Makanan penyegar nafas itu terlebih dahulu perlu dibakar dan pembelinya akan mengunyah makanan penyegar nafas itu bersama-sama api yang sedang menyala.
Chunni Lal dari bandar Rajkot, Gujarat kini turut menjadi terkenal selepas memperkenalkan produk itu lima tahun lalu.
Katanya, makanan itu yang dikenali sebagai ‘paan’ di India diperbuat daripada campuran bunga cengkih, buah pinang dan buah pelaga sebelum dibungkus dengan daun sirih.
Menurut Chunni Lal yang telah menjalankan perniagaan itu lebih 30 tahun lalu, ekoran persaingan dalam perniagaan paan, dia mula terfikir untuk memberi nafas baharu kepada makanan tradisi rakyat India itu selepas melihat peniaga di Mumbai menjual minuman yang dihidangkan dengan nyalaan api.
“Pada awalnya, pembeli agak ragu-ragu untuk makan paan yang sedang terbakar, namun kini produk itu menjadi pelaris di kedai kami,” kata peniaga berusia 48 tahun itu sebagaimana dilaporkan Mail Online.
Chunni Lal menjelaskan, meskipun nyalaan api pada paan itu dilihat agak berbahaya, namun makanan yang diberi nafas baharu itu langsung tidak berbahaya sebaliknya memberi kesegaran luar biasa kepada mereka yang memakannya.
Katanya, dia mengambil masa selama lapan bulan untuk belajar membuat paan yang sedang terbakar itu.
“Sejak memperkenalkan produk itu, saya tidak pernah menerima sebarang aduan daripada pembeli yang makan paan yang sedang terbakar,” katanya, sambil menambah kata, dia merancang untuk memperkenalkan produk itu di bandar-bandar lain di India.
Seorang pelanggan tetap kedai Chunni Lal, Raman Singh berkata, paan yang sedang terbakar adalah hidangan yang enak dimakan selepas menikmati makan malam.