Pages

Saturday, September 18, 2010

Penyanyi cabut gigi elak khidmat tentera





2010/09/18

SEOUL: Polis Korea Selatan sedang menyiasat penyanyi hip-hop popular, MC Mong kerana disyaki cuba mengelak daripada menyertai khidmat wajib dalam tentera dengan mencabut giginya yang masih sihat. 

Agensi Polis Nasional menyatakan, penyanyi berusia 31 tahun itu akan menghadapi perbicaraan atas tuduhan menipu dengan meminta doktor mencabut tiga giginya antara 2004 dan 2006 bagi menggagalkan ujian fizikal.Polis berkata, penyanyi itu sebelum mencabut giginya, pernah menangguhkan penyertaannya dalam kerahan tentera itu lima kali dengan memberi pelbagai alasan, seperti ingin membuat persediaan bagi peperiksaan awam atau melakukan lawatan ke luar negara.
Penyanyi itu menafikan semua tuduhan berkenaan dan kemudian digugurkan daripada program televisyen selepas siasatan polis bermula. 

Di Korea Selatan, semua lelaki sihat diwajibkan berkhidmat dalam tentera selama dua tahun. 

Golongan selebriti selalu mengelak menyertai kerahan tentera itu kerana bimbang dilupakan peminat. – AFP

Ahli politik dibunuh di London




2010/09/18

Imran Farooq
Imran Farooq
Mangsa adalah pengasas parti MQM dalam kerajaan campuran Pakistan 

LONDON: Seorang ahli politik terkenal Pakistan yang tinggal dalam buangan di Britain dibunuh di luar rumahnya di pinggir bandar ini semalam, menyebabkan polis melancarkan siasatan besar-besaran.Imran Farooq, pengasas Pergerakan Muttahida Qaumi Pakistan (MQM) ditemui cedera di kepala dan ditikam di utara London kelmarin. MQM memiliki pengaruh besar di bandar terbesar negara itu iaitu Karachi.
Parti itu mengumumkan kematian Imran dalam laman web dan mengisytiharkan tempoh berkabung 10 hari, membatalkan ulang tahun sambutan pemimpinnya, Altaf Hussain, juga di London. 

Polis berkata, mereka dipanggil untuk menguruskan laporan serangan serius di Edgware, jam 5.30 petang waktu tempatan. 

“Pegawai menemui seorang lelaki Asia dengan kesan tikaman dan kecederaan kepala. Anggota perubatan merawat lelaki itu namun dia diisytiharkan meninggal dunia di tempat kejadian jam 6.37 petang,” kata jurucakap Polis Metropolitan London. 

Waris terdekatnya sudah dimaklumkan dan belum ada tangkapan dibuat, kata jurucakap polis. 
“MQM membatalkan sambutan ulang tahun ketua kami Altaf Hussain selepas insiden itu,” kata pemimpin MQM di Pakistan, Farooq Sattar, seorang pemimpin yang ‘memberi perkhidmatan cemerlang untuk parti,’ katanya. 

Sattar enggan mengulas apabila ditanya siapa yang mungkin membunuhnya dan mengapa. 

“Pihak berkuasa di London sedang menyiasat dan kami harap pembunuhnya akan segera ditangkap dan dihukum,” katanya. 

Perdana Menteri Pakistan Yousuf Raza Gilani mengutuk pembunuhan Imran. Penyokong parti yang setia berkumpul di luar rumah mangsa di Karachi, memujuk antara satu sama lain sambil menitiskan air mata. – AFP 

Bank Dunia sokong negara Palestin




2010/09/18

PA perlu pelaburan, pertumbuhan ekonomi 

WASHINGTON: Pihak Berkuasa Palestin (PA) berada dalam kedudukan baik untuk menubuhkan sebuah negara Palestin tetapi masih perlu bergantung kepada bantuan asing, kecuali ia dapat menarik pelaburan swasta dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi, lapor Bank Dunia, kelmarin.Laporan itu dibuat kepada penderma ketika rundingan damai di antara Israel dan Palestin anjuran Amerika Syarikat berlangsung dengan tujuan menubuhkan negara Palestin dalam tempoh setahun.
Bank Dunia meluluskan peruntukan AS$40 juta (RM128 juta) sebagai bajet sokongan kepada PA. Ia menyatakan, PA menghadapi kekurangan kewangan antara AS$300 juta (RM960 juta) dan AS$400 juta (RM1.3 bilion) pada 2010. 

“Jika PA mengekalkan pencapaiannya sekarang termasuk dalam penyampaian perkhidmatan awam, ia berada dalam kedudukan baik untuk menubuhkan sebuah negara pada bila-bila masa, pada masa depan,” kata Bank Dunia. 

Bank itu yang memantau dana amanah Palestin bagi pihak negara penderma, berkata PA berjaya membelanjakan wang mengikut had sasaran bajet dan menambahkan perolehan dengan memperbaiki kaedah kutipan cukai. 

Tetapi, PA akan terus bergantung pada bantuan kecuali ia berjaya mewujudkan sektor swasta yang berdaya maju, katanya. 
“Kecuali tindakan diambil pada masa terdekat bagi menangani halangan yang ada bagi memajukan sektor swasta dan mengekalkan pertumbuhan, PA akan terus bergantung pada penyumbang dan institusinya,” kata Bank Dunia lagi. 

“Perubahan besar dalam dasar amat diperlukan bagi meningkatkan pelaburan sektor swasta terutama dalam sektor produktif, bagi membolehkan PA mengurangkan pergantungan kepada bantuan,” kata laporan berkenaan. 

Namun, setakat ini hanya ada sedikit bukti bahawa pelaburan swasta sudah ada peningkatan dalam sektor tertentu. Program jaminan bank dan pinjaman menunjukkan minat oleh lebih ramai usahawan yang ingin memperoleh pinjaman un-tuk projek jangka panjang, kata bank berkenaan. – Reuters 

25 maut tiga lori meletup di Sri Lanka




2010/09/18

COLOMBO: Tiga lori membawa bahan letupan meletup di pekarangan balai polis di timur Sri Lanka semalam, mengorbankan 25 orang termasuk 16 anggota polis, dalam kejadian yang disifatkan oleh pihak tentera sebagai satu kemalangan. 

Letupan itu berlaku di Karayinadaru, kira-kira 50 kilometer dari pelabuhan timur Batticaloa dan di kawasan etnik bercampur yang dikuasai oleh pemisah Harimau Tamil sehingga 2007.“Kira-kira 25 orang di dalam balai polis itu terbunuh. Kebanyakannya anggota polis,” kata jurucakap tentera, Mejar Jeneral Ubaya Medawela. Laporan awal menyatakan 60 orang terbunuh dalam kejadian itu.
Medawela berkata, letupan itu mengakibatkan 16 anggota polis dan sembilan orang awam terbunuh, termasuk dua warga China. serta mencederakan 52 orang. 

Dua pekerja China daripada syarikat pembinaan China yang sedang melakukan kerja binaan jalan raya di kawasan terbabit turut terbunuh. Lori berkenaan diletakkan di dalam pekarangan balai polis di Karadiyanaru, katanya. 

Televisyen tempatan dalam laporannya menunjukkan sebuah bangunan dengan dua bahagian dinding yang runtuh, lori yang meletup dan mayat bergelimpangan. 

“Kami mempunyai 52 mangsa dan tiga terbunuh setakat ini. Kami sudah mengatur agar dua orang dihantar ke Colombo untuk mendapatkan rawatan lanjut,” kata P Murugananda, pengarah Hospital Besar Batticaloa. – Reuters 

Paderi tolak minta maaf isu bakar al-Quran





2010/09/18

GAINESVILLE: Seorang paderi Florida kelmarin enggan memohon maaf kerana mengugut membakar al-Quran, malah memperbaharui tuduhan bahawa golongan radikal Islam adalah ‘pemusnah’ agama. 

Terry Jones, yang mana minggu lalu mencetuskan kemarahan antarabangsa selepas mengancam untuk membakar setimbun al-Quran bagi menyambut ulang tahun serangan 11 September 2001, berkata gereja kecilnya tidak akan memohon maaf.Katanya, Pakatan Evangelical Dunia (WEA) memintanya untuk menarik balik cadangan mengadakan ‘Hari Antarabangsa Membakar al-Quran’.
“Kami tiada arahan dari Tuhan untuk bertaubat. Justeru, kami tidak ada hasrat dan tidak akan bertaubat kerana mempertahankan gereja,” kata Jones dalam kenyataan ringkas kepada media. 

WEA, yang mewakili gereja di 128 negara dan 420 juta pengikutnya di seluruh dunia, berkata ia sedih dengan maklum balas Jones. 

“Langkah meminta maaf dapat mengurangkan keganasan yang tercetus di beberapa bahagian dunia akibat tindakannya,” kata pegawai WEA dalam kenyataan. – AFP 

Ahli politik curi identiti letak jawatan




2010/09/18

WELLINGTON: Seorang ahli politik meletak jawatan semalam, selepas mengakui mencuri identiti seorang bayi yang meninggal dunia bagi mendapatkan pasport 26 tahun lalu. 

David Garrett, membuat pengakuan mengejutkan itu dalam Parlimen minggu ini, menggelar pencurian identiti ‘satu usikan tidak berbahaya’ ketika beliau berusia 20-an.Garrett, kini 52 tahun dan jurucakap Tindakan dalam isu undang-undang dan keamanan, berkata beliau mengambil idea itu daripada novel laris dijual, Day of the Jackal.
Dia mencuri identiti bayi itu pada 1984, menggunakan maklumat pada batu nisan. Polis menahannya pada 2005 selepas mendedahkan penipuan itu sementara menyiasat tindakan sama oleh dua ejen perkhidmatan rahsia Israel yang mencuri identiti bayi yang meninggal dunia di New Zealand untuk mendapatkan pasport. – AP

Dunia Arab mahu paksa Israel sertai pakatan antinuklear

VIENNA: Negara Arab semalam berikrar untuk meningkatkan tekanan terhadap Israel supaya menyertai pakatan senjata antinuklear global.
Mereka berhasrat berbuat demikian tanpa mempedulikan amaran Amerika Syarikat yang mendakwa tindakan itu boleh menjejaskan rundingan damai Asia Barat.
Tanpa menunjukkan tanda-tanda kesediaan untuk bertolak ansur, negara Arab yang menganggotai Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) juga menyelar laporan ketua agensi berkenaan mengenai keupayaan nuklear Israel.

Mereka menganggap laporan itu lemah dan tidak mengandungi maklumat sebenar. Amerika Syarikat dan negara sekutu Baratnya sebelum ini mendesak kumpulan berkenaan menarik balik cadangan ketetapan di perhimpunan agung IAEA minggu depan yang mendesak Israel menandatangani Perjanjian Mengehadkan Senjata Nuklear dan meletakkan semua kawasan nuklearnya di bawah pengawasan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu. Negara Arab menang tipis dalam mendapatkan sokongan terhadap ketetapan serupa pada mesyuarat agung 2009.

Amerika Syarikat tahun ini berusaha keras untuk memastikan ketetapan itu ditolak. - AFP

Isu pembinaan penempatan Yahudi di Tebing Barat

BAITULMAQDIS: Israel semalam mengulangi keengganannya untuk melanjutkan sekatan terhadap pembinaan penempatan Yahudi yang akan berakhir bulan ini.
Kenyataan itu dibuat meskipun terdapat desakan daripada Amerika Syarikat dan ancaman Palestin untuk memulaukan rundingan damai.
“Perdana Menteri (Benjamin Netanyahu) tidak mengubah pendiriannya berhubung isu ini. Soal melanjutkan penangguhan pembinaan itu tidak berbangkit,” kata seorang pegawai kanan rejim berkenan.

Tempoh 10 bulan yang menyekat pembinaan penempatan Yahudi di Tebing Barat itu berakhir hujung bulan ini.

Keputusan untuk tidak melanjutkan sekatan itu yang tidak meliputi kawasan timur Baitulmaqdis diambil baru-baru ini oleh Forum Tujuh Menteri Kabinet Kanan, lapor akhbar yang rapat dengan rejim Israel, Hayom.

Menurutnya, keputusan itu disampaikan kepada Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton yang kini berada di Asia Barat dalam usaha menyegerakan proses damai.

Isu penempatan Yahudi adalah yang paling rumit dalam rundingan damai Asia Barat yang dilancarkan semula awal bulan ini selepas terhenti selama 20 bulan.

Kedua-dua pihak masih berselisih pendapat mengenai penyambungan semula pembinaan penempatan itu, kata seorang pegawai kanan Palestin selepas Netanyahu dan Presiden Palestin, Mahmud Abbas serta Hillary berunding selama dua hari baru-baru ini.

Pegawai itu berkata, rundingan yang diadakan di Mesir dan Baitulmaqdis itu gagal menyelesaikan perselisihan pendapat, sekali gus mengancam rundingan damai.

Mahmoud memberitahu pemimpin rejim Zionis berkenaan, beliau akan memulaukan rundingan itu jika Israel tidak melanjutkan sekatan itu.

Kira-kira 500,000 pendatang Yahudi menetap di lebih 120 penempatan yang dibina Israel di Tebing Barat dan timur Baitulmaqdis, wilayah yang dijangka membentuk sebahagian besar negara Palestin pada masa depan. - Reuters

Simbah asid ke muka sendiri




WASHINGTON - Seorang wanita berusia 28 tahun mengaku hanya mengada-adakan cerita bahawa dia diserang seorang penyerang tidak diketahui yang membaling cawan berisi asid ke arahnya. 

Lebih mengejutkan, mangsa, Bethany Storro mengaku kecederaan yang dialaminya dilakukan sendiri.: 

Polis memaklumkan wanita itu sedang disiasat dan pendakwa raya sedang mempertimbang mengenakan dakwaan terhadapnya. 

Menurut kenyataan awal Storro, dia baru pulang daripada membeli cermin mata hitam di sebuah kedai semasa didekati seorang wanita yang digambarkan sebagai 'perempuan kulit hitam bertubuh atlet' yang menyimbah asid kepadanya. 

Storro menjalani pembedahan selepas 'serangan' itu dan dibenarkan keluar dari hospital pada 5 September lalu. 

Polis Vancouver meluangkan masa sehingga ratusan jam untuk mencari penyerang yang digambarkan Storro, dan penduduk di kawasan itu bekerjasama mengutip derma bagi membiayai rawatan wanita itu. 

Motif perbuatan wanita itu masih belum diketahui.

4 Panduan berguna dalam kehidupan


http://sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-snc4/hs166.snc4/37655_411927796206_166690081206_5111637_3147877_n.jpg
  1. Barang siapa banyak makan nescaya tidak mendapat kelazatan beribadat kepada Allah SWT.
  2. Barang siapa banyak tidur nescaya umurnya tidak berkat.
  3. Barang siapa sentiasa mencari kegemaran manusia nescaya tidak mendapat kegemaran Allah SWT.
  4. Barang siapa banyak berkata-kata perkara yang sia-sia nescaya ia akan mati bukan atas agama Islam.

7 amalan tertolak kerana meninggalkan solat


http://sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-ash2/hs070.ash2/36875_116842758361374_100001069521173_96457_2318990_n.jpg
Kesan meninggalkan solat :
  1. Tiada baginya pada agama Islam.
  2. Tiada diterima daripadanya akan tauhid.
  3. Tiada diterima akan imannya.
  4. Tiada diterima sedekahnya.
  5. Tiada diterima puasanya.
  6. Tiada diterima akan syahadah.
  7. Allah SWT melaknatnya.

Tren siap untuk musim haji

MAKKAH: Tren yang menghubungkan Masjidil Haram dengan enam stesen daripada sembilan stesen sudah diuji setiap hari sebagai persiapan untuk kegunaan jemaah haji tahun ini.
Menurut Setiausaha Rendah Kementerian Hal Ehwal Bandar dan Luar Bandar, Dr Habib Zain Al-Abideen, kejayaan projek pengangkutan itu hanya akan diketahui selepas musim haji selesai.
Harga tiket untuk perjalanan setiap destinasi masih dikaji Putera Naif Bin Abdul Aziz, Timbalan Menteri Kedua, Kementerian Dalam Negeri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kanan Haji. - Agensi

iPad jadi rebutan di China


BEIJING 17 Sept. - Beratus-ratus pelanggan berbaris panjang untuk membeli iPad yang dijual secara rasmi buat kali pertama di China, hari ini.
Pelancaran iPad di China yang merupakan pasaran Internet terbesar di dunia dilakukan selepas peminat berpeluang membeli produk Apple tersebut di pasaran tidak rasmi sejak beberapa bulan lalu.
Gedung Apple di Beijing dan Shanghai serta wakil penjual sah di seluruh negara ini mula menawarkan model iPad yang dilengkapi ciri Wi-Fi hari ini, setelah berjuta-juta model tersebut sudahpun dijual di Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara lain.
Penganalisis meramalkan permintaan tinggi untuk iPad di China sekalipun kekurangan perisian dalam bahasa Mandarin dan sekalipun negara ini merupakan pasaran tidak rasmi yang sangat besar bagi produk Apple yang dibawa masuk dari Hong Kong, Singapura dan AS untuk dijual semula.
Di gedung utama Apple di Beijing, seorang pelanggan, Han Ziwen, 35, berkata, dia berkhemah selama 60 jam untuk memastikan dia berada di barisan hadapan apabila pintu dibuka pada pukul 8 pagi ini (waktu sama di Malaysia).
Pemilik kedai buku itu menjulang dua buah iPad sebagai tanda kemenangan, disambut tepuk sorak beratus-ratus pelanggan lain yang berdiri dalam hujan lebat.
Ziwen membeli iPad dalam versi-versi 16 gigabait dan 32 gigabait pada harga 8,776 yuan (RM4,176), melebihi gaji bulanan kebanyakan rakyat China.
"Bagi saya kedua-duanya tidak mahal," katanya.
Di Shanghai, sehingga 200 orang beratur di luar gedung bawah tanah Apple yang dibuka pada Julai lalu.
Pembeli pertama, Ma Ya, 46, berkata, dia menunggu sejak pukul 1 petang semalam untuk merebut peluang membeli sebuah iPad baru.
"Saya sudah pun memiliki sebuah iPad 32GB yang dibeli di Jepun. Saya mungkin menghadiahkan iPad lama itu kepada seorang kakitangan," kata Ma Ya, seorang peniaga karya seni. - AFP

Diaspora dijangka saingi Facebook


WASHINGTON 17 Sept. - Empat mahasiswa Amerika Syarikat (AS) memperkenalkan laman web sosial baru dikenali sebagai Diaspora, yang lebih mesra pengguna serta menjamin keselamatan maklumat peribadi pemilik akaunnya, sekali gus dijangka menjadi fenomena baru di alam maya yang selama ini dikuasai oleh Facebook.
Sejak Rabu lalu, perisiannya boleh didapati melalui versi pemaju yang membolehkan orang ramai mencuba serta turut sama menyumbang untuk membangunkan aplikasi tersebut.
"Ia merupakan projek komuniti dan pembangunannya terbuka kepada orang ramai yang mempunyai kemahiran dalam membangunkan laman web sosial," kata pengasasnya di laman web projek tersebut, www.joindiaspora.com.
Daniel Grippi, Maxwell Salzberg, Raphael Sofaer dan Ilya Zhitomirskiy daripada Universiti New York memperkenalkan laman web sosial yang dihiasi warna putih dan kelabu itu dengan beberapa ikon yang mudah dikenali oleh pengguna yang sebelum ini biasa menggunakan Facebook.
Diaspora memberi keutamaan kepada keselamatan maklumat peribadi pemilik akaunnya yang merupakan masalah utama kepada pesaingnya yang kini mempunyai lebih setengah bilion pengguna dari seluruh dunia.
Sebelum memulakan projek tersebut, keempat-empat pelajar berkenaan memohon dana daripada orang ramai pada Mei lalu melalui laman web Kickstater.com yang merupakan platform kepada ahli perniagaan baru mencari pelabur.
Hasilnya, mereka berjaya mengumpul dana berjumlah AS$200,000 (RM621,500) sumbangan daripada orang ramai, selain turut menerima sumbangan daripada pengasas Facebook, Mark Zuckerberg. - AFP

BP tersingkir daripada senarai 100 jenama terbaik di dunia


NEW YORK 17 Sept. - Syarikat petroleum, BP tersingkir daripada senarai 100 jenama terbaik di dunia selepas kejadian tumpahan minyak melibatakan syarikat minyak itu di Teluk Mexico beberapa bulan lalu.
Pengeluar kereta dari Jepun, Toyota, yang terpaksa menarik semula kereta keluarannya di pasaran kerana beberapa masalah keselamatan, pula tersingkir daripada senarai 10 jenama syarikat terbaik yang didudukinya sejak tujuh tahun lalu.
Senarai terbaru itu dikeluarkan oleh Interbrand, sebuah syarikat perunding berhubung jenama.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Interbrand, Jez Frampton berkata, Toyota mampu pulih lebih cepat berbanding BP berdasarkan kejayaan syarikat pengeluar kereta itu mengendalikan krisis yang dihadapi sebelum ini.
"Toyota membuat keputusan tepat apabila kembali fokus kepada visi mereka serta terus bercakap tentang keutamaan syarikat itu, iaitu kualiti dan keselamatan.
"Namun, BP hanya bercakap tentang taktik dan bukannya strategi dan mereka masih lagi tidak memberitahu tentang rancangan masa depan mereka," katanya.
Jenama penting bagi sesebuah syarikat kerana ia memudahkan pelanggan mengingatinya dan sentiasa memilih produk mereka.
Interbrand melakukan penilaian ke atas jenama terbaik berdasarkan jumlah keuntungan yang diperolehi, selain mengambil kira kemampuan untuk terus kekal di pasaran serta menambah permintaan.
Coca-Cola, IBM dan Microsoft sekali lagi menguasai tiga tangga teratas sebagai jenama terbaik antarabangsa dengan Coca-Cola kekal berada di tangga pertama sejak kaji selidik ini diperkenalkan pada 2000.
Jenama Coca-Cola tahun ini berjaya memperolehi keuntungan sebanyak AS$70.45 bilion (RM218.82 juta).
Google yang sebelum ini berada di tempat ketujuh kini naik ke tangga keempat, manakala Apple pula meningkat ke tangga ke-17 dari tangga ke-20. - AP

Selebriti turut tanding pilihan raya Afghanistan


Robina Jalali (kiri) memberi arahan kepada seorang pekerja kempennya di pejabat beliau di Kabul, kelmarin. - AFP


KABUL 17 Sept. - Robina Jalali ialah bekas pelari pecut Sukan Olimpik, Zabihullah Jawanmard merupakan legenda pop yang dikenali sebagai 'Elvis Afghanistan' manakala Zamir Kabuli ialah pelawak yang menjadi terkenal kerana mempersendakan pegawai Afghanistan yang korup.
Ketiga-tiga mereka adalah antara calon yang mewarnai pilihan raya Parlimen di Afghanistan esok, pilihan raya kedua sejak rejim Taliban digulingkan dalam serangan tentera Amerika Syarikat (AS) pada 2001.
Rakyat Afghan akan mengundi esok untuk memilih 249 anggota ke dewan rendah Parlimen atau Wolesi Jirga.
Lebih 2,500 calon bertanding, sekalipun timbul kebimbangan pejuang Taliban akan melaksanakan ugutan untuk menggendalakan pengundian dengan melakukan keganasan.
Jika calon seperti Jalali, Jawanmard dan Kabuli memenangi kerusi, mereka akan membawa sedikit unsur glamor dan pendekatan berbeza dalam arena politik di negara yang sudah lama diperintah mengikut tradisi kabilah zaman-berzaman.
Di negara ini yang dilanda perang sejak 30 tahun lalu, golongan muda dikehendaki akur dengan kehendak orang tua, menyebabkan Parlimen didominasi oleh lelaki berumur yang berjanggut dan berserban.
Institusi Parlimen telah dikecam kerana didakwa menjadi forum untuk sekutu-sekutu Presiden Hamid Karzai yang mendapat kerusi sebagai ganjaran bagi sokongan mereka.
Namun, Parlimen sejak beberapa tahun lalu juga telah memeranjatkan para pengkritik dengan memperlihatkan 'taringnya', dengan menolak calon-calon Kabinet yang dipilih Karzai atau tidak meluluskan perintah Presiden secara automatik.
Sungguhpun kebanyakan penduduk negara ini terdiri daripada golongan muda dan ramai lelaki dewasa menjadi mangsa perang, suara golongan muda dan kaum wanita masih jarang kedengaran dalam proses membuat keputusan.
Kelompok calon muda yang bertanding esok turut menjadi sasaran pengkritik yang meramalkan sesetengahnya akan memenangi kerusi semata-mata kerana mereka dikenali ramai.
Calon muda itu juga didakwa sebagai oportunis yang tidak mampu memberi banyak sumbangan sebagai ahli Parlimen yang serius, andainya mereka menang. - AFP

Hosni Mubarak ketuai Obama?


Akhbar Al-Ahram milik kerajaan Mesir mengeluarkan gambar yang merakamkan Presiden Mesir Hosni Mubarak mengetuai Presiden Amerika Syarikat Barack Obama (dua dari kiri), Perdana Menteri Israel Benjamin netanyahu (kiri), Presiden Palestin mahmoud abbas (dua dari kanan) dan Raja abdullah ii dari jordan (kanan) semasa hari pertama rundingan damai langsung Asia barat pada 1 september, 2010 di washington dc.


KAHERAH 17 Sept. - Sebuah akhbar Mesir, baru-baru ini mengubah gambar rundingan Israel-Palestin di White House dengan Presiden Hosni Mubarak dilihat mengetuai Presiden Barack Obama dan pemimpin-pemimpin lain.
BBC melaporkan, akhbar Al-Ahram telah menggunakan perisian Photoshop dan mengalihkan imej Hosni di hadapan Obama, berbeza dengan gambar yang asal.
Media Mesir terpaksa berhadapan dengan tapisan kerajaan dan perkara sebegini tidak mengejutkan, namun berita mengenainya mencetuskan kritikan pedas dari pembangkang.
"Inilah yang terjadi kepada media rejim korup yang melanggar sikap adil dan jujur," demikian kenyataan April 6 Youth Movement.
Bagaimanapun penjelasan spesifik tentang pengubahan gambar ini masih belum jelas kerana Al-Ahram tidak memberi maklum balas terhadap permintaan BBC bagi sebarang ulasan. - AGENSI

Polis India tembak mati 2 penunjuk perasaan


Remaja Kashmir membaling batu ke arah anggota separa tentera India semasa mengadakan tunjuk perasaan di Srinagar, kashmir India, kelmarin. - AP


SRINAGAR, India 17 Sept. - Polis menembak mati dua penunjuk perasaan di Kashmir hari ini ketika orang ramai melanggar perintah berkurung dan melontar batu ke arah pasukan keselamatan dalam ketegangan terbaru di wilayah banjaran Himalaya ini.
Pakistan menuduh India melakukan 'kekejaman' dan bertindak keras ke atas penunjuk perasaan dalam protes yang masuk bulan ketiga menentang pemerintahan India di Kashmir, wilayah yang dituntut kedua-dua kuasa nuklear ini.
Seramai 96 orang terkorban sejak protes tercetus pada Jun lalu mengikut kiraan AFP, dengan 17 maut pada Isnin lalu dalam keganasan terburuk di kawasan yang didiami majoriti penduduk Islam ini sejak lebih enam dekad.
Polis berkata, sekurang-kurangnya dua orang terbunuh dan 16 yang lain cedera hari ini selepas anggota keselamatan India melepaskan tembakan di empat tempat.
Seramai tujuh lagi cedera lewat semalam di bandar Sopore, 50 kilometer di utara Srinagar.
Menteri Luar Pakistan, Shah Mehmood Qureshi yang pada Julai lalu mengadakan rundingan dengan rakan sejawat dari India, S.M. Krishna bagi memulihkan hubungan antara kedua-dua negara, hari ini mengutuk tindakan India itu.
"Pencabulan hak asasi manusia besar-besaran dan sistematik oleh India di Kashmir mesti dihentikan. Pakistan menyeru kerajaan India agar menahan diri," tegas beliau yang menyifatkan pembunuhan, penahanan dan tangkapan yang dibuat sebagai 'tidak boleh diterima'. - AFP

60 maut kontena meletup


Pasukan polis dan tentera Sri Lanka memeriksa mayat yang bergelimpangan dalam kejadian letupan tiga kontena mengandungi bahan letupan di Batticaloa, 320 kilometer ke timur Colombo yang mengakibatkan sekurang-kurang 60 orang maut, semalam. – Reuters


COLOMBO 17 Sept. – Sekurang-kurangnya 60 orang maut apabila tiga kontena mengandungi bahan letupan untuk kegunaan pembinaan jalan meletup di luar sebuah balai polis di timur Sri Lanka hari ini, dalam kejadian yang disifatkan oleh pegawai kerajaan sebagai satu kemalangan.
Jurucakap tentera, Mejar Jeneral Ubaya Medawala berkata, setakat ini belum dapat dipastikan punca letupan dalam kontena yang disimpan di pekarangan balai polis atas sebab-sebab keselamatan.
Bahan letupan yang dipercayai dinamit itu adalah untuk tujuan pembinaan jalan raya yang dikendalikan oleh sebuah syarikat China.
Mereka yang terkorban termasuk anggota polis dan dua pekerja binaan China, kata Medawala.
Jurucakap polis, Prishantha Jayakody berkata, balai polis di daerah Batticaloa itu mengalami kerosakan teruk, manakala jurucakap kerajaan, Lakshman Hulugalla menolak kemungkinan kejadian disebabkan sabotaj.
Letupan berlaku di Karadiyanaru, sebuah pekan kecil di bekas zon konflik di timur negara ini.
Kerajaan melancarkan program pembangunan utama di sana untuk membina jalan raya, takungan air dan infrastruktur lain selepas berakhirnya perang dengan pemberontak Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) pada tahun lepas.
Kawasan itu pernah dikuasai LTTE yang melancarkan beratus-ratus serangan bom ke atas kedudukan kerajaan dan orang awam.
– AP

Al- Fatihah untuk M. Rajoli

Pelakon veteran M. Rajoli meninggal dunia

17/09/2010 11:44pm

M. Rajoli, 65


KUALA LUMPUR 17 Sept. – Pelakon veteran, M. Rajoli, 65, meninggal dunia kira-kira pukul 11 malam ini di Hospital Ampang di sini selepas dimasukkan ke wad kecemasan kerana mengalami tekanan darah rendah dan masalah jantung sejak semalam.
Sewaktu dimasukkan ke hospital tersebut, pelakon itu sudah didapati semakin tenat dan diberi alat bantuan pernafasan kerana masalah yang dihadapinya itu.
Menurut anak bongsu pelakon itu, Mohd. Arif Rajoli, 23, berkata, keadaan bapanya semakin kritikal awal malam ini sehingga diletakkan di bawah pemerhatian rapi doktor.
“Bagaimanapun bapa saya telah meninggal dunia pada pukul 11 malam kerana masalah kesihatan yang dihadapinya itu.
‘‘Sebelum ini bapa saya kurang sihat dan terlantar di rumah sejak menjalani pembedahan di bahagian kepala kerana menghidap penyakit tumor. Dia menghidap penyakit itu sejak empat tahun lalu dan pernah menjalani pembedahan di bahagian kepala.
“Dia pernah menjalani rawatan susulan kimoterapi kerana penyakit itu,” katanya kepada Utusan Malaysia malam ini.
- UTUSAN

Friday, September 17, 2010

Kisah Unta Yang Menjadi Hakim

(MusLim)
Pada zaman Rasulullah s.a.w., ada seorang Yahudi yang menuduh orang Muslim mencuri untanya. Maka dia datangkan empat orang saksi palsu dari golongan munafik. Rasulullah s.a.w. lalu memutuskan hukum unta itu milik orang Yahudi dan memotong tangan Muslim itu sehingga orang Muslim itu kebingungan. Maka ia pun mengangkatkan kepalanya menengadah ke langit seraya berkata, “Tuhanku, Engkau Maha Mengetahui bahawa sesungguhnya aku tidak mencuri unta itu.”
Selanjutnya orang Muslim itu berkata kepada Rasulullah s.a.w., “Wahai Rasulullah, sungguh keputusanmu itu adalah benar, akan tetapi mintalah keterangan dari unta ini.”
Kemudian Rasulullah s.a.w. bertanya kepada unta itu, “Hai unta, milik siapakah engkau ini ?” Unta itu menjawab dengan kata-kata yang fasih dan terang, “Wahai Rasulullah, aku adalah milik orang Muslim ini dan sesungguhnya para saksi itu adalah dusta.” Akhirnya Rasulullah s.a.w. berkata kepada orang Muslim itu, “Hai orang Muslim, beritahukan kepadaku, apakah yang engkau perbuat, sehingga Allah Taala menjadikan unta ini dapat bercakap perkara yang benar.” Jawab orang Muslim itu, “Wahai Rasulullah, aku tidak tidur di waktu malam sehingga lebih dahulu aku membaca selawat ke atas engkau sepuluh kali.”
Rasulullah s.a.w bersabda, “Engkau telah selamat dari hukum potong tanganmu di dunia dan selamat juga dari seksaan di akhirat nantinya dengan sebab berkatnya engkau membaca selawat untukku.”
Memang membaca selawat itu sangat digalakkan oleh agama sebab pahala-pahalanya sangat tinggi di sisi Allah s.w.t. Lagi pula boleh melindungi diri dari segala macam bencana yang menimpa, baik di dunia dan di akhirat nanti. Sebagaimana dalam kisah tadi, orang Muslim yang dituduh mencuri itu mendapat perlindungan daripada Allah s.w.t. melalui seekor unta yang menghakimkannya.
Kredit kepada = DausYgBezzBlog

Boeing tawar peluang jelajah orbit




2010/09/17

ATLANTA: Syarikat Boeing merancang menawarkan penumpang peluang terbang ke angkasa lepas dalam sebuah pesawat yang dibangunkannya untuk penjelajahan orbit rendah Bumi. 

Boeing mencapai perjanjian dengan Space Adventure berpusat di Virginia bagi memasarkan tempat kepada penumpang dalam pesawat komersial milik Boeing, CST-100 iaitu kenderaan angkasa lepas dibangunkan NASA.Pesawat itu boleh membawa tujuh penumpang dan terbang ke orbit rendah Bumi menjelang 2015, kata Boeing. Syarikat terbabit berkata penumpang mungkin termasuk individu persendirian, syarikat, pertubuhan bukan kerajaan dan agensi persekutuan Amerika Syarikat.
Space Adventure berkata, ia mengatur tujuh peserta angkasa lepas terbang dalam lapan misi ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa yang dibina Amerika Syarikat dan Russia. – Reuters