Pages

Friday, September 19, 2014

Senjata tinggalan perang ditemui

Skuad pemusnah bom dipanggil bagi meletupkan bom dan senjata api peninggalan Perang Dunia Pertama dan Kedua yang ditemui di sebuah rumah di Hertforshire, baru-baru ini. - Agensi
LONDON 18 Sept. - Skuad pemusnah bom Britain terpaksa dipanggil bagi meletupkan bahan letupan peninggalan Perang Dunia Pertama dan Kedua selepas polis menemui senjata api, peluru dan bom dalam jumlah yang banyak dari garaj sebuah rumah di St Albans, di daerah Hertfordshire, kelmarin.
Bahan itu diletupkan di sebuah padang kosong tidak jauh dari rumah semi-D milik Alan Tissington, semalam selepas polis mengarahkan jiran-jiran lelaki itu supaya mengosongkan kediaman mereka.
Mail Online melaporkan, polis terdahulu menahan seorang lelaki berumur 48 tahun selepas dia dipercayai mencuri bahan letupan tersebut dari sebuah kem tahanan perang di United Kingdom.
Tissington menurut jirannya merupakan seorang peminat bahan-bahan ketenteraan yang mengembara di seluruh Britain dan Eropah bagi mengumpul koleksi tersebut.
Robot pemusnah bom turut dikerahkan ke rumah itu pagi semalam selepas polis menemui sejumlah koleksi tinggalan perang termasuk senjata api, peluru artileri, peluru mortar, topeng gas dan uniform tentera semasa Perang Dunia Pertama dan Kedua.
Selain polis dan pegawai tentera, usaha memusnahkan bom itu turut melibatkan pakar-pakar dari English Heritage yang menjalankan pemeriksaan ke atas kawasan rumah tersebut.
Polis Hertfordshire berkata, serbuan itu tidak ada kaitan dengan keganasan.
Mereka perlu berada di rumah itu bagi tempoh 48 jam bagi memastikan kawasan tersebut benar-benar selamat.
"Rampasan ini tidak pernah berlaku sebelum ini dan melibatkan proses yang panjang. Ia adalah koleksi senjata yang amat banyak, namun ia tidak mendatangkan bahaya kepada orang ramai,'' kata Ketua Inspektor Polis Hertfordshire, Ken Townsend. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140919/lu_12/Senjata-tinggalan-perang-ditemui#ixzz3Di8JfiEE
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: