Pages

Sunday, September 7, 2014

Pampasan AS$41 juta untuk lima bekas banduan



TERTUDUH dari kiri, Korey Wise, Antron McCray, Kevin Richardson, Raymond Santana dan Yusef Salaam yang dihukum penjara lebih 10 tahun akan menerima pampasan AS$41 juta selepas mereka didapati tidak bersalah dalam satu kes rogol dan cubaan membunuh di New York pada tahun 1989.


NEW YORK - Seorang hakim persekutuan Amerika Syarikat (AS) meluluskan bayaran penyelesaian AS$41 juta (RM130.28 juta) kepada lima lelaki yang dipenjara secara silap berkaitan kes rogol dan cubaan membunuh seorang wanita kulit putih ketika mangsa keluar berjoging di taman awam Central Park di sini pada 1989.
Bayaran penyelesaian itu sekali gus menamatkan saman sivil berhubung kes tersebut yang berlarutan selama beberapa dekad.
Ketika dijatuhi hukuman, semua remaja lelaki yang berketurunan Amerika Latin itu didapati bersalah kerana hampir menyebabkan kematian pelabur institusi perbankan, Trisha Meili, 28. Mereka dituduh melakukan serangan seksual beramai-ramai terhadap mangsa pada suatu malam pada bulan April 1989.
Datuk Bandar, Bill de Blasio memuji penyelesaian itu yang menyaksikan setiap seorang daripada mereka mendapat kira-kira AS$1 juta (RM3.17 juta) untuk setiap tahun merengkok di penjara.
Sebelum ini, saman ganti rugi itu turut diperjuangkan oleh datuk bandar terdahulu, Michael Bloomberg.
"Kelulusan oleh hakim persekutuan pada hari ini (kelmarin) membolehkan kita melupakan kes ini manakala kelima-lima lelaki ini boleh memulakan hidup baharu bersama keluarga masing-masing," kata de Blasio
Kelima-lima remaja itu didapati tidak bersalah selepas seorang perogol bersiri, Matias Reyes mengaku melakukan jenayah tersebut pada 2002.
Bukti asid deoksiribonukleik (DNA) di lokasi kejadian turut menyokong pengakuan Reyes.
Namun, ketika pengakuan itu direkodkan, kelima-lima remaja berkenaan telah menamatkan hukuman penjara masing-masing.
Korey Wise yang berusia 16 tahun ketika serangan itu berlaku dipenjara selama 13 tahun dan akan menerima pampasan AS$12.25 juta (RM38.92 juta).
Empat rakannya, Antron McCray, Kevin Richardson, Raymond Santana dan Yusef Salaam pula akan menerima bayaran AS$7.12 juta (RM22.62 juta) seorang ekoran kesilapan yang sehingga kini dinafikan oleh pihak berkuasa.
Mangsa hilang ingatan berhubung kes tersebut dan polis menahan kelima-lima remaja itu secara tergesa-gesa selepas menerima tekanan daripada pelbagai pihak termasuk media. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0907&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3CZbqYHXR 
Hakcipta terpelihara 

No comments: