 18 mayat sehari. Kami merayu supaya bandar-bandar lain untuk membantu kami," kata seorang pegawai tempatan, Katsuhiko Abe.
Di Jepun, kebanyakan penduduknya memilih membakar mayat sebagai upacara pengebumian selepas mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan.
Namun, seorang pegawai Kementerian Kesihatan, Yukio Okuda berkata, kerajaan semalam mengecualikan kelulusan itu bagi menyegerakan pembakaran mayat-mayat mangsa gempa bumi dan tsunami.
"Situasi semasa amat luar biasa dan banyak rumah mayat tidak dapat menampung jumlah mayat yang banyak Langkah tersebut adalah langkah kecemasan. Kami mahu membantu penduduk di kawasan gempa bumi sebanyak mana yang boleh," kata Okada.
Bencana berkembar yang melanda timur laut Jepun pada Jumaat lalu itu menyebabkan penderitaan yang sukar di bayangkan kepada rakyatnya.
Rakyat negara matahari terbit itu yang hidup makmur sejak perang Dunia Kedua, belum pernah mengalami penderitaan seperti yang berlaku sekarang.

SEORANG wanita kebingungan dan menangis semasa duduk di sebatang jalan raya apabila melihat kemusnahan di bandar Natori, Miyagi, timur Jepun kelmarin.


Banyak kawasan di timur laut Jepun terputus bekalan air bersih, tiada bekalan elektrik dan petrol. Orang ramai terpaksa makan apa sahaja yang ada termasuk mi segera untuk mengalas perut ketika mereka masih bersedih kerana kehilangan orang tersayang dalam bencana itu.
"Orang ramai mengalami kekurangan makanan dan air.
Bantuan yang dijanjikan masih belum sampai," kata seorang pegawai kerajaan di negeri Iwate, Hajime Sato.
Beliau memberitahu, pihaknya menerima cuma 10 peratus daripada bekalan makanan dan bahan keperluan lain yang diperlukan oleh penduduk Iwate.
Bandar ini dilanda ratusan gegaran susulan sejak Jumaat lalu dengan gegaran susulan terbaru sekuat 6.2 pada skala Richter disusuli dengan amaran tsunami semalam. Ketika siren amaran dibunyikan, pihak tentera menangguhkan operasi menyelamat dan mengarahkan orang ramai supaya mencari perlindungan di kawasan tinggi.
Pasukan-pasukan penyelamat tiba di bandar ini untuk kali pertama pada Jumaat lepas bagi mengeluarkan mayat-ma yat mangsa yang tertanam di bawah runtuhan.
Banyak ambulans tiba dan sejumlah beg mayat disusun di kawasan terbuka sementara menunggu pekerja-pekerja penyelamat menyelongkar timbunan runtuhan untuk mencari mangsa-mangsa yang tertimbus. Beberapa helikopter berlegar-legar di udara di bandar ini untuk memeriksa kemusnahan yang berlaku.
Kapal-kapal dihanyutkan ke tengah bandar sejauh satu kilometer manakala beberapa pegawai menjelaskan bahawa satu pertiga kawasan bandar ini yang dihuni oleh 38,000 orang dipenuhi dengan air manakala ribuan orang lagi didapati hilang. - Agensi
Kosmo!