Menurut laporan Arab News yang memetik Suruhanjaya Pelancongan dan Khazanah Kebangsaan Arab Saudi (SCTNH) sebagai berkata, tulang yang ditemukan itu merupakan bahagian tengah jari hantu manusia yang dikatakan hidup sekitar 90,000 tahun lalu dan merupakan jejak manusia tertua di Semenanjung Arab.
Selain itu, portal berita, Asharq Al-Awsat melaporkan, pengumuman mengenai pe­nemuan itu dibuat baru-baru ini oleh Pre­siden SCTNH, Putera Sultan bin Salman ketika berucap di Akademi Seni Halus Perancis.
Menurut SCTNH, penemuan itu menjadi fasa penting dalam kajian dan penggalian yang dijalankan oleh pihak berkuasa dengan sokongan pakar daripada Universiti Oxford; Universiti King Saud; Bandar Sains dan Teknologi Raja Abdul Aziz (KACST); Kajian Geologi Saudi; Universiti Hail dan Saudi Aramco.
Tambah SCTNH, penemuan tersebut penting bagi penyelidik Arab Saudi berikutan hasil usaha dan sokongan Putera Sultan dalam sektor arkeologi di negara itu.
Projek itu adalah sebahagian daripada Projek Hijau Arab Saudi yang merupakan kerjasama Arab Saudi dan Britain untuk kajian dan penggalian bagi melaksanakan kajian alam sekitar dan arkeologi tempat bersejarah.
Sementara itu, projek ber­kenaan dilaksanakan selama lima tahun oleh SCTNH dan Universiti Oxford dengan objektif untuk mengkaji kepupusan manusia dan haiwan serta penyesuaian kehidupan kepada keadaan sekitar pada masa lalu.
Projek bersama itu juga membawa kepada banyak penemuan penting seperti fosil haiwan dan mamalia di kawasan gurun Arab termasuk gading gajah gergasi berusia 300,000 tahun.