Pages

Sunday, August 24, 2014

73 mati ditembak dalam masjid


DIYALA, Iraq 23 Ogos - Sekurang-kurangnya 73 orang pengikut Sunnah terkorban, selepas pengikut Syiah bertindak melepaskan tembakan di dalam sebuah masjid yang dipenuhi jemaah di Kampung Bani Wais, timur wilayah Diyala, semalam.
Dalam satu rakaman video yang dimuat naik di laman sosial YouTube memaparkan mayat-mayat bergelimpangan di lantai masjid, termasuk mayat seorang kanak-kanak.
Wakil al-Jazeera yang berada di tempat kejadian, Jane Arraf yang memetik sumber tempatan melaporkan serangan mungkin bermotifkan balas dendam.
Agensi berita al-Jazeera memetik sumber keselamatan melaporkan kesemua mayat sudah dihantar ke hospital di bandar Baquba untuk bedah siasat.
Keganasan agama terbaharu itu bakal memberi kesan kepada usaha Perdana Menteri baharu Iraq, Haider al-Abadi untuk membentuk sebuah kerajaan yang dapat menyatukan semua penduduk di negara ini dalam kempennya memerangi kumpulan militan Negara Islam (IS).
Ekoran kejadian itu, dua kumpulan anggota Parlimen yang dikuasai oleh pengikut Sunnah membatalkan perbincangan untuk membentuk kerajaan baharu sebagai tanda bantahan.
Dua kumpulan berkenaan yang diwakili gabungan Speaker Parlimen, Salim al-Jabouri dan Timbalan Perdana Menteri, Saleh al Mutlak menggesa bekas Perdana Menteri, Nouri al-Maliki dan kumpulan anggota Parlimen pengikut Syiah menyerahkan pelaku serangan dalam tempoh 24 jam.
Mereka turut mendesak kerajaan supaya membayar pampasan kepada keluarga mangsa yang terkorban.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Iraq yang baharu, Haider al-Abadi turut mengutuk serangan berkenaan yang disifatkannya boleh menggugatkan perpaduan Iraq.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140824/lu_05/73-mati-ditembak-dalam-masjid#ixzz3BG4NjpJN
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: