Portal berita Mirror Online melaporkan, lebih 75,000 jutawan hartanah segera telah dilahirkan di Britain sepanjang tahun ini berikutan harga hartanah di negara ini terus melonjak naik terutama di luar kota London.
Sebuah laman web hartanah, zoopla.co.uk melaporkan, analisis yang dilakukan zoopla mendapati, jumlah pemilik rumah di Britain meningkat kepada 75,796 orang atau 14 peratus sejak Januari lalu, berikutan kenaikan nilai hartanahnya kepada satu juta pound atau lebih, sekali gus menjadikan pemilik kediaman berkenaan sebagai jutawan hartanah.
Peningkatan ini bersamaan dengan lebih 200 jutawan hartanah baru dicipta setiap hari.
Jurucakap Zoopla, Lawense Hall berkata: “Ia sesuatu yang menarik untuk melihat bahawa kawasan-kawasan seperti Timur England dan Yorkshire menyaksikan peningkatan peratusan yang lebih besar bilangan jutawan hartanah dalam tempoh 12 bulan lepas, berbanding kawasan selatan yang biasanya mendominasi pasaran setiap tahun.
Bagaimanapun, bilangan hartanah bernilai lebih satu juta pound di selatan mengatasi hartanah lain di seluruh Britain, dengan jumlah hartawan hartanah tertinggi dicatat di Westminster sebanyak 51,607 diikuti Kensington dan Chelsea (44,972).
“Dengan ekonomi yang bertambah baik dan kekurangan berterusan bekalan perumahan, ini terus memberi tekanan menaik terhadap harga rumah di semua peringkat pasaran dan telah melonjakkan penjualan hartanah melebihi 1 juta pound,” katanya.
“Satu tanda harga yang pernah dianggap bernilai eksklusif seperti rumah mewah atau rumah agam kini menjadi sesuatu yang biasa terutama di ibu negara ini,” ujarnya.