Pages

Monday, January 17, 2011

2 sahabat terkejut jumpa mayat bayi terapung



BEBERAPA anggota polis memeriksa plastik mengandungi mayat bayi yang ditemui di Sungai Skudai di perkampungan Orang Asli Kampung Bakar Batu, Taman Perling, Johor Bahru, semalam. - UTUSAN/Baazlan IbrahiM


JOHOR BAHRU 16 Jan. - Dua sahabat yang sedang mandi-manda di sungai berhampiran Kampung Sungai Bakar Batu, Taman Perling di sini terkejut apabila menemui sebuah beg plastik terapung yang mengandungi mayat seorang bayi perempuan.
Pada mulanya, Mazni John dan Pina Paizal, kedua-duanya berusia sembilan tahun menganggap beg plastik yang terapung berhampiran mereka hanya berisi pakaian terbuang.
Namun, sebaik sahaja dua anak Orang Asli itu membuka beg plastik berkenaan, mereka menjerit ketakutan apabila menemui mayat bayi.
Dua kanak-kanak itu bergegas pulang ke rumah masing-masing yang terletak tidak jauh dari sungai berkenaan.
"Saya ingatkan ada pakaian yang dibuang dalam beg plastik itu, rupa-rupanya mayat bayi. Kami kemudian segera pulang dan memaklumkannya kepada ibu bapa kami," kata Mazni ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada penduduk kampung mengenai penemuan mayat bayi itu kira-kira pukul 1 petang.
"Polis yang bergegas ke tempat kejadian menemui satu bungkusan plastik berwarna kuning terapung di sungai sebelum membawanya naik ke darat.
"Sebaik sahaja anggota polis membuka beg plastik tersebut, mereka menemui satu mayat bayi yang masih bertali pusat," katanya ketika dihubungi di sini.
Ruslan memberitahu, pemeriksaan awal mendapati, tiada kesan kecederaan pada mayat bayi itu yang dipercayai baru dilahirkan.
Mayat bayi tersebut kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk bedah siasat, katanya.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan hingga kini belum ada tangkapan dilakukan.
Justeru, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai penemuan mayat bayi berkenaan diminta menghubungi talian hotline di 07-2212999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Antika tinggalkan universiti



Antika Sarno


KUALA LUMPUR 16 Jan. – Sepatutnya gadis manis ini ke universiti, namun kerana kemiskinan, dia terpaksa menjadi pembantu rumah.
Itu kisah duka yang disimpan rapi selama hampir tujuh tahun sebelum Antika Sarno, 29, bersedia berkongsi cerita.
Hakikatnya, wajahnya yang sentiasa ceria, tidak langsung menggambarkan betapa berat beban yang sedang ditanggung.
Antika, seorang anak kampung miskin, terpaksa meninggalkan negara atas dasar tanggungjawabnya terhadap keluarga.
Menariknya tentang Antika ialah melihat kepada gaya percakapannya.
Jika tidak ditanya latar belakangnya, mungkin tiada siapa menyedari gadis ini seorang pembantu rumah berasal dari Kisaran, Sumatera Utara.
Menurut Antika, dia mengambil masa tidak sampai tiga bulan untuk menguasai lenggok bahasa Melayu yang menjadi bahasa utama negara ini.
‘‘Bahasa harian yang sering saya guna semasa di kampung dulu tidak berbeza sangat dengan bahasa Melayu di sini,” katanya tersenyum lagi.
Antika, anak sulung daripada tiga beradik, bukan seperti kebanyakan pembantu rumah lain yang hanya berpendidikan sekolah rendah atau di negara jiran itu disebut sebagai sekolah dasar.
Pencapaian peperiksaan sekolah menengahnya yang cemerlang, melayakkan dia menyambung pelajaran ke universiti dalam bidang perakaunan.
Namun, disebabkan kemiskinan - demi memastikan adik-adik yang lain dapat meneruskan pelajaran untuk menjadi insan berguna, dia memilih untuk berkorban - meninggalkan segala-gala yang amat disayanginya.
‘‘Adik perempuan saya sekarang mengambil jurusan kedoktoran, adik lelaki pula masih di sekolah rendah, darjah (tahun) tiga,” ujarnya.
Jelas Antika, ada sebab mengapa adik perempuannya itu memilih untuk menjadi doktor.
‘‘Emak bukan sahaja sakit buah pinggang, tetapi ada masalah jantung dan paru-paru. Doktor kata, masih boleh dirawat,” katanya perlahan.
Bagi memastikan ibu dikasihi itu terus bertahan, setiap bulan, gadis tabah ini mengirimkan antara RM350 hingga RM400 kepada bapanya.
Wang tersebut adalah sebahagian besar daripada keseluruhan RM600 gaji yang diterima setiap bulan daripada majikan tempat dia bekerja kini.
‘‘Selain wang kiriman saya, bapa yang bekerja sebagai pemandu lori juga banyak membantu menanggung kos rawatan emak,” jelas Antika.
Menyusuri pengalamannya bekerja sebagai pembantu rumah, kata Antika, selama hampir tujuh tahun berada di Malaysia, dia tidak pernah mengalami pengalaman ngeri seperti yang dipaparkan di media-media.
‘‘Saya bersyukur dapat bekerja di sini. Walaupun dulu sering terbaca kisah-kisah majikan mendera pembantu rumah, tetapi apa yang penting sebenarnya adalah niat mengapa kita mahu datang ke sini,” katanya.
Tambah Antika, jika niat yang tertanam adalah semata-mata mahu bekerja demi mencari wang untuk meneruskan kelangsungan hidup, tiada sebab mengapa majikan sengaja mahu mencari kesilapan pembantu rumah mereka.
‘‘Masalahnya ialah mungkin ada yang masuk ke sini atas sebab lain tetapi menjadikan pekerjaan pembantu rumah sebagai saluran. Maka, berlaku macam-macam hal yang tidak disukai oleh majikan,” tambahnya.

Perodua Bezza dikomersialkan



MODEL syarikat Perodua menunjukkan kereta konsep Perodua Bezza yang diperkenalkan di Pameran Kereta Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putera baru-baru ini.




RAWANG - Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) sedang memperincikan maklum balas dan komen daripada orang ramai mengenai model Perodua Bezza khususnya daripada pengunjung Pameran Kereta Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 (KLIMS 2010) pada awal bulan Disember tahun lalu.
Perodua Bezza merupakan model kereta untuk generasi masa depan yang memiliki ciri-ciri futuristik tetapi ia amat praktikal digunakan.
Namun sejak ia diperkenalkan pada pameran tersebut, pelbagai tanda tanya berlegar di pasaran sama ada kereta konsep itu akan menjadi salah satu model terbaru yang akan diperkenalkan di pasaran tidak lama lagi.
Antara persoalannya ialah adakah kenderaan yang direka dengan kepakaran tempatan itu akan direalisasikan menjadi salah satu barisan model keluarannya atau ia akan hanya terus kekal menjadi kereta konsep semata-mata.
Menurut Pengarah Urusan Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh (gambar kecil), syarikat itu akan memberi tumpuan terhadap model kereta tersebut tetapi pihaknya perlu membuat kajian yang mendalam mengenainya terlebih dahulu selain menerima maklum balas daripada pengguna.

Scanlan jadi ratu cantik termuda AS




TERESA SCANLAN dipakaikan selendang kemenangan oleh pemenang Ratu Cantik Amerika 2010, Caressa Cameron di Planet Hollywood, Las Vegas kelmarin.


LAS VEGAS - Seorang remaja berusia 17 tahun, Teresa Scanlan kelmarin menjadi ratu cantik paling muda memenangi pertandingan Ratu Amerika dalam tempoh 90 tahun.
Peserta dari Nebraska itu menewaskan 53 peserta lain dari seluruh Amerika Syarikat (AS).
Dia mendapat hadiah biasiswa bernilai AS$50,000 (RM153,025) dan menjadi pemilik mahkota ratu cantik selama setahun.
Pertandingan yang memasuki edisi ke-90 itu diadakan di Planet Hollywood, Las Vegas.
Dia memenangi hati juri apabila menyuarakan pendapat dan kritikan mengenai keselamatan maklumat yang didedahkan oleh laman web WikiLeaks.
Dalam sesi menjawab soalan, dia berkata, pertimbangan keselamatan perlu dilakukan sebelum maklumat sulit pemerintah dapat diakses orang ramai.
Dia yang memakai bikini berwarna hitam dan pakaian malam berwarna putih menunjukkan bakatnya dengan bermain piano.
Tempat kedua pertandingan itu dimenangi oleh perserta dari Arkansas, Alyse Eady yang memperoleh wang AS$25,000 (RM76,512) dan tempat ketiga dibolot gadis dari Hawaii, Jalee Fuselier yang membawa pulang AS$20,000 (RM61,210). - AP

NASA dedah idea pesawat baru menjelang 2025




SYARIKAT Boeing mengemukakan idea pesawat seperti burung untuk Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat.


WASHINGTON - Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) milik Amerika Syarikat (AS) mendedahkan gambar generasi baru pesawat penumpang pada 2025, lapor sebuah akhbar semalam.
Ia mendedahkan konsep reka bentuk bagi menggambarkan penerbangan yang mempunyai enjin tidak terlalu bising dan penggunaan tenaga yang efisen.
Tiga buah syarikat gergasi penerbangan, Lockheed Martin, Northrop Grumman dan The Boeing Company mengemukakan pelbagai reka bentuk itu pada hujung tahun lalu.
Ketiga-tiga syarikat itu memenangi kontrak daripada NASA untuk melakukan penyelidikan dan pembangunan sekali gus menguji konsep tersebut pada tahun ini.
Reka bentuk itu dikemukakan selepas NASA mendedahkan bahawa ia mahu membina pesawat super yang lebih laju, lebih besar dan tidak bising selain penggunaan bahan bakar yang lebih efisen serta mesra alam.
Kini setiap syarikat tersebut akan meneroka, menguji dan membuat simulasi reka bentuk masing-masing dalam tahun ini dengan harapan NASA akan memilih salah satu ciptaan yang dikemukakan itu. - Agensi

Pengasas Facebook pindah rumah




SEBUAH kereta Honda Acura berwarna merah milik Mark Zuckerberg (kiri) diletakkan di rumah sewanya di Palo Alto, California baru-baru ini.


PALO ALTO, Amerika Syarikat - Pengasas laman sosial popular Facebook, Mark Zuckerberg, 26, memilih untuk mengamalkan gaya hidup sederhana apabila dia berpindah ke rumah baru dua tingkat yang sederhana, lapor sebuah akhbar semalam.
Walaupun kekayaan Zuckerberg dianggarkan AS$15.86 bilion (RM48.53 bilion) dia lebih selesa menyewa sebuah rumah bersama teman wanitanya, Priscilla Chan yang terletak di pinggir bandar dengan keadaan sekitar yang biasa sahaja.
Lokasi rumah baru Zuckerberg lebih dekat dengan pejabatnya.
Rumah sewa itu yang tidak mempunyai sistem kawalan kamera tertutup dianggarkan berharga kira-kira AS$2.38 juta (RM7.3 juta) dan mempunyai lima bilik berbanding rumah sewa lamanya sebelum ini yang mempunyai empat bilik.
Selain tinggal di kawasan penempatan biasa, Zuckerberg selesa menggunakan kenderaan lamanya, Honda Acura berwarna hitam yang bernilai kira-kira AS$20,628 (RM63,131).
Dia mengasaskan Facebook lapan tahun lalu.
Zuckerberg menggunakan kereta Honda itu selepas tawarannya untuk membeli sebuah kereta BMW milik jirannya ditolak. - Agensi

Penari akui terima wang daripada PM Itali






ROM - Seorang remaja perempuan yang berusia 18 tahun, Karima El Mahroug mengaku Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi memberinya 7,000 euro (RM28,615) ketika dia menghadiri parti Hari Kekasih pada tahun lalu.
Menurutnya, dia menghadiri parti itu di sebuah vila milik Berlusconi tetapi menjelaskan mereka tidak melakukan hubungan seks.
Bagaimanapun, pendakwa raya di Milan melakukan siasatan berhubung dakwaan bahawa Berlusconi membayar gadis bawah umur itu untuk melakukan seks dan menggunakan kuasa yang ada untuk menutup kesalahan itu.
Remaja itu lebih dikenali sebagai Ruby berbanding nama asalnya merupakan penari di sebuah kelab malam.
Ketika sesi temu bual dengan stesen televisyen Sky TG24 kelmarin, Ruby mengaku bahawa dia menyamar sebagai wanita dewasa yang berumur 24 tahun ketika menghadiri parti itu.
Menjawab soalan kenapa Berlusconi memberinya wang itu, Ruby menjawab: "Saya baru sahaja sampai ke Milan pada ketika itu dan dia tahu kesusahan keluarga saya. Dia ingin membantu."
Menurut Ruby, Berlusconi tidak mengetahui bahawa ketika itu dia merupakan remaja bawah umur.
Pada Jumaat lalu, pendakwa raya menghantar notis saman untuk perdana menteri itu dan peguamnya hadir untuk disoal siasat berhubung isu tersebut. - AP

Fadilat azan dan kelebihan orang yang melaungkan azan



i) Keampunan Allah yang banyak, di mana keampunan itu digambarkan sejauh laungan suara yang dilaungkan ketika azan dan baginya pahala sama seperti pahala orang yang sembahyang bersamanya, seperti yang dijelaskan dalam hadis daripada Barra bin Azib, yang menyatakan bahawa Rasulullah bersabda: Sesungguhnya Allah dan malaikatnya berselawat ke atas mereka yang berada di saf hadapan, manakala muazzin diampuni dosanya sepanjang suaranya, ucapannya dibenarkan oleh mereka yang mendengarnya, yang terdiri daripada benda basah dan kering dan dia akan memperoleh pahala sebanyak pahala mereka yang sembahyang bersamanya.
Seandainya manusia itu mengetahui kelebihan azan, juga melakukan sembahyang di saf awal, mereka akan berlumba-lumba berbuat demikian. Dijelaskan dalam hadis daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah bersabda menyatakan: Sekiranya manusia itu tahu ganjaran yang ada pada azan dan berada di saf awal, tetapi tidak ada jalan lain untuk memperolehnya, kecuali dengan mengadakan undian nescaya mereka akan mengadakan undian.
ii) Iblis dan syaitan lari bertempiaran mendengar bacaan azan, berdasarkan hadis Abu Hurairah bahawa Rasulullah bersabda: Apabila azan dilaungkan untuk sembahyang, syaitan lari terkentut-kentut lintang-pukang sehingga tidak mendengar suara azan dan apabila sempurna azan, dia datang hingga apabila dilaungkan iqamah untuk sembahyang dia lari lagi, sehinggalah sempurna iqamah dibaca, lalu dia datang, mengganggu dan menimbulkan rasa waswas dalam diri, membisikkan kepadanya: Ingatkan itu dan ini, sesuatu yang tidak terlintas sebelum itu, menyebabkan seseorang itu tidak sedar berapa rakaat dia sembahyang.
Kerana itu tidak seyogia seseorang itu keluar dari masjid ketika dilaungkan azan, supaya tabiat seseorang itu tidak menyerupai tabiat syaitan. Walaupun demikian tidak mengapa kerana uzur, kerana sesuatu hajat, tetapi seseorang itu hendaklah balik semula ke masjid.
Hadis daripada Said bin Al-Mussayyab, beliau berkata, dikatakan bahawa Rasulullah ada bersabda: Tidak seyogia seseorang itu keluar dari masjid, selepas an-nida,' kecuali dia hendak kembali semula ke masjid atau dia menjadi seorang munafik.
iii) Dengan azan dosa-dosa diampuni Allah dan akhirnya seseorang itu dimasukkan ke syurga berdasarkan hadis Aqabah bin Amir, beliau berkata, aku mendengar Rasulullah bersabda: Tuhan kamu kagum terhadap orang yang memelihara kambing di atas kelompok bukit yang berazan dan menunaikan sembahyang. Allah berfirman: Lihatlah hamba-Ku ini, dia azan dan mendirikan sembahyang kerana takutkan Aku. Maka sesungguhnya Aku telah ampuni hamba-Ku ini dan Aku masukkan dia dalam syurga.
Azan selepas masuk waktu sembahyang adalah daripada amalan sunah. Azan disyariatkan untuk memberitahu waktu, kerana itu ia tidak disyariatkan untuk dilakukan sebelum masuk waktu, kecuali pada sembahyang subuh, iaitu azan awal untuk memberitahu orang yang sedang tidur.
Orang yang azan atau muazzin hendaklah Islam, baligh lagi berakal. Hanya dilakukan oleh kaum lelaki dan tidak mengurang atau menambah ayat-ayat azan yang telah disyariatkan. Azan adalah ibadah. Ibadah perlu dilakukan menurut apa yang telah disyariatkan. Untuk memperoleh kesempurnaan sembahyang, sunat-sunat azan hendaklah diikuti, iaitu azan hendaklah dilakukan dalam keadaan suci, bersih daripada hadas kecil dan besar dan dilakukan semata-mata kerana Allah.  Berdasarkan keterangan ini, ibu yang baru bersalin tidak boleh membacakan azan, biarpun untuk anak yang baru dilahirkan, kerana ibu berkenaan adalah keadaan berjunub. Perempuan tidak ahli untuk berazan. Azan sembahyang hendaklah dilakukan dalam keadaan berdiri dan menghadap kiblat. Sunat meletakkan tapak tangan kanan di telinga kanan dan tapak tangan kiri di telinga kiri atau memasukkan jari telunjuk dalam telinga kanan dan kiri menurut seperti yang dilakukan oleh Bilal. Bilal berkata: Maka aku masukkan jariku dalam telinga lalu aku azan- hadis riwayat Abu Daud dan Ibn Hibban. Azan sembahyang hendaklah dilaungkan oleh orang yang bersuara baik lagi lantang kerana Rasulullah pernah bersabda kepada Abdullah bin Zaid agar mengajar azan kepada bilal kerana suara Bilal lebih lantang daripada suaranya.
Kaum wanita yang hendak sembahyang berjemaah tidak disunatkan azan. Suara tinggi wanita boleh membawa fitnah. Hadis daripada Ibn Umar menjelaskan: Kaum wanita tidak boleh azan juga iqamah. Sunat berselawat ke atas Nabi sebaik-baik sahaja azan tamat dilaungkan. Allah akan berselawat kepada orang yang berbuat demikian sepuluh selawat bagi setiap selawat yang dilafazkan. Bacaan iqamah sebaik-baik dibaca oleh orang yang azan. Demikianlah disebut dalam sebuah hadis daripada Ziad bin Harith as-Sadaiy, yang menyatakan bahawa dia pernah azan. Tidak lama selepas itu Bilal datang untuk iqamah. Baginda bersabda: Bahawasanya saudara Sada' (Ziad bin Harith) telah azan, sesiapa yang azan, dialah yang iqamah - Riwayat Abu Daud dan Tarmizi. Rasulullah menyatakan bahawa doa yang dipohon antara azan dan iqamah tidak akan ditolak oleh Allah - Riwayat Abu Daud dan Tarmizi. Sunat bagi makmum bangun untuk mendirikan sembahyang apabila muazzin membaca pada ayat qad qamati `s-salah. Demikianlah yang dijelaskan oleh Anas r.a, Ahmad Rahimu `Llah, juga oleh Abu Hanifah. Ibn Umar tidak berdiri kecuali setelah mendengar muazzin sempurna membaca kalimah-kalimah berkenaan. Menurut mazhab Asy-Syafie, seseorang itu tidak perlu bangun sehingga iqamah yang dibaca oleh muazzin sempurna dibaca.
Muazzin perlu mendapat izin atau persetujuan daripada imam sebelum iqamah, apatah lagi sekiranya iqamah itu dilakukan orang lain. Tidak seyogia seseorang itu masuk urusan iqamah sehinggalah dia mendapat izin daripada imam. Tidak menambah perkataan ``sayyidina'' contohnya ketika iqamah juga azan. Tidak terdapat bukti daripada ulama salaf daripada kitab-kitab hadis, juga daripada amalan sahabat, tabiin, juga daripada ulama fikah, pengikut-pengikutnya juga oleh khulafau `r-rasyidin. Menambah kalimah ini pada ibadah yang disyariatkan bukan merupakan amalan memuliakan Nabi. Setiap amalan mesti ada sandaran.
Dilarang seseorang itu keluar dari masjid ketika atau selepas azan. Hadis daripada Abu Hurairah menjelaskan bahawa dia telah melihat seorang lelaki keluar dari masjid selepas muazzin melaungkan azan. Baginda bersabda: Perbuatan ini sesungguhnya telah mengingkari Abu Al-Qasim s.a.w. - hadis ditakhrij oleh Muslim dalam sahihnya. Hukum iqamah sama seperti hukum azan. Terdapat beberapa perkara yang perlu dilakukan ketika iqamah, antaranya sunat mempercepat bacaan iqamah dengan menghimpunkan dua baris ayat iqamah dengan satu nafas, berdasarkan hadis Jabir yang menyatakan: Apabila azan, hendaklah engkau lambatkan dan apabila iqamah hendaklah engkau cepatkan. Jadikan jarak antara azan dan iqamah sekira-kira orang yang makan dapat menghabiskan makanannya.
Dalam hadis Abdullah bin Maghfal dijelaskan bahawa baginda bersabda: Tempoh antara dua azan ialah satu sembahyang. Menurut Abdul Aziz bin Abdullah Ibn Bazz r.a, iqamah tidak perlu cepat, sehinggalah imam memerintahkan supaya iqamah, di mana ia mengambil masa suku jam, satu per tiga jam atau seumpamanya mengikut keperluan. Sekiranya imam lambat datang, orang lain boleh menjadi imam sembahyang bersama orang lain. Berdasarkan keterangan ini, tukang azan tidak perlu iqamah cepat untuk mendirikan sembahyang kerana tempoh antara azan dan iqamah sebelum menunaikan sembahyang itu adalah jelas. Menurut pendapat ulama Asy-Syafie, sunat dilakukan iqamah di tempat yang lain daripada tempat azan dengan suara yang lebih rendah, perlahan daripada suara azan. Iqamah tidak boleh dilakukan sehinggalah imam memberi keizinan berdasarkan kepada amalan Bilal yang meminta izin baginda sebelum iqamah: Aku berkata kepada Nabi Muhammad, aku hendak melakukan iqamah. Baginda menjawab: Tukang azan lebih berhak dengan azan dan imam lebih berkuasa terhadap iqamah - riwayat Ibn Adiy.
Di luar keperluan sembahyang, sunat azan di sebelah telinga kanan bayi yang baru dilahirkan dan diiqamahkan di telinga sebelah kiri. Azan juga perlu dilakukan ketika berlaku kebakaran, waktu perang, berlaku ribut taufan, juga ketika iblis dan syaitan menjelmakan diri. Begitu juga azan pada telinga orang yang sedih, orang yang jatuh, orang yang sedang marah dalam keadaan panas baran atau ketika seseorang itu tidak sedarkan diri, menjadi liar kelakuannya atau ketika dirasuk iblis dan syaitan. Iblis akan lari jauh hasil daripada azan yang dilaungkan. Tidak disunatkan azan ketika mayat dimasukkan dalam kubur menurut pendapat yang muktamad di kalangan ulama mazhab Asy-Syafie.

Apabila diserukan azan segeralah kemasjid untuk bersolat

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِي لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya),


Surah Al-Jumu'ah, Ayat 9

5 Langkah untuk mencapai Musyahadah dan Muqarabah Allah SWT


http://www.irsyadtc.net/design/mrdktn.jpg
“Al-Jawahir Al-Sufiyyah” karya al faqir biLlah al-marhum Tuan Guru Haji Husin Nasir al-Banjari (Tuan Husin Kedah) mengenai hal ini.
“Seseorang itu tidak dapat memahami perkara yang payah seperti Musyahadah dan Muraqabah kepada Allah Ta’ala itu atau seperti tuntutan mengenal Allah Ta’ala itu dengan pengenalan yang sempurna atau tuntutan berkekalan khidmat dan ibadah kepada Allah Ta’ala melainkan dengan lima perkara :
1. Meninggalkan keinginan dan kasih kepada dunia, ertinya tidak kasih kepada tiap-tiap sesuatu yang lain daripada Allah Ta’ala.
2. Meninggalkan daripada perkara-perkara yang disukai oleh hawa nafsu, iaitu tiap-tiap sesuatu yang lain daripada Allah Ta’ala.
3. Seseorang itu hendaklah berkekalan dengan zikrullah, ertinya sentiasa ingat kepada Allah Ta’ala dengan hatinya dan sentiasa disebut dengan lidahnya
4. Seseorang itu hendaklah bersegera bertaubat pada tiap-tiap kali ia melakukan dosa
5. Meninggalkan tindakan angan-angan, sekalipun bagi pekerjaan atau urusan yang berkaitan dengan akhirat.

Sunday, January 16, 2011

Aa Gym RESAH sejak CERAIKAN ISTERI PERTAMA



DULU PASANGAN BAHAGIA: Aa Gym dengan Teh Ninih sebelum munculnya Teh Rini dalam rumah tangga mereka dan sebelum bercerai.

Rupa-rupanya Aa Gym bernikah senyap-senyap dengan isteri mudanya pada tahun 2005 dan hanya sampai ke telinga isteri pertama setahun kemudian dari mulut orang


MIMIK wajah pendakwah terkemuka Indonesia, K.H. Abdullah Gymnastiar, tampak tidak nyaman, bagaikan fikirannya sarat diusik keresahan, ketika menyampaikan ceramah di Masjid Pondok Indah, Selasa lalu.
Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Aa Gym (gambar atas), kelihatan payah memberikan tumpuan tatkala membacakan beberapa potong ayat suci. Beberapa kali, beliau minta diingatkan jemaah sambil bertanya: 'Sampai di mana tadi, ya?'Beberapa wartawan Indonesia yang hadir termasuk wartawan laman Kapanlagi, hairan mengapa pemimpin Pesantren Daarut Tauhid itu bertindak demikian.Namun, terbetik di hati mereka, keresahan Aa Gym itu berpunca daripada kebimbangan beliau bakal 'diserang' soalan bertalu-talu pihak media yang ingin mencungkil kisah perceraian beliau dengan isteri pertamanya, Cik Ninih Muthmainah (Teh Ninih).Sebelum itu, jurufoto akhbar yang bertunggu-tangga di masjid tersebut telah dipersilakan Aa Gym keluar dari kawasan pengajian.Aa Gym juga dikatakan kurang senang apabila beberapa wartawan berkunjung dan menanti beberapa jam lamanya di depan rumah isteri keduanya, Cik Alfarini Eridani atau Teh Rini, untuk mendapatkan komennya.Teh Rini kemudian menulis surat rasmi kepada para wartawan, memohon mereka supaya tidak menjaga tepi kain beliau dan Aa Gym.Penantian para wartawan untuk mendengar ulasan daripada mulut Aa Gym sendiri berakhir dengan kekecewaan apabila pendakwah itu langsung keluar dari masjid dengan dikawal 10 jejaka sasa berbaju koko putih.Berita tentang perceraian Aa Gym dengan Teh Ninih sudah bertiup kencang sejak lewat tahun lalu.Aa Gym, jelas beberapa sumber, dikatakan lebih banyak menghabiskan masa di rumah Teh Rini di Tangerang. Apabila ke Bandung, urusannya hanyalah berceramah di Daarut Tauhid dan bukannya bertemu Teh Ninih yang menetap di sana.Perceraian mereka, bahkan disahkan Ketua Majlis Ulama Indonesia (MUI) Kota Bandung, Encik K.H. Miftah Farid, baru-baru ini.Majalah Femme juga melaporkan Teh Ninih telah memohon agar rumah anak yatim Darul Muthmainnah, usaha miliknya bersama Aa Gym, menjadi hak perseorangannya sahaja.Dalam permohonannya, Teh Ninih mencatat statusnya sebagai sudah bercerai secara agama dengan Aa Gym sekitar Oktober tahun lalu.TIDAK ADIL MEMBAHAGI WAKTUDAN NAFKAH LAHIR BATINPopulariti Aa Gym yang menjadi bak satu fenomena, ditambah dengan adanya stesen televisyen milik peribadinya, Manajemen Qolbu Televisi (MQ TV), merosot sejak beliau memutuskan untuk berpoligami sekitar September 2006. Perniagaannya juga jatuh muflis.Keadilan bapa lapan anak (tujuh orang dengan Teh Ninih, seorang dengan Teh Rini) itu dipertikai dengan beliau dikatakan gagal memberi layanan saksama dari segi waktu dan nafkah lahir batin kepada Teh Ninih.Salah seorang sahabat Aa Gym yang enggan namanya disiarkan, melahirkan rasa simpatinya terhadap Teh Ninih yang dianggap penyabar dan ikhlas menerima cubaan bermadu.Menurutnya lagi, walaupun orang ramai mengetahui pernikahan Aa Gym dan Teh Rini berlangsung pada 2006, hakikatnya ia terjadi pada 2005.'Saat Aa Gym bernikah dengan Teh Rini, Teh Ninih tidak mengetahui. Aa Gym menyembunyikan pernikahan keduanya selama lebih kurang setahun,' ujar sumber itu kepada majalah Femme.Berita pernikahan kedua suaminya itu hanya sampai ke telinga Teh Ninih daripada buah mulut orang.'Aa Gym dan Teh Ninih datang ke rumah saya untuk berbincang mengenai baik buruknya amalan poligami yang dilakukan Aa Gym, wajar atau tidak jika orang ramai diberitahu mengenainya.'Saya langsung menyarankan agar Aa Gym, sebagai tokoh dakwah yang dikenali, bersifat jujur menanganinya. Akhirnya, beliau yang ditemani Teh Ninih, mendedahkan statusnya kepada orang ramai,' tambah sumber itu lagi.KEKECEWAAN MENTUAWalaupun hatinya merintih, Teh Ninih, sebagai isteri yang baik hati, pernah meminta madunya, Teh Rini tinggal serumah dengannya dan Aa Gym. Saranan itu, bagaimanapun, ditolak Aa Gym dan Teh Rini.Sementara itu, remuk hati seorang isteri turut dirasakan keluarganya. Ibu Teh Ninih, Ceu Nonok, yang mulanya keberatan dan canggung bertemu wartawan Femme di Pondok Pesantren Kalangsari, hampa bahawa menantu harapan yang dilihat cerdas dan terang hati, merobek tangkai hati seisi keluarganya.'Aa itu bukan keturunan kyai tetapi dia soleh. Walaupun ilmu agamanya kurang, tetapi dia ghairah belajar agama dan sering mengikuti alim ulama ke pengajian mereka'Setelah menuntut di salah satu pondok pesantren di daerah Manonjaya, Tasikmalaya, dia memutuskan hasrat menjadi pendakwah, dengan sokongan Teh Ninih dan suami saya, H.M. Mukhsin,' imbas Ceu Nonok.Ceu Nonok hampa dan malu apabila Aa Gym berpoligami tanpa meminta izin beliau, suami dan Teh Ninih. Selama seminggu, beliau terperap di rumah kerana bimbang dipersoal jiran dan teman-teman. Solatnya sering diiringi tangisan.'Sejak beristeri dua, Aa jalan menunduk sahaja dan enggak bergurau dengan orang lain, mungkin takut dimarahi isteri keduanya itu,' ujar Ceu Nonok, terus-terang.Beliau yang menghidap masalah kolestrol tinggi berkata beliau tidak menentang poligami, tetapi Aa Gym harus adil.'Aa, sayangnya, tidak adil dan lebih mementingkan isteri keduanya. Saya pernah cuba menasihatinya, namun niat baik saya disalahanggapkan.'Dia baik tetapi semua orang ada kekurangannya. Aa pernah beritahu saya dengan nada tinggi untuk tidak ikut campur urusan rumah tangga orang lain. Sakit hati bukan dibentak begitu? Namun, bagaimana? Saya sebagai orang tua lebih baik berdiam sahaja,' ceritanya, api kemarahan meluap-luap ketika berbicara.Teh Rini, seperti Aa Gym, juga inginkan ruang peribadinya agar tidak digugat orang sekeliling.Antara kandungan suratnya kepada wartawan yang menanti di luar rumahnya berbunyi begini:'Apakah manfaatnya ingin tahu masalah orang lain? Cuba diperiksa niatnya. Enggak ada maslahatnya selain menaikkan jualan akhbar anda dan memberi bahan untuk orang-orang mengumpat...'Sedang isu perceraian Aa Gym dan Teh Ninih hangat dibincangkan, jemaah yang mengikuti pengajian agama di bawah bimbingannya di pesantren Daarut Tauhid, nampaknya tidak terjejas dengan berita itu.Mantan pengurus kumpulan nasyid Raihan, Encik Farihin Abdul Fatah, yang pernah menjadi pegawai perhubungan awam Daarut Tauhid, berkata:'Saya dan keluarga masih sering ke sana untuk bersilaturahmi dengan jemaah-jemaahnya. Ketika isu Aa Gym berpoligami hangat dibicarakan, jemaah tetap tidak terpengaruh, bahkan ke sini kerana beribadah untuk Allah. Suasana di sini masih tetap mengalu-alukan kami datang.'Apa jua halnya, suara hati Aa Gym dan Teh Ninih ingin didengar masyarakat. Jika suatu masa dahulu, mereka pernah dilihat sebagai pasangan ideal, mengapa masa mengubah segalanya?
-cyberita

Tentera, polis bertempur dengan penyerang di Tunisia





2011/01/16

PENUNJUK perasaan membaling batu ke arah polis ketika rusuhan yang menyaksikan penggulingan    kerajaan pimpinan Zine El Abidine Ben Ali (gambar kecil) di Tunisia, kelmarin.
PENUNJUK perasaan membaling batu ke arah polis ketika rusuhan yang menyaksikan penggulingan kerajaan pimpinan Zine El Abidine Ben Ali (gambar kecil) di Tunisia, kelmarin.
TUNIS: Tentera dan polis bertempur dengan penyerang di depan bangunan kementerian dalam negeri semalam sejurus selepas Tunisia menyaksikan presiden sementara mengangkat sumpah jawatan menggantikan Zine El Abidine Ben Ali yang melarikan diri ke Arab Saudi. 

Wartawan Associated Press (AP) menyaksikan pertempuran itu dan melihat dua mayat bergelimpangan di sebuah dataran di tengah Tunis.
Penembak tepat turut dilihat berada di atas bangunan kementerian berkenaan. Masih belum jelas siapa penyerang berkenaan tetapi sumber kanan tentera berkata mereka adalah penyokong setia Ben Ali.

Pertempuran itu berlaku sejurus selepas speaker Parlimen, Fouad Mebazaa dilantik presiden sementara berikutan penggulingan Ben Ali selepas sebulan tunjuk perasaan besar-besaran. 

Sebaik saja dilantik, Mebazaa mengarahkan penubuhan kerajaan campuran yang disyaratkannya membabitkan parti pembangkang yang disisihkan selama 23 tahun lalu di bawah pemerintahan Ben Ali. 

Bagaimanapun, pemergian Ben Ali yang dituntut penunjuk perasaan masih tidak dapat meredakan keadaan. 
Seramai 42 banduan di dua penjara terbunuh dalam rusuhan yang menyebabkan kebakaran di tempat tahanan itu, manakala perusuh turut menyerbu beberapa kedai dan membakar stesen kereta api utama. 

Tembakan turut kedengaran di ibu negara Tunisia ini. 

Ben Ali melarikan diri ke Arab Saudi selepas digulingkan dalam rusuhan besar-besaran rakyat, mengakhiri pemerintahan kuku besinya selama 23 tahun. 
Satu kenyataan dikeluarkan istana Arab Saudi awal semalam secara rasmi mengumumkan negara itu menerima Ben Ali dan keluarganya sebagai tetamu. 

Atas sikap prihatin kepada keadaan dihadapi saudara kita rakyat Tunisia dan demi menyokong keselamatan dan kestabilan negara mereka, kerajaan Arab Saudi mengalu-alukan kedatangan Presiden Zine El Abidine Ben Ali dan keluarganya ke negara ini. 

Kerajaan Arab Saudi berdiri teguh bersama rakyat Tunisia dan berharap mereka akan bersatu bagi menghadapi keadaan sukar dalam sejarah negara mereka, kata kenyataan itu. 

Tunjuk perasaan besar-besaran di Tunisia dilapor dicetuskan bulan lalu apabila seorang pemuda, Mohamed Bouazizi, 26, cuba membunuh diri selepas polis menghalangnya daripada menjual buah dan sayur-sayuran untuk menyara hidup. 

Bouazizi, seorang graduan universiti, membakar dirinya dan meninggal dunia di hospital akibat cedera parah minggu lalu. 

Sekurang-kurangnya 66 orang terbunuh dalam tunjuk perasaan itu, tiga kali ganda lebih ramai berbanding perangkaan rasmi. 

Ben Ali mengambil alih kuasa dalam satu rampasan kuasa tanpa pertumpahan darah pada 1987 dan mendapat pujian pada awal pemerintahannya kerana memperkenalkan pembaharuan ekonomi liberal dan mengurangkan pengaruh parti berasaskan Islam Ennahdha. 

Kerajaan mengisytiharkan perintah darurat selepas keganasan dan menguatkuasakan perintah berkurung di seluruh negara, selain memberi amaran mereka yang ingkar akan ditembak. AFP

Gajah purba diklon bakal hidup semula


TOKYO – Gajah Mammoth yang pupus sejak beribu-ribu tahun dahulu bakal dihidupkan semula dalam masa cuma empat tahun, lapor sebuah akhbar di sini semalam.

Dalam siri eksperimen mirip filem sains fiksyen The Jurrasic Park, nukleus tisu kulit dan otot Mammoth yang ditemui beku di dalam ais di Siberia akan digunakan untuk menghidupkan semula haiwan purba itu.
“Masalah teknikal dalam eksperimen ini telah diatasi, kami cuma memerlukan sampel nukleus yang baik,” kata seorang profesor di Universiti Kyoto yang terbabit dalam projek berkenaan, Akira Iritani.
Nukleus sel mammoth itu akan dimasukkan ke dalam sel telur gajah Afrika yang akan berfungsi sebagai ibu tumpang disusuli tempoh bunting selama 600 hari.
“Saya fikir kami mempunyai peluang yang cerah dengan seekor anak gajah mammoth akan dilahirkan dalam masa empat tahun lagi,” katanya. – Agensi

Raja Rimba bertarung dengan Sang Bedal




Babak pertarungan tiga ekor singa dengan seekor buaya di Botswana.


GABORONE – Satu pertarungan ganas ‘Raja Rimba’ melawan ‘Sang Bedal’ dirakam oleh seorang lelaki, Tony Goldman ketika melawat kawasan safari di Botswana, dia Afrika bersama anak lelakinya, lapor sebuah akhbar semalam.
Pertarungan rimba itu tercetus apabila seekor buaya cuba membaham anak singa tetapi ia diterkam, dicakar dan digigit tiga ekor singa betina yang berada berhampirannya baru-baru ini.
“Buaya itu sempat menggigit seekor singa betina tetapi pemangsa tersebut mati dibaham kawanan singa betina berkenaan dalam pertarungan yang berlangsung sekitar 15 minit,” kata Goldman. – Agensi

Derita Nur Umairah berkepala besar




NORBAIZURA memangku anaknya, Nur Umairah yang menyambut ulang tahun pertama sambil diperhatikan Hasliza (kanan) di Baling semalam.


BALING - Semalam merupakan ulang tahun kelahirannya yang pertama namun Nur Umairah Mohd. Zaidi masih menanggung penderitaan apabila kepalanya terus membesar dan kini melebihi kepala orang dewasa.
Secara kebetulan hari lahirnya jatuh pada hari Keputeraan Sultan Kedah menyebabkan Majlis Kebajikan Masyarakat Penyayang (Mayang) Parlimen Baling di sini mengadakan majlis kesyukuran sebagai tanda prihatin kepada bayi berkenaan.
Naib Pengerusinya, Hasliza Harun bersama anggota Mayang Zon Kuala Ketil meluangkan masa melihat keadaan bayi tersebut dan mengadakan majlis doa selamat.
Walaupun sewaktu dilahirkan bayi ini mempunyai berat badan 3.9 kilogram namun penyakit dikenali sebagai Hidrosefalus menyukarkan dia bergerak.
Anak ketiga pasangan Norbaizura Dol, 30, dan Mohd. Zaidi Abdul Rahman, 35, yang dilahirkan tanpa rongga hidung itu juga terpaksa minum susu menggunakan tiub.