Pages

Friday, April 24, 2015

Gunung berapi Calbuco meletus



GUNUNG berapi Calbuco kelihatan memuntahkan api dan asap di Chile semalam.


SANTIAGO – Gunung berapi Calbuco di selatan Chile meletus untuk kali pertama dalam tempoh lebih lima dekad dengan menghamburkan debu dan asap hampir 20 kilometer ke udara.
Pejabat bencana Onemi mengeluarkan amaran berpindah susulan letusan mengejut itu pada pukul 6 petang (waktu tempatan) kelmarin dekat bandar pelancongan Puerto Varas, 1,000 kilometer dari sini.
Pihak berkuasa berkata, hampir 4,000 penduduk meninggalkan kawasan berkenaan setakat ini, manakala sebuah zon perpindahan sekitar 20 kilometer dari gunung berapi itu turut diwujudkan serta sekolah-sekolah di beberapa bandar berdekatan telah ditutup.
Presiden Chile, Michelle Bachelet dijadualkan melawat kawasan-kawasan yang terjejas semalam.
“Tiada laporan kematian, penduduk hilang atau kecederaan setakat ini,” kata Menteri Dalam Negeri, Rodrigo Penailillo.
Beliau meminta penduduk agar berpindah dan memberi amaran tentang lahar panas yang mengalir turun dari gunung berapi itu.
Menurutnya, tiupan angin ke arah timur laut menolak awan dan abu gunung berapi Calbuco ke Argentina.
“Dalam situasi ini, letusan yang berlaku amat kuat. Letusan ini berisiko mencetuskan aliran piroklas,” kata seorang pakar gunung berapi, Gabriel Orroco pula dalam satu temu bual bersama stesen televsiyen tempatan.
Aliran piroklas terdiri daripada gas dan batu panas yang boleh memusnahkan apa sahaja di laluannya dan bergerak pada kelajuan antara 200 hingga 300 kilometer sejam.
Kali terakhir gunung berapi Calbuco yang setinggi 2,003 meter itu meletus dengan kuat ialah pada 1961. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0424&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3YB0Wji1R 
Hakcipta terpelihara 

No comments: