Pages

Friday, March 7, 2014

Gadis dapat ‘kaki baru’


BEIJING 6 Mac - Seorang wanita China yang menghidap jangkitan tulang sejak kecil berjaya memiliki semula bentuk kaki asalnya selepas menjalani pembedahan memasukkan lutut dan sendi pinggul tiruan di kaki kirinya, yang dijalankan selama setahun.
Xu Juan, 21, yang menghidap penyakit itu sejak kecil mengakibatkan perkembangan kaki kirinya terbantut sehingga 23 sentimeter (cm) berbanding kaki kanannya.
Masalah yang dialami Juan itu bertambah buruk dengan faktor kekurangan kemudahan perubatan di kampungnya ketika itu hingga mengakibatkan tulang paha kakinya ‘dimakan’ bakteria.
Keadaan itu mengakibatkan kaki kiri Juan menjadi pendek berbanding kaki kanannya, sekali gus memaksa gadis berkenaan terpaksa menggunakan tongkat untuk berjalan.
Sejak itu, ibu bapa gadis itu telah berusaha menyimpan berdikit-dikit bagi membiayai kos pembedahan kaki anaknya itu.
Sementara itu, doktor yang merawatnya, Dr. Hu Yihe berkata, keadaan kaki gadis itu agak rumit kerana dia bukan sahaja mempunyai satu kaki yang pendek, malah pinggul dan lutut Juan tidak membesar dan ia perlu diganti.
"Oleh itu, kami menjalankan dua fasa rawatan iaitu fasa pertama bagi memanjangkan kaki kirinya dan menjadikan kedua-dua kakinya sama panjang.
"Fasa kedua melibatkan pembedahan untuk menggantikan sendi lutut kiri dan sendi pinggul kirinya,’’ kata Yihe, sebagaimana lapor Daily Mail.
Rawatan Juan akhirnya tamat pada penghujung bulan lalu dan menurut Dr. Hu, Juan dipercayai dapat berjalan secara normal tidak lama lagi selepas dia menjalani proses pemulihan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140307/lu_05/Gadis-dapat-kaki-baru#ixzz2vE4yLWX7
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: