Sedikit dos arsenik sudah cukup menyebabkan kerosakan kepada paru-paru, hati, dan buah pinggang, sementara dalam dos yang tinggi, racun itu boleh merosakkan sistem pertahanan badan, menyebabkan pendarahan dan sawan sebelum mengakibatkan mangsanya koma atau mati.
Namun, satu kajian mendapati, kesihatan sekumpulan kecil penduduk di San Antonio de los Cobres, Argentina, tidak terjejas meskipun tubuh mereka terdedah kepada racun arsenik.
Pakar perubatan bidang per­sekitaran dari Universiti Lunds di Sweden, Dr. Karin Broberg yang menjalankan kajian itu berkata, masyarakat Atacamenos yang tinggal di kawasan pergunungan Andes di wilayah Puna, didapati mengambil minuman yang mengandungi bahan arsenik.
“Kajian terhadap 124 wanita menunjukkan genetik mereka mengalami mutasi sehingga mampu menampung jumlah racun arsenik yang tinggi dalam badan.
“Mereka menggunakan bekalan air yang terdedah kepada racun arsenik yang dilepaskan daripada batu gunung berapi, namun tahap kesihatan mereka langsung tidak terjejas,” katanya seperti yang dilaporkan portal berita Mail Online.
Racun arsenik dipercayai menjadi punca kematian pemerintah Britain dan Ireland, Raja George III dan Maharaja Empayar Perancis, Napoleon Bonaparte.