Pages

Monday, January 18, 2016

Kekayaan 62 individu bersamaan harta 3.5 bilion penduduk dunia

DUNIA ISNIN, 18 JANUARI 2016 @ 10:26 AM



LONDON: Enam puluh dua individu terkaya dunia kini memiliki kekayaan sebanyak yang dimiliki separuh daripada penduduk dunia iaitu kira-kira 3.5 bilion orang, ketika individu terkaya semakin mewah manakala orang miskin bertambah sengsara. Harta 62 orang terkaya itu bertambah 44 peratus sejak 2010, manakala kekayaan 3.5 bilion manusia paling miskin jatuh 41 peratus, lapor pertubuhan kebajikan Oxfam, dalam laporan yang disiarkan menjelang mesyuarat tahunan Forum Ekonomi Sedunia di Davos. Hampir separuh daripada individu paling kaya itu berasal dari Amerika Syarikat, 17 dari Eropah dan selebihnya dari pelbagai negara lain termasuk China, Brazil, Mexico, Jepun dan Arab Saudi. "Kebimbangan pemimpin dunia mengenai krisis ketidaksamaan yang semakin memuncak setakat ini tidak diiringi tindakan kukuh, dunia menjadi semakin tidak adil dan aliran itu semakin pantas. "Kita tidak boleh terus membenarkan ratusan juta penduduk dunia kelaparan ketika sumber yang boleh digunakan untuk membantu mereka diambil orang kaya," kata Pengarah Eksekutif Oxfam International, Winnie Byanima. Kira-kira AS$7.6 trilion (RM33 trilion) kekayaan individu berkenaan berada dalam akaun pesisir pantai yang bermakna terlepas daripada membayar cukai. Jika cukai dibayar berdasarkan kekayaan yang dijana jumlah itu, pendapatan tambahan AS$190 bilion (RM840 bilion) boleh diberikan kepada kerajaan setiap tahun, kata pembantu profesor Universiti California, Gabriel Zucman. - Reuters

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/115535

No comments: