Pages

Thursday, April 3, 2014

Gempa bumi, tsunami landa Chile


Beberapa buah bot nelayan rosak selepas dipukul tsunami setinggi dua meter berikutan gempa bumi yang menggegar Riquelme, di Iquique, utara Chile, semalam. - AFP
SANTIAGO 2 April - Satu gempa bumi sekuat 8.2 pada skala Ritcher melanda pantai utara Chile semalam, mencetuskan tsunami setinggi dua meter dan menyebabkan sekurang-kurangnya enam orang terkorban.
Menurut agensi berita, NBC News, seramai 900,000 penduduk melarikan diri ke kawasan tanah tinggi disebabkan gempa bumi itu.
Kejadian yang berlaku pada pukul 8.46 malam waktu tempatan (7.46 pagi waktu Malaysia) itu turut menyebabkan amaran tsunami dikeluarkan di beberapa negara termasuk Ecuador dan Peru.
Indonesia yang pernah terjejas teruk akibat tsunami Aceh pada 2004, turut menasihati rakyatnya supaya menjauhi kawasan pantai.
Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Alam Nasional Indonesia, Sutopo Purwo Nugroho menyatakan, negara itu terdedah kepada tsunami setinggi 1.6 meter menjelang pagi esok.
Di Chile, Presiden, Michelle Bachelet mengumumkan kawasan dilanda gempa bumi itu sebagai zon bencana.
Pusat gempa terletak pada kedalaman 10 kilometer sejauh 83 kilometer dari Iquique di kawasan pantai Chile, lapor Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Pengarah agensi bantuan bencana Pejabat Kecemasan Kebangsaan Kementerian Dalam Negeri (ONEMI), Ricardo Toro berkata, gempa bumi itu menyebabkan menara kawalan di lapangan terbang Iquique terjejas, rumah-rumah rosak selain bekalan elektrik terputus di sebahagian besar bandar Arica.
Di bahagian utara bandar Iquique yang merupakan kawasan terdekat dengan pusat gempa bumi itu, kira-kira 300 banduan lolos daripada sebuah penjara wanita ketika keadaan kelam-kabut.
Pusat Amaran Pasifik Tsunami yang berpangkalan di Hawaii, Amerika Syarikat mengeluarkan amaran tsunami selama enam jam kepada penduduk yang mendiami kawasan pantai Amerika Selatan dan Amerika Tengah sepanjang 4,800 kilometer. - AFP/AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140403/lu_02/Gempa-bumi-tsunami-landa-Chile#ixzz2xm0oeHhO
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: