Pages

Sunday, September 12, 2010

Raya tanpa jari



SYAMIN NASRAN yang kehilangan jari tengah kanannya akibat main mercun.


TELINGA Syamin Nasran Abdul Rahim, 10, bagai sudah tidak sanggup mendengar bunyi letupan mercun. Terasa traumanya setiap kali mendengar dentuman itu.
Peristiwa ngeri 24 Ogos lalu akan segera menerpa ingatan kanak-kanak itu. Tambah sayu hatinya bila terlihat sebatang jarinya yang sudah hilang.
Pada hari itu, Syamin Nasran menyaksikan tangannya berlumuran darah apabila mercun yang dinyalakannya meletup sebelum sempat dia membalingnya.
Lima rakan yang tadinya bermain dengannya bertempiaran lari meninggalkan murid tahun empat itu keseorangan.
Akibat letupan itu, jari tengah tangan kanan Syamin Nasran putus dan dia kini terpaksa berulang-alik ke Hospital Pasir Mas, Kelantan dua kali seminggu bagi mendapatkan rawatan.
“Setiap kali bunyi letupan mercun saya akan bersembunyi kerana masih trauma dengan kejadian yang menimpa saya sebelum ini.
Malu tangan kudung
“Selepas kejadian itu, saya insaf. Saya berazam tidak akan menyentuh dan bermain mercun lagi walaupun diajak oleh rakan-rakan,” ujarnya ketika ditemui Jurnal di rumahnya di Rantau Panjang baru-baru ini.
Apabila ke sekolah, tangannya disorok di dalam saku seluar. Mungkin dia berasa malu ekoran kejadian itu.
Ketika ramai kanak-kanak bergembira meraikan Syawal, Syamin Nasran merasakan raya seolah-olah tidak bermakna.
Kanak-kanak malang itu segan keluar rumah untuk berhari raya ekoran kecederaan yang dialami.

SIFAT fizikal mercun mengundang daya tarikan kepada kanak-kanak.


“Walaupun keluarga membeli baju raya untuk saya tetapi saya malu hendak ikut kawan-kawan beraya,” katanya.
Imbas Syamin Nasran, pada sambutan hari raya sebelum ini, dia cukup gembira dan ceria sambil menggayakan pakaian baru.
Syamin Nasran telah menyedari kesilapannya. Dia menyesal kerana tidak mendengar nasihat keluarga supaya tidak bermain mercun.
Pada masa yang sama, dia mengharapkan kemalangan yang menimpanya itu menjadi iktibar kepada rakan-rakannya yang lain.
“Sambutan hari raya sebenarnya tetap meriah walaupun tanpa bunyi mercun.
“Bermain mercun juga bukan amalan yang baik pada bulan Ramadan kerana mengganggu orang ramai yang ingin beribadat,” ujarnya yang merupakan anak ke-10 daripada 11 adik-beradik.
“Sekarang saya perlu ke hospital untuk mencuci luka. Selepas hari raya nanti, saya akan berjumpa dengan doktor pakar untuk mengetahui perkembangan kecederaan saya ini,” ujarnya.
Sementara itu, Irwan Mustaffa Abu Bakar, 9, dari Kampung Batu Enam, Manir, Terengganu kempunan untuk memakai baju raya yang dibeli keluarganya beberapa minggu lalu.

KESERONOKAN bermain mercun sering berakhir dengan kecederaan anggota badan seperti jari. - Gambar hiasan.


Puaka mercun bola
Hanya kerana sebiji mercun bola yang berukur lilit sebesar duit syiling 20 sen, impian murid tahun tiga itu untuk beraya tahun ini turut tidak kesampaian.
Pelajar Sekolah Kebangsaan Tok Jiring, Seberang Takir itu mengalami kecederaan parah di bahagian mata kanan akibat terkena letupan mercun bola dalam satu kejadian di hadapan rumahnya pada 22 Ogos lalu.
“Saya tidak boleh beraya dan tidak dapat pakai baju baru seperti kanak-kanak lain.
“Semua keseronokan itu terpaksa saya lupakan. Malah, saya sedih kerana kejadian itu menyebabkan suasana raya di rumah kami sedikit suram. Biasanya pada musim raya, suasana di rumah saya begitu meriah.
“Boleh jalan-jalan sambil menziarahi rumah kawan-kawan. Memang seronok. Tapi sekarang berbeza. Saya lebih banyak menghabiskan masa di katil hospital dan terpaksa melupakan seketika keseronokan beraya,” ujarnya.
Pensyarah Jabatan Psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Khaidzir Ismail berpendapat kanak-kanak mudah tertarik dengan mercun kerana ia dianggap satu permainan.
Seludup
Sifatnya yang dibaling, berbunyi, meletup dan mengeluarkan api senang merangsang minat kanak-kanak.
“Tapi kanak-kanak tidak tahu api itu boleh membakar, mencacatkan dan mencederakan. Mereka cuma inginkan keseronokan dan didorong perasaan ingin tahu,” katanya.
Namun, apabila usia mereka semakin meningkat melewati 10 tahun dan ke atas, ‘kreativiti’ mereka bertambah lagi lalu mahu mengubahsuai mercun, membuat mercun sendiri dan sebagainya.

UBAHSUAI mercun boleh menyebabkan malapetaka termasuk meranapkan rumah.


“Walau apa pun, sifat semula jadi mercun ialah berbahaya tidak kiralah pada apa peringkat usia pun,” katanya.
Ditanya mengapa mangsa mercun yang dilaporkan banyak di negeri Kelantan, Kedah dan Terengganu, Khaidzir berkata, ia sukar untuk dipastikan.
Namun, mungkin juga kerana negeri-negeri berkenaan lebih sinonim sebagai luar bandar, banyak kawasan kampung, maka jauh daripada kawalan pihak berkuasa.
Faktor bersempadan dengan negara jiran dan aktiviti penyeludupan mercun juga menyebabkan akses kepada mercun lebih mudah.
Tambahnya, faktor sosioekonomi penduduk kampung yang kurang daripada sudut kemajuan mungkin menyebabkan mereka kekurangan hiburan sekali gus menjadikan bunga api dan mercun sebagai salah satu bentuk hiburan.
“Di bandar kalau main mercun, orang sekeliling biasanya akan tegur sebab bising dan mengganggu ketenteraman. Tetapi kalau di kawasan kampung, kadang-kadang bila nampak orang lain main, ia akan jadi meriah,” katanya.
Pensyarah Jabatan Sosiologi dan Antropologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Fatimah Daud juga sependapat dengan Khaidzir.
“Kawasan bersempadan Thailand sinonim sebagai luar bandar, maka kawasan itu kurang terdedah kepada maklumat dan berita.
“Kanak-kanak di luar bandar pada bulan puasa mungkin hanya ke masjid dan sembahyang tarawih. Jadi, tak banyak perkara yang dilakukan dan mercun ialah satu-satunya hiburan mereka.
“Sedangkan kanak-kanak bandar masa mereka terisi dengan macam-macam elemen hiburan seperti permainan video,” katanya.

Imam Perancis cipta masjid bergerak


MODEL Mihrabox yang mudah dipasang di mana-mana.


PARIS - Seorang imam di sebuah masjid di sini, Hassen Bounamcha menghasilkan sebuah masjid mudah alih yang boleh dibawa ke mana-mana dan dibina dalam masa singkat untuk kemudahan musafir menjalani ibadah solat.
Dia yang juga pereka sambilan berkata, ciptaannya itu setinggi dua meter dengan dikenali sebagai Mihrabox seumpama struktur mihrab di masjid yang dihasilkan daripada kertas keras, papan lapis dan plastik polisterin.
"Ia hanya berharga 450 euro (RM1,779) dan untuk versi kanak-kanak cuma 69 euro (RM272)," katanya yang berharap dapat menjual seribu unit untuk tahun ini ketika ditemui wartawan akhbar popular Le Parisien. - Agensi

Anak dakwa Jones sakit otak





BERLIN - Anak perempuan kepada paderi kontroversi Amerika Syarikat (AS), Terry Jones (gambar kecil) iaitu Emma mendakwa bapanya itu sudah hilang siuman selepas disingkirkan oleh kumpulan gerejanya sendiri di Jerman.
Keadaan tersebut menyebabkan bapanya yang berusia 58 tahun itu terpaksa berhijrah ke Florida dan mewujudkan kumpulan ajaran pelampau Kristian, Dove World Outreach Center di Gainessville yang berfahaman keras anti-Islam.
"Saya fikir dia sudah jadi orang gila malah diberitahu, pengikut gereja itu menjalani proses pembersihan minda keterlaluan dan diancam kononnya akan dihukum tuhan," katanya kepada akhbar talian popular Jerman, Spiegel.
Emma mendakwa pernah beberapa kali mengirim e-mel kepada bapanya bagi menggesa dibatalkan rancangan pembakaran kitab suci al-Quran semalam sebagai memperingati peristiwa 11 September 2001, namun ia tidak dipedulikan.
Dalam pada itu, Presiden AS, Barack Obama dalam satu sidang akhbar di White House, Washington kelmarin sempena ulang tahun kesembilan serangan terburuk itu memberi amaran, tindakan Jones sudah pun menjejaskan imej AS di seluruh dunia.
"Sebagai Presiden AS, saya akan melakukan yang terbaik dan mengingatkan rakyat AS yang percaya kepada tuhan walaupun berbeza nama, musuh AS sebenarnya bukanlah Islam, tetapi al-Qaeda dan rangkaian pengganasnya," tegas Obama. - Agensi

Beraya hanya seadanya!






MENDENGAR takbir raya yang bergema memenuhi alam, hati terdetik tanda kesyukuran terhadap nikmat kebesaran Ilahi. Bulan menunai ibadah telah selesai dilalui maka kedatangan Syawal yang baru menebarkan wangian hari ketiga ini, masih terlalu manis untuk dipersiakan.
Inilah Hari Raya Aidilfitri yang menjadi hari kebesaran, tanda kasih Ilahi terhadap hamba-hambanya yang selesai menjalani 'perang', perang puasa dan berpantang nafsu.
Cuma jangan dilupa, sebagai mana kita taat kepada-Nya ketika berpuasa, seperti itulah hendaklah lebaran ini ditebarkan memenuhi hari. Tuhan cintakan umatnya yang bersederhana.
Memaniskan pengamatan, empat hati berbeza dimensi dipilih melatari persembahan. Bersulam latar hidup berbeza, Azmil Mustapha, Muhammad Asyraf Mohd. Ridzuan, Lisa Surihani dan Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zain kami telusuri hidup dan tradisi raya mereka.
Pertama kali kolaborasi diatur, pemilik nama-nama besar itu jauh sekali berbelah rasa.
Tugasan Nurul Syuhada
Berumahkan lokasi dan berjuadahkan penonton di hening subuh hari raya adalah perkara biasa bagi seorang personaliti TV. Tahun ini, raya seorang Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd. Zin disambut di lokasi Malaysia Hari Ini (MHI).
Ujarnya usai segala tanggungjawab sebagai pengacara barulah dia menyarungkan tugasan sebagai anak, cucu dan saudara dalam suasana lebaran.
Senyumnya dengan lesung pipit di pipi, kesempatan raya diafdalkan dengan melawat keluarga di Rembau dan Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Menyentuh konsep sederhana dalam menyambut lebaran, gadis 26 tahun yang sudah berjalan ke pelusuk dunia ini mengaku keterujaan raya dulu dan kini ada bezanya. Jika dulu seronok mendapat baju raya, kini dia lebih melihat persediaan lebaran sebagai satu tanggungjawab.
"Beli baju, kuih dan perkara yang berkaitan dengan raya sudah jadi tanggungan saya. Yang penting saya sediakan persiapan mak dan ayah dahulu," ujarnya yang lebih gemar membikin 'kuih tunjuk'.
Malah, kain-kain baju raya sebenarnya sudah dibeli awal iaitu ketika dia melawat negara-negara Asia Tenggara untuk dijadikan busana raya.
Ujar pengacara Majalah Tiga itu nilai kesederhanaan boleh dipupuk dengan merenung kehidupan insan lain yang meniti jambatan lebih sukar.
Sekali gus pengalaman Nurul terbang ke sana ke mari membawa nama Malaysia dan tugasan seorang wartawan, lensa matanya telah menatap 1,001 kehidupan, baik yang hitam, kelabu mahupun putih salju.
"Contohnya pada bulan puasa lalu, saya menyiapkan kisah Santosh yang tidak berumah dan menginap di jalanan Masjid Jamek. Saya juga teringat pengalaman di Gaza.
"Di sana, perasaan takut dan teruja bercampur-campur demi mendapatkan bahan berita," ujarnya yang sudah banyak menyimpan kaca dan permata dalam komputer mindanya.
"Setakat ini, pengalaman menyeronokkan hadir ketika saya membuat liputan Upin dan Ipin di Jakarta. Produk Malaysia itu menjadi fenomena dan mencapai rating nombor satu di Indonesia," kenangnya.
Azmil beraya di Malaysia
DUA selebriti ulung ini punya aura tersendiri. Lahiriahnya sahaja cukup untuk memberikan gambaran tentang siapa dan ke mana hala tuju karier mereka.


Bapa tunggal kepada lima orang anak Shamira, 23, Nurazalea Arifah, 19, Nor Amalia Batrisya, 17, Mohd. Bazli Zhafri, 15, Nur Alia Iman, 9, dan datuk kepada seorang cucu, Alexandria Carina, 14 bulan ini sama sekali tidak seperti yang kami bayangkan.
Awalnya bermula dengan rasa takut untuk mendekatinya tetapi kemudian bualan mesra dan ramahnya membuatkan persepsi awal lenyap begitu sahaja.
Nurul Syuhada dan Lisa sendiri berani mengusik-usik bekas aktor yang kami gelarkan Haji itu dengan lakonan ala 'bermadu'.
"Kalau di Syria ada rumput sebegini sudah kira bagus," ujarnya merujuk rumput dan pohon rendang di rumah kediaman Pak Engku seraya mencadangkan beberapa pos yang perlu dilakukan.
"Selepas tiga bulan balik ke Kuala Lumpur, pada raya ketiga kami sekeluarga pulang ke Syria. Sempatlah saya melunaskan tugasan sebagai penceramah di sini.
"Ogos lalu, saya sempat ke Tasik Kenyir Lake Resort selama tujuh hari," ujarnya yang kini menuntut di Institut Syeikh Ahmad Kitanis, Damsyik, Syria.
Tidak terhad di Malaysia, Azmil yang pernah muncul sebagai pelakon iklan Code 10 ini turut memberi ceramah sehingga ke Brunei, Indonesia dan Singapura.
"Berbekalkan duit hasil ceramah dan motivasi Islam sebelum itu di Malaysia, saya terbang ke Syria bertemankan anak-anak. Saya belajar bahasa Arab di Maahad Taalim Lughatal Arabiah Lil Ajnabi (Institut Pengajian Bahasa Arab Bagi Orang Asing).
"Saya juga belajar al-Quran, tajwid dan tasmi' dengan syeikh-syeikh termasuklah pelajar Malaysia di Syria," ujarnya yang diberi tempat tinggal percuma oleh seorang syeikh di sebuah apartmen di pinggir Damsyik.
Seakan memegang pepatah, mencari ilmu biarlah sampai ke negeri China, itu adalah hijrah kedua Azmil untuk memenuhkan dada dengan ilmu.
Sebelum itu, Azmil pernah menuntut di Universiti Indianna, Bloomington, Amerika Syarikat selama lima tahun dan pulang dengan ijazah sarjana muda dalam bidang filem, radio dan televisyen.
Tersurat atau tersirat, daripada perwatakannya, Azmil jujur dengan dirinya tanpa secalit riak meninggi diri.
Azmil Mustapha, aktor yang pernah menjadi idola ramai ketika zaman mudanya semasa membintangi filem Ali Setan kini tenang berdepan jalur hidup berbeza fokus.
"Ajaib sungguh kuasa Allah. Saya amat bersyukur kerana Allah menyedarkan saya sebelum terlewat usia.
"Walaupun sedar ketika 'penghijrahan' ini, dunia seni masih menjanjikan yang indah-indah untuk saya tetapi saya tidak menyesal," ujar lelaki 58 tahun ini yang lebih senang menaiki teksi ke setiap destinasi yang ditujuinya.
Imam selebriti status berat
Jauh daripada cita-citanya untuk menjadi selebriti agama. Dalam usia 26 tahun, dia sedang meneruskan siri kedua kehidupan selepas tamat pengajian Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dan Fikah, dari Univeristi Malaya (UM), Kuala Lumpur.

NAMA pun selebriti, letak sahaja mereka di meja yang sama, keramahan dan kemesraan mengalir tanpa tersekat.


Bekas Imam masjid di Desa Petaling, Selangor itu tiba-tiba disuluh hatinya untuk menyertai Imam Muda tanpa jangkaan dia bakal dijulang sebagai juara program realiti itu.
Percaturan hidup Asyraf mula diisi banyak agenda, masih dalam konsep dakwah dan menjadi suara kebesaran Ilahi, hidupnya mula dilihat dari perspektif berbeza.
Daripada imam biasa kepada imam berstatus selebriti, Asyraf menerima peralihan itu sebagai siri hidup yang akan berterusan.
"Jika 10 tahun lagi saya sudah tidak dikenali, kerja ini tetap akan saya ladeni. Bagi saya, status selebriti itu biasa sahaja tetapi status selebriti agama itu yang lebih berat.
"Saya tidak boleh meniru orang sebaliknya kena menjadi diri sendiri. Dalam masa yang sama kena pandai membawa diri.
"Kena tahu membezakan bahasa bila bercakap dengan orang tua, remaja atau kanak-kanak," ujarnya lebar dengan senyuman.
Di sisinya, seorang wanita muda tunduk tersipu. Itulah tunjang kekuatan Asyraf, Nurhusna Yusof, 23, yang masih menuntut di UM.
Belum memutuskan tarikh menebus hadiah biasiswa pengajian ke Universiti Antarabangsa Al-Madinah, Asyraf masih berbaki kontrak selama dua bulan bersama Astro.
"Sepanjang terikat kontrak saya mengikuti semua program Astro khususnya Oasis. Ramadan tahun ini menjadi Ramadan paling sibuk buat saya, pertama kali didatangi undangan yang silih berganti hari.
"Sambutan hari raya pula serba sederhana, yang berbezanya adalah jumlah kunjungan tetamu," katanya yang beraya di Pulau Pinang bersama isteri dan keluarga.
Beza yang paling ketara, ini tahun pertama Asyraf beraya sebagai suami, satu fasa selangkah ke hadapan untuk mendiri sebagai pemimpin sebenar.
Lisa Surihani tanpa bapa
Tiga hingga empat hari pertama Syawal menjadi masa Lisa Surihani menjejak mengenal sanak saudara yang jarang bersua.
Tiada agenda rumah terbuka melainkan menyediakan juadah jika ada tamu yang datang. Dia juga menziarah sanak saudara yang kebanyakannya tinggal di Kuala Lumpur. Itu situasi Aidilfitri yang menjadi tradisi keluarga Lisa.
Namun, takdir insan tidak mampu melawan suratan Ilahi. Pemergian ayah tercinta pada tahun 2008 menjadikan raya Lisa kurang berseri.
Sehari sebelum 1 Syawal menjelang, pusara menjadi tempat menumpahkan doa.
"Manisnya raya tahun ini tetap dirasai, cuma selepas kehilangan ayah, raya tidak selengkap dahulu.
"Saya rindukan suasana raya ketika arwah masih ada," getus si manis 26 tahun itu tanpa resah.
Memintas emosi yang memeluk jiwa, Lisa tidak mahu mengklasifikasikan raya sebagai selebriti, anak atau adik dalam keluarga.
Apa yang pasti katanya, raya adalah hari kebesaran yang harus diraikan bersama keluarga.
Baru selesai menjalani penggambaran filem Ombak Rindu, garapan terbaru pengarah berkaliber Osman Ali, bingkis Aktres Harapan Festival Filem Malaysia ke-21 itu juga, sambutan Aidifiltri haruslah diukur dengan kemampuan diri.
"Mencantikkan kediaman, membeli pakaian baru dan menyediakan juadah hari raya itu sesuatu yang dituntut asalkan tidak keterlaluan sehingga memudaratkan diri, maksudnya membazir atau di luar kemampuan kewangan.
"Untuk saya, cukuplah dengan beberapa pasang baju, itu biasa sebab selepas raya sahaja ada banyak undangan ke acara rumah terbuka.
"Tahun ini sambutan kami sekeluarga juga biasa-biasa sahaja, tiada langsir atau perabot baru," katanya yang meraikan hari raya bersama ibu serta abang-abang kandung dan kakak ipar termasuk seorang anak saudara.

Kesedihan Lebaran




M.Rajoli yang sunyi
KALI terakhir saya bertemu M.Rajoli pada bulan Ramadan lima tahun lalu di Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Masih jelas terbayang di mata bagaimana ramah dan cerianya pelakon penuh karakter kelahiran Kampung Kasar, Pasir Mas, Kelantan ini.
Bekas bilal ini hadir menaiki kereta Satria GTi, siap memakai jaket dan seluar kulit serta but hitam melaiki kereta bernombor pendaftaran 27 dan tercatat nama M. RAJOLI. Gayanya memang sporty mengalahkan orang muda.
Selepas itu, M.Rajoli merubah penampilan dengan bergaya pula dengan pakaian berjubah dan serban.
Sesekali orang ramai yang lalu-lalang menegurnya dan dia membalas setiap sapaan itu. Ada juga yang ingin bergambar dengannya dan dia langsung tidak menolak permintaan tersebut.
Penghunjung Ramadan lalu kami bertemu lagi. Namun suasananya tidak sama seperti pertemuan yang lalu. Berkunjung ke rumahnya di Keramat, Kuala Lumpur, M.Rajoli hanya mampu terlantar di katil, sekadar memandang sayu tetamu yang datang, tanpa suara, tiada respons.
Hembusan nafasnya kekadang berbunyi agak kuat sekali gus memecah sunyi suasana rumah.
Itulah realiti pelakon yang berusia 65 tahun pada hari ini apabila terkujur sepi selepas menjalani pembedahan penyakit limfoma (kanser kelenjar di otak).
Pembedahan dilakukan pada 11 November 2007 iaitu sehari sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Bagaimanapun, selepas pembedahan terdapat komplikasi lain sehingga menyebabkan M. Rajoli tidak boleh berjalan lagi.
Bertanya khabar dengan isteri yang setia menemaninya, Hassemah Mohd. Din, 55, wanita ini cukup tabah berkongsi derita bersama suami tersayang.
Kata ibu kepada empat orang anak itu, keadaan M.Rajoli yang tidak lagi rajin bercakap dan asyik tidur berubah sejak dua bulan lalu.
Disebabkan itu, pelakon tersebut tidak dapat menjalani puasa pada tahun ini dan hanya mampu diberi makan makanan lembut seperti roti dan susu.
Ditanya sama ada dia sudah bersedia kehilangan M.Rajoli pada masa akan datang, Hassemah reda dengan perjalanan hidupnya dan suami pada hari ini.
“Saya sudah bersedia dan reda dengan apa yang bakal berlaku. Semua ini ketentuan yang diberikan Allah S.W.T.
“Begitu juga dengan anak-anak. Selagi hayat dikandung badan, kami akan memberikan kasih-sayang yang tiada nilai buat dirinya,” katanya sambil memberitahu M.Rajoli menjalani rawatan fisioterapi pada Selasa atau Rabu.
Bayu tidak berharap lagi
Berkunjung pula ke rumah Seri Bayu di Seri Kembangan, Selangor, keadaan penulis lirik ini tidak berubah seperti lima tahun lalu apabila masih lumpuh dan berkerusi roda kerana mengidap penyakit saraf motoneuron.
Kedua belah tangan dan kaki penulis lirik lagu Kau Lilin Cintaku nyanyian Francissca Peter dan Cintamu Muzik Di Hatiku (Anita Sarawak) itu tidak boleh digerakkan.
Saya hanya dapat berkomunikasi dengan Seri Bayu menerusi pertolongan seorang pembantunya, Musavi Abdul Razak.
Bagi menguruskan kehidupan seharian seperti makan, minum, mandi dan sebagainya, anak muda berusia 21 tahun itu yang menjaga Seri Bayu sejak empat bulan lalu.
Kata Musavi, penulis lirik itu tetap menjalani ibadah puasa tahun biarpun makan dan minumnya perlu disuap.
“Abang (Seri Bayu) suka sangat makan asam pedas ikan ketika berbuka puasa. Waktu bersahur pula, abang makan awal sekitar pukul 2 pagi.
“Sekarang kesihatan abang ada perubahan sikit. Badan sudah berisi kerana dia kuat makan,’’ katanya tersenyum sambil memandang Seri Bayu.
Berkongsi persediaan menyambut 1 Syawal ini, Musavi berkata, suami kepada penyanyi Erema itu akan meraikan hari lebaran di Seri Kembangan sahaja dan tidak bercadang pulang ke kampungnya di Gelang Patah, Johor.
Sempat mengusik soalan nakal kepada Seri Bayu sama ada Erema datang melawat atau bertanya khabar melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), penulis lirik memberi senyuman tawar sambil berkata sesuatu kepada Musavi.
Jelas anak muda itu, Seri Bayu ada menerima SMS daripada penyanyi yang pernah popular dengan lagu Pelita Di Bawah Purnama itu yang meminta suami melepaskan dirinya dari ikatan perkahwinan mereka.
“Abang kata, Erema cakap dia juga tidak ada duit lagi untuk membayar peguam,” katanya sambil diangguk tanda setuju oleh Seri Bayu.
Sambung Musavi lagi, penulis lirik itu tetap bertegas mahu Erema memohon maaf secara terbuka kepada dirinya manakala segala kes berkaitan isu peribadi diuruskan oleh peguam Seri Bayu.
Cuba menguji perasaan Seri Bayu sama ada berharap isterinya akan pulang ke pangkuan pada Hari Raya ini, lelaki yang bertubuh kurus kering itu jelas bersikap rasional.
“Terserah kepada Erema kerana dia masih isteri abang,’’ kata Seri Bayu yang disampaikan Musavi.
Mengakhiri pertemuan itu, Seri Bayu atau nama sebenarnya Jamaluddin Sulik memberitahu, dia masih meneruskan rawatan secara tradisional dan moden mengikut kelapangan waktu.
Seri Bayu dan Erema bernikah pada 19 Disember 2006 di Masjid Al-Muhsinin, Danau Desa di ibu negara.
Erema menuntut cerai fasakh di Mahkamah Syariah Petaling Jaya pada November 2008 apabila memberi alasan tiada persefahaman, tidak diberi nafkah zahir batin dan mengalami tekanan emosi sejak Seri Bayu sakit teruk.
Ahmad Busu tetap Mat Deris
Ahmad Busu menyambut kehadiran kami penuh ramah di rumahnya di Taman Sri Andalas, Klang. Dari jauh, sudah nampak dia boleh berjalan perlahan-lahan tetapi dalam keadaan berhati-hati.
Kata pelawak itu, jika berjalan jauh dia perlu menggunakan tongkat kerana masih terasa bisa di lututnya.
Cerita bapa kepada empat orang anak itu, apa yang penting dia dapat menunaikan sembahyang terawih di masjid berdekatan dengan menggunakan kerusi lipat.
“Rugi tidak pergi sembahyang terawih. Bukan selalu dapat peluang sebegini kerana hanya sebulan dalam setahun.
“Lagi pun, abang masih terkenang peristiwa diserang strok pada Ramadan tahun lalu sebelum enam hari menyambut Hari Raya," katanya mula bicara sambil terserlah karekter lucu dalam dirinya.
Tanggal 10 September tahun lalu pasti menjadi kenangan pahit dalam hidup Ahamd Busu apabila dimasukkan ke hospital setelah tidak boleh berdiri dan berjalan gara-gara diserang strok.
Seminggu dia terlantar di hospital menerima pelbagai rawatan termasuk rawatan imbasan sinar-X dan ujian elektrokardiogram (ECG).
Pelakon yang terkenal dengan watak Mat Deris dalam siri sitkom popular yang pernah bersiaran di TV3, Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu berkata, tiada apa perkataan yang mampu diucapkan pada hari ini iaitu bersyukur kepada Allah S.W.T.
Ini kerana kata bekas kakitangan Lembaga Pelabuhan Klang itu, merasai nikmat kesakitan dan nikmat mula kembali pulih adalah anugerah yang tidak terhingga buat dirinya.
“Orang lain apabila sakit diserang strok ada yang meninggal dunia tetapi saya diberi peluang kembali pulih.
“Serangan yang saya alami itu tidak boleh digambarkan kerana paling menyakitkan sepanjang hidup saya. Ketika serangan, mata saya nampak pemandangan dua imej, tidak boleh bercakap dan lidah jadi pelat.
“Saya fikir ketika itu saya sudah hendak meninggal dunia. Tetapi alhamdulillah apabila mula kembali pulih sebanyak 70 peratus walaupun pernah tidak boleh berjalan selama sebulan,’’ katanya yang rancak bercerita pengalaman pahitnya itu.
Mengalih topik perbualan kepada sambutan Hari Raya nanti, Ahmad Busu menyifatkan 1 Syawal pada tahun ini paling bermakna dalam hidup.
Jelasnya, tahun lalu dia terpaksa beraya di katil hospital menyebabkan rancangan untuk pulang ke kampung di Taiping, Perak terbantut.
“Memang tidak sabar rasanya nak sambut Hari Raya kerana ingin melunas semua janji dengan ahli keluarga untuk pulang ke kampung selepas sembahyang Raya.
“Apatah lagi apabila 1 Syawal tahun ini disambut pada 10 September lalu yang kebetulan jatuh pada hari jadi saya yang ke-57," katanya cukup seronok.
Sebelum meninggalkan Ahmad Busu, pelakon itu berterima kasih dengan semua pihak yang memberi bantuan dan mendoakan kesejahteraan dirinya hingga dapat kembali pulih seperti hari ini.
Beginilah perjalanan hidup anak-anak seni dalam mengharungi saat-saat getir. Selepas tidak berkira menceriakan hati masyarakat sebelum ini, mereka kini kembali semula kepada ahli keluarga tersayang untuk berkongsi menanggung penderitaan.

Ramai tidak percaya Megan Fox sudah berkahwin


Megan Fox


LOS ANGELES 11 Sept. - Heroin filem Transformers, Megan Fox berkata, orang ramai sukar mempercayai dirinya sudah berkahwin.
Pelakon berusia 24 tahun ini yang berkahwin dengan Brian Austin Green dalam satu majlis yang dirahsiakan di Hawaii pada Jun lalu, mendakwa orang ramai tidak percaya dia telah berumahtangga kerana usianya yang masih muda.
"Mereka tidak percaya bahawa saya sudah cukup matang untuk berkahwin.
"Apabila saya bercakap tentang suami saya, saya dapat rasakan semua orang menjelingkan mata mereka, seperti seorang budak berusia 16 tahun yang meminta minuman arak dan pelayan itu berkata, 'awak fikir saya bodoh?," kata Fox kepada majalah Elle.
Menurut bintang filem Jonah Hexini, dia dan suaminya lebih mengambil perhatian antara satu sama lain dan lebih menyayangi selepas berkahwin, berbanding sebelum ini.
Fox dan Green pernah memutuskan pertunangan mereka pada Februari 2009 selepas lima tahun bersama tetapi kembali menjadi kekasih tahun ini sebelum mengumumkan rancangan perkahwinan mereka. - Agensi

Wanita kelahiran Sabah jadi menteri kewangan Australia


MELBOURNE 11 Sept - Senator kelahiran Malaysia, Penny Wong (gambar) dilantik sebagai Menteri Kewangan dalam kerajaan baru Australia pimpinan Julia Gillard.
Sekalipun seorang menteri yang bekerja keras, pelantikan Wong yang sebelum ini menjaga portfolio perubahan iklim dilihat sebagai memeranjatkan ketika Gillard mengumumkan barisan Kabinet barunya pada Sabtu.
Dilahirkan pada 11 November 1968 di Kota Kinabalu, Sabah, Wong mengisi kekosongan yang ditinggalkan Lindsay Tanner yang bersara daripada politik sebelum pilihan raya pada 31 Ogos.
Merupakan bekas peguam di Adelaide, Wong dipilih mewakili South Australia dalam Dewan Senat pada 2001 dan dinamakan sebagai menteri yang bertanggungjawab ke atas perubahan iklim, kecekapan tenaga dan air, apabila Kevin Rudd menjadi Perdana Menteri pada 2007.
Pengumuman Kabinet baru Australia itu dibuat selepas empat hari Parti Buruh pimpinan Gillard mendapat sokongan dua wakil Bebas untuk membolehkan pembentukan kerajaan minoriti.
Terdahulu Gillard mengumumkan pelantikan Rudd sebagai Menteri Luar menggantikan Stephen Smith yang menjadi Menteri Pertahanan yang baru.
Smith yang berkhidmat sebagai Menteri Luar semasa Rudd menjadi Perdana Menteri pada November 2007 akan menjadi Menteri Pertahanan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh John Faulkner yang menjadi ahli parlimen biasa.
Mark Arbid, seorang daripada individu yang bertanggungjawab menjatuhkan Rudd tidak diberikan jawatan dalam Kabinet. - BERNAMA

Johnny Depp raih laba RM155j


LOS ANGELES 11 Sept. - Johnny Depp dinamakan sebagai pelakon Hollywood yang memperolehi pendapatan tertinggi untuk sepanjang tempoh 12 bulan lalu dengan memperolehi AS$50 juta (RM155 juta).
Bintang Pirates of the Caribbean ini melakukan kejutan besar apabila berjaya naik dari tangga ke-10 tahun lalu ke kedudukan pertama tahun ini dalam senarai Forbes.com.
Deep memperolehi pendapatan yang besar hasil lakonannya dalam filem arahan Tim Burton,Alice In Wonderland yang mendapat sambutan memberangsangkan, selain yuran sebanyak AS$15 juta (RM47 juta) untuk filem akan datangnya, The Tourist.
Ben Stiller menduduki tangga kedua dengan pendapatan sebanyak AS$38 juta (RM188 juta) yang kebanyakannya hasil daripada lakonannya dalam filem Night at the Museum 2 serta filem barunya Meet the Fockers.
Kedudukan ketiga pula ialah Tom Hanks yang memperolehi AS$30 juta (RM93 juta) untuk tempoh dari Jun 2009 hingga Jun 2010, sementara Adam Sandler menduduki tangga keempat dengan pendapatan sebanyak AS$26.6 juta (RM83 juta).
Antara pelakon lain yang menduduki 10 teratas senarai pelakon Hollywood yang memperolehi pendapatan tertinggi termasuklah Leonardo DiCaprio AS$18.6 (RM57.8 juta), Daniel Radcliffe AS$16.6 (RM51.6 juta), Robert Downey Jr. AS$14.6 (RM45.3 juta), Tom Cruise AS$14.6 (RM45.3 juta), Brad Pitt AS$13.3 (RM41.3 juta) dan George Clooney AS$12.6 juta (RM39.1 juta). - Agensi