Pages

Thursday, December 31, 2015

Lelaki temui cangkerang gergasi




AFP - SEORANG lelaki tempatan menunjukkan cangkerang Glyptodont yang ditemui di tebing sebuah sungai dekat bandar Carlos Spegazzini, Argentina pada 25 Disember lalu.


BUENOS AIRES, Argentina – Seorang lelaki menemui satu cangkerang haiwan prasejarah selebar satu meter di tebing sebatang sungai di Carlos Spegazzini, 40 kilometer ke selatan Buenos Aires pada 25 Di­sember lalu.
Cangkerang itu dipercayai milik seekor tenggiling gergasi yang dikenali sebagai Glyptodont, kata beberapa pakar kelmarin.
Lelaki itu, Jose Antonio Nievas menyangka cangkerang bersisik hitam itu merupakan sebiji telur dinosaur selepas melihat objek tersebut melekat di dalam lumpur di tebing sungai itu di ladang miliknya.
Nievas memberitahu stesen televisyen tempatan, Todo Noticias bahawa dia me­nemui cangkerang itu separuh tenggelam di dalam selut dan mula menggali di sekeliling objek tersebut.
Beberapa pakar yang melihat gambar objek itu di televisyen memaklumkan ia dipercayai cangkerang Glyptodont.
“Tiada keraguan bahawa ia kelihatan seperti Glyptodont. Haiwan ini pupus beberapa ribu tahun lalu dan fosilnya ba­nyak ditemui di rantau ini,” kata pakar paleontologi di Muzium Sains Semula Jadi Bernadino Rivadavia, Alejandro Kramarz kepada agensi berita AFP.
Glyptodont merupakan nenek moyang kepada tenggiling mo­den. Haiwan itu mempunyai perisai cangkerang bulat yang besar dan mencapai berat sehingga satu tan.
Spesies itu tinggal di Amerika Selatan berjuta-juta tahun lalu. Kramarz menganggarkan spesimen yang ditemui Nievas itu berusia sekitar 10,000 tahun. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1231&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3vrD9rWpt 
Hakcipta terpelihara 

No comments: