DONGGUAN - CHINA. Pekerja-pekerja di Dongguan, kawasan perindustrian yang digelar "kilang dunia" terletak di Guandong, Selatan China mempunyai banyak sebab untuk tersenyum.

Berkuatkuasa 1 Mei, upah minimum mereka akan dinaikkan sebanyak 19 peratus daripada 1,310 yuan (RM773) sebulan kepada 1,510 yuan (RM892), kenaikan sebanyak 200 yuan (RM29).

Kenaikan itu bukan sahaja dapat membantu golongan pekerja itu menampung kos sara hidup yang semakin bertambah tetapi juga membolehkan industri menangani masalah kekurangan tenaga pekerja.

Bagaimanapun, ini mungkin keadaan menang-menang memandangkan gaji yang tinggi mungkin mencerminkan kos pengeluaran kilang yang lebih tinggi.

Tenaga pekerja yang murah yang dianggap perkara penting dalam revolusi perindustian China bagaimanapun kini hanya tinggal sebagai sejarah.

Masalah kekurangan tenaga pekerja semakin dirasai memandangkan pekerja migran yang lebih muda tidak lagi berminat untuk meninggalkan kampung halaman mereka atau bekerja di kilang.

Semuanya ini dikatakan berpunca daripada perubahan dalam gaya hidup, urbanisasi dan semakin ramai penduduk tua di China.


GUNA ROBOT 

Pentadbir China dilaporkan sudah mengambil tindakan untuk menangani perubahan tersebut.

Mereka sudah mengorak langkah untuk China bergerak ke arah automasi dengan robot menggantikan sebahagian besar keperluan tenaga manusia di bahagian pengeluaran.

Tahun lepas, Dongguan meluluskan resolusi yang membolehkan Dongguan Enterprises melaksanakan Pelan 'Bertukar dari Pekerja Manusia kepada Mesin' (2014-2016)'.

Di bawah Pelan itu, kira-kira 1,000 hingga 1,500 projek akan terlibat dalam penggunaan robot menggantikan manusia menjelang tahun 2016.

Dari September tahun lepas hingga suku pertama tahun 2015, Dongguan menerima kira-kira 500 permohonan untuk projek menggantikan manusia dengan robot dengan nilai keseluruhan pelaburan 4.5 bilion yuan (RM2.6 juta), kata Datuk Bandar Dongguan, Yuan Baocheng.

"Pihak berkuasa tempatan Dongguan akan memperuntukkan sejumlah 200 juta yuan (RM118 juta) dalam bentuk subsidi setahun bagi menyokong projek itu.

"Perusahaan yang memohon projek itu dijangka menerima sehingga 5 juta yuan  dalam bentuk subsidi," beliau memberitahu sidang akhbar di sini, baru-baru ini.

Apabila robot-robot itu sudah bersedia, robot-robot itu akan menggantikan kira-kira 35,000 pekerja dan menghasilkan 30 bilion yuan (RM17.7 bilion) dari segi hasil tahunan.

Di Foshan, satu lagi kawasan pengilangan di Guangdong, naib datuk bandar, Song Deping berkata bandar itu kini sedang berusaha gigih untuk mempromosikan perlaksaan Pelan Bertindak Pintas Pengilangan Foshan 2025.

"Setakat ini, terdapat 125 syarikat pembuatan robot di Foshan yang dijangka boleh menghasilkan 15,000 hingga 20,000 robot serta alat ganti dalam tempoh tiga tahun akan datang," tambahnya.

Tahun lepas, hasil pengeluaran peralatan teras Foshan mencapai 60 bilion yuan (RM8 bilion).


MASALAH PENGANGGURAN 

Bagaimanapun, terdapat juga kebimbangan kadar pengangguran akan meningkat sekiranya robot menggantikan tenaga pekerja manusia.

Apabila ditanya sama ada pembuatan robotik akan meningkatkan kadar pengangguran di bandar itu, Yuan menegaskan pekerja bahagian pemasangan kilang boleh bertukar daripada sektor pembuatan ke sektor perkhidmatan.

"Di samping mengurangkan kos pembuatan, perlaksanaan pengilangan robotik bertujuan menyediakan persekitaran kerja yang lebih baik untuk pekerja," katanya sambil menambah ia juga boleh meningkatkan daya pengeluaran.

Sementara itu, Coobie Zhang, presiden bahagian antarabangsa, Midea Group Co., Ltd. berkata syarikat itu merancang mengurangkan kadar penggajian bagi mengurangkan kos pembuatan.

Bilangan pekerja yang diambil syarikat pengilang perkakas elektrik China ini jatuh kepada 108,000 pada suku pertama tahun 2015 berbanding 126,000 orang pada penghujung tahun 2014.


SONGSHAN LAKE INTERNATIONAL ROBOT INDUSTRY BASE

Songshan Lake International Robot Industry Base (SSL) memainkan peranan penting untuk menjadikan sasaran China untuk mencapai sasarannya menghasilkan 100,000 unit robot menjelang 2017 sebagai satu kenyataan.

Pangkalan industri robot itu dengan jumlah pelaburan 270 juta yuan disenarai sebagai Zon Pembangunan Perindustrian Teknologi Tinggi Kebangsaan oleh Majlis Negeri pada September 2010.

"Sejumlah lima buah syarikat berteknologi tinggi telah menyertai kami sejak operasi bermula pada 6 Nov tahun lepas," kata ketua pegawai eksekutif pangkalan industri, Bonnie Shi.

Menurut Shi, pada masa ini, pangkalan industri itu telah menjual beberapa unit robot ke Amerika Syarikat dan Korea, bernilai sekitar 250,000 yuan (RM36,000) satu.

Meliputi kawasan seluas 72 kilometer persegi, SSL akan dimajukan dalam tiga fasa.

Fasa pertama terdiri daripada institut penyelidikan robot sementara fasa kedua adalah untuk menubuhkan cawangan sekolah antarabangsa serta komuniti berbakat tinggi sementara.

Fasa ketiga pula melibatkan pembinaan ibu pejabat dan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan untuk syarikat utama robot.- Bernama