BAGAN SERAI - Seorang lelaki terkejut apabila ayam serama dipeliharanya mengeluarkan telur sebesar kacang kuda.

Penjawat awam, Sudirman Saad, 38, berkata, dia mula menternak ayam serama itu sejak lima bulan lalu kerana minatnya pada haiwan berkenaan.

“Ayam serama itu mengeluarkan 18 biji telur dan satu daripadanya bersaiza 0.5 sentimeter dengan berat tidak sampai tiga gram.

"Pada mulanya saya sangka itu najis ayam sebelum menyedari ia telur dengan kulitnya yang keras dan tidak pecah apabila dijatuhkan," katanya ketika ditemui di  Taman Serai Permai, di sini semalam.

Menurutnya, berikutan penemuan itu, dia membuat carian di internet dan mendapati telur ayam paling kecil di dunia ditemui di Chongqing, Barat Daya China dengan saiz dua sentimeter.

"Jadi, sekiranya saiz telur ayam milik saya hanya sebesar 0.5 sentimeter, saya tidak menolak kemungkinan ia telur paling kecil di dunia dan saya berhasrat untuk menyimpannya.

"Penemuan itu menyebabkan orang ramai terutama peminat ayam serama berkunjung ke rumah saya untuk melihat sendiri telur ayam berkenaan," katanya.