Bintang pop Mexico, Jenni Rivera sempat mengambil gambar ini bersama anak-anak kapal sebelum jet peribadi yang dinaiki terhempas.
Bintang pop Mexico, Jenni Rivera sempat mengambil gambar ini bersama anak-anak kapal sebelum jet peribadi yang dinaiki terhempas
Courtney Sanford mengambil gambar ini beberapa saat sebelum mendapat kemalangan.
Courtney Sanford mengambil gambar ini beberapa saat sebelum mendapat kemalangan.
Gadis Rusia berusia 17 tahun ini hilang imbangan ketika mengambil gambar di jambatan.
Gadis Rusia berusia 17 tahun ini hilang imbangan ketika mengambil gambar di jambatan.
KEGILAAN ‘selfie’ kini menjadi satu trend global yang bukan hanya melanda golongan muda, malah pelbagai golongan di dunia ini.

Tidak kira di mana jua, siang atau malam, pasti ada yang menggunakan kesempatan yang ada untuk berselfie demi mengabadikan kenangan terindah.

Namun, siapa sangka, bagi sesetengah individu, foto ‘selfie’ yang diambil mungkin menjadi gambar terakhir buat rakan dan keluarga mereka.

Dipetik dari sebuah blog, Sinar Harian Online hari ini menghimpunkan beberapa koleksi ‘selfie’ yang berakhir dengan tragedi memilukan.

Pada 3 Ogos lalu, mangsa dari Mexico, Oscar Otero Aguilar yang berusia 21, didapati mati akibat tertembak dirinya sendiri dengan menggunakan sepucuk pistol.

[ARTIKEL BERKAITAN: Maut tertembak diri sendiri ketika 'selfie']

Menurut laporan pihak berkuasa, Aguilar didapati berada di dalam keadaan mabuk ketika cuba berselfie dengan sepucuk pistol sebagai pelengkap gayanya.

Mangsa kedua pula merupakan seorang lelaki berusia 21 tahun dari Sepanyol yang dikatakan cuba untuk berselfie di atas landasan kereta api.

Namun padah diterima apabila dia dikatakan terkena renjatan elektrik ketika berada di atas landasan tersebut.

Mangsa ketiga pula adalah antara mangsa nahas pesawat MAS, MH17 yang ditembak jatuh berhampiran sempadan Rusia.

Gary Slok dan ibunya sempat bergambar bersama-sama sebelum berlepas dari lapangan terbang di Ukraine menuju ke Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA).

Menurut laporan berita, kedua anak-beranak itu dalam perjalanan ke Malaysia untuk menikmati percutian musim panas mereka sebelum menjadi mangsa tragis akibat nahas terbabit.

Sementara itu, Xenia Ignatyeva, 17, merupakan mangsa keempat ‘selfie’ yang membawa maut.

Memetik laporan portal, remaja Rusia ini dilaporkan hilang keseimbangan sewaktu cubaannya untuk berselfie di atas sebuah jambatan.

Ignatyeva meninggal dunia akibat renjatan elektrik melalui kabel yang cuba dipautnya sewaktu terjatuh.

Tragedi tersebut berlaku pada April lalu di Saint Peterburg, Rusia.

Selain itu, pada Disember 2012, bintang pop Mexico, Jenni Rivera dikatakan mengambil gambarnya bersama krew dan rakannya sebelum mereka berlepas ke Bandar Mexico dengan menggunakan jet peribadi.

Sejurus selepas itu, jet tersebut dikatakan terhempas di pergunungan Monterrey di utara Mexico.

Media barat melaporkan, tidak ada yang terselamat daripada kemalangan tersebut.