Pages

Sunday, August 30, 2015

Bina kapal layar RM1.8 bilion


ILUSTRASI kapal mewah Sailing Yacht A yang direka oleh Melnichenko. - AGENSI


MOSCOW, Rusia – Seorang jutawan di sini memperuntukkan AS$450­ juta (RM1.8 bi­lion) bagi membina sebuah kapal layar mewah untuk kegunaan persendirian bersama-sama isterinya yang merupakan seorang supermodel.
Andrey Melnichenko, 43, merancang membina kapal mewah yang akan dinamakan Sailing Yacht A walaupun dia sebelum ini telah memiliki sebuah ‘rumah mewah’ atas air yang dikenali sebagai Motor Yacht A.
Kapal layar terbabit akan dilengkapi dengan lapan dek berserta satu ruangan pemandangan besar menggunakan kaca melengkung sebesar 17.93 meter persegi dan berat 1.8 tan.
Ruangan di bahagian bawah kapal itu pula akan membolehkan Melnichenko dan isterinya, Aleksandra yang merupakan mo­del dari Serbia menikmati pemandangan laut.
Kapal seberat 14,224 tan itu bakal mempunyai kru sehingga 54 orang dan menjadi sebuah kapal layar mewah milik persendirian terbesar di dunia.
Dengan tiga tiang yang lebih tinggi daripada menara Big Ben, ia bakal mengalahkan kapal layar lain seperti Falcon Malta yang dimiliki oleh ahli perniagaan Amerika Syarikat, Tom Perkins.
“Projek ini memberi risiko kewangan yang besar kepada Melnichenko kerana dia perlu membia­yai kos penyelidikan dan pembangunan yang besar jika dia berjaya mencapai wawasan tersebut,” ujar seorang jurucakap kepada Melnichenko.
Laporan menyebut, Mel­nichenko yang mempunyai perniagaan dalam pelbagai bidang termasuk pengeluar baja, arang batu dan tenaga mempunyai kekayaan melebihi AS$9 bilion (RM37.7 bilion). – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0830&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3kFHE0IZ8 
Hakcipta terpelihara 

No comments: