Witney ROWLAND sanggup berbelanja besar semata-mata mahu memastikan bayinya Romany Rose memiliki pakaian dan kelengkapan aksesori mewah. – AGENSI
Mail Online melaporkan, bayi yang diberi nama Romany Rose Rowland itu bukan sahaja mempunyai pakaian yang direka khas dengan setiap satunya berharga 70 pound (RM367), malah turut memiliki anting-anting berlian dan jam jenama Rolex dengan masing-masing berharga 800 pound (RM4,196) dan 2,800 pound (RM14,687).
Ibu bayi berkenaan, Witney Rowland, 20, berkata, Romany juga memiliki bekas mandi yang direka khas bernilai 400 pound (RM 2,098) serta tas tangan dan kasut buatan Gucci.
Witney berkata, dia berbuat demikian kerana mahu menjadikan anaknya yang kini berusia enam bulan seperti bintang realiti televisyen kanak-kanak terkenal Amerika Syarikat iaitu Honey Boo Boo.
“Semua ini dilakukan bagi memudahkan proses pembesaran Romany. Saya mahu dia mempunyai segala-gala termasuk duit, dan dia boleh lakukan apa yang dia suka.
“Anak saya kelihat gembira dan tersenyum setiap kali dia memakai pakaian yang telah saya sediakan, dia juga sering mendapat perhatian,” jelas Witney, seorang ibu tunggal yang berasal dari sebuah keluarga kaya.
Selain itu, wajah yang comel dimiliki Romany telah melayakkan dia menyertai banyak pertandingan ratu cantik dan menerima banyak undangan untuk menyertai pertunjukan fesyen.
Romany turut memiliki akaun laman sosial Facebook bagi membolehkan kawan-kawan serta pengikutnya mengetahui perkembangan terbaharunya melalui gambar dan status yang dimuat naik.