Pages

Wednesday, October 13, 2010

Selami budaya Melayu Cham





Keadaan rumah di kampung thom.


KEMBOJA adalah negara yang tidak asing lagi kepada rakyat Malaysia. Rata-rata kita mengenali masyarakatnya melalui perniagaan kain di Malaysia.
Namun, kita jarang didedahkan tentang masyarakat Melayu Cham di Kemboja. Apatah lagi untuk mengenali negara Champa yang sudah lenyap dari peta dunia.
Kesempatan mengenali masyarakat Melayu Cham telah saya manfaatkan sebaiknya dalam misi bantuan pakaian sempena Aidilfitri anjuran Global Peace Mission (GPM), baru-baru ini.
Asal usul bahasa Cham adalah bahasa Melayu-Polinesia yang merupakan sub-bahasa kepada keluarga bahasa Austronesia.
Jenis bahasa yang digunakan ini sama dengan jenis bahasa yang kita pertuturkan di Malaysia dan Indonesia.
Cuma bahasa pertuturan kita hari ini adalah bahasa yang telah dipersetujui sebagai Bahasa Melayu Piawai iaitu Bahasa Melayu Riau yang dianggap sebagai tempat kelahiran Bahasa Melayu.
Maka tidak hairanlah sebahagian besar perkataan yang dipertuturkan masyarakat Cham tidak difahami.
Hanya sedikit saja perkataan yang difahami seperti rezeki, halal, sabda, firman, haram dan hadirin yang dihormati.
Sebaik saja tiba di Phnom Penh, rombongan terus dibawa oleh saudara Farid, wakil Persatuan Intelektual Muslim Kemboja (CMIA) menuju ke Masjid Dubai untuk menunaikan solat Jumaat. Sewaktu khutbah dibacakan, didapati khatib membaca teks dari kanan ke kiri.
Ini membuatkan saya tertanya-tanya kenapa cara pembacaannya tidak seperti membaca tulisan rumi. Lantas saya memberanikan diri bertanya kepada khatib sebaik selesai solat Jumaat.
Kata Imam Abdul Rahman, asal bahasa Cham ditulis dalam tulisan Jawi. Tetapi teks khutbah sekarang ditulis dalam bahasa Khmer cuma dia masih mengekalkan penulisannya dalam tulisan Jawi. Ini kerana kebanyakan masyarakat Melayu Cham sudah tidak tahu berbahasa Melayu.
Inilah kesan kekejaman rejim komunis Khmer Rouge yang mengakibatkan masyarakat asal Champa ini kehilangan identiti Melayu Cham mereka. Seterusnya anggota delegasi dibawa ke Muzium Tuol Sleng untuk melihat kesan kekejaman itu.
Tiga blok bangunan sekolah telah ditukar peranannya menjadi sel-sel tahanan untuk menyeksa musuh politik Pol Pot dari 1975 hingga 1979. Sesiapa saja yang berpendidikan tinggi dan berpengaruh dianggap sebagai musuh politik Khmer Rouge. Penjara Tuol Sleng ini juga dikenali sebagai Penjara S-21 oleh rejim ini.
Di sini kami amat bertuah dapat bertemu dengan Chum Mey, seorang bekas tahanan yang terselamat daripada dibunuh oleh tentera Pol Pot. Hanya tujuh daripada 20,000 orang tahanan yang dipercayai terselamat daripada dibunuh.
Chum Mey yang kini berusia 79 tahun masih tidak dapat melupakan tragedi hitam dalam hidupnya. Dia membawa kami ke sel tahanan kecil, tempat dia diseksa dengan begitu kejam.
Kedua belah kakinya dirantai sambil badannya dipukul dengan besi panas dan tajam. Tentera rejim hanya menyediakan sebuah botol untuk menakung air kencing manakala sebuah bekas lain bagi menakung najis. Sekiranya air kencing atau najis tadi tertumpah pada lantai, dia akan dipaksa menjilatnya.
Sepanjang tempoh empat tahun Pol Pot berkuasa, para ulama Melayu Cham juga turut menjadi mangsa. Sesiapa saja yang kelihatan berpengaruh akan diseksa dan dibunuh. Penyeksaan dibuat terlebih dahulu bertujuan untuk mendapatkan maklumat mengenai ahli keluarga dan kenalan mereka yang bakal ditahan kemudiannya.
Di muzium itu terdapat banyak gambar yang dirakamkan Ho Van Tay, jurukamera tentera Vietnam pada 1979 yang merupakan orang pertama memasuki kawasan Tuol Sleng selepas kejatuhan Pol Pot.
Antaranya ialah gambar tengkorak yang dikumpulkan bagi menandakan kejayaan mereka membunuh musuh-musuh politik mereka. Tengkorak-tengkorak itu masih wujud hingga hari ini untuk diabadikan sebagai bahan pameran di muzium ini.
Menurut Mufti Kemboja, Kamaruddin Yusuf, peperangan di Kemboja sebenarnya bermula sejak tahun 1970 hingga 1993. Dalam tempoh itu, banyak masjid dan sekolah diruntuhkan, kitab dan al-Quran dimusnahkan dan 60 peratus masyarakat Islam dibunuh.
Walaupun kekejaman yang dahsyat berlaku pada zaman Pol Pot, nasib masyarakat Melayu Cham yang majoritinya beragama Islam masih dirundung malang selepas itu. Akibatnya generasi ulama dan berpendidikan tinggi lenyap begitu saja.
Maka, wujudlah satu jurang yang sangat besar antara generasi hari ini dengan generasi terdahulu. Kamaruddin sendiri mengakui bahawa generasi mereka kurang ilmu dan kemahiran untuk mengajar anak-anak hari ini.
Kebanyakan mereka hanya mengajar anak-anak berdasarkan pengetahuan cetek yang disulami dengan pengalaman lampau. Tiada sistem pendidikan standard yang diamalkan di sekolah-sekolah Melayu Cham dan setiap guru menggunakan cara mereka tersendiri dalam pengajaran di sekolah.
Ditambah pula dengan sikap lepas tangan kerajaan Kemboja yang tidak mahu terbabit dalam sebarang usaha melibatkan agama.
Masyarakat Melayu Cham akhirnya terpaksa kami tinggalkan buat sementara waktu dengan janji untuk kembali pada Hari Raya Aidiladha kelak bagi menjalankan ibadah Korban masyarakat Malaysia di sini.
Oleh itu, bagi sesiapa yang berminat untuk mewakilkan GPM bagi menunaikan ibadah Korban anda di Kemboja, bolehlah menghubungi Najiyyah di talian 010-400 2324 atau Azlina di talian 019-2882852. Maklumat lanjut juga boleh didapati di www.gpm.com.my.

Bagaimana internet mengubah hidupku

Cerai suami tak mandi




2010/10/13

DUBAI: Sebuah mahkamah Mesir membenarkan seorang wanita untuk bercerai dengan suaminya kerana alasan pasangannya itu tidak mandi berbulan-bulan lamanya. 

Mahkamah membuat keputusan memihak kepada wanita itu dan meluluskan perceraian hanya selepas pasangan itu berkahwin beberapa minggu.Wanita itu, seorang jurutera petroleum, memberitahu mahkamah beliau ‘terkejut’ suaminya enggan mandi kerana ‘alahan daripada air’, menurut akhbar berbahasa Arab Mesir, Al Masri Al Yaum. – Agensi

33 pelombong Chile mula diselamatkan

 


2010/10/13

pix_gal0
Operasi bermula selepas lif ke dalam tanah dibina 

LOMBONG SAN JOSE (Chile): Operasi membawa keluar 33 pekerja lombong yang terperangkap setengah kilometer di bawah tanah sejak lebih dua bulan lalu akan dimulakan hari ini, selepas pihak berkuasa berjaya mereka bentuk lif untuk membawa mereka keluar.Pengumuman itu dibuat selepas pasukan jurutera berjaya menyiapkan lubang lombong sedalam 622 meter yang mencapai ke ruang perlindungan kecemasan di mana pelombong berkenaan berlindung sejak Ogos 5 lalu apabila lombong emas dan tembaga di utara Chile itu roboh.“Kami menetapkan permulaan operasi pada Rabu,” kata Menteri Perlombongan Laurence Golborne dan menyatakan pasukan jurutera kini sedang menstabilkan lubang lombong yang akan menjadi laluan keluar pelombong itu yang akan keluar menaiki lif khas yang direka yang hanya boleh membawa seorang pada sesuatu masa. 

Pelombong pertama yang akan dibawa keluar akan dipilih di kalangan mereka yang masih kuat, diikuti dengan yang paling lemah dan mempunyai masalah kesihatan, disusuli sekali lagi dengan mereka yang kuat. 

Jika operasi menyelamat itu bermula seperti dirancang hari ini, semua pelombong dijangka dibawa keluar Jumaat ini. 

Pelombong berkenaan terperangkap selepas sebahagian daripada lombong di kawasan gurun itu roboh menutup laluan masuk. 
Beberapa minggu selepas kejadian, pelombong berkenaan dianggap sudah mati sehingga Ogos 22 apabila mereka menghantar surat yang ditampal kepada gerudi bahawa mereka masih selamat. Sejak itu pasukan penyelamat menurunkan bekalkan makanan, air, ubat dan udara untuk pelombong terbabit. 

Sementara itu ahli keluarga mangsa menyatakan keyakinan mereka bahawa pelombong itu akan dibawa keluar dengan selamat. 

“Mereka akan membuat operasi itu secara berhati-hati dan akan memastikan tidak ada kejadian yang tidak diingini akan berlaku,” kata Nelly Bugueno, ibu kepada pelombong Victor Zamora yang terperangkap. 

Pihak berkuasa menjangka operasi membawa keluar akan mengambil masa satu setengah jam hingga dua jam bagi seorang pelombong. 

, menyebabkan keseluruhan operasi mengambil masa dua hari. 

Wartawan dan jurukamera dari seluruh dunia sudah mula berhimpun di lombong berkenaan bagi merakamkan pelombong terbabit diselamatkan. Lebih 1,000 wartawan dan krew televisyen dijangka akan membuat liputan operasi itu. – AFP 

Keluarga gadis ghaib pula diganggu jin


Oleh Mohammad Ishak
bhkt@bharian.com.my 
2010/10/13

Seberkas kunci dalam beg dikatakan hilang ditemui berbalut kain merah di atas meja 

JERTIH: Selepas gagal ‘mengghaibkan’ Siti Balqis Mohd Nor, 22, jin yang dikatakan mengawal gadis terbabit kini beralih mengganggu ketenteraman keluarganya di rumah mereka di Kampung Gong Nangka, dekat sini.Senja kelmarin, seberkas kunci rumah yang disimpan dalam beg tangan ibu Siti Balqis, Norizan Said, 47, dikatakan hilang sebelum ditemui diikat dalam kain berwarna merah di atas meja kecil di rumah itu kira-kira sejam kemudian.“Saya memang tahu anak kunci berkenaan tidak berbalut tetapi terkejut apabila dijumpai dalam keadaan berbungkus dengan kain merah,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam. 

Dalam gangguan kedua pada jam 12 malam, secara tiba-tiba seketul besi jatuh ke belakang Siti Balqis ketika gadis itu bersama ahli keluarga. 

Norizan berkata, sejak dirawat tiga pengamal perubatan Islam dari Yayasan Islam Terengganu (YIT), Siti Balqis sudah menunjukkan pemulihan dan tidak lagi ghaib sejak Sabtu lalu. 

Beliau berkata, rumahnya kini terpaksa sentiasa ditutup kerana tidak mahu ada orang datang mengganggu keluarganya, terutama bomoh yang menawarkan khidmat merawat anak gadisnya itu. 
“Tindakan ini adalah atas permintaan pegawai agama YIT yang meminta kami supaya tidak lagi membenarkan pihak lain mengadakan upacara merawat untuk tempoh tertentu kerana mahu memastikan proses rawatan bersandarkan syariat Islam itu dapat dilaksanakan secara berkesan tanpa gangguan dan campur tangan elemen lain,” katanya. 

Tinjauan Berita Harian ke kediaman keluarga itu malam kelmarin mendapati ratusan pengunjung masih menunggu di sekitar rumah keluarga itu untuk mengetahui perkembangan terkini gadis ghaib itu. 

Bagaimanapun, orang ramai yang berkumpul berhampiran rumah itu akur dengan nasihat polis yang turut berada di kawasan itu dan meninggalkan rumah terbabit. 

Siti Balqis menggemparkan negara apabila sejak dua bulan lalu, dia dikatakan sudah ghaib lebih 100 kali dibawa lembaga besar berbulu tebal dan berwajah anjing ke pelbagai tempat termasuk yang pelik seperti dalam mesin pembancuh simen, kubur, atas siling rumah, atas pokok dan rumah tinggal. 

Maher Zain bulan madu di Langkawi



Biarpun sibuk dengan persiapan akhir menjelang showcase yang berlangsung dua hari lagi, namun penyanyi Maher Zain sempat meluangkan masa untuk melawat pejabat urusan Sinar Harian semalam. 

Penyanyi kelahiran Lubnan yang turut ditemani wakil daripada rumah perlindungan wanita Raudatul Sakinah, disambut oleh Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacob dan kakitangan Sinar Harian. 

Maher Zain turut berkongsi sedikit sebanyak pengalamannya sepanjang berada di Malaysia. 

“Saya gembira dapat berkunjung ke Malaysia. Walaupun cuaca agak panas, tetapi saya suka dengan masyarakat di sini yang sangat peramah. 

“Saya tidak rasa janggal berada di sini. Jika boleh, saya mahu lebih lama lagi tinggal di Malaysia. Saya juga suka makanan di sini terutama sate,” katanya dalam sesi sidang akhbar yang di adakan. 

Menurutnya lagi, jika ada masa terluang, dia ingin sekali ke Pulau Langkawi kerana teruja dengan keindahan pulau itu serta membawa isterinya untuk berbulan madu di sana. 

“Saya rasa selamat tinggal di sini kerana Malaysia sebuah negara Islam yang aman. Saya senang dengan keadaan di sini,” katanya lagi yang berada di sini selama dua minggu. 

Maher Zain yang popular dengan lagu InsyaAllah turut berbangga kerana album pertamanya Thank You Allah telah berjaya mendapat tempat di hati peminat di Malaysia. 

Maher Zain yang akan menghiburkan peminatnya pada 14 dan 15 Oktober ini di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Selangor bersempena dengan Showcase Save The Soul merupakan anjuran rumah perlindungan wanita Raudatul Sakinah adalah bagi mengutip dana untuk membantu rumah perlindungan tersebut.

Jatuh cinta dengan Malaysia






HAMPIR tiga dekad lalu, Lee Kwang Sun, 53, membuat keputusan paling besar yang telah merubah kehidupannya pada hari ini. Warganegara Korea Selatan itu memeluk agama Islam dan memilih nama Abd. Hafiz Lee Kwang Sun.
Pada masa itu, keputusan memeluk Islam tidak dipengaruhi oleh sesiapa kerana tiada seorang pun ahli keluarganya meninggalkan agama asal mereka iaitu Buddha. Dengan keputusan tersebut, Abd. Hafiz menjadi sebahagian daripada golongan minoriti di negara berkenaan.
Menyorot kehidupan sebagai seorang mualaf di Korea, tidak banyak yang dapat dilakukan oleh Abd. Hafiz untuk mendalami agama Islam. Masjid dan surau pula sukar ditemui di negara yang mempunyai kira-kira 100,000 penganut beragama Islam.
"Tiga tahun selepas memeluk Islam iaitu pada tahun 1984, saya ditawarkan menyambung pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam bidang Pentadbiran Perniagaan," Abd. Hafiz mengimbas detik awal penghijrahannya ke Malaysia.
Takdir yang tertulis memungkinkan Abd. Hafiz bakal menghabiskan sisa-sisa hidupnya di Malaysia apabila bertemu jodoh dengan seorang wanita mualaf Korea yang juga penuntut UIAM.
Wanita tersebut, Lee Hyea Sun, atau nama Islamnya Sophia Abdullah, 49, menjadi suri hatinya selepas Abd. Hafiz menamatkan pengajian.
"Malaysia menjadi tanah terbaik untuk kami membina kehidupan dan keluarga kerana di samping penerimaan masyarakat, agama Islam mudah dipraktikkan di sini. Lagi pun di sini ada pusat Islam, masjid dan surau pun boleh ditemui di merata-rata tempat," katanya.
Kini, hampir tiga dekad Abd. Hafiz dan isterinya menetap di One Ampang Avenue yang terletak bertentangan pusat beli-belah Ampang Point. Dia dikurniakan dua cahaya mata, Muhamad Lee Seung Jae, 20, dan Sharif Lee Seung Ho, 18.
Selain menjalankan perniagaan perdagangan, Abd. Hafiz merupakan Pengerusi Persatuan Korea di Malaysia. Persatuan tersebut sudah empat dekad beroperasi. Beliau menyandang jawatan pengerusi yang ke-33 sejak lima tahun lalu.
"Apabila tinggal di sini, kami perlu menghormati budaya, undang-undang dan rakyat Malaysia serta belajar menerima cara hidup masyarakat di sini," ujarnya fasih bertutur bahasa Melayu.

SELAIN Kimchi , setiap hidangan Korea turut disajikan dengan makanan sampingan berupa sayur-sayuran.


Keputusan Abd. Hafiz menetap di Korea bukan sahaja dipengaruhi faktor agama. Bahkan, beliau sudah jatuh cinta dengan Malaysia terutama makanannya.
"Saya tidak sanggup meninggalkan Malaysia lama-lama jika pulang ke Korea untuk menziarahi keluarga atau atas urusan perniagaan," ujarnya yang sering merindui nasi lemak setiap kali pulang ke Korea.
Menceritakan pengalaman awalnya di UIAM, Abd. Hafiz sanggup berlapar sehingga seminggu dan hanya makan makanan segera kerana tidak suka dengan makanan masyarakat Malaysia yang kelihatan pelik dan sangat ringkas.
"Di Korea, kami biasanya dihidangkan dengan tujuh hingga lapan hidangan sampingan dan nasinya agak melekit. Peringkat awal, saya rasa cukup pelik dengan nasi lemak kerana ia dihidangkan bersama kacang tanah.
"Tetapi, lama-kelamaan saya tidak tahan untuk makan nasi dan terpaksa makan nasi lemak kerana ia mudah didapati di kampus. Tak sangka, saya sangat menyukainya dan kini ia menjadi makanan kegemaran saya," katanya.
Suka nasi lemak
Abd. Hafiz mengakui beliau tidak begitu merindui Korea kerana restoran Korea mudah didapati di Malaysia selain isterinya juga mahir memasak masakan Korea.
"Selain nasi lemak, saya juga menyukai nasi yang dimakan bersama ikan, sambal belacan, sayur campur dan kuah kari ayam di restoran mamak," tambahnya.
Dalam pada itu, demi menghormati Malaysia, Persatuan Korea di Malaysia turut mengadakan kelas bahasa Melayu pada setiap hujung minggu. Kelas tersebut mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.
"Walaupun tiada masalah komunikasi kerana rata-rata rakyat Malaysia boleh bertutur di dalam bahasa Inggeris, ramai orang Korea mahu belajar bahasa Melayu supaya dapat memahami budaya dan tradisi orang Malaysia.
"Kelas bahasa Melayu tersebut mendapat tunjuk ajar daripada profesor di Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Dr. Kang Kyoung Seok yang terkenal sebagai pakar tulisan jawi," katanya.

KEDAI-KEDAI di sekitar Taman Putra Sulaiman, Ampang yang dikendalikan oleh warga Korea.


Kebanyakan bangsa Korea di Malaysia adalah ekspatriat yang bekerja di syarikat-syarikat Korea Selatan seperti syarikat permotoran Hyundai, bisnes restoran atau menjalankan perniagaan perdagangan.
"Di Malaysia, terdapat kira-kira 20,000 orang Korea termasuk 5,000 pelajar. Orang Korea mudah menerima cara hidup di sini kerana Korea dan Malaysia adalah negara Asia, justeru perbezaannya tidak begitu ketara.
"Selain itu, kerajaan melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga banyak membantu dengan menyediakan pondok polis di sekitar Ampang," katanya.
Bukan sesuatu yang mengejutkan jika ada orang Korea yang tidak betah tinggal di negara sendiri kerana faktor cuaca. Begitulah yang dialami oleh Oh Jun.
Jun, 42, yang tinggal di Malaysia sejak enam tahun lalu telah membuat keputusan untuk terus menetap di sini sehingga ke akhir hayatnya.
"Cuaca adalah perkara yang paling saya suka di Malaysia. Ia tidak terlalu panas atau terlalu sejuk seperti di Korea.
"Saya memang tidak tahan dengan cuaca sejuk lebih-lebih lagi pada musim salji kerana kulit saya akan mengelupas tetapi saya sangat selesa dengan cuaca di Malaysia," kata lelaki bujang itu.
Bisnes salon
Oh Jun menggunakan kepakarannya dalam bidang dandanan rambut dengan membuka sebuah salon yang dinamakan Oh Jun Hair Salon di Ampang.
"Saya mahu tinggal di negara ini selama-lamanya. Tambahan pula, saya mempunyai ramai kawan daripada pelbagai kaum dan mereka dapat menerima bangsa asing," katanya yang berasa aman selama tinggal di Malaysia.
SEBAHAGIAN daripada peserta yang mengambil bahagian pada sambutan Karnival Hari Korea di Ampang Jaya, baru-baru ini.


Jun sudah biasa hidup berdikari sejak kecil. Sebab itulah dia tidak mempunyai masalah untuk membina kehidupan sendiri di negara asing.
"Saya sudah tiga tahun tidak pulang ke Korea kerana selesa tinggal di Malaysia," ujarnya yang mempunyai ramai rakan yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India.
Jun menambah, perkara yang dikagumi di Malaysia ialah kaum wanitanya yang kuat bekerja dan berdikari tanpa bergantung kepada lelaki.
"Wanita Malaysia sangat kuat bekerja dan memiliki personaliti yang ceria," katanya yang berasal dari Bu San, Korea Selatan.
Sementara itu, Choi Soung Mi, 40-an menikmati kehidupannya selama sedekad di Malaysia walaupun tidak mempunyai pekerjaan yang hebat.
"Saya datang ke Malaysia kerana mendengar cerita-cerita menarik melalui teman-teman mengenai orang Korea yang bekerja di Malaysia.
"Selepas menetap di sini, saya juga berasa selesa dengan kehidupan di Malaysia dan tidak sunyi kerana ramai orang Korea menjadi jiran saya," katanya yang bekerja di sebuah pusat hiburan karaoke.
Dia yang mahu dipanggil sebagai Siti Sabariah tidak menafikan merasa kesepian kerana masih bujang dan tidak menolak jika bertemu jodoh dengan warga tempatan.
"Kehidupan di Malaysia sangat seronok dan saya dapat menyanyi setiap hari di tempat kerja. Saya juga sangat gemar masakan tempatan terutama nasi goreng kampung," ujarnya.

Bas dua tingkat jadi bilik darjah



SEORANG guru mengajar murid-murid di dalam bas dua tingkat.


HELSTON, Britain – Sebuah sekolah rendah yang mengalami masalah kewangan telah menggunakan sebuah bas dua tingkat yang dibeli di laman web lelongan eBay pada harga £3,500 (RM17,226) untuk dijadikan bilik darjah, lapor sebuah akhbar semalam.
Pihak pengurusan Sekolah Parc Eglos itu gagal untuk mendapatkan wang berjumlah £15,000 (RM73,827) untuk membesarkan bilik darjah.
Bas berwarna kuning itu kini diletakkan di kawasan pekarangan sekolah dan ia dijadikan makmal sains manakala tingkat atas dijadikan kelas pengajaran mata pelajaran ekonomi.
Menurut guru besar, Brett Dye, pihak pengurusan sekolah menemui cara kreatif untuk mengekalkan kos yang rendah tetapi pada masa sama mewujudkan suasana yang meggembirakan untuk kanak-kanak belajar. – Agensi

Terselamat walau kenderaan jatuh tingkat dua



Gambar menunjukkan kenderaan Land Rover yang terbalik.



GLENDALE, Los Angeles – Seorang warga emas berusia 83 tahun bernasib baik kerana masih terselamat selepas kenderaan Land Rover yang dipandunya terjatuh dari tingkat dua bangunan pangsapurinya di Glendale, Los Angeles, lapor sebuah akhbar semalam.
Dia hanya cedera ringan walaupun kenderaan itu berpusing sebelum bumbungnya terhempas ke tanah pada Jumaat lalu.
Pesara itu kemudian dibawa ke Pusat Perubatan USC, Los Angeles untuk dirawat.
Insiden itu dikatakan berlaku kerana dia tersalah menekan pedal minyak yang disangkanya pedal brek menyebabkan Land Rover yang dipandunya merempuh dinding penghadang tempat letak kenderaan. - Agensi

Berbogel depan Obama kerana AS$1j




JAMES RODRIGUES (kanan) ditangkap polis selepas dia berbogel semasa Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama berucap pada kempen pilihan raya Kongres di Vernon Park, Philadelphia pada Ahad lalu.


PHILADELPHIA - Seorang lelaki yang ditangkap kerana berlari dalam keadaan bogel di depan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama di sini pada Ahad lalu adalah kerana dia menyahut tawaran AS$1 juta (RM3.1 juta) yang dibuat oleh bilionair Britain, Alki David, lapor sebuah akhbar semalam.
Lelaki yang berbogel itu dikenali sebagai James Rodriguez berusia 24 tahun dan dia menulis alamat laman web milik Alki, Battlecam.com di dadanya sebelum berbogel dalam satu kempen pilihan raya Kongres yang dihadiri Obama.
Sejurus selepas melakukan aksi tersebut di hadapan beribu-ribu orang, Rodriguez ditangkap oleh anggota-anggota pihak berkuasa.
David, 42, pada Ogos lalu yang berjanji akan membayar AS$1 juta kepada sesiapa yang berani berbogel di hadapan Obama.
Sebagai syarat tambahan, individu yang berbogel perlu menulis nama laman web miliknya di dada dan menjeritnya sebanyak enam kali semasa berbogel di depan Obama.
David berkata, dia menghantar satu pasukan ke Philadelphia untuk mengesahkan sama ada Rodriguez telah memenuhi matlamat cabaran itu.
"Selepas saya melihat rakaman video tersebut dan ia terbukti benar....saya tidak akan memberikan cek, sebaliknya akan membayar tunai," kata David kepada akhbar The Weekly Standard.
Lelaki berbogel itu dibebaskan polis dengan wang jaminan AS$10,000 (RM31,110).
Menurut lelaki berbogel itu, keluarganya memerlukan wang dan dia percaya sudah memenuhi syarat untuk memenangi wang tersebut. - Agensi

40 maut bas dirempuh kereta api


MAYAT-MAYAT diletakkan di tepi landasan selepas sebuah bas dirempuh kereta api dekat Kampung Marganets di Ukraine semalam.

MARGANETS, Ukraine - Seramai 40 orang maut dan 10 lagi cedera semalam apabila sebuah bas dipenuhi dengan penumpang dirempuh sebuah kereta api dekat Kampung Marganets semalam.
Kejadian berlaku apabila bas itu sedang melintasi sebuah landasan kereta api dekat Kampung Marganets.
Polis tempatan menyatakan kesalahan dilakukan oleh pemandu bas itu kerana ia melintasi landasan semasa lampu isyarat bernyala merah.
"Pemandu bas itu melanggar lampu suyarat merah sebelum ia dirempuh sebuah kereta api," kata seorang jurucakap polis, Lyudmila Bashmakova. Menurutnya, antara yang maut termasuk kanak-kanak.
Kementerian Dalam Negeri menyatakan dalam satu kenyataan bahawa kereta api itu mengheret bas itu sepanjang 30 meter.
Presiden Ukraine, Viktor Yanukovych mengisytiharkan hari perkabungan bagi memperingati mangsa kejadian.
"Mangsa-mangsa yang terselamat dapat mengingati mereka menjerit (ke arah pemandu) mengenai bunyi amaran (di landasan) yang memberi petunjuk landasan itu tidak boleh dilalui," kata Menteri Pengangkutan Ukraine, Kostyantyn Efimenko.
Ukraine mempunyai rekod kemalangan jalan raya yang teruk ekoran usia kenderaan dan sikap pemandu tidak mematuhi peraturan jalan raya. - AFP, kosmo

Wanita China terkaya di dunia


BEIJING 12 Okt. - Lebih separuh daripada 20 wanita terkaya dengan usaha sendiri di dunia adalah rakyat China dengan purata jumlah kekayaan lebih tinggi daripada personaliti televisyen terkenal Amerika Syarikat (AS), Oprah Winfrey dan penulis novel popular, JK Rowling.
Warga China menguasai senarai tiga teratas sebagai wanita terkaya di dunia, diketuai ahli perniagaan kitar semula, Zhang Yin yang mempunyai harta sebanyak AS$5.6 bilion (RM17.4 bilion), menurut laporan organisasi beribu pejabat di Shanghai, Hurun Report.
Ia diikuti Wu Yajun dengan aset sebanyak AS$4.1 bilion (RM12.7 bilion) dan Chen Lihua AS$4 bilion (RM12.4 bilion).
Daripada 20 wanita terkaya di dunia yang berjaya atas usaha sendiri itu, seramai 11 daripadanya adalah warga China dengan purata kekayaan AS$2.3 bilion (RM7.2 bilion), menurut laporan itu lagi.
JK Rowling yang merupakan penulis novel popular Harry Potter berada di tangga terbawah senarai itu dengan aset sebanyak AS$1 bilion (RM3.1 bilion).
"Tidak ada mana-mana negara mampu menyaingi China yang berjaya melahirkan ramai wanita kaya atas usaha sendiri," kata Rupert Hoogewerf, pengasas dan pengumpul senarai kekayaan Hurun Report.
Senarai berkenaan turut menyenaraikan tiga bilionair dari AS, tiga dari Britain dan seorang dari Itali, Rusia serta Sepanyol.
Wanita terkaya bukan warga China dalam senarai itu ialah pemilik gedung pakaian Zara, Rosalia Mera dari Sepanyol dengan kekayaan dikatakan berjumlah AS$3.5 bilion (RM10.88 bilion).
Hoogewerf berkata, faktor kejayaan wanita-wanita China itu kerana dasar satu anak yang diperkenalkan kerajaan selain kebanyakan anak- anak kecil dijaga oleh datuk dan nenek, memudahkan mereka membangunkan empayar perniagaan masing-masing.
"Ini merupakan perbezaan yang besar," katanya dengan menambah, penerimaan China yang membenarkan wanita bekerja jauh dari rumah merupakan antara faktor lain.
Individu terkaya di China ialah pengasas syarikat pengeluar minuman ringan Wahaha, Zong Qinghou yang mempunyai kekayaan berjumlah AS$12 bilion (RM37.3 bilion), lapor Hurun Report. - AFP

Bersanding dalam 'kerang'



IDHAM Shah Idris dan Norzalinda Kamaluddin merealisasikan impian bersanding di atas pelamin berbentuk kulit kerang di Pusat Dagangan Mahkota, Kuantan, kelmarin.



KUANTAN 12 Okt. - Pelbagai cara dan konsep diimpikan setiap pasangan yang melangsungkan perkahwinan supaya hari bersejarah itu dapat dijadikan kenangan seumur hidup.
Begitulah yang dilakukan pasangan mempelai, Idham Shah Idris, 28, dan Norzalinda Kamaluddin, 27, yang bukan sahaja memilih tarikh 10.10.10 sebagai hari pernikahan mereka, malah merealisasikan impian untuk bersanding di atas pelamin berbentuk kulit kerang, di sini semalam.
Menurut Norzalinda yang bekerja sebagai pegawai Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), idea itu tercetus apabila dia terpandang sebuah kereta berhias yang dihiasi kulit kerang dalam satu pesta keramaian di sini sewaktu berusia 12 tahun.
"Pada masa itu, dalam kulit kerang tersebut terdapat seorang puteri yang dihias cantik dan situlah saya mula memasang angan-angan untuk bersanding di dalam kulit kerang suatu hari nanti," katanya ketika ditemui pada majlis perkahwinannya di Pusat Dagangan Mahkota, di sini kelmarin.
Menurut Norzalinda, pada mulanya dia dan suami agak bimbang memikirkan jika tiada siapa yang sanggup menunaikan impian mereka namun perasaan tersebut hilang apabila seorang perancang perkahwinan, Ann Hariz, 39, sanggup menerima cabaran tersebut.
Sementara itu, Idham Shah, seorang usahawan, pada mulanya menyifatkan impian isterinya untuk bersanding di pelamin kerang adalah suatu perkara yang sukar dilaksanakan.
Namun menurutnya, demi impian isteri yang tertanam sejak kecil lagi, dia sanggup melakukan apa sahaja dan akhirnya tercapai walaupun pada mulanya pelbagai dugaan berlaku.
"Alhamdulillah akhirnya hajat kami termakbul dan berpuas hati atas usaha yang dilakukan selama ini," katanya.

Beruntungnya jadi pengemis


SALAH seorang wartawan menagih simpati orang ramai di jejantas Stesen Monorel Titiwangsa, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


FENOMENA pengemis berkeliaran seolah-olah menjadi sesuatu yang sukar dipadamkan daripada pemandangan di bandar raya Kuala Lumpur dan bandar lain di seluruh negara.
Entah di mana silapnya, golongan ini makin bertambah walaupun operasi demi operasi dilakukan pihak berkuasa untuk menangkap mereka. Mereka menggunakan pelbagai cara untuk menagih simpati.
Bagi sesetengah orang, kemunculan pengemis di tepi kaki lima bangunan, di atas jejantas atau peminta sedekah bergerak sangat merimaskan.
Namun, ramai juga yang tidak ambil kisah malah sentiasa mendekati mereka untuk menghulurkan sedekah atau sumbangan sebagai tanda simpati terhadap nasib golongan terbabit.
Bagi menyingkap sikap pemurah rakyat Malaysia, empat wartawan Unit Khas Utusan Malaysia menyamar sebagai pengemis selama enam hari di sekitar bandar raya Kuala Lumpur.
Ikuti kisah penyamaran wartawan terbabit yang turut mencatatkan pelbagai pengalaman dan kerenah berdepan warga kota yang mempunyai persepsi berbagai-bagai terhadap golongan pengemis.
KUALA LUMPUR 12 Okt. - Memang lumayan! Hanya berbekalkan tin kosong atau bekas minuman untuk tempoh dua hingga tiga jam, pendapatan seseorang pengemis di ibu kota boleh mencecah RM100.
Pada masa sama, ia juga bukti bahawa rakyat Malaysia memang pemurah. Mereka tidak pernah lokek menghulurkan duit kepada pengemis yang menggunakan pelbagai cara untuk menagih simpati.
Itulah penemuan daripada penyamaran empat wartawan Unit Khas Utusan Malaysia yang menjadi 'pengemis' di sekitar ibu kota baru-baru ini.