SEREMBAN - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan menangkap seekor tapir betina yang tersesat di kawasan perumahan Seri Carcosa, Seremban 2 di sini hari ini.
    
Pengarah Perhilitan Wan Mat Wan Harun berkata pihaknya menerima aduan orang ramai berkaitan tapir itu, yang didapati merayau-rayau di kawasan perumahan berkenaan, pada kira-kira 7.30 pagi.    
    
"Sepasukan anggota kita bergegas ke tempat kejadian dan memasang perangkap. Dengan kerjasama anggota Jabatan Pertahanan Awam Negeri Sembilan, tapir seberat kira-kira 300 kilogram itu kemudian dikepung dan seterusnya dihalau memasuki perangkap yang dipasang, sebelum berjaya ditangkap.
    
"Tapir ini akan diberi rawatan oleh pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar terlebih dahulu, sebelum cip penandaan dimasukkan bagi tujuan pengesanan semula," katanya kepada Bernama.
    
Beliau berkata tapir itu akan dilepas di kawasan perlindungan di negeri ini yang berada di bawah jagaan Perhilitan. - Bernama